Showing posts with label future. Show all posts
Showing posts with label future. Show all posts

Thursday, January 10, 2019

Inspirasi Membaca


Oppa dah pakai cermin mata.

Ustazah dah kahwin.

Cik Cut baru lepas bercuti panjang selepas jatuh motor.

Ada untung, ada yang rugi. Itulah terjadi di hujung tahun 2018 dan awal tahun 2019.

Ada juga hal menarik yang sedang kuperbuat. Tapi biarlah hal itu aku kemaskini di sini apabila semuanya selesai. Masih panjang perjuangan aku sebenarnya.

Baru-baru ini, aku menonton satu cerekarama Melayu yang sedang tular di internet. Dramanya ringkas dan tidak meleret. Lakonan baik, skrip OK walaupun tidak terlalu cemerlang, ada sedikit klise. Bila aku melihat siapakah penulis skripnya, rupanya hasil nukilan kawan lama aku sendiri.

Aku mengenali kawan ini hampir 10 tahun. Bekas pelajar ASWARA. Pernah bekerja dengan dia. Pernah juga bukunya aku lukis illustrasinya. Kini dia di antara penulis skrip yang menjadi rebutan para penerbit.

Orangnya rajin, kreatif, sensitif dan baik hati. Pantang sekali jika dibuli, salah satu sebab kenapa dia berenti kerja  waktu itu. Dia berusaha mencari tempat yang lebih baik untuk dia mengembangkan bakat penulisannya. Aku melihat satu demi satu kejayaan lelaki ini. Setiap satunya dia perolehi hasil titik peluh dia sendiri.

Entah berapa banyak novel dan skrip drama yang dia hasilkan. Setiap satunya menjadi. Entah berapa banyak pula novelnya sudahpun dijadikan drama.

Iya, aku terinspirasi dengan kejayaan dia.

Biarpun ramai yang  mengutuk atau mengeji, dia di antara yang mencetuskan kegilaan terhadap genre novel pop picisan.

Tiada komen dari aku kerana selama ini aku tidak pernah membaca karyanya walaupun satu. Untuk novel remajanya yang aku lukis, aku cuma menerima arahan bukan cerita.

Harap, jika masih ada kesempatan. Pasti novelnya aku beli. Boleh juga aku menambahkan koleksi novel di kampung. Mana tahu ada waktu aku sanggup membacanya.

Novel fiksyen terakhir yang aku baca adalah Interlok, karya Abdullah Hussein. Aku benar-benar mendapat kepuasan dari novel ini.

Novel yang menanti untuk aku baca adalah yang dihadiahkan kepadaku baru-baru ini. Tajuknya Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur, karya Keris Mas. Aku amat suka menerima buku sebagai hadiah.

Aku tahu aku terlewat. Banyak karya mesti baca yang aku terlepas menikmatinya.

Aku tertarik dengan artikel dari THE VOCKET yang bertajuk 100 Novel Melayu yang Mesti Dibaca. Daripada senarai ini, hanya 11 novel sahaja yang pernah aku baca. Kebanyakkannya aku lupa isinya kerana sudah terlalu lama.

Harapnya 2019 aku makin cemerlang, malah lebih cemerlang dari 2018.
Walaupun hati aku sering goyang itu dan ini, moga hati ini tak gentar.

PS: Ustazah masih menyewa bersama aku, suaminya tinggal bekerja di selatan tanah air.

Friday, March 3, 2017

Bukanlah Rahsia.

Assalamualaikum dan salam sejahtera pembaca budiman...

Terasa macam menulis surat pula. SURATan takdir. *gelak.

Bercinta sudah, bergaduh sudah, berusaha untuk membaikinya pun sudah. Tapi segalanya bukan seperti yang kita rancang. Aku dan Bunga berundur diri daripada meneruskan hubungan kami.

Sebab apa clash? Tapi you I punya OTP. No Jo.... Tak akan semudah itu.

Aku tak akan bagi jawapan klise artis, No komen...Tak membantu.

Simple. Hubungan ini, kami tak mampu nak bawa ke hajat kami. Dia tak mampu nak bahagiakan aku dan keluarganya sekaligus. Aku tak mahu lihat dia tidak dihormati keluarga. Kami tak cukup selfish untuk menyakiti semua orang. Jadi kesakitan ini biarlah kami berdua yang menanggungnya.

