Sunday, August 5, 2018

Terbongkar Juga

Beberapa bulan yang lepas aku telah pun menjual kasut jogging milik aku. Ini menandakan tamat sudah karier aku sebagai jogger separuh masa. Dahulu aku sering berjogging sekurangnya tiga kali seminggu. 

Kaki kiri aku mengalami kesakitan yang teruk setiap kali berjogging. Kata doktor mungkin kasut yang aku pakai tidak sesuai. Aku cuba menukar kasut lain. Ianya masih berlaku. Aku masih belum membuat pemeriksaan penuh. Malas mencari masa ke hospital. Sebarang aktiviti yang terlalu lasak, terpaksa aku hentikan. Cuma berenang dan berjalan kaki ringan sahaja.

Aduh. Inikah namanya tua.

Kisah lain...

Pernah aku ceritakan tentang seorang jejaka kacak . Jejaka kacak ini adalah rakan sekerjaku. Sama-sama pereka grafik. Aku panggil dia Oppa kerana dia suka ke Korea Selatan menikmati musim salji di sana. Kelas kau Oppa.

Saat pertama aku mengenali Oppa lama dahulu. Aku boleh nampak Oppa ini non heteroseksual. Dari segi gaya hidup, cara percakapan dan tidak endahnya kepada gadis-gadis. Kita ringkaskan, dia memang nampak gay. Tapi tak manislah, kau jumpa aje orang yang kau nampak gay terus aje kau nak tanya dia gay ke tidak. Sehinggalah empat tahun kami berkawan rapat di pejabat. Aku tak pun tanya. Aku tunggu sahaja dia ceritakan sendiri.

Beberapa bulan yang lepas, Oppa sering mengajak aku berjogging. Di mana aku terpaksa menolaknya. Oppa juga makin kurang aktif di empat akaun instagramnya di mana followersnya entah berapa ribuan itu. Sehinggakan ada orang bertanya pada aku apa jadi dengan Oppa? OKkah dia? Maklumlah. Ramai yang ambil tahu pasal Oppa ni. Dia ibaratkan celebriti kecil di kalangan kami.

Aku pelik juga. Tiada lagi dia post gambar dia dan geng dia. Apatah lagi post gambar berdua dengan 'partner' dia. Sudah putuskah? Apabila ada aktiviti bersama, lalu aku tanyakan mengapa tak ajak 'si dia' pelbagai alasan yang Oppa berikan. 

Di pejabat keadaan Oppa juga nampak tak terurus. Matanya macam tak cukup tidur, badan susut dan sering kelihatan bersedih. Aku dan seorang kawan rapat lagi (kunamakan kawan ini Lady Olenna) malahan sering berbincang tentang keadaan oppa. Kami cuba menghiburkan Oppa. Di samping itu, aku ada beberapa kali membuat Oppa bercerita. Tetapi dia masih belum membuka mulut. Asalkan nak bercerita, ada sahaja gangguan. Salah satu sebab adalah kami sangat sibuk dengan kerja dan projek. Inilah kehidupan orang dewasa.

Satu pagi itu. Aku datang awal ke pejabat. Oppa bagi hint seperti dia ingin meluahkan perasaannya. Oppa mengajak aku sarapan di kedai mamak berhampiran pejabat kami. Aku dah sarapan di rumah seperti biasa sebenarnya. Oppa memilih meja yang agak terlindung. Lalu dia pun membuka mulut.

30 minit kemudian.

Terbongkarlah segalanya, keluar dari mulut Oppa sendiri. Oppa sah GAY. Oppa putus dengan partner dia beberapa bulan yang lepas. Dia yang putuskan. Dia yang sengsara. Tak boleh tidur. Rasa nak bunuh diri pun ada kata Oppa. Bukan sahaja dengan partner dia. Malahan geng baik dia pun makin menjauh, dan mereka tidak membantu keadaan Oppa. Itulah, kawan ketika bergelak ketawa memang ramai. Oppa kecewa. Oppa merana.

Walaupun aku dah dapat agak yang Oppa gay selama kami kenal, Otak, akal dan hati aku tetap terkejut menerima berita ini. Hubungan Oppa dan partnernya lebih empat tahun. Mana tak merana. Aku yang tak sampai setahun ni pun tak boleh move on sampai sekarang.😅

Oppa kata, ramai je lelaki gay di luar sana yang dia cuba keluar dating sana-sini (oppa ramai peminat ok). Tapi mereka sekadar teman bicara. Tidak dapat memenuhi kekosongan hati dia. Hmm. Boleh tahan jiwang jugak oppa ni.

Oppa cerita ada seorang yang dah lama minat Oppa. Namanya Sham. Lebih dari lima tahun. Kini Sham cuba kembali ke hidup Oppa. Sham pun baru putus. Oppa beritahu, dia takut terlalu cepat menerima. Tapi Oppa juga tak mahu hidup bersendirian. Oppa takut terjebak pula dalam dunia liar gay. Oppa ni husband material sungguh.

