Showing posts with label Old friends. Show all posts
Showing posts with label Old friends. Show all posts

Monday, December 8, 2014

Lupa dan Ingat

Aku menghadiri satu kenduri tahlil/arwah di rumah orang kaya. Aku pergi bersama rakan pejabatku Encik K. Encik K bawa anak kecil dia. Isteri Encik K yang sarat mengandung itu tak dapat sertai kami sebab dia kena kerja separuh hari di hari sabtu.

Kami sampai tengah hari, jam 12 lebih. Nasib baik aku dan Encik K sampai sebelum bacaan yassin bermula. Aku tak mahu ketinggalan bab itu. Lalu aku duduk menyempil di kalangan wanita. Kebanyakkan ahli keluarga orang kaya ini ramai yang kahwin campur. Hasilnya, tetamu yang hadir cantik-cantik, anggun dan wangi. Malah golongan nenek yang sedang memangku para cucu pun jelita bukan main. Aku terasa berada di lautan bidadari pulak.

Habis bacaan yassin, di teruskan pula dengan tahlil. Masa itu mata aku mula melilau, sambil dalam hati memuji ciptaan Tuhan. Aku jeling juga Encik K di bahagian lelaki yang sedang melayan anaknya. Dari sudut sisi aku lihat ada seorang jejaka sasa bertshirt putih kusyuk mengikuti pembacaan imam. Di mata aku, badan dia memang fit. Kan bagus kalau aku pun fit macam itu. Angan aku sambil memegang perut sendiri. Berlawanan pula dengan perasaan aku semasa lalu di meja buffet tadi.

Seterusnya, para tetamu di jemput makan. Lelaki ambil makanan dahulu. Manakala yang perempuan sibuk bersalam-salam dan bersapa mesra. Aku agak Encik K mesti belum ambil makanan sebab sibuk dengan anaknya.

Aku keluar sambil bersapa mesra dengan beberapa encik yang aku kenal.

“ Hai… Macam kenal aje.” Ada satu suara menegur agak kuat dari belakang.

Aku toleh. Jejaka sasa tadi memandang tepat muka aku lalu melempar senyum sambil melambai. Aku perhati muka dia kejap. Cuba mengecam. Pandang kiri-kanan takut dia sebenarnya tegur orang lain. Mustahil pula dalam lautan orang yang cantik-cantik dan kacak belaka ini aku pula sasarannya. Ini boleh menimbulkan skandal.

“ Tak surelah nama tapi ingat saya tak? Ingat tak?” Dia senyum lagi dan berdiri betul-betul depan aku. Tinggi dan gagah.

“ Alamak. Tak Ingatlah. Ni siapa ya?” Aku blur.

“ Ni Epylah. Ingat tak?” Dia memperkenalkan diri.

“ Epy… Epy…” Otak aku cuba buka folder-folder lama.

“ Oh… Epy tu. Epy yang Jo suruh baca novel jiwang, kalau habis Jo belanja KFC tu kan?” Aku mula teringat. Rasa nak tergelak.

“ Bab yang tu tak ada pulak saya ingat. Hahaha! Tapi rasanya memang ada kot. Beli novel jiwang pertama kali. Tapi sampai sekarang tak habis baca lagi.” Dia pula tergelak. Tetamu lain tidak menghiraukan kami. Jadi tiada skandal di situ.

Aku minta diri, tolong dokongkan anak Encik K. Encik K pula ambilkan aku makanan. Kami memang team work dalam semua perkara.

Sedang aku makan. Epy datang dengan pinggan makanan dia lalu duduk semeja dengan aku dan Encik K. Dalam banyak meja lain, meja kami juga yang dia tuju. Encik K pun ingat-ingat lupa Epy. Beberapa tahun lepas, Epy pernah sertai events dengan company boss kami.

Rancak aku berborak dengan Epy mengimbas kenangan lama. Epy cakap masa kita orang berkenalan dulu dia baru budak diploma. Rambut pulak botak lepas balik umrah. Sekarang rambut dah panjang. Dia ada bina badan sikit. Patutlah makin lain. Makin handsome. Aku puji-puji dia. Malu kejap mamat tu. Tapi memang betul pun Epy handsome.

Sambil borak tu aku tak berhenti makan. Memang sedap hidangan rumah orang kaya. Epy makan sepinggan aje. Jaga badan agaknya. Aku sengaja makan lagi sambil cakap sedap~sedap. Mungkin dia tak tahan tengok cara aku, akhirnya dia mengalah. Dia ambil makanan lagi dan ambil untuk aku juga. Encik K kami tidak hiraukan. Romantik betul. (atau sebenarnya Encik K yang tak hiraukan kami. Cis!)

Sebelum balik, kami bertukar nombor. Dia pesan berkali-kali, kalau tersesat area Uitm Shah Alam hubungi dia, boleh makan KFC sekali.

PS : Siapa nak nombor telifon Epy?


Tuesday, December 10, 2013

Bukan Pejuang Part 3

Aku balik ke bilik kakak angkat aku.

Aku ceritakan peristiwa yang jadi. Beritahu lebih kurang aje. Tak adalah aku cerita hal hubungan dengan Preity itu semua pada kakak angkat aku. Panjang pulak soalannya. Lagipun aku tak pasti sama ada mereka boleh bertolak ansur perkara macam ini. Bukan semua orang faham.

Pada Preity aku ceritakan hal sebenar. Preity dah macam nak menangis. Aku cuba tenangkan dia. Preity cakap dia tak mampu nak teruskan studi tanpa aku. Dia perlukan aku. Akhirnya, Preity cerita pada aku yang Kak Alisa ada jumpa dia bertanya tentang studi, kawan-kawan dan sebagainya. Preity telah cerita pasal budak bilik dia yang selalu tak mahu bertolak-ansur itu. Aku terkejut. Itulah satu masalah Preity ni, manja. Mengadu tidak kena tempat. Geram aku.

Balik bilik aku, aku trick budak-budak bilik aku dengan pelbagai soalan yang mengelirukan. Akhirnya aku dapat tahu yang beberapa hari lepas, Kak Alisa ada datang ke bilik Preity sewaktu Preity tak ada di bilik. Mungkin masa itu dia nak bagi amaran pada budak bilik Preity. Untuk menutup perbuatan mereka, mereka ceritakan pulak hal aku dan Preity. Aku agak sahajalah. Kalau tidak macam mana tiba-tiba Kak Alisa yang jarang kami jumpa boleh tahu. Masa itu, facebook, twitter atau instagram belum pun wujud lagi. Hubungan aku dan Preity pun baru sahaja lagi masa tu.

Malam itu tidur aku tak lena. Macammana aku hendak selesaikan perkara ini.

Maka esoknya. Aku panggil semua budak bilik aku dan budak bilik Preity berjumpa. Untuk beri kelebihan pada diri aku, semua orang aku perdayakan. Preity sendiri aku tak bagi tahu tujuaan perjumpaan itu.

“ Korang tahu tak semalam senior kita jumpa aku?” Aku mulakan ayat. Semua orang saling berpandangan dan menggeleng kepala. Aku rasa nak tampar aje sorang-sorang.

“ Dia cakap pasal aku dengan Preity. Hal hubungan kita orang.  Silap hari bulan, kalau pentadbiran tahu,  aku dan Preity kena buang kolej. Kau orang tahu tak apa efeknya pada aku kalau kena buang kolej? Korang happy ke kalau aku kena buang kolej?” Aku tanya sorang-sorang. Semua pun diam juga. Aku tunggu dia orang bersuara.

“ Aku mengaku, aku dengan Preity memang lebih sikit dari biasa. Aku mengaku. Itu salah. Aku tahu. Aku minta maaf banyak-banyak kalau benda ini buat korang marah pada kami. Aku nak tanya, apa sebenarnya yang korang nampak? Boleh sesiapa jawab tak?” Aku tanya lagi.

“ Kau dengan Preity kissing. Setiap pagi kau kejut dia bangun tidur. Kiss good morning.” Ada seorang buka mulut.

“ Lagi? Apa kami buat? Cium mulut? Kami beromen? Ada sesiapa pernah nampak apa-apa lagi?” Kali ini aku lebih direct. Cuba memancing.

“ Tak adalah sampai macam itu. Tapi kita orang tak sukalah macam tu. Cium semua tu. Tak patutlah.” Yang lain mula bersuara.

“ Cakap depan macam ni kan senang, direct ajelah. Jumpa aku. Jumpa Preity bagitahu sendiri. Cakap sendiri. Aku rasa aku tak pernah lagi pukul orang pasal benda macam ni.” Saja aje aku buat ayat tu.

“ Kita orang tak sangka sampai senior tahu. Aku tak nak sebab benda ni kau kena buang kolej.” Seorang lagi bersuara. Muka macam menyesal sikit.

“Kak Alisa ada datang sini kan? Apa yang korang dah cerita dekat dia itu hal korang dengan dia. Aku tak nak ungkitkan lagi. Itu antara korang dengan dia. Alang-alang kita dah jumpa ni, cakap dengan aku. Apa yang korang marah sangat pada aku atau pada Preity. Terus terang.” Aku meminta.

Seorang demi seorang bercerita. Selain hal hubungan aku dengan Preity tu, dia orang tak puas hati dengan Preity. Hal-hal remeh macam Preity buka lampu masa orang hendak tidur dan bunyi almari Preity yang bising setiap kali dia pilih baju. Aku nak gelak betul masa itu. Memang dia orang hentam Preity cukup-cukup. Aku biar aje. Dia pun kena tahu apa tatatertib hidup kolej. Tak boleh hendak ambik mudah sahaja. Pasal aku, satu patah salah pun tak keluar selain hal cium itu.

Lepas itu kami semua bermaaf-maafan. 

Selepas peristiwa itu, aku tak cium Preity good morning atau good night lagi. Kalau ada pun pandai-pandailah. Kami tetap rapat. Aku tetap teman dia ke mana sahaja. Tapi berusaha elak dari Kak Alisa atau Kak Dart nampak. 

Sesekali bila aku terserempak dengan Kak Dart, dia masih mengajak aku lepak dengan konco-konco dia. Tak mahu aku. 

Orang sekeliling tetap buat spekulasi macam-macam pasal kami. Nota-nota bisnes yang aku tampal di dinding kolej dengan nama aku dan Preity di conteng dan di ganti dengan tulisan perkataan Gay dan Lesbian. Ya, bagus kan.

Habis kolej, aku tak ada kawan pun. Preity pun tidak. Tapi banyak benda aku belajar. Tentang penerimaan dan penolakan.

Aku tidak perjuangkan komuniti LGBT. Kebaikan adalah kebaikan. Keburukan adalah keburukan. Kalau orang buat baik, bagus. Tak kira kau LGBT atau tidak. Buat jahat pun sama, tak kiralah LGBT atau tidak. Lelaki kacau bini orang sama palatnya dengan pengkid yang kacau bini orang. Sama. Dua-dua aku tak berkenan. Dua-dua aku tak akan back up.

Kepada adik-adik, golongan baby pengkid ini. Ya betul, yang muka macam Justin Bieber tu. Aku tahu ramai yang tengah sibuk duk usha 2,3 orang awek sekali serentak. Perasaan nak menunjuk hebat tu tengah bergelodak kan. Nasihat aku, tak payahlah, buang masa aje. Awek-awek tu bukan nak kau sangat. Drama aje lebih.

Dan andai ada yang berniat nak tunjuk jalan kepada golongan LGBT ni, niat harus kuat. Iman kena tinggi. Semangat kena ada sebab ramai aje pulak aku tengok yang jadi LGBT lepas tu. 
Ya, yang ni aku cakap dengan KAU. KAU tau siapa.


Kan mak cik dah membebel.





Sunday, December 8, 2013

Bukan Pejuang Part 2

Aku sampai di studio art. 

Ramai juga orang di situ waktu begini. Lelaki dan perempuan.Kebanyakkannya muka-muka yang aku tidak kenali. Senior semuanya. Masing-masing sibuk menyiapkan projek. Kaki aku rasa menggeletar.

“ Hai bang, saya Jo. Kak Dart nak jumpa saya. Dia kat mana ya?” Aku menegur seorang senior.

“ Oh. Kak Dart ada kat belakang.” Abang itu sengih-sengih pandang aku.

Ah! Lantaklah. Apa nak jadi, jadilah. Aku kumpulkan kekuatan ke kawasan belakang.

Di belakang ada beberapa orang kakak senior sedang menyiapkan kerja art masing-masing. Muka dia orang nampak ganas. Seluar dan baju dipenuh warna-warna cat.

“ Hai, Kak. Saya Jo!” Tegur aku, sambil mata melilau mencari siapakah Kak Dart.

“ Oh! Kaulah Jo iya. Meh sini. Duduk sini.” Seorang kakak bertubuh tinggi melambai arah aku. Dia menepuk-nepuk satu kerusi beroda.

Walaupun ada rasa ragu. Aku duduk atas kerusi itu. Menunggu dan mengadap apa yang akan berlaku seterusnya.

Sebaik aku duduk sahaja, beberapa orang senior lelaki dan perempuan datang mengelilingi aku. Aku agak lebih sepuluh orang.

