Showing posts with label doa. Show all posts
Showing posts with label doa. Show all posts

Friday, January 27, 2017

Plot Twist

Dipetik:
Robbisrohli sodri, wa yassirli amri,
wah lul uqdatan min lisani, yafqohu qouli.
(Surah Taha: 25-28)
“Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku, mudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskanlah kekakuan lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku”


Bila aku mula berkata. Orang naik marah.

Orang marah. Aku marah. Semua marah-marah. Lalu aku berdiam. Sehingga ada yang meminta aku berkata kembali.

Kita mahu menyempurnakan keadaan, di mana keadaan tidak boleh disempurnakan. Kerosakkan apakah yang sedang kita lakukan?

Aku minta. Baca dan berfikirlah. Kemarahan itu apinya membakar jika disiram petrol. Tulisan aku ini jika di anggap petrol, maraknya boleh nampak hingga ke negara sebelah. Tapi, jika kau anggap ianya air. Sejuknya boleh kau rasa dalam hati.

Alkisah.

Honey…Honey… Oh! Honey…

Setelah lebih 10 tahun. Terdetik untuk aku tanyakan dia kembali, semasa dia minta putus dahulu adakah di sebabkan dia sudah jatuh cinta dengan Mr Honey itu, ataupun sebab faktor gay ini berdosa, atau kedua-dua faktor?

Jawapan dari dia mengejutkan aku.

Masa masih bercintaan dengan aku, dan sebelum dengan Mr Honey, dia mulai suka dengan lelaki A. Kemudian Mr Honey kemudian lelaki B, kemudian lelaki C. Kemudian pelbagai kisah berlaku. Kami putus. Pelbagai kisah berlaku kembali. Dia kemudian kembali ke Mr Honey lalu mereka berkahwin.

Faktor gay pun memang benar juga. Dia memberitahu, betapa dia lemah menerima sayang dari aku. Asalkan ada yang menyayangi. Biarpun dia tahu dosa-dosanya. Untuk itu dia tak pernah berasa tenang. Dia turut meminta aku bertaubat dan meminta keampunan Allah. Katanya, cinta itu sifatnya bisa datang kembali. Lalu dia pergi meninggalkan aku.

Aku tanyakan pada dia, kenapa aku tak tahu ini semua? Adakah salah aku tidak bertanya? Padahal masa kami berpisah, memang aku bertanya itu ini. Tetapi dia tidak pernah menjawab telus. Tidak juga menipu, cuma ceritanya tidak penuh.

10 tahun lebih aku percayakan sesuatu yang salah. Aku percaya dia tinggalkan aku semata kerana faktor gay dan faktor cinta sucinya untuk Mr Honey.

Ini yang aku mahu gelar privilege. Privilege buat dosa. Asalkan dosa itu dosa yang nampak biasa-biasa seperti dosa bercinta dengan lelaki bukan muhrim. Dosa gay jadi luar biasa. Perlu direjam.

Ah! Itu kata si Syaitan. Siapalah aku untuk menilai dosa. Ampunkan hamba. Hamba cuma insan yang sakit hati.

Aku tidak mahu merosak reputasi dia. Aku tidak mahu berlagak kononnya aku si mangsa. 10 tahun itu adalah kebodohan dan kedegilan aku sendiri. Dia masih sangat-sangat aku hormati. Wanita yang banyak menunjuk dan mengajar aku jadi matang, kuat dan seperti hari ini. Jalan aku telah pun bertembung dengan jalannya. Aku pernah merasa manisnya cinta kami. Jumpa Honey, tiada apa yang aku sesalkan. Malah aku berterima kasih.

Sekarang Honey menjadi seorang pendakwah. Antaranya dakwahnya mengajak kembali golongan LGBT ke jalan benar. Meminta umum supaya jangan berkeras dengan golongan LGBT. Dalam dakwahnya untuk LGBT, semua kemanisan ini cumalah tipu daya. Kata-kata yang membenarkan LGBT adalah tipu daya. Jangan terpedaya dengan tipu daya dan kembalilah ke jalan Allah.

Aku mahu Bunga, aku mahu sentiasa ke jalan Allah jua.

Keduanya tidak boleh berjalan seiringan kah?

Siapa yang benar?

Honey? Ya?
Aku yang hina ini? Ya?


PS: Sedang belajar.

Friday, August 19, 2016

Tinggi Hajat di Hati.

Bercinta dengan Bunga ini, aku rasa seperti melangkah setapak ke hadapan dan berundur dua langkah ke belakang.