Aku mendengar dan mendengar luahan Oppa. Itu sahaja yang aku mampu lakukan.

Beberapa minggu kemudian, Oppa makin ok. Makin ceria. Aku rasa lega sikit. Takutlah aku jika tiba-tiba menerima berita Oppa gantung diri ke. Ish....Segala kemungkinan boleh terjadi.

Sham kini menjadi peneman setiap Oppa. Aku harap Oppa dapat menerima Sham dengan baik walapun secara pelahan. Sham nampak matang. 

Oh ya. Aku dah beberapa kali jumpa Sham. Lepak, makan dan bergelak ketawa. Lain betul Sham dengan partner Oppa yang dahulu yang pendiam orangnya. Sham kelakar. Dapat juga Sham hiburkan Oppa. Sham ini bukan calang-calang orangnya. Berpendidikan tinggi. Kacak bergaya dan bekerja di syarikat yang terkenal. Amboi, macam dalam drama pulak. Aku selalu aje dengar pasal lelaki gay, handsome, berkejaya dan sebagainya ini. Kini kat depan mata aku aje dan menjadi sebahagian hidup aku. Maklumlah, aku kan noob dalam berkawan. Asyik kerja aje. 


PS: Oppa pun tahu aku gay, katanya sebatu dan boleh nampak. Tapi dia pun perangai macam aku. Tak nak tanya selagi orang tu tak ceritakan sendiri. Jadi memang betullah gaydar tu wujud.






Sunday, May 13, 2018

Jo VS Kak Jen dalam Politik dan Hipokrit.

Jo orangnya tidak mewah.

Mungkin hal yang paling mewah yang aku miliki adalah bakat melukis aku.

Dan bakat itu perlu dilatih.



9 Mei 2018 menyaksikan peristiwa genting dalam kancah politik Malaysia.

Pilihan Raya Umum ke 14.

Ianya melibatkan kita semua.

Tidak kiralah kamu mengundi, tidak mengundi, tidak berminat dengan politik, merasakan politik itu tidak penting dan sebagainya ( iya, kata-kata pedas ini untuk seorang pelatih latihan industri di tempat kerja aku yang mengatakan politik hanya membuang masa dia sahaja, sambil dia sibuk bermain permainan video di komputernya)

Ini adalah PRU ke dua untuk aku (menguap)
PRU pertama untuk Kak Jen (urut janggut yang tak wujud, sambil tersengeh)

Semasa PRU 13, aku memilih untuk memangkah dua parti politik yang berlainan, sebabnya:

  • Aku rasa undi individu seperti aku ini tidak akan mempengaruhi keputusan pilihanraya.
  • Aku tak pasti nak undi siapa kerana aku jarang membaca keadaan politik dan ekonomi semasa.
  • Kawan dan keluarga di sekeliling aku tidak pernah duduk berbincang mengenai politik semasa.
  • Aku mengambil nasihat emak sebagai pengundi lama.
Nota* Masa PRU 13 itu, barulah aku tahu yang kena undi ADUN dan PARLIMEN.

Sebagai mana rakyat Malaysia yang baru nak perihatin, bahang PRU 14 ini benar-benar dirasai kehangatannya hanya sesudah PRU 13.

PRU 14 menyaksikan penolakkan dan tumbangnya kerajaan Barisan Nasional.

Kebanyakkan rakan sekerjaku, juga seperti Kak Jen, menjadi pengundi untuk pertama kali.

Kebangkitan ini pada pandangan aku, adalah akibat sikap beraja di mata dan bersultan di hati oleh kebanyakkan pemimpin Barisan Nasional, terutamanya pemimpin UMNO. Rakyat jelata berasa jelik, marah dan kecewa.

GST yang tidak munasabah, pemberian BRIM yang tidak perlu dan segala macam subsidi yang telah dihapuskan. 

Dalam kes aku. aku marah sebab harga rumah terlalu tinggi, tiada skim yang benar-benar membantu dan sesuai untuk orang seperti aku, skandal demi skandal melibatkan FELDA dan juga hal-hal bodoh yang terpaksa aku hadapi apabila berdepan dengan kerenah badan kerajaan dalam melaksanakan kerja aku sebagai warga swasta yang menawarkan diri menghasilan sesuatu dalam skop pendidikan.

Aku harap badan kerajaan seperti ini lebih terbuka, bersungguh-sungguh membuat kajian, lebih profesional dengan cara yang santai bukan santai dengan gaya sahaja profesional. 
Tidak sekadar mengkritik tetapi menyumbang memberi pendapat-pendapat yang bernas juga.

