Showing posts with label teknologi. Show all posts
Showing posts with label teknologi. Show all posts

Sunday, January 21, 2018

Laluan Sri Petaling Bahagian 2

" Where are you from?" Tanya aku lagi disebalik kebisingan bunyi train.

" Me? I'm from Croatia... And you?" Dia bertanya kembali pada aku. Suaranya macho. Fulamaks!

Bila aku dengar Croatia aje, gambaran peta dunia dalam kepala aku terhampar.
Jika tidak silaplah, Croatia ni belah-belah Eropah rasanya. Kalau betul Eropah, bermakna Bahasa Inggeris adalah bahasa kedua dia juga. Maka ada kemungkinan grammar kami berdua akan berterabur. Ah! Tak apalah. Asalkan paham.

" I'm from here, Cyberjaya. My name is Jo." Aku memperkenalkan diri. Cewah!

" Hi, Jo! My name is Nina....Cyberjaya in Kuala Lumpur?"

" No, it's near Putrajaya.  I came here to fix my phone. Have you heard about Putrajaya before? It is Malaysia government administrative. Nice and beautiful place. Many tourist go there. " Amboi...Berbelit lidah aku cakap mat saleh ni.

" I've heard it before." Dia tersenyum sambil cuba membayangkan.

" Do you travel alone? Is it the only bag that you have?" Aku menyibuk lagi. Sebab tengok lagaknya macam backpacker aje.

" Yes, I travel alone. I have one more bag in my hotel with my friends that I meet here. Our hotel in Bukit Bintang. Now, I am going to Melaka and will be working at a farm about five days. They will provide me free food, place to stay and I can get more money for my next advanture." Dia menerangkan, aku terangguk-angguk. Penumpang lain juga seperti mencuri dengar perbualan kami.

"If you in Melaka, you can try good local foods there." Aku pulak teruja mempromosikan negaraku Malaysia.

" I've already try local food before. The thing is, I am vegan. So, don't have so much choices for me. I try durian, rambutan, manggis dan some others fruit". Dia menerangkan.

" Vegan? I see...." Sekarang aku yakin dia pengkid dan dia tak straight. Vegan kot.

Kami borak lagi. Dia beritahu dia akan ada di Malaysia sehingga 1 Januari. Kiranya dia akan sambut krismas di sini. Selepas itu dia akan ke Thailand pula. Aku menceritakan kepada dia tentang pantai-pantai yang cantik di sebelah Terengganu dan Kelantan. Tapi disebabkan sekarang musin tengkujuh jadi tak berapa sesuai jika ingin ke sebelah sana. Dia juga menceritakan serba sedikit pengalamannya di Filifina sebelum ini. Sambil dia memuji Malaysia yang cantik dan orangnya yang peramah.

" You look young... Do you still have a family in Croatia? Any siblings? Do you work?" Aku bertanya banyak. Cuba untuk membayang bagaimanakah gaya hidup backpacker pengkid mat saleh macam dia ni.

" Of course I still  have family there. I'm the only child. I have been working for 12 years. I quit my job and now it's time for me to travel around the world." Dia bercerita. Nampak riak wajahnya gembira dan teruja.

" Wow! good for you Nina!" Aku membuat isyarat  thumbs up. Dia tergelak.

" Do you have siblings?" Dia bertanya pula.

" I have 11 siblings." Aku bulat mata sambil buat isyarat tangan.

" Wow! with same parents?" Dia nampak terkejut.

" Hahaha, yes! most of them already married." Perbualan makin rancak.

" Wow, how old are you Jo, mind if I asking?" Amboi, tanya umur pulak.

" And you? You look so young..!" Aku memandang dia dari atas ke bawah tanpa menjawab soalan dia tadi.

" I am not young. I already in my thirties. You look younger yourself Jo." Cewah! Ayat manis... Dia cuba mengorek umur akulah tu. Kemain.

" I already 35, Nina..." Aku buat-buat merendah diri konon.

" Do you have kids Jo? Are you married?" Dia bertanya. Aku perhatikan orang sekeliling memasang telinga jugak. Ish! Tapi ini kan dalam train. Memanglah semua orang boleh dengar.

" No...No I'm still single. See. No ring." Aku menayangkan jari jemari aku yang bulat.

" Me too, but after travel and going back home. I think I wanna be married. Have kids." Dia menjelaskan. Aku pulak terkejut. Dia nak kahwin ke? Nak beranak?. Maknanya dia ni straight ke? Kenapa andaian aku salah. Gaydar aku dah tak berfungsi ke? Tidak!!!... Aku tak boleh terima kenyataan yang gaydar aku dah tak updated.

Hati wartawan cabuk aku memberontak untuk bertanya. Kalau tak ditanya sampai bila pun aku tak tahu. Ini mungkin pertemuan terakhir kami. Ini sahaja peluangnya.

" Nina... Sorry if I asking you something?" Aku merapatkan diri kepada dia.

" Yes, please." Dia menganjakkan diri dekat kepada aku.

" Hmmm... Do you straight Nina?" Pap! Keluar seketul soalan peribadi untuk orang asing yang aku baru kenal tak sampai 15 minit. Tak sesuai betul. Jo...Apa kau buat ni syaiton.

" No... I am not." Dia jawab selamba. Kan betul aku dah cakap. Gaydar aku masih ok.

" Do you gay Jo?" Giliran dia pulak tanya aku. Ambik kau. Nak tersedak aku masa tu.

Penumpang lain masing-masing dah pandang aku. Terutamanya mak cik bertudung ropol yang betul-betul bertentangan dengan kami. Masa tu aku harap mak cik ni tak tahu Bahasa Inggeris. Tak pun mak cik ni closeted lesbian ke. Apa aku nak jawab ni. Ya ke tidak.

" No, I'm not straight Nina." Akhirnya aku menjawab menggunakan polisi tak perlulah berbohong.

" Really Jo? But I thought in Malaysia, it forbidden." Muka dia terkejut.

" It forbidden everywhere actually. But I manage. I also have some not so straight friends..." Aku menjelaskan. Muka Nina masih lagi menunjukkan riak macam tak percaya.

" Do you have facebook? I wanna add you." Tiba-tiba dia teruja. Amboi...

" I don't have facebook, but I have twitter? Do you use twitter?"

" I don't have twitter. Can I have your number? Pantas betul pengkid mat saleh ni.

Kami pun bertukar-tukar nombor telefon. Sambil mengatakan yang dia ada instagram. Aku terkial-kial sikit pasal aku belum setting apapun telefon baru ni. Train sampai ke destinasi stesen Bandar Tasik Selatan. Kami bersalaman dan dia turun. Ramai penumpang lain yang turun. Jadi dapatlah aku duduk.

Aku tersengih membayangkan semua perbualan aku tadi.

Malam itu dalam pukul 7 lebih dia WhatsApp aku. Aku jawab baik-baik. Aku dah install semula apps aku yang lain-lain itu. Recover benda-benda yang hilang. Nombor telefon, emel dan sebagainya. Untuk orang yang bekerja dalam bidang IT macam aku ni telefon pintar adalah satu keperluan.

Esok pagi dia di WhatsApp aku lagi mengatakan dia sudah di Melaka. Aku jawab baik-baik juga. Tapi pendek aje. Malas aku nak berpanjangan. Karang nampak aku macam 'berminat' pulak.

Tengah hari itu dia WhatsApp aku lagi tanya pasal gay bar kat Kuala Lumpur. Aku jawablah aku tak tahu, sambil aku cuba cari guna google.

Keesokkan harinya aku WhatsApp dia sambil mencadangkan beberapa makanan tempatan yang berunsurkan vegan pada dia, mengenangkan dia cerita dia asyik makan buah sahaja.

Dia mengajak aku dinner atau lunch bila dia kembali ke Kuala Lumpur nanti. Aku tak berminat sebenarnya, tahulah aku punya sibuk macam mana. Nanti dah janji tapi tak dapat nak tunaikan pula. Tapi, tak adalah menolak secara langsung. Aku cakap aku tak biasa dengan tempat makan vegetarian di Kuala Lumpur. Nampaknya dia macam faham sebab aku jawab pun pendek-pendek sahaja.

Itulah sahaja ceritanya.

PS: Aku sengaja tak minta instagram dia, nanti aku cemburu tengok orang pusing satu dunia.



Tuesday, January 2, 2018

Laluan Sri Petaling

Beberapa hari lepas aku begitu berkobar untuk menulis cerita ini.
Sekarang aku menulis agar tidak lupa di kemudian hari.

Blog ini dah macam diari.

Aku jarang keluar, itu yang semua sedia maklum. Aku peramah, walaupun sedikit pemalu. Boleh borak tak henti-henti. Skema dalam semua aspek. Cuma aku memang MALAS NAK KELUAR.

Hari Sabtu yang lepas, kononnya nak beli kasut hitam. Kasut hitam sedia ada telah pun terkopak tapaknya. Usia kasut BATA itu mampu bertahan selama tujuh bulan sahaja di kaki aku. Aku berkira-kira untuk membeli kasut PUMA, mungkin boleh capai tiga tahun. Aku bersiap ala kadar.

Sedang aku cuba mengecas telefon pintarku, Redmi Note 3. Tiba-tiba telefon pintar itu sudah tidak pintar lagi. Setelah beberapa hari aku menggunakan ianya 24 jam tanpa henti. Telefon ini mampu bertahan hampir dua tahun sahaja.

Aku mengira-ngira tempoh hubunganku dengan Bunga. Tak sampai setahun...

Lalu aku membuat keputusan. Aku adalah seorang pemilik yang tidak cermat. Gelojoh. Tidak sabar. Apa yang aku miliki aku gunakan sepenuh perasaan dan kemahuan aku. Lagi-lagi sesuatu yang aku sukai.

Mak aih! Panjangnya intro.

Tanpa berlengah, aku yang sudah pun bersiap, mengambil keputusan untuk ke Plaza Lowyat. Hub segala gadget. Harapnya dapat mencari mana-mana tukang baiki yang mampu membetulkan kesilapan aku itu.

Aku menaiki LRT laluan Sri Petaling, ke Hang Tuah kemudian menaiki KL Monorail ke Imbi.


