Showing posts with label malaysia. Show all posts
Showing posts with label malaysia. Show all posts

Tuesday, October 30, 2018

Tentang Diversiti


Cerita.

Selagi tak ditulis. Selagi itulah ia akan bermain di minda aku.

Minda seorang perempuan yang seorang.

Ahad yang indah, sedang aku menyapu habuk dan jaringan labah-labah di sudut-sudut sempit di rumah sewa kami, Cik Cut beritahu ada kawan dia nak datang untuk cubaan make up kahwin.
Menurut Cik Cut, kawan dia ini nak kahwin pada bulan 12 nanti.
Sebelum ini Cik Cut dah buat cubaan make up untuk dia, tapi kawan dia tak berapa suka make up itu, katanya nampak seperti mak datin.

Cik Cut perlu cuba make up gaya lain supaya nampak lebih natural.
Cik Cut beritahu aku lagi, kawan dia ni comel orangnya. Aku sengih aje.
Perangai Cik Cut memang macam ini, kalau ada orang nak datang rumah dia akan beritahu aku, orang itu comel lah, lawalah, cantiklah.

Lepas mengemas rumah, aku menikmati nasi lemak telur mata yang Cik Cut beli. Apabila aku hendak membayar harga nasi tersebut, dia menolak. Terima kasih Cik Cut. Alhamdullilah. Rezeki Allah beri.

Lepas mandi dan tepek bedak carrie di muka, aku susun laptop dan membentang toto narita di ruang tamu. Ustazah balik kampung dari semalam. Inilah peluangnya untuk aku menakluk ruang tamu rumah sewa kami yang keseluruhan besarnya cuma lebih kurang 700 kaki persegi sahaja.

Aku ajak Cik Cut melayan siri The Haunting of Hill House. Sebab utama aku beria ajak dia adalah aku nak sangat tengok cerita ini. Ratingnya tinggi. Aku tak berapa berani nak layan genre horror. Biarpun di siang hari terang bederang. Hati tikus!

Kami melayan sampai ke episode tiga. Berhenti untuk solat zohor, selepas itu kawan Cik Cut pun datang. Aku berlari-lari anak tukar seluar pendek aku kepada seluar panjang. Mana tahu dia tak selesa dengan kaki aku yang seksi ini.

Aku buka pintu sambil menjemput kawan Cik Cut masuk. Muda sangat lagi  orangnya di mata aku. Wajahnya kebudak-budakkan, mata sepit, kulit putih sedikit jerawat halus, bertudung dan bersaiz comel susuknya. Mungkin inilah yang dimaksudkan comel oleh Cik Cut. Aku namakan dia Cik Putih.

Cik Cut bersedia dengan kotak alatan makeupnya. Cik Putih beberapa kali meminta maaf kerana mengganggu hari minggu kami, lalu menyuruh aku meneruskan tontonan sambil Cik Cut menyolek dia. Aku pun terus terang memberitahu dia cerita ni ada adegan tak sesuai sedikit. Dia kata dia ok dengan itu.

Sedang melihat episode demi episode seterusnya aku dengar saja komen-komen dari Cik Putih. Terutamanya tentang watak LGBT dalam siri ini. Dia menyuarakan kebimbangannya mengenai peningkatan keterbukaan untuk watak LGBT ini diwujudkan dalam setiap siri TV mat saleh di masa kini.
Cik Cut pula seakan mengiyakan tanpa punyai pendapat sendiri. Mulanya aku senyap sahaja, dengar. Tapi sampai dia eee…eee itu yang aku rasa aku perlu memberi ‘sedikit’ pandangan tidak dipinta aku pada dia.
Tambah lagi bila dia kata kalau perempuan dengan perempuan dia OK lagi, lelaki dengan lelaki dia geli.

Pagi tadi, masa tonton episode satu dengan Cik Cut, aku ada beritahu yang cerita mat saleh yang bagus kena ada diversiti dalam wataknya. Kena ada lelaki, perempuan, orang tua, muda, warna kulit juga seksualiti selain plot yang menarik. Sebab itulah rating cerita ini tinggi, dalam cerita dia ada watak white people, black people, asian, lesbian dan lain-lain.

Jadi aku ulangi semula penyataan aku ini pada Cik Putih pula.

Aku tanya pada Cik Putih dan Cik Cut, mereka ada kawan-kawan lesbian atau gay tak?
Dua-dua geleng kepala.