Aku dan dia jenis orang yang terus terang dan telus. Walaupun kami cuba berusaha menyorok cinta kami dan menafikan. Orang buta pun boleh nampak. Ianya terlalu besar. Kalau kau lihat cara aku senyum dan pandang dia. Kalau kau dengar intonasi suara dan gelaknya bila dengan aku. Kau tahu, betapa kuat rasa itu dan ia tidak diizinkan sama sekali. Ia membahayakan bukan sahaja nyawa kami, malah nyawa orang lain juga. Aku tidak mahu ada yang mati jika kami meneruskannya.

Dunia ini kita kongsi, lalu aku maafkan segala kesengsaraan hati yang aku rasa ini sambil menyelit sampul-sampul doa. Agar mana-mana jiwa yang homophobic itu ditumbuk hingga berdarah. Kamu tak akan menerima fikiran aku. Aku juga tidak mahu menerima fikiran kamu. Duduklah dalam kelompok homophobic. Memaki dan hinalah sepuas hati. Moga jalan kita tidak ketemu.

Aku dan Bunga masih chat. Masih bersopan santun sesama kami. Kami ketepikan ego dan kesedihan. Aku pun tak tahu sama ada ianya bagus atau tidak. Aku punya seorang dua kawan untuk aku borak soal kesedihan ini. Cukuplah.

Dunia ni berputar pantas. Cerita hari esok ada lagi untuk aku tempoh. Ada sedikit sesal, ada sedikit nangis. Langit masih indah dan luas untuk diterokai. Masih banyak lukisan yang perlu aku siapkan. Masih banyak tangan yang perlu aku tarik agar tak jatuh.

PS: Biar bermakna.

Friday, August 19, 2016

Tinggi Hajat di Hati.

Bercinta dengan Bunga ini, aku rasa seperti melangkah setapak ke hadapan dan berundur dua langkah ke belakang.

“Tapi… Kenapa Jo?”

Tanya para pembaca  setia kisah non fiksyen aku ini.

Macam ini.

Punyalah lama aku simpan status single itu. Tup! Tup! Datang Bunga, si gadis manis berumur 24 tahun telah merobek jiwa raga mak cik engkau ni, Nak!

Sebelum Bunga, dalam tempoh 10 tahun ini memanglah aku crush pada seorang demi seorang gadis. Jumlahnya mungkin kurang daripada lima. Crush pun crushlah, tapi tak jadi apa-apapun. Telah aku ceritakan kisah-kisah itu dalam catatan-catatan sebelum ini. 

Jadi gay/lesbian tapi kau single ini lebih bebas sebenarnya. Bebas berfikir, bebas menyuarakan pemikiran, bebas mengutuk kisah cinta rakan-rakan engkau yang entah apa-apa.  Bebas membuat keputusan mengikut acuan yang dirasakan betul. Bebas juga cuci mata. 

Bila dengan Bunga, aku kena fikir tentang bersama. Bukan AKU. Bukan DIA. Tapi KAMI. Bertindak selepas berbincang.

Ada sekali itu,  aku rasa patut terus terang sahaja tentang hubungan kami ini kepada rakan-rakan terdekat. Sama ada yang tidak tahu atau sengaja buat tidak faham dengan seksual orientasi aku ini. Aku minta pendapat Bunga. Dia membantah. Katanya biarlah hubungan ini ekslusif antara kami dahulu. Apa pentingnya orang lain tahu atau tidak. Mungkin akan  mendatangkan keburukan pada kami sahaja.

Aku geram juga dengan bantahan itu. Tapi geram aku sejuk bila dia selamba-selamba pegang tangan dan manja bermanja dengan aku di depan semua orang. Malah dia pula yang sering bertanya pada aku.  Apabila aku melepaskan genggaman tangannya itu, sama ada aku ini malu dengan dia.

Dalam soal keluarga dan kekeluargaan pula. Aku sudah pun bawa Bunga jumpa famili aku. Berkenalan dengan emak, adik beradik dan anak-anak sedara. Aku mengajar anak-anak sedaraku memanggil Bunga, dengan nama Mak Anjang Bunga sempena pangkat aku Mak Anjang. Malah pada sesetengah adik beradik aku nyatakan. Inilah dia kekasih anna, Nur Bunga!