Dua hari aku ke Plaza Lowyat. Beberapa tukang baiki telah dicuba. Berbelas jam juga masa dihabiskan. Proses membaiki telefon pintar ini akhirnya mencapai satu keputusan. TIDAK BERJAYA.

Petang Ahad itu, setelah meninjau beberapa pilihan yang ada, akhirnya aku memilih untuk membeli telefon baharu sahaja. Redmi 4A dengan harga RM450 tanpa berfikir terlalu banyak. Lesap bajet kasut PUMA aku.

Sakit hatilah juga. Benda yang dirancang tidak menjadi. Itulah kehidupah namanya. Aku redha ajelah. Sambil berazam supaya telefon baru ini boleh bertahan lebih dari 2 tahun.

Pulang hari ke dua juga menaiki LRT. Aku jalan lambat-lambat. Nak bekejar pun bukannya ada anak isteri yang menunggu di rumah. Sambil memikirkan kerja design yang masih berlambak tak disiapkan. Tertangguh disebabkan daya kreativiti aku agak tumpul semenjak dua menjak ini. Ugh! Letih.

Aku ternampak seorang perempuan Mat Saleh berambut pendek, bertopi, memakai singlet dan berseluar pendek sedang memegang peta LRT sambil bertanya kepada seorang brader yang memegang bayi. Saja aku dekatkan diri untuk mencuri dengar perbualan mereka. Dia hendak ke stesen Bandar Tasik Selatan (TBS). Sama laluan dengan aku.

Aku biarkan sahaja, lalu menunggu train yang belum kunjung tiba. Kemudian aku terdengar lagi perbualan mereka di belakang. Brader tadi seperti memberikan penerangan yang agak mengelirukan. Aku menggelengkan kepala.

Sudah sampai masanya aku ambil alih pertolongan brader tadi menggunakan skill Bahasa Inggeris yang penuh dengan kesalahan grammar dan sebutan Inggeris ala Melayu aku.

"Hi, where are you going?" Amboi! Gitu ayat aku menyoal dengan penuh keyakinan. Aku memberikan senyuman sederhana kepada mereka berdua.

"Bandar Tasik Selatan..." Perempuan mat saleh itu memberitahu sambil menunjukan peta di tangannya kepada aku.

"I think you must take another train...bla..bla.." Brader tadi cuba menjelaskan lagi, nampak seperti tak berpuas hati dengan pertolongan secara sailang yang cuba aku gunakan.

"Don't worry, you're on the right track. We now at Hang Tuah right? Take train to Putra Height Line and it will stop at Bandar Tasik Selatan." Aku cakap mat saleh lagi dengan penuh merepeknya. Ikut suka hati aku, sambil menunjukkan laluan dalam peta dia.

"I think so. Thank you. Where are you going?" Dia pulak bertanya aku.

"We on same train, but I stop at different station." Aku tersengih. Dia mengangguk tersenyum.

Masuk aje dalam train, punyalah ramai orang. Terpaksalah aku berdiri. Perempuan mat saleh ni berdiri jugak sambil tersenyum-senyum memandang aku. Gaydar aku berbunyi dengan kuat. Aku yakin perempuan mat saleh ni, sekurangnya pengkid.

Aku pulak tak berfesyen pun hari ini. Tak memengkid. Aku pakai oversized sweatshirt, seluar slack, kasut kungfu dan tudung ikat. Memang sengaja aku pakai gaya mak cik-mak cik. Ia membuatkan aku rasa berkuasa "don't mess with mak cik".

Tapi sekarang, menyesal pun ada. Tak bolehlah aku nak membuka bicara dari pengkid ke pengkid dengan pengkid mat saleh ni...

Tapi itulah, aku adalah aku. Walau mak cik macam mana pun gaya yang aku ada. Entah kenapa dengan keyakinan melebihi Ann Najwa menjaringkan gol, kaki ini mengorak pantas  lebih dekat ke arah dia...

"Where are you from...?" Spontan mulut aku bertanya.


Bersambung...

Friday, August 12, 2016

GPS

Adik beradik kalau tak bergaduh, dah boleh di kategorikan sebagai salah satu daripada tujuh benda ajaib di dunia. Bergaduh itu satu lumrah.

Aku dan Kak Jen paling kerap gaduh. Kami tak gaduh belakang-belakang. Kami gaduh, memang mencabar kebodohan masing-masing depan itu jugak. Apa yang aku nak ceritakan di sini janganlah jadi ikutan pula. Berbaiklah kamu sesama adik beradik.

Hari minggu yang lepas, aku tak mahu duduk di rumah sewa aku. Lalu aku ke rumah sewa Kak Jen. Sudah dua kali hari minggu sebenarnya aku lepak di rumah Kak Jen. Walaupun aku selalu mengutuk keadaan rumah Kak Jen yang bagaikan tongkang pecah. Rumah itulah tempat aku mencari sedikit ketenangan dan melarikan diri dari kawan-kawan aku yang entah apa-apa.

Pagi sebelum itu, kami pergi ke rumah kenduri kawan sekolah aku yang sudah lama aku tak jumpa. Aku guna Google Maps pada smart phone sahaja sebagai penunjuk jalan ke rumah yang tidak pernah aku pergi itu. Aku kan baru ada smart phone Xiaomi. Kak Jen sedikit kagum, padahal dia dah pakai smart phone jenama Samsung beberapa tahun lepas. Sebelum ini ada beberapa kali aku menunjukkan dia cara-cara menggunakan Google Maps. Tapi otaknya masih belum dapat menerima. Setiap kali guna dia masih sesat. Dia menyalahkan aku kerana tidak mengajarnya betul-betul.

Atas dasar geram, aku membuat kesimpulan memang dia tidak akan dapat belajar guna Google Maps sampai kiamat pun. Penat sudah aku mengajar. Dia sedikit tersinggung dan bengang dengan kata-kata hinaan aku. Iya, memang itu pun niat aku pun, memanaskan keadaan.

Keesokkan harinya dia menyatakan niatnya untuk membeli satu unit alat GPS kereta. Aku naik bengang. Harga alat itu bukannya murah. Aku melarangnya. Aku nyatakan lagi hujah-hujah ku. Dia sudah ada smart phone yang ada GPS, kenapalah nak beli pula satu device lain yang fungsinya sekadar GPS. Lagipun, belum tentu dia tahu menggunakan alat GPS tersebut.

Dia berkeras. Lalu bertanya lagi. Jika dia membeli alat GPS tersebut, adakah alat tersebut menggunakan internet. Kak Jen kalau boleh nak internet free aje. Aku senyap. Malas jawab. Malas layan kedegilan dia. Lagipun aku tak tahu apa jenis alat GPS yang ditawarkan pada masa sekarang.

Kak Jen tanya lagi. Aku tak jawab, senyap. Buat bodoh. Sambil dia bersiap-siap lepas mandi itu. Dia menghamun aku. Katanya, biar tuhan tarik balik segala ilmu yang aku ada sebab sombong belagak. Sambil play victim sebagai orang yang tak pandai dan sekadar ingin bertanya pada aku. Aku panaskan lagi keadaan mengatakan, biarlah...Ambil dan tariklah ilmu aku ini jika sekadar tidak mahu menjawab soalannya. Lagilah orang tua Jen sakit hati dan menghamburkan kata-kata penuh dramatiknya.

Setelah hampir setengah jam bertekak, kami pun senyap. Penat anak tekak. Sakit hati pun iya jugak. Dua-dua masih tak menang dan masih belum mahu beralah.

Aku main game dekat smart phone. QuizUp.

Kak Jen pula pakai bedak agaknya di dalam bilik.

"Jom pergi karaoke!"

Kata Kak Jen sebaik sahaja keluar dari bilik. Siap bertudung dan beg sandang.

"Jom!" Aku bangun melompat capai dompet, selit dalam poket.

Sempat aku mengerling adik perempuan kami yang sedang mengomel melihat aksi itu.

"Entah apa-apalah dua orang tua kutuk ni..."

PS:  Sila vote sama ada Kak Jen patut beli alat GPS atau tidak.

Thursday, June 23, 2016

Langkah Satu.

Malam tadi selepas solat Maghrib, aku dan Bunga sama-sama setup semula akaun Skype kami yang dah berhabuk. Synchronized kan ia, lalu membuat beberapa cubaan lansung dari bilik aku ke ruang tamu. 

Mujurlah housemates aku belum balik dari beli belah persiapan hari raya. Kalau tidak banyak pulak soal jawabnya. Belum masanya lagi hubungan ini kami publickan. Bila nak publickan itu? Entahlah. Kami tidak mahu menimbulkan skandal dan gossip.

Setakat ini aku rasa bahagia dengan kami.

Hidup yang sederhana dan tiada pening kepala. Aku tahu banyak isu yang bakal timbul di masa akan datang seperti famili, LDR, kepercayaan, masa depan dan lain-lain. Aku terfikir juga banyak benda. Tapi perlahan-lahan. Selesaikan satu-satu dulu.

Aku tak mahu beri isu-isu ini serentak pada Bunga. Biar dia selesaikan pengajian dia dahulu dengan anugerah dekan. Itu yang paling penting. Lagipun tiada apa yang aku nak kejarkan. Kecuali kalau Bunga tiba-tiba berlari. Aku kena kejarlah dia sampai dapat. Persediaan mengejar itu aku sedang kumpul sikit-sikit.

Bila adanya Bunga, cita-cita aku jadi makin besar.  Aku kena banyak melukis lagi. Cari duit lebih. Mana tahu jika ada rezeki boleh beli rumah sendiri dan tinggal bersama. Aku sendiri letih juga tinggal dengan housemates. Usia pula makin tua. Mana nak layan kerenah sendiri. Kerenah housemates lagi. Kalau ada rezeki juga, mana tahu jika ada sesiapa ingin beri anak pada aku. Boleh juga jadi peneman dan pendorong semangat aku.

Tapi itu pun kalau ada rezekilah. Kalau tidak duduk sahaja dengan housemates aku berdua tu yang belum aku nampak nak berkahwinnya. Tiga orang gadis single.