Cik Putih cuba ingat-ingat, katanya dulu adalah member perempuan dia couple dengan pengkid atas alasan nak insafkan pengkid tersebut, nak membentuk pengkid itu jadi perempuan semula. Aku tersedak angin.

Apa penafian punya alasan member dia itu. Couple dengan pengkid ini menambahkan lagi darjat pengkid tersebut sebagai pengkid adalah. Aku ada juga dengar perkara mengarut seperti ini dahulu. Kesudahannya tak ada siapa yang berubah pun.

Macam mana hendak aku mendidik mereka berdua sedikit tentang LGBT?
Dalam keadaan aku tidak mahu mendedahkan diri sebagai seorang LGBT?
Secara ringkas, mudah dan tidak nampak seperti aku berat sebelah?
Aku mahu mereka sendiri berfikir juga.

Lalu aku cuba menjelaskan tanpa aku meyatakan aku LGBT dengan meletakkan diri aku sebagai orang yang berada di atas pagar.

Aku katakan, perasaan aku pada LGBT ini bercampur sebenarnya. Simpati pun ada. Bukan mereka ingin menjadi LGBT dan sebagainya. Malah ramai sahaja yang mahukan kehidupan seperti biasa.

Masalah selalunya timbul apabila menafikan diri mereka LGBT pada diri sendiri lalu cuba mengikut terma-terma masyarakat. Akhirnya terjadilah penyiksaan pada diri LGBT tersebut dan orang yang tidak LGBT yang terlibat dalam perkahwinan dengan LGBT yang tidak bahagia dan sebagainya. Kalau ada yang bahagia pun, tidaklah banyak.

Aku beritahu lagi, LGBT ini ada yang biseksual. Kalau yang biseksual ini kau tak tahu pun dia berminat pasangan sejenis, jika dia kahwin dengan pasangan lain jantina dan bahagia maka sampai matilah pasangan dia tak tahu dia gay.

Jadi LGBT ini sangat serba salah. Kalau beritahu keluarga, kemungkinan besar akan dihalau. Silap-silap dicederakan dan dinafikan kemanusiaan pula.

Patutnya masyarakat terima golongan gay seadanya. Supaya gay boleh menerima dan mengakui diri mereka sendiri dengan apa yang diberikan oleh Tuhan ini. Terima seadanya bukan bererti menyokong. Contohnya apabila ada anak yang gay dengan selesa boleh memberitahu mereka gay pada keluarga. Keluarga tahu dan terima seadanya dan melayan dengan kasih sayang. Diberikan tempat yang selamat. Jelaskan dari sudut agama dan sebagainya. Tidaklah anak yang gay itu melakukan sesuatu yang liar, memberontak dan sebagainya. Mungkin mereka boleh memperbaiki diri menjadi warga masyarakat yang lebih baik.

Aku juga memberitahu yang masyarakat kita ini mempunyai toleransi yang tinggi. Tidaklah sampai semua gay kena kejar, dibunuh dan dikejami. Bercerita juga serba sedikit tentang gay rights di luar negara dan bezanya di sini. LGBT di Malaysia mungkin akan menuntut hak kesaksamaan, hak berkahwin dan hak dihalalkan seksualiti mereka. Tetapi terpulang pada perlembagaan kita akhirnya.

Banyak lagi aku beritahu pendapat aku pasal hak kesaksamaan ini. Termasuklah pasal kaum di Malaysia. Geleng kepala aku bila Cik Putih cakap, kaum Cina dan India ini sekadar pendatang dan tak boleh ada hak sama rata seperti orang Melayu. Terpaksalah aku menceritakan sedikit ringkas tentang sejarah kedatangan orang Melayu ke bumi bertuah ini, penjajahan, migrasinya orang Cina dan India di sini. Perang Dunia Pertama dan Kedua. Pejuangan nasionalisme, kemerdekaan serta pengaruh arab Islam yang datang sebelum dan selepas kemerdekaan.
Hampir menangis aku bila Cik Putih kata selama ini dia ingat Portugis, Belanda dan Inggeris itu orang yang sama…

Aku nyatakan, lambat laun, entah dua tiga puluh tahun lagi. Mungkin seratus tahun lagi. Keistimewaan orang Melayu tidak mustahil akan hilang.

