Tuesday, December 31, 2013

Lup-Dup

“ Hey, sini…” Aku tarik lengan dia lembut. Belakang badannya aku dakap rapat. Muka aku letak di belakang tengkuk dia. Terasa lega bila lembut kulit itu terkena tulang pipi.

Lama.

“ Kenapa ni? Hahaha…” Gelak halusnya relai. Matanya redup jeling aku di belakang. Sambil itu dia menarik tangan aku ke pinggang. Menguatkan lagi pelukan kami. Aku terasa disayang.

“Honey, saya suka macam ni. Rasa jantung awak rapat dengan jantung saya. Hati awak dekat dengan hati saya.” Aku bersuara. Degup jantung kami makin laju berlari. Terus dia senyum.

“Dup-dup...Dup-dup… Dup-dup…  Dengar tak bunyi jantung awak laju?” Aku buat bunyi sambil menyoal dia.

“ Cik Jo, bunyi jantung sebenarnya Lub-dup…Lub-dup…Lub-dup.” Dia gelak comel sambil membetulkan kesilapan aku seperti selalunya, masa-masa itu juga.

 “ Oh! Iya ke? Ini ada tulis dalam buku?” Soalku lalu terus ketawa lucu.

Mata dia pejam, kepalanya angguk mengiakan dan dia menahan gelak.

“ Sini!” Dia mengadap aku. Berhadapan. Tangannya capai tangan aku, lalu diletakkan jemari itu pada dadanya.

“ Sekarang dengar tak Lub-dub…Lub-dub…?” Katanya berbisik.

“ Tak. Tapi kejap lagi dengar.” Aku cepat-cepat peluk dia kuat-kuat. Dia gelak.

“ Jo, I love you.”

“ Shhh…”


Sunday, December 22, 2013

Melankolik Pukul 12

Hidup kita, kita yang rasa. 

Terutamanya bila kita tak berkongsi dengan orang lain rasanya.

Berkongsi itu bukan dalam erti kata, kau jumpa kawan di pejabat 
atau sekolah, lalu kau ceritakan aktiviti kau setiap hari. 

Rasa yang terikat bersama. 
Setiap kali kau bergerak. 
Si kongsi rasa akan bergerak juga, mungkin fizikalnya. 
Mungkin matanya…hatinya. 
Itu dengan rasa. 

Lalu sedang aku menaip ini, aku beralih dari rasa kelam dalam 
hati kepada senyuman dan mencubit bibir sendiri,
memandang dinding.

Intim.

Cahaya matahari yang menyelinap masuk dari luar tingkap. 
Buat aku sedar, itu teman aku setiap hari. 
Buat aku tertanya-tanya. 
Mataharikah dia buat aku? Buat aku mahu dia.

Bertahun. 
Banyak kali aku cakap pada hati. 
Sudahlah. Sudah-sudahlah. 
Dia bukan cinta pertama. 
Dia tidak cantik. 
Sedap hatiku sendiri. 
Tapi aku ternampak dia di dalam semua orang. 
Semua tempat.


Tidak perlu risau. 
Sebab aku hidup juga. 
Tanpa berkongsi rasa.



Tuesday, December 10, 2013

Bukan Pejuang Part 3

Aku balik ke bilik kakak angkat aku.

Aku ceritakan peristiwa yang jadi. Beritahu lebih kurang aje. Tak adalah aku cerita hal hubungan dengan Preity itu semua pada kakak angkat aku. Panjang pulak soalannya. Lagipun aku tak pasti sama ada mereka boleh bertolak ansur perkara macam ini. Bukan semua orang faham.

Pada Preity aku ceritakan hal sebenar. Preity dah macam nak menangis. Aku cuba tenangkan dia. Preity cakap dia tak mampu nak teruskan studi tanpa aku. Dia perlukan aku. Akhirnya, Preity cerita pada aku yang Kak Alisa ada jumpa dia bertanya tentang studi, kawan-kawan dan sebagainya. Preity telah cerita pasal budak bilik dia yang selalu tak mahu bertolak-ansur itu. Aku terkejut. Itulah satu masalah Preity ni, manja. Mengadu tidak kena tempat. Geram aku.

Balik bilik aku, aku trick budak-budak bilik aku dengan pelbagai soalan yang mengelirukan. Akhirnya aku dapat tahu yang beberapa hari lepas, Kak Alisa ada datang ke bilik Preity sewaktu Preity tak ada di bilik. Mungkin masa itu dia nak bagi amaran pada budak bilik Preity. Untuk menutup perbuatan mereka, mereka ceritakan pulak hal aku dan Preity. Aku agak sahajalah. Kalau tidak macam mana tiba-tiba Kak Alisa yang jarang kami jumpa boleh tahu. Masa itu, facebook, twitter atau instagram belum pun wujud lagi. Hubungan aku dan Preity pun baru sahaja lagi masa tu.

Malam itu tidur aku tak lena. Macammana aku hendak selesaikan perkara ini.

Maka esoknya. Aku panggil semua budak bilik aku dan budak bilik Preity berjumpa. Untuk beri kelebihan pada diri aku, semua orang aku perdayakan. Preity sendiri aku tak bagi tahu tujuaan perjumpaan itu.

“ Korang tahu tak semalam senior kita jumpa aku?” Aku mulakan ayat. Semua orang saling berpandangan dan menggeleng kepala. Aku rasa nak tampar aje sorang-sorang.

“ Dia cakap pasal aku dengan Preity. Hal hubungan kita orang.  Silap hari bulan, kalau pentadbiran tahu,  aku dan Preity kena buang kolej. Kau orang tahu tak apa efeknya pada aku kalau kena buang kolej? Korang happy ke kalau aku kena buang kolej?” Aku tanya sorang-sorang. Semua pun diam juga. Aku tunggu dia orang bersuara.

“ Aku mengaku, aku dengan Preity memang lebih sikit dari biasa. Aku mengaku. Itu salah. Aku tahu. Aku minta maaf banyak-banyak kalau benda ini buat korang marah pada kami. Aku nak tanya, apa sebenarnya yang korang nampak? Boleh sesiapa jawab tak?” Aku tanya lagi.

“ Kau dengan Preity kissing. Setiap pagi kau kejut dia bangun tidur. Kiss good morning.” Ada seorang buka mulut.

“ Lagi? Apa kami buat? Cium mulut? Kami beromen? Ada sesiapa pernah nampak apa-apa lagi?” Kali ini aku lebih direct. Cuba memancing.

“ Tak adalah sampai macam itu. Tapi kita orang tak sukalah macam tu. Cium semua tu. Tak patutlah.” Yang lain mula bersuara.

“ Cakap depan macam ni kan senang, direct ajelah. Jumpa aku. Jumpa Preity bagitahu sendiri. Cakap sendiri. Aku rasa aku tak pernah lagi pukul orang pasal benda macam ni.” Saja aje aku buat ayat tu.

“ Kita orang tak sangka sampai senior tahu. Aku tak nak sebab benda ni kau kena buang kolej.” Seorang lagi bersuara. Muka macam menyesal sikit.

“Kak Alisa ada datang sini kan? Apa yang korang dah cerita dekat dia itu hal korang dengan dia. Aku tak nak ungkitkan lagi. Itu antara korang dengan dia. Alang-alang kita dah jumpa ni, cakap dengan aku. Apa yang korang marah sangat pada aku atau pada Preity. Terus terang.” Aku meminta.

Seorang demi seorang bercerita. Selain hal hubungan aku dengan Preity tu, dia orang tak puas hati dengan Preity. Hal-hal remeh macam Preity buka lampu masa orang hendak tidur dan bunyi almari Preity yang bising setiap kali dia pilih baju. Aku nak gelak betul masa itu. Memang dia orang hentam Preity cukup-cukup. Aku biar aje. Dia pun kena tahu apa tatatertib hidup kolej. Tak boleh hendak ambik mudah sahaja. Pasal aku, satu patah salah pun tak keluar selain hal cium itu.

Lepas itu kami semua bermaaf-maafan. 

Selepas peristiwa itu, aku tak cium Preity good morning atau good night lagi. Kalau ada pun pandai-pandailah. Kami tetap rapat. Aku tetap teman dia ke mana sahaja. Tapi berusaha elak dari Kak Alisa atau Kak Dart nampak. 

Sesekali bila aku terserempak dengan Kak Dart, dia masih mengajak aku lepak dengan konco-konco dia. Tak mahu aku. 

Orang sekeliling tetap buat spekulasi macam-macam pasal kami. Nota-nota bisnes yang aku tampal di dinding kolej dengan nama aku dan Preity di conteng dan di ganti dengan tulisan perkataan Gay dan Lesbian. Ya, bagus kan.

Habis kolej, aku tak ada kawan pun. Preity pun tidak. Tapi banyak benda aku belajar. Tentang penerimaan dan penolakan.

Aku tidak perjuangkan komuniti LGBT. Kebaikan adalah kebaikan. Keburukan adalah keburukan. Kalau orang buat baik, bagus. Tak kira kau LGBT atau tidak. Buat jahat pun sama, tak kiralah LGBT atau tidak. Lelaki kacau bini orang sama palatnya dengan pengkid yang kacau bini orang. Sama. Dua-dua aku tak berkenan. Dua-dua aku tak akan back up.

Kepada adik-adik, golongan baby pengkid ini. Ya betul, yang muka macam Justin Bieber tu. Aku tahu ramai yang tengah sibuk duk usha 2,3 orang awek sekali serentak. Perasaan nak menunjuk hebat tu tengah bergelodak kan. Nasihat aku, tak payahlah, buang masa aje. Awek-awek tu bukan nak kau sangat. Drama aje lebih.

Dan andai ada yang berniat nak tunjuk jalan kepada golongan LGBT ni, niat harus kuat. Iman kena tinggi. Semangat kena ada sebab ramai aje pulak aku tengok yang jadi LGBT lepas tu. 
Ya, yang ni aku cakap dengan KAU. KAU tau siapa.


Kan mak cik dah membebel.





Sunday, December 8, 2013

Bukan Pejuang Part 2

Aku sampai di studio art. 

Ramai juga orang di situ waktu begini. Lelaki dan perempuan.Kebanyakkannya muka-muka yang aku tidak kenali. Senior semuanya. Masing-masing sibuk menyiapkan projek. Kaki aku rasa menggeletar.

“ Hai bang, saya Jo. Kak Dart nak jumpa saya. Dia kat mana ya?” Aku menegur seorang senior.

“ Oh. Kak Dart ada kat belakang.” Abang itu sengih-sengih pandang aku.

Ah! Lantaklah. Apa nak jadi, jadilah. Aku kumpulkan kekuatan ke kawasan belakang.

Di belakang ada beberapa orang kakak senior sedang menyiapkan kerja art masing-masing. Muka dia orang nampak ganas. Seluar dan baju dipenuh warna-warna cat.

“ Hai, Kak. Saya Jo!” Tegur aku, sambil mata melilau mencari siapakah Kak Dart.

“ Oh! Kaulah Jo iya. Meh sini. Duduk sini.” Seorang kakak bertubuh tinggi melambai arah aku. Dia menepuk-nepuk satu kerusi beroda.

