Friday, March 3, 2017

Bukanlah Rahsia.

Assalamualaikum dan salam sejahtera pembaca budiman...

Terasa macam menulis surat pula. SURATan takdir. *gelak.

Bercinta sudah, bergaduh sudah, berusaha untuk membaikinya pun sudah. Tapi segalanya bukan seperti yang kita rancang. Aku dan Bunga berundur diri daripada meneruskan hubungan kami.

Sebab apa clash? Tapi you I punya OTP. No Jo.... Tak akan semudah itu.

Aku tak akan bagi jawapan klise artis, No komen...Tak membantu.

Simple. Hubungan ini, kami tak mampu nak bawa ke hajat kami. Dia tak mampu nak bahagiakan aku dan keluarganya sekaligus. Aku tak mahu lihat dia tidak dihormati keluarga. Kami tak cukup selfish untuk menyakiti semua orang. Jadi kesakitan ini biarlah kami berdua yang menanggungnya.

Aku dan dia jenis orang yang terus terang dan telus. Walaupun kami cuba berusaha menyorok cinta kami dan menafikan. Orang buta pun boleh nampak. Ianya terlalu besar. Kalau kau lihat cara aku senyum dan pandang dia. Kalau kau dengar intonasi suara dan gelaknya bila dengan aku. Kau tahu, betapa kuat rasa itu dan ia tidak diizinkan sama sekali. Ia membahayakan bukan sahaja nyawa kami, malah nyawa orang lain juga. Aku tidak mahu ada yang mati jika kami meneruskannya.

Dunia ini kita kongsi, lalu aku maafkan segala kesengsaraan hati yang aku rasa ini sambil menyelit sampul-sampul doa. Agar mana-mana jiwa yang homophobic itu ditumbuk hingga berdarah. Kamu tak akan menerima fikiran aku. Aku juga tidak mahu menerima fikiran kamu. Duduklah dalam kelompok homophobic. Memaki dan hinalah sepuas hati. Moga jalan kita tidak ketemu.

Aku dan Bunga masih chat. Masih bersopan santun sesama kami. Kami ketepikan ego dan kesedihan. Aku pun tak tahu sama ada ianya bagus atau tidak. Aku punya seorang dua kawan untuk aku borak soal kesedihan ini. Cukuplah.

Dunia ni berputar pantas. Cerita hari esok ada lagi untuk aku tempoh. Ada sedikit sesal, ada sedikit nangis. Langit masih indah dan luas untuk diterokai. Masih banyak lukisan yang perlu aku siapkan. Masih banyak tangan yang perlu aku tarik agar tak jatuh.

PS: Biar bermakna.

Friday, January 27, 2017

Plot Twist

Dipetik:
Robbisrohli sodri, wa yassirli amri,
wah lul uqdatan min lisani, yafqohu qouli.
(Surah Taha: 25-28)
“Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku, mudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskanlah kekakuan lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku”


Bila aku mula berkata. Orang naik marah.

Orang marah. Aku marah. Semua marah-marah. Lalu aku berdiam. Sehingga ada yang meminta aku berkata kembali.

Kita mahu menyempurnakan keadaan, di mana keadaan tidak boleh disempurnakan. Kerosakkan apakah yang sedang kita lakukan?

Aku minta. Baca dan berfikirlah. Kemarahan itu apinya membakar jika disiram petrol. Tulisan aku ini jika di anggap petrol, maraknya boleh nampak hingga ke negara sebelah. Tapi, jika kau anggap ianya air. Sejuknya boleh kau rasa dalam hati.

Alkisah.

Honey…Honey… Oh! Honey…

Setelah lebih 10 tahun. Terdetik untuk aku tanyakan dia kembali, semasa dia minta putus dahulu adakah di sebabkan dia sudah jatuh cinta dengan Mr Honey itu, ataupun sebab faktor gay ini berdosa, atau kedua-dua faktor?

Jawapan dari dia mengejutkan aku.

Masa masih bercintaan dengan aku, dan sebelum dengan Mr Honey, dia mulai suka dengan lelaki A. Kemudian Mr Honey kemudian lelaki B, kemudian lelaki C. Kemudian pelbagai kisah berlaku. Kami putus. Pelbagai kisah berlaku kembali. Dia kemudian kembali ke Mr Honey lalu mereka berkahwin.