PRU 14 juga menyaksikan Kak Jen, yang aku gelar majalah MASTIKA, tiba-tiba berminat berbicara, borak dan bertekak mengenai politik dan individu-individu tertentu. 
Menariknya apabila dua pendapat dan sokongan yang SAMA, bertembung dengan cara dan gaya berbeza.

Aku terkenal dengan bereputasi skema, rajin membaca dan suka berborak empat mata dengan segala peringkat umur lalu mengutip data pelahan-lahan dari mereka. Menceritakannya di waktu-waktu santai dengan gaya bahasa sederhana sambil mengajak sama-sama berfikir dengan cara masing-masing.

Kak Jen adalah majalah MASTIKA, seperti kita tahu. Minatnya bermusim. Penuh tokok tambah. Seringkali menekankan hal-hal sensasi dan mensensasikan hal-hal yang tak perlu. Disukai dengan jalan ceritanya yang menarik, penuh gelak ketawa dan seringkali bersifat hiburan.

Aku sebagai aku, sebenarnya tidak mahu mempengaruhi sesiapa. 
Aku ibarat peniaga yang menjual idea-idea aku cuma kepada manusia yang benar-benar mahu membelinya kerana mereka mahu. 
Jika tidak mahu, aku tidak mahu menjualnya. 
Tidak dinafikan sedikit hipokrit sebenarnya.

Sebab itu aku juga banyak memilih berdiam kerana aku tidak mahu menjadi hipokrit itu.
Sikap berdiam itu banyak menimbukan konflik dalam diri aku sebenarnya.

Lantang aku biasanya terkeluar apabila Kak Jen mula menyebarkan berita gaya MASTIKA dia. Aku mahu membetulkan dia dengan fakta dan sejarah. Bagi aku, cerita tokok tambah ini tanpa kita membaca dan mendalami susur galur dan makna tertentu, boleh menyebabkan kekeliruan dan salah faham. Hal ini boleh menyebabkan timbulnya rasa kita betul, betul, betul.
Ianya sangat menjengkelkan aku.

Akhirnya bila sejarah lama berulang kembali dan kita selamba memadam betul kita dahulu dengan betul kita sekarang tanpa menyesal.

Aku sendiri tidak dapat mengelakkan manipulasi atas minda aku sendiri. 
Perlu membaca, melihat, mengkaji, mendengar dan belajar lebih banyak, dari segala aspek.
Sebagai seorang muslim, dengan mesti memegang asas pertama iaitu Al-Quran dan Sunnah.
Di sini aku merasakan aku hipokrit dalam pendapat-pendapat aku.
Aku ingin keluar dari kancah keseriusan lalu memilih untuk melayan fan fiction sahaja. 
Maka jadilah aku manusia yang rugi. 

Aku perlukan mak cik-mak cik MASTIKA seperti Kak Jen untuk mengingatkan aku jika orang seperti aku terus berdiam dan melayan fan fiction maka pendapat MASTIKA ini akan diterima bulat-bulat oleh orang sekeliling yang malas.

Jumlah manusia yang malas itu pula terlalu ramai.

Aku teringin membuka akaun curioscat dengan fantasi ada yang bertanya aku mengenai pendapat aku tentang teori konspirasi atau apa bezanya RGB dan CMYK.

Tapi aku tahu itu hanya fantasi. 

Orang lebih suka bertanya apakah warna kegemaran aku.

oh Jo, why so serius? Internet kan tempat chill.

Duit dan internet adalah dua alat yang mempunyai kuasa.

Indahnya bila borak politik, aku masih boleh whatsapp dengan Honey. Mendengar pandangan dan kritikan dari dia yang aku sedia tahu membaca dan belajar banyak. Kelebihan pada dia juga kerana orang sekeliling juga keluarganya yang berfikiran kritis. Sesuatu yang aku tak punyai dan cemburui.

Indahnya politik bila aku boleh melihat kelibat orang kenamaan, lalu melihat Bunga melalui keluarganya dari jauh.

Indahnya politik bila aku dan Kak Jen boleh bertekak secara sihat.

Indahnya politik bila aku boleh menilai semula hipokritnya aku ini. Mengakuinya. Lalu cuba membantu diri aku sendiri.

PS: Warna kegemaran aku ialah Bunga.
















Sunday, January 21, 2018

Laluan Sri Petaling Bahagian 2

" Where are you from?" Tanya aku lagi disebalik kebisingan bunyi train.

" Me? I'm from Croatia... And you?" Dia bertanya kembali pada aku. Suaranya macho. Fulamaks!

Bila aku dengar Croatia aje, gambaran peta dunia dalam kepala aku terhampar.
Jika tidak silaplah, Croatia ni belah-belah Eropah rasanya. Kalau betul Eropah, bermakna Bahasa Inggeris adalah bahasa kedua dia juga. Maka ada kemungkinan grammar kami berdua akan berterabur. Ah! Tak apalah. Asalkan paham.