Aku tidaklah menyatakan sokongan aku pada hal ini. Cuma kita sebagai orang Melayu kena sedar bahawa kita kena bersaing dengan lebih kuat dengan bangsa lain secara sihat. Kita patut sedar bahawa tanah air ini adalah tanah air kita bersama. Sama-samalah kita berusaha untuk memajukan dan saling bantu membantu antara satu sama lain. Bukan menjatuhkan dan berdelusi merasa lebih baik.

Berbalik kepada siri TV ciptaan mat saleh. Tidak semestinya apa yang mereka paparkan itu bagus dan betul. Tetapi itu adalah gaya penceritaan masyarakat mereka.

Kita asyik berada di tahap yang sama, plot cerita pun sudah tak original lagi. Semuanya asyik ikut acuan yang itu-itu sahaja.
Iya, aku sangat faham akan keterbatasan dalam berkarya yang ada. Juga kehendak pasaran lokal yang tidak membantu. Sambil itu, sempat aku promosikan filem Gol dan Gincu Vol 2.

Aku bercakap sehingga aku rasa cik berdua itu pun nampak bosan dengan hujah aku.

Aku tegaskan pada mereka, ini adalah pendapat aku sahaja. Mereka ada hak bersetuju untuk tidak bersetuju. Jika tidak setuju maka bantahlah dengan alasan yang mereka betul-betul yakin. Malah aku galakkan mereka membantah pendapat-pendapat aku ini, cari hujah lain. Malah aku sendiri masih mengkaji untuk membantah pendapat aku sendiri.

Cik Cut sambung make up sampai siap. Aku goreng jemput-jemput jagung. Kami makan bersama. Berbual hal ringan.

Selepas Cik Putih balik, aku katakan pada Cik Cut, aku terima diri aku yang tomboy ini seadanya, jadi aku sempoi ajelah dengan gaya aku.

“Alah…Akak tomboy aje kan bukannya lesbian pun.” Dia cakap pada aku.

Aku cuma sengih. Aku tak iyakan, tak nafikan. You know nothing Jon Snow…

PS: 4 ½ bintang untuk The Haunting of Hill House.



x


Monday, October 29, 2018

Borak Panjang



Aku ada diploma saja.
Kalau lihat semula, ada sedikit kecewa. 
Kenapa dengan otak yang masih segar ni. Aku cuma ambil diploma saja?

Tapi, bila difikirkan situasi  masa itu, kenaifan dan kejahilan aku, keluarga dan sebagainya. 

Aku redha dan bergerak pantas dari situ.



Salah seorang housemate, kuberi nama Cik Cut. 

Cik Cut ini umurnya 25 tahun. Ayah kandungnya sudah tiada. Ibu tuanya pula meniaga nasi lemak. Kiranya bukan dari keluarga yang senang. 
Kiranya persamaaan aku, ustazah dan Cik Cut, kami masing-masing orang bujang yang sudah ketiadaan ayah.

Dia bekerja secara kontrak di sebuat syarikat swasta. Di samping itu, kerja sambilannya sebagai jurusolek. Netizen panggil MUA. Self taught makeup artist yang baru berjinak-jinak dalam bidang ini. Orangnya kelakar juga, fasih berbahasa Inggeris dan suaranya sesuai untuk buat voice over iklan TV atau radio.

Selepas  menyertai gotong-royong penduduk di hari minggu, aku dan Cik Cut borak bersama. Jarang sebenarnya nak lepak walaupun satu rumah. Masing-masing ada kelompok kawan-kawan yang berlainan dan waktu kerja yang tidak sama, lagipun aku sibuk mengadap komputer menyelesaikan commission drawing dan kerja-kerja lain.

Kami berborak tentang harga rumah yang semakin meningkat. Gaji pokok yang rendah. Ramai pekerja yang kehilangan kerja selepas PRU14 oleh kerana penstrukturan semula syarikat.

Sedang aku dan Cik Cut saling memberi idea bagaimana untuk menambahkan pendapatan, dia tanya aku.

Cik Cut: Kak, macam mana kita nak tahu keputusan yang kita buat tu betul ya?

Aku terdiam kejap. Layak ke aku jawab soalan ni? Hmm…Boleh.

Aku: Keputusan yang betul untuk diri kita adalah apabila kita buat keputusan ikut 
kemampuan kita.

Cik Cut: Macammana tu kak?

