Tuesday, January 2, 2018

Laluan Sri Petaling

Beberapa hari lepas aku begitu berkobar untuk menulis cerita ini.
Sekarang aku menulis agar tidak lupa di kemudian hari.

Blog ini dah macam diari.

Aku jarang keluar, itu yang semua sedia maklum. Aku peramah, walaupun sedikit pemalu. Boleh borak tak henti-henti. Skema dalam semua aspek. Cuma aku memang MALAS NAK KELUAR.

Hari Sabtu yang lepas, kononnya nak beli kasut hitam. Kasut hitam sedia ada telah pun terkopak tapaknya. Usia kasut BATA itu mampu bertahan selama tujuh bulan sahaja di kaki aku. Aku berkira-kira untuk membeli kasut PUMA, mungkin boleh capai tiga tahun. Aku bersiap ala kadar.

Sedang aku cuba mengecas telefon pintarku, Redmi Note 3. Tiba-tiba telefon pintar itu sudah tidak pintar lagi. Setelah beberapa hari aku menggunakan ianya 24 jam tanpa henti. Telefon ini mampu bertahan hampir dua tahun sahaja.

Aku mengira-ngira tempoh hubunganku dengan Bunga. Tak sampai setahun...

Lalu aku membuat keputusan. Aku adalah seorang pemilik yang tidak cermat. Gelojoh. Tidak sabar. Apa yang aku miliki aku gunakan sepenuh perasaan dan kemahuan aku. Lagi-lagi sesuatu yang aku sukai.

Mak aih! Panjangnya intro.

Tanpa berlengah, aku yang sudah pun bersiap, mengambil keputusan untuk ke Plaza Lowyat. Hub segala gadget. Harapnya dapat mencari mana-mana tukang baiki yang mampu membetulkan kesilapan aku itu.

Aku menaiki LRT laluan Sri Petaling, ke Hang Tuah kemudian menaiki KL Monorail ke Imbi.


Dua hari aku ke Plaza Lowyat. Beberapa tukang baiki telah dicuba. Berbelas jam juga masa dihabiskan. Proses membaiki telefon pintar ini akhirnya mencapai satu keputusan. TIDAK BERJAYA.

Petang Ahad itu, setelah meninjau beberapa pilihan yang ada, akhirnya aku memilih untuk membeli telefon baharu sahaja. Redmi 4A dengan harga RM450 tanpa berfikir terlalu banyak. Lesap bajet kasut PUMA aku.

Sakit hatilah juga. Benda yang dirancang tidak menjadi. Itulah kehidupah namanya. Aku redha ajelah. Sambil berazam supaya telefon baru ini boleh bertahan lebih dari 2 tahun.

Pulang hari ke dua juga menaiki LRT. Aku jalan lambat-lambat. Nak bekejar pun bukannya ada anak isteri yang menunggu di rumah. Sambil memikirkan kerja design yang masih berlambak tak disiapkan. Tertangguh disebabkan daya kreativiti aku agak tumpul semenjak dua menjak ini. Ugh! Letih.

Aku ternampak seorang perempuan Mat Saleh berambut pendek, bertopi, memakai singlet dan berseluar pendek sedang memegang peta LRT sambil bertanya kepada seorang brader yang memegang bayi. Saja aku dekatkan diri untuk mencuri dengar perbualan mereka. Dia hendak ke stesen Bandar Tasik Selatan (TBS). Sama laluan dengan aku.

Aku biarkan sahaja, lalu menunggu train yang belum kunjung tiba. Kemudian aku terdengar lagi perbualan mereka di belakang. Brader tadi seperti memberikan penerangan yang agak mengelirukan. Aku menggelengkan kepala.

Sudah sampai masanya aku ambil alih pertolongan brader tadi menggunakan skill Bahasa Inggeris yang penuh dengan kesalahan grammar dan sebutan Inggeris ala Melayu aku.

"Hi, where are you going?" Amboi! Gitu ayat aku menyoal dengan penuh keyakinan. Aku memberikan senyuman sederhana kepada mereka berdua.

"Bandar Tasik Selatan..." Perempuan mat saleh itu memberitahu sambil menunjukan peta di tangannya kepada aku.

"I think you must take another train...bla..bla.." Brader tadi cuba menjelaskan lagi, nampak seperti tak berpuas hati dengan pertolongan secara sailang yang cuba aku gunakan.

"Don't worry, you're on the right track. We now at Hang Tuah right? Take train to Putra Height Line and it will stop at Bandar Tasik Selatan." Aku cakap mat saleh lagi dengan penuh merepeknya. Ikut suka hati aku, sambil menunjukkan laluan dalam peta dia.

"I think so. Thank you. Where are you going?" Dia pulak bertanya aku.

"We on same train, but I stop at different station." Aku tersengih. Dia mengangguk tersenyum.

Masuk aje dalam train, punyalah ramai orang. Terpaksalah aku berdiri. Perempuan mat saleh ni berdiri jugak sambil tersenyum-senyum memandang aku. Gaydar aku berbunyi dengan kuat. Aku yakin perempuan mat saleh ni, sekurangnya pengkid.

Aku pulak tak berfesyen pun hari ini. Tak memengkid. Aku pakai oversized sweatshirt, seluar slack, kasut kungfu dan tudung ikat. Memang sengaja aku pakai gaya mak cik-mak cik. Ia membuatkan aku rasa berkuasa "don't mess with mak cik".

Tapi sekarang, menyesal pun ada. Tak bolehlah aku nak membuka bicara dari pengkid ke pengkid dengan pengkid mat saleh ni...

Tapi itulah, aku adalah aku. Walau mak cik macam mana pun gaya yang aku ada. Entah kenapa dengan keyakinan melebihi Ann Najwa menjaringkan gol, kaki ini mengorak pantas  lebih dekat ke arah dia...

"Where are you from...?" Spontan mulut aku bertanya.


Bersambung...

2 comments:

  1. Nak tegur bab smartphone tu. Aku bukan anti smartphome buatan china. Aku sendiri pernah beli hp lenovo. Pakai tak cermat jatub maka gelonglah ia, prestasi bateri jadi lemah. Tapi bila aku beli smartphone brand yg diketahui bagus dan terkenal macam samsung pakai lasak pun tahan lama. Dari segi ketahanan aku puji samsung. Dah banyak kali jatuh tapi masih ok bateri dan performance software pun masoh mantap. So aku sarankan kalau rosak lagi kau belilah samsung atau iphone atau sony. Tiga jenama ni je aku berani recommend kat kau.

    ReplyDelete

Followers