Sunday, March 27, 2016

Selamat

Satu hari aku mendekati seorang gadis. Mengambil posisi di kerusi sebelah kerusinya dengan selesa. Kepala sedikit mendongak kerana beza tinggi kami.

Dia tersenyum melihat aku. Pantas dia menyapaku mesra. Hati ini terasa mekar. Aku balas senyumnya. Terus aku lupa tujuan asal aku kesitu. Atau sebenarnya aku tidak pun punyai tujuan asal. Aku benar-benar terkesima dengan mata itu.

Terus aku capai bekas pensilnya di atas meja untuk menghilangkan rasa pelik dan suasana kekok ciptaanku sendiri.

Aku keluarkan isinya satu demi satu. Pen. Pensil. Pembaris. Ianya jadi semakin menarik bila aku jumpa liquid paper, stapler, gunting malah gam.

" Kau tahu...Bila melihat barang dalam bekas pensil kau ni aku rasa selamat." Aku membina bicara.

" Hahaha. Kenapa kau rasa bergitu? Tiada apa-apa yang istimewa pun." Tawanya sambil memberi pandangan hairan.

" Bekas pensil kau agak Iengkap...Kau tahukan budak-budak sekarang ini bila mereka berada dalam satu hubungan yang bagus itu, mereka berkata. 'I rasa secure dengan you.' Ya, seperti itu."
Aku mengemas semula bekas pensilnya lalu meninggalkan dia.

Aku kembali dengan bekas pensil kepunyaanku lalu meletaknya di atas meja dia. Kemudian aku terus berlalu pergi.

Tidak lama selepas itu dia menyapa aku.

" Hey! Bekas pensil kau penuh dengan drawing pen."

Aku angguk. Terus menyambung kerja-kerjaku.

Saturday, March 26, 2016

Monolog.

Pukul empat pagi.

Aku selalu terjaga dari pukul tiga ke pukul lima pagi. Tidur awal. Bangun awal.

Blog Jo Cerita asalnya adalah surat cinta terbuka kepada Honey. Sebodohnya aku mengharap dia terjumpa dan terbaca. Bukan sebab aku mahu dia mahu aku semula. Aku cuma mahu dia tahu yang aku selalu ingat pada dia. Aku juga mahu mencatat cerita kami.

Sekarang ini jika aku menyukai sesiapa, aku selalu berfikir beratus kali. Dalam berfikir itu aku tetap menunjuk perasaan suka pada mereka. Aku agresif.

Bila aku suka, aku akan bercakap dengan banyak. Melukis dengan banyak. Kadang kala makin mengarut. Banyak kali juga aku memalukan diri sendiri.

Aku sedar. Perasaan ini bukan untuk dibalas. Ada masanya ini membuat aku sedih sendiri. Aku kambus kesedihan itu dengan kreativiti aku. Aku cipta sesuatu dari setiapnya. Aku belajar yang kesedihan jangan dibazirkan.

Monolog dalam hati:

Bercinta sahajalah. Apa lagi yang kau fikirkan?

Tak semudah itu.

Apa yang kau takutkan?

Semua... Kehidupan. Senyuman. Tangisan.

Kau takut cinta tidak dibalaskah?

Itu aku tak peduli. Aku cuma tidak mahu dibenci orang yang aku suka. Aku tidak boleh menjangka apa yang aku lakukan jika aku suka. Aku mahu...Tapi aku sedar aku tidak boleh.

Tapi kau cepat move on. Demam cinta kau sekejap sahaja. Demam cinta kau, kau sendiri sahaja yang demam. Kau sendiri juga yang telan ubat yang pahit.

Kadang-kala aku rasa aku sudah gila.

Orang gila tak akan mengaku dia gila...

Tapi apa ertinya kewarasan? Hidup rasanya tawar dan hambar.

Perempuan buat kau mereng.

Ya. Perempuan juga buat kau makin kreatif.

Hidup kau tak pernah sekadar hitam dan putih. Sentiasa penuh warna pelangi.

Ah. Aku ditolak lagi.

Apa yang kau minta sampai ditolak?

Aku mahu berjogging pukul 6.30 pagi. Tapi dia tak mahu ikut.

Awal sangat. Kau gila?

Pukul 8 pagi pun awal tapi cuaca sudah pun panas.

Mungkin lepas ini kau patut tanya apa yang dia suka dan melakukannya bersama.

Dia tetap menolak.

Kau sudah tanya kenapa?

Sudah, tapi jawapannya tiada.

Kenapa ya?

Kau telah ditolak dengan cara paling sopan.

Dan aku patut terima itu ke?

Eh? Kau nak buat apa lagi?

Aku nak berborak. Menatap mata.

Jangan. Nanti kau menangis.

Tapi sebelum menangis aku mahu senyum juga.

Kau degil. Kenapa ya?

Suka. Mestilah degil.

Lukislah bila kau degil. Tulis sesuatu.

Monolog tamat.

PS: Cerita suka ini sentiasa ada sambungan.

Tuesday, March 1, 2016

Di Bawah Langit

Tiada salahnya menjadi klise.

Tiada salahnya mencari Tuhan saat kau merasa susah.

Beberapa kali dan seberapa banyak kekeliruan yang berserawang dalam minda itu perlu kau bersihkan.

Hanya perlukan kerajinan dan doa.

Ada saat di mana, aku rasa aku sudah jatuh cinta kembali. APA?

Tak kan semudah itu. Semudah bicara manis di kala sepi. Di kala aku berpeluk dengan si bantal dan hanya berseluar senteng. Tanpa pertemuan, tanpa usaha sedikit pun.

Namun begitu setiap hari aku jatuh cinta.

Ya, dengan kamulah...Dengan siapa lagi?

Apa kena dengan hati ini?

Kita manusia kadang-kala jemu dengan kata-kata. Kita mahu bukti di depan mata. Itu motivasinya.
Aku cuba menukar keangkuhan manusia itu menjadi bahan bakar semangat.

Aku tahu keangkuhan itu bukan lahirnya sehari dua. Angkuhnya dia kerana usaha kerasnya selama ini.

PS: Setiap hari aku renung bintang-bintang. Tiada satu pun yang jatuh ke riba. Lalu aku lukis biar ia kekal indah di tangan ini.

Followers