“Shit man…Mampos aku kejap lagi ni…” Aku berbisik dalam hati. Adakah aku akan kena belasah ke apa kejap lagi ni. Hadap Jo, hadap aje.

“ Oh, inilah dia Jo yang glamer tu ya… Tak adalah besar mana pun. Kecik sangat orangnya.” Seorang kakak senior bersuara. Aku yakin itu Kak Dart.

“ Aku banyak dengar cerita pasal kau ni. Aku bukan nak masuk campur sangat hal budak-budak ni. Tapi bila sampai ada yang mengadu, aku kenalah ambik tahu.” Dia bersuara lagi.

“ Banyak senior mengadu yang junior sekarang ni kurang ajar. Tak hormat orang.” Yang lain pula bersuara. Alamak apa cerita ni.

Kerusi aku ditolak dan disepak dari seorang senior kepada seorang senior yang mengelilingi aku.

“ Kau rambut pendek ya, sini aku tengok.” Kak Dart selak pulak tudung aku dan meraba kepala aku.

“ Rambut pendek lah dia ni…” Pandangannya makin tajam. Aku seram. Satu patah ayat pun tak keluar dari mulut aku. Senior lain biarkan sahaja perbuatan Kak Dart.

Masa tu nyamuk bukan main banyak hinggap menggigit aku. Seekor pun aku tak berani nak tampar. Aku biarkan sahaja. Kalau tampar, nampak sangat aku macam melawan.  Sejuk pulak tu. Maklumlah hujan. Dalam hati aku baca ayat pelembut hati.

“ Kau kenal Alisa? Aku dengar kau kawan dengar adik sepupu dia. Betul? Aku dengar lagi kau kiss good morning, good night dengan adik sepupu dia. Betul?” Kak Dart tanya bertubi-tubi.

Sial. Apakah ini. Kak Alisa memang kakak sepupu Preity. Senior kita orang. Ada sekali dua aku bertembung dengan Kak Alisa ni. Orangnya, sumpah Ya Allah. Cantik. Dia tahu ke perihal aku dengan Preity. Aduh. Melibatkan keluarga pulak. Hendak pecah jantung aku terkejut masa tu.

“ Betul…” Jawab aku pelahan. Air muka Kak Dart berubah.

“ Aku tahu benda-benda macam ni. Kau dengan adik sepupu dia tu kenapa?”  Suara dia yang ganas bertukar biasa. Aku pun tak tahu kenapa.

“ Saya sayang dia. Saya tak sangka pulak nak jadi macam ni. Saya betul-betul sayang dia.” Aku bersuara pelahan.

“ Masalahnya, kakak sepupu dia tu adik angkat aku. Dia tak suka kau kawan macam tu dengan adik sepupu dia. Kau faham tak?” Dia pandang aku lama.

“ Saya sayang dia. Saya tak akan sakitkan dia. Dia pun sayang saya.” Masa itu rasa takut aku hilang sikit-sikit.

“ Kalau kau sayang dia, aku tak mahu dengar lagi pasal ni. Aku tak nak tengok kau dengan adik sepupu dia lagi. Kalau aku dengar Alisa mengadu apa-apa, siap kau.” Dia memberi amaran. Aku senyap aje.

“ Aku ni senior kau, kau patut kenal aku. Senang kau nak tanya apa-apa. Studi kau macam mana sekarang?” Tiba-tiba Kak Dart jadi peramah pulak. Beberapa senior lain mula beredar. Tinggal tiga empat orang sahaja.

“ Biasa- biasa je kak…”Aku jawab dalam kehairanan.

“ Aku suka jugak tengok kau ni. Aku tengok kau macam budak baik. Tak melawan. Kau patut lepak dengan aku. Bila-bila masa aku tak kisah.” Aku seperti tidak percaya dengan ajakan Kak Dart. Tadi bukan main ganas lagi.

“ Lagi satu… Hal malam ini, jangan kau nak mengadu pada pentadbiran. Kau sendiri jugak yang susah nanti. Sekarang kau boleh pergi tapi ingat apa aku cakap.” Kak Dart memberikan kata-kata penutup.


Aku segera balik ke kolej. Aku tak tahu nak kata apa. Patutkah aku menjauhi  Preity sebab hal ini? Macam mana Kak Alisa boleh tahu? Apa aku nak cakap pada Preity? Aku pening.

  

Tuesday, August 27, 2013

Sebelum Raya

Hari minggu terakhir sebelum raya, aku berkunjung ke rumah Honey. Semuanya secara kebetulan.

Bila aku sampai di kawasan rumah, aku lihat Honey dan anaknya sedang bermain di luar. Dada aku dah berdegup kencang. Entah kenapa aku rasa ngeri. Rasa nak patah balik pun ada. Rasa nak lari. Ah, penakut Jo. Penakut macam selalu.

Honey jemput aku masuk ke rumah, Mr Honey keluar dari pintu rumah mereka. Itulah pertama kali aku lihat Mr Honey. Orangnya berkulit sawo matang. Sederhana.

Mereka menjemput aku duduk. Aku duduk berhadapan. Aku berborak-borak dengan Honey. Tentang khabar ahli keluarga dia yang lama aku tak jumpa. Borak tentang dia, tentang sebab muhasabab dia berhenti daripada menjadi pegawai kerajaan. Katanya bidang kerja itu makin tidak sesuai dengan dirinya. Kerjanya makin perlu bersosial. Bercampur-gaul. Kadang-kala berdansa. Aku tidak terkejut pun. Yang aku terkejut adalah pada asalnya dia menerima tawaran bekerja dengan kerajaan. Aku tahu dulu betapa rebelnya Honey. Betapa dia akan lantang menyuarakan perkara yang dia tidak suka.

 “ Rambut makin GQ , menyampah pulak tengok.” Dalam berborak itu. Honey sempat melaser.

“ Janganlah menyampah.” Aku cepat membetulkan rambut yang baru dipotong beberapa hari lepas.

Mr Honey sekejap ke dapur, sekejap ke depan. Anak mereka, elok sahaja bermain. Nampak tak nakal. Baik aje dengar cakap mak dia. Suara Honey lembut sahaja dengan anak dia. Aku masih terasa bagai mimpi yang Honey kini menjadi ibu. Tapi semua nampak elok. Selamba aje dia breastfeeding anak dia depan aku. Ya Allah. Aku puasa. Aku tampar muka aku sendiri di dalam hati.

“ Mr Honey masak laksa untuk berbuka.” Jelas Honey. 

Dia bercerita bahawa Mr Honeylah yang menjalankan tugas memasak dalam keluarga kecil mereka. Yang itupun aku tidak terkejut sebab aku tahu dari dulu Honey bukan jenis yang suka hendak masak.

Kami borak lagi. Pasal raya. Kata Honey, tahun ini, raya pertama adalah di rumah keluarga mentua. Sebenarnya Mr Honey sudah pun mula bercuti. Tapi sengaja mereka lambat balik. Keluarga mentuanya tidak berapa sukakannya. Dia bukanlah menantu pilihan. Mereka lebih suka ex-girlfriend Mr Honey dulu. Lagipun perihal Honey pernah jadi lesbian diketahui mereka. Adalah banyak faktor lain lagi. Terasa hati aku sedih di situ.

Ada beberapa hal lagi yang kami cerita. Topik tidak banyak, malah agak perlahan. Aku rasa ada banyak yang Honey hendak kata pada aku. Entah betul atau tidak apa yang aku baca dari minda dia dan apa yang dia baca dari minda aku. Hanya kami yang tahu.

Sempat aku bagi angpau untuk anak dia. Honey berlawak, mana angpau untuk dia. Kenapalah banyak sangat lawak ini aku terima di musim raya. Limau masam betul.

Aku minta diri. Meninggalkan rumah teres setingkat yang disewa mereka. Anak mereka aku peluk kuat-kuat sebelum pergi. Wajah dia ada campuran Honey dan Mr Honey. Dagu runcing macam Honey. Harap bila dewasa menjadi lelaki yang bijak dan baik hati seperti emaknya.

Ada rasa ingin mengalir air mata. Ada rasa pilu. Rasa ada kebahagian hidup rumah tangga dia itu. Aku harap Honey menghargai kasih sayang Mr Honey, yang terima dia seadanya. Juga harap Mr Honey menyayangi Honey sebagai isteri buat selamanya. Membahagiakan Honey yang nampak mudah tapi rumit orangnya itu.


Aku cuma harap Honey menulis kembali. Aku mahu membacanya. Itu sahaja hak yang aku ada.




Wednesday, February 27, 2013

Kawan dan Baby

Cerita ini dah lapuk.

Korang ingat tak Ai Lin? Alah... Aku pernah cerita pasal Ai Lin ni dulu. Lama dah.

Cuti raya cina baru-baru ini rumah aku dikunjungi oleh Ai Lin. Dia baru sahaja dapat anak. Iya betul, dia dah kahwin dengan boyfriend dia tu. Setelah sesat hampir sejam setengah, berjaya juga dia cari rumah aku di Bandar P.

Punyalah payah nak curi masa aku sampai dia sendiri yang terpaksa bawa baby dia datang jumpa aku sebab aku tak pergi melawat dia masa bersalin. Aku memang kejam macam itu. Salahkan aku.

Dia dapat anak lelaki, dan secara rasminya Ai Lin memaksa aku menjadi IBU kepada anak dia. Katanya, anak dia perlu memanggil aku IBU, dia pula MAMA. Baiklah Ai Lin. Ikut sukalah. Budak itu pun belum pandai cakap lagi. Aduh.

Lama juga Ai Lin melepak di rumah, siap masak-masak. Sibuk nak suruh aku rasa masakan dia. Boleh tahan sedapnya si Ai Lin ni masak Ayam Masak Pedas. Dia layan aku makan. Bestnya ada orang layan makan. Baby elok aje tidur bergolek atas toto.

Beberapa kali Ai Lin menegaskan kepada aku bahawa suami dia tak kisah kalau dia nak bawa anak keluar berjalan lama-lama, apabila aku asyik bertanya pada dia bila nak balik. Katanya suami dia lagi tak kisah kalau melepak dengan aku. Sedangkan suami dia pun aku tak kenal sangat. Pernah jumpa sekali masa dia orang kahwin dulu tu aje. Sempat juga Ai Lin bergurau mengajak aku bermadu dengan dia. Ini kali ketiga orang cakap macam itu. Pertama, ex-gf aku, si Preity. Honey pun pernah sebut-sebut hal ini. Berani betul ya.

Aku mandikan baby, sikit kekok. Pasal tak pernah mandikan baby dalam bilik air aku ni. Sambil tu Ai Lin sandar kat pintu perhati aku sambil menghisap rokok sampoerna kotak hijau. Lalu aku membebel suruh dia berhenti. Kalau tak demi diri, demi anak. Ai Lin cakap, dia menyesal belajar merokok lama dulu, tapi dia dah kurang hisap. Lepas hulur anak pada Ai Lin aku pulak try sedut sepam. Mak aih... Berkunang-kunang rasanya mata dan kepala. Memang tak boleh. Ai Lin ketawakan aku berdekah-dekah.

Ai Lin bising sebab aku jarang contact dia. Aku biasalah, buat alasan biasa. Sibuk. Sebenarnya memang aku jenis yang malas nak lepak dengan kawan-kawan. Bond tu sendiri aku jarang jumpa. Jarang SMS. Jarang nak telifon tanya khabar. Hanya yang berjiwa kental sahaja akan kawan dengan aku lama.

Ai Lin balik malam itu, setelah tidak berjaya mengajak aku join reunion batch dia. Reunion batch aku pun aku tak pergi.

Seminggu dua lepas itu ada panggilan tak dikenali ke telifon aku. Cis Ai Lin dah 'jual' nombor aku pada beberapa ex-junior aku. Memang aku dah jangka.

Maaf kalau ada yang aku jarang borak, jarang dapat cerita. Hakikatnya aku memang sibuk.

Friday, December 7, 2012

Masih Misteri


Masa sekolah menengah, aku duduk asrama perempuan. Asrama aku bukan asrama biasa. Asrama luar biasa. Satu asrama beberapa buah sekolah. Ia merupakan pengalaman paling berharga dalam hidup aku yang memang aku tak akan dapat dimana-mana.

Ada seorang kakak senior aku ni. Dia dua beradik. Nama dia Wani. Adik dia Aju. Masa aku tingkatan tiga, Wani tingkatan lima. Aju tingkatan empat. Wani berwajah sederhana sahaja, punyai dahi luas. Aju pulak sikit chubby, tapi cun ya amat orangnya.

Aku memang ngeri dengan Wani ni. Dia petah berkata-kata. Kata-kata yang keluar dari mulut memang bisa sesangat. Sebab tu aku tak pernah nak buat hal atau buat lawak bodoh dengan Wani. Tak pasal-pasal kena sembur. Dia orang Negeri Sembilan.

Wani ni dia ikut kepala dia aje dekat asrama. Semua tak berani nak tegur dia. Jadi setakat ponteng prep atau ponteng kuliah subuh tu memang muka dialah setiap hari. Kalau ada sesiapa tegur dia, dia akan sembur sampai orang tu menangis. Pernah aku tengok dia lawan mulut dengan seorang kakak senior yang  mulut bisa macam dia jugak. Dia menang.