Aku: Contohnya, apabila kita kena buat pilihan. Kita kena tengok kita mampu tak untuk ambik pilihan itu. Tahap mana pilihan itu akan menyusahkan dan menyenangkan kita di masa akan datang. Kalau pilihan itu akan menyebabkan kita sengsara, maka keputusan kita itu salahlah.

Cik Cut: Contohnya kita dah ambik keputusan macam ini. Tapi ada orang kata, kenapa kau tak buat macam ni. Ada orang lain pulak kata, kau patut buat macam ini… Macammana kita nak tahu betul ke tidak nasihat orang tu?

Soalan yang baik. Aku sengih.

Aku: Cuba buat macam ini. Kau kena kumpulkan semua nasihat yang orang beri. Secara detail. Kalau boleh tulis, kau tulis. Kemudian kau bandingkan nasihat orang itu dengan keputusan kau. Kalau nasihat orang itu betul-betul bagus dan baik untuk kau, berbanding pilihan kau sendiri, maka kau boleh ambil nasihat orang itu. Tapi semua pilihan ada risikolah.

Cik Cut terkebil-kebil.

Aku: Kita tak bolehlah tak nak ambik risiko langsung. Mana ada hidup yang macam tu. Kita bukannya kaya, harta warisan pun tak ada. Jadi kita kena susun strategi betul-betul. Kadangkala apabila kita dah rasa kita buat keputusan yang betul pun tapi akhirnya masih salah lagi. Kita kena belajarlah dari situ. Kena redha. Kena usaha lagi.

Cik Cut: Tapi orang suka kata macam-macam bila saya buat keputusan.

Aku: Orang memang akan kata macam-macam. Kau pernah dengar tak kisah keldai dan dua beranak tu? Dia orang pergi satu kampung ke satu kampung. Lepas tu orang suruh turun naik keldai tu. Semua orang ada pendapat dan nasihat lain-lain.

Cik Cut angguk, sambil tersengih.

Aku: Semua orang akan bagi nasihat ikut kemampuan dan nilai mereka, akhirnya yang nak tanggung adalah kita sendiri. Pilih dan buat keputusan ikut kemampuan kita. Ukur baju di badan sendiri. Kuatkan semangat, usaha. Jangan lupa doa pun. Itu senjata kita.

Aku menjelaskan lagi.


Cik Cut: Itulah dia… Kadang-kadang susah nak buat keputusan bila orang bagi pendapat itu ini. Pening.

Aku: Belajar tegas, belajar kata tak boleh dan tak ada jika kau memang tak ada. Penat kita kerja siang malam. Cari duit sendiri kan. Lagi satu kalau ada orang cakap kat kau duit bukan segala-galanya. Kau tampar dia dua kali. Bagi dia sedar.

Cik Cut gelak.

Empat jam kami borak tak berenti.

PS: Lepas borak ni kepala aku terus migrain.



Sunday, August 12, 2018

Honey yang Sekarang

Ada masanya aku borak dengan Honey. Dalam WhatsApp. Pasal agama, family, anak-anak, politik, isu semasa dan pelbagai hal lagi.

Setiap kali kami berborak, aku dapati Honey sebenarnya tak ingat pun aku, sebagaimana aku mengingati dia.

Setiap kali aku cuba utarakan hal-hal dahulu, ingatannya amat kabur.

Aku pula, bagai ingin menafikan, menganggap kata-kata dia cuma gurauan. Seolah-olah aku tak dapat terima kenyataan cinta dia kepada aku tidak seperti yang aku fikirkan.

Ya, kami pernah bercinta. Saat itu, ketika itu. Semasa usia aku masih 23 tahun, dia pula 18 tahun.

Cinta yang merubah pemikiran aku tentang banyak hal. Menjadikan diri aku hari ini. Lalu ketika itu aku berduka lara kerana cinta kami itu tak kesampaian. Malah aku tak mampu mencuba cinta lain dalam tempoh yang sangat lama. Aku merasakan cinta antara kami terlalu besar. Rupanya cinta aku sahaja yang besar.

Petang semalam, sedang aku berbaring sambil melayan filem Telegu, Honey WhatsApp aku.

Dia tanya pendapat aku mengenai isu LGBT yang sedang hangat diperkatakan kini.

Sebenarnya aku yang lesbian ini pun tak follow up apa yang sedang berlaku di dunia LGBT.
Banyak kerja di tangan yang perlu aku selesaikan. Dateline menunggu. Bila otak letih. Aku layan movies. Simple macam itu.

