Showing posts with label cita-cita. Show all posts
Showing posts with label cita-cita. Show all posts

Monday, October 29, 2018

Borak Panjang



Aku ada diploma saja.
Kalau lihat semula, ada sedikit kecewa. 
Kenapa dengan otak yang masih segar ni. Aku cuma ambil diploma saja?

Tapi, bila difikirkan situasi  masa itu, kenaifan dan kejahilan aku, keluarga dan sebagainya. 

Aku redha dan bergerak pantas dari situ.



Salah seorang housemate, kuberi nama Cik Cut. 

Cik Cut ini umurnya 25 tahun. Ayah kandungnya sudah tiada. Ibu tuanya pula meniaga nasi lemak. Kiranya bukan dari keluarga yang senang. 
Kiranya persamaaan aku, ustazah dan Cik Cut, kami masing-masing orang bujang yang sudah ketiadaan ayah.

Dia bekerja secara kontrak di sebuat syarikat swasta. Di samping itu, kerja sambilannya sebagai jurusolek. Netizen panggil MUA. Self taught makeup artist yang baru berjinak-jinak dalam bidang ini. Orangnya kelakar juga, fasih berbahasa Inggeris dan suaranya sesuai untuk buat voice over iklan TV atau radio.

Selepas  menyertai gotong-royong penduduk di hari minggu, aku dan Cik Cut borak bersama. Jarang sebenarnya nak lepak walaupun satu rumah. Masing-masing ada kelompok kawan-kawan yang berlainan dan waktu kerja yang tidak sama, lagipun aku sibuk mengadap komputer menyelesaikan commission drawing dan kerja-kerja lain.

Kami berborak tentang harga rumah yang semakin meningkat. Gaji pokok yang rendah. Ramai pekerja yang kehilangan kerja selepas PRU14 oleh kerana penstrukturan semula syarikat.

Sedang aku dan Cik Cut saling memberi idea bagaimana untuk menambahkan pendapatan, dia tanya aku.

Cik Cut: Kak, macam mana kita nak tahu keputusan yang kita buat tu betul ya?

Aku terdiam kejap. Layak ke aku jawab soalan ni? Hmm…Boleh.

Aku: Keputusan yang betul untuk diri kita adalah apabila kita buat keputusan ikut 
kemampuan kita.

Cik Cut: Macammana tu kak?

Aku: Contohnya, apabila kita kena buat pilihan. Kita kena tengok kita mampu tak untuk ambik pilihan itu. Tahap mana pilihan itu akan menyusahkan dan menyenangkan kita di masa akan datang. Kalau pilihan itu akan menyebabkan kita sengsara, maka keputusan kita itu salahlah.

Cik Cut: Contohnya kita dah ambik keputusan macam ini. Tapi ada orang kata, kenapa kau tak buat macam ni. Ada orang lain pulak kata, kau patut buat macam ini… Macammana kita nak tahu betul ke tidak nasihat orang tu?

Soalan yang baik. Aku sengih.

Aku: Cuba buat macam ini. Kau kena kumpulkan semua nasihat yang orang beri. Secara detail. Kalau boleh tulis, kau tulis. Kemudian kau bandingkan nasihat orang itu dengan keputusan kau. Kalau nasihat orang itu betul-betul bagus dan baik untuk kau, berbanding pilihan kau sendiri, maka kau boleh ambil nasihat orang itu. Tapi semua pilihan ada risikolah.

Cik Cut terkebil-kebil.

Aku: Kita tak bolehlah tak nak ambik risiko langsung. Mana ada hidup yang macam tu. Kita bukannya kaya, harta warisan pun tak ada. Jadi kita kena susun strategi betul-betul. Kadangkala apabila kita dah rasa kita buat keputusan yang betul pun tapi akhirnya masih salah lagi. Kita kena belajarlah dari situ. Kena redha. Kena usaha lagi.

Cik Cut: Tapi orang suka kata macam-macam bila saya buat keputusan.

Aku: Orang memang akan kata macam-macam. Kau pernah dengar tak kisah keldai dan dua beranak tu? Dia orang pergi satu kampung ke satu kampung. Lepas tu orang suruh turun naik keldai tu. Semua orang ada pendapat dan nasihat lain-lain.

Cik Cut angguk, sambil tersengih.