“Tapi… Kenapa Jo?”

Tanya para pembaca  setia kisah non fiksyen aku ini.

Macam ini.

Punyalah lama aku simpan status single itu. Tup! Tup! Datang Bunga, si gadis manis berumur 24 tahun telah merobek jiwa raga mak cik engkau ni, Nak!

Sebelum Bunga, dalam tempoh 10 tahun ini memanglah aku crush pada seorang demi seorang gadis. Jumlahnya mungkin kurang daripada lima. Crush pun crushlah, tapi tak jadi apa-apapun. Telah aku ceritakan kisah-kisah itu dalam catatan-catatan sebelum ini. 

Jadi gay/lesbian tapi kau single ini lebih bebas sebenarnya. Bebas berfikir, bebas menyuarakan pemikiran, bebas mengutuk kisah cinta rakan-rakan engkau yang entah apa-apa.  Bebas membuat keputusan mengikut acuan yang dirasakan betul. Bebas juga cuci mata. 

Bila dengan Bunga, aku kena fikir tentang bersama. Bukan AKU. Bukan DIA. Tapi KAMI. Bertindak selepas berbincang.

Ada sekali itu,  aku rasa patut terus terang sahaja tentang hubungan kami ini kepada rakan-rakan terdekat. Sama ada yang tidak tahu atau sengaja buat tidak faham dengan seksual orientasi aku ini. Aku minta pendapat Bunga. Dia membantah. Katanya biarlah hubungan ini ekslusif antara kami dahulu. Apa pentingnya orang lain tahu atau tidak. Mungkin akan  mendatangkan keburukan pada kami sahaja.

Aku geram juga dengan bantahan itu. Tapi geram aku sejuk bila dia selamba-selamba pegang tangan dan manja bermanja dengan aku di depan semua orang. Malah dia pula yang sering bertanya pada aku.  Apabila aku melepaskan genggaman tangannya itu, sama ada aku ini malu dengan dia.

Dalam soal keluarga dan kekeluargaan pula. Aku sudah pun bawa Bunga jumpa famili aku. Berkenalan dengan emak, adik beradik dan anak-anak sedara. Aku mengajar anak-anak sedaraku memanggil Bunga, dengan nama Mak Anjang Bunga sempena pangkat aku Mak Anjang. Malah pada sesetengah adik beradik aku nyatakan. Inilah dia kekasih anna, Nur Bunga!

Respon famili aku, NO RESPON.

Marah tidak, menasihatkan tidak dan mengiyakan pun tidak.

Agaknya mereka merasakan aku tidak serius dengan Bunga. Masakan orang seperti Bunga mahu bercinta-cintaan dengan perempuan berusia  seperti aku. Atau mereka mungkin merasa hubungan kami ini sekadar untuk menghilangkan kesedihan dan kesepian aku yang tidak dapat mereka bantu. Lalu mereka biarkan.

Aku tidak tahu. Malas aku jadikan soal di antara aku dengan Bunga ini sebagai  topik perbincangan terbuka dalam famili aku.

Mari kita berkenalan sedikit dengan famili Bunga. Ayahnya berjawatan penting dan dihormati. Ibunya pula suri rumah tangga yang sentiasa ada menyokong mereka adik beradik. Cuma, kadang kala sibuk dengan persatuan yang harus dia sertai demi kerjaya ayahnya. Dia punyai abang yang hampir sebaya dia dan adik-adik perempuan. Adik bongsu masih di sekolah rendah. Wah! Bunyinya dah macam dalam drama RTM.

Aku juga pernah bertanya Bunga, apa akan jadi jika hubungan kami ini diketahui famili dia. Katanya, dah tentu ayahnya tidak suka. Ayahnya merupakan ketua yang di segani. Sama ada dalam soal keagamaan atau sosial. Ayah dia selalu menyelesaikan pelbagai masalah dan konflik orang lain. Masa aku melawat famili Bunga, barulah aku tahu yang famili dia sangat menitik beratkan ajaran Islam dalam aspek kehidupan. Malah, mereka solat jemaah bersama. 

Ibunya? Jangan kau cuba buat hal.

Abang Bunga pula aku tak berapa kenal lagi. Adik dia yang di matrikulasi pernah beberapa kali borak bersama, Cuma belum bertemu. Bunga pernah memberitahu aku yang adik adiknya agak obses dengan dia. Aku ingatkan dia main-main sahaja. Bila aku berhadapan dengan mereka, baru aku tahu sayangnya adik beradik dia padanya. 

