Showing posts with label hipokrit. Show all posts
Showing posts with label hipokrit. Show all posts

Friday, January 11, 2019

Sedar Diri


Ada beberapa barang yang aku senaraikan untuk dibeli.

1- Tikar yoga
2- Kasut sukan
3- Bantal 
4- Seluar warna khakis
5- Kuali leper
6- Periuk

Barang-barang ini jika tidak dibeli sekalipun, tidak apa-apa. Tetapi, agak menjengkelkan sebab barang yang sedia ada sudah lama usianyanya dan perlu diganti.

Semalam balik kerja, aku lepak bersama beberapa orang kawan. Kawan lepak dan mengopi aku sebenarnya ada tujuh orang, termasuk aku. Cuma kami berlima sahaja yang dapat meluangkan masa.

Semalam juga seluar aku terkoyak ketika aku sedang duduk tahiyat akhir. Terkepit-kepit langkahku. Oleh kerana aku dah berjanji untuk melepak, aku teruskan juga.

Kawan-kawan aku ini datangnya dari pelbagai latar belakang kerjaya dan cerita. 
Ada wanita biseksual sudah berkahwin dan punyai anak-anak. Ada wanita yang sudah berkahwin masih tidak mahu punyai anak. Lelaki-lelaki bujang gay yang berwajah kacak dan berkejaya. Wanita baru lepasan universiti swasta yang mempunyai bisnes kecilan dan sangat berdikari. Wanita biseksual gagah yang sedang mengumpul duit untuk membeli rumah dan berkahwin.

Banyak topik yang diborakkan semalam. Kami berkongsi cerita tentang obesiti, kerjaya, keluarga, kesihatan, hobi, muzik, dan isu semasa.

Aku acapkali meneliti pergaulan dan gaya interaksi kawan-kawan aku ini dengan orang sekeliling. Bahasa yang mereka tuturkan dan gurauan yang mereka aturkan.

Aku terpesona melihat keyakinan yang ada pada mereka. Bercakap menggunakan hubungan mata, cara mendengar, mengutarakan pendapat, bersetuju untuk tidak bersetuju dan berdiplomasi.

Mana yang elok aku jadikan panduan. Mana yang tidak elok, aku belajar daripada situ. Cerita yang terlebih gebang dan ditokok tambah, aku hindari dan analisa faktanya.

Dalam keadaan aku malas-malas untuk keluar bersosial, pergaulan aku sangat sederhana. Patutnya aku lebih cuba mempelbagaikan dan meluaskan pergaulan aku. Supaya tidak tersekat dalam kelompok kepompong indah aku sahaja. Tak kiralah dalam media sosial atau kehidupan sebenarnya.

Mungkin ini dapat mengisi kembali kotak-kotak idea aku yang kebanyakkannya sudah kosong dan tidak bermaya.

PS: Seluarku ketat sehingga koyak, aku patut sedar diri dan mulai berdiet sebelum terlewat.


Sunday, May 13, 2018

Jo VS Kak Jen dalam Politik dan Hipokrit.

Jo orangnya tidak mewah.

Mungkin hal yang paling mewah yang aku miliki adalah bakat melukis aku.

Dan bakat itu perlu dilatih.



9 Mei 2018 menyaksikan peristiwa genting dalam kancah politik Malaysia.

Pilihan Raya Umum ke 14.

Ianya melibatkan kita semua.

Tidak kiralah kamu mengundi, tidak mengundi, tidak berminat dengan politik, merasakan politik itu tidak penting dan sebagainya ( iya, kata-kata pedas ini untuk seorang pelatih latihan industri di tempat kerja aku yang mengatakan politik hanya membuang masa dia sahaja, sambil dia sibuk bermain permainan video di komputernya)

Ini adalah PRU ke dua untuk aku (menguap)
PRU pertama untuk Kak Jen (urut janggut yang tak wujud, sambil tersengeh)

Semasa PRU 13, aku memilih untuk memangkah dua parti politik yang berlainan, sebabnya:

  • Aku rasa undi individu seperti aku ini tidak akan mempengaruhi keputusan pilihanraya.
  • Aku tak pasti nak undi siapa kerana aku jarang membaca keadaan politik dan ekonomi semasa.
  • Kawan dan keluarga di sekeliling aku tidak pernah duduk berbincang mengenai politik semasa.
  • Aku mengambil nasihat emak sebagai pengundi lama.
Nota* Masa PRU 13 itu, barulah aku tahu yang kena undi ADUN dan PARLIMEN.

Sebagai mana rakyat Malaysia yang baru nak perihatin, bahang PRU 14 ini benar-benar dirasai kehangatannya hanya sesudah PRU 13.

PRU 14 menyaksikan penolakkan dan tumbangnya kerajaan Barisan Nasional.

Kebanyakkan rakan sekerjaku, juga seperti Kak Jen, menjadi pengundi untuk pertama kali.

Kebangkitan ini pada pandangan aku, adalah akibat sikap beraja di mata dan bersultan di hati oleh kebanyakkan pemimpin Barisan Nasional, terutamanya pemimpin UMNO. Rakyat jelata berasa jelik, marah dan kecewa.

GST yang tidak munasabah, pemberian BRIM yang tidak perlu dan segala macam subsidi yang telah dihapuskan. 

Dalam kes aku. aku marah sebab harga rumah terlalu tinggi, tiada skim yang benar-benar membantu dan sesuai untuk orang seperti aku, skandal demi skandal melibatkan FELDA dan juga hal-hal bodoh yang terpaksa aku hadapi apabila berdepan dengan kerenah badan kerajaan dalam melaksanakan kerja aku sebagai warga swasta yang menawarkan diri menghasilan sesuatu dalam skop pendidikan.

Aku harap badan kerajaan seperti ini lebih terbuka, bersungguh-sungguh membuat kajian, lebih profesional dengan cara yang santai bukan santai dengan gaya sahaja profesional. 
Tidak sekadar mengkritik tetapi menyumbang memberi pendapat-pendapat yang bernas juga.

PRU 14 juga menyaksikan Kak Jen, yang aku gelar majalah MASTIKA, tiba-tiba berminat berbicara, borak dan bertekak mengenai politik dan individu-individu tertentu. 
Menariknya apabila dua pendapat dan sokongan yang SAMA, bertembung dengan cara dan gaya berbeza.

Aku terkenal dengan bereputasi skema, rajin membaca dan suka berborak empat mata dengan segala peringkat umur lalu mengutip data pelahan-lahan dari mereka. Menceritakannya di waktu-waktu santai dengan gaya bahasa sederhana sambil mengajak sama-sama berfikir dengan cara masing-masing.