Banyak juga aku fikirkan pasal dosa. Aku selalu ingatkan diri sendiri supaya menjaga akhlak antara kami berdua. Dia juga aku ingatkan. Ada batas-batas yang perlu kami jaga. Sedangkan ada keperluan yang kami mesti penuhi. Terus-terang aku katakan payah. Kami sangat sukakan each other. Aku cakap pada Bunga. Aku sayang dia. Aku sayang juga agama aku.

Pagi tadi ketika masih dalam telekung dengan kejamnya aku tanya Bunga.

“ Kau nak sayang aku macam ini berapa tahun lagi?”

Dia menjeling aku. Sambil Lalu dia cuba berlagak cool dengan mendendang lagu Justin Bieber. What Do You Mean?

“Berapa tahun? Apa punya soalan? Kalau boleh biar berpanjangan.”

Aku tahu hubungan ini melukakan hati famili kami. Itu antara hal yang buat aku takut. Tapi aku mohon, Ya Allah. Kau jagalah hubungan kami dengan keluarga sebaik mungkin.

Jika mereka tidak merestuinya sekalipun. Aku hormati itu dan aku harap mereka hormati keputusan kami. Apapun.


PS: Selamat Hari Raya. Selamat pulang ke kampung.

Sunday, September 20, 2015

Istilah

Media sosial kadang-kala memberikan aku sakit kepala.

Ada masanya dulu, konon-konon aku tahu semua perkara. Atau aku mungkin lebih tahu dari orang-orang. Jadi seringnya aku jadi bahan rujukan atau kamus.

Kecepatan teknologi, sembang secara langsung dan global ini buat aku rasa tertinggal jauh.

Aku cerita tentang kerabu manga, orang cakap pasal somtam. Aku baru nak ambil tahu pasal Isis, ada pula Isil, IS? Aku baru nak borak tentang Ellen Page coming out, orang mula cakap tentang girlfriend dia Samantha Thomas? Bila aku buka cerita tentang homophobic orang cakap pasal cisgender. Apa benda tu?

Istilah demi istilah muncul. Terutamanya dalam kamus sosial LGBTQ....*berapa banyak huruf, daa...*

Ada juga istilah yang sedia ada, tapi setahun kebelakangan ini baru dipopularkan. Banyak pulak tu. Sebagai orang yang menulis, penting untuk tahu. Kalau tidak mungkin dicop jahil. Atau mungkin akan memperbodohkan diri sendiri.

Apa pentingnya mengetahui dan mempelajari istilah ini. Untuk kesedaran hal ini itu wujud? Untuk membentuk hidup yang lebih baik? Masa depan yang lebih terdidik dan mendidik? Untuk kegunaan seharian? Atau sekadar untuk orang tahu kita lebih tahu dari orang lain?

Aku keliru. Mungkin juga jahil.

Baiklah.

Imbas kembali... 10/11 tahun lepas.

Masa kerja restaurant dulu. Kami punya manager yang berpendidikan tinggi. Pengkid tapi closet. Ada masa dia lepak dengan kami pengkid yang muda-muda ini. Dia cakap, dia tak boleh betul dengan lessy. Dia cakap dia ok kalau pengkid dengan girly girl. Tapi bila girly girl dengan girly girl, dia geli.

Aku senyap ajelah.Tak nak ikut kata-kata dia secara membuta tuli. Orang lain aku tengok mengangguk aje. Adakah istilah untuk orang seperti manager pengkid ini?

Ada juga perempuan yang hanya suka pengkid. Entah macam mana pengkid dia pelahan-lahan menjadi lebih kewanitaan. Maka perasaan suka itu hilang. Macam mana itu? Kenapa dia tidak suka lelaki sahaja pula? Apa istilah untuk ini?

Kak Jen pula, masa dia mula memengkid. Dia cakap yang sebenarnya dia bukanlah hendak jadi pengkid sangat. Tapi masa itu dengan menjadi pengkid sahaja dia diterima bersama dengan girlfriend dia. Itu sahaja satu-satu caranya yang dia nampak.

Dengan sedikit pengetahuan, aku terangkan pada Kak Jen, itu ini. Memang dia tak faham. Makin keliru adalah. Jadi dia tak berapa kisah untuk ambik tahu.

Sehinggalah aku beri Kak Jen tonton cerita The L Word. Habis 6 season, baru dia tahu kewujudan pelbagai itu ini. Baru dia hendak faham.

Hendak tak hendak terpaksa juga mencari rujuk pop culture. Itu lebih dekat dengan masyarakat. Walaupun bukan semua intinya bagus dan tidak aku galakkan.

Orang yang kononnya tahu itu ini, jangan sabur orang yang tak tahu. Walaupun hakikatnya memang ramai orang jenis sarkastik, troll dan kaki sabur dalam dunia ni. 

Sama sekali tak boleh anggap semua orang tahu apa yang kau tahu. Walaupun dunia makin global, kena ada pemahaman, yang agama, budaya, pendidikan malah geografi kita berbeza. 

Istilah memudahkan. Mungkin juga memeningkan. Mungkin juga istilah yang ada tidak pernah tepat untuk menggambarkan sesuatu.

Apapun istilah baru didengar atau baru wujud, benar atau tidak. Popular atau tidak, jangan ikut memahaminya secara membabi buta. Perlu rajin merujuk sana sini. Fahami penggunaannya. 

Orang yang tak tahu seperti aku. Inilah peluang untuk ambil tahu. Mungkin ada kegunaannya di masa akan datang. 

PS: Mungkin sahaja aku akan bermalas-malas sahaja untuk tahu.



Sunday, March 22, 2015

Dua Kisah

Beberapa minggu lepas, panas di laman sosial tempatan gambar seorang selebriti Malaysia bergambar seksi  di majalah dengan berselimutkan bendera USA.

Pertama kali tengok gambar tu, jujur kepala otak aku terus cakap.

“ Wow, cantiknya dia!”

Tengok lagi. Aku telan air liur dan cakap.

“ Confirmlah kena bash masyarakat lepas ni.”

Beberapa hari sebelum itu, aku terima pemberitahuan. Salah satu gambar di tumblr blog aku telah di reblog sebuah tumblr yang penuh gambar tak senonoh dengan kapsyen provokasi. Padahal gambar di tumblr blog aku itu adalah gambar perempuan muslimah, tutup aurat. Tak boleh jadi!

Tengah-tengah malam itu juga aku terus email pada staff tumblr untuk keluarkan gambar tersebut dari tumblr blog tak senonoh tadi. Tak sanggup aku memikirkan gambar itu akan jadi bahan ‘fap’ lelaki hidung belang seluruh dunia. Sehari lepas itu, staff tumblr balas email aku mengatakan gambar itu telah mereka keluarkan. Terus aku tengok semula tumblr tersebut untuk pastikan hal tersebut. Tumblr itu juga telah di tutup serta-merta.

Bila aku fikirkan semula, dengan kewujudan pesat pelbagai jenis blog/apps untuk orang tengok atau post gambar perempuan/lelaki yang cantik dan kacak, tak kiralah menutup aurat ataupun tidak. Sudah tentu jugalah ada berapa ramai jenis manusia di luar sana yang menjadikan gambar-gambar yang tersebut itu sebagai bahan ‘ fap fap fap’.

Aku yakin, gambar selebriti wanita tersebut telah pun jadi bahan ‘fap’.

Pernah aku nasihat pada anak sedara lelaki aku yang cuba-cuba hendak tengok wanita seksi lama dulu. Nasihat yang bunyinya lebih kurang begini.

“Dalam dunia ni memang ada orang tak jaga maruah dia, tapi kitalah yang kena tolong jaga maruah dia. Kamu jaga maruah kamu. Tak payah nak tengok-tengok sangat… Faham? ”

Panjang lagilah nasihat aku. Dia angguk-angguk. Entah faham entah tidak budak itu.

Aku, Kak Jen dan Abang Ngah diberi kesempatan ke pengembumian kawan baik emak di kampung kami minggu lepas. Hari jumaat perginya, Sabtu pagi dikebumikan. Orang tak ramai di kubur. Jadi dapat kami tengok dengan jelas, anak-anak lelaki angkat arwah emak mereka dan di letak sempurna di liang lahat.

Dari hujung rambut sehingga hujung kaki, di tutup kain kafan putih. Kubur di kambus tanah. Talkin dibaca. Cuaca panas, tapi angin bertiup senang.


Aku dan Kak Jen sama-sama sebak. 
Dan dua kisah di atas saling berkait rapat.

Saturday, November 8, 2014

Omegle yang Geli

Adakah kamu jenis yang boleh borak dengan orang yang kamu tak kenal? Bincang topik itu dan ini. Ya. Aku spesis itu.

Lamaaaaa dulu, Fifi kenalkan aku dengan satu website yang kita boleh chat secara rawak dengan sesiapa sahaja di seluruh dunia yang juga menggunakan website itu. Pernah dengar OMEGLE? Apa? Dah lapuk? Ya, memang aku seorang aje baru tahu pasal omegle ni masa itu. Sedangkan dah bertahun-tahun orang lain guna.

Ada dua pilihan dalam Omegle ni. Sama ada nak text sahaja atau kau boleh video dan text.

Satu hari itu aku melepak di rumah Kak Jen. Aku ajak Kak Jen main omegle ni. Kita orang guna video. Kebanyakkan orang yang kami jumpa adalah dari India. Jadi topik kami borak dah tentu pasal cerita Hindustan atau Tamil. Layan jugaklah walaupun masing-masing bukannya tahu bahasa mat saleh sangat. Sempat juga kami promosi Malaysia kat dia orang.

Malam semakin malam. Kak Jen dah tertidur di atas sofa. Mata aku makin segar.

Muncul pula di screen laptop seorang anak gadis mat saleh yang masih muda. Andai jumpa situasi ini, aku selalunya skip ke video chat seterusnya. Aku tahu kebiasaannya, pengguna sebenar adalah lelaki hidung belang yang terdesak.

Tapi entah macam mana, mungkin sebab aku naik geram. Aku meneruskan video chat itu. Chat serba sedikit, pengguna sebenar mula menampakkan perangai hidung belangnya. Dia minta aku buka baju. Aku kata tidak. Dia cakap dia akan buka baju dulu. Lalu dia tayangkan video gadis tadi buka baju pulak. Aku ugut nak tamatkan chat kalau dia tak berhenti. Jadi dia kembalikan gambar gadis tadi macam biasa.

