Saturday, December 12, 2015

Berani bodoh.

Bila kita cinta, crush atau terlalu suka pada seseorang. Maka banyaklah benda berani bodoh yang akan kita lakukan.

Kata-kata ini bukan merujuk kepada kamu atau orang lain. Tapi pada diriku sendiri.

Aku pernah cerita masa di kolej sebelum bersama Preity, aku crush pada seorang kawan sebaya aku, Rihana. Puas aku mengorat dia ni tapi tak juga dapat.

Alah, Rihana yang kononnya ada iras Neelofa. Masa muda-muda dululah. Aku yakin sekarang dia dah gemuk. Dagu berlapis, macam aku.

Rihana tidaklah terlalu peramah orangnya. Mungkin disebabkan aku selalu melepak dengan dia, maka orang sekeliling anggap dia sangat peramah. Kalau tidak, aku yakin orang akan ingat dia sombong.

Rihana jatuh sakit suatu hari. Entah sakit apa. Kena tahan hospital. Masa di hospital hari-hari aku datang melawat. Aku bawakan apa sahaja yang dia mahu. Aku jadi pendengar setia dia. Jika waktu malam boleh menunggu, memang aku akan jadi jaga sebelah katil dia. Beberapa kali juga aku terfikir untuk menyelinap masuk sesuka hati. Tapi kawalan agak ketat.

Rihana belum sembuh. Keluarga dia pun belum datang melawat. Satu hari ketika aku ke hospital. Rihana tiada. Doktor cakap, Rihana dipindahkan ke hospital besar. Hospital besar pula jauh beribu batu. Aku gelabah. Puas aku tanya jururawat dan doktor apa sebabnya. Jawapannya hanya keluarga sahaja yang berhak tahu.

Hari kedua Rihana di hospital besar. Aku tidak keruan. Makan pun tak berselera. Doa tidak berhenti dipanjatkan. Aku ke sana ke mari bertanyakan jadual waktu melawat hospital besar pada kawan-kawan. Zaman itu kemudahan internet tidak seperti sekarang. Penggunaan telifon bimbit juga kurang.

Dalam turun naik keliling kolej itu, aku terfikirkan sesuatu. Jika Rihana sakit teruk, kami semua kawan-kawan patut melawat dia. Sekurang-kurangnya dia tahu semua orang mahu dia sihat cepat. Semua orang sayangkan dia.

Lalu aku mengetuk bilik pentadbiran. Berjumpa pihak pengurusan dan memberitahu kondisi Rihana, walaupun aku sendiri kurang jelas.

Atas kedegilan, rayuan dan kesungguhan. Pihak pentadbiran memberi kebenaran dan sebuah bas serta pemandu untuk kami pergi melawat Rihana beramai-ramai. Aku minta kebenaran untuk umum di speaker besar kolej pada kawan-kawan dan sesiapa yang mengenali dan mahu melawat Rihana, boleh dapat pelepasan keluar dari pihak kolej. Maka ramailah yang ikut serta. Aku sendiri tidak pasti sama ada mereka ingin memonteng kelas atau betul-betul hendak melawat atau keduanya sekali.

Di hospital, kawan rapat gilir-gilir masuk jumpa Rihana. Ada juga yang tidak masuk. Sebab terlalu ramai. Doktor dan jururawat pun naik hairan sebab ramai sangat yang melawat Rihana. Akhir sekali tiba giliran aku. Tidak sabar rasanya melihat wajah dia. Mahu dia sihat segera.

Sebaik sahaja dia melihat aku. Dia senyum. Dia nampak lebih sihat.

Aku hampiri dia. Belum sempat aku bersuara, dia berbisik pada aku.

"Abang Daud datang tak? Tak nampak pun..." Dia bertanya pada aku. Menyebut nama senior kami yang kononnya suka pada dia.

"Tak. Dia tak datang...Tapi kawan-kawan kita ada. Semua datang." Aku membalas.

"Iya ke...? Tapi nasib baik dia tak datang, sebab tadi Abang Daniel datang dengan famili dari kampung. Kalau bertembung kan susah...bla...bla...bla..." Dia sibuk bercerita, merujuk pada Abang sepupunya yang kononnya juga suka pada dia.

Sepanjang pertemuan itu. Dia terus menerus bercerita tentang Abang Daud. Abang Daniel. Aku dengar dengan separuh hati...

Tidak sempat mencelah sikit pun aku mahu bertanya soal kesihatan dia, jururawat datang memberitahu waktu melawat habis.

Dua hari selepas itu. Rihana keluar dari hospital. Bila aku tanyakan soal kesihatan dia, dia cuma cakap sakitnya misteri. Doktor pun tidak tahu. Tapi kini dia sihat. Aku gembira untuk dia.

Rihana layan aku acuh tak acuh. Aku sedar sendiri.

Lepas itulah aku makin kurang dengan dia. Waktu itu jugalah aku mulai rapat dengan Preity.

Jadi, jika orang muda macam kamu bertanya pada aku, patutlah kamu bertindak berani bodoh demi cinta atau keagungan apa kononnya.

Banyak kali juga aku jawab:

Selagi tindakkan berani bodoh ini tidak memudaratkan diri dengan kesengsaraan maksima. Lakukan sahaja orang muda. Rasakan betapa epik tindakan berani bodoh itu. Nikmati selagi boleh.

PS: Jangan harap aku nak buat benda-benda macam ini lagi dah.

Monday, December 7, 2015

Jemu.

Aku selalu sendiri.

Biar beramai-ramai sekalipun, aku sendiri sahaja.

Bersendiri ini bagus untuk beri diri ruang, tenang.

Banyak masa. Aku senang sendiri.

Bila balik ke kampung dan aku mula borak dengan emak topik berat, mesti dia tertidur. Lawak betul. Mungkin otak emak dah letih nak mendengar masalah dunia. Dia lebih senang mendengar khabar-khabar lucu.

Tapi bila aku cakap pada dia aku nak kahwin. Besar betul mata dia terbuka.

Tak berapa lama dulu, pernah aku tanya emak, kenapa emak hendak sangat aku kahwin? Jawapannya klise. Dia mahu ada yang menjaga aku. Dia mahu aku punya anak-anak yang bersama aku.

Aku selalu menjawab dengan degilnya, aku boleh menjaga diri aku dan anak-anak sedara nanti yang akan menjaga aku jika mereka mahu. Kalau tidak, pandai-pandailah aku ke rumah orang tua.

Sengih sahaja emak memandang aku sambil katanya, “Tak sama Jo…”

Emak cakap berdasarkan pengalamannya. Ada kebenaran dalam kata-kata itu. Siapalah aku untuk menepis kata keramat seorang emak.

Ah. Paranoid.

Entah kenapa, Tuhan menjentik perasaan jemu hidup sendiri pada aku akhir-akhir ini.

Jemu hidup dengan kawan-kawan. Betul-betul jemu, sehingga aku rasa aku perlu sesorang untuk dicintai dan untuk berjuang bersama.

Aku tahu, aku masih kuat bersendiri. Tapi aku juga mahu lebih kuat bersama seseorang.

Aku terfikirkan kisah Nabi Adam. Dia ada segalanya di dalam syurga, tapi masih rasa rindu jiwanya pada seseorang yang belum wujud pun. Hawa.

Kalau ikut aku, aku pun mahu ‘Hawa’. Tapi tak bolehlah. Pelahan aku sekeh kepala sendiri. Mencubit realiti.

Aku tidak punya calon sesuai, sekufu. Itu bahagian yang awalnya. 

Aku memikirkannya sambil tergelak. Macam mana kita tahu seseorang itu dijadikan sebagai pasangan kita. Adakah aku belum jumpanya lagi disebabkan aku sendiri benar-benar belum bersedia atau bagaimana?

Atau sampai bila-bila pun tak ada?

Aku rasa sedikit demi sedikit kekuatan fizikal makin kurang. Semalam, sekejap sahaja aku cuba menari lagu kumpulan Kpop, Sistar. Aku dah semput. Usia akan datang apatah lagi.

Adakah sudah sampai tempoh terdesak itu. Aku gigit jari sendiri.

Angan-angan pasal berdua ini memang sedap.

Aku selalu bayangkan, aku dan dia saling bantu membantu dalam hidup kami. Dari hal seperti basuh pinggan di dapur kecil kami, sehinggalah dia dan aku jadi sukarelawan di rumah anak yatim atau rumah orang-orang tua.

Sambil aku menyanyi lagu Backstreet Boys, I’ll Never Break Your Heart dan dia turut menyambung alunan lagu itu.