Respon famili aku, NO RESPON.

Marah tidak, menasihatkan tidak dan mengiyakan pun tidak.

Agaknya mereka merasakan aku tidak serius dengan Bunga. Masakan orang seperti Bunga mahu bercinta-cintaan dengan perempuan berusia  seperti aku. Atau mereka mungkin merasa hubungan kami ini sekadar untuk menghilangkan kesedihan dan kesepian aku yang tidak dapat mereka bantu. Lalu mereka biarkan.

Aku tidak tahu. Malas aku jadikan soal di antara aku dengan Bunga ini sebagai  topik perbincangan terbuka dalam famili aku.

Mari kita berkenalan sedikit dengan famili Bunga. Ayahnya berjawatan penting dan dihormati. Ibunya pula suri rumah tangga yang sentiasa ada menyokong mereka adik beradik. Cuma, kadang kala sibuk dengan persatuan yang harus dia sertai demi kerjaya ayahnya. Dia punyai abang yang hampir sebaya dia dan adik-adik perempuan. Adik bongsu masih di sekolah rendah. Wah! Bunyinya dah macam dalam drama RTM.

Aku juga pernah bertanya Bunga, apa akan jadi jika hubungan kami ini diketahui famili dia. Katanya, dah tentu ayahnya tidak suka. Ayahnya merupakan ketua yang di segani. Sama ada dalam soal keagamaan atau sosial. Ayah dia selalu menyelesaikan pelbagai masalah dan konflik orang lain. Masa aku melawat famili Bunga, barulah aku tahu yang famili dia sangat menitik beratkan ajaran Islam dalam aspek kehidupan. Malah, mereka solat jemaah bersama. 

Ibunya? Jangan kau cuba buat hal.

Abang Bunga pula aku tak berapa kenal lagi. Adik dia yang di matrikulasi pernah beberapa kali borak bersama, Cuma belum bertemu. Bunga pernah memberitahu aku yang adik adiknya agak obses dengan dia. Aku ingatkan dia main-main sahaja. Bila aku berhadapan dengan mereka, baru aku tahu sayangnya adik beradik dia padanya. 

Tidak pernah kami dapat berkepit berdua. Jika kami Skype atau borak di telefon, adik dia mesti ada sekali. Mata adik dia tak lekang memerhatikan sahaja kemesraan di antara aku dan Bunga. Sesekali adik bongsu dia mesti tanya aku bertubi-tubi. Kak Jo sayang sangat pada Kak Bunga ya?

Beberapa hari lepas adik bongsu dia melukis lukisan gambar aku dan Bunga sedang berpegangan tangan di bawah awan di tepi pokok dengan tagline BFF FOREVER.

LDR. Lagilah susah. Perlu mencari alasan munasabah setiap kali ingin berjumpa. Aku perlu keizinan ibu ayah dia jika hendak bawa dia keluar. Dan keizinan itu amat sukar di dapati. 

Nyata di sini, hubungan kami ini akan kami seal tanpa pengetahuan famili dia. Sebab, hanya ada dua pilihan. Jika diketahui, maka tamatlah kisah kami ini. Jika kami berjaya menutup hubungan ini dengan selamat, maka ada kemungkinan kami boleh bersama. 

Aku sebenarnya ingin bercinta secara bebas. Tanpa perlu berlakon-lakon atau berfikir trick apa untuk berjumpa. Cinta kami yang indah dan manis ini,  ingin kami kongsikan dengan rasa syukur bersama semua orang terutamanya famili. Aku mahu turut menjadi sebahagian dari famili dia kerana aku tahu dia amat sayangkan famili dia. Aku juga mahu dia diterima baik oleh famili yang aku sayang.

Bunga adalah doa-doa yang selalu aku pohon di lewat solat-solat ku. Seorang yang beragama. Menghormati orang tua. Baik hati. Rajin basuh pinggan mangkuk. Cantik. Pembersih. Wangi. Jimat cermat. Tidak memeningkan kepala. Sederhana. Pandai mengaji. Tahu hal-hal komputer. Tinggi lampai fizikalnya.

Aku bertuah Bunga mahu mendengar keluh kesah rintihan hati aku ini. Mahu mengimamkan solat aku. Membelikan air teh o ais kepada aku secara curi-curi ketika aku pergi ke toilet.