Kami sambung chat lagi. Aku cakap aku tahu yang dia bukan gadis itu. Dia menafikan. Pelahan-lahan aku pujuk dia supaya tunjuk rupa dia yang sebenar. Degil lelaki ini. Tak habis-habis nak suruh aku buka baju. Kak Jen atas sofa di belakang kadang-kadang terjaga sambil aku tepuk-tepuk suruh tidur semula.

Lama juga aku nak pujuk dia ni.

Tapi akhirnya dia mengalah juga. Dia tutup video gadis tersebut dan tunjuk rupa dia. Lelaki mat saleh rupanya. Kami berbalas lambaian. Dia berambut botak. Muka boleh tahan kacak. Mewah juga suasana bilik dia. Di belakang dia ada katil dan nampak ada seorang awek tengah tidur lena atas katil itu.

Aku tanya siapa awek tu. Dia beritahu aku, itulah girlfriend dia. Aku tanya dia lagi, girlfriend dia tak marah ke dia video chat benda-benda tak senonoh macam ini. Katanya, girlfriend dia pun sama. Lepas itu bersungguh-sungguh dia menawarkan aku video seks dia dengan girlfriend dia. Lagi sekali aku beritahu aku memang tak nak.

Dia hairan dengan aku sebab selalunya kalau dia tayang video gadis seperti tadi pun orang dah gembira sakan. Inikan lagi dia nak bagi video seks percuma aje.

Kami teruskan chat. Sambil aku berikan nasihat-nasihat apa yang patut. Aku tahu dia bukannya nak pakai pun nasihat aku. Aku cerita serba sedikit pasal Islam pada dia. Terkejut dia bila aku beritahu yang aku muslim. Seperti biasa memang ramai mat saleh yang jahil pasal Islam ini dan anggap orang Islam tu pengganas.

Mata aku makin mengantuk. Kami menamatkan chat entah pukul berapa. Dia sibuk mahukan email aku. Jangan harap aku nak bagi. Bukannya aku tak tahu yang dia memang nak sangat hantar email video seks dia tu.

Sekian.

PS: Lepas aku tutup laptop aku tidur atas lantai. Bantal selimut pun tak ada sebab Kak Jen dah tidur atas sofa yang sepatutnya jadi tempat tidur aku. Cis Kak Jen.

Tuesday, September 16, 2014

Dalam Lagu

Aku suka buat rakaman video. Aku suka rakam apa sahaja. Sama ada sorang-sorang, bersama Kak Jen, adik beradik, anak sedara atau kawan-kawan. Banyak juga video yang dah hilang. Antara rakaman yang aku suka adalah rakaman yang dibuat empat lima tahun lepas. Aku dan Kak Jen battle dance. Hip hop ya. Padahal kami satu apa pun tak tau menari. Kak Jen biasalah dengan move poyo ala-ala Micheal Jackson dia. Antara yang terbaru adalah kami berdua buat persembahan spontan untuk buat emak gelak masa cuti hari raya.

Ok habis cerita itu.

Korang pernah dengar tak Kina Grannis cover lagu The Neighbourhood, Sweater Weather? Pergh! Lagu best. Suara best.

Korang pernah dengar lagu Magic!, Rude? Layan juga lagu ni. Syok memang syok, tapi kalau hari-hari main dekat radio, memang agak berdarah jugak telinga mendengarnya. Dapat pula housemate aku selalu mendendangkan lagu ini sambil memuat turun filem-filem kegemaran kami. Maka sampai satu titik di mana, cukuplah. Aku tak boleh dengar dah lagu ini.

Sedang buat kerja graphic sambil layan gambar di tumblr. Tiba-tiba terbaca satu artikel 28 Gay Girl Covers Of Straight Songs…. Apa ini? Klik dan keluar senarai lagu.

Salah satu lagu Rude oleh Magic! dinyanyikan semula oleh Kina Grannis. Biar betul. Berfantasi agaknya penulis ini. Bila masa pulak Kina Grannis ni gay. Dia ada suami. Mujurlah penulis artikel ada menerangkan dalam artikel yang dia tak dapat menolak untuk menyenaraikan lagu ini. Lalu aku juga tidak dapat menolak perasaan ingin mendengarnya.

Dengar aje lagu ini, dengan suara Kina Grannis yang gemersik. Petikan gitar lembut. PUFF! Aku terasa macam kembali zaman bercinta-cintaan dulu. Aku terasa macam boleh tulis satu cerita fiksyen di mana seorang gadis ingin mengawini gadis yang dicintai tapi ditentang keras oleh keluarga. Mak aih!

Tapi aku tak tulis pun cerita fiksyen tu. Dapat bayangkan dalam kepala sahaja. Belum cukup terer tulis macam penulis blog dalamgobok. Aku asyik gelak sahaja baca cerita dan fanfiction dia. Aku harap andai dia baca post ni dan layan lagu ni dia dapatlah idea apa-apa.


PS: Masa mula-mula kawan dengan Honey dulu aku selalu nyanyi lagu She Will Be Loved. Cuma aku tukar lirik sikit. : b

Beauty queen of only eighteen
She had some trouble with herself
He She was always there to help her
She always belonged to someone else

Jom layan lagu!



Monday, September 8, 2014

Situasi Dia Situasi Aku

Mahu ubah angin.

Aku pindah.

Tidak tinggal serumah dengan Anis lagi.

Sudah mengecat dinding bilik baru dengan warna kelabu.

Warnanya kena pula dengan langsir corak pink yang aku beli di Pasaraya Giant.

Tinggal bertiga, dengan Fifi dan seorang kawan kami Erni. Pernah aku cerita tentang Fifi ini dalam salah satu blog post dulu. Kini Fifi masih satu company dengan aku aku cuma di pejabat lain-lain.

Asalnya aku nak cari bilik di rumah yang aku tak kenal sesiapa pun. Lalu aku google di ibilik dan mudah.com. Macam-macam orang aku jumpa. Dari Ustazah sekolah rendah, janda 19 tahun punya anak seorang, gadis daring berdress pendek merah hingga ke isteri orang yang suaminya kadang kala sahaja pulang ke rumah. Semua dengan wajah ceria mengalu-alukan aku untuk menyewa bersama. Aku pula yang rasa ngeri. Boleh tahan memilih juga aku ini. Kalah mencari calon isteri gayanya. Ha!

Aku mengalah dan menerima pelawaan paling awal dari Fifi yang asalnya aku menyombong sangat tu. Salah seorang rakan penyewa Fifi pindah sebab berkahwin. Jadi ada satu bilik kosong untuk aku. Alhamdullilah. Seronok duduk dengan Fifi dan Erni.

Kadang-kadang ada juga aku terserempak dengan Anis yang membawa kucingnya bersiar-siar. Lalu kami berborak-borak. Dekat sahaja rumah kami ini sebenarnya.

Bahayanya tak bahayanya duduk dengan Fifi ini, apabila dia pulang bekerja selalunya dia akan mencari-cari aku di dalam bilik. 

Ketuk sahaja pintu bilik aku dan dia akan memanggil. 

“ Jo! Jo! Jo! Buat apa tu?”

Adakalanya waktu itu aku sedang high melukis gambar figura wanita dalam keadaan aku hanya memakai underwear. Bagi aku bilik sendiri adalah tempat peribadi di mana tshirt dan bra bukan keperluan asas yang penting lagi. Aku ok aje dengan situasi itu. Aku takut dia sahaja yang pengsan melihat aku.

Satu hari itu sedang aku berbaring atas katil mencari ilham sambil melihat gambar-gambar di tumblr. Fifi menerjah masuk. Pintu bilik memang tidak aku tutup.

“ Jo! Fifi nak tunjuk sesuatu ni…” Katanya sambil selamba menyempil berbaring di sebelah aku. Hampir hendak tergolek jugalah aku ke bawah katil. Maklumlah katil aku katil single. Fifi pulak chubby.

“ Apa? Tunjuklah! Meh sini nak tengok…” Aku bersabar sahaja. Mungkin ada sesuatu yang penting.

“ Dah baca artikel kat Buzzfeed? Ada satu app. Whisper App. Boleh buat confession anonymous. Lepas tu orang lain yang ada app tu boleh baca confession kita. Ni hah contoh dia!” Bersemangat dia tunjuk artikel kat website Buzzfeed.

Aku ambik smartphone dia dan tengok artikel tu. Baca satu-satu…OMG LGBT confession rupanya. Terkedu aku kejap.

“ Jo download la app ni bolehlah nak confess apa-apa nanti” Dia cakap macam itu. Apa dia dah tahu aku ini gay ke? Ini surreal.

“ Hish… Jo nak confess apanya? Engkaulah download app ni, nanti boleh kau confess pasal pakwe yang kau crush gila-gila tu” Kata aku pula, sebab hampir setiap hari dia akan cerita pasal lelaki kacak yang dia suka tu pada aku.

“ Iyelah… Alangkah baiknya kalau si dia tau perasaan ini…” Kata Fifi. Fikirannya nampak melayang-layang. Angau.

Jadi aku yakin dia memang masih tak tahu yang aku ni gay. Kisah Whisper App ni mungkin ada kaitan tentang situasi dia dan lelaki kacak itu sama sekali bukan tentang aku.

Tapi. Iye ke?


PS: Sampai sekarang aku tak download Whisper App tu. Tak kuasa.

Saturday, August 24, 2013

Kebenaran dan Tweet.

Saat kebenaran adalah dimana
kau sedang baring atas katil dan
tiba-tiba kau bangun menulis. Guna pen.

Aku suka tweets kamu.
Aku rasa tweets kamu educational, menghiburkan
dan comel.

Kadang-kala aku reply.
Kadang-kala aku tweet kamu.

Ya betul.
Aku baca hampir semua tweets kamu.
Aku suka bahasa kamu.
Entah-entah aku suka kamu.
Mana aku tahu. Aku tak pernah jumpa kamu.

Patutkah kita berkawan?
Aku rasa ragu pada diri aku. Niat aku selalu
serong. Jadi biarlah.

