Wednesday, October 28, 2015
Saturday, October 3, 2015
Ringkas dan berbulu.
Cerita Satu.
Pada awal tahun ini, di tengah hari Jumaat yang mulia semua
staff lelaki keluar bersolat. Tiba-tiba seorang staff perempuan intern
memanggil aku. Dia menunjukkan satu video viral di telefonnya. Seorang lelaki
berjambang dan bercermin mata hitam menyanyikan lagu Kun Anta.
“ Tengoklah ni, cute sangat kan! Meremang bulu roma tengok
dia senyum tahu!” Dia teruja.
“ Wow…?” Itu sahaja respon pura-pura dari aku.
Cerita Dua.
Peristiwa ini terjadi beberapa tahun lepas ketika Kak Jen masih memengkid.
Aku dan Kak Jen melepak di ruang tamu rumah flat sewa dia
sambil menonton cerita Tamil. Kak Jen yang cuma bersinglet dan berseluar pendek
bangun menari-nari mengikut irama lagu. Aku cepat-cepat ikut serta. Lalu kami
pun bergoyang.
Tiba-tiba aku terperasan sesuatu.
“ Kak Jen! Kenapa?!” Aku menjerit sambil menunjuk ke arah ketiak
Kak Jen.
“ Oh, ini! Sengaja aku simpan bulu ketiak panjang sebab
member aku ada cakap, lelaki kena bulu ketiak panjang, baru macho!” Kak Jen
menjawab bangga.
Terus aku menyumpah kawan Kak Jen di dalam hati, lalu
menyuruh Kak Jen mencukur ketiaknya waktu-waktu itu juga.
TAMAT.
PS: Apa cerita ringkas dan berbulu kamu?
Tuesday, September 29, 2015
Tegar
Petang Hari Raya Aidiladha tahun ini kami sekeluarga buat
BBQ di rumah. Aku yang beria nak buat. Seumur hidup aku setakat ini, adalah dua tiga kali sahaja aku sertai
aktiviti BBQ, mandi manda air terjun dan aktiviti sosial lain. Bila aku
ceritakan pada abang ipar aku, Abang Uda yang sibuk bakar ayam, ternganga dia.
Iyalah.
Gaya aku memang nampak sosial habis, padahal aku sembur minyak wangi, melawa, lalu
duduk depan laptop di rumah sambil melukis atau tengok tutorial melukis.
Malam itu sesudah bergilir solat maghrib. Maka mulalah
aktiviti melepak di beranda sambil menikmati kesedapan BBQ dan makanan-makanan
lain.
Borak punya borak, kami gelakkan Kak Jen yang tak tahu apa
itu VAPE. Akhirnya setelah diberi hint beberapa kali, dia dapat tangkap vape adalah sejenis rokok
elektronik. Apalagi, kemain belagaklah dia bila dapat jawapan. Hampir menari hindustan.
Keluarlah pula cerita tentang bahaya merokok dan aktiviti penagihan
dadah yang menular di kalangan remaja di kawasan kampung kami ini. Yang menjadi
tokan tentulah abang-abang yang kejap keluar masuk pusat pemulihan tapi masih
tak insaf-insaf.
Lalu aku buka cerita lama, yang aku sendiri ingat-ingat lupa…
Masa itu aku di tingkatan dua. Sekolah aku anjurkan kempen
anti rokok dan anti dadah. Setiap hari dalam kelas kena baca apa itu dadah dan bahayanya
kepada individu, masyarakat dan negara. Berkesan betul kempen itu, sehingga aku
dan kawan-kawan memang rasa benci betul pada rokok dan dadah.
Pada suatu tengah hari selepas balik sekolah, berbekal
semangat anak muda yang berkobar, aku dan dua orang kawan terkedek-kedek pergi
ke pondok Pak Guard asrama kami. Pak Guard asrama kami namanya Pak Cik Min.
Umurnya awal 50-an. Kami selalu perhatikan di pondok itu keluar asap berkepul.
Jadi kami syak Pak Cik Min merokok di situ.
Kami jengok-jengok dari luar pondok, lalu nampak Pak Cik Min
tengah duduk bersandar di belakang pondok menghabiskan sisa rokoknya. Memang sangat
tepat waktunya. Tanpa berlengah lagi dan tanpa memberi salam kami
bergilir-gilir memberi ceramah percuma pada Pak Cik Min. Terkebil-kebil orang
tua itu di atas serangan bertubi-tubi dari kami.