Walaupun ada rasa ragu. Aku duduk atas kerusi itu. Menunggu dan mengadap apa yang akan berlaku seterusnya.

Sebaik aku duduk sahaja, beberapa orang senior lelaki dan perempuan datang mengelilingi aku. Aku agak lebih sepuluh orang.

“Shit man…Mampos aku kejap lagi ni…” Aku berbisik dalam hati. Adakah aku akan kena belasah ke apa kejap lagi ni. Hadap Jo, hadap aje.

“ Oh, inilah dia Jo yang glamer tu ya… Tak adalah besar mana pun. Kecik sangat orangnya.” Seorang kakak senior bersuara. Aku yakin itu Kak Dart.

“ Aku banyak dengar cerita pasal kau ni. Aku bukan nak masuk campur sangat hal budak-budak ni. Tapi bila sampai ada yang mengadu, aku kenalah ambik tahu.” Dia bersuara lagi.

“ Banyak senior mengadu yang junior sekarang ni kurang ajar. Tak hormat orang.” Yang lain pula bersuara. Alamak apa cerita ni.

Kerusi aku ditolak dan disepak dari seorang senior kepada seorang senior yang mengelilingi aku.

“ Kau rambut pendek ya, sini aku tengok.” Kak Dart selak pulak tudung aku dan meraba kepala aku.

“ Rambut pendek lah dia ni…” Pandangannya makin tajam. Aku seram. Satu patah ayat pun tak keluar dari mulut aku. Senior lain biarkan sahaja perbuatan Kak Dart.

Masa tu nyamuk bukan main banyak hinggap menggigit aku. Seekor pun aku tak berani nak tampar. Aku biarkan sahaja. Kalau tampar, nampak sangat aku macam melawan.  Sejuk pulak tu. Maklumlah hujan. Dalam hati aku baca ayat pelembut hati.

“ Kau kenal Alisa? Aku dengar kau kawan dengar adik sepupu dia. Betul? Aku dengar lagi kau kiss good morning, good night dengan adik sepupu dia. Betul?” Kak Dart tanya bertubi-tubi.

Sial. Apakah ini. Kak Alisa memang kakak sepupu Preity. Senior kita orang. Ada sekali dua aku bertembung dengan Kak Alisa ni. Orangnya, sumpah Ya Allah. Cantik. Dia tahu ke perihal aku dengan Preity. Aduh. Melibatkan keluarga pulak. Hendak pecah jantung aku terkejut masa tu.

“ Betul…” Jawab aku pelahan. Air muka Kak Dart berubah.

“ Aku tahu benda-benda macam ni. Kau dengan adik sepupu dia tu kenapa?”  Suara dia yang ganas bertukar biasa. Aku pun tak tahu kenapa.

“ Saya sayang dia. Saya tak sangka pulak nak jadi macam ni. Saya betul-betul sayang dia.” Aku bersuara pelahan.

“ Masalahnya, kakak sepupu dia tu adik angkat aku. Dia tak suka kau kawan macam tu dengan adik sepupu dia. Kau faham tak?” Dia pandang aku lama.

“ Saya sayang dia. Saya tak akan sakitkan dia. Dia pun sayang saya.” Masa itu rasa takut aku hilang sikit-sikit.

“ Kalau kau sayang dia, aku tak mahu dengar lagi pasal ni. Aku tak nak tengok kau dengan adik sepupu dia lagi. Kalau aku dengar Alisa mengadu apa-apa, siap kau.” Dia memberi amaran. Aku senyap aje.

“ Aku ni senior kau, kau patut kenal aku. Senang kau nak tanya apa-apa. Studi kau macam mana sekarang?” Tiba-tiba Kak Dart jadi peramah pulak. Beberapa senior lain mula beredar. Tinggal tiga empat orang sahaja.

“ Biasa- biasa je kak…”Aku jawab dalam kehairanan.

“ Aku suka jugak tengok kau ni. Aku tengok kau macam budak baik. Tak melawan. Kau patut lepak dengan aku. Bila-bila masa aku tak kisah.” Aku seperti tidak percaya dengan ajakan Kak Dart. Tadi bukan main ganas lagi.

“ Lagi satu… Hal malam ini, jangan kau nak mengadu pada pentadbiran. Kau sendiri jugak yang susah nanti. Sekarang kau boleh pergi tapi ingat apa aku cakap.” Kak Dart memberikan kata-kata penutup.


Aku segera balik ke kolej. Aku tak tahu nak kata apa. Patutkah aku menjauhi  Preity sebab hal ini? Macam mana Kak Alisa boleh tahu? Apa aku nak cakap pada Preity? Aku pening.

  

Saturday, December 7, 2013

Bukan Pejuang Part 1

Aku cepat menangis.

Ada satu tahun itu, lepas putus dengan Honey. Aku menangis hampir setiap hari. Bertahun-tahun. Mujur tak jadi buta macam Kassim Selamat. Menangis itu satu anugerah. Bayangkan, andai ada orang yang menangis pun dia tak mampu.

Aku tak rasa aku seorang pejuang, bagi aku jika mahu jadi pejuang, kau mesti PERCAYA apa yang kau perjuangkan. Kuatnya rasa percaya dalam hati lalu melakukannya dengan perbuatan.

Apa yang aku lalui, setiap peringkat demi peringkat. Mungkin ada persamaan dengan orang lain. Lagi bagus. Atau lagi teruk. Tapi kita sama-sama belajar dan baiki.

Sebagai golongan LGBT ni benda yang selalu kena hadap adalah pandangan masyarakat. Biasanya yang buruk-buruklah. Sama ada kita mengaku kita ni LGBT atau kita simpan aje dalam hati kita.

Mari kita imbas kembali pengalaman aku.

Masa aku di kolej. Zaman aku dan Preity baru-baru bercinta secara rahsia. Orang keliling mula rasa kami ada sesuatu. Sebenarnya aku dengan Preity tak adalah PDA sangat. Preity bukan suka PDA pun. Atau kami aje kurang perasan atau kurang sensitif. Entah.

Tapi tak ada sesiapa pun datang jumpa aku, bercakap dari hati ke hati mengenai hal ini. Bertanya sendiri. Kenapa ya? Lagi selesa bergossip di belakang. Aku gangster sangat ke masa di kolej?

Aku perasan sebenarnya orang keliling mula pandang kami serong. Ada yang mula tak mahu berkawan dengan kami. Ada yang membentak-bentak bila kami buat terbuat salah sikit pun. Marahnya panjang, sedangkan orang lain ada buat salah yang sama. Ada yang anggap kami ini macam tidak punya perasaan. Aku tak terasa sangat, mungkin aku dah lali hal macam ini sepanjang hidup aku, Preity belum biasa. Sampai rakan-rakan sebilik dengan dia sering tak mahu bertolak ansur dengan dia. Rakan sebilik aku tidaklah seteruk itu. Mungkin cuma bergossip yang aku tidak tahu.

Jadi aku dan Preity makin malas hendak lepak di bilik masing-masing. Selalunya kami akan lepak di beranda hujung di tingkat atas sekali. Sambil aku bawa teropong dan dapat lihat pemandangan keliling kolej. Borak-borak sampai dinihari.

Kami juga selalu studi di bilik kakak angkat aku, senior-senior yang baik hati. Studi dengan dia orang ni best. Selesa. Tak ada tension dan ego. Hendak bermanja, bergelak ketawa pun boleh.

Satu malam, sedang aku sedang sibuk bantu assignment lukisan kakak angkat, bilik dia diketuk orang. Bila salah seorang senior aku buka pintu. Ada seorang senior lain depan pintu. Senior satu semester dari aku. Kiranya kakak angkat aku lagi senior dari dia. Dia ni aku perasan juga. Ala-ala macam aku juga. Bukan girly orangnya.

“ Jo ada tak dalam bilik ni?” Tanya dia. Aku terkejut. Aku bukan kenal dia.

“ Nak jumpa Jo. Kenapa ya?” Senior aku bertanya. Aku dan kakak angkat dah saling berpandangan. Preity di sebelah aku juga hairan.

“ Kak Dart nak jumpa, dia suruh datang studio art sekarang ni. Datang seorang. Jangan bawa sesiapa.” Jelas dia lagi. Lepas itu dia terus pergi. Tak sempat aku nak bertanya lanjut.

“ Kenapa Kak Dart nak jumpa saya? Kak Dart tu siapa?” Aku bertanya kebingungan pada kakak angkat aku. Aku tengok muka kakak angkat aku terkejut juga.

“ Kak Dart tu senior final year, kiranya dia tu super senior kita semua. Reputasi dia besar. Semua orang tak berani dengan dia. Budak lelaki pun gerun dengan dia. Dia tak duduk hostel kolej. Jarang dia datang kolej kalau tak ada hal. Dia datang pun nak siapkan projek final je.” Panjang lebar kakak angkat aku menerangkan.

“ Abis tu… Kenapa dia nak jumpa Jo?” Aku dah tergagap. Aku pandang Preity. Preity lagi bingung.

“ Pelik juga ya. Mungkin sebab kau ni tomboi macam ni kot. Dia nak kenal-kenal, nak tanya apa-apa.” Kakak angkat aku mengagak. Senior lain mengangguk.

“ Hmm… Saya nak pergi ni.” Aku bangun. Sarung tudung seringkas mungkin.

“ Kau baik-baik tahu. Apa-apahal bagitahu kita orang. Kak Dart tu bukan boleh percaya sangat.” Muka Kakak angkat aku macam berat nak lepaskan aku pergi.


Dalam hujan renyai-renyai. Tanpa payung, aku berjalan dalam gelap menuju ke studio art yang terletak selang beberapa bangunan hostel kolej. Dalam hati berdoa banyak-banyak. Aku tak ada idea. Dalam kepala mula fikir benda-benda mengarut yang akan jadi. 


Tuesday, December 3, 2013

Pengkid dan Stereotaip

Sepanjang tahun ini aku jumpa pelbagai orang.

Aku jumpa rakan-rakan pembaca blog aku. Duduk lepak, borak, dating. Apa sahaja.

Ada juga yang sama chat, berbalas email dan borak-borak di twitter.

Jo Rahim bukanlah misteri orangnya.

Antara soalan yang keluar dan sering jadi pertanyaan adalah.

“ JO, YOU NI PENGKID LAGI KE?”

Soalan ni keluar sebab orang yang bertanya mungkin jadi keliru sebab apa yang kamu dengar, tengok, saksikan dan rasa, lain. Atau orang yang bertanya saja aje nak bertanya. ‘Saja’.  Ada ke?

Lagi-lagi aku ni. Di pejabat bertudung. Pergi kenduri bertudung. Lepak dengan Naruto bertudung, dengan jantan lain tak bertudung. Dengan famili bukan sahaja tak bertudung, bercoli pun aku malas kadang-kadang. Ehem... Geleng kepala.

Aliran stereotaip mengatakan pengkid itu selalunya seorang perempuan yang perangai macam jantan, macho, berambut pendek, berpakaian seperti lelaki, pakai bengkung/binder, merokok, ada girlfriend, berani, agresif, kalau duduk mesti nak terkangkang aje, jalan berkepak, minat bersukan, tak tahu masak, gagah, muka garang, minat kerja-kerja kasar dan lain-lain.