ASDFGHJKL…. Aku tulis merapu. Ini dah macam tulis diari yang sepatutnya aku sorok di bawah tilam dan tak patut aku dedahkan kepada umum. Sekali lagi aku mencubit realiti.

PS: Eloklah beribadat dan berbakti kepada masyarakat daripada angan sahaja wahai Jo.

Saturday, December 5, 2015

Ada Kalanya...

Ada tahun yang aku sakit sahaja dari awal hingga penghujung.

Ada tahun yang aku bergelak ketawa sakan setiap hari.

Kebanyakkan tahun aku sibuk.

Dan sibuk adalah perkataan bukan kegemaran yang paling kerap aku gunakan.

Masih betabah? 

YA.

Tolak tepi hal di atas.

Pernah seseorang yang sedang belajar di universiti tempatan bertanya kepada aku.

Bagaimana dia mahu menjalani hidup dia di masa hadapan. Dari segi kewangan. kerjaya, sosial dan sebagainya.

Mak aih! Susahnya soalan.

Terkedu sekejap aku masa itu. 

Otak terus imbas kembali susur masa hidup yang aku habiskan. Membuat aku rasa yang aku bukanlah manusia terbaik untuk ditanya atau menjawab. Tiada rekod pencapaian yang baik.

Lalu aku terfikir. Soalan ini nampak lebih kepada, bolehkah…Atau mampukah dia menghadapi keadaan cabaran persekitaran era kini dan akan datang.

Pernah kamu duduk melepak lalu berbincang hal-hal sebegini dengan rakan? Secara terang nampak macam tak ada. Tapi sebenarnya secara santai kita melakukan ini setiap hari.

Lalu aku menjawab dan bercerita pada dia, ikut pengalaman aku yang sangat-sangat sedikit.

Aku tekankan pada dia soal kesederhanaan. Bersikap positif. Aku contohkan kemungkin orang-orang jenis macammana yang dia akan jumpa. Ceritakan juga pengalaman jatuh bangun Kak Jen.

Jangan putus asa dengan diri sendiri.

Aku juga berikan pada dia beberapa petua yang nampak entah apa-apa tapi penting.

Boleh memberi peringatan, tapi sedar juga yang dia sendirilah bakal menjalani hidup dia.

Mana tahu dia jadi kaya raya. Menjalani hidupnya dengan cara berbeza, jumpa jenis orang yang tak dapat aku gambarkan lansung.

Aku juga seperti dia bertanya pada orang lain.

PS: Hidup ini ada kalanya aneh.

Saturday, November 28, 2015

S & J

S: Apa seorang wanita gay lihat, bila dia melihat wanita yang lain?

J: Dia melihat seorang wanita juga. Cuma dengan bentuk yang lebih indah, cantik, halus, mencabar, lembut...Dan senarai ini berterusan.

Tapi tidaklah semestinya dia hendak teruja 24 jam apabila melihat wanita.

S: Bahaya tak duduk serumah dengan wanita gay?

J: Bahaya kalau wanita gay itu pencuri, pembunuh bersiri dan lain-lain jenayah. Kalau dia bukan itu semua, tak bahaya.

S: Wanita gay tu tak rasa nak buat apa-apa ke bila duduk serumah dengan wanita lain?

J: Kalau soalan ini bermaksud adakah wanita gay ini akan bila-bila masa melakukan jenayah/gangguan seksual pada wanita serumah dengannya. Jawapannya tidak pada masa sekarang dan tidak juga pada masa hadapan.

Wanita gay tidak semestinya tertarik secara seksual dengan semua wanita yang dia tengok.

Dan jika mereka ada tertarik secara seksual sekalipun, ada kemungkinan mereka akan cuba memenangi hati wanita tersebut sebaik mungkin ataupun cuma sekadar menghindari perasaan itu.

S: Tak apa ke kalau seorang wanita berpeluk atau dipeluk wanita gay?

J: Peluk aje kalau dengan jenis yang selesa di peluk. Kalau dia jenis tak suka sentuhan, tak payahlah.

Tak perlu juga nak peluk dia sakan depan girlfriend dia dan lain-lain. Cukup sekadar peluk dan lepas.

Tujuan nak berpeluk itu pun kena ada. Kalau 'saja-saja friendly', pastikan kedua belah pihak tahu itu adalah 'saja-saja friendly'.

Jika peluk tahniah. Pastikan ada ucapan tahniah.

JANGAN PELUK LEPAS TU SENGAJA NAK CENGKAM SANA-SINI. Wanita gay juga ada perasaan tak selesa.

Hal ini boleh apply pada semua spesis.

S: Macam mana nak tahu wanita itu gay atau tidak?

J: Kalau rasa berani nak tanya. Tanya sahaja.

Kalau dia memang jenis terbuka, jawapan itu akan diketahui tanpa bertanya pun.

Contohnya:

Dia terang-terangan ada girlfriend.

Dia terang-terang memikat wanita.

Dia terang-terang PENGKID.

Kalau dia memang tak mahu orang tahu, sampai bila-bila pun orang tak akan tahu walaupun bertanya.

S: Itu sahaja setakat ini. Terima Kasih.

J: Sama-sama.

PS: Jawapan kepada soalan yang tak pernah orang nak tanya aku.

Tuesday, November 10, 2015

Kepada Kak Jen.

Salam Kak Jen,

Kalau kau baca post aku kali ini, kau akan tahu yang kau sudah di tipu hidup-hidup.

Ingat lagi beberapa minggu lepas kita berchatting beberapa kali. 

Tak? Mari aku ingatkan sikit sebanyak.








Maafkan aku Kak Jen, beribu maaf. Sebenarnya aku tak ada pun girlfriend baru. Aku sahaja bergurau dengan kau. Elise yang aku maksudkan di sini adalah Elise Bauman. Pelakon dari Canada.

Itulah...Bila aku ajak kau tengok Web Series Carmilla kau tengok sekejap dan kata tak best. Tak kena dengan jiwa kau kononnya. Maka gurauan berkasih ini aku cuba.

PS: Pergi tengok Carmilla Web Series di Youtube sekarang!

Berdebar

Aku berborak dengan seorang gadis yang pernah aku sukai dan dia juga pernah menyukai aku.

Tapi atas sebab-sebab tertentu kami tidak menjadi kekasih. Tidak akan.

Aku tahu, aku masih rindu suara itu. Ada rasa berdebar.

Suara dan kata-katanya manis dan bersahaja.

Selepas itu aku bergolek guling atas katil macam anak remaja 15 tahun.

Memang mengada.

PS: Hidup singkat. Hargai orang di sekeliling kamu.

Peratusan

Hari itu jejaka kacak di sebelah bertanya pada aku.

"Jo... Jo tak nak tulis novel ke?"

Lalu aku jawab.

"Nak tulis pasal apa? Pasal cerita kita? Pasal kena friendzone dengan Oppa?"

Dia tergelak besar. Sambil meneruskan kerja macam tiada apa-apa.

Jejaka kacak sama yang buat aku rasa aku ni 95% lesbian dan 5% bisexual.

Ambik kau.

PS: Pandai-pandai aje kan buat peratusan tu.

Saturday, October 3, 2015

Video

Klik video bonus.

Ringkas dan berbulu.


Cerita Satu.

Pada awal tahun ini, di tengah hari Jumaat yang mulia semua staff lelaki keluar bersolat. Tiba-tiba seorang staff perempuan intern memanggil aku. Dia menunjukkan satu video viral di telefonnya. Seorang lelaki berjambang dan bercermin mata hitam menyanyikan lagu Kun Anta.

“ Tengoklah ni, cute sangat kan! Meremang bulu roma tengok dia senyum tahu!” Dia teruja.

“ Wow…?” Itu sahaja respon pura-pura dari aku.

Cerita Dua.

Peristiwa ini terjadi beberapa tahun lepas ketika Kak Jen masih memengkid.

Aku dan Kak Jen melepak di ruang tamu rumah flat sewa dia sambil menonton cerita Tamil. Kak Jen yang cuma bersinglet dan berseluar pendek bangun menari-nari mengikut irama lagu. Aku cepat-cepat ikut serta. Lalu kami pun bergoyang. 

Tiba-tiba aku terperasan sesuatu.

“ Kak Jen! Kenapa?!” Aku menjerit sambil menunjuk ke arah ketiak Kak Jen.

“ Oh, ini! Sengaja aku simpan bulu ketiak panjang sebab member aku ada cakap, lelaki kena bulu ketiak panjang, baru macho!” Kak Jen menjawab bangga.