" I'm from here, Cyberjaya. My name is Jo." Aku memperkenalkan diri. Cewah!

" Hi, Jo! My name is Nina....Cyberjaya in Kuala Lumpur?"

" No, it's near Putrajaya.  I came here to fix my phone. Have you heard about Putrajaya before? It is Malaysia government administrative. Nice and beautiful place. Many tourist go there. " Amboi...Berbelit lidah aku cakap mat saleh ni.

" I've heard it before." Dia tersenyum sambil cuba membayangkan.

" Do you travel alone? Is it the only bag that you have?" Aku menyibuk lagi. Sebab tengok lagaknya macam backpacker aje.

" Yes, I travel alone. I have one more bag in my hotel with my friends that I meet here. Our hotel in Bukit Bintang. Now, I am going to Melaka and will be working at a farm about five days. They will provide me free food, place to stay and I can get more money for my next advanture." Dia menerangkan, aku terangguk-angguk. Penumpang lain juga seperti mencuri dengar perbualan kami.

"If you in Melaka, you can try good local foods there." Aku pulak teruja mempromosikan negaraku Malaysia.

" I've already try local food before. The thing is, I am vegan. So, don't have so much choices for me. I try durian, rambutan, manggis dan some others fruit". Dia menerangkan.

" Vegan? I see...." Sekarang aku yakin dia pengkid dan dia tak straight. Vegan kot.

Kami borak lagi. Dia beritahu dia akan ada di Malaysia sehingga 1 Januari. Kiranya dia akan sambut krismas di sini. Selepas itu dia akan ke Thailand pula. Aku menceritakan kepada dia tentang pantai-pantai yang cantik di sebelah Terengganu dan Kelantan. Tapi disebabkan sekarang musin tengkujuh jadi tak berapa sesuai jika ingin ke sebelah sana. Dia juga menceritakan serba sedikit pengalamannya di Filifina sebelum ini. Sambil dia memuji Malaysia yang cantik dan orangnya yang peramah.

" You look young... Do you still have a family in Croatia? Any siblings? Do you work?" Aku bertanya banyak. Cuba untuk membayang bagaimanakah gaya hidup backpacker pengkid mat saleh macam dia ni.

" Of course I still  have family there. I'm the only child. I have been working for 12 years. I quit my job and now it's time for me to travel around the world." Dia bercerita. Nampak riak wajahnya gembira dan teruja.

" Wow! good for you Nina!" Aku membuat isyarat  thumbs up. Dia tergelak.

" Do you have siblings?" Dia bertanya pula.

" I have 11 siblings." Aku bulat mata sambil buat isyarat tangan.

" Wow! with same parents?" Dia nampak terkejut.

" Hahaha, yes! most of them already married." Perbualan makin rancak.

" Wow, how old are you Jo, mind if I asking?" Amboi, tanya umur pulak.

" And you? You look so young..!" Aku memandang dia dari atas ke bawah tanpa menjawab soalan dia tadi.

" I am not young. I already in my thirties. You look younger yourself Jo." Cewah! Ayat manis... Dia cuba mengorek umur akulah tu. Kemain.

" I already 35, Nina..." Aku buat-buat merendah diri konon.

" Do you have kids Jo? Are you married?" Dia bertanya. Aku perhatikan orang sekeliling memasang telinga jugak. Ish! Tapi ini kan dalam train. Memanglah semua orang boleh dengar.

" No...No I'm still single. See. No ring." Aku menayangkan jari jemari aku yang bulat.

" Me too, but after travel and going back home. I think I wanna be married. Have kids." Dia menjelaskan. Aku pulak terkejut. Dia nak kahwin ke? Nak beranak?. Maknanya dia ni straight ke? Kenapa andaian aku salah. Gaydar aku dah tak berfungsi ke? Tidak!!!... Aku tak boleh terima kenyataan yang gaydar aku dah tak updated.

Hati wartawan cabuk aku memberontak untuk bertanya. Kalau tak ditanya sampai bila pun aku tak tahu. Ini mungkin pertemuan terakhir kami. Ini sahaja peluangnya.

" Nina... Sorry if I asking you something?" Aku merapatkan diri kepada dia.

" Yes, please." Dia menganjakkan diri dekat kepada aku.

" Hmmm... Do you straight Nina?" Pap! Keluar seketul soalan peribadi untuk orang asing yang aku baru kenal tak sampai 15 minit. Tak sesuai betul. Jo...Apa kau buat ni syaiton.

" No... I am not." Dia jawab selamba. Kan betul aku dah cakap. Gaydar aku masih ok.

" Do you gay Jo?" Giliran dia pulak tanya aku. Ambik kau. Nak tersedak aku masa tu.