Kak Jen adalah majalah MASTIKA, seperti kita tahu. Minatnya bermusim. Penuh tokok tambah. Seringkali menekankan hal-hal sensasi dan mensensasikan hal-hal yang tak perlu. Disukai dengan jalan ceritanya yang menarik, penuh gelak ketawa dan seringkali bersifat hiburan.

Aku sebagai aku, sebenarnya tidak mahu mempengaruhi sesiapa. 
Aku ibarat peniaga yang menjual idea-idea aku cuma kepada manusia yang benar-benar mahu membelinya kerana mereka mahu. 
Jika tidak mahu, aku tidak mahu menjualnya. 
Tidak dinafikan sedikit hipokrit sebenarnya.

Sebab itu aku juga banyak memilih berdiam kerana aku tidak mahu menjadi hipokrit itu.
Sikap berdiam itu banyak menimbukan konflik dalam diri aku sebenarnya.

Lantang aku biasanya terkeluar apabila Kak Jen mula menyebarkan berita gaya MASTIKA dia. Aku mahu membetulkan dia dengan fakta dan sejarah. Bagi aku, cerita tokok tambah ini tanpa kita membaca dan mendalami susur galur dan makna tertentu, boleh menyebabkan kekeliruan dan salah faham. Hal ini boleh menyebabkan timbulnya rasa kita betul, betul, betul.
Ianya sangat menjengkelkan aku.

Akhirnya bila sejarah lama berulang kembali dan kita selamba memadam betul kita dahulu dengan betul kita sekarang tanpa menyesal.

Aku sendiri tidak dapat mengelakkan manipulasi atas minda aku sendiri. 
Perlu membaca, melihat, mengkaji, mendengar dan belajar lebih banyak, dari segala aspek.
Sebagai seorang muslim, dengan mesti memegang asas pertama iaitu Al-Quran dan Sunnah.
Di sini aku merasakan aku hipokrit dalam pendapat-pendapat aku.
Aku ingin keluar dari kancah keseriusan lalu memilih untuk melayan fan fiction sahaja. 
Maka jadilah aku manusia yang rugi. 

Aku perlukan mak cik-mak cik MASTIKA seperti Kak Jen untuk mengingatkan aku jika orang seperti aku terus berdiam dan melayan fan fiction maka pendapat MASTIKA ini akan diterima bulat-bulat oleh orang sekeliling yang malas.

Jumlah manusia yang malas itu pula terlalu ramai.

Aku teringin membuka akaun curioscat dengan fantasi ada yang bertanya aku mengenai pendapat aku tentang teori konspirasi atau apa bezanya RGB dan CMYK.

Tapi aku tahu itu hanya fantasi. 

Orang lebih suka bertanya apakah warna kegemaran aku.

oh Jo, why so serius? Internet kan tempat chill.

Duit dan internet adalah dua alat yang mempunyai kuasa.

Indahnya bila borak politik, aku masih boleh whatsapp dengan Honey. Mendengar pandangan dan kritikan dari dia yang aku sedia tahu membaca dan belajar banyak. Kelebihan pada dia juga kerana orang sekeliling juga keluarganya yang berfikiran kritis. Sesuatu yang aku tak punyai dan cemburui.

Indahnya politik bila aku boleh melihat kelibat orang kenamaan, lalu melihat Bunga melalui keluarganya dari jauh.

Indahnya politik bila aku dan Kak Jen boleh bertekak secara sihat.

Indahnya politik bila aku boleh menilai semula hipokritnya aku ini. Mengakuinya. Lalu cuba membantu diri aku sendiri.

PS: Warna kegemaran aku ialah Bunga.
















Wednesday, July 13, 2016

Blur Dalam Bercinta.

Bila dah lama tak bercinta-cintaan dan tiba-tiba bercinta, aku jadi agak blur-blur.

Aku memikirkan apa yang patut dan tidak patut aku lakukan.

Aku ini dah umur 34 tahun. Patutkah aku bersikap seperti 20-an dahulu. Atau menjadi orang dewasa yang serius. Tapi tak adil pulak dekat Bunga, dia juga hendak merasa manis masin dan masamnya bercinta itu.

Ditambah lagi kami mula LDR.

Makin berusia, sebenarnya jiwa aku jadi makin sensitif dengan semua orang. Cepat terasa, mudah sedih dan ikhlas itu entah kemana. Paranoid. Perasaan jemu membuak-buak. Ada perasaan fed-up dengan sikap orang sekeliling. Sikap redha aku campak entah kemana.

Hal ini terjadi kerana selama ini aku biarkan sahaja keadaan keliling terlalu lama. Orang mudah mengambil kesempatan atas kelembutan dengan sikap "Tak Apalah" dari aku. Sehingga naik lemak pulak masing-masing. 

Apabila aku berubah dan cukuplah aku beri kebaikkan sepercumanya, orang sekeliling macam tak boleh nak terima pula. Sudah-sudahlah tu. Cukuplah setakat ini. Mari kita hidup bahagia dengan terma masing-masing.

Malam tadi aku telefon Bunga. Tak lama pun. Lebih kurang 20 minit sahaja. Sebelum ini kami berdua bersetuju walaupun LDR, jangan membazir. Duit atau masa. Jimat cermat lebih baik.

Sepanjang 20 minit itu dia menangis. Puas aku pujuk. Dia masih teresak-esak. Jadi aku pun terus bercakap, bercerita itu ini. Membiarkan dia mendengar suara aku. Seperti biasa aku mesti tanya dia, ada tak apa-apa yang dia nak beritahu atau cakapkan pada aku, seperti biasa juga dia membisu. Aku tahu dia rindu. Aku pun begitu. Aku tahan air mata sendiri.

Selepas itu aku mesej WhatsApp dia, aku beritahu daripada terus menangis lebih baik kita fokus ke masa hadapan. Bagaimana caranya jika mahu tinggal bersama. Cari duit lebih dan apa cita-cita seterusnya. Aku suruh dia solat. Baru dia tenang sedikit.

Masa LDR beberapa hari ini aku rasa tak cool lansung. Kalau boleh aku nak tahu di mana dia berada, tengah buat apa, makan apa, pakai baju warna apa 24/7. Kalau boleh aku nak dia ada aje depan mata aku, aku tengok dia dan dia tengok aku.

Tapi mana boleh. Mana rasionalnya? Aku mahu dia ada kehidupan dia sendiri. Kebebasan. Rasa lapang dada untuk melakukan sesuatu kesukaannya. Mencuba sesuatu yang baru dan mengujakan. 

PS: Ah! Aku bukan setua mana. Mari kita lakukan bersama adventure itu.






Sunday, August 16, 2015

Bila ini Berlaku

Pagi Ahad. Sepatutnya aku dah mandi lalu menikmati secawan Milo panas dengan dua keping roti. Tapi, nah… Itu belum berlaku.