Terus aku menyumpah kawan Kak Jen di dalam hati, lalu menyuruh Kak Jen mencukur ketiaknya waktu-waktu itu juga.


TAMAT.

PS: Apa cerita ringkas dan berbulu kamu?

Tuesday, September 29, 2015

Tegar

Petang Hari Raya Aidiladha tahun ini kami sekeluarga buat BBQ di rumah. Aku yang beria nak buat. Seumur hidup aku setakat ini,  adalah dua tiga kali sahaja aku sertai aktiviti BBQ, mandi manda air terjun dan aktiviti sosial lain. Bila aku ceritakan pada abang ipar aku, Abang Uda yang sibuk bakar ayam, ternganga dia. 

Iyalah. Gaya aku memang nampak sosial habis, padahal aku sembur minyak wangi, melawa, lalu duduk depan laptop di rumah sambil melukis atau tengok tutorial melukis.

Malam itu sesudah bergilir solat maghrib. Maka mulalah aktiviti melepak di beranda sambil menikmati kesedapan BBQ dan makanan-makanan lain.

Borak punya borak, kami gelakkan Kak Jen yang tak tahu apa itu VAPE. Akhirnya setelah diberi hint beberapa kali,  dia dapat tangkap vape adalah sejenis rokok elektronik. Apalagi, kemain belagaklah dia bila dapat jawapan. Hampir menari hindustan.

Keluarlah pula cerita tentang bahaya merokok dan aktiviti penagihan dadah yang menular di kalangan remaja di kawasan kampung kami ini. Yang menjadi tokan tentulah abang-abang yang kejap keluar masuk pusat pemulihan tapi masih tak insaf-insaf.

Lalu aku buka cerita lama, yang aku sendiri ingat-ingat lupa…

Masa itu aku di tingkatan dua. Sekolah aku anjurkan kempen anti rokok dan anti dadah. Setiap hari dalam  kelas kena baca apa itu dadah dan bahayanya kepada individu, masyarakat dan negara. Berkesan betul kempen itu, sehingga aku dan kawan-kawan memang rasa benci betul pada rokok dan dadah.

Pada suatu tengah hari selepas balik sekolah, berbekal semangat anak muda yang berkobar, aku dan dua orang kawan terkedek-kedek pergi ke pondok Pak Guard asrama kami. Pak Guard asrama kami namanya Pak Cik Min. Umurnya awal 50-an. Kami selalu perhatikan di pondok itu keluar asap berkepul. Jadi kami syak Pak Cik Min merokok di situ.

Kami jengok-jengok dari luar pondok, lalu nampak Pak Cik Min tengah duduk bersandar di belakang pondok menghabiskan sisa rokoknya. Memang sangat tepat waktunya. Tanpa berlengah lagi dan tanpa memberi salam kami bergilir-gilir memberi ceramah percuma pada Pak Cik Min. Terkebil-kebil orang tua itu di atas serangan bertubi-tubi dari kami.

Ayat keramat kawan aku masa itu, 'sebatang rokok pun boleh memendekkan nyawa penghisapnya.' 

Ayat itu juga menukarkan wajah Pak Cik Min yang terkebil-kebil tadi menjadi separa bengis.

Pak Cik Min mengeluarkan sebatang rokok baru, lalu menyalakannya dengan selamba.

“ Aku ni dah berabad-abad hisap rokok masih tak mati lagi. Berapa ramai orang yang tak hisap rokok pun dah mampos awal-awal.”

Lebih kurang begitu kata-kata Pak Cik Min. Panas betul hati kami.

“ Kami nak bagi nasi…”

Kata-kata kami terhenti di situ apabila Pak Cik Min menghisap rokoknya dalam-dalam sebelum menghembus asapnya beberapa kali ke muka kami seorang demi seorang. Busuk betul baunya. Pening lalat aku dibuatnya. Kawan aku dah batuk-batuk kokol sambil menahan pedih mata.

Kawan aku seorang lagi yang berbadan besar sikit hampir hendak menerpa ke arah Pak Cik Min sebelum di tarik oleh aku. Kami cepat-cepat beredar dari situ.

Aku sempat toleh belakang dan perhatikan Pak Cik Min sedang ketawa terbahak-bahak dengan gelagat tiga orang anak dara yang cuba menasihatinya.


Di asrama, pelajar lain pula syak kami yang menghisap rokok kerana bau rokok di baju sekolah. Naya sungguh.

PS: Jangan berani-berani korang nak buat ayat keramat tu pada perokok tegar. Mungkin mereka boleh bertukar menjadi raksasa.

Sunday, September 20, 2015

Istilah

Media sosial kadang-kala memberikan aku sakit kepala.

Ada masanya dulu, konon-konon aku tahu semua perkara. Atau aku mungkin lebih tahu dari orang-orang. Jadi seringnya aku jadi bahan rujukan atau kamus.

Kecepatan teknologi, sembang secara langsung dan global ini buat aku rasa tertinggal jauh.

Aku cerita tentang kerabu manga, orang cakap pasal somtam. Aku baru nak ambil tahu pasal Isis, ada pula Isil, IS? Aku baru nak borak tentang Ellen Page coming out, orang mula cakap tentang girlfriend dia Samantha Thomas? Bila aku buka cerita tentang homophobic orang cakap pasal cisgender. Apa benda tu?

Istilah demi istilah muncul. Terutamanya dalam kamus sosial LGBTQ....*berapa banyak huruf, daa...*

Ada juga istilah yang sedia ada, tapi setahun kebelakangan ini baru dipopularkan. Banyak pulak tu. Sebagai orang yang menulis, penting untuk tahu. Kalau tidak mungkin dicop jahil. Atau mungkin akan memperbodohkan diri sendiri.

Apa pentingnya mengetahui dan mempelajari istilah ini. Untuk kesedaran hal ini itu wujud? Untuk membentuk hidup yang lebih baik? Masa depan yang lebih terdidik dan mendidik? Untuk kegunaan seharian? Atau sekadar untuk orang tahu kita lebih tahu dari orang lain?

Aku keliru. Mungkin juga jahil.

Baiklah.

Imbas kembali... 10/11 tahun lepas.

Masa kerja restaurant dulu. Kami punya manager yang berpendidikan tinggi. Pengkid tapi closet. Ada masa dia lepak dengan kami pengkid yang muda-muda ini. Dia cakap, dia tak boleh betul dengan lessy. Dia cakap dia ok kalau pengkid dengan girly girl. Tapi bila girly girl dengan girly girl, dia geli.

Aku senyap ajelah.Tak nak ikut kata-kata dia secara membuta tuli. Orang lain aku tengok mengangguk aje. Adakah istilah untuk orang seperti manager pengkid ini?

Ada juga perempuan yang hanya suka pengkid. Entah macam mana pengkid dia pelahan-lahan menjadi lebih kewanitaan. Maka perasaan suka itu hilang. Macam mana itu? Kenapa dia tidak suka lelaki sahaja pula? Apa istilah untuk ini?

Kak Jen pula, masa dia mula memengkid. Dia cakap yang sebenarnya dia bukanlah hendak jadi pengkid sangat. Tapi masa itu dengan menjadi pengkid sahaja dia diterima bersama dengan girlfriend dia. Itu sahaja satu-satu caranya yang dia nampak.

Dengan sedikit pengetahuan, aku terangkan pada Kak Jen, itu ini. Memang dia tak faham. Makin keliru adalah. Jadi dia tak berapa kisah untuk ambik tahu.

Sehinggalah aku beri Kak Jen tonton cerita The L Word. Habis 6 season, baru dia tahu kewujudan pelbagai itu ini. Baru dia hendak faham.

Hendak tak hendak terpaksa juga mencari rujuk pop culture. Itu lebih dekat dengan masyarakat. Walaupun bukan semua intinya bagus dan tidak aku galakkan.

Orang yang kononnya tahu itu ini, jangan sabur orang yang tak tahu. Walaupun hakikatnya memang ramai orang jenis sarkastik, troll dan kaki sabur dalam dunia ni. 

Sama sekali tak boleh anggap semua orang tahu apa yang kau tahu. Walaupun dunia makin global, kena ada pemahaman, yang agama, budaya, pendidikan malah geografi kita berbeza. 

Istilah memudahkan. Mungkin juga memeningkan. Mungkin juga istilah yang ada tidak pernah tepat untuk menggambarkan sesuatu.

Apapun istilah baru didengar atau baru wujud, benar atau tidak. Popular atau tidak, jangan ikut memahaminya secara membabi buta. Perlu rajin merujuk sana sini. Fahami penggunaannya. 