Jadi bila jumpa aku yang berambut pendek, suka pakai jeans dan tshirts lusuh dengan muka tanpa bedak tapi tahu masak, takut hantu, tak ada girlfriend, kuat membebel macam mak cik-mak cik, cepat nangis, suka duduk rumah, jadi kadang-kadang memang akan keluar ayat.

“ Kau ni gaya aje macam jantan, tapi lembik.”

Jangan percaya apa yang kau nampak. Gagahnya aku ni hanya keluar di waktu kecemasan sahaja.

Sebenarnya aku memang menepati hampir separuh stereotaip pengkid tu.

Jenis bila tengok sekali pandang memang akan terdetik dalam hati. Lalu kata.

“Pengkid dia ni.”

Jenis yang akan di pandang dari atas ke bawah kalau nampak masuk ke surau perempuan.

Jenis yang kalau ada bangkai tikus mati aku akan menjadi the chosen one untuk membuangnya.

Jenis yang kalau kau seorang perempuan yang mempunyai keluarga yang alim dan konservertif tidak akan kau berani bawa aku datang rumah dan perkenalkan pada keluarga sebagai kawan baik.

Maka, jawapan untuk soalan tadi.

“ YA, BETUL TU.”

Hah, mengaku aje kan senang. Sensitif konon.
Jadi di penjara mana mahu kau penjarakan aku?

PS : Soalan di atas ini lagi baguslah dari soalan : 
       "So Jo, you ni top ke bottom?"
        Rasa nak penampar.

Wednesday, November 6, 2013

Empat Hari, Empat Biji Tayar dan Empat helai...

Umur aku 31 tahun. Aku seorang anak. Aku juga seorang kakak. Aku adalah adik. Malah aku seorang mak cik. Hidup berdikari aku bermula sepenuhnya sejak aku habis diploma. Mula kerja, punya pendapatan sendiri dan bolehlah sumbangkan sikit-sikit pada keluarga.

Aku selalu pesan pada diri sendiri, kurangkan macho. Sebagai perempuan tak perlulah nak tunjuk gagah sangat. Perempuan itu dah kuat dah. Lembut tapi kuat. Manja tapi melawan.

Jangan pandang rendah pada kekuatan seorang perempuan. Aku yakin kalau perempuan yang nampak ayu, lembut dan sopan itu kalau bertumbuk dengan aku, belum tentu aku boleh menang.

Sebagai apapun, tiada alasan untuk aku tidak jatuh hati pada perempuan. Kecuali agama. Agama masih nombor satu. Jelas.

Panjangnya intro. Ya ampun.

Cuti  tahunan aku berlambak. Kalau boleh, aku nak sahaja infak cuti tersebut kepada rakan-rakan sekerja yang dah punya anak-anak. Tapi tak boleh. Jadi aku ambil juga cuti. Itupun sehari aje. Sambung cuti Awal Muharram. Balik kampung 4 hari. Kak Jen ikut. Bayar tol kongsi.

Hari ke tiga cuti, aku pergi tukar tayar di Bandar T. Bandar kecil yang terletak 20 KM dari kampung kami. Mak tak mahu ikut. Malas nak menunggu-nunggu katanya. Keluarlah aku, Kak Jen dan adik bongsu kami, Jasmin tengah hari itu.

Ini adalah pengalaman menukar tayar kereta buat pertama kali. Budget aku sebiji tayar dalam RM100 hingga RM150. Kami merewang sekitar kedai tayar di Bandar T untuk mencari harga berpatutan. Kak Jen mencadangkan aku gunakan tayar jenama Silverstone, sebab tayar Viva aku sebelum ini pun Silverstone juga. Aku turutkan sahaja.

Muka Kak Jen dah masam mencuka sebab aku tak tawar menawar pun. Aku memang jenis yang malas nak menawar . Berbeza sekali dengan Kak Jen. Beli ubat gigi pun kalau boleh dia nak tawar menawar. Kelebihan Kak Jen di situ ya. Inilah lebih kurang harga yang aku bayar.

4 biji tayar Silverstone baru/Balancing/Alignment : RM500

4 Tube/Tubeless Valve : RM20 (tube tayar aku dah keras, nanti angin mudah keluar kata si pomen)

2 Camber Screw : RM 90 (tayar dah terkangkang sebab asyik masuk lubang, kena pakai camber screw kata si pomen lagi.)

Sebenarnya camber screw tu bila aku google semula, harga dia hanya dalam RM15 hingga RM25 sahaja sebiji. Nampak tak keuntungan yang dikaut oleh tauke tadi. Nak marah pun tak guna sebab siapa suruh tak buat research secukupnya kan. Cis bedebah!

Seterusnya kami ke Mall. Beli bra.

Alkisahnya, aku ni memang segan sikit nak beli bra. Maklumlah, dengan penampilan aku yang sedikit macho ini. Kalau beli bra, mesti mak atau adik-beradik aku temankan. Saiz pun aku sendiri dah ingat-ingat lupa. Selalunya ada aje aku tulis dan letak dalam dompet atau save dalam handphone. Tapi sebab handphone lama aku dah terflush dalam lubang jamban dan aku baru aje tukar dompet. Maka aku memang tak ada klu apa saiz aku. Kak Jen dan Jasmin asyik gelakkan aku. Lantak koranglah.

Aku menghampiri salesgirl di situ.

“ Hai Kak, saya nak beli bra ni. Tapi masalahnya saya pun tak tahu saiz saya berapa.” Aku bebisik-bisik pada salesgirl itu. Manis rupanya. Tingginya lebih kurang macam aku aje.

“ Tak tau saiz ke? Tak ape. Jom ukur.” Kata salesgirl. Dia mengambil pita pengukur.

Aku buka kemeja luar dan mendepangkan tangan. Salesgirl itu mengambil ukuran. Satu kali atas dada dan satu kali di bawah dada. Kak Jen mentertawakan aku lagi. Aku pun buat-buat gelak. Nak cover perasaan segan. Salesgirl tu pun dah gelak sekali.

“ 34 B!” Beritahu salesgirl.

“ Adik, tolong cari bra saiz 34 B untuk akak.” Aku perintahkah Jasmin. Dia menurut aje.

“ Tak paham betul nak beli bra ni…” Aku ngomel.

“ Nak bra macam mana? Yang berbunga-bunga macam ni ke?” Tanya si salesgirl sambil menayang bra dengan corak lace. Aku rasa saja aje dia nak kenakan aku. Berani ya.

“ Akak tengok saya macam ni pakai bra berbunga ke kak? Rasa-rasanya saya pakai bra macam mana? Kesian saya kak.” Aku buat ayat sambil menayang body. Kak Jen gelak terkekek. Langsung tak membantu.

“ Manalah tau kan, selera orang lain-lain.” Dia dah tergelak sakan.

Kami meneruskan pencarian dan sesi testing bra. Mujur ada Jasmin bantu aku. Aku ajak dia masuk sekali dalam fitting room. Harapkan Kak Jen, memang aku pakai bra budak sekolahlah alamatnya.

“34 B ni kira besar ke kecik Dik? Tanya aku pada Jasmin dalam fitting room.

“ Akak ni gemuk, kira oklah 34 B tu. Nak besar mana lagi?” Jawab Jasmin sambil membantu aku. Kurang asam punya adik.

Setelah siap memilih, salesgirl tersebut menulis resit. Aku berdiri depan dia.

“ Kak ni umur berapa?” Aku bertanya. Mataku tertancap pada eyeliner matanya yang sangat rapi.

“ Umur… Hmm… 19.” Katanya.

“ Oh! Mudanya. Saya lagi tualah.” Aku terkejut sikit. Aku ingat umur dia dalam 22-24. Rasa macam tipu aje. Tapi aku tetap senyum. Dia senyum balik. Aku terus pergi ke kaunter bayaran.


“ Ini semua?” Cashier mengira-ngira jumlah. Aku angguk.

“ Stok untuk setahunlah ni.” Gurau dia. Kami sama-sama gelak. Memang banyak pun aku beli. Empat helai.

“ Adik tu betul ke umur dia 19?” Soal aku pada si cashier lalu menunjuk pada salesgirl tadi yang kini sedang melayan seorang mak cik. Untuk memastikan.

“ Yang tu? Ha-ah, 19. Cantikkan dia.” Aik? Lain yang aku tanya. Lain yang dijawab.

“ Awak ni pun cantik. Beli banyak ni tak dapat diskaun ke? Nombor telifon ke?” Sahaja aku mengusik. Kami gelak lagi.

Kak Jen dan Jasmin geleng kepala. 

Dan disebabkan hal bra ni aku rasa belum cukup berdikari lagi.

Friday, October 18, 2013

Hari Jumaat dan Minyak Wangi

Kebaikan seorang pengkid sering menyebabkan kekeliruan sama ada untuk berkawan dengannya ataupun berkahwin dengannya. Kemiangannya pula menyebabkan rasa tidak pasti untuk menerajangnya atau menelanjangkannya  - Kata si pujangga haluan kiri.

Waktu datang bulan adalah masa aku paling fragile. Emosi. Fizikal. Bukan itu sahaja, waktu aku paling miang juga. Kenapa? Aku tahulah, diri aku kan.

Hari ini aku datang bulan. Hari pertama. Hari jumaat.

Sakit? Tak. Belum lagi. Mungkin tengah malam nanti.

Bos perempuan aku ajak temankan dia pergi shopping mall di waktu rehat. Bila aku bicara tentang bos perempuan aku, jangan kau bayangkan perempuan tua kerepot. Bos perempuan umurnya muda dari aku, sudah bercerai dan beranak sorang. Orangnya tinggi dan bergaya.  Aku ikutkan sahaja seperti biasa. Nasib baik pagi tadi aku terniat pakai kemeja flannel. Biasanya aku pakai t-shirt. Kira lawa jugaklah aku dikala ini. Wow, fantastic baby!

Aku temankan dia ke kedai minyak wangi. Kedai itu dipenuhi oleh pelanggan, wanita berkejaya dalam lingkungan umur 24 tahun ke atas. Kebanyakkannya Melayu. Berbaju kurung. Bertudung. Ramah senyuman. Sempurna.

Aku menyelit di tengah ramai itu. Tangan cepat mencapai bekas bulat bertulis  _____ Vanilla. Macam bekas majerin.

“ Yang ni boleh makan ke?” Sengaja aku tanya soalan bodoh itu pada bos. Nak tahu jawapan dia.

“ Hish! Tak boleh. Sapu kat kulitlah.” Jawab dia.

“ Sapu kat kulit, lepas tu makan. Nom…nom…nom” Spontan keluar ayat itu dari mulut aku. Ayat inappropriate yang patutnya aku save untuk bakal buah hati aku nanti. Bos aku duk gelak.

Satu demi satu minyak wangi dan produk kecantikan dicuba si bos. Aku hanya duduk ditepi setelah malu sendiri akibat berkelakuan aneh sebentar tadi. Tak mahu mengganggu wanita-wanita yang sedang memilih produk kesukaan mereka. Anak mata zoom ke sana ke mari memerhati warna-warni di keliling.