Dalam cuba mengelak daripada kena sembur dengan dia, entah macam mana satu petang tu Wani panggil aku. Aku dah gelabah masa tu. Dalam otak pikir apa salah aku pada dia. Dia senyum aje. Dekat sebelah dia ada sorang junior nama Nini yang selalu jadi sidekick dia.

“ Kau ni besar kepala ya…” Wani pandang aku atas bawah. Dia bercekak pinggang.Aku telan air liur.

“ Aku nak bagitahu kat kau, kau jangan ingat semua orang suka kau… Nini tak suka dekat kau, dia menyampah sangat dengan kau.” Dia sambung ayat lagi.

“ Saya tak buat apa kat dia pun?” Aku pandang Nini geram. Nini boleh sengih lagi masa tu.

“ Kau ni bangang ke apa? Aku nak bagitahu ni kau dengarlah bodoh! Yang kau bangang tak nak dengar ni kenapa? Aku bukan nak pukul engkau, atau Nini bukan nak sepak engkau. Yang aku nak bagitahu sekarang ni Nini menyampah dengan kau. Tak ada alasan.  Orang menyampah dengan kau, kau kena terimalah. Mana ada semua orang nak suka kau je selalu. Faham?” Panjang lebar aku kena sembur.

“ Faham…” Slow aje aku jawab.

“ Dah… Sekarang blah!”

Dua tiga hari aku fikir kata-kata Wani. Betul jugak kata dia. Bukan semua orang suka kita. Aku faham apa yang dia nak sampaikan. Jadi aku tak dendam kat Nini atau Wani. Ini pelajaran.

Ada masa cuti sekolah, Wani ajak aku pergi rumah dia kat Negeri sembilan. Aku agak ragu-ragu jugak mulanya. Tapi setelah beberapa kali Aju ajak aku, aku ikutlah. Nak juga aku rasa macammana cara hidup kampung kat Negeri Sembilan.

Wani di rumah lain. Sangat baik. Rajin. Dia yang masak. Dia tolong mak ayah dia. Dia ajar adik-adik dia dengan bagus. Sikit pun tak melawan cakap mak ayah dia. Sikit bahasa kesat pun aku tak pernah dengar. Ramai jugak kawan asrama yang aku pernah pergi rumah dia orang. Tapi Wani paling terbaik. Aku memang tak berani nak tanya kenapa dia sangat lain di rumah dia. Nak mampos kena sembur? Dan itu kekal misteri sampai hari ini.

Aku tak pernah jumpa Wani atau Aju lepas belajar. Sebelum aku deactive FB dulu ada jugak aku ternampak FB dia orang.

Single. Again.

Lama dah tak lepak dengan Bond. Jadi bila lepak dengan dia memang ambil masa seharian. Sambil layan internet dan minum shake kat cafe tempat dia kerja, dia sengih-sengih bagitahu aku yang dia single balik. Baru dua minggu. Terkejut jugak aku.

Menurut Bond, dia terasa penatnya bercinta dengan isteri orang. Sakit hati. Aku senyum aje, sambil suruh dia cari girlfriend lain. Malas nak bahan dia, tak elok.

Sempat juga aku makan dengan Bond dan ex girlfriend dia petang tu. Hotel tempat kerja ex girfriend Bond dekat dengan cafe tempat Bond kerja. Aku tak pernah jumpa ex girlfriend dia ni. Tengok gambar adalah. Boleh tahan jugak lawanya, lawa dari dalam gambar. Lagi tinggi dari Bond. Tutur katanya sempoi. Patutlah Bond suka. Aku tengok Bond cool aje. Macam tak ada perasaan. Kalau akulah baru 2 minggu putus masih emo lagi agaknya. Tahniah Bond.

Esoknya lepak lagi dengan Bond, kali ni dengan Kak Jen. Kita orang lepak dengan kawan kita orang namanya Ayu yang dah bertahun tak jumpa. Adalah dalam lima enam tahun dah. Bond pernah ada hati dengan Ayu ni dulu. Tapi masa tu ada pengkid lain usha dia ni. Sekarang pulak dia ni dah ada steady boyfriend. Kita orang lepak lama jugak. Tengah malam baru balik. Memang fun.

Balik tu bila hanya aku dan Kak Jen aje yang ada dalam kereta, Kak Jen mengeluarkan teori-teorinya.

Kak Jen : Sekarang ni aku dah paham kenapa Bond asyik putus aje.

Aku : Hahaha! Kenapa pulak kak?

Kak Jen : Aku rasa Bond tu slow sangat.

Aku : Iye ke? Dia tu bukan slow, tapi dia sopan... Skema macam aku.

Kak Jen : Itulah sebabnya, korang patut belajar dari aku.

Aku : Kak Jen rakus sangat... Tak naklah. Eeee.

Kak Jen : Tapi aku dapat tengok dari sinar mata dia, aku rasa dia masih ada hati dekat Ayu.

Aku : Iye ke? Hahaha... Ayu pulak macammana?

Kak Jen : Ayu pun nampak macam suka dia, kau ada perasan cara Ayu jawab telifon boyfriend dia tadi,  macam nak tak nak aje. Dia macam lagi suka borak dengan Bond.

Aku : Entahlah kak... Biarlah dia orang. Sebenarnya aku kalau boleh biarlah ada perempuan beriman yang suka kat Bond tu, biar boleh nasihat-nasihat dia. Hahaha.

Bergitulah sedikit sebanyak gosip kita hari ini. Sekian.

PS : Ayu ni lagi tinggi dari Bond, lagi tinggi dari ex girlfriend Bond... Dia kawan perempuan melayu aku yang paling tinggi, tinggi Kak Jen dekat atas pinggang dia je.



Tuesday, November 13, 2012

Hero, Heroin dan Penjahat Part II


Bila masuk tingkatan lima hubungan aku dan Syakilla makin kukuh. Gaduh sikit-sikit tu biasalah. Saham aku masa tu tengah naik. Ramai aweks yang minat. Dapat surat, coklat dan kirim-kirim salam. Aku pulak melayan. Bila Syakilla dapat tau memang gaduhlah. Dia tanya aku. Aku cakap aku memang layan semua orang baik dari dulu.

Ada sekali tu dia dapat tahu aku buat sorang budak pengawas tingkatan satu ni adik angkat dan layan bukan main baik lagi. Dia mengamuk dan hampir nak gaduh dengan budak tu. Budak tu pulak memang jenis tak nak kalah. Akhirnya terpaksa aku leraikan dia orang.

Aku mengaku aku agak player masa tu. Memang nakal. Tapi dalam hati aku cuma ada Syakilla seorang aje. Aku tak bagi orang lain pegang tangan aku pun. Usik-mengusik guna ayat manis sikit-sikit. Test powerlah konon. Oh! Aku budak sekolah…

Satu pagi masa aku berjalan nak masuk kelas, pak cik van sekolah panggil aku. Dia cakap girlfriend aku  yang tinggi-tinggi  tu tertinggal beg sekolah dalam van. Manalah pak cik van ni tau Syakilla ni girlfriend aku. Kata pak cik van Syakilla asalnya naik van ini, tapi dia tertinggal buku di rumah, lalu dia suruh pak cik van jalan dulu. Bila aku tengok, betullah beg Syakilla. Aku ambil beg tu bawa dalam kelas.

Terasa pulak aku nak spot check beg Syakilla. Nak make sure dia buat kerja sekolah atau tidak. Aku selalu ajar dia. Study sama-sama. Teman dia study. Maklumlah tahun ni dia PMR aku SPM. Bukan dia aje. Kadang-kadang bila aku pergi rumah dia, adik-adik dia pun aku ajar sekali. Sebab tu mak dia suka sangat aku datang rumah. Aku pandai ambik hati mak dia. Rajin tolong apa-apa yang patut. Bila aku ada dekat rumah, mak dia macam lapang aje dada pergi bertandang rumah jiran dan biar aku jaga dia dan adik-adik dia. Selalu jugak mak dia bagi duit kat aku. Girlfriend dapat, duit pun dapat. Bayangkan…

Selongkar punya selongkar beg tu, aku terjumpa sekeping kad. Aku dah sengih sesorang masa tu. Aku dan Syakilla memang rajin tulis surat dan bagi kad. Kadang-kala aku tulis puisi untuk dia. Jadi kad tu memang untuk akulah. Aku dengan confidencenya mula buka dan baca kad.

Ada english poem yang aku karang khas untuk dia dalam kad tu. Susah payah aku mentelaah kamus nak buat puisi tu sebab aku bukan pandai sangat bahasa mat saleh ni. Peliknya, takkan dia nak bagi semula apa yang aku dah bagi pada dia. Tapi aku mulai faham bila baca seterusnya. Tergamak dia guna puisi aku untuk dia dan curang dengan orang lain. Orang tu tak lain tak bukan hero Rajinikanth dia, Si Mohan. Kali ni aku yakin yang dia orang ada skandal di belakang aku. Ayat kat kad bukan main jiwang lagi.

Sebelum loceng kelas berbunyi, aku pergi jumpa dia. Seronok betul dia bila tengok aku datang. Senyum aje. Aku bagi beg dan tunjuk kad tu pada dia.

“ I dah baca kad ni. Sampai hati you buat I macam ni ya. Sebenarnya you dengan Mohan ada apa?” Aku soal dia selembut mungkin. Dia diam. Selalunya bila tak salah dia kecoh.

“ Dah berapa lama you tipu I?” Aku tanya lagi. Dia diam terus. Tak melawan. Jadi betullah. Air mata aku dah mengalir. Kawan-kawan dia yang ada kat situ pun diam. Aku agak, dia orang tahu.

“ I sedih dengan you Syakilla. Kan lebih elok you terus-terang aje dari dulu. Bukannya I nak marah you pun. I boleh terima.” Dia tunduk terus pandang lantai. Tak jawab.

Aku diam. Tunggu penjelasan dari dia. Budak kelas dia beransur keluar sebab loceng dah berbunyi dan beratur di luar kelas untuk nyanyi lagu Negaraku. Dia terus diam. Satu ayat pun tak keluar.

“ Nampaknya memang betullah you dengan Mohan. I tak nak jadi orang ketiga dalam hubungan you dengan dia. Jadi Syakilla, Saat ni, masa ni. I lepaskan you dan I harap you bahagia dengan apa yang you nak buat. I undur diri. I mengalah. Bye Syakilla. Bahagialah kamu.” Lebih kurang macam itulah ayat aku. Kalah Shah Rukh Khan. Sebijik macam cerita Hindustan.

Aku melangkah pergi. Sempat aku paling belakang. Ada air mata mengalir kat pipi dia. Aku keraskan hati. Keputusan aku tetap. Aku tak hiraukan 30 mata budak kelas dia yang pandang aku. Aku tak hiraukan lagu Negaraku yang tengah berkumandang. Aku lari terus pergi toilet. Menangis sepuas hati.

Secara rasminya aku dan Syakilla putus. Tak sampai seminggu lepas tu, hari-hari Mohan ambil Syakilla balik dari sekolah naik motor. Mohan masa tu dah habis sekolah. Dah start kerja. Bawa motor canggih. Memang macam hero Tamil.  Bila lalu tepi aku dan Bond yang jalan sama-sama tunggu bas. Saja aje Syakilla peluk Mohan erat-erat. Makan asap aku. Nak aje aku terajang dua-dua sekali. Bond sabarkan aku. Sekarang aku faham kenapa Syakilla curang. Mohan memang macho, boleh bawa dia jalan-jalan. Happykan dia. Aku tak, aku asyik suruh dia study. Mungkin aku tak se ‘fun’ Mohan.

Tunggang terbalik kejap hidup aku masa tu. Mana nak SPM, nak study dalam keadaan jiwa kacau. Semua aweks aku tak layan dah masa tu. Budak tingkatan lima frust menonggeng. Dapat kau bayangkan?

Beberapa bulan jugak aku lembik aje. Tapi bila aku fikirkan sampai bila. Aku tak nak rosakkan hidup aku, masa depan aku. Aku kumpul kekuatan dan belajar balik bersungguh-sungguh.

Ada jugak mak dia mengadu pada aku yang Syakilla makin malas study bila rapat dengan Mohan. Asyik keluar aje. Mak dia tak suka sangat dia kawan dengan Mohan. Aku tak boleh nak buat apa-apa. Aku bukannya bercakap sangat dengan Syakilla lepas tu. Aku jumpa mak dia pun sebab dah rapat dengan famili dia. Adik dia tingkatan dua tu pulak kan girlfriend Bond. Adik dia pun tak suka dia dengan Mohan. Selalu ngadu pada aku. Aku dengar aje. Malas nak komen. Tapi memang nampak macam aku yang hasut mak dan famili dia supaya tak sukakan Mohan.

Di mata Mohan. Dia hero Tamil tu. Syakilla heroin. Aku pula penjahat. Biarlah macam tu.

Aku tak tahu di mana Syakilla, adik dia dan famili dia sekarang. Mungkin masih ada di situ. Mungkin Syakilla dah kahwin.  Lepas masuk kolej, lost contact. Bond pun tak tahu sebab dia juga putus dengan adik Syakilla sebelum habis tingkatan lima.