Penumpang lain masing-masing dah pandang aku. Terutamanya mak cik bertudung ropol yang betul-betul bertentangan dengan kami. Masa tu aku harap mak cik ni tak tahu Bahasa Inggeris. Tak pun mak cik ni closeted lesbian ke. Apa aku nak jawab ni. Ya ke tidak.

" No, I'm not straight Nina." Akhirnya aku menjawab menggunakan polisi tak perlulah berbohong.

" Really Jo? But I thought in Malaysia, it forbidden." Muka dia terkejut.

" It forbidden everywhere actually. But I manage. I also have some not so straight friends..." Aku menjelaskan. Muka Nina masih lagi menunjukkan riak macam tak percaya.

" Do you have facebook? I wanna add you." Tiba-tiba dia teruja. Amboi...

" I don't have facebook, but I have twitter? Do you use twitter?"

" I don't have twitter. Can I have your number? Pantas betul pengkid mat saleh ni.

Kami pun bertukar-tukar nombor telefon. Sambil mengatakan yang dia ada instagram. Aku terkial-kial sikit pasal aku belum setting apapun telefon baru ni. Train sampai ke destinasi stesen Bandar Tasik Selatan. Kami bersalaman dan dia turun. Ramai penumpang lain yang turun. Jadi dapatlah aku duduk.

Aku tersengih membayangkan semua perbualan aku tadi.

Malam itu dalam pukul 7 lebih dia WhatsApp aku. Aku jawab baik-baik. Aku dah install semula apps aku yang lain-lain itu. Recover benda-benda yang hilang. Nombor telefon, emel dan sebagainya. Untuk orang yang bekerja dalam bidang IT macam aku ni telefon pintar adalah satu keperluan.

Esok pagi dia di WhatsApp aku lagi mengatakan dia sudah di Melaka. Aku jawab baik-baik juga. Tapi pendek aje. Malas aku nak berpanjangan. Karang nampak aku macam 'berminat' pulak.

Tengah hari itu dia WhatsApp aku lagi tanya pasal gay bar kat Kuala Lumpur. Aku jawablah aku tak tahu, sambil aku cuba cari guna google.

Keesokkan harinya aku WhatsApp dia sambil mencadangkan beberapa makanan tempatan yang berunsurkan vegan pada dia, mengenangkan dia cerita dia asyik makan buah sahaja.

Dia mengajak aku dinner atau lunch bila dia kembali ke Kuala Lumpur nanti. Aku tak berminat sebenarnya, tahulah aku punya sibuk macam mana. Nanti dah janji tapi tak dapat nak tunaikan pula. Tapi, tak adalah menolak secara langsung. Aku cakap aku tak biasa dengan tempat makan vegetarian di Kuala Lumpur. Nampaknya dia macam faham sebab aku jawab pun pendek-pendek sahaja.

Itulah sahaja ceritanya.

PS: Aku sengaja tak minta instagram dia, nanti aku cemburu tengok orang pusing satu dunia.



Tuesday, January 2, 2018

Laluan Sri Petaling

Beberapa hari lepas aku begitu berkobar untuk menulis cerita ini.
Sekarang aku menulis agar tidak lupa di kemudian hari.

Blog ini dah macam diari.

Aku jarang keluar, itu yang semua sedia maklum. Aku peramah, walaupun sedikit pemalu. Boleh borak tak henti-henti. Skema dalam semua aspek. Cuma aku memang MALAS NAK KELUAR.

Hari Sabtu yang lepas, kononnya nak beli kasut hitam. Kasut hitam sedia ada telah pun terkopak tapaknya. Usia kasut BATA itu mampu bertahan selama tujuh bulan sahaja di kaki aku. Aku berkira-kira untuk membeli kasut PUMA, mungkin boleh capai tiga tahun. Aku bersiap ala kadar.

Sedang aku cuba mengecas telefon pintarku, Redmi Note 3. Tiba-tiba telefon pintar itu sudah tidak pintar lagi. Setelah beberapa hari aku menggunakan ianya 24 jam tanpa henti. Telefon ini mampu bertahan hampir dua tahun sahaja.

Aku mengira-ngira tempoh hubunganku dengan Bunga. Tak sampai setahun...

Lalu aku membuat keputusan. Aku adalah seorang pemilik yang tidak cermat. Gelojoh. Tidak sabar. Apa yang aku miliki aku gunakan sepenuh perasaan dan kemahuan aku. Lagi-lagi sesuatu yang aku sukai.

Mak aih! Panjangnya intro.

Tanpa berlengah, aku yang sudah pun bersiap, mengambil keputusan untuk ke Plaza Lowyat. Hub segala gadget. Harapnya dapat mencari mana-mana tukang baiki yang mampu membetulkan kesilapan aku itu.

Aku menaiki LRT laluan Sri Petaling, ke Hang Tuah kemudian menaiki KL Monorail ke Imbi.