Aku bukan suka berkawan sangatpun.
Aku suka membaca.
Jadi macam itulah...

-Jo Rahim-

Thursday, August 22, 2013

Bila Sesat Jalan

Cerita ni berlaku di Shah Alam. Cerita ni dah lama. Lama sampai aku tak ingat sangat detail dia. Entah macammana aku teringat semula. Mungkin sebab aku rasa gadis Shah Alam cantik level 10.

Kehidupan seharian aku sebagai pemandu yang membosankan hanyalah, balik kerja-pergi kerja. Hujung minggu pergi rumah Kak Jen, tak pun balik kampung. Mana ada aku nak memandu saja-saja. Buang masa. Buang minyak. Aku kan insan bekerjaya yang suka bekerja. Jadi amat ketara lorong-lorong dan jalan raya sekitar Selangor ni aku memang tak lepas.

Tapi, aku seorang pemandu kereta yang gamble. Gamble dalam erti kata, walaupun tempat tu aku tak tahu, aku boleh aje nak pergi. Bagi aku, selagi masih dalam negara Malaysia. Sesat-sesat itu biasalah. Tiada apa yang perlu ditakutkan. Kalau lapar, 7 Eleven kan banyak. Ada kawan menasihatkan aku beli GPS. Aku gelak aje.

Aku pergi Shah Alam. Sorang-sorang. Aku pun tak ingat aku pergi sebab apa. Mungkin sebab nak pergi jumpa orang. Atau kena pergi survey tempat temuduga untuk adik aku.

Orang yang biasa di Shah Alam, akan cakap. “ Eleh, jalan Shah Alam tu senang sangat.”

Senang sangat…Cis.

Bagi aku tidak. Selepas pusing sana. Pusing sini. Pusing roundabout, masuk tol sana sini dua tiga kali. Jumpa balik jalan yang sama. Masa ni aku menyesal pulak duk gelak masa kawan aku suruh beli GPS.

Akhirnya aku putus asa. Aku susur masuk ke Giant Shah Alam. Dengan niat, menenangkan hati dengan makan pizza. Tapi aku nampak satu kereta ni, elok aje di tepi jalan. Nampak macam ada orang dalam dia. Proton Satria Neo ke tak silap aku, modified. Cantik. Aku kira-kira, kalau kereta bikin macam ini, pemilik dia mesti anak-anak muda Shah Alam. Nombor plate Selangor pulak tu. Mesti tahu jalan.

Aku parking Viva belakang kereta itu. Lalu keluar dan mengetuk cermin tingkap. Maka keluar seorang gadis melayu berbaju kebaya longgar. Rambut lepas. Subhanallah. Lawanya.

Aku menjelaskan situasi aku pada gadis tersebut, bertanya arah kepadanya. Dia menjelaskan sedikit sebanyak. Tiba-tiba pintu kereta sebelah pemandu pula terbuka. Keluar pengkid berwajah manis senyum pada aku. Aku terkedu. Siap blushing lagi. Rawak betul. MEMANG KEKOK SEBENARNYA KALAU PENGKID TERJUMPA PENGKID. Dia menjelaskan pula arah jalan pada aku. Aku tak tahan nak gelak. Dia pun sama. Masing-masing cuba control macho sambil cover senyum.

Masa tu mulut cabul aku nak aje tanya.

“ Ni awek kau ke? Cantik. Pandai kau cari.”

Tapi tak keluar walau sezarah gema.

Aku usha jugak dalam kereta tu. Ada dua orang gadis di tempat duduk belakang. Dua-dua pun super lawa. Pakai tudung. Senyum lambai aku. Aku lambai balik.

Lepas ucap terima kasih dan salam-salam sikit, aku pandu semula Viva ke arah yang di berikan. Sambil menyanyi riang. Pizza pun aku dah lupa. Aku jumpa tempat aku nak pergi. Sampai sekarang aku masih tak guna GPS.

PS: Giant Shah Alam ada Pizza ke?

Monday, July 22, 2013

Tujuh ayat.

Beberapa bulan yang lepas, setelah tamatnya musim sibuk dengan kerja, aku cuba hubungi Naruto. Tapi tak dapat. Telifon tak angkat. SMS tak dibalas. Lama juga berlarutan macam ini. Beberapa minggu. Perasaan paranoid aku mula syak benda mengarut. Mungkinkah dia sudah menjadi jutawan, lalu tidak sudi lagi menjadi kawan aku. Enggang sama enggang. Konon.

Di satu petang yang panas. Setelah beberapa kali cubaan. Naruto menjawab. Ya! Akhirnya!

Bila aku tanyakan kenapa susah sangat nak cari dia, dia pula memberi alasan, panjang ceritanya. Maka aku suruh pendekkan cerita. Guna lima ayat sahaja.

“ Kita berdua ni tak ada arah tujuan.” Kata Naruto. Dia guna tujuh ayat.

“ Nak berkawan kena ada tujuan jugak ke?” Bantah aku. Geram pun ada.

Naruto cuma gelak, cuba cover perasaan dia.

“ Awak merajuk dengan saya ya? Last time itu hari saya berkasar dengan awak.” Aku tanya lagi.

“ Tahu pun…” Naruto gelak lagi.

“ Maaflah, saya memang macam tu.. Selalu aje cakap kasar dengan awak. Selalu sibuk.” Sedih pulak aku rasa buat Naruto macam ini.

“ Eh! Tak ada apalah… Saya tak marah pun.” Naruto berkata manis.

“ Maaf tau. Tapi macammana ya awak tahan diri tak angkat call saya banyak kali? Kalau saya memang tak bolehlah. Mesti nak angkat jugak.” Aku cuba berlawak.

“ Mana ada banyak kali, baru tiga kali.” Naruto cuba menafikan. Biasalah lelaki, tak nak kalah.

“ Tolong Naruto,  jangan buat macam ni lagi, saya ingat awak dah mati ke apa. Kalau awak call, tak kiralah saya sibuk ke. Saya marah ke, saya tengah tidur ke, saya tengah mandi sekalipun, saya angkat aje telifon. Awak tetap dengar aje suara saya ni walaupun suara marah.” Aku membebel penuh drama.

“ Iyelah.” Balas Naruto ringkas. Nyata dia masih merajuk.

“ Maaflah. Kita jadilah kawan baik ya. Jangan sayang saya banyak sangat. Nanti awak sedih. Telifon ajelah kalau rasa nak borak. Saya salah. Saya selalu marah. Masa akan datang mungkin saya akan sakitkan hati awak lagi. Tapi kita tetap kawan kan.” Aku bersuara lembut.

Sampai hari ini aku sms dia selalu. Harap dia tahu aku ikhlas.

Sebab, sebagai kawan tu kami memang dua orang yang bagus. Saling nasihat-menasihati.

Aku paranoid. Teruk.

Naruto merajuk. Buruk.


PS : Kak Jen baru beli Samsung Note 2. Tapi tak tau nak guna. Anak nyet!

Monday, April 1, 2013

Mencari Soalan


Mampu ke aku menulis dalam keadaan tak ada idea? Mari cuba.

Petang tadi aku merayau ke mall dengan seorang kawan perempuan, merangkap officemate dan kawan borak tentang kpop dan hal-hal keduniaan yang lain. Kita namakan sahaja dia Fifi. Bekas pelajar sekolah agama tapi amat sempoi orangnya. Sedikit chubby. Fifi masih single tetapi ada menyimpan perasaan pada seorang jejaka.

Aku selalu rasa Fifi dan kawan office lain macam tahu yang aku ini seorang lesbian. Dalam masa yang sama aku tak rasa pulak dia orang tahu. Iyelah, aku manalah ada girlfriend sekarang. Malah pernah ada boyfriend, si Naruto tu. Lagipun setiap kali ada lelaki yang agak kacak di office, secara automatik aku sendiri akan menggosipkan diri aku dengan mereka. Walaupun aku pasti yang lelaki kacak di office sama sekali tidak tergoda pada aku. Lantaklah.

Aku tak mahu kawan office tahu sebenarnya. Sebab aku ada pengalaman buruk bila berterus-terang. Orang akan layan aku lain. Perempuan akan layan aku lain, lelaki juga akan layan aku lain. Tapi kadang-kala jauh dalam hati, bila dah kamceng macam aku dan Fifi ini, aku harap dan teringin dia tahu. Aku harap dia terima aku seadanya.

Maka berbalik pada cerita petang tadi, lalu aku ada  membuat sedikit percubaan untuk mengkantoikan diri aku sendiri pada Fifi.

Masa itu Fifi dan aku singgah di sebuah kedai gadget untuk bertanyakan tentang handphone Fifi yang selalu jammed. Salah seorang staffnya adalah seorang amoi berambut hitam lebat macam rambut Zhao Wei dalam cerita Painted Skin. Jarang aku tengok amoi rambut hitam macam ini. Selalunya mesti dah  highlights. Aku cuba melemparkan sedikit senyum. Amoi itu buat dek sahaja. Oh, baiklah…

Sedang Fifi berbincang tentang handphone dia, aku mula beraksi. Aku cuba masukkan pamphlet galaxy camera yang aku pegang ke dalam bekas air di atas meja kaca depan amoi itu. Aku tahu bekas air itu gunanya untuk staff menguji handphone jenis kalis air, sengaja aku nak tengok apa respon amoi tu.

“ Air tu bukan untuk masukkan kertaslah.” Tegur amoi itu dengan bahasa Melayu yang sedikit pelat. Aku pulak buat muka selamba, muka mencabar. Umpan dah kena.

“ Air ni guna buat masuk handphone.” Terang si amoi lagi.

“ Eh! Janganlah masuk handphone dalam air.” Aku buat muka macam risau. Ini semua berlakon.

Maka, apabila melihat muka risau aku, dia segera masukkan handphone yang tergantung di leher dia dalam bekas air itu. Aku pula segera buat muka jangan. Muka tidak. Fifi di sebelah tengah tahan gelak dengan gelagat aku, sebab dia tahu yang aku tahu pasal handphone kalis air. Kami baru sahaja bincangkan hal itu. Amoi tu dah gelakkan aku. Comel.