Mohan pun aku tak tahu dekat mana. Ada juga aku try google dan cari facebook dia orang. Aku ada jumpa facebook kakak sepupu Syakilla, tapi kakak sepupu dia ni mulut celupar, laser. Kalau aku cari dia melalui kakak sepupu dia mesti kena bahan punya.

Syakilla adalah girlfriend pertama aku. Itu adalah kenyataan. Mohan pengkid India, hero Tamil yang berjaya merampas heroinnya, itu juga kenyataan. Aku dah suka minum cincau sekarang, itu kebenaran. Aku minat filem Tamil dan Hindustan. Itu fakta. Happy Diwali Priyanka Chopra.

Hero, Heroin dan Penjahat part I


Di luar berdentum-dentam bunyi bunga api. Tambah pula dengan bau kari semerbak dari rumah jiran. Aku duk kesat air mata dihujung baju sambil mengunyah burger oblong ditemani sepasang sugar glider milik Anis yang sudah ku beri makan sebentar tadi. Filem Tamil di saluran ASTRO 202 ni buat aku nangis lagi. Malam ini mungkin aku tak tidur melayan cerita menarik kat TV. Malam Deepavalilah katakan.

Semua orang tahu yang aku memang minat cerita Hindustan atau Tamil sejak dulu lagi. Sebab tu aku suka time Deepavali. Masa inilah aku nak tengok hero dan heroin menari keliling bukit.  Memang berbeza sangat dengan Naruto tu. (Apasal pulak aku nak mention nama dia dalam cerita ni?)

Biasanya setiap cerita Tamil mesti ada watak hero, heroin dan penjahat. Kali ini penjahat dalam cerita yang ala-ala filem Tamil ini adalah aku.

Baru tingkatan empat masa tu aku dah ada girlfriend. Nama girlfriend pertama aku Syakilla. Budak tingkatan dua. Orangnya tinggi, berkulit sawo matang dengan suara yang lembut dan senyuman menawan. Memang tak nampak macam budak tingkatan dua. Jenuh jugak aku nak mengorat Syakilla ni awalnya. Setelah banyak masa dihabiskan, kacau-mengacau, ayat-mengayat dan surat-surat cinta maka aku dan Syakilla pun bercouple.

Aku duduk asrama. Setiap petang aku selalu ada latihan bola-baling, hoki ataupun bola jaring di sekolah. Hampir tiap hari juga Syakilla akan datang ke sekolah. Kadang-kadang dia datang sorang-sorang. Kadang-kadang dengan kawan-kawan dia. Dia selalu bawa air cincau dan tuala untuk aku. Habis aje latihan, kami akan dating tepi padang, dia lap peluh aku dan layan aku minum air cincau yang sebenarnya aku tak suka. Sayang punya pasal aku telan juga. Kawan-kawan pasukan bola aku join sekali. Jadi kawan-kawan aku mulai kenal Syakilla.

Aku dan Syakilla juga mula berkawan dengan olahragawati sekolah yang memang dikenali semua orang. Namanya Mohannadevi. Semua panggil dia Mohan aje. Ahli pasukan bola macam aku. Dia tingkatan lima. Orangnya sederhana tinggi, berambut pendek dan hebat dalam semua bidang sukan. Mohan memang macho habis macam hero Tamil. Kita orang kamceng tak kira bangsa.

Satu hari yang biasa, waktu rehat kat sekolah. Di tepi tangga dewan, aku tengah menikmati aiskrim. Bond macam biasalah tak lekang dengan air 100 plus dia tu. Entah dari mana muncul Mohan dan konco-konconya. Dengan gaya ala-ala Rajinikanth dalam filem Muthu.

“ Woi, Jo! Syakilla cakap kau pukul dia!” Zass! Jari telunjuk Mohan menunding tepat ke muka aku. Terasa angin taufan menyerbu ke muka. Aku terkedu. Tak tahu nak respon apa.

“ Yo! Kot ya pun nak cakap apa-apa, tangan tu baik sikit ya.” Bond menolak jari telunjuk Mohan dari muka aku. Muka Bond bersiap untuk bergaduh. Jangan memain, Bond pulak dah macam Bruce Lee. Bond ni budak taekwando.

“ Baiklah Jo, aku tanya kau lagi sekali ni, ada kau pukul Syakilla?” Muka Mohan serius. Macam hero cuba menyelamatkan maruah heroin. Entah dari mana dia dapat keberanian tu.

“ Err… Adalah sikit. Aku bukan pukul kuat sangat pun, pukul manja-manja sebab dia degil, malas study.” Spontan bohong itu keluar dari mulut aku. Hakikatnya aku tak pernah jentik pun Syakilla. Hati aku mengatakan mesti ada sebab Syakilla nak buat cerita  pada Mohan. Lagipun takkanlah aku nak cakap Syakilla, girlfriend aku sendiri dah tipu dia. Walaupun air muka aku sendiri dah tercalar.

“Kau tak patut buat macam tu. Kau patut nasihatkan dia elok-elok…” Mohan mula membebel segala macam nasihat pada aku. Semuanya aku telan. Kepala otak aku berfikir apalah alasan Syakilla. Harapnya bagus. Aku cuba tak fikir bukan-bukan.

Petang itu juga aku minta penjelasan dari Syakilla. Terkejutlah Syakilla bila aku bagitahu Mohan sound aku. Maka Syakilla dan kawan-kawan dia cerita pada aku dia orang sedang mengenakan Si Mohan. Menurut Syakilla, Mohan ni dah main-mainkan perasaan sorang kawan dia orang. Jadi sekarang ni Syakilla tengah duk nak balas balik dengan buat Mohan angaukan dia. Aku tanya lagi, kenapa Syakilla? Menurut kawan-kawan dia hanya Syakilla aje yang mampu goda Mohan.Ceh! Aku tak dapat nafikan itu.

Reputasi Syakilla sebagai girlfriend aku membuatkan Mohan ragu-ragu. Jadi Syakilla tipu Mohan yang aku dan dia selalu gaduh, aku selalu pukul Syakilla. Jadi sekarang ni kiranya Syakilla ni macam heroin yang kena dera dengan penjahat macam aku dan Mohan sebagai hero yang kononnya akan menyelamatkan Syakilla. Syakilla tak sangka pula Mohan berani sound aku depan-depan.

Aku tak setuju sangat dengan cara Syakilla dan kawan-kawan dia. Tapi aku malas nak campur tangan. Cuma aku pesan supaya dia orang berhati-hatilah. Jadi aku biarkan sahaja girlfriend aku dan kawan-kawan dia dengan game dia orang. Lagipun tak lama lagi Mohan dah nak habis tingkatan lima. 



Wednesday, November 7, 2012

Aku, Rempit dan Bohsia


Kata orang, aku dan Kak jen banyak persamaannya. Tapi bagi aku, aku dan Kak Jen adalah dua individu yang memang ada persamaan tapi banyak juga yang  berbeza. Contohnya Kak Jen pandai matematik, aku pula kantoi matematik. Kak Jen suka dengar ceramah Ustaz Azhar Idrus, aku pula tak gemar sangat. . Kak Jen makan vitamin Shaklee aku pula makan buah-buahan segar . Kak Jen handal bawa kapcai, aku gelabah habis kalau bawa kapcai. Tapi cerita kali ini bukan pasal Kak Jen. Tetapi cerita lama pasal aku dan Shahid. Seorang mat rempit yang lebih handal bawa kapcai daripada Kak Jen.

Shahid adalah rakan sekerja aku masa aku bekerja sebagai kuli di sebuah restoren. Muka boleh tahan handsome. Kak Jen selalu cakap, muka Shahid ni ada iras-iras Shahid Kapoor. Adalah sikit, tak sampai sepuluh peratus agaknya. Umur dia muda setahun dari aku. Siang kerja, malam merempit.

Masa Honey dapat matrikulasi. Kami break kejap. Mungkin dia tak tahan LDR atau tak tahan in relationship love hate dengan aku yang macam ni. Aku akur. Sikit pun tak memberontak. Malas nak kacau study dia.

Hidup aku teruskan. Dalam masa yang sama aku cubalah berubah sikit-sikit. Ubah sifat-sifat boyish aku supaya lemah lembut sikit. Entah macam mana Si Shahid ni boleh suka pada aku dalam tempoh tu. Berani dia minta aku jadi awek dia. Bukannya dia tak tahu aku ni pengkid. Bukan dia tak pernah tengok aku dan Honey bercinta dan bercengkerama sakan depan semua orang dulu. Aku rasa, lelaki sewel aje yang boleh suka kat aku masa tu. Bukan tak ada aweks lain kat restoren ni yang tergila-gilakan Shahid. Dia pilih aku pulak. Aku tak bangga. Mudah sangat ke aku ni sampai mat rempit macam dia nak try aku. Tapi aku cuba buka minda aku.  Aku cuba buka hati aku, bagi peluang kat Shahid ini untuk mengorat aku. Mana tahu dia ni ada isi jugak orangnya. Orang kata, tak kenal maka tak cinta. Ramai aje mat rempit yang baik. Aku cuba tidak prejudis.

Maka bermulalah sesi dating aku dan Shahid. Setiap malam lepas kami habis kerja di restoren, dia akan bawa aku dengan kapcai dia meronda keliling ibukota. Banyak jugak port rempit yang dia tunjuk pada aku. Dia akan tolong aku pakai helmet setiap kali nak bonceng kapcai dia tu. Romantiklah konon. Tapi jangan haraplah aku nak peluk dia rapat-rapat, kemain jauh lagi jarak kami atas kapcai tu. Oleh sebab itu, dia selalu buat ayat gini.

“ Jo, kalau masuk KL nanti, kena duduk rapat sikit. Kalau tak polis tangkap.”

Ceh! Kau ingat aku bodoh?

Aktiviti kami selain merempit beramai-ramai pukul dua tiga pagi, adalah melepak di kedai-kedai mamak dan mana-mana port lepak. Kadang-kadang beramai-ramai dengan geng rempit dia. Kadang-kadang berdua. Kadang-kadang ada gadis-gadis  yang kukira bohsia yang join kami. Masa itu aku rasa bohsia-bohsia tu pun rasa aku salah seorang bohsia juga.

Topik perbualan Shahid dan geng rempit dia berkisar kepada motor, aksi-aksi ganas yang dia orang akan buat atas motor, aweks bohsia yang bakal dia orang kekah beramai-ramai dan pil ecstasy. Aku layan aje borak dengan dia orang. Mujur aku tak kena kekah. Mungkin sebab aku macam jantan. Mungkin sebab Shahid dah sound awal-awal atau dia orang ngeri apabila sesekali aku cuba menguji minda dia orang dengan soalan-soalan mengenai moral dan sebagainya.

Satu malam tu, setelah lebih sebulan aku dan Shahid macam belangkas. Dia menghantar aku pulang ke rumah yang pihak restoren sediakan untuk staff . Macam hostel. Kami borak-borak lama juga kat bawah. Sebelum berpisah,  dia tarik tangan kiri aku dan menciumnya rakus. Terkejut aku. Spontan, tangan kanan aku pantas menampar pipi dia kuat-kuat. Mulut aku automatik menyuruh dia berambus dan jangan tayang muka depan aku lagi. Hari ini, esok dan selamanya. Kelam kabut mamat tu lari. Dia ingat sebulan melepak dengan dia, maka dia layak nak buat macam tu. Sambil menyumpah-nyumpah aku cepat-cepat naik atas. Basuh tangan. Terasa tak suci.

Kisah aku dengan Shahid mati kat situ. Esoknya Shahid tak berani nak dekat aku dah. Aku pulak tak hebohkan dia cium tangan aku. Malas nak besarkan cerita. Orang pun pelik bila tengok kami tak keluar bersama lagi. Tapi semua tak nak tanya direct pada aku. Lama-lama Shahid tukar cawangan restoren lain. Aku pulak berubah suam-suam aje masa tu, maka jadi boyish semula.

Lama lepas tu, bila aku dah berhenti. Aku dengar cerita yang Shahid merogol sorang awek cun ni. Kata tukang cerita awek ni dibagi pil sebelum pagi-pagi dia sedar dia dah bogel sebelah Shahid. Aku ingat-ingat lupa awek mana satu, tukang cerita cakap aku pun kenal awek ni. Entah betul atau tak. Bila aku tanya tukang cerita sama ada Shahid kena tangkap polis atau tak, dia pun tak pasti cerita sebenar. Aku tertanya-tanya jugak apa berlaku sebenarnya.

Bertahun lepas tu, bila aku join facebook ex-staff restoren, aku ternampak facebook Shahid. Dah kahwin pun. Lawa jugak bini dia. Ada anak lagi. Rumah nampak besar, kereta nampak besar. Shahid nampak happy. Mungkin dia dah lupa kisah kena tampar dengan aku. Kisah rogol tu pun tergantung macam tu aje.

P/S: Malam tragedi cium tu Honey call aku pukul 1 pagi lebih setelah dah berbulan tak contact. Kata dia tsunami melanda Malaysia dan Aceh. Aku dengar jugak cerita pasal tu. Sempat juga Honey nasihat aku macam-macam. Aku fikir Honey dah benci aku sangat masa tu. Hal tsunami pun nak kaitkan dengan aku. Cuti semester seterusnya, bila dia balik bercuti, dia ajak aku cuba semula, sambung semula. Hairan jugak aku. Hati perempuan, perempuan sendiri pun tak dapat paham kadang-kadang.