Aku tamak, aku tahu. Aku mahu Bunga. Mahu cintanya tanpa perlu menyorok. Mahu Tuhan menerima cinta kami.

Masa aku masih single, senang aje aku menjawab pertanyaan orang. Aku single.

Sekarang ini jawapan aku, aku dah ada orang yang aku suka. Tapi entahlah. Payah.

Adakah hal ini mengganggu pemikiran aku? IYA.

Adakah dugaan ini membuatkan aku mahu mengalah? BELUM LAGI!

PS: Kak Jen cakap Bunga ni semacam gila sikit, sesuailah dengan aku sama-sama gila.

Wednesday, July 13, 2016

Blur Dalam Bercinta.

Bila dah lama tak bercinta-cintaan dan tiba-tiba bercinta, aku jadi agak blur-blur.

Aku memikirkan apa yang patut dan tidak patut aku lakukan.

Aku ini dah umur 34 tahun. Patutkah aku bersikap seperti 20-an dahulu. Atau menjadi orang dewasa yang serius. Tapi tak adil pulak dekat Bunga, dia juga hendak merasa manis masin dan masamnya bercinta itu.

Ditambah lagi kami mula LDR.

Makin berusia, sebenarnya jiwa aku jadi makin sensitif dengan semua orang. Cepat terasa, mudah sedih dan ikhlas itu entah kemana. Paranoid. Perasaan jemu membuak-buak. Ada perasaan fed-up dengan sikap orang sekeliling. Sikap redha aku campak entah kemana.

Hal ini terjadi kerana selama ini aku biarkan sahaja keadaan keliling terlalu lama. Orang mudah mengambil kesempatan atas kelembutan dengan sikap "Tak Apalah" dari aku. Sehingga naik lemak pulak masing-masing. 

Apabila aku berubah dan cukuplah aku beri kebaikkan sepercumanya, orang sekeliling macam tak boleh nak terima pula. Sudah-sudahlah tu. Cukuplah setakat ini. Mari kita hidup bahagia dengan terma masing-masing.

Malam tadi aku telefon Bunga. Tak lama pun. Lebih kurang 20 minit sahaja. Sebelum ini kami berdua bersetuju walaupun LDR, jangan membazir. Duit atau masa. Jimat cermat lebih baik.

Sepanjang 20 minit itu dia menangis. Puas aku pujuk. Dia masih teresak-esak. Jadi aku pun terus bercakap, bercerita itu ini. Membiarkan dia mendengar suara aku. Seperti biasa aku mesti tanya dia, ada tak apa-apa yang dia nak beritahu atau cakapkan pada aku, seperti biasa juga dia membisu. Aku tahu dia rindu. Aku pun begitu. Aku tahan air mata sendiri.

Selepas itu aku mesej WhatsApp dia, aku beritahu daripada terus menangis lebih baik kita fokus ke masa hadapan. Bagaimana caranya jika mahu tinggal bersama. Cari duit lebih dan apa cita-cita seterusnya. Aku suruh dia solat. Baru dia tenang sedikit.

Masa LDR beberapa hari ini aku rasa tak cool lansung. Kalau boleh aku nak tahu di mana dia berada, tengah buat apa, makan apa, pakai baju warna apa 24/7. Kalau boleh aku nak dia ada aje depan mata aku, aku tengok dia dan dia tengok aku.

Tapi mana boleh. Mana rasionalnya? Aku mahu dia ada kehidupan dia sendiri. Kebebasan. Rasa lapang dada untuk melakukan sesuatu kesukaannya. Mencuba sesuatu yang baru dan mengujakan. 

PS: Ah! Aku bukan setua mana. Mari kita lakukan bersama adventure itu.






Thursday, June 23, 2016

Langkah Satu.

Malam tadi selepas solat Maghrib, aku dan Bunga sama-sama setup semula akaun Skype kami yang dah berhabuk. Synchronized kan ia, lalu membuat beberapa cubaan lansung dari bilik aku ke ruang tamu. 

Mujurlah housemates aku belum balik dari beli belah persiapan hari raya. Kalau tidak banyak pulak soal jawabnya. Belum masanya lagi hubungan ini kami publickan. Bila nak publickan itu? Entahlah. Kami tidak mahu menimbulkan skandal dan gossip.