Faktor gay pun memang benar juga. Dia memberitahu, betapa dia lemah menerima sayang dari aku. Asalkan ada yang menyayangi. Biarpun dia tahu dosa-dosanya. Untuk itu dia tak pernah berasa tenang. Dia turut meminta aku bertaubat dan meminta keampunan Allah. Katanya, cinta itu sifatnya bisa datang kembali. Lalu dia pergi meninggalkan aku.

Aku tanyakan pada dia, kenapa aku tak tahu ini semua? Adakah salah aku tidak bertanya? Padahal masa kami berpisah, memang aku bertanya itu ini. Tetapi dia tidak pernah menjawab telus. Tidak juga menipu, cuma ceritanya tidak penuh.

10 tahun lebih aku percayakan sesuatu yang salah. Aku percaya dia tinggalkan aku semata kerana faktor gay dan faktor cinta sucinya untuk Mr Honey.

Ini yang aku mahu gelar privilege. Privilege buat dosa. Asalkan dosa itu dosa yang nampak biasa-biasa seperti dosa bercinta dengan lelaki bukan muhrim. Dosa gay jadi luar biasa. Perlu direjam.

Ah! Itu kata si Syaitan. Siapalah aku untuk menilai dosa. Ampunkan hamba. Hamba cuma insan yang sakit hati.

Aku tidak mahu merosak reputasi dia. Aku tidak mahu berlagak kononnya aku si mangsa. 10 tahun itu adalah kebodohan dan kedegilan aku sendiri. Dia masih sangat-sangat aku hormati. Wanita yang banyak menunjuk dan mengajar aku jadi matang, kuat dan seperti hari ini. Jalan aku telah pun bertembung dengan jalannya. Aku pernah merasa manisnya cinta kami. Jumpa Honey, tiada apa yang aku sesalkan. Malah aku berterima kasih.

Sekarang Honey menjadi seorang pendakwah. Antaranya dakwahnya mengajak kembali golongan LGBT ke jalan benar. Meminta umum supaya jangan berkeras dengan golongan LGBT. Dalam dakwahnya untuk LGBT, semua kemanisan ini cumalah tipu daya. Kata-kata yang membenarkan LGBT adalah tipu daya. Jangan terpedaya dengan tipu daya dan kembalilah ke jalan Allah.

Aku mahu Bunga, aku mahu sentiasa ke jalan Allah jua.

Keduanya tidak boleh berjalan seiringan kah?

Siapa yang benar?

Honey? Ya?
Aku yang hina ini? Ya?


PS: Sedang belajar.

Wednesday, August 24, 2016

Sedekah.

Hari minggu itu aku balik ke kampung dengan Kak Jen. Aku ajak Bunga, tapi dia perlu mengajar adik bongsunya yang bakal ada ujian. Alah, aku pun tahu dia susah nak dapat keluar. Saja-saja aku pancing. Tapi tak mengena pula kali ini.

Mula-mula aku malas juga nak baik. Sudah tiga minggu aku tak duduk diam di rumah. Ada sahaja hal yang perlu di uruskan.

Emaklah telefon suruh balik. Katanya pokok mangga depan rumah kami kemain menjadi buahnya tahun ini.  Kecur air liur, walaupun aku tak adalah minat sangat dengan buah mangga. Dek kerana promosi berlebihan daripada emak, aku ikutkan juga.

Dalam kereta, aku dan Kak Jen berborak satu demi satu topik.

“Aku rasa, aku dah makin kurang bersedekah.”

Aku membuka topik pagi itu. Mata Kak Jen terkebil-kebil memandang aku dengan topik yang agak asing ini.

“Nak bersedekah pun sekarang ni aku sampai berkira-kira. Rasa untuk diri sendiri pun dah tak cukup. Beza betul dengan tahun-tahun sebelumnya. Teruk ekonomi sekarang ini.”

Bebel aku lagi.

“Bodoh punya kerajaan. Harga barang makanan naik, harga pengangkutan awam berlipat kali ganda. GST tu dia orang kutip, tapi kebaikkannya aku belum nampak. Makin melampau pula kos sara hidup."

Lantang betul suara Kak Jen membalas cerita aku.