Aku: Semua orang akan bagi nasihat ikut kemampuan dan nilai mereka, akhirnya yang nak tanggung adalah kita sendiri. Pilih dan buat keputusan ikut kemampuan kita. Ukur baju di badan sendiri. Kuatkan semangat, usaha. Jangan lupa doa pun. Itu senjata kita.

Aku menjelaskan lagi.


Cik Cut: Itulah dia… Kadang-kadang susah nak buat keputusan bila orang bagi pendapat itu ini. Pening.

Aku: Belajar tegas, belajar kata tak boleh dan tak ada jika kau memang tak ada. Penat kita kerja siang malam. Cari duit sendiri kan. Lagi satu kalau ada orang cakap kat kau duit bukan segala-galanya. Kau tampar dia dua kali. Bagi dia sedar.

Cik Cut gelak.

Empat jam kami borak tak berenti.

PS: Lepas borak ni kepala aku terus migrain.



Thursday, December 14, 2017

Kemaskini Bahagian 2

Jom borak lagi... 

Aku bukannya tak ada idea nak menulis. Selalunya ada aje. Tapi idea mengebu-gebu itu selalu hadir saat pukul 7.30 pagi,  sedang aku  bersiap hendak pergi kerja. Menulis guna smart phone bukanlah kegemaran aku. Tapi sekarang ini, aku terkial-kial  melakukannya di tepi bucu katil. 

Dan, tidak.... Aku tidak akan sama sekali meminta maaf atas typo yang bakal terjadi.

Honey ni macam berhantu. Setiap kali aku whatsapp dengan dia, entah kenapa keupayaan menulis aku meningkat. Jadi terima kasih untuk Honey atas superpower ini. 

Kadangkala sedang aku menepuk bantal untuk tidur, tapi aku masih tak tidur-tidur. Aku  berangan. Macam manalah jikalau aku dan Bunga end up bersama? Mesti terbayangkan kehidupan romantik diiringi  lagu cinta. Berkejaran di taman. Suap menyuap pizza. (Domino's semestinya)

Aku tak fikir akan jadi macam itu. Realitinya kami berdua orang yang gila kerja. Bunga ni, kalau sedang bekerja tak pandang kiri dan kanan. Bukannya tak pernah aku menari ala-ala Natalie Portman dalam filem Closer tu untuk menarik perhatian dia. Tapi, meh... Tidak dipedulikan. Dia terus sahaja menaip, dan drafting kerja dia. Padahal itu kerja intern sahaja.

Malah Kak Jen banyak kali menekankan bahawa aku dan Bunga adalah orang yang bersikap skema dan boring. Hobi bersama adalah kemas bilik, makan kat Volcano Shabu Shabu dan hmm...apa ya lagi? Aku tak boleh nak recall detik romantik kami. Solat jemaah bersama? Lepas tu aku komplen Bunga baca surah panjang-panjang? Mungkinlah...

Dalam berangan itu, aku berharap satu hari nanti kami akan bersahabat semula. Mungkin bukan sekarang. Dah tentu dia tak nak terima. Semua terpulang pada dia. Aku tak tahu bagaimana caranya.  Bunga bukan jenis peramah dan suka berkawan. Diam pendiam. Aku tak boleh baca apa ada dalam hati dia. 

Paling penting, aku sendiri kena menghargai kehidupan aku hari ini. Orang sekeliling. Kawan seketul dua yang aku ada. Alhamdulillah, aku ada kehidupan yang baik. Famili dan kawan-kawan yang ok. Sesekali memeningkan itu memanglah. Baru kehidupan namanya. 

Terima kasih Allah. 

PS: Lambat nak pergi kerja, tapi sempat pulak aku sapu lantai ruang tamu. 


Friday, June 10, 2016

Kehidupan Domestik?

Jujurnya, selepas Honey. Aku berhenti berangan atau membayangkan aku punyai kehidupan domestik. Sikitpun tak ada.

Aku menjalani kehidupan biasa-biasa sahaja. Hidup orang bujang. Kerja makan gaji. Tidak terfikir untuk kaya-raya. Cukup dengan apa yang ada dan dapat membantu famili sikit-sikit. Tanpa tekanan. Tanpa komitmen.

Sempena bulan Ramadhan ini, Bunga tinggal di rumah sewa aku. Rumah yang aku diami bersama dua orang housemates lain. Asalnya Bunga tidak mahu. Tapi pelahan-lahan aku pujuk dia.