Tiba-tiba bos aku panggil. Dia menyuakan pergelangan tangannya, menyuruh aku hidu. Aku turutkan. Satu tarikan nafas pada kulit. Terasa sampai dalam kalbu. Wanginya… Ya Tuhan. Aku cuba menahan darah yang terasa nak keluar dari hidung. Sel-sel miang bergelodak dalam perut. Bos cuba pulak losyen. Dia hulur lagi tangan, suruh aku rasa lembut atau tidak. Aku menyentuh jejari itu sesopan mungkin. Bismillah…  Ya, lembut betul… halus mulus.

Aku minta bakul yang bos pegang, biarlah aku beratur sebab barisan makin panjang. Malas aku nak biarkan diri aku menjadi bahan ujian lagi.

Oh miang… Cepatlah berlalu pergi.


PS : Aktiviti paling syok waktu lapang kala datang bulan ialah google gambar-gambar wedding.

Thursday, October 17, 2013

Tiada Suara


Suara paling kuat adalah suara orang yang punya anak-anak. Suara orang bujang macam aku ini apalah sangat. Tak banyak suara yang aku guna kebelakang ini. Tak banyak sebab pun untuk guna. Salah guna suara buruk padahnya. Di sini tempat aku meluahkan perasaan. Meluahkan idea kecil.

Aku teringin menulis cerita romantik sci-fi. Pasal robot jantina betina mempunyai ciri-ciri Artificial Intelligence juga gagah dan berbulu mata lentik. Robot yang mengembara dari semesta ke semesta untuk mengumpul data. Lalu jatuh cinta pada seorang DJ radio yang bersiaran waktu tengah malam. Masa itu aku selitkan Lagu Yuna, Terukir di Bintang. Cium.

Konflik melanda di mana tiada logiknya perkahwinan antara robot dan manusia. DJ Radio dipenjarakan di sebuah pulau rahsia yang tidak mampu ditembus mana-mana satelit oleh pihak tentera. Robot yang kecewa tidak dapat bertemu si kekasih merembeskan spora virus di mana alam menjadi bisu. Tiada deria suara. Tiada deria bunyi. Tamat tanpa happy ending.

Realiti kejam dengan bijaksananya. Itu menerangkan betapa riangnya Kak Jen yang hampir empat purnama tak datang bulan, akhirnya tiba juga. Lalu dia bercakap tidak henti-henti pasal itu selama empat hari.

Perasaan angau cinta pernah membuat aku tidak lalu makan. Menyebabkan si Dia terpaksa menyuap setiap butir nasi, sambil memujuk aku dengan gelak. Terbayang wajah si Dia di setiap helai Ringgit Malaysia yang dikira setiap kali aku tutup kaunter. Melayan setiap customer dengan sopan dalam ingatan bagaimana kalau customer itu ada hubung kait dengan si Dia, famili… kawan mungkin. Sehingga aku menjadi staff terbaik beberapa kali. Menimbulkan kemarahan separuh staff yang mahukan Kak Jen sebagai pemenang. Ah, Kak Jen memang sentiasa hebat dari aku. Itu politik. Tapi ini cinta. Cinta selalu menang. Jadi menanglah cinta si Dia bila si Dia jatuh cinta dengan orang lain. Maka aku tidak mahu sesekali menjadi watak ketiga. Biar, aku biarkan.

Kini bila aku sedang bekerja. Mencipta gambar menjadi realiti supaya nanti anda boleh tidur dan bermimpi. Mencari ilham, klik pada gambar demi gambar. Mata aku terpampan gambar seorang gadis rambut merah, dengan butiran freckles di pipinya. Cantik persis Ariel si duyung.  Aku klik lagi dan mencari nama si pemilik wajah mulus itu. Oh, Elle Alexandra. Satu klik. B O O M ! Girl crush aku rupanya bintang porno sensasi. Tangan aku menggigil di bar-bar keyboard. Antara syurga dengan neraka.

Tugas untuk kamu  yang sudah habis jawab SPM. Ada 3 cerita detail dalam karangan di atas. Bincangkan di waktu senggang.

1.       Robot betina dan Dj Radio

2.       Angau Cinta VS Politik Kerja

3.       Girl Crush ku si Bintang Porno

 Pergi jauh-jauh, dan jangan ganggu aku di waktu bekerja.

Monday, September 23, 2013

Tahu juga akhirnya.

Masa aku tanya Honey apa salah aku menyebabkan kami putus. Salah satu antara jawapannya adalah, tidak semua hal yang berlaku adalah mengenai diri aku. Masa itu aku baru aku terfikir yang dunia kami ini bukan berlegar keliling aku sahaja. Honey sudah pasti ada cerita dia sendiri. Aku berhenti berfikir secara selfish buat pertama kalinya.

Entah kemabukkan apa malam itu, sedang aku chat dengan Nunu, aku buat pengakuan yang aku crush pada dia dah lama. Tapi dia masih menganggap aku berlawak. Jadi aku biarkan sahaja.

Kami chat lagi sehari dua lepas itu. Tentang rakan kami yang bercerita tentang kisah silam dia. Katanya aku dan seorang rakan sahaja yang tidak tahu. Rakan lain tahu. Nunu pun tahu. Lalu aku bertanya hal itu pada Nunu. Kata Nunu betul, dan atas permintaan rakan itu, dia merahsiakannya.

Lalu sekali lagi aku tekankan soal pengakuan aku itu pada dia. Dia asyik gelak, sehinggalah aku bagitahu yang kakak aku, adik aku, malah beberapa kawan yang rapat dengan aku pun tahu yang aku crush pada dia.

“Cuba bagi reason, asal Jo crush kat Nunu ?,” Tanya dia.

“Entah, sebab Nunu yang Nunu tu kot,” Malas betul aku nak jawab. Bukan ada alasan kukuh pun.

Dia tak puas hati, dia tanya lagi. Dia cuba korek lagi. Classic Nunu.

“ Jo suka ketawa Nunu, cara Nunu cerita, cara Nunu bossy, suara Nunu yang macam nak nangis tu. I love your smell sometimes… Your hair. OMG, dah…dah..” Aku luahkan. Malu woi.

Dia gelak terus. Masih lagi anggap aku berlawak.

“ Nunu sayang Jo jugak. Tapi Nunu straight Jo, Kalau Nunu bengkok mesti balas cinta Jo.” Dia membalas dalam tawa.

“ Jo pun tak nak camtu, Jo cool aje.” Aku menerangkan.

“ Jo bisexual ke? Seriously.” Ayat dia mula menampakkan keseriusan.

“ Nunu rasa? Apa yang Nunu rasa pasal Jo. Cuba Nunu cerita.” Aku tanya dia semula.

“ Nunu rasa apa yang cakap ni Jo saje buat kelakar. Nunu tahu Jo sayang Naruto, and Nunu rasa Jo sayang Nunu macam kakak sayang adik je.” Dia menjelaskan.

“ Nunu tengok Jo la. First impressions?” Aku tanya lagi. Biar dia sendiri bagitahu apa yang dia fikir.

“ Pengkid, tapi bila dah kenal taulah Jo macam mana.” Dia memberitahu apa yang dia rasa.

“ Yang mula-mula tu dah betul.” Aku jawab.

Lalu pelahan-lahan aku ceritakan secara ringkas pasal aku, pasal dia, pasal hal lama-lama. Sepanjang chat memang kami gelak ajelah. Terutamanya bila flashback balik. Part mana yang dia patutnya dah boleh perasan dah yang aku crush pada dia.

Bila aku tanya, dia tak rasa kekok, pelik atau tak suka dengan pengakuan aku ini. Kata Nunu semua orang ada cerita masing-masing.

Aku rasa lega sikit. Lega dapat bagitahu, lega tak payah nak simpan.

Dan kami masih kawan. Masih boleh nak buat lawak 18sx.

Wednesday, September 11, 2013

Cerita Dalam Kereta

Rindu pada Nunu mengingatkan aku betapa dia suka gelakkan pronunciation bahasa mat saleh aku yang tidak pernah tepat. Memang lawak pun kalau dengar. Dia rasa itu lucu. Aku pun. Lucu bodoh.

Jangan risau, mat saleh paham apa yang aku cakap. Bila berkaraoke pun jangan harap aku nak nyanyi lagu Melayu sangat. Mesti pilih lagu-lagu mat saleh. Terutamanya lagu mat saleh yang ada part kena rapping tu. Aku berani aje karaoke lagu Party Rock Anthem. Memang ketara hampeh, tergeliat lidah dibuatnya.

Lain sekali dengan Bond. Bond pandai cakap mat saleh dan dia tak karaoke.

Aku, Bond dan Liza, housemate Bond di dalam satu kereta. Aku pandu atas jalan raya sekitar Lembah Klang yang lubang sana sini demi menyiapkan projek MRT dari  Sungai Buloh ke Kajang. Khabarnya siap sepenuhnya pada tahun 2017. 

Bond bersandar di sebelah. Liza pula sibuk ‘camwhore’ dengan Samsung Galaxy Notenya di tempat duduk belakang. Liza ni bukan lesbian, chubby dan cute, macam Rebel Wilson.

“ Aku dengar kau ada girlfriend baru. Tak bagitahu aku pun.” Aku menegur Bond di sebelah.

“ Habis tu, mana kau tau? ” Soal Bond, cepat.

“ Kak Jen bagitau.” Aku sengih.

“ Mana Kak Jen tau?” Soal Bond lagi, kali ini lagi cepat.

“ Dia stalk facebook kau.” Jujur jawapan aku. Mata Bond membulat. Lalu kami gelak macam setan.

“ Tapi, kitaorang dah putus pun. Tak serasi. Macam-macam sebablah.” Bond menjelaskan.

“ Iye ke? Tak sempatlah aku nak jumpa budaknya, Kak Jen cakap seksi ya amat.” Sengaja aku usik Bond.

“ Hahaha! Bolehlah.” Bond gelak lagi.

“ Tapi, for the first place tu, kenapa kau couple dengan dia kalau memang tak serasi?” Soal aku, ingin tahu dan cuba menguji minda Bond.

“ Kita orang dah lama kenal, chat dalam FB.” Bond cuba menjelaskan.

“ Aku ni pun kau dah lama kenal, Liza ni pun kau dah lama kenal. Kenapa tak couple aje dengan aku ke, Liza ke. Betul tak Liza?” Aku saja je bahan Bond sambil cuba mendapatkan sokongan Liza.

“ Betul! Aku ni ada, Jo pun ada. Kau boleh aje ajak kita orang couple. Hahaha!” Liza dah tergelak.

“ Bongoklah korang.” Bond gelak jugak. 

Dan aku tak sabar nak tunggu siapalah bakal jadi awek Bond seterusnya.


Tak. Sabar.



Tuesday, August 27, 2013

Sebelum Raya

Hari minggu terakhir sebelum raya, aku berkunjung ke rumah Honey. Semuanya secara kebetulan.

Bila aku sampai di kawasan rumah, aku lihat Honey dan anaknya sedang bermain di luar. Dada aku dah berdegup kencang. Entah kenapa aku rasa ngeri. Rasa nak patah balik pun ada. Rasa nak lari. Ah, penakut Jo. Penakut macam selalu.

Honey jemput aku masuk ke rumah, Mr Honey keluar dari pintu rumah mereka. Itulah pertama kali aku lihat Mr Honey. Orangnya berkulit sawo matang. Sederhana.

