Showing posts with label kerjaya. Show all posts
Showing posts with label kerjaya. Show all posts

Thursday, January 10, 2019

Inspirasi Membaca


Oppa dah pakai cermin mata.

Ustazah dah kahwin.

Cik Cut baru lepas bercuti panjang selepas jatuh motor.

Ada untung, ada yang rugi. Itulah terjadi di hujung tahun 2018 dan awal tahun 2019.

Ada juga hal menarik yang sedang kuperbuat. Tapi biarlah hal itu aku kemaskini di sini apabila semuanya selesai. Masih panjang perjuangan aku sebenarnya.

Baru-baru ini, aku menonton satu cerekarama Melayu yang sedang tular di internet. Dramanya ringkas dan tidak meleret. Lakonan baik, skrip OK walaupun tidak terlalu cemerlang, ada sedikit klise. Bila aku melihat siapakah penulis skripnya, rupanya hasil nukilan kawan lama aku sendiri.

Aku mengenali kawan ini hampir 10 tahun. Bekas pelajar ASWARA. Pernah bekerja dengan dia. Pernah juga bukunya aku lukis illustrasinya. Kini dia di antara penulis skrip yang menjadi rebutan para penerbit.

Orangnya rajin, kreatif, sensitif dan baik hati. Pantang sekali jika dibuli, salah satu sebab kenapa dia berenti kerja  waktu itu. Dia berusaha mencari tempat yang lebih baik untuk dia mengembangkan bakat penulisannya. Aku melihat satu demi satu kejayaan lelaki ini. Setiap satunya dia perolehi hasil titik peluh dia sendiri.

Entah berapa banyak novel dan skrip drama yang dia hasilkan. Setiap satunya menjadi. Entah berapa banyak pula novelnya sudahpun dijadikan drama.

Iya, aku terinspirasi dengan kejayaan dia.

Biarpun ramai yang  mengutuk atau mengeji, dia di antara yang mencetuskan kegilaan terhadap genre novel pop picisan.

Tiada komen dari aku kerana selama ini aku tidak pernah membaca karyanya walaupun satu. Untuk novel remajanya yang aku lukis, aku cuma menerima arahan bukan cerita.

Harap, jika masih ada kesempatan. Pasti novelnya aku beli. Boleh juga aku menambahkan koleksi novel di kampung. Mana tahu ada waktu aku sanggup membacanya.

Novel fiksyen terakhir yang aku baca adalah Interlok, karya Abdullah Hussein. Aku benar-benar mendapat kepuasan dari novel ini.

Novel yang menanti untuk aku baca adalah yang dihadiahkan kepadaku baru-baru ini. Tajuknya Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur, karya Keris Mas. Aku amat suka menerima buku sebagai hadiah.

Aku tahu aku terlewat. Banyak karya mesti baca yang aku terlepas menikmatinya.

Aku tertarik dengan artikel dari THE VOCKET yang bertajuk 100 Novel Melayu yang Mesti Dibaca. Daripada senarai ini, hanya 11 novel sahaja yang pernah aku baca. Kebanyakkannya aku lupa isinya kerana sudah terlalu lama.

Harapnya 2019 aku makin cemerlang, malah lebih cemerlang dari 2018.
Walaupun hati aku sering goyang itu dan ini, moga hati ini tak gentar.

PS: Ustazah masih menyewa bersama aku, suaminya tinggal bekerja di selatan tanah air.

Monday, October 29, 2018

Borak Panjang



Aku ada diploma saja.
Kalau lihat semula, ada sedikit kecewa. 
Kenapa dengan otak yang masih segar ni. Aku cuma ambil diploma saja?

Tapi, bila difikirkan situasi  masa itu, kenaifan dan kejahilan aku, keluarga dan sebagainya. 

Aku redha dan bergerak pantas dari situ.



Salah seorang housemate, kuberi nama Cik Cut. 

Cik Cut ini umurnya 25 tahun. Ayah kandungnya sudah tiada. Ibu tuanya pula meniaga nasi lemak. Kiranya bukan dari keluarga yang senang. 
Kiranya persamaaan aku, ustazah dan Cik Cut, kami masing-masing orang bujang yang sudah ketiadaan ayah.