Aku dan Bunga sama-sama sangat sederhana orangnya. Jadi memang tiada masalah besar. Malah aku rasa selesa. Aku selalu rasa, akulah orang yang paling rajin dalam dunia. Tapi setelah Bunga tinggal dengan aku, barulah aku tahu nilai kerajinan aku dibandingkan dengan nilai kerajinan Bunga amat berbeza sekali. Ternyata Bunga menang.

Sebelum ini, aku ada terfikir banyak kali untuk mencari rumah sewa lain kerana aku sudah jemu. Sekarang ini, perasaan untuk mencari rumah sewa lain makin membuak. Walaupun belum confirm yang Bunga akan tinggal dengan aku atau tidak, aku betul-betul terasa ingin menyewa sendiri atau punya rumah sendiri yang dapat aku urus, warnakan dan peraturannya boleh aku buat sendiri.

Selama ini aku melambatkan rasa ingin mencari kerana aku tak mahu duduk seorang. Aku memang penakut. Aku perlu kawan untuk bercakap.  Jadi banyak hal yang aku memang sangat berkompromi dengan housemates. Seperti mana mereka juga berkompromi dengan aku.

Lagipun menyewa beramai-ramai ini dapat mengurangkan belanja sewa dan lain-lain. Iyalah. gaji bulanan aku bukanlah seberapa sangat untuk mewah-bermewah.

Membeli rumah sendiri memang tidak mustahil. Tapi celaka! Seumur hidup aku hendak membayarnya dengan gaji aku seorang. Jadi aku hold dulu bab ini.

Hal sebegini membuatkan aku berfikir untuk mencari duit lebih. Membuat kerja-kerja lain. Walaupun dengan kerja sekarang ini masa aku terasa tidak cukup 24 jam sehari.

Emak sendiri sering komplain yang aku asyik kerja sahaja. Setiap kali dia komplain, satu jawapan aku. Aku tidak punya siapa-siapa untuk menanggung makan minum. Jadi aku kena kerja. Lalu emak mengomel-omel, katanya kalau aku kahwin kan sudah senang. Suami boleh uruskan. Aku malas hendak menguraikan dalil-dalil aku pada emak. Tentang suami. tentang ekonomi sekarang yang memang menuntut semua orang bekerja. Tentang kawan-kawan aku yang sudah pun berkahwin dan masih perlu kerja keras. Aku tak mahu dalam aku huraikan semua itu, suara aku akan naik pada emak. Atau membuat dia terasa hati. Emak lebih tahu. Emak sendiri tengok anak-anak dia yang dah kahwin itu siapa senang dan siapa susah. Emak cuma mahu yang baik untuk anak-anaknya. Aku tahu dia sentiasa berdoa untuk aku.

Ini bukan sebab Bunga. Tapi kedatangan dia banyak menyedarkan aku di mana aku tidak boleh berada di takuk lama terus. Tidak boleh selesa dengan keadaan yang ada sekarang. Aku mesti melakukan sesuatu untuk diri aku.

Duniawi atau akhirat. Aku mesti berubah menjadi lebih baik. Makan makanan yang lebih baik. Berada di persekitaran yang lebih bagus. Beribadat dengan selesa. Berupaya menghulurkan bantuan kepada famili dan orang lain  bila-bila masa.

Aku rajin. Tapi perlu jadi lebih rajin.


PS: Hari itu, Bunga keluarkan semua baju-baju aku untuk pergi kerja. Dia minta aku pilih yang mana satu aku nak pakai, sebelum aku suruh dia berikan cadangan. Aku ingatkan hal-hal ini terjadi dalam drama romcom sahaja. Ah! Mengada.

Tuesday, March 1, 2016

Di Bawah Langit

Tiada salahnya menjadi klise.

Tiada salahnya mencari Tuhan saat kau merasa susah.

Beberapa kali dan seberapa banyak kekeliruan yang berserawang dalam minda itu perlu kau bersihkan.

Hanya perlukan kerajinan dan doa.

Ada saat di mana, aku rasa aku sudah jatuh cinta kembali. APA?

Tak kan semudah itu. Semudah bicara manis di kala sepi. Di kala aku berpeluk dengan si bantal dan hanya berseluar senteng. Tanpa pertemuan, tanpa usaha sedikit pun.

Namun begitu setiap hari aku jatuh cinta.

Ya, dengan kamulah...Dengan siapa lagi?

Apa kena dengan hati ini?