Mereka menjemput aku duduk. Aku duduk berhadapan. Aku berborak-borak dengan Honey. Tentang khabar ahli keluarga dia yang lama aku tak jumpa. Borak tentang dia, tentang sebab muhasabab dia berhenti daripada menjadi pegawai kerajaan. Katanya bidang kerja itu makin tidak sesuai dengan dirinya. Kerjanya makin perlu bersosial. Bercampur-gaul. Kadang-kala berdansa. Aku tidak terkejut pun. Yang aku terkejut adalah pada asalnya dia menerima tawaran bekerja dengan kerajaan. Aku tahu dulu betapa rebelnya Honey. Betapa dia akan lantang menyuarakan perkara yang dia tidak suka.

 “ Rambut makin GQ , menyampah pulak tengok.” Dalam berborak itu. Honey sempat melaser.

“ Janganlah menyampah.” Aku cepat membetulkan rambut yang baru dipotong beberapa hari lepas.

Mr Honey sekejap ke dapur, sekejap ke depan. Anak mereka, elok sahaja bermain. Nampak tak nakal. Baik aje dengar cakap mak dia. Suara Honey lembut sahaja dengan anak dia. Aku masih terasa bagai mimpi yang Honey kini menjadi ibu. Tapi semua nampak elok. Selamba aje dia breastfeeding anak dia depan aku. Ya Allah. Aku puasa. Aku tampar muka aku sendiri di dalam hati.

“ Mr Honey masak laksa untuk berbuka.” Jelas Honey. 

Dia bercerita bahawa Mr Honeylah yang menjalankan tugas memasak dalam keluarga kecil mereka. Yang itupun aku tidak terkejut sebab aku tahu dari dulu Honey bukan jenis yang suka hendak masak.

Kami borak lagi. Pasal raya. Kata Honey, tahun ini, raya pertama adalah di rumah keluarga mentua. Sebenarnya Mr Honey sudah pun mula bercuti. Tapi sengaja mereka lambat balik. Keluarga mentuanya tidak berapa sukakannya. Dia bukanlah menantu pilihan. Mereka lebih suka ex-girlfriend Mr Honey dulu. Lagipun perihal Honey pernah jadi lesbian diketahui mereka. Adalah banyak faktor lain lagi. Terasa hati aku sedih di situ.

Ada beberapa hal lagi yang kami cerita. Topik tidak banyak, malah agak perlahan. Aku rasa ada banyak yang Honey hendak kata pada aku. Entah betul atau tidak apa yang aku baca dari minda dia dan apa yang dia baca dari minda aku. Hanya kami yang tahu.

Sempat aku bagi angpau untuk anak dia. Honey berlawak, mana angpau untuk dia. Kenapalah banyak sangat lawak ini aku terima di musim raya. Limau masam betul.

Aku minta diri. Meninggalkan rumah teres setingkat yang disewa mereka. Anak mereka aku peluk kuat-kuat sebelum pergi. Wajah dia ada campuran Honey dan Mr Honey. Dagu runcing macam Honey. Harap bila dewasa menjadi lelaki yang bijak dan baik hati seperti emaknya.

Ada rasa ingin mengalir air mata. Ada rasa pilu. Rasa ada kebahagian hidup rumah tangga dia itu. Aku harap Honey menghargai kasih sayang Mr Honey, yang terima dia seadanya. Juga harap Mr Honey menyayangi Honey sebagai isteri buat selamanya. Membahagiakan Honey yang nampak mudah tapi rumit orangnya itu.


Aku cuma harap Honey menulis kembali. Aku mahu membacanya. Itu sahaja hak yang aku ada.




Saturday, August 24, 2013

Kebenaran dan Tweet.

Saat kebenaran adalah dimana
kau sedang baring atas katil dan
tiba-tiba kau bangun menulis. Guna pen.

Aku suka tweets kamu.
Aku rasa tweets kamu educational, menghiburkan
dan comel.

Kadang-kala aku reply.
Kadang-kala aku tweet kamu.

Ya betul.
Aku baca hampir semua tweets kamu.
Aku suka bahasa kamu.
Entah-entah aku suka kamu.
Mana aku tahu. Aku tak pernah jumpa kamu.

Patutkah kita berkawan?
Aku rasa ragu pada diri aku. Niat aku selalu
serong. Jadi biarlah.

Aku bukan suka berkawan sangatpun.
Aku suka membaca.
Jadi macam itulah...

-Jo Rahim-

Thursday, August 22, 2013

Bila Sesat Jalan

Cerita ni berlaku di Shah Alam. Cerita ni dah lama. Lama sampai aku tak ingat sangat detail dia. Entah macammana aku teringat semula. Mungkin sebab aku rasa gadis Shah Alam cantik level 10.

Kehidupan seharian aku sebagai pemandu yang membosankan hanyalah, balik kerja-pergi kerja. Hujung minggu pergi rumah Kak Jen, tak pun balik kampung. Mana ada aku nak memandu saja-saja. Buang masa. Buang minyak. Aku kan insan bekerjaya yang suka bekerja. Jadi amat ketara lorong-lorong dan jalan raya sekitar Selangor ni aku memang tak lepas.

Tapi, aku seorang pemandu kereta yang gamble. Gamble dalam erti kata, walaupun tempat tu aku tak tahu, aku boleh aje nak pergi. Bagi aku, selagi masih dalam negara Malaysia. Sesat-sesat itu biasalah. Tiada apa yang perlu ditakutkan. Kalau lapar, 7 Eleven kan banyak. Ada kawan menasihatkan aku beli GPS. Aku gelak aje.

Aku pergi Shah Alam. Sorang-sorang. Aku pun tak ingat aku pergi sebab apa. Mungkin sebab nak pergi jumpa orang. Atau kena pergi survey tempat temuduga untuk adik aku.

Orang yang biasa di Shah Alam, akan cakap. “ Eleh, jalan Shah Alam tu senang sangat.”

Senang sangat…Cis.

Bagi aku tidak. Selepas pusing sana. Pusing sini. Pusing roundabout, masuk tol sana sini dua tiga kali. Jumpa balik jalan yang sama. Masa ni aku menyesal pulak duk gelak masa kawan aku suruh beli GPS.

Akhirnya aku putus asa. Aku susur masuk ke Giant Shah Alam. Dengan niat, menenangkan hati dengan makan pizza. Tapi aku nampak satu kereta ni, elok aje di tepi jalan. Nampak macam ada orang dalam dia. Proton Satria Neo ke tak silap aku, modified. Cantik. Aku kira-kira, kalau kereta bikin macam ini, pemilik dia mesti anak-anak muda Shah Alam. Nombor plate Selangor pulak tu. Mesti tahu jalan.

Aku parking Viva belakang kereta itu. Lalu keluar dan mengetuk cermin tingkap. Maka keluar seorang gadis melayu berbaju kebaya longgar. Rambut lepas. Subhanallah. Lawanya.

Aku menjelaskan situasi aku pada gadis tersebut, bertanya arah kepadanya. Dia menjelaskan sedikit sebanyak. Tiba-tiba pintu kereta sebelah pemandu pula terbuka. Keluar pengkid berwajah manis senyum pada aku. Aku terkedu. Siap blushing lagi. Rawak betul. MEMANG KEKOK SEBENARNYA KALAU PENGKID TERJUMPA PENGKID. Dia menjelaskan pula arah jalan pada aku. Aku tak tahan nak gelak. Dia pun sama. Masing-masing cuba control macho sambil cover senyum.

Masa tu mulut cabul aku nak aje tanya.

“ Ni awek kau ke? Cantik. Pandai kau cari.”

Tapi tak keluar walau sezarah gema.

Aku usha jugak dalam kereta tu. Ada dua orang gadis di tempat duduk belakang. Dua-dua pun super lawa. Pakai tudung. Senyum lambai aku. Aku lambai balik.

Lepas ucap terima kasih dan salam-salam sikit, aku pandu semula Viva ke arah yang di berikan. Sambil menyanyi riang. Pizza pun aku dah lupa. Aku jumpa tempat aku nak pergi. Sampai sekarang aku masih tak guna GPS.

PS: Giant Shah Alam ada Pizza ke?

Thursday, August 1, 2013

Kita yang Jatuh Cinta.

Imbas kembali beberapa tahun lepas.

“ Jo…” Honey di sebelah aku bersuara lembut tapi jelas. Nada ingin membicarakan sesuatu.

“ Hmmm…” Aku balas pelahan. Menanti.

“ Awak tahu tak saya layan awak macam boy saya, bukan girl saya.” Kata Honey.

Aku senyap. Cuba memahami apa sebenarnya maksud kata-kata Honey.

“ Cara saya bercakap, senyum, mintak yang bukan-bukan pada awak dengan rasa bahawa awak boy saya.” Honey peluk lengan aku. Harum bau dia. Berdenyut jantung aku. Aku hanya mampu senyum. Senyum tak faham.

“ Tapi semakin hari, saya selalu rasa awak lain. Cara awak pandang saya, balas kata-kata saya. Respon kelakuan saya. Cara awak marah. Cara awak layan orang. Boys lain. Diaorang kukuh. Kuat. Saya tahu apa rasanya bila boys yang nak saya tu. Ego diaorang tu. Malah cara awak pegang barang pun tak sama dengan boys. Diaorang akan pegang barang macam ni, tapi awak pegang barang macam ni.” Honey menjelaskan panjang lebar sambil tangannya mengajuk cara aku.

“ Jadi saya ni boy ke girl bagi awak?” Aku bertanya keliru.

“ Awak Cik Jo, untuk Cik Honey.” Honey gelak. Comel.

Aku cepat-cepat bagi isyarat, mintak satu ciuman di pipi. Dapat dua. Tak pernah tolak.

Itu Honey yang tak pernah mintak untuk jatuh cinta dengan aku. Tapi dia bercinta dengan aku. Dengan beraninya. Sikit pun dia tak sorok.

Alhamdullilah, dah anak sorang pun Honey sekarang. Pakai tudung labuh. Untung suami dia.

Masa kini.

Aku chat dengan seorang rakan. Aku namakannya Faith. Dia sedang in-relationship dengan seorang pengkid. Pengkid dia aku namakan Angel. ( Ya! Macam watak cerita Buffy the Vampire Slayer)

Aku tanya Faith, selain Angel tak ada girls/pengkid lain ke yang dia rasa tertarik. Katanya tidak dan tambahnya lagi biasalah kalau orang perempuan cakap perempuan lain cantik. Tapi dia memang tak ada perasaan pada mana-mana girls selain Angel.

Aku faham penjelasan dia. Dia tanya apa yang aku faham. Aku katalah yang aku faham Faith hanya gay untuk Angel sahaja.  Jadi Angel adalah only exception untuk Faith. Macam Honey yang hanya gay untuk Jo. Jatuh cinta sebab individu itu bukan atas dasar gender atau apa.

Konsep dia sama aje macam bila ada seorang mamat Melayu ni tak suka dengan orang Bangladesh. Tapi entah macam mana dia boleh tangkap cintan dengan awek Bangladesh yang baik budi bahasa dan se-cun Priyanka Chopra. Awek Bangladesh inilah dia punya only exception.