Honey hai aku di WhatsApps dengan...

Assalamualaikum. 
Okay need to ask u this. What do u think about LGBT? 

Pening pulak tgk PC Mujahid.

Rasanya kat Malaysia takde diskriminasi pun. Berapa ramai pengkid yg dpt keje macam biasa. Gay jadi profesional. 
As long as LGBT tak potray smtg yg harmful dan disrespect others' rights

Who the heck Mujahid? Baiklah... Lalu aku pun balas dengan santai.

😆You pun pening Honey.

Nak iktiraf apa yg dorang maksudkan ni .. adoii.

 Adoii
Aktivis lah ni.
Rajin nau, tak ada kerja lain nak buat dah lah tu.

Racun sana sini. Orang Malaysia ni tinggi toleransi dia.

Aku membalas dengan cuba mengikuti rentak dia.

Melayu mmg sgt baik. Tapi baik kena cerdik baru betul. Baik je tapi bodoh, parahhh.

Aktivis LGBT ni I boleh kategorikan sebagai gila. Ikut sangat acuan barat tu. Nak jugak pride ². Nak kahwin. Nak hak asasi manusia kesaksamaan. Ambik Quran part yang dia setuju aje.

Lalu kami pun pot pet-pot pet kat WhatsApp. Dia menceritakan kebimbangan dia. Aku menceritakan pandangan aku.

Kelakarnya dia macam cuba nak korek macam mana aku boleh jadi LGBT. Dia tak nafikan pun bila aku tanya dia nak tulis pasal aku ke?

Honey oh Honey, aku dah lama tulis pasal dia pun kat sini.

Antara bebelan Honey...

U see, in my opinion Mahathir mmg sekular. Islam dia ikut logic.

Tapi the rest of Amanah dan PKR takkan diam je.. adohai..

Yang aku balas...

My point adalah. Lambat laun without Mahathir pun. Benda LGBT nak ini akan sampai kat Malaysia.

Kalau orang Malaysia ni betul tinggi iman, dugaan ni akan berjaya diatasi
Kalau America, England, German tu habis dah ikut LGBT.

Sebab agama depa tak kuat, even Kristian pun tak setuju LGBT.

LGBT ni kalau lagi banyak homophobic, lagi banyak LGBT keluar. Bermula dari keluarga kena sayang anak. Jangan diskriminasi perempuan dan lelaki.

Jangan halang lelaki lembut minat kerja dia. Jangan paksa dia. Lagi paksa lagi lah depa duduk dalam golongan tu. Lepas tu bila kumpul, jadi aktivis.

Manusia ni bila tertindas maka dia menentang. Tu macam naluri jugak.

Jangan marah kat anak perempuan menjantan. Jangan pulaukan. Ajak dia buat hal perempuan macam biasa.

Kena ubah perangai menindas. Membuli. Sayangi kawan-kawan biarpun mereka lain agama, seksualiti dan pegangan. Cara kasar tak boleh.

I selalu rasa, tanpa LGBT pun masyarakat kita agak kurop dah. Tapi boleh diselamatkan lagi. Kena amalkan Quran lah. I tak pernah setuju dengan aktivis LGBT ni. I rasa aktivis² ni depa nak try boleh tak dapat buat LGBT diterima di Malaysia. Which is mustahil dalam 100 tahun lagi. Tapi depa nak try jugak sampai dapat. So, mencegah lebih baik dari mengubati sebenarnya.

Honey tambah...

Yes couldnt agree more. 
Tp saya expect Mujahid bg PC yg bijak sikit.. tp taktahu lah kalau ni part of strategy dia nak ajak dorang.

Some yes. Some not. Tp saya suka Malaysia. Bidang ilmu kita jelas. Tak serabut macam Indonesia or even Arab. Atas diri sendiri kot, kan.

Betul².. charity begins at home, mat saleh cakap.

Kasar mmg tak blh. Kena hikmah. Tak blh lembut, kena tegas. Kasar is rude. Tp tegas is strong and stability. Correct?

 Tp klu perempuan mmg suka cara lembut la kot. Fitrah kan


Tapi kalau perlu jentik bagi sedar, kita jentik lah. Kot?

Aku balas...

I baru baca pasal Mujahid. 😆😅
😆 Suka sangat jentik. Dakwah sentap tak boleh jalan you.