Orang yang tak tahu seperti aku. Inilah peluang untuk ambil tahu. Mungkin ada kegunaannya di masa akan datang. 

PS: Mungkin sahaja aku akan bermalas-malas sahaja untuk tahu.



Tuesday, August 18, 2015

Sentap dengan Kak Jen?

Banyak kali aku nak menulis tentang Kak Jen. Banyak kali juga Kak Jen paksa aku tulis pasal dia. Tapi nak tulis hal Kak Jen ini tidak boleh sebarangan. Dia kena ada di sebelah aku. Fakta kena tepat.
Tapi itulah… Setiap kali aku dan Kak Jen melepak aje, laptop memang aku tak dapat nak sentuh. Ada aje projek-projek yang kami perlu laksanakan berdua demi keharmonian sendiri, keluarga dan masyarakat.

Jadi sekarang aku nak main tulis aje. Kalau salah biar Kak Jen tumbuk aku.

Aku dah 33 tahun ini, Kak Jen dua tahun tuanya dari aku. Kak Jen orang tua.

Seperti yang aku selalu maklumkan, Kak Jen adalah late bloomers lesbian. Dalam umur 24 tahun baru dia tahu yang dia lesbian. Ramai orang macam ini.

Kak Jen pernah bercinta dengan seorang sahaja dalam hidup dia. Lalu perempuan itu kecewakan dia.

Sekarang Kak Jen single. Lama dah dia single. Tidak mahu lagi katanya. Taubat. Aku selalu rasa Kak Jen ini jenis cinta satu orang sahaja seumur hidup. Itu adalah sangat bodoh sebenarnya. Tapi, hati masing-masing mana kita nak tahu. Perjalanan hidup mungkin masih panjang, mana tahu Kak Jen bertemu soulmate dia.

Masa mula-mula aku dapat tahu Kak Jen ada awek. Aku tersentap. Padahal aku sendiri pun ada awek juga. Masa itu aku memang OUT aje pada semua orang. Semua orang tahu aku lesbian. Kalau masa itu orang mengutuk pengkid dan lesbian memang kena ceramah percuma dengan aku.

Aku pun bercakap secara serius dengan Kak Jen macam orang yang berpengalaman lama. Malah masa itu aku sendiri mengatakan ini mungkin salah satu fasa dalam hidup Kak Jen. Kak Jen lesbian sebab dia tengok aku lesbian dan ramai orang keliling kami masa itu terima lesbian ini dengan sempoinya. Kak Jen lesbian sebab TREND. Kelakar sungguh pemikiran aku masa itu.

Kau bayangkan aku yang lesbian ini pun masa tu sukar nak terima kakak aku lesbian. Bukan sebab aku marah lesbian. Tapi aku tak sangka Kak Jen lesbian. Bila? Masa sekolah dia yang gelakkan aku pasal lesbian ini.

Masa itu aku lagi boleh terima kalau adik bongsu aku mengaku dia suka perempuan. Pasal adik bongsu layan budak lelaki kasar betul. Tak pulak adik bongsu aku jadi lesbian.

Jadi aku boleh pahamlah sikit-sikit kalau tiba-tiba ahli keluarga yang memang kau tak sangka, mengaku yang dia sebenarnya GAY dan kau sentap. Sentap memang sentap, tapi selepas sentap tu paling penting. Tak akan kau nak pukul dia lepas pengakuan itu. Lepas tu kau paksa dia jangan jadi GAY, kalau tidak putus keluarga. Kau nak ambil parang dan cincang dia.

Sebagai ahli keluarga kau kena cuba bertenang. Tanya dia elok-elok, fahami dia. Kau pun kena jelaskan perasaan kau. Kalau kau tak suka GAY dan tak suka dia jadi GAY sebab agama dan lain-lain. Kau kena jelaskan kenapa kau rasa benda ini salah. Pekara ini makan masa. Kerjasama antara kedua belah pihak amat penting. TOLAK ANSUR. Tak kiralah lepas itu kau ada misi/agenda untuk menjadikan si pengaku tidak GAY. Aku rasa ramai nak buat benda ini. Terpulanglah. Kita masing-masing ada kebenaran yang mahu kita tegakkan di bumi Allah ini. Jangan lupa DOA minta pertunjuk dari DIA.

Pada kalangan GAY pula, nak buat pengakuan kena bertempat dan jangan membahayakan diri sendiri. Kalau keluarga atau kawan kau HOMOPHOBIC tahap membunuh. Nasihat aku, diamkan sahaja. Tak pasal-pasal ada yang mati kena pancung.

Aku ada pengalaman pengakuan AKU GAY pada orang-orang yang aku baru kenal dan dah lama kenal. Reaksinya bercampur-campur. Ada yang tak mahu kawan aku terus. Ada yang pura-pura baik depan aku. Di belakang, akulah bahan ketawa mereka. Ada yang menerima secara positif. Ada yang tak terkejut pun.

Eh, patutnya post ini pasal Kak Jen. Tapi jadi pasal aku pulak.HAHAHA!

Kak Jen masih Kak Jen aku, setiap kali aku buat silap dia akan tegur aku. Setiap kali dia buat silap, aku akan nasihat dia. Kita manusia kena saling ingat mengingatkan.

Sampai sekarang bila kami borak pasal masa lalu, kami mesti gelak punya. Adik beradik dan kawan rapat kami yang lain dah boleh hafal kisah kami ni. Naik jemu dia orang mendengarnya.


Terima kasih Tuhan kerana kau jadikan Kak Jen sebagai kakak aku.

PS: Nantilah aku cerita zaman Kak Jen poyo jadi PENGKID tu...HAHAHA.

Sunday, August 16, 2015

Bila ini Berlaku

Pagi Ahad. Sepatutnya aku dah mandi lalu menikmati secawan Milo panas dengan dua keping roti. Tapi, nah… Itu belum berlaku.

Aku sedang menunggu rakan sepejabat memberi aku kerja yang kami perlu selesaikannya bersama sebelum dateline hari esok. Aku masih menunggu. Inilah rupanya menjadi seorang dewasa. Bekerja demi meneruskan kelansungan hidup dan cita-cita.

Bila kamu seorang perempuan GAY, single, bekerjaya dan berdikari seperti aku, sebenarnya untuk menjelaskan kepada semua yang kamu adalah GAY,  bukan perkara yang paling penting.

Kadang-kala aku biarkan sahaja orang membuat andaian mereka masing-masing. Kadang-kala aku merosakkan andaian orang dengan mengatakan aku ada crush pada lelaki ini atau lelaki itu.

Macam mana nak kata ya. Ada kalanya sekarang aku memang suka tengok lelaki yang baik, handsome, tinggi dan ada body figure yang kemas. Jadi memang terkeluar di bibir aku.

“ Handsomenya mamat tu…”

Jadi apabila mendengarkan ini, maka rakan sepejabat aku seronok sangat. Lalu aku lagilah sengaja menambah gossip itu dengan me ‘heart eyes’ pada lelaki-lelaki itu. Sengaja aku get along dengan gossip tersebut.

Memang ada sesetengahnya yang aku rasakan kalau buat calon suami memang bagus sangat, mak mesti suka, dan tak mustahil juga aku akan jatuh suka. Tapi sebenarnya aku masih aku, masih GAY.

Hal GAY aku ini aku tak kisah sangat orang tahu atau tidak. Pandai-pandailah orang nak mengagaknya atau bertanya sendiri dengan aku. Aku peramah selalu.

Tapi memang ada kalanya mahu jerit,  AKU GAY sekuat hati. Bila perkara-perkara seperti ini berlaku:

Bila orang gossip aku dengan lelaki. OMG. KELAKAR.

Bila ada lelaki yang aku tak suka sibuk mengorat. Lelaki aku suka aku senyum ajelah. Nak cinta semula payah tau.

Bila rakan sekerja mengatakan aku frust menonggeng, lelaki yang aku kata aku crush itu sudah berpunya. OMG. Aku lesbianlah!

Bila mak atau abang paksa aku kahwin dan dia orang  tak faham kenapa blind date yang di aturkan untuk aku selalunya berakhir dengan aku berkawan sekejap sahaja dengan lelaki itu. Oh emak, tak serasi mak. Padahal payah aku nak terima walaupun aku cuba jugak.

Bila aku rapat dengan lelaki ini itu, orang cakap aku kaki flirt. HAHAHA.

Bila orang tanya kenapa aku tak kahwin lagi. Nak aje aku beritahu. Aku lesbian, kalau same sex marriage ini dibenarkan dalam ISLAM, dah lama dah. Dah beranak pinak pun.