Thursday, October 25, 2012

Pengkid Player 2


Seorang lagi pengkid yang aku kenali dengan ayat manisnya adalah salah seorang manager aku dulu. Namanya Salmah. Umurnya tua beberapa tahun dari aku. Salmah ni memang pengkid jambu, handsome,  muka cantik, body cantik. Bukan perempuan aje sangkut dengan dia. Lelaki pun ramai yang tergila-gilakan dia. Salmah menggunakan segala ayat-ayat manisnya untuk menabur janji dari seorang awek kepada seorang awek.

Salmah ni dah ada awek. Seorang setiausaha genit di sebuah syarikat swasta, namanya Maria.  Maria ni cun habis, seksi lagi bergaya . Mata dia cantik sangat. Orangnya baik dan rendah diri. Dia orang dah bersama sejak university lagi. Dah lama bersusah payah bersama.

Satu masa, Salmah mula menggatal dengan staff baru. Namanya Noni. Rakan sekerja aku. Budak lagi Noni ni. Baru habis belajar. Tak panjang akal pun lagi. Dia tau Salmah ada awek dah. Tapi dia layan jugak.  Yang sakit hatinya, Salmah suruh aku cover line. Kalau Maria ada tanya-tanya kenapa dia balik lambat atau tak balik. Aku kena bagitahu yang kerja tengah banyak sekarang, dan kadang-kadang Salmah kena tidur di hostel yang disediakan untuk pekerja. Aku terpaksa akur. Malas nak cerita banyak.

Di suatu pagi yang damai, tengah aku menikmati air milo kotak. Aku terlihat kereta Maria parking depan hostel. Serentak itu aku dapat SMS dari Salmah kalau Maria tanya aku, cakap dia tak ada di hostel dan aku tak tahu dia di mana. Aku syak Salmah tak balik rumah, dan dia tidur di hostel dengan Noni. Masa tu aku tak tahu pun yang Salmah tidur di hostel. Sebab bilik aku lain. Bilik single.

Maria dengan lengang lenggoknya datang jumpa aku tanya pasal Salmah. Aku terpaksa goreng yang aku tak tahu mana Salmah. Mungkin sebab marah sangat,  Maria mintak nak masuk hostel kita orang. Maria dah menangis-nangis ngadu dekat aku. Sempat aku curi-curi SMS Salmah yang aku akan bawa Maria dalam hostel untuk dia buat spot check. Pandai-pandailah dia.

Maria spot check bilik demi bilik. Bawah katil, dalam almari, dalam toilet, dapur dan store. Bayang-bayang Salmah pun tak ada. Noni adalah, pura-pura tengah tidur. Berselimut. Aku tengok Maria dah macam nak terkam aje Noni. Aku pun hairan, dimana agaknya Salmah menyorok. Di tingkat atas hostel pun tak ada. Mungkinkah Salmah ada kuasa halimunan. Cari punya cari, tak jumpa. Akhirnya Maria mengalah.

Aku hantar Maria ke kereta. Suruh dia bersabar banyak-banyak. Aku katakan mungkin Salmah ada hal penting di tempat lain. Dalam hati aku menyumpah-nyumpah Salmah. Dah ada awek baik, cantik dan bekerjaya pun nak menggatal lagi. Maria terima kasih dekat aku. Mata cantik dia dah berair. Hati aku rasa bersalah sebab kena menipu.

Sebaik sahaja kereta Maria jauh dari hostel, aku mula kembali ke hostel. Dalam suasana dramatik tu aku pandang bangunan hostel kami. Korang tahu apa yang aku nampak? Ya Betul… Salmah. Dia tengah berpaut di dinding luar bangunan hostel. Sebijik macam spiderman. Sebijik macam shit.

Tak lama lepas tu aku berhenti kerja. Tiba-tiba best friend, Bond, bagi tahu dia tengah ngorat Maria. Awek Si Salmah. Maria layan pulak tu. Bila aku jumpa Maria aku tanya dia, situasi apakah ini. Dia cakap kalau Salmah boleh buat, kenapa tidak dia. Lagipun dia cakap best kawan dengan Bond. Bond sangat baik dan perihatin. Kalau dia jumpa Bond dulu, mungkin dia tak akan dengan Salmah. Tapi dalam situasi ni dia layan Bond, tapi dalam masa yang sama dia masih lagi dengan Salmah. Kesian Bond. Bond tahu, tapi dia degil. Aku takut jugak kalau Bond dengan Salmah bertumbuk kalau Salmah dapat tahu hal ni. Dua-dua budak teakwando.

Lama-lama Bond sedar yang Maria tak akan tinggalkan Salmah. Salmah pula tak akan putus denga Maria walau menggatal dengan orang lain. Aku dengar cerita Maria sekarang dah tukar kerjaya. Dia jadi cikgu sekolah, dah chubby dan tak seseksi dulu. Dia masih dengan Salmah. Dan Salmah masih handsome.

Sesiapa yang tersangkut dengan pengkid jenis player ni memanglah sakit hati. Tapi pilihan di tangan anda sendiri. Kalau anda pilih sakit, maka sakitlah. Nasihat aku, sayangi diri sendiri dan elak dari terlibat dengan drama dan jangan bergaduh sesama perempuan. Memalukan.

Kepada pengkid player, sampai bila nak tunjuk hero?  Handsome tu tak sampai ke mana. Seronok sementara aje. Sampai bila nak hurt orang. Silap-silap ada mana-mana pihak yang marah, kena bomoh, tak pasal-pasal jadi sasau.

Untuk diri sendiri, aku minta tuhan berikan aku hati yang kuat. Moga aku tak tersangkut dengan mana-mana aweks. Tak kiralah awek orang atau awek yang single. Kalau ada sesiapa ada niat nak ngorat aku, pastikan anda lelaki. Cewah! Jo perasan.

Pengkid Player 1


Sebagai pengkid, aku adalah serial monogami. Aku tak pasang dua tiga. Kalau aku single maka aku single ajelah. Tapi kalau aku berkahwin dengan seorang lelaki, ada kemungkinan aku akan suruh dia berbini satu lagi. Sebab aku tak rasa yang aku akan mampu memenuhi keselesaan dan kehendak suami aku. Mungkin.

Ada beberapa kawan pengkid aku memang player. Jenis tak boleh tengok awek cun. Mesti nak ngorat. Alah… Sebenarnya aku pun bukan baik sangat. Dulu masa aku sekolah menengah pun macam tu jugak tak senonohnya. Masa tu saja nak test power. Test ayat. Lepas steady girlfriend aku curang dengan seorang pengkid India ni, baru aku tahu sakitnya bila orang buat kita balik. Kalau ikut kira-kira yang pernah aku buat dulu, ada lebih 30 orang yang aku duk menggatal dalam satu-satu masa. Aku tak bangga dengan perangai tak matang aku masa tu.

Berbalik pada cerita asal, kawan pengkid aku ni orang panggil dia Abang. Sedikit chubby dengan mata kuyu, kulit putih melepak dan ayat power. Dia orang Kelantan, jadi kadang-kala nama Abang ni berubah jadi Abe. Kalau bab mengorat, ayat dia memang jiwang habis. Boleh cair para awek kalau mendengarnya.
Dia ni jenis tak kira. Perempuan lawa ke, tak lawa ke, bini orang, janda orang, yang dah ada anak-anak, Melayu, Cina, India.  Semuanya dia sapu habis. Tak pilih bulu langsung. 

Aku kenal dia masa mula-mula kerja kat sebuah restoren ni. Mulanya dia agak jaki dengan aku. Dia ingat aku nak ngorat steady girlfriend dia agaknya. Steady girlfriend dia masa tu selalu borak dengan aku. Lepas aku perasan situasi  tu malas aku nak kamceng dengan steady girlfriend dia. Lama-kelamaan Abang  pulak yang kamceng dengan aku.

Aku trylah nasihat dia supaya jangan skandal  dengan ramai orang. Dia dengar macam tu ajelah, tapi aku tengok dia masih dengan tabiat tu. Memang susah kalau dah sebati sifat tu. Lepas tu dia ngorat pulak sorang member sekerja yang aku dah anggap macam adik aku sendiri. Aku bagi nasihat pada Adik, yang Abang ni player, nanti dia yang sakit hati kalau Abang ngorat orang lain pulak. Tapi biasalah, dua-dua tengah angau . Nasihat aku diaorang tolak tepi. Abang siap buat janji dengan aku yang dia akan setia dengan Adik.

Bila Abang mula ngorat orang lain, frust adik ni. Menangis segala bagai. Aku jadi geram betul dengan Abang… Itu limit aku, aku tak cakap dengan dia dah, tak nasihat. Aku biar aje. Kitaorang tak bermusuh. Cuma kitaorang tak bercakap. Berita terakhir yang aku dapat tahu pasal Abang, sekarang ni dia kerja tempat lain dan dia couple semula dengan Adik.

Ada juga dia orang cari-cari aku dan ajak aku lepak-lepak. Tapi belum ada kesempatan lagi. Mungkin nanti. Boleh dengar cerita.

Friday, July 13, 2012

Aku dan Domestic Violence (Part 2)


Beberapa hari lepas itu keadaan masih belum pulih. Maka beberapa kawan pergi slow talk dengan Mel. Akhirnya Mel mengaku juga yang dia ambil handphone Sarah. Alasannya dia dan suami dia tanggung banyak hutang. Suami dia pulak bila tak ada duit mulalah panas baran dan sehingga pukul Mel. Mel tunjuk badan dia penuh lebam kena pukul. Pasal cilok handphone itu adalah idea suami dia.

Maklumat itu dia orang sampaikan pada aku. Aku, beberapa kawan dan Mel berbincang. Kami setuju untuk tidak akan pecahkan rahsia Mel pada Sarah kalau dia bagitahu di mana handphone itu dijual, dengan niat kami nak tolong tebus balik handphone Sarah untuk elakan Sarah terus hysteria  atau pengsan lagi. Dan Mel boleh bayar duit kami sikit-sikit. Mel setuju.

Aku pun hantar Mel balik, entah dari mana suami dia muncul. Aku ingatkan suami dia tahu pasal nak tebus handphone dan sebagainya, aku pun cakap pada suami dia tentang hal handphone. Muka suami Mel bertukar merah. Malu atau marah, aku tak tahu. Mel buat isyarat yang suami dia tak tahu. OMG. Aku buat-buat berani. Pandang mata suami dia dan sempat nasihatkan mereka supaya jangan buat perkara-perkara tak elok dah. Gerun jugak aku masa tu. Kalau tiba-tiba aje dia hempuk aku, naya aje. Aku siap sedia pasang kuda-kuda. Tapi suami dia senyap aje dan dia pegang tangan Mel. Dia orang blah tinggalkan aku bergitu sahaja. Mujur aku tak kena hempuk.  Aku harap Mel tak kena pukul lepas tu.

Aku dan kawan pergi ke kedai untuk tebus handphone Sarah. Malangnya handphone itu telah terjual. Jadi aku ambil keputusan untuk tambah duit aku lagi sikit dan beli handphone baru untuk Sarah. Kami berikan handphone itu pada Sarah. Kononnya itu hadiah dari kami semua.

Aku ingat perkara itu dah berakhir dengan selamat.  Rupanya tidak. Lepas dapat handphone baru, Sarah siasat siapa yang ambil handphone dia dulu. Entah siapalah yang bodoh dikalangan kami bocorkan rahsia. Aku dapat tahu hal dah bocor bila aku dengar cerita Mel teruk kena hina dan maki oleh Sarah dan beberapa kawan lain.

Tak habis hal hina dan memaki, aku dengar pula Sarah nak lanjutkan hal ini pada pihak kolej. Silap-silap Mel dan suami boleh kena buang kolej.  Ini tak boleh jadi, aku pergi jumpa Sarah supaya dia membatalkan niatnya itu. Apa lagi yang Sarah nak, handphone pun dan berganti. Dia tak pengsan lagi. Kenapa nak aniaya orang. Apa salahnya maafkan aje. Itu pendapat aku. Pendapat Sarah tak sama.

Pertemuan aku dengan Sarah di tangga kolej yang bermula dengan bercakap secara baik bertukar kepada hampir nak bertumbuk. Sarah cakap aku tak patut rahsiakan pasal Mel curi handphone. Dia cakap itu hak dia untuk tahu dan bagitahu pihak kolej. Dia cakap yang aku sengaja sokong  Mel.  Kurang ajar punya Sarah. Aku tolong dokong dia masa pengsan, pujuk dia menangis, siasat hal curi malah gantikan handphone baru yang 50% guna duit aku. Dia masih tak bersyukur. Memanglah kaki  aku gatal aje nak naik ke muka dia. Aku hampir nak melakukan keganasan rumah tangga di atas tangga itu, tetapi berjaya dihalang oleh kawan-kawan yang lain.