Dua hari aku ke Plaza Lowyat. Beberapa tukang baiki telah dicuba. Berbelas jam juga masa dihabiskan. Proses membaiki telefon pintar ini akhirnya mencapai satu keputusan. TIDAK BERJAYA.

Petang Ahad itu, setelah meninjau beberapa pilihan yang ada, akhirnya aku memilih untuk membeli telefon baharu sahaja. Redmi 4A dengan harga RM450 tanpa berfikir terlalu banyak. Lesap bajet kasut PUMA aku.

Sakit hatilah juga. Benda yang dirancang tidak menjadi. Itulah kehidupah namanya. Aku redha ajelah. Sambil berazam supaya telefon baru ini boleh bertahan lebih dari 2 tahun.

Pulang hari ke dua juga menaiki LRT. Aku jalan lambat-lambat. Nak bekejar pun bukannya ada anak isteri yang menunggu di rumah. Sambil memikirkan kerja design yang masih berlambak tak disiapkan. Tertangguh disebabkan daya kreativiti aku agak tumpul semenjak dua menjak ini. Ugh! Letih.

Aku ternampak seorang perempuan Mat Saleh berambut pendek, bertopi, memakai singlet dan berseluar pendek sedang memegang peta LRT sambil bertanya kepada seorang brader yang memegang bayi. Saja aku dekatkan diri untuk mencuri dengar perbualan mereka. Dia hendak ke stesen Bandar Tasik Selatan (TBS). Sama laluan dengan aku.

Aku biarkan sahaja, lalu menunggu train yang belum kunjung tiba. Kemudian aku terdengar lagi perbualan mereka di belakang. Brader tadi seperti memberikan penerangan yang agak mengelirukan. Aku menggelengkan kepala.

Sudah sampai masanya aku ambil alih pertolongan brader tadi menggunakan skill Bahasa Inggeris yang penuh dengan kesalahan grammar dan sebutan Inggeris ala Melayu aku.

"Hi, where are you going?" Amboi! Gitu ayat aku menyoal dengan penuh keyakinan. Aku memberikan senyuman sederhana kepada mereka berdua.

"Bandar Tasik Selatan..." Perempuan mat saleh itu memberitahu sambil menunjukan peta di tangannya kepada aku.

"I think you must take another train...bla..bla.." Brader tadi cuba menjelaskan lagi, nampak seperti tak berpuas hati dengan pertolongan secara sailang yang cuba aku gunakan.

"Don't worry, you're on the right track. We now at Hang Tuah right? Take train to Putra Height Line and it will stop at Bandar Tasik Selatan." Aku cakap mat saleh lagi dengan penuh merepeknya. Ikut suka hati aku, sambil menunjukkan laluan dalam peta dia.

"I think so. Thank you. Where are you going?" Dia pulak bertanya aku.

"We on same train, but I stop at different station." Aku tersengih. Dia mengangguk tersenyum.

Masuk aje dalam train, punyalah ramai orang. Terpaksalah aku berdiri. Perempuan mat saleh ni berdiri jugak sambil tersenyum-senyum memandang aku. Gaydar aku berbunyi dengan kuat. Aku yakin perempuan mat saleh ni, sekurangnya pengkid.

Aku pulak tak berfesyen pun hari ini. Tak memengkid. Aku pakai oversized sweatshirt, seluar slack, kasut kungfu dan tudung ikat. Memang sengaja aku pakai gaya mak cik-mak cik. Ia membuatkan aku rasa berkuasa "don't mess with mak cik".

Tapi sekarang, menyesal pun ada. Tak bolehlah aku nak membuka bicara dari pengkid ke pengkid dengan pengkid mat saleh ni...

Tapi itulah, aku adalah aku. Walau mak cik macam mana pun gaya yang aku ada. Entah kenapa dengan keyakinan melebihi Ann Najwa menjaringkan gol, kaki ini mengorak pantas  lebih dekat ke arah dia...

"Where are you from...?" Spontan mulut aku bertanya.


Bersambung...

Thursday, December 14, 2017

Kemaskini Bahagian 2

Jom borak lagi... 

Aku bukannya tak ada idea nak menulis. Selalunya ada aje. Tapi idea mengebu-gebu itu selalu hadir saat pukul 7.30 pagi,  sedang aku  bersiap hendak pergi kerja. Menulis guna smart phone bukanlah kegemaran aku. Tapi sekarang ini, aku terkial-kial  melakukannya di tepi bucu katil. 

Dan, tidak.... Aku tidak akan sama sekali meminta maaf atas typo yang bakal terjadi.

Honey ni macam berhantu. Setiap kali aku whatsapp dengan dia, entah kenapa keupayaan menulis aku meningkat. Jadi terima kasih untuk Honey atas superpower ini. 