Bila aku teringin nak anak. Tapi aku selalu cakap aku nak anak aje tapi tak nak LELAKI. Lalu semua orang mulai pening-pening kepala tak faham.

Bila aku dengar orang make fun pasal lesbian. Sedangkan hari-hari orang-orang yang sama puji aku baik dan sebagainya. Aku lesbian. Aku baik. Aku terasa ya.

Bila orang paksa aku bersosial sana-sini berkenalan dengan lelaki itu ini, sedangkan aku lebih suka melepak dengan adik-beradik aku dan melayan anak-anak sedara. Aku malas nak keluar wei. Penat. Bila keluar sana sini. Sepatunya aku suka dengan lelaki itu ini. Tapi tak. Aku tetap jatuh hati dengan perempuan. Aku jumpa perempuan-perempuan yang baik. Aku boleh jadi sedih bila kena sekerasnya melarang hati aku suka dengan perempuan. Di kehidupan yang singkat ini. Masa itu nak aje aku cakap aku lesbian, aku sayangkan agama aku, dan jangan kacau aku. Let me be single and happy.

Dan lain-lain masa sebenarnya aku happy sahaja, aku bersyukur atas segala kurniaan Allah. Biarlah Dia sahaja menilai amalan aku ini.

Jadi perempuan GAY muslim di Malaysia. Diluah mati mak, ditelan mati bapak. Kenapa aku tak cakap aje pada seluruh dunia yang aku GAY.? Jadi seorang perempuan di Malaysia ini aje dah banyak ketakutan dan diskriminasi yang kena diterima. Tambah lagi jadi perempuan GAY.

Penting untuk aku tidak melukakan hati seorang EMAK yang tak punya satu gram emas pun sepanjang dia melahirkan aku. Ampun mak.

Jadi di sini aku menulis. Meluahkan rasa hati aku. Mungkin rasa hati aku sama dengan rasa hati kamu. Bagi orang yang tidak merasai, inilah dunia aku. Dunia kami. Dunia seorang perempuan GAY.
 
Lesbian bukan sekadar hal sex sahaja, you dirty mind! Sebut aje lesbian lelaki gasang mula terbayang lesbian porn. Tampar karang!


PS: Yang lesbian, pengkid pun sama. Jangan nak memaksa kawan lesbian kau yang alim tu pergi flirting dengan aweks sana sini. Itu bukan field dia. Bila dia ajak kau dengar ceramah agama kau pun tahu nak lari kan!

Saturday, July 11, 2015

Boleh Kahwin atau Tidak

Aku perempuan gay. Lesbian.

Dahulunya penampilan aku pengkid. Dari hujung rambut ke hujung kaki.

Kini boleh dikatakan penampilan aku adalah AKU. Sederhana dan sopan. 

Penilaian orang, aku tak tahu. Malah itu sudah tidak penting lagi. Banyak lagi isu tentang diri aku yang perlu diselesaikan antaranya masalah ketagihan/obsesi, panic attack, kewangan, penambahan berat badan dan lain-lain.

Disebabkan aku menulis blog tentang aku, pengkid, lesbian dan sebagainya maka ramailah rakan baru yang dikenali di internet yang mempunyai persamaan dengan cerita-ceritaku ini. Kami berkongsi cerita malah air mata.

Tahukah kamu, betapa ramai perempuan gay/lesbian muslim di luar sana yang single dan mahu kekal single sebab agama melarang dan mengharamkan hubungan ini?

Adakah mereka tidak gay/lesbian? Mereka TETAP begitu, cuma mereka menahan perasaan mereka. 

Ramai juga yang kahwin dengan lelaki. Ada yang bahagia ada yang tidak. Sama sahaja dengan perkahwinan heterosexual yang lain. Ada yang bercerai dan ada yang berkasih sayang sehingga tua.

Baru-baru ini seluruh USA membenarkan perkahwinan sama jenis. Aku terkejut juga. Terkejut sebab cepat sangat. Aku fikirkan mungkin akan memakan masa lagi tiga tahun. Adakah kerajaan mereka punyai agenda politik yang lain atau apa pun aku tak tahu. Berpuluh tahun jugaklah aktivis di sana memperjuangkan hak mereka ini. Sedikit demi sedikit negeri-negeri di sana telah membenarkan. Sedangkan di USA itu, heterosexual yang beranak pinak tak kahwin berlambak. Golongan LGBT di sana pula bagai nak rak berjuang sebab nak kahwin.

Ya memang dunia ni dah akhir zaman.

Macam biasalah di laman sosial jadi trending panas beberapa minggu. Ramai juga golongan heterosexual yang menyokong perkahwinan ini, termasuklah kita di Malaysia. Tak kiralah muslim atau non-muslim. Golongan yang menentang, mengeji dan mencarut lagilah ramai. Hal-hal haram kan. Sedangkan benda baik macam solat di tempat letak kereta pun muslim kat Malaysia ni jadikan isu.

Maka kisah zaman Nabi Luth dicampakkan, di taip, di reblog dan di link pada serata media sosial. 

Berjuta-juta jumlahnya, sampai aku ini tidur malam lalu terbawa di dalam mimpi. Aku rasa setiap orang dalam golongan LGBT muslim hafal kisah ini lebih dari tukang reblog tu hafal kisah Nabi Musa dengan firaun. Tentang 10 tulah di zaman Mesir dulu. Kisah bahtera Nabi Nuh. Kisah kaum Rom, Kisah Nabi Ibrahim dan isteri-isterinya. Kisah yang banyak menceritakan tentang kaum yang lagha/lalai, politikus yang rakus dan kaum-kaum ini ada yang di turunkan hukuman yang dashyat-dashyat.

Jadi kita perlu sedar, apabila kita sama-sama lagha/lalai. Kita sama-sama kena hukum, tak kira apalah. Dosa sebesar zarah pun kena kenalah bertaubat. Tak ada pengecualian. Tuhan itu adil lagi pengampun.

Pendapat peribadi aku sebagai seorang muslim. Aku tidak menyokong legalnya perkahwinan sama jenis ini di Malaysia. Di USA atau Kanada di mana sahaja biarlah. Tapi pada masa yang sama aku tak adalah nak tembak atau terbalikkan rumah orang yang nak melakukannya. Aku juga teringin negara kita Malaysia mengharamkan heterosexual muslim couple sebelum nikah. BOLEH?

Berbalik pada perempuan gay muslim dan single sebab agama melarang ini. Kau ingat senang nak hidup macam itu. Tapi berdoa ajelah hari-hari semoga perasaan dan rasa ini hilang. 10 tahun… 20 tahun. Entah sampai bila.

Ada aje kawan sesama gay dan lesbian yang gelakkan golongan ini, suruh cari ajelah awek. Buat apa di tahan-tahan. Bla…Bla…Bla. Kita masing-masing ada pegangan sendiri. Maka sila hormati.

Pada golongan heterosexual yang rant kat internet beria sangat tu, aku malas nak cakap apa. Bersamalah kita nasihat menasihati. Sayang menyayangi. Doa mendoakan. Perhatikan betul-betul, mana tahu ada saudara mara sahabat handai teman rapat yang LGBT tapi kamu langsung tak tahu menahu. Fokus pada situ.


Pada golongan LGBT yang kena buli di laman sosial dan terasa macam hendak bunuh diri. JANGAN. Bawa bertenang. Elakkan dari media sosial buat sementara waktu. Entah-entah orang menyampah dengan kita bukan sebab GAY pun, mungkin sebab kita sibuk berselfie bercium sakan sampai orang naik meluat.


PS: Tadi, masa aku bersama housemate, Fifi ke kedai bahan kek. Ada beberapa pelanggan yang tersalah ingatkan aku ini pekerja kedai kek itu. Muka aku macam pekerja kedai kek ke? Muka aku macam ingin membantu? Ganas sangat ke gaya aku ini? Aku utarakan hal ini pada Fifi sambil membetulkan tudung yg senget, jawapan dia mengejutkan dan tidak disangka oleh aku.

“ Sebab kau tak pakai beg tangan, Jo. Orang lain semua pakai beg tangan.”


Friday, May 15, 2015

Super...

AMARAN: Post ini adalah hasil tulisan seorang fangirl. Kalau tidak tahan, sila berundur lima langkah.

Aku seorang TV junkie/movie junkie. Tapi dah tak relevan, sekadar poyo aje.

Di tahun 2015 ini rasanya semua orang adalah TV junkie/movie junkie. Kita generasi yang menonton itu. Jadi apalah sangat aku ini. (Kecuali kalau kau memang jenis tak tengok TV atau wayang itulah kan.)