Lepas tu sengaja aku tanya dia...

I nak tanya you. Masa you kenal I pengkid dulu you rasa camne.
You kan straight. 😆

Dia balas...

Not remember apa I rasa.. masa tu gila² remaja la. Rebel apa benda ntah..
Marahkan sesuatu, to be exact.

Di situ aku dapat jawapannya. Honey yang aku fikirkan, bukan lagi Honey yang aku fikirkan selama ini.
Segala tentangan yang dia lakukan ketika bersama aku dahulu, mungkin atas dasar dia nak rebel, marahkan famili dia dan diri dia. Entah dari mana aku muncul masa itu, lalu dunia kami bertembung.

Aku benar-benar cuma watak sampingan sahaja dalam cerita dia, sedangkan dia merupakan watak utama dalam cerita aku.

Sedih, tapi kelakar! Akhirnya aku mulai faham.

Berbalik soal LGBT yang menjadi topik perbualan kami.

Dia bagitahu lagi...

Tp persepsi kat LGBT ni biasa je la.. cuma personally I selalu rasa family kena treat LGBT mcm drug addict. Kalau perlu kurung gigil² tahan nafsu, kurunglah. Takkan nak bagi anak hisap dadah kat mana² buat onar kat luar.
Tp skrg porn hujung jari

Dajjal masuk setiap rumah kamu satu dunia. Here we are.

Aku balas gelak. Aku tak nak pangkah dia sebab aku nak tahu pendapat dia... Lalu aku balas...

LGBT ni bukan masalah porn. Masalah berkehendakkan yang sama jenis.
I pun berkurung sebab tak nak tengok perempuan
Keluar aje, perempuan cantik, baik, Ya Allah.

Dia cuba menguji aku dengan membalas...

See. I always thot porn is the trigger people tak ada self control
Wait. Then skrg u still suka perempuan ke. Struggling?
Perh. Soalan direct gila.

Aku pun balas, serius walaupun berlawak.

I suka perempuan sampai sekarang Honey. Tak pernah hilang. Cuma I elak jela.
Bila dah tua rasa tu dah kurang sebab dah nak menopause kot. Hahaha 😆

Lepas tu banyak lagi kami bincang dan bersetuju untuk tidak bersetuju dengan pendapat masing-masing soal LGBT ini.

Aku sebenarnya nak aje bagitahu dan cerita pada dia, selepas sepuluh tahun baru aku dapat lupakan dia. Lalu aku jumpa Bunga. Kisah aku.

Tapi aku rasa tak perlu, sebab ini adalah cerita aku.  Hidup aku yang tiada kaitan dengan dia. Sama ada aku suka sesiapa dan bagaimana aku jalani hidup aku tak perlulah dia tahu sepenuhnya. Sama ada hal itu baik atau buruk.
Terpulang pada dia juga untuk menceritakan apa sahaja pada aku. Aku sentiasa mendengar. Jika perlu aku bantu, maka aku bantu.

Tentang aku dan Bunga. Aku serahkan pada yang Esa. Semoga dia baik-baik sahaja dengan pilihan hidup dia. Tiada apa yang perlu disedihkan jika dia kini bahagia. Tiada paksaan dalam cinta aku ini. Cewah!

Malah aku rasa, hidup single kali ini agak lapang dada. Lebih menggembirakan.

Aku tak terlalu fikirkan soal isu LGBT. Ikutlah nak buat apa. Kita ada tanggungjawab terhadap diri sendiri, masyarakat dan agama. Lagi banyak bercakap, lagi banyak hati yang terluka. Lagi banyak kerosakan yang akan dilakukan.

Apa lagi LGBT nak? Tepuk dada. Tanyalah diri, nak apa? Kalau nak berjuang. Maka berjuanglah atas hal yang dirasakan betul.

Jika rasa perjuangan tu salah, maka carilah apa yang kita rasakan betul selagi masih ada masa.

Jika rasa ingin terus mencintai orang yang kita cintai dan merasakan cinta kita betul dan ingin menjalani hidup dengan aman tenteram. Maka teruskan.

Pilihan di tangan kita. Jika ramai orang yang kita rasa tak bertoleransi dengan LGBT, lihat sekeliling kita. Lihat apa yang dilakukan kepada kita dan apa yang kita lakukan kepada orang lain. Benarkah perbuatan orang itu? Benarkah tindak tanduk kita dan tindak balas kita. Buka mata dan jiwa seluasnya. Kita kongsi dunia ini bersama. Kenapa perlu terlalu banyak kebencian dalam dunia ini.