Seorang lagi staff, amoi berambut highlights memberi kami borang survey tentang produk mereka. Fifi cepat-cepat mengisinya. Aku pula menolak sambil menayang Nokia cikai milik aku.

Amoi rambut highlights terus cakap.

“ Alah, you pun mesti tahu pasal produk kami juga. Tulis sahaja.”

“ No. Tak mahu. Nanti kalau saya isi, you punya kawan ni ambik pula nombor telifon saya.” Aku dah gelak sambil tunjuk amoi rambut hitam itu.

“ Baguslah macam tu, boleh kawan-kawan kan .” Amoi rambut highlights sengaja menggalakan lagi. Dia gelakkan amoi rambut hitam.

“ You ni perasan kan?” Amoi rambut hitam berkata sambil menyengetkan mulut, geram dengan aku agaknya.

“ Sikitlah…” Aku tambah lagi geram dia sambil buat muka seksi.

Kami tinggalkan amoi-amoi tadi selepas itu. Aku pula sengaja highlight ayat menggatal dengan amoi tadi pada Fifi, beberapa kali. Masih cuba kantoikan diri. Fifi selamba. SELAMBA. Dia tak nak tanya aku ke? Dia tak nak tanya aku kenapa aku suka usik girls. Kenapa aku selamba je flirting dengan girls.

Sebab aku nak sangat jawab.

“ Fifi… Sebenarnya aku pernah suka girl lebih dari aku suka lelaki. Aku masih lagi ada perasaan itu sekarang. Aku masih sedang belajar mengatasinya.”

Mungkin satu hari dia akan tanya. Tapi, pada masa itu, adalah aku akan jawab? 

Tuesday, January 15, 2013

From A to B


Aku ada seorang kawan. Aku namakannya A. A adalah pengkid yang sederhana. Pemikiran, pertuturan, gaya, semuanya serba sederhana. A sudah lama hidup single. Kadang kala ada juga terdetik hatinya ingin ada awek. Ada juga aku nasihatkan dia.

“ A, baik kau lupakan saja, tak berbaloi.”

Dalam hidup single itu. Adalah satu dua orang yang tangkap cintan sama A. Tapi dia tak tangkap cintan balik. Maka tak jadi. Ada yang dia suka pulak, dah ada boyfriend. Nasib A memang menyedihkan.

Entah angin mana yang datang, tiba-tiba dia boleh tersuka dengan seorang gadis iaitu rakan chatnya di sebuah laman sosial. Aku namakan rakan chatnya ini B. Walaupun jarak usia mereka agak jauh tapi mereka agak serasi. Maka bermulalah episod ngorat-mengorat. Pada awalnya B tak layan sangat kata-kata manis A. Tapi A tak putus asa. Dia betul-betul suka pada B. Setiap hari mereka akan chat dan berborak di telifon berjam-jam lamanya. Sah, dua-dua dah angau.

Setelah seminggu dua bermanja di alam maya. Maka A ajak B berdating. B berkeras tidak mahu. Kata B, dia tak lawa. Sedangkan A dah pun stalk gambar-gambar B di internet. A tahu B orangnya sederhana sahaja. Tapi A tak kisah. A pun bukannya kacak . Lagipun ini pasal hati. A tahu hati dia sangat suka pada B. Akhirnya mungkin kerana termakan pujuk rayu A, maka B setuju untuk berjumpa.

A sangat happy. Dalam masa yang sama dia agak gementar sebab ada kemungkinan first date ini berjalan lancar, maka status singlenya itu akan berubah. A harap B lah orangnya yang akan dapat share gembira dan sedih dengan dia.

Pertama kali A tengok B, A rasa happy. Comel aje. B pula nampak macam acuh tak acuh sahaja dengan A. Mungkin dia tak biasa. B cuba memahaminya. Pertemuan mereka sepanjang hari berjalan dengan lancar. Cuma A tidak berapa gembira. Dia rasa B macam acuh tak acuh dari mula sehingga akhir. A lihat body language B. Tapi dia tak dapat faham. Setiap kali bersentuh atau tersentuh, A tahu B cuba larikan diri. A tak rasa hati mereka dekat walaupun B ada depan mata dia.

Hati A sangat rapuh. Terlalu susah dia nak percaya pada orang. Tapi A tahu, B boleh. A cuba juga kuatkan hatinya. A ada juga cakap dengan B, kenapa B layan dia macam tak suka, macam tak kisah. B cakap, dia memang macam itu, dia tak biasa. Tapi dia akan cuba.

Bila balik rumah. A menangis teruk-teruk. Meraung.

A tanya aku, apa salah dia. Kenapa B layan dia macam itu. Aku sendiri tak tahu nak kata apa. Cuma yang aku tanya pada A, apa yang dia cari? Apa yang dia mahu? Adakah semua itu dia dapat rasa daripada B? Adakah B orangnya yang akan sanggup berhadapan dengan semua orang yang suka, sayang, atau benci A. Adakah A sanggup terima B seadanya. Adakah B sendiri sanggup terima A seadanya dia, seorang pengkid. Masa… Persoalannya masa. Sanggupkah A memberi masa pada B?

Jawapannya TIDAK.

A cuba memberi jawapan YA pada B. Tapi itu jadi salah, sebab A tidak mampu memaksa hatinya. Keyakinannya hilang pada B sekelip mata. Hatinya berubah sekelip mata. B minta pada A untuk mulakan semula. Tapi hati A sudah tawar, buat masa ini tiada penawar.

Aku agak marah dengan A. Semudah itu hatinya berubah. Dia dah buat B suka pada dia, dan dia tinggalkan sahaja. Aku yakin B sangat-sangat sedih. Tapi aku tahu A juga terlalu sedih. Aku nampak A cuba senyum, cuba gelak, cuba sibuk-sibuk. Tapi sunyi hati A dia sahaja yang tahu. Mungkin B pun macam itu. Mana aku tahu. Yang pasti dua-dua pun sedih.

Bila aku tanya A, adakah dia akan suka siapa-siapa lagi lepas ini. A angguk, lepas tu geleng. Banyak kali jugak dia buat macam itu. Risau jugak aku, tapi A cakap, don’t worry. Nanti hati dia akan ok.

A tetap jalani hidupnya. Hari-hari dia cuba buat orang gelak. Sebab bila orang ketawa, hatinya lukanya terubat. Sikit demi sikit.

Cuma aku sahaja rasa tak kelakar sebab A tu sebenarnya aku, Jo Rahim.

PS : Maaf tak sempurna. 

Saturday, December 22, 2012

Politik Emak, Jamban dan Kampung


Balik ke kampung kali ini Kak Uda kirim tempoyak untuk emak. Kau bayangkan aku bawa tempoyak selama lebih kurang tiga jam. Yang paling tragis bila di tengah perjalanan kami, tempoyak itu bergas, lalu penutup dia terbuka. Aku dan Kak Jen terpaksa menahan bau tempoyak. Kami pulak di tengah highway dan hentian selamat seterusnya ada dalam 30 kilometer lagi. Sampai sekarang bau tempoyak masih melekat dalam kereta aku.

Apabila melepak dengan emak di beranda rumah bersama beberapa adik beradik yang lain, aku mengetengahkan isu pintu jamban, pam dan bilik air rumah emak yang amat misteri lagi azab itu. Hanya ahli keluarga dan sesiapa yang dah biasa guna sahaja tahu cara untuk mengunci pintunya. Pernah sekali waktu ada kenduri di rumah, aku nak guna jamban. Sebaik sahaja aku buka pintu ada seseorang di dalamnya. Lelaki pulak tu. Tengah melepas. Trauma aku sampai sekarang. Aku tak boleh salahkan lelaki itu kerana sememangnya sukar untuk mengunci pintu jamban misteri itu. Tak perlulah aku beritahu siapa lelaki malang itu. Cukup cuma dia, aku dan jamban itu sahaja yang tahu.

Masalahnya, agak sukar untuk mencari orang untuk membaikinya dengan kos yang berpatutan di kampung kami. Adik beradik lelaki aku nampaknya memang tidak boleh diharapkan. Aku memberi amaran kepada emak, jangan sampai aku pula yang membaikinya. Kalau sampai jadi macam itu aku akan gelak sepuas hati aku. Masa itu aku boleh cakap akulah anak jantan emak.

Kami berborak lagi, pasal politik kampung. Emak cukup tak puas hati sebab hak keistimewaan kampung kami berlegar pada keluarga orang tertentu atau kroni tertentu sahaja. Balik-balik yang dapat Tok Cik, Tok Ngah dan adik-beradik dia sahaja. Berkobar-kobar emak aku yang buta huruf itu mengatakan ini semua ‘Politik Mahathir’. Tergelak jugak aku mendengarnya. Adik aku menambah hasutnya pada emak. Katanya kalau ‘Politik Najib’ lain.

Adik : Member aku cakap, Kalo Najib lain… Kita lalu aje dekat-dekat dia, bisik kat telinga dia. Kampung kami ni dah teruk benor. Lepas tu datanglah segala bantuan kat kampung tu.

Aku tak tahulah sama ada apa yang adik aku bagitahu itu mitos, dongeng atau apa. Kalau mitos, entah siapalah penciptanya. Agak geniuslah jugak sebab kalau orang kampung yang dangkal/jahil (ignorance) dah tentu percaya bulat-bulat punya. Aku pula akan cuba menapis dahulu semua yang aku dengar. Baik atau buruk.

Aku berseloroh memberitahu pendapat aku tentang kroni ini. Kata aku pada emak, kalau ada keistimewaan itu, aku sendiri akan dahulukan Tok Cik, Tok Ngah dan adik-beradik aku dulu. Masa tu confirm keluarga orang lain akan gossip pasal keluarga kitaorang macam kitaorang tengah gossip pasal keluarga orang lain. Mak aku gelak aje. Dah paham perangai aku yang sarkastik tu.

Aku biarkan mak dan adik-beradik borak. Tak ada topik yang menarik pun. Sempat aku ambik beberapa tangkai rambutan di tepi rumah kami lalu melonggoknya depan emak dan adik-beradik. Bertambah rancaklah mereka berborak sambil mulut masing-masing menyumbat rambutan. Rambutan tu memang paling best sekali. Mak kata benih baik.