Imbas kembali.

Sekolah asrama, aku di tingkatan dua atau tigalah lebih kurang. Paling suka sekali cerita Lois & Clark: The New Adventures of Superman. Siarannya ditayangkan di hari sekolah. Bilik TV berkunci dan waktu itu adalah waktu prep malam. Punyalah nak tengok cerita ini. Satu hari dalam seminggu, aku dan seorang senior sanggup ponteng prep dan menyelinap dalam bilik TV. Masa itu salah satu skill aku adalah buka pintu guna dawai besi. Tingkap cermin pulak kami berdua akan tutup dengan gebar. Bunyi TV, kami bisukan dan bergantung kepada sarikata semata-mata. Kalau sesiapa ternampak jugak. Orang itu kami akan ajak tengok sekali sambil pujuk memujuk.

Lepas habis cerita, mesti dua-dua tersengih sambil sep-sep. Aku tak tahulah dia berangan apa. Aku tahu bahagian aku aje.

Terjadilah fantasi aku paling liar,  berangan jadi Superman dan bawa gadisku terbang di langit luas sambil mendendangkan rangkap lagu.

"Bulan madu di awan biru, tiada yang mengganggu. Bulan madu di atas pelangi hanya kita berdua mengecap nikmat cinta…"

Supergay sungguh.

Beberapa tahun selepas itu, ada cerita Smallville. Tapi jarang aku dapat layan. Sibuk belajar, kerja dan lain-lain. Lagipun, entah kenapa aku tak berapa suka sangat cerita dia. Mungkin sebab Superman dia tak terbang-terbang.

Imbas kembali tamat.

Tahukah kamu sekarang, CBS akan menayangkan siri Supergirl? Aku tak tahu bila tarikh sebenar siarannya. Tapi aku dah tengok trailernya pagi tadi waktu subuh. Berguling atas katil, fangirling. Terus aku terbang ke bilik air berwuduk.

Sebenarnya aku fikirkan mungkin 50 tahun lagi baru dia orang akan buat siri ini. Aku ketinggalan betul.

Jangkaan aku tinggi, jadi aku harap CBS tak merosakkan siri ini.


PS: Girl Power!




Thursday, May 14, 2015

Perentas Masa

Lelaki. Perempuan. Pondan. Pengkid….

Masa kita umur tiga bulan. Kita tahu tak apa yang kita akan jadi? Kalau ada sesiapa yang jawab tahu, mari sini aku lempang. Orang yang dukung kau pun kau tak kenal.

Hari itu lepak sama Honey. Di rumah dia. Ada Mr Honey dan Honey Jr.
Borak tentang polisi insurance. Life. Agama.

Aku beritahu dia, mungkin tahun depan aku akan berhenti kerja. Aku masih tak tahu, sama ada aku akan punya pekerjaan atau tidak selepas itu. Tiada jaminan.

Dia menceritakan pro dan con ikut pengalaman dia setelah dua tahun tidak bekerja. Susah dan senangnya. Tentang hidup dia yang sederhana. Banyak dia cerita.

Tanpa aku bangkitkan, minta atau tanya, dia beritahu yang dia tak sangka kami boleh berborak-borak santai  seperti ini. Setelah apa yang kami pernah buat dulu. Sejarah antara kami. Topik yang aku tak mahu sentuh. Topik KAMI. Jadi aku senyum sahaja. Tidak menyampuk dan tidak memberi pendapat. Walaupun banyak benda yang hati aku nak tanya. Soalan-soalan yang tiada faedah pun. Baik aku diam.

Dia beritahu lagi.

“kita ditemukan dulu. Saya dan awak. Ada orang cakap pasal kebetulan, tapi sebenarnya memang dah tertulis sejak azali lagi. Jodoh itu. Jodoh saya. Jodoh awak yang entah di mana tu. Saya lahirkan Honey Jr.”

Memang kalau difikirkan tak logiklah dia pernah bersama dengan aku.

Lalu aku pangku dan peluk Honey Jr. yang bermain depan kami. Kuat dan sepenuh hati aku. Itu sahaja paling dekatnya kami.

Teringat aku masa dulu. Setiap kali kami berjumpa dan berpisah, Honey cakap. 

"Kita tak tahu apa akan berlaku sesaat lagi. Macam mana kalau kali ini kali terakhir kita jumpa." 

Masa itu berderai air mata aku, air mata dia. Siapa sanggup kehilangan orang yang dicintai kan?

Honey oh Honey. Betapa cinta aku membuat kamu sedih.

Bila bicara soal semuanya sudah tertulis, maka aku terbayang hal-hal ghaib. Loh Mahfuz. Qada dan qadar. Penciptaan manusia dan alam semesta. Tentang masa dahulu, masa depan. Tentang kena usaha, yakin, redha dan doa. 

Konsep yang mudah, tapi susah nak faham. Kita mahu bukti sahih depan mata. Kita cuma manusia.

Di hadapan entah akan jadi apa.

Tapi, beranilah kamu wahai kawan. Beranilah wahai hati aku. Beranilah si perentas masa.


PS : Don’t fail yourself!

Wednesday, May 13, 2015

Tali Pinggang Lelaki

Semalam masa aku buka plastik tali pinggang yang baru aku beli di pasar malam, tiba-tiba Fifi housemate aku terus menegur.

“ Laa... Kenapa beli tali pinggang lelaki.” Sambil mata dia kelip-kelip pandang aku. Macam tak pernah tengok.

Adakah soalan ini benar-benar sejenis pertanyaan atau hanya keraguan dan gurauan? Lima saat aku keliru.

“ Bukan ke tali pinggang Jo memang jenis macam ini dari dulu lagi?” Itu sahaja jawapan aku. Jawapan berbentuk soalan. Kening aku berkerut. Muka aku berkerut.

Aku rasa Fifi demam. Sudah empat tahun dia kawan dengan aku.

Berapa banyak gaya rambut aku yang dia dah lalui. Undercut, crew cut, boyish haircut, pixie cut.

Baju aku? Kebanyakkannya kemeja besar. Seluar baggy. Jeans longgar. Malah, Jarang aku nak pakai skinny jeans sebab aku rasa seksi. 

Menambahkan ketaranya lagi, aku selalu aje pakai snapback, beanie dan lilit kepala dengan bandana macam hero hindustan.

Apalah sangat dengan tali pinggang lelaki.

Tak akan sebab setahun ini aku berambut panjang?

Rasanya macam biasa aje perwatakkan aku. Macam selalu  itulah. Macam Jo.

Hmmm. Inilah salah satu sebab kenapa aku masih tak boleh nak terus-terang yang aku ini gay/lesbian dan dahulunya pernah memengkid. Mungkin dia orang akan cool aje. Tapi mungkin juga dia orang akan cuba ‘fix’ aku lepas itu.

Jo pakailah baju perempuan. Jo cubalah pakai makeup. Sesekali bolehlah.

Paling tak seronok nanti jadi kekok pulak kami nak tidur berlonggok kaki bersilang kat depan TV masa hari minggu. Hendak jalan-jalan pegang lengan dan tangan macam selalu dah tak syok.

Ingat senang ke nak terima kawan kau itu sebenarnya lesbian atau gay. Aku cuba letakkan kaki dalam kasut dia orang. Cool aje, tapi kekok. Ada pandangan mata dan rasa yang akan berubah. 

Sebab itu aku kata dia orang belum bersedia. Belum faham aku luar dalam. Sama macam aku belum faham dia orang. Andaian akulah kan.

Toleransi memang akan ada. Tapi banyak benda akan berubah. Itu yang aku tak mahu. Sebab aku bukan sekadar gay/lesbian itu. Aku adalah keseluruhnya. Bukan mudah.

Jadi untuk memudahkan, aku berkompromi. Lagipun bukan setiap pagi aku bangun tidur dan cakap. 

"Aku gay, aku lesbian jadi aku akan jadi se gay mungkin hari ini." 

Aku bangun tidur berdoa. Kemas rumah sikit sebanyak dan senyum.

Jika aku tak mahu memengkid lagi sekalipun, aku tak pilih mahu jadi perempuan yang bermakeup tebal dan berkasut tinggi.

Jadi sekarang biarlah aku dengan tali pinggang lelaki ini.

Semudah itu.


PS : Pagi tadi sengaja aku pakai jeans, bertali pinggang dan berbra sahaja sambil gosok baju di ruang tamu. Biar Fifi tahu betapa seksinya perempuan yang pakai tali pinggang lelaki ni. Daaaa…Dia tak heran pun. 