Bukan mudah nak puaskan hati semua orang, semua orang pun ada pendapat dan dosa masing-masing. Kita rasa kita betul, orang pun rasa mereka betul, berpandukan pegangan masing-masing. Ada yang jadi ekstrim sebab itu. Ada yang berdiam diri.

Kembali ke ajaran agama selalu. Kalau kita rasa agama dah tak betul....Jika kita tidak beragama sekalipun, teruskan mencari dan berbuat baik.

Aku tak mengharapkan apa-apa. Cuma sebuah hidup yang tenang di dunia dan akhirat. Jika ada kesilapan di tulisan ini, harap dimaafkan.

Buat Honey, terima kasih sebab sentiasa ada untuk bertukar fikiran. Aku faham kerisauan Honey. Kita sama-sama mahukan yang baik-baik untuk agama dan negara ini.

PS:   Jo:  You tak solat ke? I uzur ni.
        Honey: Solat... Pukul 8.10 dah 😱😱
                    Ish ish. Pungpang² ckp iman tp solat lambat. Inilah. Wailul lilmusollin.













Sunday, May 13, 2018

Jo VS Kak Jen dalam Politik dan Hipokrit.

Jo orangnya tidak mewah.

Mungkin hal yang paling mewah yang aku miliki adalah bakat melukis aku.

Dan bakat itu perlu dilatih.



9 Mei 2018 menyaksikan peristiwa genting dalam kancah politik Malaysia.

Pilihan Raya Umum ke 14.

Ianya melibatkan kita semua.

Tidak kiralah kamu mengundi, tidak mengundi, tidak berminat dengan politik, merasakan politik itu tidak penting dan sebagainya ( iya, kata-kata pedas ini untuk seorang pelatih latihan industri di tempat kerja aku yang mengatakan politik hanya membuang masa dia sahaja, sambil dia sibuk bermain permainan video di komputernya)

Ini adalah PRU ke dua untuk aku (menguap)
PRU pertama untuk Kak Jen (urut janggut yang tak wujud, sambil tersengeh)

Semasa PRU 13, aku memilih untuk memangkah dua parti politik yang berlainan, sebabnya:

  • Aku rasa undi individu seperti aku ini tidak akan mempengaruhi keputusan pilihanraya.
  • Aku tak pasti nak undi siapa kerana aku jarang membaca keadaan politik dan ekonomi semasa.
  • Kawan dan keluarga di sekeliling aku tidak pernah duduk berbincang mengenai politik semasa.
  • Aku mengambil nasihat emak sebagai pengundi lama.
Nota* Masa PRU 13 itu, barulah aku tahu yang kena undi ADUN dan PARLIMEN.

Sebagai mana rakyat Malaysia yang baru nak perihatin, bahang PRU 14 ini benar-benar dirasai kehangatannya hanya sesudah PRU 13.

PRU 14 menyaksikan penolakkan dan tumbangnya kerajaan Barisan Nasional.

Kebanyakkan rakan sekerjaku, juga seperti Kak Jen, menjadi pengundi untuk pertama kali.

Kebangkitan ini pada pandangan aku, adalah akibat sikap beraja di mata dan bersultan di hati oleh kebanyakkan pemimpin Barisan Nasional, terutamanya pemimpin UMNO. Rakyat jelata berasa jelik, marah dan kecewa.

GST yang tidak munasabah, pemberian BRIM yang tidak perlu dan segala macam subsidi yang telah dihapuskan. 

Dalam kes aku. aku marah sebab harga rumah terlalu tinggi, tiada skim yang benar-benar membantu dan sesuai untuk orang seperti aku, skandal demi skandal melibatkan FELDA dan juga hal-hal bodoh yang terpaksa aku hadapi apabila berdepan dengan kerenah badan kerajaan dalam melaksanakan kerja aku sebagai warga swasta yang menawarkan diri menghasilan sesuatu dalam skop pendidikan.

Aku harap badan kerajaan seperti ini lebih terbuka, bersungguh-sungguh membuat kajian, lebih profesional dengan cara yang santai bukan santai dengan gaya sahaja profesional. 
Tidak sekadar mengkritik tetapi menyumbang memberi pendapat-pendapat yang bernas juga.