Aku sedang menunggu rakan sepejabat memberi aku kerja yang kami perlu selesaikannya bersama sebelum dateline hari esok. Aku masih menunggu. Inilah rupanya menjadi seorang dewasa. Bekerja demi meneruskan kelansungan hidup dan cita-cita.

Bila kamu seorang perempuan GAY, single, bekerjaya dan berdikari seperti aku, sebenarnya untuk menjelaskan kepada semua yang kamu adalah GAY,  bukan perkara yang paling penting.

Kadang-kala aku biarkan sahaja orang membuat andaian mereka masing-masing. Kadang-kala aku merosakkan andaian orang dengan mengatakan aku ada crush pada lelaki ini atau lelaki itu.

Macam mana nak kata ya. Ada kalanya sekarang aku memang suka tengok lelaki yang baik, handsome, tinggi dan ada body figure yang kemas. Jadi memang terkeluar di bibir aku.

“ Handsomenya mamat tu…”

Jadi apabila mendengarkan ini, maka rakan sepejabat aku seronok sangat. Lalu aku lagilah sengaja menambah gossip itu dengan me ‘heart eyes’ pada lelaki-lelaki itu. Sengaja aku get along dengan gossip tersebut.

Memang ada sesetengahnya yang aku rasakan kalau buat calon suami memang bagus sangat, mak mesti suka, dan tak mustahil juga aku akan jatuh suka. Tapi sebenarnya aku masih aku, masih GAY.

Hal GAY aku ini aku tak kisah sangat orang tahu atau tidak. Pandai-pandailah orang nak mengagaknya atau bertanya sendiri dengan aku. Aku peramah selalu.

Tapi memang ada kalanya mahu jerit,  AKU GAY sekuat hati. Bila perkara-perkara seperti ini berlaku:

Bila orang gossip aku dengan lelaki. OMG. KELAKAR.

Bila ada lelaki yang aku tak suka sibuk mengorat. Lelaki aku suka aku senyum ajelah. Nak cinta semula payah tau.

Bila rakan sekerja mengatakan aku frust menonggeng, lelaki yang aku kata aku crush itu sudah berpunya. OMG. Aku lesbianlah!

Bila mak atau abang paksa aku kahwin dan dia orang  tak faham kenapa blind date yang di aturkan untuk aku selalunya berakhir dengan aku berkawan sekejap sahaja dengan lelaki itu. Oh emak, tak serasi mak. Padahal payah aku nak terima walaupun aku cuba jugak.

Bila aku rapat dengan lelaki ini itu, orang cakap aku kaki flirt. HAHAHA.

Bila orang tanya kenapa aku tak kahwin lagi. Nak aje aku beritahu. Aku lesbian, kalau same sex marriage ini dibenarkan dalam ISLAM, dah lama dah. Dah beranak pinak pun.

Bila aku teringin nak anak. Tapi aku selalu cakap aku nak anak aje tapi tak nak LELAKI. Lalu semua orang mulai pening-pening kepala tak faham.

Bila aku dengar orang make fun pasal lesbian. Sedangkan hari-hari orang-orang yang sama puji aku baik dan sebagainya. Aku lesbian. Aku baik. Aku terasa ya.

Bila orang paksa aku bersosial sana-sini berkenalan dengan lelaki itu ini, sedangkan aku lebih suka melepak dengan adik-beradik aku dan melayan anak-anak sedara. Aku malas nak keluar wei. Penat. Bila keluar sana sini. Sepatunya aku suka dengan lelaki itu ini. Tapi tak. Aku tetap jatuh hati dengan perempuan. Aku jumpa perempuan-perempuan yang baik. Aku boleh jadi sedih bila kena sekerasnya melarang hati aku suka dengan perempuan. Di kehidupan yang singkat ini. Masa itu nak aje aku cakap aku lesbian, aku sayangkan agama aku, dan jangan kacau aku. Let me be single and happy.

Dan lain-lain masa sebenarnya aku happy sahaja, aku bersyukur atas segala kurniaan Allah. Biarlah Dia sahaja menilai amalan aku ini.

Jadi perempuan GAY muslim di Malaysia. Diluah mati mak, ditelan mati bapak. Kenapa aku tak cakap aje pada seluruh dunia yang aku GAY.? Jadi seorang perempuan di Malaysia ini aje dah banyak ketakutan dan diskriminasi yang kena diterima. Tambah lagi jadi perempuan GAY.

Penting untuk aku tidak melukakan hati seorang EMAK yang tak punya satu gram emas pun sepanjang dia melahirkan aku. Ampun mak.

Jadi di sini aku menulis. Meluahkan rasa hati aku. Mungkin rasa hati aku sama dengan rasa hati kamu. Bagi orang yang tidak merasai, inilah dunia aku. Dunia kami. Dunia seorang perempuan GAY.
 
Lesbian bukan sekadar hal sex sahaja, you dirty mind! Sebut aje lesbian lelaki gasang mula terbayang lesbian porn. Tampar karang!


PS: Yang lesbian, pengkid pun sama. Jangan nak memaksa kawan lesbian kau yang alim tu pergi flirting dengan aweks sana sini. Itu bukan field dia. Bila dia ajak kau dengar ceramah agama kau pun tahu nak lari kan!

Tuesday, December 3, 2013

Pengkid dan Stereotaip

Sepanjang tahun ini aku jumpa pelbagai orang.

Aku jumpa rakan-rakan pembaca blog aku. Duduk lepak, borak, dating. Apa sahaja.

Ada juga yang sama chat, berbalas email dan borak-borak di twitter.

Jo Rahim bukanlah misteri orangnya.

Antara soalan yang keluar dan sering jadi pertanyaan adalah.

“ JO, YOU NI PENGKID LAGI KE?”

Soalan ni keluar sebab orang yang bertanya mungkin jadi keliru sebab apa yang kamu dengar, tengok, saksikan dan rasa, lain. Atau orang yang bertanya saja aje nak bertanya. ‘Saja’.  Ada ke?

Lagi-lagi aku ni. Di pejabat bertudung. Pergi kenduri bertudung. Lepak dengan Naruto bertudung, dengan jantan lain tak bertudung. Dengan famili bukan sahaja tak bertudung, bercoli pun aku malas kadang-kadang. Ehem... Geleng kepala.

Aliran stereotaip mengatakan pengkid itu selalunya seorang perempuan yang perangai macam jantan, macho, berambut pendek, berpakaian seperti lelaki, pakai bengkung/binder, merokok, ada girlfriend, berani, agresif, kalau duduk mesti nak terkangkang aje, jalan berkepak, minat bersukan, tak tahu masak, gagah, muka garang, minat kerja-kerja kasar dan lain-lain.