Setakat ini aku rasa bahagia dengan kami.

Hidup yang sederhana dan tiada pening kepala. Aku tahu banyak isu yang bakal timbul di masa akan datang seperti famili, LDR, kepercayaan, masa depan dan lain-lain. Aku terfikir juga banyak benda. Tapi perlahan-lahan. Selesaikan satu-satu dulu.

Aku tak mahu beri isu-isu ini serentak pada Bunga. Biar dia selesaikan pengajian dia dahulu dengan anugerah dekan. Itu yang paling penting. Lagipun tiada apa yang aku nak kejarkan. Kecuali kalau Bunga tiba-tiba berlari. Aku kena kejarlah dia sampai dapat. Persediaan mengejar itu aku sedang kumpul sikit-sikit.

Bila adanya Bunga, cita-cita aku jadi makin besar.  Aku kena banyak melukis lagi. Cari duit lebih. Mana tahu jika ada rezeki boleh beli rumah sendiri dan tinggal bersama. Aku sendiri letih juga tinggal dengan housemates. Usia pula makin tua. Mana nak layan kerenah sendiri. Kerenah housemates lagi. Kalau ada rezeki juga, mana tahu jika ada sesiapa ingin beri anak pada aku. Boleh juga jadi peneman dan pendorong semangat aku.

Tapi itu pun kalau ada rezekilah. Kalau tidak duduk sahaja dengan housemates aku berdua tu yang belum aku nampak nak berkahwinnya. Tiga orang gadis single.

Banyak juga aku fikirkan pasal dosa. Aku selalu ingatkan diri sendiri supaya menjaga akhlak antara kami berdua. Dia juga aku ingatkan. Ada batas-batas yang perlu kami jaga. Sedangkan ada keperluan yang kami mesti penuhi. Terus-terang aku katakan payah. Kami sangat sukakan each other. Aku cakap pada Bunga. Aku sayang dia. Aku sayang juga agama aku.

Pagi tadi ketika masih dalam telekung dengan kejamnya aku tanya Bunga.

“ Kau nak sayang aku macam ini berapa tahun lagi?”

Dia menjeling aku. Sambil Lalu dia cuba berlagak cool dengan mendendang lagu Justin Bieber. What Do You Mean?

“Berapa tahun? Apa punya soalan? Kalau boleh biar berpanjangan.”

Aku tahu hubungan ini melukakan hati famili kami. Itu antara hal yang buat aku takut. Tapi aku mohon, Ya Allah. Kau jagalah hubungan kami dengan keluarga sebaik mungkin.

Jika mereka tidak merestuinya sekalipun. Aku hormati itu dan aku harap mereka hormati keputusan kami. Apapun.


PS: Selamat Hari Raya. Selamat pulang ke kampung.

Tuesday, March 1, 2016

Di Bawah Langit

Tiada salahnya menjadi klise.

Tiada salahnya mencari Tuhan saat kau merasa susah.

Beberapa kali dan seberapa banyak kekeliruan yang berserawang dalam minda itu perlu kau bersihkan.

Hanya perlukan kerajinan dan doa.

Ada saat di mana, aku rasa aku sudah jatuh cinta kembali. APA?

Tak kan semudah itu. Semudah bicara manis di kala sepi. Di kala aku berpeluk dengan si bantal dan hanya berseluar senteng. Tanpa pertemuan, tanpa usaha sedikit pun.

Namun begitu setiap hari aku jatuh cinta.

Ya, dengan kamulah...Dengan siapa lagi?

Apa kena dengan hati ini?

Kita manusia kadang-kala jemu dengan kata-kata. Kita mahu bukti di depan mata. Itu motivasinya.
Aku cuba menukar keangkuhan manusia itu menjadi bahan bakar semangat.

Aku tahu keangkuhan itu bukan lahirnya sehari dua. Angkuhnya dia kerana usaha kerasnya selama ini.

PS: Setiap hari aku renung bintang-bintang. Tiada satu pun yang jatuh ke riba. Lalu aku lukis biar ia kekal indah di tangan ini.

Sunday, September 20, 2015

Istilah

Media sosial kadang-kala memberikan aku sakit kepala.