Jadi tak mustahil kalau aku yang macam ini boleh jatuh hati dengan seorang lelaki satu hari nanti dan go straight hanya untuk dia seorang.

Ada harapan lagi ni. (Ketawa dalam gelap) 

PS : RESUME- Aku tahu masak kari bang...



Luahan Hati Gadis Gendut.



Sebenarnya aku bukanlah gendut sangat. Tapi bila semua adik-beradik aku bersaiz zero, automatik bila ambik gambar raya, akulah yang nampak paling gendut.

Maka misi aku di hari raya tahun ini.
  •  Makan secara sihat.
  • Kurangkan berada di depan kamera. Jadi jurugambar sahaja.
  • Lebihkan aktiviti mengeluarkan peluh bersama anak sedara.
  • Masak sedap-sedap dan bagi makan pada semua yang saiz zero tu supaya jadi saiz aku.
Peace Out,
Si Gendut

Monday, July 22, 2013

Tujuh ayat.

Beberapa bulan yang lepas, setelah tamatnya musim sibuk dengan kerja, aku cuba hubungi Naruto. Tapi tak dapat. Telifon tak angkat. SMS tak dibalas. Lama juga berlarutan macam ini. Beberapa minggu. Perasaan paranoid aku mula syak benda mengarut. Mungkinkah dia sudah menjadi jutawan, lalu tidak sudi lagi menjadi kawan aku. Enggang sama enggang. Konon.

Di satu petang yang panas. Setelah beberapa kali cubaan. Naruto menjawab. Ya! Akhirnya!

Bila aku tanyakan kenapa susah sangat nak cari dia, dia pula memberi alasan, panjang ceritanya. Maka aku suruh pendekkan cerita. Guna lima ayat sahaja.

“ Kita berdua ni tak ada arah tujuan.” Kata Naruto. Dia guna tujuh ayat.

“ Nak berkawan kena ada tujuan jugak ke?” Bantah aku. Geram pun ada.

Naruto cuma gelak, cuba cover perasaan dia.

“ Awak merajuk dengan saya ya? Last time itu hari saya berkasar dengan awak.” Aku tanya lagi.

“ Tahu pun…” Naruto gelak lagi.

“ Maaflah, saya memang macam tu.. Selalu aje cakap kasar dengan awak. Selalu sibuk.” Sedih pulak aku rasa buat Naruto macam ini.

“ Eh! Tak ada apalah… Saya tak marah pun.” Naruto berkata manis.

“ Maaf tau. Tapi macammana ya awak tahan diri tak angkat call saya banyak kali? Kalau saya memang tak bolehlah. Mesti nak angkat jugak.” Aku cuba berlawak.

“ Mana ada banyak kali, baru tiga kali.” Naruto cuba menafikan. Biasalah lelaki, tak nak kalah.

“ Tolong Naruto,  jangan buat macam ni lagi, saya ingat awak dah mati ke apa. Kalau awak call, tak kiralah saya sibuk ke. Saya marah ke, saya tengah tidur ke, saya tengah mandi sekalipun, saya angkat aje telifon. Awak tetap dengar aje suara saya ni walaupun suara marah.” Aku membebel penuh drama.

“ Iyelah.” Balas Naruto ringkas. Nyata dia masih merajuk.

“ Maaflah. Kita jadilah kawan baik ya. Jangan sayang saya banyak sangat. Nanti awak sedih. Telifon ajelah kalau rasa nak borak. Saya salah. Saya selalu marah. Masa akan datang mungkin saya akan sakitkan hati awak lagi. Tapi kita tetap kawan kan.” Aku bersuara lembut.

Sampai hari ini aku sms dia selalu. Harap dia tahu aku ikhlas.

Sebab, sebagai kawan tu kami memang dua orang yang bagus. Saling nasihat-menasihati.

Aku paranoid. Teruk.

Naruto merajuk. Buruk.


PS : Kak Jen baru beli Samsung Note 2. Tapi tak tau nak guna. Anak nyet!

Saturday, July 20, 2013

Jo Melukis: Satu permulaan.

Kadang-kala kelakar terlalu dipuji.

Kelakar sudah tidak kelakar lagi.

Malah kelakar juga punya perasaan sedih.

Kelakar patut ditampar, dua kali kiri dan dua kali kanan.

Dan perkara yang patut disyukuri adalah dua hari cuti di hujung minggu.

Dulu masa cikgu tanya pasal cita-cita, aku jawab nak jadi ahli arkeologi, akibat terpengaruh dengan siri National Geographic pasal dinosaur. Menyebut dinosaur pun aku tak pass. Di-no-sor? Dai-no-sor? Dei-no-sor? Cis!

Cita-cita tipikal aku dari kecik adalah menjadi penulis dan lukis kartun/komik. Itulah yang aku tulis dalam rekod sekolah setiap tahun.Sejarah melukis aku sama aje tragedinya dengan kisah hidup aku. Ada pahit ada manis. Tapi mari kita mulakan di sini.

Minat melukis timbul bila aku dan Kak Jen selalu curi-curi masuk bilik Abang Long kami di tingkat atas. Dalam bilik dia ada poster jeans levi's, poster kumpulan Search, Kumpulan Wings, Ella and The Boys. Tak ada katil, cuma tilam saiz queen tanpa cadar.  Ada meja tulis. Buku skrap dia yang penuh lukisan dan lirik lagu rock. Ada almari plastik yang dibawahnya tersorok novel-novel erotik dari Indonesia. 

Paling best adalah stok majalah Gila-Gila. Masa itu Abang Long habis sekolah asrama dan kerja kilang di pekan berdekatan rumah. Bagi aku, Abang Long adalah manusia paling cool pada masa itu. Bilik dia bagai syurga sebab semua cool stuff ada dalam tu.

Siri yang aku suka dalam majalah Gila-Gila masa tu adalah, Aku Budak Minang dan Tiga Dara Pingitan.

Kalau kami lepak dalam bilik Abang Long, kami tak akan tinggalkan jejak. Semua yang kami usik akan kami letak ikut keadaan asal. Kalau pensil atas meja senget 45 darjah, maka ia akan kembali 45 darjah. Sebab, kalau Abang Long tau, memang kena terajanglah alamatnya.Tapi, jangan risau, kami tak pernah kantoi.

Aku minat melukis bila aku tengok buku skrap Abang Long. Abang Long pandai lukis. Tulisan dia pun cantik. Jadi aku dan Kak Jen mula melukis guna buku tulis sekolah kami. Seperti biasa, Kak Jen memang lagi terer dari aku. Semua benda dan semua perkara. Main getah, main dam, batu seremban, tuju selipar, bola beracun. Namakan sahaja. Mengaji pun macam tu. Cepat aje kalih surah. Suara Kak Jen boleh tahan sedapnya. Kak Jen ni kira hero habislah. Walaupun kecik, dia memang digeruni di kawasan kampung kami.

Tulisan aku macam cakar ayam sahaja. Lukisan pun sama. Masa aku terkial-kial nak lukis bentuk muka orang, Kak Jen pulak dah boleh lukis satu badan. Tapi aku tak mengalah aku teruskan walau terkial-kial.

Sementara Kak Jen sibuk main dan jadi hero, aku lebih suka baca buku dan tangkap anak ayam. Dah habis buku Abang Long aku baca, aku pinjam pulak buku Abang Long kawan baik aku. Kami berjiran. Waktu cuti, pagi-pagi lagi aku akan bagi isyarat dan baling batu di tingkap bilik. Dia akan baling buku Abang Long dia dan aku akan baca di buaian bawah rumah. Semua buku dewasa. Tebal-tebal. Sastera. Tajuk-tajuk dia pun aku tak ingat. Masa itu banyak juga buku dari Indonesia. Otak budak aku pun tak berapa faham. Tapi baca buku seronok. Rasa berada di dunia lain.

Kalau balik kampung emak, Aku dan Kak Jen selalu layan komik-komik alih bahasa dari Hong Kong milik Pak Su kami. Ada berkotak-kotak. Beratus-ratus siri. Isinya penuh unsur ganas, kuasa mistik, kepahlawanan dan advanture. Gaya lukisan detail dan berwarna-warni ini menjadi kesukaan aku masa itu.

Bila Kak Jen masuk asrama masa sekolah menengah lukisan dia makin cantik. Kami selalu bandingkan lukisan kami.

Aku lukis tak kira tempat. Di dinding rumah. Almari. Atas badan aku dan atas badan adik aku. Aku juga dah pandai buat mini komik sendiri masa tu. Pakai ballpen aje. Adalah sampai 4 buku.

Masalahnya ayah aku tak suka aku melukis. Bila dia nampak aku melukis mesti kena marah. Semua komik yang aku lukis kena bakar bila ayah aku kemas rumah satu hari tu. Yang selamat cuma tinggal satu aje itupun sebab Kak Jen dah cilok senyap-senyap.  

Aku andaikan ayah aku tak suka banyak benda, kami gelak pun kena marah, kami berpantun pun kena marah. Dekat rumah kena disiplin. Kena belajar aje. Tapi bila ayah kerja jauh, berminggu tak baik. Masa tu aku rasa bebas, nak lukis, main, panjat pokok, main gelonsor atas bukit. Senja baru nak balik rumah.


Bersambung…

Tuesday, July 9, 2013

Dejavu? Tentang Perempuan.

Perempuan yang suka melayan kerenah perempuan. Ada ke jenis perempuan macam tu? Kalau ada, bungkus satu!

Kalau couple perempuan dengan perempuan antara kelebihan dia kau boleh pergi ke rumah masing-masing, bila-bila masa. Tengah-tengah malam pun tak apa. Tak ada jiran-jiran yang akan pergi panggil JAKIM. Mak bapak pun tak syak sangat kalau korang berdua lepak dalam bilik lama-lama. Paling kuat pun mak bapak akan anggap korang berdua ni kawan baik yang macam belangkas. 

Kalau nak kelebihan lain sila bernikah segera.

Kadang kala aku borak jugak dengan Kak Jen tentang hubungan dia dengan ex-girlfriend dia dulu, Kak Cida. Borak-borak ini selalu berlaku dalam kereta. Ketika aku sedang memandu.

“Macammana kau layan mak atau ayah Kak Cida dulu kak? Apa kau buat bila lepak rumah diaorang? Kau rasa diaorang tau ke kau dengan Kak Cida ni ada hubungan romantik?” Soal aku pada Kak Jen. Ingin tahu.

“ Uish! Aku dulu teruk. Kalau lepak rumah Kak Cida mesti bangun lambat. Pukul 10 ke atas baru bangun. Lepas tu kalau bangun, tak tolong apa pun. Tau-tau makan aje. Lepas tu mesra-mesra pulak dengan Kak Cida depan mak bapak dia. Banyak kali jugak mak bapak dia tak bagi aku datang rumah diaorang. Halau aku. Tapi aku pergi jugak. Peduli apa aku masa tu. Aku rasa mak bapak Kak Cida memang tak suka aku sangat. Tapi aku rasa adik-adik dia suka aku.” Cerita Kak Jen sambil ketawa jahat.