Ayat keramat kawan aku masa itu, 'sebatang rokok pun boleh
memendekkan nyawa penghisapnya.'
Ayat itu juga menukarkan wajah Pak Cik Min yang
terkebil-kebil tadi menjadi separa bengis.
Pak Cik Min mengeluarkan sebatang rokok baru, lalu
menyalakannya dengan selamba.
“ Aku ni dah berabad-abad hisap rokok masih tak mati lagi.
Berapa ramai orang yang tak hisap rokok pun dah mampos awal-awal.”
Lebih kurang begitu kata-kata Pak Cik Min. Panas betul hati
kami.
“ Kami nak bagi nasi…”
Kata-kata kami terhenti di situ apabila Pak Cik Min
menghisap rokoknya dalam-dalam sebelum menghembus asapnya beberapa kali ke muka
kami seorang demi seorang. Busuk betul baunya. Pening lalat aku dibuatnya.
Kawan aku dah batuk-batuk kokol sambil menahan pedih mata.
Kawan aku seorang lagi yang berbadan besar sikit hampir hendak
menerpa ke arah Pak Cik Min sebelum di tarik oleh aku. Kami cepat-cepat beredar dari
situ.
Aku sempat toleh belakang dan perhatikan Pak Cik Min sedang ketawa
terbahak-bahak dengan gelagat tiga orang anak dara yang cuba menasihatinya.
Di asrama, pelajar lain pula syak kami yang menghisap rokok
kerana bau rokok di baju sekolah. Naya sungguh.
PS: Jangan berani-berani korang nak buat ayat keramat tu pada perokok tegar. Mungkin mereka boleh bertukar menjadi raksasa.
Sunday, September 20, 2015
Istilah
Media sosial kadang-kala memberikan aku sakit kepala.
Ada masanya dulu, konon-konon aku tahu semua perkara. Atau aku mungkin lebih tahu dari orang-orang. Jadi seringnya aku jadi bahan rujukan atau kamus.
Kecepatan teknologi, sembang secara langsung dan global ini buat aku rasa tertinggal jauh.
Aku cerita tentang kerabu manga, orang cakap pasal somtam. Aku baru nak ambil tahu pasal Isis, ada pula Isil, IS? Aku baru nak borak tentang Ellen Page coming out, orang mula cakap tentang girlfriend dia Samantha Thomas? Bila aku buka cerita tentang homophobic orang cakap pasal cisgender. Apa benda tu?
Istilah demi istilah muncul. Terutamanya dalam kamus sosial LGBTQ....*berapa banyak huruf, daa...*
Ada juga istilah yang sedia ada, tapi setahun kebelakangan ini baru dipopularkan. Banyak pulak tu. Sebagai orang yang menulis, penting untuk tahu. Kalau tidak mungkin dicop jahil. Atau mungkin akan memperbodohkan diri sendiri.
Apa pentingnya mengetahui dan mempelajari istilah ini. Untuk kesedaran hal ini itu wujud? Untuk membentuk hidup yang lebih baik? Masa depan yang lebih terdidik dan mendidik? Untuk kegunaan seharian? Atau sekadar untuk orang tahu kita lebih tahu dari orang lain?
Aku keliru. Mungkin juga jahil.
Baiklah.
Imbas kembali... 10/11 tahun lepas.
Masa kerja restaurant dulu. Kami punya manager yang berpendidikan tinggi. Pengkid tapi closet. Ada masa dia lepak dengan kami pengkid yang muda-muda ini. Dia cakap, dia tak boleh betul dengan lessy. Dia cakap dia ok kalau pengkid dengan girly girl. Tapi bila girly girl dengan girly girl, dia geli.
Aku senyap ajelah.Tak nak ikut kata-kata dia secara membuta tuli. Orang lain aku tengok mengangguk aje. Adakah istilah untuk orang seperti manager pengkid ini?
Ada juga perempuan yang hanya suka pengkid. Entah macam mana pengkid dia pelahan-lahan menjadi lebih kewanitaan. Maka perasaan suka itu hilang. Macam mana itu? Kenapa dia tidak suka lelaki sahaja pula? Apa istilah untuk ini?