Ada masanya dulu, konon-konon aku tahu semua perkara. Atau aku mungkin lebih tahu dari orang-orang. Jadi seringnya aku jadi bahan rujukan atau kamus.

Kecepatan teknologi, sembang secara langsung dan global ini buat aku rasa tertinggal jauh.

Aku cerita tentang kerabu manga, orang cakap pasal somtam. Aku baru nak ambil tahu pasal Isis, ada pula Isil, IS? Aku baru nak borak tentang Ellen Page coming out, orang mula cakap tentang girlfriend dia Samantha Thomas? Bila aku buka cerita tentang homophobic orang cakap pasal cisgender. Apa benda tu?

Istilah demi istilah muncul. Terutamanya dalam kamus sosial LGBTQ....*berapa banyak huruf, daa...*

Ada juga istilah yang sedia ada, tapi setahun kebelakangan ini baru dipopularkan. Banyak pulak tu. Sebagai orang yang menulis, penting untuk tahu. Kalau tidak mungkin dicop jahil. Atau mungkin akan memperbodohkan diri sendiri.

Apa pentingnya mengetahui dan mempelajari istilah ini. Untuk kesedaran hal ini itu wujud? Untuk membentuk hidup yang lebih baik? Masa depan yang lebih terdidik dan mendidik? Untuk kegunaan seharian? Atau sekadar untuk orang tahu kita lebih tahu dari orang lain?

Aku keliru. Mungkin juga jahil.

Baiklah.

Imbas kembali... 10/11 tahun lepas.

Masa kerja restaurant dulu. Kami punya manager yang berpendidikan tinggi. Pengkid tapi closet. Ada masa dia lepak dengan kami pengkid yang muda-muda ini. Dia cakap, dia tak boleh betul dengan lessy. Dia cakap dia ok kalau pengkid dengan girly girl. Tapi bila girly girl dengan girly girl, dia geli.

Aku senyap ajelah.Tak nak ikut kata-kata dia secara membuta tuli. Orang lain aku tengok mengangguk aje. Adakah istilah untuk orang seperti manager pengkid ini?

Ada juga perempuan yang hanya suka pengkid. Entah macam mana pengkid dia pelahan-lahan menjadi lebih kewanitaan. Maka perasaan suka itu hilang. Macam mana itu? Kenapa dia tidak suka lelaki sahaja pula? Apa istilah untuk ini?

Kak Jen pula, masa dia mula memengkid. Dia cakap yang sebenarnya dia bukanlah hendak jadi pengkid sangat. Tapi masa itu dengan menjadi pengkid sahaja dia diterima bersama dengan girlfriend dia. Itu sahaja satu-satu caranya yang dia nampak.

Dengan sedikit pengetahuan, aku terangkan pada Kak Jen, itu ini. Memang dia tak faham. Makin keliru adalah. Jadi dia tak berapa kisah untuk ambik tahu.

Sehinggalah aku beri Kak Jen tonton cerita The L Word. Habis 6 season, baru dia tahu kewujudan pelbagai itu ini. Baru dia hendak faham.

Hendak tak hendak terpaksa juga mencari rujuk pop culture. Itu lebih dekat dengan masyarakat. Walaupun bukan semua intinya bagus dan tidak aku galakkan.

Orang yang kononnya tahu itu ini, jangan sabur orang yang tak tahu. Walaupun hakikatnya memang ramai orang jenis sarkastik, troll dan kaki sabur dalam dunia ni. 

Sama sekali tak boleh anggap semua orang tahu apa yang kau tahu. Walaupun dunia makin global, kena ada pemahaman, yang agama, budaya, pendidikan malah geografi kita berbeza. 

Istilah memudahkan. Mungkin juga memeningkan. Mungkin juga istilah yang ada tidak pernah tepat untuk menggambarkan sesuatu.

Apapun istilah baru didengar atau baru wujud, benar atau tidak. Popular atau tidak, jangan ikut memahaminya secara membabi buta. Perlu rajin merujuk sana sini. Fahami penggunaannya. 

Orang yang tak tahu seperti aku. Inilah peluang untuk ambil tahu. Mungkin ada kegunaannya di masa akan datang. 

PS: Mungkin sahaja aku akan bermalas-malas sahaja untuk tahu.



Followers