Jadi bila jumpa aku yang berambut pendek, suka pakai jeans dan tshirts lusuh dengan muka tanpa bedak tapi tahu masak, takut hantu, tak ada girlfriend, kuat membebel macam mak cik-mak cik, cepat nangis, suka duduk rumah, jadi kadang-kadang memang akan keluar ayat.

“ Kau ni gaya aje macam jantan, tapi lembik.”

Jangan percaya apa yang kau nampak. Gagahnya aku ni hanya keluar di waktu kecemasan sahaja.

Sebenarnya aku memang menepati hampir separuh stereotaip pengkid tu.

Jenis bila tengok sekali pandang memang akan terdetik dalam hati. Lalu kata.

“Pengkid dia ni.”

Jenis yang akan di pandang dari atas ke bawah kalau nampak masuk ke surau perempuan.

Jenis yang kalau ada bangkai tikus mati aku akan menjadi the chosen one untuk membuangnya.

Jenis yang kalau kau seorang perempuan yang mempunyai keluarga yang alim dan konservertif tidak akan kau berani bawa aku datang rumah dan perkenalkan pada keluarga sebagai kawan baik.

Maka, jawapan untuk soalan tadi.

“ YA, BETUL TU.”

Hah, mengaku aje kan senang. Sensitif konon.
Jadi di penjara mana mahu kau penjarakan aku?

PS : Soalan di atas ini lagi baguslah dari soalan : 
       "So Jo, you ni top ke bottom?"
        Rasa nak penampar.

Monday, April 1, 2013

Mencari Soalan


Mampu ke aku menulis dalam keadaan tak ada idea? Mari cuba.

Petang tadi aku merayau ke mall dengan seorang kawan perempuan, merangkap officemate dan kawan borak tentang kpop dan hal-hal keduniaan yang lain. Kita namakan sahaja dia Fifi. Bekas pelajar sekolah agama tapi amat sempoi orangnya. Sedikit chubby. Fifi masih single tetapi ada menyimpan perasaan pada seorang jejaka.

Aku selalu rasa Fifi dan kawan office lain macam tahu yang aku ini seorang lesbian. Dalam masa yang sama aku tak rasa pulak dia orang tahu. Iyelah, aku manalah ada girlfriend sekarang. Malah pernah ada boyfriend, si Naruto tu. Lagipun setiap kali ada lelaki yang agak kacak di office, secara automatik aku sendiri akan menggosipkan diri aku dengan mereka. Walaupun aku pasti yang lelaki kacak di office sama sekali tidak tergoda pada aku. Lantaklah.

Aku tak mahu kawan office tahu sebenarnya. Sebab aku ada pengalaman buruk bila berterus-terang. Orang akan layan aku lain. Perempuan akan layan aku lain, lelaki juga akan layan aku lain. Tapi kadang-kala jauh dalam hati, bila dah kamceng macam aku dan Fifi ini, aku harap dan teringin dia tahu. Aku harap dia terima aku seadanya.

Maka berbalik pada cerita petang tadi, lalu aku ada  membuat sedikit percubaan untuk mengkantoikan diri aku sendiri pada Fifi.

Masa itu Fifi dan aku singgah di sebuah kedai gadget untuk bertanyakan tentang handphone Fifi yang selalu jammed. Salah seorang staffnya adalah seorang amoi berambut hitam lebat macam rambut Zhao Wei dalam cerita Painted Skin. Jarang aku tengok amoi rambut hitam macam ini. Selalunya mesti dah  highlights. Aku cuba melemparkan sedikit senyum. Amoi itu buat dek sahaja. Oh, baiklah…

Sedang Fifi berbincang tentang handphone dia, aku mula beraksi. Aku cuba masukkan pamphlet galaxy camera yang aku pegang ke dalam bekas air di atas meja kaca depan amoi itu. Aku tahu bekas air itu gunanya untuk staff menguji handphone jenis kalis air, sengaja aku nak tengok apa respon amoi tu.

“ Air tu bukan untuk masukkan kertaslah.” Tegur amoi itu dengan bahasa Melayu yang sedikit pelat. Aku pulak buat muka selamba, muka mencabar. Umpan dah kena.

“ Air ni guna buat masuk handphone.” Terang si amoi lagi.

“ Eh! Janganlah masuk handphone dalam air.” Aku buat muka macam risau. Ini semua berlakon.

Maka, apabila melihat muka risau aku, dia segera masukkan handphone yang tergantung di leher dia dalam bekas air itu. Aku pula segera buat muka jangan. Muka tidak. Fifi di sebelah tengah tahan gelak dengan gelagat aku, sebab dia tahu yang aku tahu pasal handphone kalis air. Kami baru sahaja bincangkan hal itu. Amoi tu dah gelakkan aku. Comel.

Seorang lagi staff, amoi berambut highlights memberi kami borang survey tentang produk mereka. Fifi cepat-cepat mengisinya. Aku pula menolak sambil menayang Nokia cikai milik aku.

Amoi rambut highlights terus cakap.

“ Alah, you pun mesti tahu pasal produk kami juga. Tulis sahaja.”

“ No. Tak mahu. Nanti kalau saya isi, you punya kawan ni ambik pula nombor telifon saya.” Aku dah gelak sambil tunjuk amoi rambut hitam itu.

“ Baguslah macam tu, boleh kawan-kawan kan .” Amoi rambut highlights sengaja menggalakan lagi. Dia gelakkan amoi rambut hitam.

“ You ni perasan kan?” Amoi rambut hitam berkata sambil menyengetkan mulut, geram dengan aku agaknya.

“ Sikitlah…” Aku tambah lagi geram dia sambil buat muka seksi.

Kami tinggalkan amoi-amoi tadi selepas itu. Aku pula sengaja highlight ayat menggatal dengan amoi tadi pada Fifi, beberapa kali. Masih cuba kantoikan diri. Fifi selamba. SELAMBA. Dia tak nak tanya aku ke? Dia tak nak tanya aku kenapa aku suka usik girls. Kenapa aku selamba je flirting dengan girls.

Sebab aku nak sangat jawab.

“ Fifi… Sebenarnya aku pernah suka girl lebih dari aku suka lelaki. Aku masih lagi ada perasaan itu sekarang. Aku masih sedang belajar mengatasinya.”

Mungkin satu hari dia akan tanya. Tapi, pada masa itu, adalah aku akan jawab? 

Friday, March 22, 2013

Dating Bertiga


Walaupun rasa crush terhadap Nunu mungkin hanya tinggal suam-suam kuku sahaja sekarang, aku tetap girang apabila menerima SMS Nunu di suatu malam.

Nunu SMS : Hi Jo… Nunu kat Restoren B.

Restoren B adalah restoren kegemaran kami di Bandar P. Dekat sahaja dengan rumah aku.

Jo SMS : Nak pi sana boleh?

Nunu SMS : Meh ah.

Nunu SMS : Sekarang.