Lepas itu aku dan Sarah dah tak bertegur sapa. Hal Mel dia tak panjangkan pada pihak kolej. Cuma dia bagitahu lecturer kami, bukan setakat itu aje dia dan kawan-kawan dia bercerita sana sini. Semua orang tahu Mel dan suami curi handphone. Aku tak dapat bayangkan betapa malunya dia orang. Aku rasa sedikit kesian pada Mel dan kesal dengan angkuhnya Sarah.

Bila aku cerita semua ini pada Preity. Dia gelakkan aku. Katanya siapa suruh aku masuk campur hal orang. Buat baik pun berpada-padalah. Kononnya tak sampai sebulan dia balik kampung aku pula mula bergaduh. Sikit pun tak sokong aku.

Semester baru lepas tu aku tengok Mel dan suami mula menjual nasi lemak di kolej dari bilik ke bilik. Tapi dia tak pernah ketuk bilik aku. Kes kecurian barang masih berlaku di kolej dan aku tak lagi tunjuk hero pergi siasat.

Lepas habis kolej, aku tak berkawan dengan seorang pun kawan kolej aku. Termasuklah Preity. Banyak sangat kenangan pahit kat situ.

Keganasan dalam apa cara dan sebab pun tak bagus.

Thursday, July 12, 2012

Aku dan Domestic Violence (Part 1)


Baru-baru ini aku ada menonton drama bersiri Bukan Bidadari di TV3. Aku suka watak liar Inas lakonan Nad Zainal. Lakonan yang baik dan Nad Zainal sangat cute. Lalu aku terus google synopsis cerita ini. Sinopsis mengatakan Inas akan kahwin dan dia akan kena dera dengan suami dia, dan dia akan belajar boxing. Ada sikit macam filem Enough lakonan Jeniffer Lopez. Aku bukan nak buat review drama atau filem. Aku ingin ceritakan kisah masa aku di kolej tentang keganasan rumahtangga.

Cuti semester dah start. Tapi aku masih ada paper yang belum habis. Ex-gf aku, Priety dah lama balik kampung. Ramai lagi yang ada kat kolej, ramai lagi yang belum habis paper.

Tengah aku study, tiba-tiba datang member bilik depan kecoh bagitahu aku budak bilik dia hilang handphone. Masa zaman aku di kolej, handphone ini kira barang value tinggilah, tak ramai yang pakai handphone lagi masa tu. Aku pun tak ada handphone. Berbalik kepada budak yang hilang handphone itu aku namakannya Sarah. Sarah ni emo gila hilang handphone dia. Menangis macam orang kena hysteria. Tak nak makan nasi. Dia cakap susah nak hubungi keluarga sebab handphone dah tak ada. Bukannya aku tak tahu yang si Sarah ni 24 jam bergayut dengan boyfriend dia. Aku senyapkan sahaja malas nak masuk campur. Tapi paling cilaka bila Sarah ni sampai tahap pengsan. Lalu aku yang dianggap gagah pada masa itu terpaksa dokong dia masuk van ambulance. Tak tenteram aku nak study dibuatnya. Jadi aku terpaksalah buat sesuatu.

Menyiasat, kaji dan buat andaian ala-ala CSI Miami, jadi aku dan beberapa kawan lagi meletakkan rakan sebilik Sarah, seorang senior bernama Mel yang jarang pulang ke bilik sebagai suspek utama.  Hari hilang handphone tu Mel ada balik kejap ambil barang. Mel ni dia dah berkahwin dengan senior kami  juga, jadi dia menyewa di luar manakala bilik hostel kolej tempat dia rest dan simpan barang sahaja. Jadi kami kena tunggu dia balik bilik baru boleh jumpa dia.

Suatu hari Mel balik, maka budak bilik Sarah cepat-cepat panggil aku. Bila aku masuk bilik Sarah, dah ramai tunggu aku untuk tanya Mel, penakut betul. Nak jugak tunggu aku.  Sarah pula aku tengok dalam keadaan terbaring. Sakit sangatlah kononnya tu. Pandai berlakon betul. Lalu aku pun menghampiri Mel.
“ Akak tahu tak handphone Sarah hilang? Akak ambik handphone tu kan? Kenapa akak ambik? Sarah sampai sakit tahu!” Aku direct.  Mel terkejut. Budak-budak lain pun terkejut juga.  Dia orang mungkin sangka aku nak berkias-kias dulu. Dia orang silap.

“ Hah! Handphone Sarah hilang? Bila? Akak tak tahu apa-apa.” Dia nampak gelabah.

“ Akak jangan berlakonlah. Kita orang ada bukti akak yang ambik!” Budak lain bersuara.

“ Korang jangan main tuduh-tuduh aje, manalah akak tahu. Akak jarang balik bilik!” Suara dia tinggi.

“ Saya memang tuduh akak! Memang tak ada orang lain dah. Mengaku ajelah yang akak ambik. Cepat sikit mengaku. Saya dah tak sabar ni.” Aku sengaja mengengam penumbuk.

“ Akak tak ambik, tak ambiklah. Dahlah akak nak cepat ni.” Dia cepat-cepat keluar dari bilik. Aku ikut dia.

Entah macam mana nak dijadikan cerita. Masa aku kejar dia dari bilik tu, tiba-tiba aje hujan turun. Dalam hati aku cakap kalau dia sanggup redah hujan ni. Memang dia yang ambik handphone tu. Dan… Dia redah hujan tu. Berlari-lari anak dia lari dalam hujan. Sebab apa? Sebab takut. Sebab dia yang curi sebab tu takut. Aku berselindung bawah bumbung kolej, tengok aje dia dari jauh lalu otak ligat memikirkan langkah seterusnya.

Bersambung…

Monday, May 14, 2012

Segi Tiga Masa Muda


Masa kat kolej dulu aku pernah terbabit dengan cinta tiga segi bermuda, antara aku, girlfriend aku masa tu Preity dan seorang mamat handsome Korean look yang ku namakan Zain Malik (jangan salah paham dia bukan Zayn Malik)

Masa semester satu di kolej, Zain menjadi kegilaan ramai kecuali aku. Kekacakan dia tak cukup nak buat aku tergoda. Zain bukan setakat kacak, dia datang dari keluarga yang berada dan dihormati. Malah Zain pandai dalam pelajaran dan digeruni semua, termasuklah para senior. Zain ada segala-galanya masa tu.

Priety salah seorang yang cair dengan kemasyuran Zain. Tapi masa tu Priety belum jadi girlfriend aku lagi
Aku pulak sibuk usha awek yang satu semester aku. Aku namakannya Rihana. Rihana ni cantik sangat di mata aku. Bila aku tengok Neelofa sekarang, aku mesti teringat Rihana. Punyalah susah nak usha si Rihana ni. Siang malam aku guna macam-macam ayat power tapi still tak sangkut dengan aku.

Zain ni sebagai orang yang ramai peminat layan aje peminat-peminat dia. Preity dah tangkap cintan dengan layanan Zain. Satu hari kawan-kawan Priety dengar yang Zain dah in relationship dengan awek lain. Jadi kawan-kawan yang kaki menyibuk ni mengajak aku yang berperwatakan sedikit gangster masa tu untuk teman dia orang tanyakan hal sebenar pada Zain, sama ada dia suka pada Priety atau awek tu. Jawapan dari Zain agak mengejukan aku bila dia berlagak innocent, katanya dia tak tahu menahu Priety ada hati dengan dia. Dia dan awek itu confirm in relationship. Aku yang sekadar jadi peneman dia orang rasa nak aje tumbuk muka Zain. Aku yang tak rapat dengan Preity ni pun boleh nampak dia ada sikit flirt dengan Priety time kelas.

Kawan-kawan Preity sekali lagi minta bantuan aku untuk bagitahu Priety hal sebenar supaya Preity tak berharap terus. Aku jalankan tanggungjawab tu. Priety nangis senyap-senyap bila aku bagitahu. Sejak tu aku mula rapat dengan Preity.

Priety ni bukannya tak cantik, tapi dia sikit chubby dan budak kampung yang tak tahu bergaya. Skil sosial boleh dikatakan kosong, kosong..oohh(ikut rentak lagu Najwa Latif). Jenis orang yang orang lain tak perasan. Jadi sebagai seorang yang suka melihat kecantikan aku selalu memotivasikan Preity supaya ubah diri dia. Aku teman dia belajar. Teman dia beli dan pilih baju. Teman dia makan. Teman dia cuci muka kat toilet. Sehinggalah sampai tahap kami menjadi teman di tempat tidur. Priety berubah dengan drastik daripada seorang yang tak ada orang nak pandang kepada seorang yang kadang-kadang kalau kami makan kat kedai, ada orang yang dah bayarkan harga makanan kami. Aku tak tahulah yang bayar itu sebab aku atau sebab Preity. Masa tu orang anggap aku dan Preity bestfriend. Adalah juga cabaran-cabarannya bila orang mulai syak hubungan kami. Yang tu lain kali aku cerita.

Sepatutnya bila dah semester ketiga, saham senior biasanya dah jatuh merundum. Saham Preity pula naik mendadak. Aku ingat lagi ada senior-senior bagi gelang pada Preity, surat cinta, coklat, bunga. Adalah jelous jugak masa tu. Tapi aku tahu Preity cinta aku sorang.

Dalam kesibukan belajar, setiap malam Preity ada kelas malam. Aku dan Preity beza course. Jadi masa belajar aku dan dia agak berbeza. Tapi pelajaran Preity aku mahir jugak sebab aku asyik belajar dengan dia. Sampai tahap assignment dia pun aku mampu buat sebab hari-hari diskus pelajaran dia.

Keindahan percintaan secara sembunyi tu tak lama. Satu malam tu lepas habis kelas, Preity tiba-tiba bagitahu aku yang dia dan Zain dah in relationship selama sebulan. Yang paling celaka, aku orang terakhir yang tahu. Kawan-kawan yang lain semua dah tahu lama. Satu kolej dah tahu sebenarnya. Lagipun memang dia orang yang sibuk kenenkan mereka bila Zain jadi jelous, Preity yang dia reject selama ni digilai ramai. Kawan-kawan tu pulak dah mulai syak hubungan aku dengan Preity. Jadi untuk selamatkan Preity terus terjebak dengan akulah kononnya tu. Paling aku tak faham adalah Preity sendiri, sejak peristiwa dulu dia jadi benci dan dendam pada Zain. Tergamak dia curang dengan lelaki terakhir yang aku boleh fikir, Zain. Mungkin aku terlalu manjakan dia. Air mata perempuan aku menitik-nitik dua tiga baldi malam tu. Tak ada pujukan dari dia pun.

Hidup perlu diteruskan, beberapa kali aku cuba jauhkan diri dengan Preity, tapi tak mampu. Preity pun terus aje bergantung dengan aku, Cuma sekarang dia kena bahagi-bahagi masa antara aku dan Zain. Aku pernah banyak kali mintak dia ignore aku kalau aku datang pada dia, tapi dia cakap dia tak mampu dan dia nak aku, dia nak Zain jugak. Tamak betul. Jadi secara rasminya, aku tahu aku bermadu dengan Zain, tapi Zain tak tahu.

Kami hidup dalam berpura-pura, Preity suruh aku berbaik-baik dengan Zain. Berlagak betul Zain masa tu. Sebab sayang Preity aku ikutkan aje. Aku ibaratkan bodyguard tak rasmi Preity kalau dating dengan Zain. Tunggang langgang aku rasa hidup aku masa tu. Kenapalah aku tak ada kekuatan untuk lepaskan Preity, banyak lagi girl yang sweet masa tu. Sampai habis belajar kat kolej hal itu berterusan. Ayat manis Preity masa tu, lepas habis kolej dia janji akan stay dengan aku dan tinggalkan Zain.

Ada satu peristiwa yang akhirnya buka mata aku bahawa selama ini Preity memang tak ada niat nak tinggalkan Zain. Lepas habis kolej, diorang makin rapat sampai tahap Preity dah dibawa jumpa keluarga Zain. Janji tinggal janji. Aku bawa diri ke KL. Kerja macam nak mati supaya lupa Preity. Preity tak peduli dan tak sibuk nak cari aku. Sedangkan dia tahu aku kerja kat mana. Banyak kali dia turun KL rumah saudara dia tapi tak pernah sekalipun jenguk aku. Aku sendiri ada datang jumpa dia sebab rindu sangat. Tapi aku tahu tak guna sebab dia banyak berahsia dan menipu. Kitaorang jadi sangat jauh.

Sampailah satu masa dia dapat tahu aku main cinta dengan Honey. Masa tu dah berbulan-bulan kami tak contact. Dia dapat tahu sebab Honey call dia dan cakap sekarang Jo milik Honey. Berani betul Honey curi tengok nombor Preity dari telifon aku, sedangkan masa tu Honey belum jadi girlfriend sah aku. Honey asyik reject aku. Preity akhirnya sanggup datang cari aku, merayu-rayu suruh aku lupakan Honey, terima dia semula. Dia sanggup nak tinggalkan hubungan dia dan Zain yang dah kukuh tu demi aku. Aku tolak mentah-mentah. Hati aku dah tutup rapat untuk dia.