Ada satu yang menyakitkan mata aku adalah pokok jambu air depan rumah kami. Besar, tinggi tapi belum berbuah-buah. Lama dah. Aku bagitahu emak pokok itu harus ditebang. Bahaya untuk tiang elektrik yang berdekatan. Kata emak, nanti upah orang suruh tebang. Dekat situ nampak yang emak memang tak harap anak-anak lelaki dia yang buat. Kalau nak cari orang baiki pintu jamban pun susah, apatah lagi tebang pokok.

Lalu aku sengaja mencari nahas. Aku offer tenaga aku untuk tebang pokok itu nanti bila aku ada masa. Mak membantah, katanya aku perempuan. Kerja tebang pokok bahaya dan sesuai untuk orang lelaki sahaja. Aku gelak-gelak manja. Kata aku, aku cubalah dulu. Kalau dah tak boleh, baru aku mengalah. Mak dan adik beradik lain senyum. Dah paham dengan perangai aku agaknya. Sebenarnya aku pun tak confident nak tebang pokok tu. Saja je nak tunjuk hero kononnya.

PS : Kepada pengguna internet tegar, don’t worry, jamban rumah mak ada wifi.

Friday, December 7, 2012

Masih Misteri


Masa sekolah menengah, aku duduk asrama perempuan. Asrama aku bukan asrama biasa. Asrama luar biasa. Satu asrama beberapa buah sekolah. Ia merupakan pengalaman paling berharga dalam hidup aku yang memang aku tak akan dapat dimana-mana.

Ada seorang kakak senior aku ni. Dia dua beradik. Nama dia Wani. Adik dia Aju. Masa aku tingkatan tiga, Wani tingkatan lima. Aju tingkatan empat. Wani berwajah sederhana sahaja, punyai dahi luas. Aju pulak sikit chubby, tapi cun ya amat orangnya.

Aku memang ngeri dengan Wani ni. Dia petah berkata-kata. Kata-kata yang keluar dari mulut memang bisa sesangat. Sebab tu aku tak pernah nak buat hal atau buat lawak bodoh dengan Wani. Tak pasal-pasal kena sembur. Dia orang Negeri Sembilan.

Wani ni dia ikut kepala dia aje dekat asrama. Semua tak berani nak tegur dia. Jadi setakat ponteng prep atau ponteng kuliah subuh tu memang muka dialah setiap hari. Kalau ada sesiapa tegur dia, dia akan sembur sampai orang tu menangis. Pernah aku tengok dia lawan mulut dengan seorang kakak senior yang  mulut bisa macam dia jugak. Dia menang.

Dalam cuba mengelak daripada kena sembur dengan dia, entah macam mana satu petang tu Wani panggil aku. Aku dah gelabah masa tu. Dalam otak pikir apa salah aku pada dia. Dia senyum aje. Dekat sebelah dia ada sorang junior nama Nini yang selalu jadi sidekick dia.

“ Kau ni besar kepala ya…” Wani pandang aku atas bawah. Dia bercekak pinggang.Aku telan air liur.

“ Aku nak bagitahu kat kau, kau jangan ingat semua orang suka kau… Nini tak suka dekat kau, dia menyampah sangat dengan kau.” Dia sambung ayat lagi.

“ Saya tak buat apa kat dia pun?” Aku pandang Nini geram. Nini boleh sengih lagi masa tu.

“ Kau ni bangang ke apa? Aku nak bagitahu ni kau dengarlah bodoh! Yang kau bangang tak nak dengar ni kenapa? Aku bukan nak pukul engkau, atau Nini bukan nak sepak engkau. Yang aku nak bagitahu sekarang ni Nini menyampah dengan kau. Tak ada alasan.  Orang menyampah dengan kau, kau kena terimalah. Mana ada semua orang nak suka kau je selalu. Faham?” Panjang lebar aku kena sembur.

“ Faham…” Slow aje aku jawab.

“ Dah… Sekarang blah!”

Dua tiga hari aku fikir kata-kata Wani. Betul jugak kata dia. Bukan semua orang suka kita. Aku faham apa yang dia nak sampaikan. Jadi aku tak dendam kat Nini atau Wani. Ini pelajaran.

Ada masa cuti sekolah, Wani ajak aku pergi rumah dia kat Negeri sembilan. Aku agak ragu-ragu jugak mulanya. Tapi setelah beberapa kali Aju ajak aku, aku ikutlah. Nak juga aku rasa macammana cara hidup kampung kat Negeri Sembilan.

Wani di rumah lain. Sangat baik. Rajin. Dia yang masak. Dia tolong mak ayah dia. Dia ajar adik-adik dia dengan bagus. Sikit pun tak melawan cakap mak ayah dia. Sikit bahasa kesat pun aku tak pernah dengar. Ramai jugak kawan asrama yang aku pernah pergi rumah dia orang. Tapi Wani paling terbaik. Aku memang tak berani nak tanya kenapa dia sangat lain di rumah dia. Nak mampos kena sembur? Dan itu kekal misteri sampai hari ini.

Aku tak pernah jumpa Wani atau Aju lepas belajar. Sebelum aku deactive FB dulu ada jugak aku ternampak FB dia orang.

Tuesday, November 13, 2012

Hero, Heroin dan Penjahat Part II


Bila masuk tingkatan lima hubungan aku dan Syakilla makin kukuh. Gaduh sikit-sikit tu biasalah. Saham aku masa tu tengah naik. Ramai aweks yang minat. Dapat surat, coklat dan kirim-kirim salam. Aku pulak melayan. Bila Syakilla dapat tau memang gaduhlah. Dia tanya aku. Aku cakap aku memang layan semua orang baik dari dulu.

Ada sekali tu dia dapat tahu aku buat sorang budak pengawas tingkatan satu ni adik angkat dan layan bukan main baik lagi. Dia mengamuk dan hampir nak gaduh dengan budak tu. Budak tu pulak memang jenis tak nak kalah. Akhirnya terpaksa aku leraikan dia orang.

Aku mengaku aku agak player masa tu. Memang nakal. Tapi dalam hati aku cuma ada Syakilla seorang aje. Aku tak bagi orang lain pegang tangan aku pun. Usik-mengusik guna ayat manis sikit-sikit. Test powerlah konon. Oh! Aku budak sekolah…

Satu pagi masa aku berjalan nak masuk kelas, pak cik van sekolah panggil aku. Dia cakap girlfriend aku  yang tinggi-tinggi  tu tertinggal beg sekolah dalam van. Manalah pak cik van ni tau Syakilla ni girlfriend aku. Kata pak cik van Syakilla asalnya naik van ini, tapi dia tertinggal buku di rumah, lalu dia suruh pak cik van jalan dulu. Bila aku tengok, betullah beg Syakilla. Aku ambil beg tu bawa dalam kelas.

Terasa pulak aku nak spot check beg Syakilla. Nak make sure dia buat kerja sekolah atau tidak. Aku selalu ajar dia. Study sama-sama. Teman dia study. Maklumlah tahun ni dia PMR aku SPM. Bukan dia aje. Kadang-kadang bila aku pergi rumah dia, adik-adik dia pun aku ajar sekali. Sebab tu mak dia suka sangat aku datang rumah. Aku pandai ambik hati mak dia. Rajin tolong apa-apa yang patut. Bila aku ada dekat rumah, mak dia macam lapang aje dada pergi bertandang rumah jiran dan biar aku jaga dia dan adik-adik dia. Selalu jugak mak dia bagi duit kat aku. Girlfriend dapat, duit pun dapat. Bayangkan…

Selongkar punya selongkar beg tu, aku terjumpa sekeping kad. Aku dah sengih sesorang masa tu. Aku dan Syakilla memang rajin tulis surat dan bagi kad. Kadang-kala aku tulis puisi untuk dia. Jadi kad tu memang untuk akulah. Aku dengan confidencenya mula buka dan baca kad.

Ada english poem yang aku karang khas untuk dia dalam kad tu. Susah payah aku mentelaah kamus nak buat puisi tu sebab aku bukan pandai sangat bahasa mat saleh ni. Peliknya, takkan dia nak bagi semula apa yang aku dah bagi pada dia. Tapi aku mulai faham bila baca seterusnya. Tergamak dia guna puisi aku untuk dia dan curang dengan orang lain. Orang tu tak lain tak bukan hero Rajinikanth dia, Si Mohan. Kali ni aku yakin yang dia orang ada skandal di belakang aku. Ayat kat kad bukan main jiwang lagi.

Sebelum loceng kelas berbunyi, aku pergi jumpa dia. Seronok betul dia bila tengok aku datang. Senyum aje. Aku bagi beg dan tunjuk kad tu pada dia.

“ I dah baca kad ni. Sampai hati you buat I macam ni ya. Sebenarnya you dengan Mohan ada apa?” Aku soal dia selembut mungkin. Dia diam. Selalunya bila tak salah dia kecoh.

“ Dah berapa lama you tipu I?” Aku tanya lagi. Dia diam terus. Tak melawan. Jadi betullah. Air mata aku dah mengalir. Kawan-kawan dia yang ada kat situ pun diam. Aku agak, dia orang tahu.

“ I sedih dengan you Syakilla. Kan lebih elok you terus-terang aje dari dulu. Bukannya I nak marah you pun. I boleh terima.” Dia tunduk terus pandang lantai. Tak jawab.

Aku diam. Tunggu penjelasan dari dia. Budak kelas dia beransur keluar sebab loceng dah berbunyi dan beratur di luar kelas untuk nyanyi lagu Negaraku. Dia terus diam. Satu ayat pun tak keluar.

“ Nampaknya memang betullah you dengan Mohan. I tak nak jadi orang ketiga dalam hubungan you dengan dia. Jadi Syakilla, Saat ni, masa ni. I lepaskan you dan I harap you bahagia dengan apa yang you nak buat. I undur diri. I mengalah. Bye Syakilla. Bahagialah kamu.” Lebih kurang macam itulah ayat aku. Kalah Shah Rukh Khan. Sebijik macam cerita Hindustan.