Aku terus kelam kabut save artwork design yang aku tengah buat, tutup laptop, lalu cepat-cepat sarung skinny jeans hitam yang sedondon dengan t-shirt oversize warna hitam yang aku pakai. Dalam kepala duk fikir, apa yang si Nunu ni buat datang jauh dari Sungai B ke Bandar P. Mesti ada sesuatu.

Tiba-tiba satu lagi SMS muncul.

Nunu SMS : Nak makan? Nunu oderkan.

Jo SMS : Nasi goreng USA.

Nunu SMS : Minum?

Jo SMS : Teh O Ais.

Aku capai snapback cap, kejap try yang hitam…tak kena. Ambik pula yang grey, poyo sangat. Capai yang bright blue, ya cute! Aku perasan sendiri tengok cermin. Capai kunci Viva dan terus sahaja start enjin.

Tiba-tiba Nunu telifon. Apa kena...

“ Jo kat mana?” Terdengar suara Nunu.

“ Dalam kereta, baru nak keluar ni, kenapa?” Balas aku, tak akan dia nak cancel pulak. Ah, sudah!

“ Jo, Nunu dengan ex-bf ni, dengan Haizat. Jo jangan cerita apa-apa tahu. Buat-buat tak tau aje yang Jo tahu pasal kita orang ya.” Nunu menjelaskan.

“ Owh… Ok.” Aku cuba senyum kelat. Ex-bf konon. Kalau Ex tak kan masih nak keluar berdua macam ini. Geram hati aku. Masih ingatkah pada kisah skandal Nunu dan lelaki sudah bergirlfriend yang dicintainya itu?

Sesampai sahaja aku di restoren B, aku menyergah Nunu dan seorang jejaka agak chubby di sebelahnya. Kelakar bila kami bertiga pakai baju warna hitam. Sedondon betul. Nunu perkenalkan aku pada Haizat. Aku berikan senyuman. Senyuman plastik.

Nunu masih macam dulu, periang dan suka mengenakan aku. Haizat pulak senyap aje. Aku tengok depan dia ada plastik ubat. Tak sihat agaknya. Borak punya borak, Nunu mengadu pada aku.

“ Life Nunu bosan gila, pergi kerja balik kerja. Macam takde makna aje Jo.” Nunu pandang aku.

“ Sebab tu Nunu kena kahwin. Dapat anak. Anak tu akan menghidupkan Nunu nanti. Kalau Nunu dah tak ada, anak tu masih akan menyambung warisan Nunu. Seterusnya cucu… cicit…” Aku bermain kata.

“ Eleh!  Jo pulak? Jo dah 31 tau. Nunu baru 27.” Nunu pandang aku.

“ Jo lain, Jo tak bosan. Jo buat kerja sekarang ni untuk ditatap beratus-ratus tahun akan datang. Selagi apa yang Jo buat ini orang lain boleh tengok. Maka Jo sentiasa hidup.” Aku senyum senget pada Nunu.

“ Tapi siapalah nak kat Nunu ni.” Nada Nunu perlahan. Sambil itu aku tengok bola mata dia duk jeling Haizat. Muka jejaka tu selamba aje. Aku rasa nak hadiahkan penyepak.

“ Jo ajak kahwin tak nak. Jom kahwin nak!?” Spontan perkataan itu keluar dari mulut aku.

“ Hahaha. Jo ni. Jomlah!  Jom kahwin.” Nunu dah tergelak semula. Memang faham sangat dengan lawak aku. Banyak kali jugak aku buat lawak ini dengan dia sebenarnya. Tapi ini kali pertama aku buat lawak ini depan orang lain. Jejaka bernama Haizat pula masih ber ‘pokerface’ di situ. Sumpah. Aku tak faham.

Balik tu Haizat masuk kereta dulu. Nunu dan aku borak di tepi kereta aku.

“ Sorry Jo, kita dapat jumpa kejap je. Haizat tak sihat tu.” Nunu menjelaskan.

“ Owh. Patutlah ada plastik ubat atas meja tadi.” Aku mengangguk.

“ Biasanya dia lawak, banyak cakap. Tapi dia betul-betul tak sihat tu.” Nunu menerangkan lagi. Aku tak minta pun dia jelaskan. Nampak sangat dia cuba membela sikap senyap Haizat depan aku. Di situ aku tahu cintanya masih besar pada Haizat.

“ Entahlah Jo, Nunu tak tahu bila nak tinggalkan dia. Ramai yang dah bising kat Nunu.” Sayu aje bunyi suara Nunu.

“ Buat apa nak putus kalau dua-dua sayang, korang kena baikilah hubungan ni. Atasi masalah-masalah yang timbul.” Aku lihat Nunu angguk-angguk lepas aku cakap macam itu.

“ Bye, nak balik dulu. Salam cepat!” Suara Nunu berubah riang semula.

Aku capai tangan dia untuk bersalam. Dia pula sua tangan dia ke bibir aku.

“ Cium tangan Nunu cepat!” Kata dia lagi. Sambil itu gelak-gelak. Entah kenapa aku cium. Mungkin pasal dia dah hulur agaknya. Kelakar betul.

Lepas itu dia hulur pipi. Macam biasalah kalau salam dengan aku siap kena laga pipi kiri kanan. Tapi kali ini aku tak laga pun pipi. Aku cium pipi kiri kanan. Satu… Dua… Tiga… Empat… Lima… Enam.

“ Hahaha. Saje je bagi Jo cium banyak. Lepas rindu lama tak jumpa.” Dia gelak-gelak. Aku tak tahu nak rasa apa.

Kami berpisah di situ.

Pagi esok masa aku nak pergi kerja. Nunu SMS lagi.

Nunu SMS : Semalam… Kawan Nunu cakap, Jo macam umur 18. Ahaks! Ahaks! Morning.

Jo SMS : Umur diskaun tu.

Sekian.

Tuesday, January 15, 2013

From A to B


Aku ada seorang kawan. Aku namakannya A. A adalah pengkid yang sederhana. Pemikiran, pertuturan, gaya, semuanya serba sederhana. A sudah lama hidup single. Kadang kala ada juga terdetik hatinya ingin ada awek. Ada juga aku nasihatkan dia.

“ A, baik kau lupakan saja, tak berbaloi.”

Dalam hidup single itu. Adalah satu dua orang yang tangkap cintan sama A. Tapi dia tak tangkap cintan balik. Maka tak jadi. Ada yang dia suka pulak, dah ada boyfriend. Nasib A memang menyedihkan.