Dia bekerja secara kontrak di sebuat syarikat swasta. Di samping itu, kerja sambilannya sebagai jurusolek. Netizen panggil MUA. Self taught makeup artist yang baru berjinak-jinak dalam bidang ini. Orangnya kelakar juga, fasih berbahasa Inggeris dan suaranya sesuai untuk buat voice over iklan TV atau radio.

Selepas  menyertai gotong-royong penduduk di hari minggu, aku dan Cik Cut borak bersama. Jarang sebenarnya nak lepak walaupun satu rumah. Masing-masing ada kelompok kawan-kawan yang berlainan dan waktu kerja yang tidak sama, lagipun aku sibuk mengadap komputer menyelesaikan commission drawing dan kerja-kerja lain.

Kami berborak tentang harga rumah yang semakin meningkat. Gaji pokok yang rendah. Ramai pekerja yang kehilangan kerja selepas PRU14 oleh kerana penstrukturan semula syarikat.

Sedang aku dan Cik Cut saling memberi idea bagaimana untuk menambahkan pendapatan, dia tanya aku.

Cik Cut: Kak, macam mana kita nak tahu keputusan yang kita buat tu betul ya?

Aku terdiam kejap. Layak ke aku jawab soalan ni? Hmm…Boleh.

Aku: Keputusan yang betul untuk diri kita adalah apabila kita buat keputusan ikut 
kemampuan kita.

Cik Cut: Macammana tu kak?

Aku: Contohnya, apabila kita kena buat pilihan. Kita kena tengok kita mampu tak untuk ambik pilihan itu. Tahap mana pilihan itu akan menyusahkan dan menyenangkan kita di masa akan datang. Kalau pilihan itu akan menyebabkan kita sengsara, maka keputusan kita itu salahlah.

Cik Cut: Contohnya kita dah ambik keputusan macam ini. Tapi ada orang kata, kenapa kau tak buat macam ni. Ada orang lain pulak kata, kau patut buat macam ini… Macammana kita nak tahu betul ke tidak nasihat orang tu?

Soalan yang baik. Aku sengih.

Aku: Cuba buat macam ini. Kau kena kumpulkan semua nasihat yang orang beri. Secara detail. Kalau boleh tulis, kau tulis. Kemudian kau bandingkan nasihat orang itu dengan keputusan kau. Kalau nasihat orang itu betul-betul bagus dan baik untuk kau, berbanding pilihan kau sendiri, maka kau boleh ambil nasihat orang itu. Tapi semua pilihan ada risikolah.

Cik Cut terkebil-kebil.

Aku: Kita tak bolehlah tak nak ambik risiko langsung. Mana ada hidup yang macam tu. Kita bukannya kaya, harta warisan pun tak ada. Jadi kita kena susun strategi betul-betul. Kadangkala apabila kita dah rasa kita buat keputusan yang betul pun tapi akhirnya masih salah lagi. Kita kena belajarlah dari situ. Kena redha. Kena usaha lagi.

Cik Cut: Tapi orang suka kata macam-macam bila saya buat keputusan.

Aku: Orang memang akan kata macam-macam. Kau pernah dengar tak kisah keldai dan dua beranak tu? Dia orang pergi satu kampung ke satu kampung. Lepas tu orang suruh turun naik keldai tu. Semua orang ada pendapat dan nasihat lain-lain.

Cik Cut angguk, sambil tersengih.

Aku: Semua orang akan bagi nasihat ikut kemampuan dan nilai mereka, akhirnya yang nak tanggung adalah kita sendiri. Pilih dan buat keputusan ikut kemampuan kita. Ukur baju di badan sendiri. Kuatkan semangat, usaha. Jangan lupa doa pun. Itu senjata kita.

Aku menjelaskan lagi.


Cik Cut: Itulah dia… Kadang-kadang susah nak buat keputusan bila orang bagi pendapat itu ini. Pening.

Aku: Belajar tegas, belajar kata tak boleh dan tak ada jika kau memang tak ada. Penat kita kerja siang malam. Cari duit sendiri kan. Lagi satu kalau ada orang cakap kat kau duit bukan segala-galanya. Kau tampar dia dua kali. Bagi dia sedar.