Tidak pernah kami dapat berkepit berdua. Jika kami Skype atau borak di telefon, adik dia mesti ada sekali. Mata adik dia tak lekang memerhatikan sahaja kemesraan di antara aku dan Bunga. Sesekali adik bongsu dia mesti tanya aku bertubi-tubi. Kak Jo sayang sangat pada Kak Bunga ya?

Beberapa hari lepas adik bongsu dia melukis lukisan gambar aku dan Bunga sedang berpegangan tangan di bawah awan di tepi pokok dengan tagline BFF FOREVER.

LDR. Lagilah susah. Perlu mencari alasan munasabah setiap kali ingin berjumpa. Aku perlu keizinan ibu ayah dia jika hendak bawa dia keluar. Dan keizinan itu amat sukar di dapati. 

Nyata di sini, hubungan kami ini akan kami seal tanpa pengetahuan famili dia. Sebab, hanya ada dua pilihan. Jika diketahui, maka tamatlah kisah kami ini. Jika kami berjaya menutup hubungan ini dengan selamat, maka ada kemungkinan kami boleh bersama. 

Aku sebenarnya ingin bercinta secara bebas. Tanpa perlu berlakon-lakon atau berfikir trick apa untuk berjumpa. Cinta kami yang indah dan manis ini,  ingin kami kongsikan dengan rasa syukur bersama semua orang terutamanya famili. Aku mahu turut menjadi sebahagian dari famili dia kerana aku tahu dia amat sayangkan famili dia. Aku juga mahu dia diterima baik oleh famili yang aku sayang.

Bunga adalah doa-doa yang selalu aku pohon di lewat solat-solat ku. Seorang yang beragama. Menghormati orang tua. Baik hati. Rajin basuh pinggan mangkuk. Cantik. Pembersih. Wangi. Jimat cermat. Tidak memeningkan kepala. Sederhana. Pandai mengaji. Tahu hal-hal komputer. Tinggi lampai fizikalnya.

Aku bertuah Bunga mahu mendengar keluh kesah rintihan hati aku ini. Mahu mengimamkan solat aku. Membelikan air teh o ais kepada aku secara curi-curi ketika aku pergi ke toilet.

Aku tamak, aku tahu. Aku mahu Bunga. Mahu cintanya tanpa perlu menyorok. Mahu Tuhan menerima cinta kami.

Masa aku masih single, senang aje aku menjawab pertanyaan orang. Aku single.

Sekarang ini jawapan aku, aku dah ada orang yang aku suka. Tapi entahlah. Payah.

Adakah hal ini mengganggu pemikiran aku? IYA.

Adakah dugaan ini membuatkan aku mahu mengalah? BELUM LAGI!

PS: Kak Jen cakap Bunga ni semacam gila sikit, sesuailah dengan aku sama-sama gila.

Wednesday, November 5, 2014

Larian 100 meter.

Tiga…Dua…Satu… MULA.

Pekara yang paling aku sedar adalah aku bukan pandai. Bukan jenis genius dan cepat. Bila belajar sesuatu yang baru, keupayaan otak aku pelahan. Sebab itu aku kena fokus betul-betul. Setiap benda pun aku kena usaha empat kali ganda dari orang lain.

Aku cuba usahakan sesuatu. Menolak diri kehadapan dengan sekuat hati. Ada benda yang aku belajar dan aku masih tak lepas tahu, tak berjaya buat. Sedangkan masa yang ada kian singkat. Aku masih cuba memenuhi jangkaan kehidupan yang kadang kala kejam ini.

Di situ air mata aku menitik lima enam kali lebih deras dari biasa. Aku berdoa tujuh lapan kali lebih lama.

Di kala masih berguna maka aku disanjung-sanjung. Nanti, di kala sudah tidak berkemampuan aku akan ditolak. Seperti kisah kain yang buruk.

Siang bertemu malam. Masa dan kerakusan hidup tak menunggu aku lansung.

Ini ujian untuk aku. Jika aku mengalah. Aku kalah. Jika aku main-main, aku yang habis.

Rezeki di bumi Allah ini ada bagi yang mahukannya.

Harapnya dalam aku hadap kerja duniawi ini, sejadah aku tidak lupakan, senyum sakit emak aku tak abaikan.

PS : Terima kasih atas bebelan Kak Jen. Para kamu yang dengar cerita aku, dan si kamu itu yang buka minda aku. Harap kita dapat bicara selalu.

Followers