“ Aku rasa adik-adik dia tu berlakon je kot suka kat kau. Tapi, lain betul kita ni kak. Aku dulu kalau lepak rumah Honey. Bangun awal. Tolong mak dia masak. Borak dengan ayah dia tentang macam-macam. Tolong basuh baju, sidai kain pun. Bila datang rumah dia mesti bawa buah tangan. Buatkan mak dia kek coklatlah. Tolong masa kenduri rumah dia. Honey pernah cakap, ayah dia tak pernah nak borak topik yang dia borak dengan aku pada orang lain.” Aku jelaskan pada Kak Jen pasal aku pulak.

“ Kau memang kuli.” Kak Jen gelakkan aku. Cis.

“ Mak bapak aku pesan kena buat baik dengan orang tua.” Aku membulat mata pada Kak Jen.

“ Mak bapak aku tak pesan pun.” Kak Jen lawan membulat mata balik.

“ Bongok! Mak bapak korang kan sama.” Sampuk adik kami, Jiji dari belakang. Kawan serumah Jiji di sebelah hanya menggelengkan kepala.

Kami gelak kuat-kuat. Inside joke.

Ingat senang ke nak ambik hati mak bapak orang lain. Tak kisahlah mak bapak mentua ke. Mak bapak girlfriend ke.

Kawan-kawan aku perempuan. Sebenarnya aku tak ada kawan lelaki. Kalau tolak lelaki bernama Nobita dan lelaki kat office aku tu. Memang tak ada kawan lelaki. Kalau godam telefon Nokia 1280 aku tu memang kau tak jumpa nombor kawan lelaki selain famili dan hal kerja. WHAT?

Maka dengan rasminya aku tak bolehlah nak buat ayat yang selalu gadis-gadis yang punya ramai kawan lelaki buat iaitu.

“Kawan I kebanyakannya lelaki. Kawan dengan lelaki lagi best dari kawan dengan perempuan tau. Kawan dengan lelaki senang nak mintak tolong. Dia orang tak kisah. Tak cepat emo. Bla…Bla…Bla…”

No Komen.

Walaupun kawan aku hampir semuanya perempuan. Sepanjang hidup aku ni ramai aje lelaki yang luahkan pasal perempuan pada aku. Ada yang kelakar, sedih, merepek, menghina dan lain-lain. Ada yang mintak tips. Cerita hal-hal dalam seluar pun banyak. Aku dengar ajelah. Macam biasa, mana-mana boleh nasihat. Nasihatkan. 

Susah sebenarnya nak layan kerenah perempuan. Macam-macam fi’il. Aku yang perempuan ni pening-pening juga dibuatnya. Nak layan mak, kakak, adik, bos perempuan dan kawan-kawan. Kadang-kala marah. Kadang-kala nak tergelak dibuatnya. Tanpa diaorang hidup aku memanglah sangat sunyi.


Apa yang aku merepek. Aku syak aku rindu Kak Jen.

PS : Masa tulis ni aku rasa macam dejavu, Macam dah pernah tulis. Kalau iya, nasib koranglah baca benda sama. Lol.

Monday, July 8, 2013

Tulislah Surat

Cerita ini tidak comel. Sila bersedia dari segi mental.

Ada bahagian tentang diri aku yang aku rasa tidak patut aku kongsi dan ceritakan. Tapi, bila aku fikirkan ianya mungkin akan membawa kebaikan kepada yang membacanya, maka catatan ini aku tulis. Aku harap catatan ini buat peringatan untuk diri aku sendiri dan sesiapa yang singgah baca.

Masa muda-muda dulu ada masanya aku tak boleh kawal marah. Bila aku marah, mesti aku mengamuk.

Joni, panas baran. Cakap dia aje yang betul. Tak boleh kena sikit. Mesti nak maki.

Masa itu aku salahkan ayah. Aku rasa ayah manjakan dia lebih sikit dari kecik sebab tu dia agak besar kepala.

Beza umur aku dan adik lelaki aku si Joni tu hanya dua tahun. Kami memang tak pernah boleh get along. Gaduh aje memanjang. Sikit hal pun boleh buat kami bergaduh atau bertumbuk, tak ada sesiapa yang berani campur tangan. Sebab kami akan gaduh sampai berdarah. Kepala hantuk kat dinding. Baling penyapu. Pakai kayu. Kadang-kadang parang pun ada.

Sehinggalah satu masa tu, aku baru aje habis SPM. Kami gaduh. Hal kecik aje mulanya. Dia jenis yang tak suka orang kalih siaran TV. Aku pula, pantang aje iklan mesti nak kalih TV. Dia marah. Aku marah balik. Aku baling bantal. Provok dia. Dia datang tumbuk aku. Aku balas. Dia pukul balik. Teruk aku kena. Spek sampai patah. Darah mengalir dari tepi mata. 

Pergaduhan hanya berhenti lepas ayah masuk campur. Dia kena tampar dengan ayah. Masa tu aku nangis dan jerit yang aku tak akan bercakap dengan dia lagi. Kalau dia kahwin, bini dia pun aku tak akan salam. Semua orang terkedu. Ayah yang garang tu pun senyap. Aku lari ke hutan kecil belakang rumah. Nangis sepanjang petang dan malam. Sakit, sedih dan dendam. Hati aku untuk sayang Joni, hilang begitu sahaja. Adik-adik pun tak berani datang pujuk.

10 tahun…Mungkin lebih, kami tak bercakap. Kami boleh makan semeja dan baring sebelah menyebelah. Hingga dia kahwin. Hubungan kami zero. Tiada sesiapa dalam keluarga yang cuba buat kami berbaik. Keadaannya lebih elok, seperti genjatan senjata.

Tahun-tahun akhir ayah sakit, dia dengan bini dia bermasalah. Ceritanya panjang. Sampai nak bercerai-berai. Jadi perhatian dia pada ayah yang sakit tak adalah macam kami adik-beradik yang lain. Dia macam orang hilang akal.  Sampai tahap Kak Jen cerita dia kunyah ubat nyamuk. Siapa cakap perempuan frust aje teruk, lelaki pun teruk juga.

Mak risau. Ayah pula sakit. Kak Jen dan bagi nasihat dia. Adik-beradik lain pun masing-masing dah cuba nasihat. Dalam hal Joni, Cuma aku sahaja yang tak berkata apa. Aku tak tahu apa patut aku buat.

Aku teringat nasihat seseorang yang aku hormati. KALAU KITA TAK DAPAT NAK CAKAP BERDEPAN DENGAN SESEORANG, MAKA TULISLAH SURAT. Antara nasihat paling ringkas bagus pernah aku terima.

Aku tulis. Isinya ringkas. Lebih kurang begini.

Kami sekeluarga sayangkan dia. Dia masih muda. Kami tidak akan salahkan dia kalau bercerai dan jangan rasa itu perkara yang memalukan. Jangan sesekali rosakkan diri sendiri, ambik dadah atau cuba buat benda-benda bodoh. Ambil masa tenangkan diri. Kami sekeluarga ada untuk dia mengadu.

Aku serahkan surat itu sendiri ke tangan dia. Dia terkedu. Mungkin dia tidak menyangka.

Ayah meninggalkan kami buat selamanya tahun itu. Joni bercerai juga. Lafaz cerai di mahkamah.

Kini selepas 14 tahun, tahap hubungan aku dengan Joni ada sedikit perkembangan. Kami sudah boleh bersalam. Kami masih tidah berborak. Tak ada topik sebenarnya. Bertegur pula hanya gerakan mata dan anggukan.

Dua jiwa. Sama ibu. Sama ayah. Sama nilai didikannya.


Kami menjadi dewasa dengan itu. Harapnya lebih bijak dan matang.

Kami adik-beradik.

Wednesday, June 26, 2013

Makwe Orang

Hidup aku ini selalu aje sorang-sorang. Pergi tengok wayang sorang-sorang. Makan KFC sorang-sorang. Pergi main game Dance-dance Revolution pun sorang-sorang. Tak sedih mana pun. Enjoy aje. Selain itu, banyak masa lapang aku adalah bersama keluarga. Rasa selamat dan bahagia.

Anis mengajak aku menyertai dia, Arin serta beberapa kawan lesbian lain untuk melakukan aktiviti riadah/berjimba di Sekitar Lembah Klang. Mestilah aku nak ikut. Nak jugak tahu apa aktiviti menarik diaorang ini.

Boleh tahan seronok. Layan futsal, riadah keliling tasik dan malamnya main snooker.

Tapi biasalah, kalau dah ramai-ramai lesbian ni, memang tak sah kalau tak ada drama. Salah seorang lesbian ni agak cute walaupun sedikit kasar orangnya. Aku namakan dia Su. Su bertudung dan mempunyai kerjaya yang agak cemerlang. Su berpasangan dengan pengkid yang lagi muda dari dia namanya Am. Am ni muka tak kacak. Tapi menurut Anis dan Arin, Am ada pasang ramai di belakang Su. Anis memang geram dengan cara Am melayan Su. Su pulak macam rela diperlakukan begitu. Jeng…Jeng…Jeng. Ini baru pendahuluaan tapi dah banyak drama di situ ya kawan-kawan.

Am pun join kami sekali, tapi Am kena balik awal sebab dia ada kelas. Su nak ikut Am balik. Tapi Am tak bagi. Katanya, bila-bila pun boleh jumpa. Sedangkan mereka jarang jumpa. Macam hendak tak hendak aje Su diperlakukan. Apalagi, tangkap nangislah makwe. Anis dah panas. Arin pun seram tengok Anis. Aku pula rasa bagus jugak bila Anis panas. Sebab, takdelah Am rasa tindakan dia tu betul. 

Akhirnya Am balik, dan Su ikut kami. Tapi masa tu semua orang dah bad mood. Kecuali aku yang cuba menceriakan keadaan dengan lawak-lawak gelap aku.

Arin ada sebut-sebut suruh aku usha Su. Biar padan muka Am. Aku cakap, tidak sesekali! Bila Arin tanya kenapa, aku jawab terus-terang. Su tu tengah cinta setengah mati dengan pengkid dia. Pengkid dia buatlah apa sahaja. Dia tetap sayang + buta + bodoh. 

Aku pula suka perempuan yang pandai, yang senang dengan aku, selesa dengan famili. Boleh aku bawa lepak dengan famili aku dan aku lepak dengan famili dia. Perempuan yang berdikari. Lagipun cinta ni bukan boleh paksa-paksa. Tiba-tiba aje pulak aku ngorat Su. Apa kes? Arin dah gelak, sempat jugak dia cakap aku poyo.

Beberapa hari selepas itu, Anis pula bagitahu aku. Kawan-kawan lesbian lain juga setuju sangat-sangat kalau aku usha si Su. Aku gelak. Gelak kuat-kuat. Kalau kucing-kucing Anis boleh gelak, diaorang pun akan gelak sekali. Betul-betul diaorang ni nak kenenkan aku dengan Su. Maaf Su. Anda baik, cuma aku belum terdesak lagi rasanya.

Oh, lelaki untuk aku, cepat sikit datang boleh tak?

CORETAN PENTING : Masa kami main snooker di tempat yang tak berapa elok untuk muslimah pergi, ada sekumpulan Nigga, lelaki dan perempuan tengah melepak minum air haram sambil berpoya-poya. Perempuan Nigga boleh tahan hot. Lelakinya pula sedang-sedang sahaja. 