Cik Cut gelak.

Empat jam kami borak tak berenti.

PS: Lepas borak ni kepala aku terus migrain.



Wednesday, December 17, 2014

Dalam Lift Ada…

Sepatutnya aku letak tajuk di atas, Dalam Lift Ada Buaya. Cuma kadang-kadang tu aku memang tak sanggup.

HAHAHA!

Baiklah.

Projek baru syarikat memaksa aku tidak cuti pada hari orang bercuti. Sesekali aku kena menginap di hotel-hotel taraf tiga bintang di sekitar ibukota. Jadual kerja pula dari pagi sampai ke malam. Mujurlah aku jenis sempoi. Sumbat barang sikit sebanyak. Jalan!

Pagi Ahad itu, aku dan boss hendak daftar keluar dari bilik hotel. Entah macam mana, boss tertinggal kad akses hotel di dalam bilik. Maka dengan penuh jiwa raga gentleman, aku menawarkan diri ke meja penyambut tamu di tingkat bawah untuk mendapatkan bantuan.

Setelah urusan selesai, aku menunggu lift semula untuk naik ke atas. Ramai betul orang. Maklumlah dah hujung tahun, musim cuti. Cemburu betul hati ni. Nasib badan.

Aku masuk dalam lift. Bersandar di dinding sambil tangan sebelah seluk poket. Sampai tingkat dua, lift terbuka. Seorang kakak housekeeping masuk dengan kotak troli barang. Kami berbalas senyum.
Sampai tingkat tiga, lift terbuka lagi. Seorang lagi kakak housekeeping berdiri dengan kotak troli barang juga. 

Mereka saling menyapa.

“ Hey! Kenapa kau tak keluar?” Tanya kakak housekeeping di luar.

“ Ada awek ni. AWEK! Kau jangan masuk, tak muat. Hahaha! Bye!” Kakak housekeeping di dalam cepat-cepat menekan tutup pintu lift.

“ Oh, awek…” Kata aku perlahan sambil tersengih mengangguk. Aku rasa kakak housekeeping ni…

“ Iye AWEKlah kalau sorang. Kalau AWEKS pulak maksudnya ramaiiiii. Hahaha!” Gelak kakak housekeeping itu bila dengar omel kecil aku tadi. Cara dia jawab, gaya dia jawab. Sah dia GAY!

“ Tengah cuti-cuti Malaysia ke?”  Tanya dia lagi.

“ Alangkah bestnya kalau tengah cuti. Saya baru habis meeting kerja malam semalam. Nak checkout. Tapi boss tertinggal access card dalam bilik.” Saje aje aku beramah tamah mamah.

“ Nak balik dah ke? Hmmm… Tak bestlah. Kalau lambat lagi bolehlah berchenta-chenta.” Dia  mengayat. Amboi kak, kemain ayat kau.

“ Yelah… Tak sempat lah nak berchenta-chenta kan. Hahaha! Saya Jo.” Aku membalas pantun, sambil hulur tangan bersalam. Pantas dia menyambut tangan aku. Sambil senyum melebar.

“Saya…” Ding Dong. Bunyi lift terbuka di tingkat lima. Ayat dia tersekat di situ.

“ Bye! Jumpa lagi.” Aku cepat-cepat keluar lift sambil lambai-lambai dan senyum mengada.

Puas hati aku.

Lepas itu aku dan boss gerak balik.

PS: Sila jangan mimpi siang, berangan yang kakak housekeeping ini seCUN  Jeniffer Lopez dalam filem Maid in Manhattan. Fantasi korang aje tu.

Jom layan lagu Alligator dari Tegan & Sara.





Friday, November 28, 2014

Jagung dan Strawberi

Lapar pulak perut ni. Padahal tadi dah makan jagung rebus dan roti bakar sapu jem strawberi.

Jagung dan jem strawberi tu aku dapat hasil bercuti bersama famili di ketinggian 1, 829 meter dari aras laut. Rasanya sedap.