Kak Jen pula, masa dia mula memengkid. Dia cakap yang sebenarnya dia bukanlah hendak jadi pengkid sangat. Tapi masa itu dengan menjadi pengkid sahaja dia diterima bersama dengan girlfriend dia. Itu sahaja satu-satu caranya yang dia nampak.
Dengan sedikit pengetahuan, aku terangkan pada Kak Jen, itu ini. Memang dia tak faham. Makin keliru adalah. Jadi dia tak berapa kisah untuk ambik tahu.
Sehinggalah aku beri Kak Jen tonton cerita The L Word. Habis 6 season, baru dia tahu kewujudan pelbagai itu ini. Baru dia hendak faham.
Hendak tak hendak terpaksa juga mencari rujuk pop culture. Itu lebih dekat dengan masyarakat. Walaupun bukan semua intinya bagus dan tidak aku galakkan.
Orang yang kononnya tahu itu ini, jangan sabur orang yang tak tahu. Walaupun hakikatnya memang ramai orang jenis sarkastik, troll dan kaki sabur dalam dunia ni.
Sama sekali tak boleh anggap semua orang tahu apa yang kau tahu. Walaupun dunia makin global, kena ada pemahaman, yang agama, budaya, pendidikan malah geografi kita berbeza.
Istilah memudahkan. Mungkin juga memeningkan. Mungkin juga istilah yang ada tidak pernah tepat untuk menggambarkan sesuatu.
Apapun istilah baru didengar atau baru wujud, benar atau tidak. Popular atau tidak, jangan ikut memahaminya secara membabi buta. Perlu rajin merujuk sana sini. Fahami penggunaannya.
Orang yang tak tahu seperti aku. Inilah peluang untuk ambil tahu. Mungkin ada kegunaannya di masa akan datang.
PS: Mungkin sahaja aku akan bermalas-malas sahaja untuk tahu.
Tuesday, August 18, 2015
Sentap dengan Kak Jen?
Banyak kali aku nak menulis tentang Kak Jen. Banyak kali
juga Kak Jen paksa aku tulis pasal dia. Tapi nak tulis hal Kak Jen ini tidak
boleh sebarangan. Dia kena ada di sebelah aku. Fakta kena tepat.
Tapi itulah… Setiap kali aku dan Kak Jen melepak aje, laptop
memang aku tak dapat nak sentuh. Ada aje projek-projek yang kami perlu laksanakan
berdua demi keharmonian sendiri, keluarga dan masyarakat.
Jadi sekarang aku nak main tulis aje. Kalau salah biar Kak
Jen tumbuk aku.
Aku dah 33 tahun ini, Kak Jen dua tahun tuanya dari aku. Kak
Jen orang tua.
Seperti yang aku selalu maklumkan, Kak Jen adalah late
bloomers lesbian. Dalam umur 24 tahun baru dia tahu yang dia lesbian. Ramai orang macam ini.
Kak Jen pernah bercinta dengan seorang sahaja dalam hidup
dia. Lalu perempuan itu kecewakan dia.
Sekarang Kak Jen single. Lama dah dia single. Tidak mahu lagi
katanya. Taubat. Aku selalu rasa Kak Jen ini jenis cinta satu orang sahaja
seumur hidup. Itu adalah sangat bodoh sebenarnya. Tapi, hati masing-masing mana kita
nak tahu. Perjalanan hidup mungkin masih panjang, mana tahu
Kak Jen bertemu soulmate dia.
Masa mula-mula aku dapat tahu Kak Jen ada awek. Aku
tersentap. Padahal aku sendiri pun ada awek juga. Masa itu aku memang OUT aje pada
semua orang. Semua orang tahu aku lesbian. Kalau masa itu orang mengutuk
pengkid dan lesbian memang kena ceramah percuma dengan aku.
Aku pun bercakap secara serius dengan Kak Jen macam orang
yang berpengalaman lama. Malah masa itu aku sendiri mengatakan ini mungkin
salah satu fasa dalam hidup Kak Jen. Kak Jen lesbian sebab dia tengok aku
lesbian dan ramai orang keliling kami masa itu terima lesbian ini dengan
sempoinya. Kak Jen lesbian sebab TREND. Kelakar sungguh pemikiran aku masa itu.
Kau bayangkan aku yang lesbian ini pun masa tu sukar nak
terima kakak aku lesbian. Bukan sebab aku marah lesbian. Tapi aku tak sangka
Kak Jen lesbian. Bila? Masa sekolah dia yang gelakkan aku pasal lesbian ini.