Entah angin mana yang datang, tiba-tiba dia boleh tersuka dengan seorang gadis iaitu rakan chatnya di sebuah laman sosial. Aku namakan rakan chatnya ini B. Walaupun jarak usia mereka agak jauh tapi mereka agak serasi. Maka bermulalah episod ngorat-mengorat. Pada awalnya B tak layan sangat kata-kata manis A. Tapi A tak putus asa. Dia betul-betul suka pada B. Setiap hari mereka akan chat dan berborak di telifon berjam-jam lamanya. Sah, dua-dua dah angau.

Setelah seminggu dua bermanja di alam maya. Maka A ajak B berdating. B berkeras tidak mahu. Kata B, dia tak lawa. Sedangkan A dah pun stalk gambar-gambar B di internet. A tahu B orangnya sederhana sahaja. Tapi A tak kisah. A pun bukannya kacak . Lagipun ini pasal hati. A tahu hati dia sangat suka pada B. Akhirnya mungkin kerana termakan pujuk rayu A, maka B setuju untuk berjumpa.

A sangat happy. Dalam masa yang sama dia agak gementar sebab ada kemungkinan first date ini berjalan lancar, maka status singlenya itu akan berubah. A harap B lah orangnya yang akan dapat share gembira dan sedih dengan dia.

Pertama kali A tengok B, A rasa happy. Comel aje. B pula nampak macam acuh tak acuh sahaja dengan A. Mungkin dia tak biasa. B cuba memahaminya. Pertemuan mereka sepanjang hari berjalan dengan lancar. Cuma A tidak berapa gembira. Dia rasa B macam acuh tak acuh dari mula sehingga akhir. A lihat body language B. Tapi dia tak dapat faham. Setiap kali bersentuh atau tersentuh, A tahu B cuba larikan diri. A tak rasa hati mereka dekat walaupun B ada depan mata dia.

Hati A sangat rapuh. Terlalu susah dia nak percaya pada orang. Tapi A tahu, B boleh. A cuba juga kuatkan hatinya. A ada juga cakap dengan B, kenapa B layan dia macam tak suka, macam tak kisah. B cakap, dia memang macam itu, dia tak biasa. Tapi dia akan cuba.

Bila balik rumah. A menangis teruk-teruk. Meraung.

A tanya aku, apa salah dia. Kenapa B layan dia macam itu. Aku sendiri tak tahu nak kata apa. Cuma yang aku tanya pada A, apa yang dia cari? Apa yang dia mahu? Adakah semua itu dia dapat rasa daripada B? Adakah B orangnya yang akan sanggup berhadapan dengan semua orang yang suka, sayang, atau benci A. Adakah A sanggup terima B seadanya. Adakah B sendiri sanggup terima A seadanya dia, seorang pengkid. Masa… Persoalannya masa. Sanggupkah A memberi masa pada B?

Jawapannya TIDAK.

A cuba memberi jawapan YA pada B. Tapi itu jadi salah, sebab A tidak mampu memaksa hatinya. Keyakinannya hilang pada B sekelip mata. Hatinya berubah sekelip mata. B minta pada A untuk mulakan semula. Tapi hati A sudah tawar, buat masa ini tiada penawar.

Aku agak marah dengan A. Semudah itu hatinya berubah. Dia dah buat B suka pada dia, dan dia tinggalkan sahaja. Aku yakin B sangat-sangat sedih. Tapi aku tahu A juga terlalu sedih. Aku nampak A cuba senyum, cuba gelak, cuba sibuk-sibuk. Tapi sunyi hati A dia sahaja yang tahu. Mungkin B pun macam itu. Mana aku tahu. Yang pasti dua-dua pun sedih.

Bila aku tanya A, adakah dia akan suka siapa-siapa lagi lepas ini. A angguk, lepas tu geleng. Banyak kali jugak dia buat macam itu. Risau jugak aku, tapi A cakap, don’t worry. Nanti hati dia akan ok.

A tetap jalani hidupnya. Hari-hari dia cuba buat orang gelak. Sebab bila orang ketawa, hatinya lukanya terubat. Sikit demi sikit.

Cuma aku sahaja rasa tak kelakar sebab A tu sebenarnya aku, Jo Rahim.

PS : Maaf tak sempurna. 

Sunday, December 30, 2012

When Honey Met Preity


Aku baru lepas menonton VS fashion show. Terasa nak pakai underwear yang cantik.  Cerita ini tiada kaitan tentang VS bra mahupun pemakainya.

Semasa zaman aku hangat bercinta dengan Honey beberapa tahun dahulu, Honey dan Priety adalah musuh ketat. Sebabnya Honey selalu call dan provoke Priety. Priety selalu call aku mengadu, jadi  aku tanya pada Honey kenapa dia buat macam itu, aku pulak kena marah. Kata Honey, patutnya aku sebelahkan dia bukannya ex gf aku. Memang tak patut Honey nak provoke Preity atas apa yang Preity pernah buat pada aku dulu, sedangkan aku sendiri tak nak.

Sepanjang LDR kami, sebulan sekali Honey pasti akan pulang ke KL. Bukan untuk balik rumah parents dia, tapi spend masa bersama aku. Kadang kala 2 hari, kadang kala seminggu. Ikut berapa banyak cuti yang dia ada. Dia akan tinggal dengan aku dalam tempoh itu.

Satu hari, semasa kami spend masa bersama, Honey buat satu permintaan mengarut. Dia nak jumpa Preity.  FACE TO FACE. Sudah tentu aku tidak setuju. Aku tahu betapa gilanya Honey. Akhirnya setelah dipujuk rayu oleh Honey yang berjanji untuk menjaga kelakuan dia, maka dengan berat hati aku ikutkan juga.

Aku call Preity dan ajak dia keluar. Berdua sahaja kononnya. Preity terus setuju. Sudah lama aku tak jumpa Preity. Kali terakhir aku jumpa dia adalah bila dia cuba pujuk aku untuk bersama dengan dia. Masa tu aku baru sahaja jalin hubungan dengan Honey.

Kami pun pergi. Masa dalam train aku berdebar dan berdoa supaya tiada kejadiaan buruk berlaku. Honey peluk lengan aku erat-erat seolah-olah kami akan berpisah buat selamanya. Itu menambahkan rasa takut aku. Adakah Honey cuba menguji aku. Adakah aku akan berjaya dalam ujian ini. Ah! Dunia kejam.

Seperti  dijanjikan, aku jumpa Preity di sebuah mall di Shah Alam. Preity kelihatan sungguh cun sekali. Pemilihan pakaian yang agak ketat walaupun bertudung. Adakah dia cuba menggoda aku. Cuma yang aku tak tahan adalah bau perfume yang dia pakai. Terlalu wangi. Aku pakai biasa-biasa sahaja. Honey pun sempoi.

Preity agak terkejut sebab aku bawa seseorang. Aku kenalkan Honey sebagai adik angkat aku. Aku cuba mengekalkan jarak antara aku dan Honey supaya lakonan kami nampak real. Betapa tersiksa jiwa aku masa itu. Kami makan di sebuah restoren.