Aku bukan jenis orang yang suka bercuti. Asyik kerja kerja kerja. Aku rasa tempat paling selamat adalah meja tempat kerja. Sehinggalah baru-baru ini aku rasa kerja telah menyepak aku bertubi-tubi dan rasa sakitnya bukan kepalang. Mula rasa tak gembira dan ada sesekali sekala hati kecil ini berharap agar boss memecat aku.

Sampai macam itu sekali.

Agaknya lepas selesai menjalankan projek yang ini maka bolehlah aku tinggalkan kerja sekarang dan beralih kepada kerja lain. Ada beberapa pilihan kerja yang mungkin boleh dipertimbangkan.

Jadi tukang jahit ~ Ya Allah, manalah aku tahu menjahit.

Jadi tukang masak ~ Kau ingat senang Jo?

Jadi cikgu sekolah ~ Banyaknya dugaan.

Jadi petani ~ Tanam apa? Jagung dan strawberi?

Jadi apa yang Kak Jen nak aku jadi ~ Buat bisnes.

Atau kekal dengan jenis kerja sekarang dan cuma berubah tempat?

Masih laku ke resume perempuan solo umur 32 tahun yang sijilnya entah mana dia campak kan?

PS: Haraplah supaya company boss aku ni makin maju dan cepat-cepat jumpa pengganti aku. Amin.





Wednesday, November 5, 2014

Larian 100 meter.

Tiga…Dua…Satu… MULA.

Pekara yang paling aku sedar adalah aku bukan pandai. Bukan jenis genius dan cepat. Bila belajar sesuatu yang baru, keupayaan otak aku pelahan. Sebab itu aku kena fokus betul-betul. Setiap benda pun aku kena usaha empat kali ganda dari orang lain.

Aku cuba usahakan sesuatu. Menolak diri kehadapan dengan sekuat hati. Ada benda yang aku belajar dan aku masih tak lepas tahu, tak berjaya buat. Sedangkan masa yang ada kian singkat. Aku masih cuba memenuhi jangkaan kehidupan yang kadang kala kejam ini.

Di situ air mata aku menitik lima enam kali lebih deras dari biasa. Aku berdoa tujuh lapan kali lebih lama.

Di kala masih berguna maka aku disanjung-sanjung. Nanti, di kala sudah tidak berkemampuan aku akan ditolak. Seperti kisah kain yang buruk.

Siang bertemu malam. Masa dan kerakusan hidup tak menunggu aku lansung.

Ini ujian untuk aku. Jika aku mengalah. Aku kalah. Jika aku main-main, aku yang habis.

Rezeki di bumi Allah ini ada bagi yang mahukannya.

Harapnya dalam aku hadap kerja duniawi ini, sejadah aku tidak lupakan, senyum sakit emak aku tak abaikan.

PS : Terima kasih atas bebelan Kak Jen. Para kamu yang dengar cerita aku, dan si kamu itu yang buka minda aku. Harap kita dapat bicara selalu.

Saturday, July 20, 2013

Jo Melukis: Satu permulaan.

Kadang-kala kelakar terlalu dipuji.

Kelakar sudah tidak kelakar lagi.

Malah kelakar juga punya perasaan sedih.

Kelakar patut ditampar, dua kali kiri dan dua kali kanan.

Dan perkara yang patut disyukuri adalah dua hari cuti di hujung minggu.

Dulu masa cikgu tanya pasal cita-cita, aku jawab nak jadi ahli arkeologi, akibat terpengaruh dengan siri National Geographic pasal dinosaur. Menyebut dinosaur pun aku tak pass. Di-no-sor? Dai-no-sor? Dei-no-sor? Cis!

Cita-cita tipikal aku dari kecik adalah menjadi penulis dan lukis kartun/komik. Itulah yang aku tulis dalam rekod sekolah setiap tahun.Sejarah melukis aku sama aje tragedinya dengan kisah hidup aku. Ada pahit ada manis. Tapi mari kita mulakan di sini.

Minat melukis timbul bila aku dan Kak Jen selalu curi-curi masuk bilik Abang Long kami di tingkat atas. Dalam bilik dia ada poster jeans levi's, poster kumpulan Search, Kumpulan Wings, Ella and The Boys. Tak ada katil, cuma tilam saiz queen tanpa cadar.  Ada meja tulis. Buku skrap dia yang penuh lukisan dan lirik lagu rock. Ada almari plastik yang dibawahnya tersorok novel-novel erotik dari Indonesia. 