Masa itu aku lagi boleh terima kalau adik bongsu aku mengaku
dia suka perempuan. Pasal adik bongsu layan budak lelaki kasar betul. Tak pulak
adik bongsu aku jadi lesbian.
Jadi aku boleh pahamlah sikit-sikit kalau tiba-tiba ahli
keluarga yang memang kau tak sangka, mengaku yang dia sebenarnya GAY dan kau sentap.
Sentap memang sentap, tapi selepas sentap tu paling penting. Tak akan kau nak
pukul dia lepas pengakuan itu. Lepas tu kau paksa dia jangan jadi GAY, kalau
tidak putus keluarga. Kau nak ambil parang dan cincang dia.
Sebagai ahli keluarga
kau kena cuba bertenang. Tanya dia elok-elok, fahami dia. Kau pun kena jelaskan
perasaan kau. Kalau kau tak suka GAY dan tak suka dia jadi GAY sebab agama dan
lain-lain. Kau kena jelaskan kenapa kau rasa benda ini salah. Pekara ini makan
masa. Kerjasama antara kedua belah pihak amat penting. TOLAK ANSUR. Tak kiralah
lepas itu kau ada misi/agenda untuk menjadikan si pengaku tidak GAY. Aku rasa
ramai nak buat benda ini. Terpulanglah. Kita masing-masing ada kebenaran yang
mahu kita tegakkan di bumi Allah ini. Jangan lupa DOA minta pertunjuk dari DIA.
Pada kalangan GAY pula, nak buat pengakuan kena bertempat
dan jangan membahayakan diri sendiri. Kalau keluarga atau kawan kau HOMOPHOBIC
tahap membunuh. Nasihat aku, diamkan sahaja. Tak pasal-pasal ada yang mati kena
pancung.
Aku ada pengalaman pengakuan AKU GAY pada orang-orang yang aku
baru kenal dan dah lama kenal. Reaksinya bercampur-campur. Ada yang tak mahu
kawan aku terus. Ada yang pura-pura baik depan aku. Di belakang, akulah bahan
ketawa mereka. Ada yang menerima secara positif. Ada yang tak terkejut pun.
Eh, patutnya post ini pasal Kak Jen. Tapi jadi pasal aku
pulak.HAHAHA!
Kak Jen masih Kak Jen aku, setiap kali aku buat silap dia
akan tegur aku. Setiap kali dia buat silap, aku akan nasihat dia. Kita manusia kena
saling ingat mengingatkan.
Sampai sekarang bila kami borak pasal masa lalu, kami mesti
gelak punya. Adik beradik dan kawan rapat kami yang lain dah boleh hafal kisah
kami ni. Naik jemu dia orang mendengarnya.
Terima kasih Tuhan kerana kau jadikan Kak Jen sebagai kakak
aku.
PS: Nantilah aku cerita zaman Kak Jen poyo jadi PENGKID tu...HAHAHA.
Sunday, August 16, 2015
Bila ini Berlaku
Pagi Ahad. Sepatutnya aku dah mandi lalu menikmati secawan
Milo panas dengan dua keping roti. Tapi, nah… Itu belum berlaku.
Aku sedang menunggu rakan sepejabat memberi aku kerja yang
kami perlu selesaikannya bersama sebelum dateline hari esok. Aku masih
menunggu. Inilah rupanya menjadi seorang dewasa. Bekerja demi meneruskan
kelansungan hidup dan cita-cita.
Bila kamu seorang perempuan GAY, single, bekerjaya dan
berdikari seperti aku, sebenarnya untuk menjelaskan kepada semua yang kamu
adalah GAY, bukan perkara yang paling
penting.
Kadang-kala aku biarkan sahaja orang membuat andaian mereka
masing-masing. Kadang-kala aku merosakkan andaian orang dengan mengatakan aku
ada crush pada lelaki ini atau lelaki itu.
Macam mana nak kata ya. Ada kalanya sekarang aku memang suka
tengok lelaki yang baik, handsome, tinggi dan ada body figure yang kemas. Jadi
memang terkeluar di bibir aku.