Honey pegang janji dia, dia berkelakuan baik dan membiarkan aku dan Preity berborak rancak. Kadang kala sahaja dia menyampuk. Preity aku tengok sungguh gembira sekali. Aku pula tak tahu apa ada dalam hati Honey. Mahu sahaja aku pegang tangan Honey masa itu dan cakap pada Preity,Honey  ini adalah girlfriend aku. Aku sayang Honey sepenuh jiwa aku. Tapi aku tak mahu terjadi pergaduhan di situ. Tak pasal-pasal keluar surat khabar dua perempuan bergaduh berebut pengkid. Cis!  Aku perasan.

Lepas makan kami jalan-jalan di mall. Nampak yang Preity mahukan perhatian aku. Tapi aku lebih seronok jalan dengan Honey. Rasa lebih serasi. Kadang-kala aku terpegang tangan Honey atau Honey terpegang tangan aku. Ah! Itu kebiasaan.

Preity minta kebenaran untuk ke ATM, Honey pula hendak ke toilet. Aku tunggu depan ATM sebab aku dah pun pergi toilet. Aku duduk atas tebing. Sebaik sahaja Preity selesai withdraw duit,  dia terus merapati aku yang bersendirian di atas tebing. Lalu dia berdiri di tengah antara kedua belah peha aku. Tangannya sengaja meraba peha aku. Pandangan matanya manja. Terkejut  betul aku dengan ke’daring’ an dia. Aku pula dalam kedudukan tidak boleh bergerak. Aku tak mahu dia dekat aku. Serentak itu, Honey keluar dari tandas, mukanya sedikit terkejut dengan kedudukan kami. Ah! Sudah! Preity berlagak biasa dan berpura-pura menjauhkan diri dari aku. Barulah aku dapat lompat dari tebing durjana itu. Honey buat biasa.

Aku kecut perut. Mampus aku kalau Honey merajuk.

Selesai pertemuaan hari itu. Aku dan Honey balik naik train. Sepanjang perjalanan dia tak bercakap banyak. Mata dia pandang pemandangan di  luar train. Aku pegang tangan dia kuat, dia biar. Dia pegang tangan aku juga. Aku harap dia tidak terluka dengan tindakan dia sendiri.

Sebelum Honey balik semula ke kolej, dia cakap dia rasa rendah diri dengan Preity yang cantik. Dia minta maaf sebab buat aku serba salah macam itu, buat aku ikut kehendak dia yang bukan-bukan. Tapi dia cakap mesti buat ini untuk tahu Preity. Preity yang pernah buat hati aku menderita. Katanya Preity agak baik dan mesra sebagai stranger.

Lepas itu aku call Preity dan beritahu hal sebenar. Preity betul-betul marah. Seperti biasa aku dipersalahkan. Preity cakap dia benci aku atas segala-galanya. Tidak lama lepas itu Preity tukar nombor telifon.

Aku masih tetap aku.

Wednesday, December 5, 2012

Ceramah

Aku jarang lepak dengan Anis. Kalau lepak pun selalunya time Arin datang rumah sewa kami. Biasalah... Dua-dua pun sibuk. Lagipun bukannya best lepak dengan aku ni.

Malam tadi kami tengok TV sama-sama. Tengah aku duk tekan remote control ASTRO, cari cerita apa nak di tonton, terkalih pulak siaran Kemang Keming Ustaz Azhar Idrus. Aku teruskan mengalih.

" Wuish Kemang Keming la... Best tu." Anis menegur aku, aku agak supaya aku kalih semula siaran tadi.

" Tak nak lah..." Aku tidak mempedulikan Anis. Aku memang tak sedar diri. Sedangkan TV, ASTRO, sofa, peti ais, mesin basuh semua Anis yang punya.

" La kenapa? " Anis tanya aku.

" Malam ni aku tak de moodlah nak dengar ceramah." Aku bagi alasan, tak kan aku nak terus-terang kat dia aku memang tak berapa minat nak dengar ceramah Ustaz Azhar Idrus ni. Aku malas nak bagi penjelasan.

" Ala, bukan beria sangat pun... Best tau, lawak." Anis cuba mempengaruhi aku lagi. Tapi aku tetap aku. Degil. Pentingkan diri sendiri.

Aku kalih cerita tamil. Tak ada sari kata pulak. Lalu setelah aku pastikan tak ada cerita yang benar-benar best kat ASTRO. Aku ucap selamat malam pada Anis, lalu masuk tidur.

Dalam keadaan mata makin mamai nak tidur tu, aku terdengar Anis kalih siaran... Bunyinya macam ceramah. Mungkin siaran Kemang Keming tadi. Aku juga terbau asap rokok. Bagus! Aku cepat-cepat tekup muka dengan selimut. Pening.

Aku bukan marah Anis hisap rokok. Tapi geram. Aku masih ingat masa mula-mula aku menyewa rumah ni, dia pernah tanya aku sama ada aku hisap rokok ke tidak, aku cakap tak. Dia cakap baguslah, sebab dia ingat aku hisap. Sebab dia tak hisap. Sambil tu dia mengutuk-ngutuk orang hisap rokok kaw-kaw punya. Aku pun tumpang sekaki.

Beberapa bulan ni aku tengok dia pulak menghisap. Dia ada cakap pada aku dia hisap rokok semula. Aku cuma cakap, pandai-pandailah... Cuma aku  bagitahu aku memang tak berapa selesalah sebenarnya. Bau asap rokok buat aku pening dan mabuk.

Aku harap Ustaz Azhar Idrus dapat nasihatkan dia supaya berhenti merokok. Amin.

Thursday, October 25, 2012

Pengkid Player 2


Seorang lagi pengkid yang aku kenali dengan ayat manisnya adalah salah seorang manager aku dulu. Namanya Salmah. Umurnya tua beberapa tahun dari aku. Salmah ni memang pengkid jambu, handsome,  muka cantik, body cantik. Bukan perempuan aje sangkut dengan dia. Lelaki pun ramai yang tergila-gilakan dia. Salmah menggunakan segala ayat-ayat manisnya untuk menabur janji dari seorang awek kepada seorang awek.

Salmah ni dah ada awek. Seorang setiausaha genit di sebuah syarikat swasta, namanya Maria.  Maria ni cun habis, seksi lagi bergaya . Mata dia cantik sangat. Orangnya baik dan rendah diri. Dia orang dah bersama sejak university lagi. Dah lama bersusah payah bersama.