Paling best adalah stok majalah Gila-Gila. Masa itu Abang Long habis sekolah asrama dan kerja kilang di pekan berdekatan rumah. Bagi aku, Abang Long adalah manusia paling cool pada masa itu. Bilik dia bagai syurga sebab semua cool stuff ada dalam tu.

Siri yang aku suka dalam majalah Gila-Gila masa tu adalah, Aku Budak Minang dan Tiga Dara Pingitan.

Kalau kami lepak dalam bilik Abang Long, kami tak akan tinggalkan jejak. Semua yang kami usik akan kami letak ikut keadaan asal. Kalau pensil atas meja senget 45 darjah, maka ia akan kembali 45 darjah. Sebab, kalau Abang Long tau, memang kena terajanglah alamatnya.Tapi, jangan risau, kami tak pernah kantoi.

Aku minat melukis bila aku tengok buku skrap Abang Long. Abang Long pandai lukis. Tulisan dia pun cantik. Jadi aku dan Kak Jen mula melukis guna buku tulis sekolah kami. Seperti biasa, Kak Jen memang lagi terer dari aku. Semua benda dan semua perkara. Main getah, main dam, batu seremban, tuju selipar, bola beracun. Namakan sahaja. Mengaji pun macam tu. Cepat aje kalih surah. Suara Kak Jen boleh tahan sedapnya. Kak Jen ni kira hero habislah. Walaupun kecik, dia memang digeruni di kawasan kampung kami.

Tulisan aku macam cakar ayam sahaja. Lukisan pun sama. Masa aku terkial-kial nak lukis bentuk muka orang, Kak Jen pulak dah boleh lukis satu badan. Tapi aku tak mengalah aku teruskan walau terkial-kial.

Sementara Kak Jen sibuk main dan jadi hero, aku lebih suka baca buku dan tangkap anak ayam. Dah habis buku Abang Long aku baca, aku pinjam pulak buku Abang Long kawan baik aku. Kami berjiran. Waktu cuti, pagi-pagi lagi aku akan bagi isyarat dan baling batu di tingkap bilik. Dia akan baling buku Abang Long dia dan aku akan baca di buaian bawah rumah. Semua buku dewasa. Tebal-tebal. Sastera. Tajuk-tajuk dia pun aku tak ingat. Masa itu banyak juga buku dari Indonesia. Otak budak aku pun tak berapa faham. Tapi baca buku seronok. Rasa berada di dunia lain.

Kalau balik kampung emak, Aku dan Kak Jen selalu layan komik-komik alih bahasa dari Hong Kong milik Pak Su kami. Ada berkotak-kotak. Beratus-ratus siri. Isinya penuh unsur ganas, kuasa mistik, kepahlawanan dan advanture. Gaya lukisan detail dan berwarna-warni ini menjadi kesukaan aku masa itu.

Bila Kak Jen masuk asrama masa sekolah menengah lukisan dia makin cantik. Kami selalu bandingkan lukisan kami.

Aku lukis tak kira tempat. Di dinding rumah. Almari. Atas badan aku dan atas badan adik aku. Aku juga dah pandai buat mini komik sendiri masa tu. Pakai ballpen aje. Adalah sampai 4 buku.

Masalahnya ayah aku tak suka aku melukis. Bila dia nampak aku melukis mesti kena marah. Semua komik yang aku lukis kena bakar bila ayah aku kemas rumah satu hari tu. Yang selamat cuma tinggal satu aje itupun sebab Kak Jen dah cilok senyap-senyap.  

Aku andaikan ayah aku tak suka banyak benda, kami gelak pun kena marah, kami berpantun pun kena marah. Dekat rumah kena disiplin. Kena belajar aje. Tapi bila ayah kerja jauh, berminggu tak baik. Masa tu aku rasa bebas, nak lukis, main, panjat pokok, main gelonsor atas bukit. Senja baru nak balik rumah.


Bersambung…

Followers