PRU 14 juga menyaksikan Kak Jen, yang aku gelar majalah MASTIKA, tiba-tiba berminat berbicara, borak dan bertekak mengenai politik dan individu-individu tertentu. 
Menariknya apabila dua pendapat dan sokongan yang SAMA, bertembung dengan cara dan gaya berbeza.

Aku terkenal dengan bereputasi skema, rajin membaca dan suka berborak empat mata dengan segala peringkat umur lalu mengutip data pelahan-lahan dari mereka. Menceritakannya di waktu-waktu santai dengan gaya bahasa sederhana sambil mengajak sama-sama berfikir dengan cara masing-masing.

Kak Jen adalah majalah MASTIKA, seperti kita tahu. Minatnya bermusim. Penuh tokok tambah. Seringkali menekankan hal-hal sensasi dan mensensasikan hal-hal yang tak perlu. Disukai dengan jalan ceritanya yang menarik, penuh gelak ketawa dan seringkali bersifat hiburan.

Aku sebagai aku, sebenarnya tidak mahu mempengaruhi sesiapa. 
Aku ibarat peniaga yang menjual idea-idea aku cuma kepada manusia yang benar-benar mahu membelinya kerana mereka mahu. 
Jika tidak mahu, aku tidak mahu menjualnya. 
Tidak dinafikan sedikit hipokrit sebenarnya.

Sebab itu aku juga banyak memilih berdiam kerana aku tidak mahu menjadi hipokrit itu.
Sikap berdiam itu banyak menimbukan konflik dalam diri aku sebenarnya.

Lantang aku biasanya terkeluar apabila Kak Jen mula menyebarkan berita gaya MASTIKA dia. Aku mahu membetulkan dia dengan fakta dan sejarah. Bagi aku, cerita tokok tambah ini tanpa kita membaca dan mendalami susur galur dan makna tertentu, boleh menyebabkan kekeliruan dan salah faham. Hal ini boleh menyebabkan timbulnya rasa kita betul, betul, betul.
Ianya sangat menjengkelkan aku.

Akhirnya bila sejarah lama berulang kembali dan kita selamba memadam betul kita dahulu dengan betul kita sekarang tanpa menyesal.

Aku sendiri tidak dapat mengelakkan manipulasi atas minda aku sendiri. 
Perlu membaca, melihat, mengkaji, mendengar dan belajar lebih banyak, dari segala aspek.
Sebagai seorang muslim, dengan mesti memegang asas pertama iaitu Al-Quran dan Sunnah.
Di sini aku merasakan aku hipokrit dalam pendapat-pendapat aku.
Aku ingin keluar dari kancah keseriusan lalu memilih untuk melayan fan fiction sahaja. 
Maka jadilah aku manusia yang rugi. 

Aku perlukan mak cik-mak cik MASTIKA seperti Kak Jen untuk mengingatkan aku jika orang seperti aku terus berdiam dan melayan fan fiction maka pendapat MASTIKA ini akan diterima bulat-bulat oleh orang sekeliling yang malas.

Jumlah manusia yang malas itu pula terlalu ramai.

Aku teringin membuka akaun curioscat dengan fantasi ada yang bertanya aku mengenai pendapat aku tentang teori konspirasi atau apa bezanya RGB dan CMYK.

Tapi aku tahu itu hanya fantasi. 

Orang lebih suka bertanya apakah warna kegemaran aku.

oh Jo, why so serius? Internet kan tempat chill.

Duit dan internet adalah dua alat yang mempunyai kuasa.

Indahnya bila borak politik, aku masih boleh whatsapp dengan Honey. Mendengar pandangan dan kritikan dari dia yang aku sedia tahu membaca dan belajar banyak. Kelebihan pada dia juga kerana orang sekeliling juga keluarganya yang berfikiran kritis. Sesuatu yang aku tak punyai dan cemburui.

Indahnya politik bila aku boleh melihat kelibat orang kenamaan, lalu melihat Bunga melalui keluarganya dari jauh.

Indahnya politik bila aku dan Kak Jen boleh bertekak secara sihat.

Indahnya politik bila aku boleh menilai semula hipokritnya aku ini. Mengakuinya. Lalu cuba membantu diri aku sendiri.

PS: Warna kegemaran aku ialah Bunga.
















Followers