Kadangkala sedang aku menepuk bantal untuk tidur, tapi aku masih tak tidur-tidur. Aku  berangan. Macam manalah jikalau aku dan Bunga end up bersama? Mesti terbayangkan kehidupan romantik diiringi  lagu cinta. Berkejaran di taman. Suap menyuap pizza. (Domino's semestinya)

Aku tak fikir akan jadi macam itu. Realitinya kami berdua orang yang gila kerja. Bunga ni, kalau sedang bekerja tak pandang kiri dan kanan. Bukannya tak pernah aku menari ala-ala Natalie Portman dalam filem Closer tu untuk menarik perhatian dia. Tapi, meh... Tidak dipedulikan. Dia terus sahaja menaip, dan drafting kerja dia. Padahal itu kerja intern sahaja.

Malah Kak Jen banyak kali menekankan bahawa aku dan Bunga adalah orang yang bersikap skema dan boring. Hobi bersama adalah kemas bilik, makan kat Volcano Shabu Shabu dan hmm...apa ya lagi? Aku tak boleh nak recall detik romantik kami. Solat jemaah bersama? Lepas tu aku komplen Bunga baca surah panjang-panjang? Mungkinlah...

Dalam berangan itu, aku berharap satu hari nanti kami akan bersahabat semula. Mungkin bukan sekarang. Dah tentu dia tak nak terima. Semua terpulang pada dia. Aku tak tahu bagaimana caranya.  Bunga bukan jenis peramah dan suka berkawan. Diam pendiam. Aku tak boleh baca apa ada dalam hati dia. 

Paling penting, aku sendiri kena menghargai kehidupan aku hari ini. Orang sekeliling. Kawan seketul dua yang aku ada. Alhamdulillah, aku ada kehidupan yang baik. Famili dan kawan-kawan yang ok. Sesekali memeningkan itu memanglah. Baru kehidupan namanya. 

Terima kasih Allah. 

PS: Lambat nak pergi kerja, tapi sempat pulak aku sapu lantai ruang tamu. 


Wednesday, December 13, 2017

Kemaskini

Jom kita borak hal santai-santai.

Sebenarnya dalam tempoh beberapa bulan ini banyak kali aku cuba pujuk Bunga supaya berbaik.

Secara berkias, sudah.

Secara terus-terang, sudah.

Secara baik, secara jahat. Dah aku buat.

Dia tak nak. Dia memang dah tak nak. Dia suruh aku move on ajelah.

Move on pun move on jugak. Sesekali teringat. Datang menganggu mimpi-mimpi aku. Dunia aku pun bukannya besar sangat. Semuanya berkisar di antara keluarga, kawan-kawan seketul dua tu dan kerja yang berlambak tak habis-habis.

Jadi habis cerita Bunga, jangan tanya aku lagi. Pasal kami tak berhubung. Nak berhubung guna emel saja. Formal.

Tahun ini tahun bercerai, juga tahun ini tahun aku pindah rumah. Alhamdullilah syukur. Walaupun sewanya hampir dua kali mahal. Sekurangnya hati rasa lega. Rasa bebas. Terlepas daripada bekas rakan serumah yang memeningkan kepala. 

Sebelum pindah, aku terus terang apa yang membuat aku kecewa benar dengan bekas rakan rumahku itu. Dia terkejut. Adalah sekali percubaan nak pujuk aku. Tapi tidak. Kesabaran manusia yang namanya Jo ni ada juga batasnya. Sekali meletup. Aku angkat kaki terus. Rasa berdosa membiarkan diri terus teraniaya atas nama sabar. Rasa bodoh dan rasa kena buli atas nama persahabatan. Semua itu aku tinggalkan. Terima kasih Allah.

Pindah rumah bukannya mudah. Bila makin berumur ni, kalau boleh nak saja menetap satu tempat aje. Ikutkan aku, nak aje beli rumah sendiri. Tapi setelah membuat kira-kira, aku simpan dulu hasrat itu. Mungkin belum rezeki. Doakan aku ya.

Dalam pencarian bilik atau rumah sewa itu, terjumpalah satu iklan sewaan bilik ini. Dia punya iklan sewaan punyalah rare. Antara syaratnya mestilah seorang yang solat lima waktu, muslimah yang jaga agama. Setelah lebih 10 buah rumah yang aku dah pergi tengok, paling terbaik adalah rumah ini. 

Penghuni sedia ada seorang ustazah, umur 30-an masih single. Anak bongsu. Keluarganya boleh dikatakan senang. Dia menyewa juga. Maka berpindahlah aku di rumah ini.

Rumah ini tak ada TV, jadi kalau kat ruang tamu ni, aku mengadap ustazah. Ustazah mengadap aku. Kelakarnya, ustazah pernah cerita dulu ada pasangan lesbian (jangkaan dia) tinggal di rumah ini. Dia dapat tahu lepas pasangan itu bergaduh sakan. Pasangan itu polis katanya. Aku punyalah tahan gelak kat dalam hati. Kalau ustazah tahu aku lesbian jugak, mesti kena ceramah 40 hari, 40 malam. Yang itu aku serahkan pada Allah supaya menjaga hubungan kami sesama manusia.