Kita manusia kadang-kala jemu dengan kata-kata. Kita mahu bukti di depan mata. Itu motivasinya.
Aku cuba menukar keangkuhan manusia itu menjadi bahan bakar semangat.

Aku tahu keangkuhan itu bukan lahirnya sehari dua. Angkuhnya dia kerana usaha kerasnya selama ini.

PS: Setiap hari aku renung bintang-bintang. Tiada satu pun yang jatuh ke riba. Lalu aku lukis biar ia kekal indah di tangan ini.

Thursday, May 14, 2015

Perentas Masa

Lelaki. Perempuan. Pondan. Pengkid….

Masa kita umur tiga bulan. Kita tahu tak apa yang kita akan jadi? Kalau ada sesiapa yang jawab tahu, mari sini aku lempang. Orang yang dukung kau pun kau tak kenal.

Hari itu lepak sama Honey. Di rumah dia. Ada Mr Honey dan Honey Jr.
Borak tentang polisi insurance. Life. Agama.

Aku beritahu dia, mungkin tahun depan aku akan berhenti kerja. Aku masih tak tahu, sama ada aku akan punya pekerjaan atau tidak selepas itu. Tiada jaminan.

Dia menceritakan pro dan con ikut pengalaman dia setelah dua tahun tidak bekerja. Susah dan senangnya. Tentang hidup dia yang sederhana. Banyak dia cerita.

Tanpa aku bangkitkan, minta atau tanya, dia beritahu yang dia tak sangka kami boleh berborak-borak santai  seperti ini. Setelah apa yang kami pernah buat dulu. Sejarah antara kami. Topik yang aku tak mahu sentuh. Topik KAMI. Jadi aku senyum sahaja. Tidak menyampuk dan tidak memberi pendapat. Walaupun banyak benda yang hati aku nak tanya. Soalan-soalan yang tiada faedah pun. Baik aku diam.

Dia beritahu lagi.

“kita ditemukan dulu. Saya dan awak. Ada orang cakap pasal kebetulan, tapi sebenarnya memang dah tertulis sejak azali lagi. Jodoh itu. Jodoh saya. Jodoh awak yang entah di mana tu. Saya lahirkan Honey Jr.”

Memang kalau difikirkan tak logiklah dia pernah bersama dengan aku.

Lalu aku pangku dan peluk Honey Jr. yang bermain depan kami. Kuat dan sepenuh hati aku. Itu sahaja paling dekatnya kami.

Teringat aku masa dulu. Setiap kali kami berjumpa dan berpisah, Honey cakap. 

"Kita tak tahu apa akan berlaku sesaat lagi. Macam mana kalau kali ini kali terakhir kita jumpa." 

Masa itu berderai air mata aku, air mata dia. Siapa sanggup kehilangan orang yang dicintai kan?

Honey oh Honey. Betapa cinta aku membuat kamu sedih.

Bila bicara soal semuanya sudah tertulis, maka aku terbayang hal-hal ghaib. Loh Mahfuz. Qada dan qadar. Penciptaan manusia dan alam semesta. Tentang masa dahulu, masa depan. Tentang kena usaha, yakin, redha dan doa. 

Konsep yang mudah, tapi susah nak faham. Kita mahu bukti sahih depan mata. Kita cuma manusia.

Di hadapan entah akan jadi apa.

Tapi, beranilah kamu wahai kawan. Beranilah wahai hati aku. Beranilah si perentas masa.


PS : Don’t fail yourself!

Saturday, July 20, 2013

Jo Melukis: Satu permulaan.

Kadang-kala kelakar terlalu dipuji.

Kelakar sudah tidak kelakar lagi.

Malah kelakar juga punya perasaan sedih.

Kelakar patut ditampar, dua kali kiri dan dua kali kanan.

Dan perkara yang patut disyukuri adalah dua hari cuti di hujung minggu.

Dulu masa cikgu tanya pasal cita-cita, aku jawab nak jadi ahli arkeologi, akibat terpengaruh dengan siri National Geographic pasal dinosaur. Menyebut dinosaur pun aku tak pass. Di-no-sor? Dai-no-sor? Dei-no-sor? Cis!

Cita-cita tipikal aku dari kecik adalah menjadi penulis dan lukis kartun/komik. Itulah yang aku tulis dalam rekod sekolah setiap tahun.Sejarah melukis aku sama aje tragedinya dengan kisah hidup aku. Ada pahit ada manis. Tapi mari kita mulakan di sini.