Aku melangkah pergi. Sempat aku paling belakang. Ada air mata mengalir kat pipi dia. Aku keraskan hati. Keputusan aku tetap. Aku tak hiraukan 30 mata budak kelas dia yang pandang aku. Aku tak hiraukan lagu Negaraku yang tengah berkumandang. Aku lari terus pergi toilet. Menangis sepuas hati.

Secara rasminya aku dan Syakilla putus. Tak sampai seminggu lepas tu, hari-hari Mohan ambil Syakilla balik dari sekolah naik motor. Mohan masa tu dah habis sekolah. Dah start kerja. Bawa motor canggih. Memang macam hero Tamil.  Bila lalu tepi aku dan Bond yang jalan sama-sama tunggu bas. Saja aje Syakilla peluk Mohan erat-erat. Makan asap aku. Nak aje aku terajang dua-dua sekali. Bond sabarkan aku. Sekarang aku faham kenapa Syakilla curang. Mohan memang macho, boleh bawa dia jalan-jalan. Happykan dia. Aku tak, aku asyik suruh dia study. Mungkin aku tak se ‘fun’ Mohan.

Tunggang terbalik kejap hidup aku masa tu. Mana nak SPM, nak study dalam keadaan jiwa kacau. Semua aweks aku tak layan dah masa tu. Budak tingkatan lima frust menonggeng. Dapat kau bayangkan?

Beberapa bulan jugak aku lembik aje. Tapi bila aku fikirkan sampai bila. Aku tak nak rosakkan hidup aku, masa depan aku. Aku kumpul kekuatan dan belajar balik bersungguh-sungguh.

Ada jugak mak dia mengadu pada aku yang Syakilla makin malas study bila rapat dengan Mohan. Asyik keluar aje. Mak dia tak suka sangat dia kawan dengan Mohan. Aku tak boleh nak buat apa-apa. Aku bukannya bercakap sangat dengan Syakilla lepas tu. Aku jumpa mak dia pun sebab dah rapat dengan famili dia. Adik dia tingkatan dua tu pulak kan girlfriend Bond. Adik dia pun tak suka dia dengan Mohan. Selalu ngadu pada aku. Aku dengar aje. Malas nak komen. Tapi memang nampak macam aku yang hasut mak dan famili dia supaya tak sukakan Mohan.

Di mata Mohan. Dia hero Tamil tu. Syakilla heroin. Aku pula penjahat. Biarlah macam tu.

Aku tak tahu di mana Syakilla, adik dia dan famili dia sekarang. Mungkin masih ada di situ. Mungkin Syakilla dah kahwin.  Lepas masuk kolej, lost contact. Bond pun tak tahu sebab dia juga putus dengan adik Syakilla sebelum habis tingkatan lima.

Mohan pun aku tak tahu dekat mana. Ada juga aku try google dan cari facebook dia orang. Aku ada jumpa facebook kakak sepupu Syakilla, tapi kakak sepupu dia ni mulut celupar, laser. Kalau aku cari dia melalui kakak sepupu dia mesti kena bahan punya.

Syakilla adalah girlfriend pertama aku. Itu adalah kenyataan. Mohan pengkid India, hero Tamil yang berjaya merampas heroinnya, itu juga kenyataan. Aku dah suka minum cincau sekarang, itu kebenaran. Aku minat filem Tamil dan Hindustan. Itu fakta. Happy Diwali Priyanka Chopra.

Wednesday, November 7, 2012

Aku, Rempit dan Bohsia


Kata orang, aku dan Kak jen banyak persamaannya. Tapi bagi aku, aku dan Kak Jen adalah dua individu yang memang ada persamaan tapi banyak juga yang  berbeza. Contohnya Kak Jen pandai matematik, aku pula kantoi matematik. Kak Jen suka dengar ceramah Ustaz Azhar Idrus, aku pula tak gemar sangat. . Kak Jen makan vitamin Shaklee aku pula makan buah-buahan segar . Kak Jen handal bawa kapcai, aku gelabah habis kalau bawa kapcai. Tapi cerita kali ini bukan pasal Kak Jen. Tetapi cerita lama pasal aku dan Shahid. Seorang mat rempit yang lebih handal bawa kapcai daripada Kak Jen.

Shahid adalah rakan sekerja aku masa aku bekerja sebagai kuli di sebuah restoren. Muka boleh tahan handsome. Kak Jen selalu cakap, muka Shahid ni ada iras-iras Shahid Kapoor. Adalah sikit, tak sampai sepuluh peratus agaknya. Umur dia muda setahun dari aku. Siang kerja, malam merempit.

Masa Honey dapat matrikulasi. Kami break kejap. Mungkin dia tak tahan LDR atau tak tahan in relationship love hate dengan aku yang macam ni. Aku akur. Sikit pun tak memberontak. Malas nak kacau study dia.

Hidup aku teruskan. Dalam masa yang sama aku cubalah berubah sikit-sikit. Ubah sifat-sifat boyish aku supaya lemah lembut sikit. Entah macam mana Si Shahid ni boleh suka pada aku dalam tempoh tu. Berani dia minta aku jadi awek dia. Bukannya dia tak tahu aku ni pengkid. Bukan dia tak pernah tengok aku dan Honey bercinta dan bercengkerama sakan depan semua orang dulu. Aku rasa, lelaki sewel aje yang boleh suka kat aku masa tu. Bukan tak ada aweks lain kat restoren ni yang tergila-gilakan Shahid. Dia pilih aku pulak. Aku tak bangga. Mudah sangat ke aku ni sampai mat rempit macam dia nak try aku. Tapi aku cuba buka minda aku.  Aku cuba buka hati aku, bagi peluang kat Shahid ini untuk mengorat aku. Mana tahu dia ni ada isi jugak orangnya. Orang kata, tak kenal maka tak cinta. Ramai aje mat rempit yang baik. Aku cuba tidak prejudis.

Maka bermulalah sesi dating aku dan Shahid. Setiap malam lepas kami habis kerja di restoren, dia akan bawa aku dengan kapcai dia meronda keliling ibukota. Banyak jugak port rempit yang dia tunjuk pada aku. Dia akan tolong aku pakai helmet setiap kali nak bonceng kapcai dia tu. Romantiklah konon. Tapi jangan haraplah aku nak peluk dia rapat-rapat, kemain jauh lagi jarak kami atas kapcai tu. Oleh sebab itu, dia selalu buat ayat gini.

“ Jo, kalau masuk KL nanti, kena duduk rapat sikit. Kalau tak polis tangkap.”

Ceh! Kau ingat aku bodoh?

Aktiviti kami selain merempit beramai-ramai pukul dua tiga pagi, adalah melepak di kedai-kedai mamak dan mana-mana port lepak. Kadang-kadang beramai-ramai dengan geng rempit dia. Kadang-kadang berdua. Kadang-kadang ada gadis-gadis  yang kukira bohsia yang join kami. Masa itu aku rasa bohsia-bohsia tu pun rasa aku salah seorang bohsia juga.

Topik perbualan Shahid dan geng rempit dia berkisar kepada motor, aksi-aksi ganas yang dia orang akan buat atas motor, aweks bohsia yang bakal dia orang kekah beramai-ramai dan pil ecstasy. Aku layan aje borak dengan dia orang. Mujur aku tak kena kekah. Mungkin sebab aku macam jantan. Mungkin sebab Shahid dah sound awal-awal atau dia orang ngeri apabila sesekali aku cuba menguji minda dia orang dengan soalan-soalan mengenai moral dan sebagainya.

Satu malam tu, setelah lebih sebulan aku dan Shahid macam belangkas. Dia menghantar aku pulang ke rumah yang pihak restoren sediakan untuk staff . Macam hostel. Kami borak-borak lama juga kat bawah. Sebelum berpisah,  dia tarik tangan kiri aku dan menciumnya rakus. Terkejut aku. Spontan, tangan kanan aku pantas menampar pipi dia kuat-kuat. Mulut aku automatik menyuruh dia berambus dan jangan tayang muka depan aku lagi. Hari ini, esok dan selamanya. Kelam kabut mamat tu lari. Dia ingat sebulan melepak dengan dia, maka dia layak nak buat macam tu. Sambil menyumpah-nyumpah aku cepat-cepat naik atas. Basuh tangan. Terasa tak suci.

Kisah aku dengan Shahid mati kat situ. Esoknya Shahid tak berani nak dekat aku dah. Aku pulak tak hebohkan dia cium tangan aku. Malas nak besarkan cerita. Orang pun pelik bila tengok kami tak keluar bersama lagi. Tapi semua tak nak tanya direct pada aku. Lama-lama Shahid tukar cawangan restoren lain. Aku pulak berubah suam-suam aje masa tu, maka jadi boyish semula.

Lama lepas tu, bila aku dah berhenti. Aku dengar cerita yang Shahid merogol sorang awek cun ni. Kata tukang cerita awek ni dibagi pil sebelum pagi-pagi dia sedar dia dah bogel sebelah Shahid. Aku ingat-ingat lupa awek mana satu, tukang cerita cakap aku pun kenal awek ni. Entah betul atau tak. Bila aku tanya tukang cerita sama ada Shahid kena tangkap polis atau tak, dia pun tak pasti cerita sebenar. Aku tertanya-tanya jugak apa berlaku sebenarnya.

Bertahun lepas tu, bila aku join facebook ex-staff restoren, aku ternampak facebook Shahid. Dah kahwin pun. Lawa jugak bini dia. Ada anak lagi. Rumah nampak besar, kereta nampak besar. Shahid nampak happy. Mungkin dia dah lupa kisah kena tampar dengan aku. Kisah rogol tu pun tergantung macam tu aje.

P/S: Malam tragedi cium tu Honey call aku pukul 1 pagi lebih setelah dah berbulan tak contact. Kata dia tsunami melanda Malaysia dan Aceh. Aku dengar jugak cerita pasal tu. Sempat juga Honey nasihat aku macam-macam. Aku fikir Honey dah benci aku sangat masa tu. Hal tsunami pun nak kaitkan dengan aku. Cuti semester seterusnya, bila dia balik bercuti, dia ajak aku cuba semula, sambung semula. Hairan jugak aku. Hati perempuan, perempuan sendiri pun tak dapat paham kadang-kadang.

Followers