So far, aku enjoy duduk dengan ustazah. Borak topik ilmiah, topik santai, masa depan dan kadang kala bertekak menegakkan pendapat masing-masing. Dia masak aku makan, aku masak dia makan. Pemurah orangnya. Syukur...Syukur...

Seorang lagi rakan serumah aku masuk selepas aku. Aku namakannya Misha. Misha baru sahaja habis belajar. Ada tanggungjawab besar pada keluarga. Misha ni kalau tengok rupa, tak adalah berupa. Biasa aje, lawa lagi ustazah. Tapi boyfriend Misha boleh tahan kacak. 

Mereka pergi kerja bersama naik motor. Jimat katanya. Ada sekali ustazah ternampak. Punyalah ustazah membebel pada aku. Aku cakap, kita doakanlah keduanya kahwin cepat. Sambil itu, aku cakap sendiri pada Misha, cukup duit nanti, cepat-cepat kahwin untuk mengelakkan fitnah. Sambil itu aku selitkan pada Misha tips untuk menambah rezeki. Dalam keadaan ekonomi sekarang ini bukan mudah. Aku doakan keduanya pandai menjaga diri. Insya Allah. Misha ni aku tengok ok sahaja budaknya.

Tahun ini dua orang kawan lesbian aku kahwin. Aku happy untuk mereka. Jodohkan kurniaan Dia. Semoga kebahagian milik orang-orang yang mahukannya.

Selain itu, aku dapat berita yang Honey sudah melahirkan anak ketiga. Perempuan. Kata Honey, apa yang dia niatkan semua dia dapat. Syukur untuk itu. Comel baby Honey. Senyum sebijik macam emaknya. Cair hati Mak Cik Jo tengok gambarnya. Semoga menjadi anak yang solehah.

Aku dah mak cik. Makin senja. Bulan ni dua kali gigi patah. 2017 dah nak habis. Banyak azam kena sambung tahun 2018.

PS: Intern aku ajak solat kat surau. Gerak dululah ya. Bye. Jumpa lagi.







Friday, March 3, 2017

Bukanlah Rahsia.

Assalamualaikum dan salam sejahtera pembaca budiman...

Terasa macam menulis surat pula. SURATan takdir. *gelak.

Bercinta sudah, bergaduh sudah, berusaha untuk membaikinya pun sudah. Tapi segalanya bukan seperti yang kita rancang. Aku dan Bunga berundur diri daripada meneruskan hubungan kami.

Sebab apa clash? Tapi you I punya OTP. No Jo.... Tak akan semudah itu.

Aku tak akan bagi jawapan klise artis, No komen...Tak membantu.

Simple. Hubungan ini, kami tak mampu nak bawa ke hajat kami. Dia tak mampu nak bahagiakan aku dan keluarganya sekaligus. Aku tak mahu lihat dia tidak dihormati keluarga. Kami tak cukup selfish untuk menyakiti semua orang. Jadi kesakitan ini biarlah kami berdua yang menanggungnya.

Aku dan dia jenis orang yang terus terang dan telus. Walaupun kami cuba berusaha menyorok cinta kami dan menafikan. Orang buta pun boleh nampak. Ianya terlalu besar. Kalau kau lihat cara aku senyum dan pandang dia. Kalau kau dengar intonasi suara dan gelaknya bila dengan aku. Kau tahu, betapa kuat rasa itu dan ia tidak diizinkan sama sekali. Ia membahayakan bukan sahaja nyawa kami, malah nyawa orang lain juga. Aku tidak mahu ada yang mati jika kami meneruskannya.

Dunia ini kita kongsi, lalu aku maafkan segala kesengsaraan hati yang aku rasa ini sambil menyelit sampul-sampul doa. Agar mana-mana jiwa yang homophobic itu ditumbuk hingga berdarah. Kamu tak akan menerima fikiran aku. Aku juga tidak mahu menerima fikiran kamu. Duduklah dalam kelompok homophobic. Memaki dan hinalah sepuas hati. Moga jalan kita tidak ketemu.

Aku dan Bunga masih chat. Masih bersopan santun sesama kami. Kami ketepikan ego dan kesedihan. Aku pun tak tahu sama ada ianya bagus atau tidak. Aku punya seorang dua kawan untuk aku borak soal kesedihan ini. Cukuplah.

Dunia ni berputar pantas. Cerita hari esok ada lagi untuk aku tempoh. Ada sedikit sesal, ada sedikit nangis. Langit masih indah dan luas untuk diterokai. Masih banyak lukisan yang perlu aku siapkan. Masih banyak tangan yang perlu aku tarik agar tak jatuh.

PS: Biar bermakna.

Followers