Sedang asyik terbongkok-bongkok menggayakan snooker cue aku dengan 100% kekok, salah seorang lelaki Nigga ini cuba mengajar aku. Mula-mula pegang tangan. Lepas dia tengok aku on aje, dia cuba peluk pulak dari belakang. Jadahnya?

Keluarlah buah-buah bahasa mat saleh yang entah dari mana aku tahu. Aku memintanya jangan sentuh aku. Dia berkeras, alasannya nak mengajar. Ini sudah lebih. Maka aku membebel di situ padanya. Mengajar satu hal, yang nak memeluk-meluk ni kenapa? Ajar ajelah. Peluk bukan boleh pandai pun. Terima kasih ajar tapi tidak pada peluk. Aku memberikan sinar mata yang serius pada lelaki Nigga itu. Mungkin dia puas hati sebab kata-kata aku tidaklah sampai nak memalukan dia, dia berlalu. 

Kalau ikutkanlah, memang dia akan makan penampar dekat situ. Tapi salah aku jugak sebab pergi berjimba di tempat tidak elok untuk muslimah itu. Pengajarannya, kalau nak main snooker. Ajak suami. Kalau tak ada suami, jangan main kat situ. Main benda lain, main hoki ke.


PS: Aku yang pakai macam jantan ni rupanya masih dikira seksi di mata lelaki jalang.



Gambar gif di atas tidak relevan dengan cerita.

Sunday, June 23, 2013

Menabung yang Sempoi. Ka-Ching!

Ramai pulak rakan sekerja yang bertanya aku bagaimana hendak menabung. Bagaimana hendak simpan duit. Apakah mereka ingat aku ni kaki simpan duit ke? Atau mereka menilai aku ini makan gaji, tapi gaya aku yang sempoi dan  selalu kelihatan papa kedana ini membuatkan mereka rasa aku ada beribu ringgit dalam bank. Mereka salah. Aku pun sama pokai.

Tapi sebagai pihak yang diminta nasihat, maka aku berikan.Ka-ching!

Cara pertama nak menabung, kau kenalah ada tabung. Pergi beli tabung yang super cantik dekat kedai. Tabung cantik ini penting untuk menghiburkan hati sendiri. Harga tak sampai pun RM10 ringgit. Atau minta sahaja kawan kau hadiahkan. Jangan sesekali songlap tabung adik kau dan duit simpanan dia ( Kak Jen selalu buat ni masa aku kecik, ciskek! )

Sebagai pemanas badan, kau pergi kemas rumah kau. Sapu sampah. Kalau yang pakai vakum, pakailah vakum. Semua duit syiling yang kau jumpa masa mengemas kau tibai aje sambil berkata kuat-kuat.

 “ Woi! Aku jumpa syiling ni, aku ambik. Halalkan!”

Lalu duit itu semua kau masuk dalam tabung itu sebagai pemulaan. Amaran juga di sini, janganlah pula kau seluk poket seluar ayah kau, ambik duit-duit dalam poket dia masuk dalam tabung kau.
Pastikan tabung itu jenis susah nak dikorek.

Letak tabung itu ditempat yang selamat dan senang nak masuk duit setiap kali nampak tabung itu. Kalau yang berkongsi bilik, eloklah letak dalam almari. Takut kena cilok pulak. Jangan percayakan sesiapa. Aku ada aje pengalaman pahit tabung duit aku tinggal beberapa keping duit syiling aje, duit lain zero. Setahun punya simpanan lesap. Tak logik betul. Apa lagi, satu rumah sewa aku angkut pergi balai. Marah tu.

Seterusnya, hal yang paling payah. Nak masuk duit dalam itu. Kau kena keraskan hati. Asalkan ada duit syiling, sumbat aje. Jangan dilupa wang kertas seringgit dan lain-lain.

Ada masanya kau sengkek, memang kau ada aje rasa nak korek tabung itu. Kalau terdesak, terpaksa, memang kena korek jugak. Tapi dengan syarat, ganti semula di lain masa, dan kena ganti lebih sikit sebagai denda pada diri sendiri.

Setiap minggu kena budget duit belanja. Amalkan memberi duit belanja pada diri sendiri mengikut budget.  Contohnya RM50 untuk seminggu. Kalau boleh jangan terlebih budget. Kalau masih ada baki belanja tu, apalagi, sumbatlah dalam tabung.

Seterusnya, apabila tabung itu penuh. Silalah kira dan barulah simpan secara rasmi dalam bank. Atau, lagi bagus duit-duit dalam tabung itu kau bagi sedekah masa raya pada anak-anak sedara dan anak-anak jiran. Barulah tujuan hidup sempurna. Barulah kau rasa syok.

Yang paling penting, kenalah kurangkan gaya hidup bermewah-mewah. Kena ada rasa bersalah kalau kau makan pakai mewah dan membazir, sedangkan bersepah lagi orang yang makan ulat aje untuk hidup. Tak ada bantal selimut nak tidur.  Sederhana sudah.

Ini tidak, gaji ciput. Kereta nak beli yang besar bagak. Makan mesti kat restoren mahal-mahal. Shopping online itu ini. Melancong setiap bulan. Sesiapa yang bergaji besar pun sama. Sederhana sudah. Ada duit lebih, sedekah kan lagi baik. Andai yang punya anak-anak, ajar mereka bersederhana. Jangan tabur kemewahan. Tolonglah kawan.

Aku cakap memang senanglah. Pasal aku memang biasa hidup susah dari kecik. Pasal aku memang tak suka sangat terasa mewah ini. Sampai bila terasa mewah sikit aku jadi kekok. Cukup andai terasa cukup. Paling penting emak rasa happy. Adik-beradik dalam perhatian. Kerja pulak mesti ikhlas.

Kepada bakal kekasih hati saya. Nasib kamulah. Kita kerja kuat dan kita memang akan hidup sempoi sahaja.


PS: Petua ini telah pun dibincangkan dengan rakan sekerja dan sebenarnya aku selalu aje pokai. Aku ok.

Friday, June 14, 2013

Jaha si Hotstuff

Ini masanya… Untuk aku berkata… Baju raya tahun ini dah hantar pada tukang jahit. Yaho!!

Ya, aku tahu raya lambat lagi dan puasa belum lagi, judge me.

Kepada para pengkid yang sibuk menempah baju melayu atau baju yang ala-ala macho, aku ucapkan so yesterday! Pengkid yang pakai baju kurung trend tahun ini. Fikir-fikirkan.

Tahun ini, baju raya kami adik-beradik perempuan yang masih bujang disponsor oleh adik lelaki aku, Jaha. Baik budak Jaha ni, walau muka tidaklah sekacak Remy Ishak. Sehingga post ini ditulis, Jaha adalah cikgu sandaran di sebuah sekolah menengah. Dia juga telah lulus temuduga sebagai cikgu sepenuh masa. Posting di mana tak tahu lagi. Tahniah Jaha. Secara rasminya kau adalah hotstuff di kampung kita.

Dah besar budak Jaha ni. Kejap sahaja. Rasanya baru semalam aku tangan-tangankan dia sebab malas belajar. Rasanya baru semalam juga dia tanya aku sama ada nak ikut cakap arwah ayah suruh jadi cikgu, atau nak ikut keinginan dia nak jadi askar. Masa itu aku beri nasihat, eloklah dia dengar nasihat arwah ayah, sebab dia tak cukup rebel macam aku dan Kak Jen untuk berdepan dengan leteran arwah ayah.

Hari itu, sambil aku tolong emak siang ikan dan potong ayam, kami buka kisah-kisah lama. Aku bagitahu emak, masa emak melahirkan Jaha tu, aku ada tengok. Terkejut emak. Aku pun sama terkejut pasal emak terkejut. Sedangkan cerita ini dah jadi lagenda dalam famili. Mana mungkin emak tak pernah dengar. Atau emak lupa. Emak ingat aku berlawak, siap emak cakap aku tipu.

Maka, aku mengemukakan beberapa fakta kelahiran Jaha pada emak.

Umur aku tujuh tahun masa tu.

Jaha lahir masa malam atau nak subuh agaknya. Masa Jaha nak dilahirkan. Hujan rebut petir bukan main kuat lagi. Aku yang tengah tidur terjaga mendengar suasana kecoh di bilik emak.

Puas aku kejutkan kakak-kakak aku bangun. Tak dilayan. Sah, tidur mati.

Aku bersila depan pintu bilik emak yang berkunci. Sambil itu telinga aku pekup ke pintu. Aku yakin beberapa jiran dan Puan Misi sedang bertungkus-lumus membantu emak melahirkan adik aku.

PAP! Lampu pulak padam. Elektrik tak ada. Hujan kat luar makin lebat. Pintu bilik dibuka luas. Jiran sebelah rumah yang aku panggil Tok memandang aku dalam gelap. Sesekali petir menyambar. Ngeri!

Tok menyuruh aku mencari pelita. Aku melompat ke dapur. Dalam gelap itu aku mengagau mencari pelita yang dibuat menggunakan tin susu tepung. Aku isi penuh dengan minyak gas. Aku berikan pada Tok. Tok masuk dalam bilik, dan membuat isyarat supaya aku tunggu di luar. Tak sampai seminit lepas tu Tok suruh aku masuk pulak. Apahal…

Aku disuruh mengawal api pelita daripada ditiup angin. Angin kuat dari luar rumah sesekali masuk melalui lubang-lubang kecil di dinding kayu. Tangan kecik aku mengepung api pelita, masa itu pelita itu dah membakar seluruh atas tin, maklumlah masa aku letak minyak gas tadi terketar-ketar. Penuh sisa minyak sahaja atas penutup pelita.

Diterangi api pelita yang marak, sesekali aku pandang emak yang terbaring atas tilam (tiada katil) dikelilingi Puan Misi dan jiran-jiran. Aku tengok emak macam cool aje. Cepat-cepat Tok menyuruh aku jangan pandang. Aku angguk, tapi aku curi-curi jugak pandang sikit-sikit.

Lama jugak aku menunggu. Aku pun naik mengantuk. Makin samar pandangan mata. Tapi api pelita tetap aku jaga. Entah bila, adik aku pun lahir. Aku yang teruja hendak melompat ke arah emak. Melihat keadaan itu, segera aku dihalau keluar oleh Tok. Kurang asam betul.

Setiap hari, balik sekolah aku akan cium dahi adik seratus kali. Kata orang kalau cium dahi selalu nanti adik akan pandai. Mitos betul.

Aku ingat Puan Misi pesan, mak jangan mengandung lagi. Emak dah tua, 40an dah. Tak baik untuk kesihatan. Mak ada darah tinggi.

Tapi mak aku mengandung lagi setahun lepas tu. Akibatnya, pertama kali ada adik-beradik kami yang lahir di hospital. Rahmat juga, kalau tidak mana nak dapat adik bongsu aku si heroin cerita tamil tu.

Mak akur dengan fakta-fakta yang aku bagi.


Dan hari itu kami masak, Ayam Masak Kicap. Jaha makan 3 pinggan.




PS : Aku tak tahu apa rupanya kain baju kurung tahun ini, aku tak sempat tengok pun. Ah! belasah aje.

Followers