Sunday, March 22, 2015

Dua Kisah

Beberapa minggu lepas, panas di laman sosial tempatan gambar seorang selebriti Malaysia bergambar seksi  di majalah dengan berselimutkan bendera USA.

Pertama kali tengok gambar tu, jujur kepala otak aku terus cakap.

“ Wow, cantiknya dia!”

Tengok lagi. Aku telan air liur dan cakap.

“ Confirmlah kena bash masyarakat lepas ni.”

Beberapa hari sebelum itu, aku terima pemberitahuan. Salah satu gambar di tumblr blog aku telah di reblog sebuah tumblr yang penuh gambar tak senonoh dengan kapsyen provokasi. Padahal gambar di tumblr blog aku itu adalah gambar perempuan muslimah, tutup aurat. Tak boleh jadi!

Tengah-tengah malam itu juga aku terus email pada staff tumblr untuk keluarkan gambar tersebut dari tumblr blog tak senonoh tadi. Tak sanggup aku memikirkan gambar itu akan jadi bahan ‘fap’ lelaki hidung belang seluruh dunia. Sehari lepas itu, staff tumblr balas email aku mengatakan gambar itu telah mereka keluarkan. Terus aku tengok semula tumblr tersebut untuk pastikan hal tersebut. Tumblr itu juga telah di tutup serta-merta.

Bila aku fikirkan semula, dengan kewujudan pesat pelbagai jenis blog/apps untuk orang tengok atau post gambar perempuan/lelaki yang cantik dan kacak, tak kiralah menutup aurat ataupun tidak. Sudah tentu jugalah ada berapa ramai jenis manusia di luar sana yang menjadikan gambar-gambar yang tersebut itu sebagai bahan ‘ fap fap fap’.

Aku yakin, gambar selebriti wanita tersebut telah pun jadi bahan ‘fap’.

Pernah aku nasihat pada anak sedara lelaki aku yang cuba-cuba hendak tengok wanita seksi lama dulu. Nasihat yang bunyinya lebih kurang begini.

“Dalam dunia ni memang ada orang tak jaga maruah dia, tapi kitalah yang kena tolong jaga maruah dia. Kamu jaga maruah kamu. Tak payah nak tengok-tengok sangat… Faham? ”

Panjang lagilah nasihat aku. Dia angguk-angguk. Entah faham entah tidak budak itu.

Aku, Kak Jen dan Abang Ngah diberi kesempatan ke pengembumian kawan baik emak di kampung kami minggu lepas. Hari jumaat perginya, Sabtu pagi dikebumikan. Orang tak ramai di kubur. Jadi dapat kami tengok dengan jelas, anak-anak lelaki angkat arwah emak mereka dan di letak sempurna di liang lahat.

Dari hujung rambut sehingga hujung kaki, di tutup kain kafan putih. Kubur di kambus tanah. Talkin dibaca. Cuaca panas, tapi angin bertiup senang.


Aku dan Kak Jen sama-sama sebak. 
Dan dua kisah di atas saling berkait rapat.

Thursday, March 5, 2015

Lagu Titanic

Malam itu gelap. Nyamuk pulak banyak. Tak cukup kawasan rumah teres, rumah flat pun nyamuk nak berhabitat.

Aku teringat Kak Jen.

“Seronok jugak kalau video call orang tua ni.” Getus hati kecilku.

Aku hubungi Kak Jen untuk video call. Borak punya borak, tiba-tiba wajah Kak Jen berubah menjadi ceria luar biasa.

“ Adik, aku dah tahu main lagu Titanic! Kejap aku ambik gitar.” Kak Jen memberitahu dengan nada suara gembira.

“ Wah, betul ke?” Teruja aku mendengarnya. Berdebar ada, bangga ada, tercabar pun ada. Mesti setiap hari Kak Jen berlatih tutorial di youtube.

Dalam pertengahan tahun lepas, Kak Jen membeli gitar kapok yang telah lama di idamkannya. Banyak kali juga aku buat ayat mematahkan semangat Kak Jen dengan mengatakan beli gitar ni membazir sahaja sebab dia bukannya tahu main dan sering hangat-hangat tahi ayam sahaja. Nampaknya kali ini tekaan aku meleset sama sekali.

Kak Jen muncul kembali penuh dramatik dalam video dengan gitarnya. Dia duduk pegang gitar dengan penuh bergaya sekali. Terkelip-kelip mata aku menanti dengan penuh berdebar.

Satu…Dua…Tiga…

“ Kusangkakan panas berpanjangan…” Kak Jen mula menyanyi-nyanyi sambil menggoreng gitar dengan membabi buta.

“Cis Kak Jen! Blahlah” Jerit aku sambil menggulingkan tubuh beberapa kali.

Kak Jen tak peduli.

Enam ekor nyamuk mati aku tumbuk.


PS: Mana ada lagu tajuk Titanic. Patut aku dah tahu masa tu jugak.

Sunday, February 8, 2015

Tanya Sama Honey

Dua tiga menjak ini banyak pula interaksi antara aku dan Honey.

Bertanya. Mendengar.

Malam itu sedang aku tonton siaran berita. Keluar isu rotan. Lalu aku terkenang cara mak ayah didik aku masa kecil dulu. Lalu terbayang cara adik-beradik aku didik anak mereka masing-masing. Macam-macam fi’il. Ada yang garang ada yang sempoi aje.

Aku juga teringatkan Honey. Entah macam manalah Honey sebagai ibu. Macam mana dia didik anak lelaki dia? Ada ke dia rotan?

Segera aku menaip SMS ringkas.

‘Honey ada rotan Honey Jr tak?’

Lama lepas itu, SMS aku dibalas. Classic Honey, satu rangkap soalan akan dia jawab dengan jawapan yang panjang berjela. Salah satu perkara unik pada dia yang buat aku rasa dia seorang yang sangat memberi.

Balasan SMS Honey.

‘Dalam adik beradik saya, sayalah yang paling tak pernah marah anak. Saya and Mr Honey both tak pernah pukul rotan tarik telinga atau apa-apalah. Marah pun dua tiga kali je. Hehe.

Tapi saya pernah cubit dia dua tiga kali sebab geram sangat, penat sangat. Pernah tepuk pampes dia sekali.

Honey Jr cepat nangis macam ummi dia. Tak boleh kena suara tinggi sikit, mesti dia nangis. Memang everytime saya malas nak layan dia, buat dia nangis, saya mesti hug dia lah, cakap ummi sorry. Bagitau dia apa salah ummi, pastu dia hug ummi, salam ummi.

Tapi dia tahulah, bila ummi atau abah marah dia. Nanti dia mesti depakan tangan nak hug. 

Kalau saya cakap.

"Ummi tak nak kawan Honey Jr lah, don’t talk to me, pergi kat abah."

Nanti dia nangislah. Pastu nanti dia betulkan salah dia. Pastu ummi yang nangis sekali, tepuk-tepuk bahu ummi.

Kelakar kan? Tapi saya selalu bebel kat dia. Sambil kemas toys dia, mulut potpet-potpet. Kalau ada abah dia, dia orang genglah. Sebab dua-dua suka sepahkan rumah, ummi yang kena kemas.

Abah selalu cakap, Honey Jr cucu paling selalu menangis dan paling mudah senyum. Huhu. 
Nanti Aunty Jo jumpa Honey Jr… Dia memang aktif sangat.

By the way. Pasal isu rotan sekarang memang Islam mengharuskan rotan at certain age. Tapi boleh punggung ke bawah je. Tangan, muka semua tak boleh. Dan rotan-rotan sayang je tak boleh menyakitkan. 

Nanti Honey Jr seven years memang nak gantung rotan kat wall macam sahabat-sahabat nabi buat. Tapi parents kena soleh dululah. Baru merotan dan apa jua berlaku dalam keberkatan. Bukan sebab emosi atau kepentingan peribadi. Semua ikut lillahitaala. Ikut nabi.

Islam perfect dah. Semua Allah dah ajar. Macam nama nak kahwin, nak cerai, nak susukan anak, nak didik anak-anak bab-bab ibadah, solat, puasa, haji. Semua dah bagi step by step. Daily life pun Allah dah ajar macam mana nak makan, minum. Nak makan apa. Macam mana nak berak, nak masuk toilet, nak jaga rumah, naik kereta, nak kahwin dengan siapa. Nak belajar apa, nak baca apa, semualah.

Kita manusia, hamba Allah tinggal nak ikut je, buat je apa dia suruh, tinggalkan apa dia tak suka.