Sekarang, Preity dah kahwin pun. Ada anak seorang. Dia massage aku mengatakan aku dah diblacklist dalam life dia. Ok, aku faham. Tapi dia tak kahwin pun dengan Zain. Dia kahwin dengan orang lain. Zain pun kahwin dengan orang lain. Korang ingat tak awek yang mula-mula ada hubungan dengan Zain dulu? Ya, Zain kahwin dengan awek tu. Terkejut aku bila dapat tahu. Diorang dah ada anak pun. Dunia berputar 360 darjah kan?

Honey pun dah kahwin, dengan lelaki yang buat dia tinggalkan aku. Aku puas hati!

Kepada pengkid yang terlibat dengan cinta tiga segi ni, nasihat aku, kalau korang rasa daya teruskan. Ia satu pengalaman yang bodoh tapi berharga. Kalau tak daya. Putus ajelah. Banyak lagi awek yang nak korang.

Lepas aku kerja kat KL, aku jumpa beberapa senior dan junior yang mengaku pernah sekolej dengan aku, diorang bagitahu Jo agak popular di kolej dikalangan para closet lesbian. Aku memang tak tahu.

Bila difikir-fikir, mujur aku tak tahu kan?

P/S : Zain Malik adalah seorang pelukis muda yang disegani ramai kat Malaysia. 

Thursday, April 19, 2012

Pengkid Fight

AMARAN : Aksi ini tidak dibenarkan ditiru.

Kisah ini telah diceritakan banyak kali oleh aku kepada ramai orang. Cuma versinya aku sering tukar-tukar supaya sesuai dengan keadaan. Ini versi asal. Kalau sesiapa yang mengenali aku secara peribadi dan turut bersama ketika kejadian ini berlaku, pasti tahu pemilik blog JoCerita ini adalah …. Terlalu ketara. Masa itu aku masih di sekolah menengah, dengan berat purata 45 ke 47 kilogram (waktu sekolah aku memang kecik molek orangnya)

Petang hari minggu yang cerah itu, aku dan budak asrama yang lain seperti biasa menonton cerita Hindustan di bilik tv. Bezanya mereka ternganga melihat hero yang kacak, aku pula telan liur melihat heroin yang jelita. Tengah asyik menonton, tiba-tiba bekalan elektrik terputus. Lalu aku gadis paling macho (kononnya) dan selaku pemilik tidak rasmi remote control TV asrama menawarkan diri untuk pergi on semula suis utama di bilik elektrik.

Sesampainya aku di bilik elektrik, seorang budak lain berada di situ. Aku namakannya Ash. Ash ni terkenal dengan gelagatnya yang agak liar. Aku pernah dengar yang Ash ni pengkid, tapi waktu tu perkataan pengkid ni agak tabu di kalangan kitaorang, biasanya perkataan tomboy sahaja digunakan.

Aku tidak memperdulikan Ash, lalu terus on kan suis utama yang ternyata dah off. Hairan juga dalam cuaca yang cerah, suis tu boleh ‘tendang’. Masa itu aku syak Ash yang offkan. Ash pergi ke arah pintu. Aku ingat dia nak keluar. Tapi aku jelling, dia tengah kunci pintu dari dalam.

“Budak kampung!”
Tiba-tiba Ash panggil aku macam tu.
“Ada apa budak Bandar!”
Aku balas balik.
“Kau tu dah la budak kampung, BUDAK KAMPUNG!”
Entah kenapa aku jadi sakit hati, kenapa dia tiba-tiba nak provoke aku macam tu?
“Jadi? Apa budak bandar macam kau ni nak dengan budak kampung macam aku ni hah? BUDAK BANDAR!”
Aku balas balik lagi sekali.
“Kau jangan sampai aku tendang!”
Maka ugutan itu keluar dari mulut Ash. Ini sudah lebih.
“Tendanglah kalau berani”

Aku menahan geram dalam hati, kalau dia sentuh aku sikit pun, memang nahas.

Lalu dia terus meluru arah aku, guna lutut dia tepat ke perut aku. Mak aih! Senak perut aku. Dia nak sepak kali kedua, aku tepis, kunci tangan dia lepas tu pangkas kaki dia sampai jatuh. Bila dia dah jatuh terbaring, aku duduk atas perut dia, tangan dia sebelah aku tekan ke lantai guna tangan kiri, sebelah lagi aku tahan pakai kaki. Tangan kanan aku tumbuk muka dia bertubi-tubi, sekuat-kuat hati, penumbuk dari tangan budak sekolah yang beratnya 45 ke 47 kilogram, dan itu bukan tindakan pertahankan diri dah. Entah macam mana, dalam keadaan dia menggelupur cuba nak melepaskan diri tu, dia angkat kepala dia sikit, lalu menggigit dada aku, sikit aje lagi nak kena puting tetek aku. Aku tumbuk kepala dia kuat-kuat supaya dia lepaskan. Tapi dia tak lepaskan. Mahu tak mahu terpaksa aku guna teknik makcik-makcik bergaduh, tarik rambut dan cakar muka dia. Pun gigitan tu dia tak lepaskan jugak.

Aku jadi semakin lemah. Dalam keadaan lemah tu, aku terdengar gegaran pintu dari luar. Adin, salah sorang member aku cuba buka pintu, aku nampak dia dari celah-celah tingkap kaca. Dia jerit-jerit nama aku, dia nampak aku kena gigit. Lepas tu aku dengar dia berlari. Tak lama lepas tu datang lagi member-member aku yang lain, Tika dan Fray. Bertungkus lumus diaorang bertiga cuba bukak pintu. Akhirnya, satu tendangan dari Tika yang menyebabkan pintu tu terkopak. Tika memang gagah perkasa.

Dia orang bertiga cuba tarik Ash. Tapi dia tetap tak lepaskan aku, bayangkan betapa kuat dan lamanya dia gigit dada aku. Tika terpaksa guna cara paling ganas, lalu dia tendang Ash sekuat-kuatnya. Ash tergolek dekat atas lantai. Aku pulak tersandar kat dinding, satu badan rasa lumpuh masa tu. Aku tak pasti antara aku dan Ash mana yang paling sakit. Aku tengok  Adin, Tika dan Fray belasah Ash. Aku pegang dada tengok ada darah pada baju.

Entah macam mana Ash dapat lepaskan diri, Adin, Tika dan Fray papah aku balik dorm. Luka gigitan kat dada melekat pada baju. Sakit gila masa nak tanggalkan baju dan bra. Ramai yang berkerumun tengok tetek aku masa tu, perasaan malu dah tak ada dah. Ada yang ambik air tolong lap luka. Hilang semua macho masa tu. Air mata dah meleleh.

Masa kecoh-kecoh tu la semua orang sibuk tanya apa jadi. Aku ceritalah apa jadi. Punca pergaduhan pun aku tak faham. Lepas ketua asrama ambil keterangan dari aku, aku dengar dia pergi ambil keterangan dari Ash pulak. Aku dah terbaring aje atas katil. Tetek berdenyut-denyut. Nak angkat tangan pun tak larat. Yang bangsatnya, menurut keterangan seorang adik yang tiba-tiba jadi spy aku bagitahu, keterangan Ash bercanggah dari aku. Ash kata aku yang cari pasal dulu. Aku yang pukul dia. Spy tu bagitahu lagi, Ash pun luka teruk, muka dia calar-calar. Jadinya ada dua puak di asrama sekarang. Separuh berpihak pada aku, separuh berpihak pada Ash.

Setelah siasatan dijalankan. Beberapa hari lepas tu aku dipanggil majlis tertinggi asrama. Sebelum tu, para spy cakap Ash dah dipanggil dulu. Aku tak cerita banyak dengan warden lelaki. Aku cakap ini semua salah faham aje. Warden lelaki cakap, tak boleh abaikan sebab kes ni berat. Lagipun Ash banyak rekod buruk.
Ash kena buang asrama. Aku berkeras cakap pada warden yang aku tak nak besar-besarkan hal ini.

Aku cuba jugak menyiasat kenapa Ash buat hal dengan aku. Dengar-dengarnya Ash marah sebab girl dia minat, suka pada aku. Sama ada itu betul atau tak. Masih belum ada kepastian. Sampai sekarang girl mana satu pun aku tak tahu. Akhir tahun, sebelum peperiksaan mula, Ash diterima masuk asrama balik. Lama-lama aku dengan dia bertegur-sapa semula. Tapi aku tak pernah ungkit hal gaduh tu semula. Tak perlu rasanya.

Parut kat dada pun dah mulai hilang beberapa tahun lepas.  Lepas habis sekolah menengah, aku tak tahu ke mana perginya Ash. Ada yang cakap dia dah jadi baik. Banyak sangat khabar angin. Entahkan betul entahkan tidak.

Cerita ini aku didikasikan pada Adin, Tika dan Fray yang menyelamatkan aku. Tika tak jadi tomboy dah. Dia dah kahwin, ada anak tapi dah cerai. Adin tak dengar khabar berita, mungkin masih pengkid lagi. Fray pulak, pengkid tegar. Aku dengar dia kerja kilang dan ada girfriend Indonesia kat kilang tu.

Kesimpulannya. Bergaduh tak berguna. Bergaduh atas sebab tak ada sebab lagi tak guna. 

Wednesday, April 18, 2012

First Crush

Borak dengan Arin si closet lesbian, merangkap housemate aku banyak juga cerita dia yang aku tahu. Dulunya sebelum Arin mengenali dunia lesbian dan terlibat dengan pengkid dia pernah bercinta dengan lelaki. Ya betul…LELAKI. Bercinta dengan sepenuh hati dengan lelaki lalu putus cinta dengan teruk, dapat masuk universiti, entah macam mana rapat lalu tersangkut dengan kawan perempuan seuniversiti, jalani hubungan sulit dengan perempuan tu beberapa semester. Dalam semester akhir dia try online dating dengan orang lain, putuskan hubungan dengan kawan universiti itu lalu mulakan hubungan baru dengan pengkid dalam online dating iaitu Arin. Pejam celik hubungan diaorang masuk tahun kelima. Hubungan yang aku rasa cukup lama dalam lifestyle songsang ni.

Bercerita tentang bagaimana Arin boleh terbabit dengan dunia lesbian mengingatkan aku bagaimana cerita tentang aku bermula. Dari kecik aku memang boyish. Rambut pendek. Perasaan aku yang kena jaga keluarga terbentuk bila ayah kerja jauh. Abang-abang sekolah asrama. Kakak-kakak harapkan aku dan adik-adik lain masih kecil.

Aku suka perempuan bermula dari darjah tiga. Bayangkan seawal darjah tiga. Jadi tak ada istilah pengaruh rakan sebaya atau pengaruh luar secara amnya. Penyakit ini memang aku cari sendiri.

Satu petang hari terakhir sekolah untuk cuti pertengahan tahun adalah hari yang sangat gembira. Budak umur Sembilan tahun mana yang tak suka cuti? Maka petang itu lepas habis kelas, kami, budak-budak perempuan main kejar-kejar. Aku kena jadi pengejar. Semua budak-budak perempuan lain bertempiaran lari, biasalah aku ni kasar sikit nak dibandingkan dengan dia orang. Dalam kejar mengejar tu aku dapat tangkap budak perempuan satu kelas dengan aku ni, Mawar nama dia. Bila aku dapat aje tangkap Mawar ni, aku peluk dia kuat-kuat. Dia ketawa masa tu, tapi dia biar aje aku peluk dia. Muka kami dekat. Masa tu aku rasa lain sangat, aku rasa melayang-layang. Rasa masa berhenti. Bila orang lain menjerit-jerit. “Mawar kena tangkap! Mawar Jadi!” lalu aku lepaskan Mawar pelahan-lahan. Barulah aku pandang sekeliling aku semula. Baru aku dapat rasa kaki aku semula.

Sepanjang cuti pertengahan tahun aku asyik teringat pada Mawar. Mawar cantik, muka dia bulat. Tepi mata dia yang cantik dan bulat tu dia ada tahi lalat kecil. Dia pengawas sekolah. Pandai pulak tu. Dari darjah satu dia aje yang dapat nombor pertama dalam kelas kami. Bestfriend dia Maria, budak kacukan. Diorang cakap bapak Maria ada darah portugis. Budak kacukan memang cantik. Tapi kecantikan, lemah lembut dan kepandaian Mawar yang ada darah Kelantan ini sahaja menjentik hati aku. Aku setuju kalau orang cakap perempuan Kelantan lawa-lawa.

Bila habis cuti sekolah, dalam kelas aku mula curi-curi pandang Mawar. Aku tahu dia perasan sebab obvious sangat. Aku duduk tengah-tengah kelas, dia pula duduk depan sekali. Jadi kerja seharian aku selain belajar adalah tengok Mawar. Bila dia pandang belakang lalu tertengok aku, aku terus pandang aje dia. Kami sama-sama pandang. Kadang-kadang lawan mata. Sampai berair mata masing-masing. Tapi dia tak pernah marah aku buat macam tu. Dia mesra aje dengan aku. Dia tak pernah jauhkan diri dari aku walaupun memang peliklah bila ada budak perempuan asyik tengok budak perempuan lain.