“ Handsomenya mamat tu…”
Jadi apabila mendengarkan ini, maka rakan sepejabat aku
seronok sangat. Lalu aku lagilah sengaja menambah gossip itu dengan me ‘heart
eyes’ pada lelaki-lelaki itu. Sengaja aku get along dengan gossip tersebut.
Memang ada sesetengahnya yang aku rasakan kalau buat calon
suami memang bagus sangat, mak mesti suka, dan tak mustahil juga aku akan
jatuh suka. Tapi sebenarnya aku masih aku, masih GAY.
Hal GAY aku ini aku tak kisah sangat orang tahu atau tidak. Pandai-pandailah orang nak mengagaknya atau bertanya sendiri dengan aku. Aku peramah selalu.
Tapi memang ada kalanya mahu jerit, AKU GAY sekuat hati. Bila perkara-perkara
seperti ini berlaku:
Bila orang gossip aku dengan lelaki. OMG. KELAKAR.
Bila ada lelaki yang aku tak suka sibuk mengorat. Lelaki aku
suka aku senyum ajelah. Nak cinta semula payah tau.
Bila rakan sekerja mengatakan aku frust menonggeng, lelaki
yang aku kata aku crush itu sudah berpunya. OMG. Aku lesbianlah!
Bila mak atau abang paksa aku kahwin dan dia orang tak faham kenapa blind date yang di aturkan
untuk aku selalunya berakhir dengan aku berkawan sekejap sahaja dengan lelaki
itu. Oh emak, tak serasi mak. Padahal payah aku nak terima walaupun aku cuba
jugak.
Bila aku rapat dengan lelaki ini itu, orang cakap aku kaki
flirt. HAHAHA.
Bila orang tanya kenapa aku tak kahwin lagi. Nak aje aku
beritahu. Aku lesbian, kalau same sex marriage ini dibenarkan dalam ISLAM, dah
lama dah. Dah beranak pinak pun.
Bila aku teringin nak anak. Tapi aku selalu cakap aku nak
anak aje tapi tak nak LELAKI. Lalu semua orang mulai pening-pening kepala tak
faham.
Bila aku dengar orang make fun pasal lesbian. Sedangkan
hari-hari orang-orang yang sama puji aku baik dan sebagainya. Aku lesbian. Aku
baik. Aku terasa ya.
Bila orang paksa aku bersosial sana-sini berkenalan dengan
lelaki itu ini, sedangkan aku lebih suka melepak dengan adik-beradik aku dan
melayan anak-anak sedara. Aku malas nak keluar wei. Penat. Bila keluar sana
sini. Sepatunya aku suka dengan lelaki itu ini. Tapi tak. Aku tetap jatuh hati
dengan perempuan. Aku jumpa perempuan-perempuan yang baik. Aku boleh jadi sedih
bila kena sekerasnya melarang hati aku suka dengan perempuan. Di kehidupan yang
singkat ini. Masa itu nak aje aku cakap aku lesbian, aku sayangkan agama aku,
dan jangan kacau aku. Let me be single and happy.
Dan lain-lain masa sebenarnya aku happy sahaja, aku bersyukur
atas segala kurniaan Allah. Biarlah Dia sahaja menilai amalan aku ini.
Jadi perempuan GAY muslim di Malaysia. Diluah mati mak,
ditelan mati bapak. Kenapa aku tak cakap aje pada seluruh dunia yang aku GAY.? Jadi
seorang perempuan di Malaysia ini aje dah banyak ketakutan dan diskriminasi yang
kena diterima. Tambah lagi jadi perempuan GAY.
Penting untuk aku tidak melukakan hati seorang EMAK yang tak
punya satu gram emas pun sepanjang dia melahirkan aku. Ampun mak.
Jadi di sini aku menulis. Meluahkan rasa hati aku. Mungkin
rasa hati aku sama dengan rasa hati kamu. Bagi orang yang tidak merasai, inilah
dunia aku. Dunia kami. Dunia seorang perempuan GAY.
Lesbian bukan sekadar hal sex sahaja, you dirty mind! Sebut
aje lesbian lelaki gasang mula terbayang lesbian porn. Tampar karang!
PS: Yang lesbian, pengkid pun sama. Jangan nak memaksa kawan
lesbian kau yang alim tu pergi flirting dengan aweks sana sini. Itu bukan field
dia. Bila dia ajak kau dengar ceramah agama kau pun tahu nak lari kan!
Subscribe to:
Posts (Atom)