Doakan kita orang ya. 

Honey Jr anak yang baik. Sweet sangat saya rasa. Kadang-kadang saya termenangislah. Allah bagi saya anugerah macam Honey Jr walaupun saya selalu lupa kat Allah, banyak dosa.

Allah pun mesti bagi you something precious, sebenarnya Allah bantu untuk kita selalu ingat kat Dia.’

Aku membaca rantaian SMS itu dengan senyuman. Memang panjang betul.

PS: Honey sedang mengandung anak ke-dua. Tahniah!

Thursday, January 8, 2015

Pengkid Pemurah?

Kadang-kala aku rasa bukan orang dari zaman sekarang.

Aku tidak pernah naik kapal terbang.

Aku tidak punya smart phone.

Aku tidak pernah online shopping.

Itu sahajalah.

Mitos mengatakan pengkid pemurah dan pengkid banyak duit. Terutamanya pengkid gemuk.

Aku gemuk. Aku pokai.

Topik kali ini bosan. Ah! Baca ajelah.

Tengah hari itu selepas makan, aku dan Fifi berborak.

Fifi: Jo, dulu masa kau dengan Naruto,  kalau keluar siapa yang bayar?

Jo: 70%, Naruto.

Fifi: Jadi, bagi Jo lelaki patut kena bayarlah kalau keluar dengan perempuan?

Jo: Tak, sepatutnya kongsi. Bayar sama-sama. Dalam kes aku dan Naruto, dia tu selalu trick aku. Tau-tau dia dah bayar awal-awal dah. Tapi oklah kot, sebab kalau nak ke mana-mana pun naik kereta aku. Ada jugalah masa-masa dia suruh isi minyak, tapi aku buat bodoh aje sebab aku tahu dia nak bayar duit minyak aku jugak.

Fifi: Baiknya Naruto.

Jo: Baik sangat sampai menyampah pun ada. Lawak pun ada. Kalaulah dia terkena jenis perempuan ambik kesempatan. Pokailah dia.

Itu bicara soal hubungan heterosexual.

Macam mana kalau perempuan dan perempuan, khususnya pengkid dan kekasih dia. Siapa yang akan bayar kalau keluar bersama?

Mesti ramai yang jawab dah tentu pengkid yang bayar.

Kita ambil kisah Kak Jen masa dia ‘memengkid’ dulu. Kak Jen bukan setakat bayar setiap kali keluar. Malah duit gaji semua sekali dia serah bulat-bulat pada awek dia. Kalau nak belanja atau apa sahaja, baru dia akan mintak. Kalau kau kenal Kak Jen secara peribadi sekarang, kau akan tahu betapa Kak Jen kira duit dia, perbelanjaan dan semua sekali. Silap-silap haribulan kau akan kena pow lagi dengan Kak Jen. Adakah kau jenis pengkid seperti Kak Jen dulu? Atau adakah kau awek si pengkid yang ada akses utama pada semua duit pengkid kau?

Pernah aku borak hal ini dengan Bond. Selalunya dia yang akan bayar kalau keluar dengan awek dia. Awek dia pun ok sahaja, tak adalah nak menghalang. Situasi dia dengan awek sekarang aku tak tahu. Adakah kau jenis Bond?

Ada juga kawan aku seorang yang bergaji besar. Dia nak bayar, tapi pengkid dia berkeras nak bayarkan apa pun. Kalau tak silap aku gaji pengkid dia besar sikit dari dia. Perkara ini buat dia selalu rasa serba salah. Dalam masa yang sama dia tak mahu bertekak. Adakah kau berada dalam situasi ini?

Ada juga cerita yang aku pernah dengar. Pengkid yang hidup dengan duit awek dia. Pakai kereta awek dia. Sewa rumah pun awek bayarkan.  Di belakang kikis lagi duit awek lain berbekalkan wajah yang kacak dan ayat-ayat manis. Tipu sana sini. Jenis penipu ini jarang dijumpai, tapi mereka ada di mana-mana dan mereka berbau sangat wangi.

Masa aku dengan Preity, zaman belajar.  Aku memang senang hati nak bayar kalau tengah ada duit. Dia pun selalu belanja aku. Bayar makanlah. Kebanyakkan masa, kami pakai duit keuntungan bisnes kami kalau nak belanja sakan. Tak pula aku bayar barang yang dia beli, atau dia bayar barang yang aku beli. Bayar sendiri.

Honey. Keluar makan, lepak atau hiburan, aku bayar. Masa itu aku dah kerja, walaupun gaji aku tak banyak mana. Rasanya memang  patut aku yang bayar. Banyak kali juga dia bising pada aku supaya jangan pemurah sangat pada dia. Bila dia bayar aku rasa tak suka sebab dia belajar lagi. Ada masa, mak dia bagi duit pada aku dan bila aku tolak. Dia mesti bisik:

“ Ambik Jo. Mak bagi tu, mak tahu awak selalu bagi saya makan.”

Entahlah, ada kalanya aku sendiri rasa happy sahaja bila membayarkan. Mungkin itulah Naruto rasa masa dengan aku. Rasa macam MACHO bila bayar. Adakah kau jenis ini?

Macam mana pula dengan pengkid yang tinggal serumah dengan pasangan dia dan sama-sama sudah bekerja?  Berkongsikah atau salah seorang sahaja yang tanggung semua? Ada satu pasangan yang aku kenal ini. Seorang cikgu sekolah. Si pengkid pula bekerja swasta. Malah sudah punya anak angkat bersama. Soal kewangan semuanya di kongsi bersama.

Ada ke pasangan yang pengkid urus rumah tangga sepenuh masa, awek pula kerja? Aku belum jumpa lagi yang semacam ini.

Kalau kau memang urus rumah dan pengkid kau kerja, lain sikit caranya lalu pandai-pandailah urus dengan cara terbaik dan tidak bebankan kedua belah pihak.

Jika kau seorang pengkid dan bila baca ini kau lalu rasa awek kau sekarang kaki kikis. Jangan fikir panjang sangat. Nasihat aku, tinggalkanlah dia. Ramai juga pengkid yang jadi mangsa awek macam ini. Awek nak apa sahaja si pengkid sanggup disediakan sehingga tak cukup duit gaji. Awek kau cun macam Emilie Voe Nereng ke yang kau tak sanggup nak lepaskan sangat tu? Hendak teruskan juga? Risiko tanggung sendiri.

Sebagai pasangan, andai kau kerja, dia pun kerja dan di sini kita bercakap soal BERSAMA. Kau dan dia SAMA aje. Jadi eloklah sama-sama membayar. Aku tahu ramai di luar sana pengkid memang jenis baik hati, pemurah tak bertempat, maka janganlah awek-awek mengambil kesempatan.


PS: AMARAN- Istilah ‘memengkid’ hanya boleh digunakan antara pengkid dan pengkid sahaja.


Thursday, January 1, 2015

2015

Selamat tahun baru 2015. Ya kepada kamu.

Tahun 2014 boleh dikatakan antara tahun yang banyak menduga. Bukan aku sahaja, malah semua orang pun. Hebat macam mana pun rancangan kita, lagi hebat rancangan Allah Yang Maha Esa.

Membuka tahun 2015, aku ingin bersyukur atas beberapa perkara :

1-Bersyukur sebab aku tak ada awek.

2-Bersyukur sebab awek yang aku crush tak crush aku semula.

3-Bersyukur dengan famili.

4-Bersyukur housemates aku kuat makan dan straight.

5-Bersyukur di tempat kerja sekarang aku di apit oleh jejaka-jejaka kacak.

Perkara-perkara ini sikit sebanyak buat aku rasa lega.

Banyak perkara lagi yang aku syukurkan. Tapi biarlah antara aku, doaku dan Tuhan.

Aku berharap semoga 2015 ini dapat mematangkan dan menjadikan aku lebih bijak dalam menghadapi apa sahaja cabaran.

Seperti biasa dalam kepala ada banyak projek yang  hendak dilaksanakan. Aku pun tak tahulah apa lagi yang diri aku nak buat ni. Aku kerja sepenuh masa. Aku dah ada satu blog, dua tumblr, dua twitter, satu instagram dan mungkin akan tambah lagi lepas ini. Sibuk tapi tak peduli, tak berhenti.

Nasihat dari aku untuk aku sendiri dan kamu juga tahun baru ini selain lintas jalan jangan lupa pandang kiri kanan ialah sila dengar AZAN, fahami dan hayati.

Dan satu lagi. Jodoh, sila sapa aku tahun ini.


Followers