Minat melukis timbul bila aku dan Kak Jen selalu curi-curi masuk bilik Abang Long kami di tingkat atas. Dalam bilik dia ada poster jeans levi's, poster kumpulan Search, Kumpulan Wings, Ella and The Boys. Tak ada katil, cuma tilam saiz queen tanpa cadar.  Ada meja tulis. Buku skrap dia yang penuh lukisan dan lirik lagu rock. Ada almari plastik yang dibawahnya tersorok novel-novel erotik dari Indonesia. 

Paling best adalah stok majalah Gila-Gila. Masa itu Abang Long habis sekolah asrama dan kerja kilang di pekan berdekatan rumah. Bagi aku, Abang Long adalah manusia paling cool pada masa itu. Bilik dia bagai syurga sebab semua cool stuff ada dalam tu.

Siri yang aku suka dalam majalah Gila-Gila masa tu adalah, Aku Budak Minang dan Tiga Dara Pingitan.

Kalau kami lepak dalam bilik Abang Long, kami tak akan tinggalkan jejak. Semua yang kami usik akan kami letak ikut keadaan asal. Kalau pensil atas meja senget 45 darjah, maka ia akan kembali 45 darjah. Sebab, kalau Abang Long tau, memang kena terajanglah alamatnya.Tapi, jangan risau, kami tak pernah kantoi.

Aku minat melukis bila aku tengok buku skrap Abang Long. Abang Long pandai lukis. Tulisan dia pun cantik. Jadi aku dan Kak Jen mula melukis guna buku tulis sekolah kami. Seperti biasa, Kak Jen memang lagi terer dari aku. Semua benda dan semua perkara. Main getah, main dam, batu seremban, tuju selipar, bola beracun. Namakan sahaja. Mengaji pun macam tu. Cepat aje kalih surah. Suara Kak Jen boleh tahan sedapnya. Kak Jen ni kira hero habislah. Walaupun kecik, dia memang digeruni di kawasan kampung kami.

Tulisan aku macam cakar ayam sahaja. Lukisan pun sama. Masa aku terkial-kial nak lukis bentuk muka orang, Kak Jen pulak dah boleh lukis satu badan. Tapi aku tak mengalah aku teruskan walau terkial-kial.

Sementara Kak Jen sibuk main dan jadi hero, aku lebih suka baca buku dan tangkap anak ayam. Dah habis buku Abang Long aku baca, aku pinjam pulak buku Abang Long kawan baik aku. Kami berjiran. Waktu cuti, pagi-pagi lagi aku akan bagi isyarat dan baling batu di tingkap bilik. Dia akan baling buku Abang Long dia dan aku akan baca di buaian bawah rumah. Semua buku dewasa. Tebal-tebal. Sastera. Tajuk-tajuk dia pun aku tak ingat. Masa itu banyak juga buku dari Indonesia. Otak budak aku pun tak berapa faham. Tapi baca buku seronok. Rasa berada di dunia lain.

Kalau balik kampung emak, Aku dan Kak Jen selalu layan komik-komik alih bahasa dari Hong Kong milik Pak Su kami. Ada berkotak-kotak. Beratus-ratus siri. Isinya penuh unsur ganas, kuasa mistik, kepahlawanan dan advanture. Gaya lukisan detail dan berwarna-warni ini menjadi kesukaan aku masa itu.

Bila Kak Jen masuk asrama masa sekolah menengah lukisan dia makin cantik. Kami selalu bandingkan lukisan kami.

Aku lukis tak kira tempat. Di dinding rumah. Almari. Atas badan aku dan atas badan adik aku. Aku juga dah pandai buat mini komik sendiri masa tu. Pakai ballpen aje. Adalah sampai 4 buku.

Masalahnya ayah aku tak suka aku melukis. Bila dia nampak aku melukis mesti kena marah. Semua komik yang aku lukis kena bakar bila ayah aku kemas rumah satu hari tu. Yang selamat cuma tinggal satu aje itupun sebab Kak Jen dah cilok senyap-senyap.  

Aku andaikan ayah aku tak suka banyak benda, kami gelak pun kena marah, kami berpantun pun kena marah. Dekat rumah kena disiplin. Kena belajar aje. Tapi bila ayah kerja jauh, berminggu tak baik. Masa tu aku rasa bebas, nak lukis, main, panjat pokok, main gelonsor atas bukit. Senja baru nak balik rumah.


Bersambung…

Followers