Aku jadi rajin belajar sebab nak dekatkan jarak antara aku dan Mawar. Aku ni antara budak yang corot dalam kelas, dulu aku tak masuk tadika, jadi aku lambat sikit dari orang lain. Semua dah ada kawan sendiri, aku pula baru belajar nak berkawan. Keputusan peperiksaan aku makin ok. Walaupun masih tak dapat nak kalahkan keputusan Mawar, pernah juga aku dapat nombor dua dalam kelas kami.

Dalam aku mula pandai berkawan, masa darjah enam Mawar asyik kena gossip dengan ketua pengawas yang juga antara kawan lelaki yang kamceng dengan aku. Mohammad. Rasa sakit jugak hati. Tapi aku tak tahu apa nak buat. Mohammad tu pula baik orangnya. Aku tahu Mohammad memang suka Mawar, biasalah aku kan kamceng dengan Mohammad. Aku tak surelah Mawar suka ke tidak pada Mohammad sebab bila aku try-try korek cerita, dia senyum aje. Mawar memang pandai berahsia.

Bila masuk sekolah menengah. Aku duduk asrama di negeri lain. Mawar pula di asrama negeri lain. Jadi kami dah tak berhubungan. Sesekali aje terjumpa masa cuti sekolah.

Sebelum aku masuk sekolah menengah aku dapat surat dari salah sorang budak perempuan kelas kami yang aku anggap sebagai ‘bad girl’. Nama dia Nor. Dia ni matang awal dari kitaorang semua. Fizikal kegadisan dia terserlah sejak dari darjah tiga lagi. Dia selalu cerita pasal budak lelaki dan minat dia tentang perkara-perkara sexual memang dah nampak lebih dari orang lain. Sebab tu aku anggap dia ‘bad girl’. Dia selalu borak dengan aku, budak-budak lain memang malas nak layan dia.

Surat yang dia serahkan by hand untuk aku masa cuti sebelum masuk sekolah menengah tu dia pesan baca masa aku dah ada kat sekolah asrama. Aku ikut pesan tu (memang skema) Ada 3 helai surat pendek. Surat tu siap ada bedak wangi bila aku buka. Dia cakap happy sangat kawan dengan aku sepanjang sekolah. Dia cakap aku sahaja yang layan dia baik walaupun banyak perkara jahat dia buat dan aku tahu hal-hal tu. Dia cakap dia suka pada aku. Dia suka aku? Terkejut jugak aku. Macammana aku boleh tak perasan. Mungkin sebab aku suka sangat kat Mawar. Masa aku baca surat tu aku rasa aku tahu dia suka aku lebih dari seorang kawan. Surat tu pun dah hilang. Aku pernah bagi kakak aku baca surat tu.

Mawar dah kahwin. Handsome suami dia. Nor pun dah kahwin. Nor dah pindah rasanya. Tak silap aku Nor kahwin dan bercerai lepas tu kahwin lagi. Aku pernah jumpa Nor tapi dia tak nak cerita sangat pasal diri dia. Aku tahu Mawar tinggal di mana sebab adik aku nombor dua dengan adik dia rapat. Adik dia selalu datang jumpa adik aku. Adik nombor dua aku dah kahwin pun, ada dua orang anak lagi. Adik Mawar cun macam kakak dia pun dah nak kahwin.

Ramai orang kita jumpa, kita bercinta, kita sayang. First crush dan first love letter, kita akan ingat sampai bila-bila. Aku akan ingat Mawar dan aku juga akan ingat Nor.

Tuesday, December 27, 2011

Garisan Antara Jo dan Bond

Beberapa mingu lepas besfriend aku si Bond sms bagitahu yang dia break-up dengan girlfriend baru dia. Tak sampai beberapa minggu aku diperkenalkan pada minah Kelantan tu, diorang putus pulak. Kecewa betul Bond. Siap forward sms putus minah tu pada aku. Aku cuma mampu suruh dia sabar banyak-banyak dan cakap masa akan ubat segalanya dan jangan fikir sangat. Beberapa hari lepas itu aku tanya khabar Bond semula, dan betul seperti yang aku sangka Bond dah mula contact semula ex-girlfriend dia yang lama dulu. Alasannya kalau dia tak buat macam itu dia akan asyik terfikir minah Kelantan tu dan boleh buat dia jadi sewel.

Dunia pengkid ni penuh dengan drama. Sebijik macam dalam cerita L World tu, malah lebih teruk lagi. Aku tak tahu berapa kali Bond patah hati, sama ada dia ditinggalkan atau dia tinggalkan girl dia. Bond pernah ada affair dengan awek kepada seorang pengkid otai. Awek yang dia tengah ngorat kena ngorat dengan pengkid lain. Pengkid lain rampas awek dia. Awek dia kena sambar dengan lelaki tulen. Macam-macam hal.

Bond, muka dia macam cina. Kulit putih. Tinggi. Rambut selalu dishave hampir botak. Breast memang tak nampak lansung. Flat. Bergaya orangnya. Manager sebuah café kat KL. Agak pendiam dan nampak ada karisma. Anak sedara aku sendiri pernah tanya aku sama ada Bond tu lelaki ke perempuan. Adik beradik dia 4 orang. Semua perempuan. Kakak sulung dia dah ada anak. Dia dan adik-adik yang lain pulak terjebak dengan dunia pengkid. Bagi aku dia ni tahap susah nak diselamatkan dah. Tegar.

Ramai orang terutamanya lelaki menyampah dengan pengkid sebab pengkid ni kononnya awek diaorang cun habis. Bond tak termasuk kategori macam tu. Bagi aku girls dia kebanyakannya tak adalah good looking sangat. Biasa sahaja. Taste Bond selalunya bukan girl yang bertudung, bila aku tanya kenapa, dia akan jawab, dia segan nak couple dengan girl bertudung sebab nanti orang cakap, girl tu dah la bertudung tapi couple dengan pengkid pula. Pandai jugak si Bond ni berfikiran jauh.

Aku kawan dengan Bond dah lama. Sejak dari sekolah menengah. First love aku dan first love dia adik beradik, kiranya aku couple dengan kakak dan dia couple dengan adik ( Aku memang rosak masa tu) Masa itu aku lagi teruk dari Bond. Pantang nampak girl cantik aje aku nak try. Ramai jugaklah yang sangkut. Emak Bond tak berapa suka aku berkawan dengan Bond. Mungkin mak dia rasa aku beri pengaruh tak elok pada Bond. Sedikit sebanyak mungkin ya salah aku, tapi Bond memang dah tomboy masa aku kenal dia. Bila kami jadi kawan, kami jadi lebih explore minat pada girl tu. Emak dia ok sikit dengan aku bila aku jadi best student SPM tahun kami.

Selalu jugak aku cakap pada Bond kalau alang-alang dah jadi pengkid tegar carilah girl cun habis atau yang kaya yang boleh tanggung dia. Mak janda banyak duit yang kesepian ke. Masa tu dia cakap kenapa aku tak nak nasihatkan dia berubah. Aku cakap pada dia, dah jenuh dah aku suruh, tapi tak ada hasilnya. Makin teruk adalah. Aku nak cerita banyak pun tak boleh, aku sendiripun tengah kawal hati aku pada perempuan.

Bond baik. Hati dia baik. Aku tak suka sangat dengan beberapa ex-girlfriends dia yang lama sebab dia orang ada yang minum, clubbing dan smoking. Ex-girls dia ramai yang bisexual, sapu habis. Itulah bezanya aku dan Bond.

Aku selalu akan suka pada girls bertudung, ada basic agama yang bagus, pandai. Itu tak menjadikan aku lebih baik pun dari Bond, sebab bila dah jatuh cinta menjadikan yang baik itu teruk. Sekurang-kurangnya Bond rosak bersama orang yang sedia rosak.

Harapnya adalah harapan untuk aku dan Bond, jadi muslimah yang Allah sayang tu. Sama-sama di syurga nanti. Hati…tolonglah jadi baik.

Saturday, June 4, 2011

Pengkid dan Perempuan

Last week melepak dengan salah sorang adik perempuan. Tengah borak-borak dan gelak-gelak tiba-tiba aje dia cakap.

 “ Kalau orang kenalkan akak pada kawan-kawan orang sekarang, lepas tu cakap akak pengkid mesti diorang tak percaya”

Aku gelak, kuat-kuat. Aku rasa aku tahu kenapa adik aku cakap camni. Mungkin sebab last week aku ada melepak dengan boyfriend dia, pastu mesti boyfriend dia tanya dia kenapa aku tak ada boyfriend lagi. Lepas tu adik aku mestilah cerita serba sedikit background aku pada boyfriend dia. Dan sudah tentu boyfriend dia tak percaya.

Siapa yang boleh percaya? Sekarang ni rambut aku panjang paras punggung. Aku nampak normal je macam mana gadis-gadis yang korang kenal. Aku ada normal job. Normal friends.

Semua orang salahkan pengkid. Serius, aku sendiri kadang-kadang meluat tengok pengkid. Tapi pernahkah tiap-tiap orang yang salahkan pengkid tu help diorang. Memang susah nak ubah sesiapapun kalau bukan atas kehendak mereka sendiri. Lagi-lagi kalau dah memang macam jantan.

Serius tak tahu nak mula dari mana kan? Kalau korang ada adik, kakak, saudara mara atau kawan pengkid apa yang korang selalu buat. Biasa aku tengok dan pernah alami ialah orang akan perli dan hina golongan macam ni. Mana-mana kawan yang accept pula akan buat tak tahu sahaja. Serius korang kena tolong golongan ni kembali ke pangkal jalan.

Dari pengalaman aku, masa aku form 2 aku pernah cakap pada Kak Lang aku yang aku suka kat perempuan bila Kak Jen terbaca diari aku pasal aku suka pada girls. Kak Jen ejek dan kutuk aku. Aku nangis teruk dan bakar diari tu.  Lepas tu Kak Lang aku nasihat aku dan katakana mungkin ini fasa aje dalam life aku. Aku rasa dia pun terkejut dan tak tahu nak buat apa. Ini situasi yang tak mudah.

Hal itu tamat bergitu sahaja. Lagipun aku bukan rapat dengan family masa tu. Ayah aku akan marah, marah dan marah bila setiap kali aku balik dari asrama, rambut aku pendek. Dia akan keluar hadis yang perempuan tak boleh menyerupai lelaki. Pernah jugak dia tarik rambut aku bila aku cukur nipis rambut tepi aku. Serius aku takut, jadi aku selalu mengelak dari ayah aku. Ayah aku sibuk memanjang. Jadi dia tak pernah sit down dan tanya apa masalah aku sebenarnya.

Bila aku cerita pada emak, emak ingat aku buat lawak. Lagipun aku tak nak bebankan mak dengan hal aku ni. Adik-adik aku nampak lah kakak diaorang ni macam jantan, tapi diorang tak faham apa-apa masa tu. Lagipun aku tegas dengan adik-adik. Sampai sekarang adik-adik selalu cakap aku ni idola diorang dari kecil, sebab aku berdikari, rajin dan memang ada gaya tersendiri.

Aku sayang famili aku, sebab tu aku cuba berubah. Aku sayang diri aku sebab tu aku nak jadi perempuan yang baik. Cabaran memang banyak. Tak terkata. Banyak kejian yang dapat jadi seorang pengkid.

Walaupun naluri ni rasa diri macam budak lelaki yang teperangkap dalam tubuh perempuan. Dalam tempoh nak berubah tu banyak dugaan. Ada yang panggil aku perempuan gedik bila aku try kawan dengan budak lelaki secara perempuan. Aku tak tahu cara nak kawan dengan budak lelaki sebagai perempuan. Kalau sebagai pengkid aku tahulah. Selamba aje bertepuk-bertampar.

Sampai sekarang aku masih belajar handle diri aku, cara bercakap, cara jalan (thanks my ex-bibik kakak ipar sebab ajar aku berjalan macam perempuan). Aku kena tinggalkan cara hidup aku sebagai pengkid. Seluar pendek, baju-baju semasa pengkid. Kawan-kawan pengkid. Kawan-kawan yang accept aku sebagai pengkid semua aku jauhkan. Sebab apa, sebab bila aku rambut panjang dan sopan santun diorang tak boleh terima. Diorang kekok. Aku apatah lagi. Itu satu pengorbanan yang besar.

Satu masa tu aku tak ada kawan dah. Aku ada family aje. Family yang aku tak rapat tu. Sunyi sangat, dan menangis sendiri aje. Sampai sekarang aku tengah belajar. Kawan-kawan sekarang tak tahu pun aku siapa. Susah, tapi boleh. Next time mungkin aku akan bagi tips macammana nak berubah dari pengkid kepada perempuan. Tak ada yang mustahil.

Kepada korang yang selalu hina pengkid tu, lebih baik korang nasihat dengan elok. Kalau pengkid tu tak nak terima. Jangan korang putus asa. Kalau nak buat orang jadi baik, bukan senang. Ini bukan hal sehari dua. Yang keras tidak boleh dilawan secara keras. Guna akal. Kepada pengkid, kalau ada orang nasihat, itu bukan bermakna orang benci, buka hati tu. Takkan selamanya nak jadi macam ni. Fikir jangka masa panjang.

PS: Yang ironimya, Kak Jen yang ejek aku dulu, dia akhirnya terlibat dengan dunia pengkid juga. Late blommer.

Followers