Satu masa, Salmah mula menggatal dengan staff baru. Namanya Noni. Rakan sekerja aku. Budak lagi Noni ni. Baru habis belajar. Tak panjang akal pun lagi. Dia tau Salmah ada awek dah. Tapi dia layan jugak.  Yang sakit hatinya, Salmah suruh aku cover line. Kalau Maria ada tanya-tanya kenapa dia balik lambat atau tak balik. Aku kena bagitahu yang kerja tengah banyak sekarang, dan kadang-kadang Salmah kena tidur di hostel yang disediakan untuk pekerja. Aku terpaksa akur. Malas nak cerita banyak.

Di suatu pagi yang damai, tengah aku menikmati air milo kotak. Aku terlihat kereta Maria parking depan hostel. Serentak itu aku dapat SMS dari Salmah kalau Maria tanya aku, cakap dia tak ada di hostel dan aku tak tahu dia di mana. Aku syak Salmah tak balik rumah, dan dia tidur di hostel dengan Noni. Masa tu aku tak tahu pun yang Salmah tidur di hostel. Sebab bilik aku lain. Bilik single.

Maria dengan lengang lenggoknya datang jumpa aku tanya pasal Salmah. Aku terpaksa goreng yang aku tak tahu mana Salmah. Mungkin sebab marah sangat,  Maria mintak nak masuk hostel kita orang. Maria dah menangis-nangis ngadu dekat aku. Sempat aku curi-curi SMS Salmah yang aku akan bawa Maria dalam hostel untuk dia buat spot check. Pandai-pandailah dia.

Maria spot check bilik demi bilik. Bawah katil, dalam almari, dalam toilet, dapur dan store. Bayang-bayang Salmah pun tak ada. Noni adalah, pura-pura tengah tidur. Berselimut. Aku tengok Maria dah macam nak terkam aje Noni. Aku pun hairan, dimana agaknya Salmah menyorok. Di tingkat atas hostel pun tak ada. Mungkinkah Salmah ada kuasa halimunan. Cari punya cari, tak jumpa. Akhirnya Maria mengalah.

Aku hantar Maria ke kereta. Suruh dia bersabar banyak-banyak. Aku katakan mungkin Salmah ada hal penting di tempat lain. Dalam hati aku menyumpah-nyumpah Salmah. Dah ada awek baik, cantik dan bekerjaya pun nak menggatal lagi. Maria terima kasih dekat aku. Mata cantik dia dah berair. Hati aku rasa bersalah sebab kena menipu.

Sebaik sahaja kereta Maria jauh dari hostel, aku mula kembali ke hostel. Dalam suasana dramatik tu aku pandang bangunan hostel kami. Korang tahu apa yang aku nampak? Ya Betul… Salmah. Dia tengah berpaut di dinding luar bangunan hostel. Sebijik macam spiderman. Sebijik macam shit.

Tak lama lepas tu aku berhenti kerja. Tiba-tiba best friend, Bond, bagi tahu dia tengah ngorat Maria. Awek Si Salmah. Maria layan pulak tu. Bila aku jumpa Maria aku tanya dia, situasi apakah ini. Dia cakap kalau Salmah boleh buat, kenapa tidak dia. Lagipun dia cakap best kawan dengan Bond. Bond sangat baik dan perihatin. Kalau dia jumpa Bond dulu, mungkin dia tak akan dengan Salmah. Tapi dalam situasi ni dia layan Bond, tapi dalam masa yang sama dia masih lagi dengan Salmah. Kesian Bond. Bond tahu, tapi dia degil. Aku takut jugak kalau Bond dengan Salmah bertumbuk kalau Salmah dapat tahu hal ni. Dua-dua budak teakwando.

Lama-lama Bond sedar yang Maria tak akan tinggalkan Salmah. Salmah pula tak akan putus denga Maria walau menggatal dengan orang lain. Aku dengar cerita Maria sekarang dah tukar kerjaya. Dia jadi cikgu sekolah, dah chubby dan tak seseksi dulu. Dia masih dengan Salmah. Dan Salmah masih handsome.

Sesiapa yang tersangkut dengan pengkid jenis player ni memanglah sakit hati. Tapi pilihan di tangan anda sendiri. Kalau anda pilih sakit, maka sakitlah. Nasihat aku, sayangi diri sendiri dan elak dari terlibat dengan drama dan jangan bergaduh sesama perempuan. Memalukan.

Kepada pengkid player, sampai bila nak tunjuk hero?  Handsome tu tak sampai ke mana. Seronok sementara aje. Sampai bila nak hurt orang. Silap-silap ada mana-mana pihak yang marah, kena bomoh, tak pasal-pasal jadi sasau.

Untuk diri sendiri, aku minta tuhan berikan aku hati yang kuat. Moga aku tak tersangkut dengan mana-mana aweks. Tak kiralah awek orang atau awek yang single. Kalau ada sesiapa ada niat nak ngorat aku, pastikan anda lelaki. Cewah! Jo perasan.

Monday, November 22, 2010

Teknologi

Aku cuba melarikan diri dari ada facebook, sama macam aku pernah cuba larikan diri dari ada handphone. Bukan sebab tak suka teknologi, tapi aku tak mahu dicari dan mencari kawan-kawan masa lalu, yang pasti memang cuba mencari Jo. Untuk pergi berseronok. Memang seronok berseronok dengan kawan lama yang terang-terang kenal aku luar dalam. Tapi itu boleh mendorong aku jadi abnormal, yang mana aku beberapa tahun kebelakangan ini cuba jadi normal. Hasilnya siapa yang kenal aku sekarang nampak, pandang dan fikir aku manusia normal macam diaorang. Tapi teknologi itu depan mata. Mahu tidak mahu aku ada facebook, handphone. Tapi aku privatekan. Aku tak layan 99% kawan masa lalu aku. Bukan sebab aku sombong. Aku cuba jadi manusia yang lebih baik untuk diri sendiri. Masih berusaha. Masih belum jadi. Aku tak nak gangguan. Aku sedar aku cepat dipengaruhi dan mempengaruhi.

Jo : Huh, ramainya membe2 lama add aku, ah ignore sahaja...

Ina : Kau ni negatif sangat, confirmkan ajelah kalau ada kawan nak add.

Jo : Bahaya, biar ajelah. Aku malas. *sambil sengih pandang muka Ina yang macam nak tanya kenapa*

Aku harap Ina tak tanya lagi. Aku malas nak cerita pasal aku pada dia, aku takut dia terkejut dan aku harap dia layan aku sama macam hari ini. Walaupun aku tahu Ina baik sangat, aku tahu kalau dia tahu semuanya pasal aku, pendapat dan pandangannya tentang aku memang akan berubah. Walaupun dalam hati aku menjerit nak share perasaan aku, nak cerita. Aku zip mulut aku. Dengan cara sedikit hipokrit. Aku tahu orang yang tak laluinya tak akan faham rasanya. Rasa yang aku cuba tak nak rasa lagi. Rasa ketagih.Bertahun-tahun  dah. Aku masih berlari.

Followers