Aku mengiyakan sambil memotong satu demi satu kereta.

"Eh, yang kau asyik ambik line kanan ni kenapa? Selalunya kemain slow kau bawak kereta."

Tanya Kak Jen yang baru perasankan kelajuan kereta kecik aku tu.

"Kereta depan ni slow sangatlah kak. Jalan highway tak boleh slow sangat. Bahaya betul! Aku nak tengok olimpik. Kejar masa."

Jelas aku pada Kak Jen.

"Jangan Dik... Nanti tak pasal-pasal kau kena saman dan 'sedekah' pada kerajaan."

Kak Jen menasihati aku.

Aku ketawa dengan lawak Kak Jen, sambil memperlahankan kereta, mengikut aturan had laju. Kami terus berborak tentang isu para pemimpin yang tamak dan korup. Juga mengimbas kembali zaman naik kenderaan awam masa kami masih sekolah berasrama.

Sesampai di rumah, buah manggalah yang aku tuju dulu. Tak sempat bersalam dengan emak. Beg pakaian pun aku campak sahaja tepi pintu. Banyak betul buahnya. Penuh satu peti ais. Yang belum betul-betul masak, emak peram dalam baldi besar. Emak tergelak sahaja tengok keletah gelojoh aku.

Sambil menghiris dan makan mangga, Kak Lin datang minta pucuk ubi. Kak Lin ini jiran kami juga. Lama mereka berborak. Kak Lin sekeluarga jadi makin rapat dengan emak selepas ibunya, kawan baik emak meninggal dunia. Muhasabah diri aku melihat kemesraan emak dengan Kak Lin. Aku masih ada emak tempat bermanja dan merujuk. Emak nak suruh balik makan mangga pun banyak alasan aku bagi. Menyesal pulak aku bagi alasan itu-ini. Patutnya aku balik aje terus. Berair mata aku kejap.

Meriah rumah kampung. Ada Emak, Kak Ngah anak beranak, Kak Jen, adik bongsu si Jasmin. Jaha pun ada. Jaha memberikan berita gembira. Isterinya yang LDR sebab komitmen kerja baru disahkan mengandung.

Aktiviti dekat kampung simple aje. Bincang dan borak itu ini dengan ahli keluarga. Tolong emak menyapu keliling kawasan rumah. Main anak kucing. Duduk kampung sekali-sekala memang sedap. Tapi kalau selalu, mati kutu juga aku dibuatnya. Macam manalah aku nak bersara dan duduk dekat kampung nanti. Aku asyik fikir masa tua.

Petang Ahad itu sebelum balik ke KL, emak suruh aku hantarkan anak sedara aku, anak Kak Lang berdua itu. Dia orang ni sekolah menengah agama berasrama di Bandar M. Kereta Jasmin pula kunci pintunya rosak dan aircond tak boleh on. Sekarang pula asyik hujan. Aku turutkan sahaja. Kak Lang dan Jasmin ikut sekali.

Sebaik sahaja keluar dari kawasan kampung aku, ada pula roadblock. Menurut Jasmin sekarang ini memang selalu ada roadblock. Banyak kes rompakan berlaku dalam kawasan kampung aku dan kampung-kampung sekitarnya. Rumah kampung kami pun baru aje pasang grill sebagai langkah keselamatan.

Penguatkuasa JPJ memeriksa kenderaan aku. Selepas itu dia meminta lesen memandu. Aku mengeluarkannya lalu memberi lesen tersebut kepada dia.

"Ada lesen lain tak?"

Tanya dia.

"Lesen lain? Ya Allah."

Tiba-tiba aku teringat sesuatu. Hari lahir aku yang seminggu telah berlalu.

" Lesen saya bukan sampai 2017 ke Bang?"

Aku bertanya.

"2014-2016 aje ni. Lesen awak dah mati seminggu lepas."

Dia menunjukkan lesen itu semula kepada aku.

"Alamak. Saya betul-betul tak perasanlah Bang. Baru aje lepas seminggu."

Aku menepuk dahi kerana kecuaian aku itu.

"Saya kena keluarkan saman ni. awak ketepikan kereta."

Dia meminta aku mengenepikan kereta.

"Expired seminggu sahaja bang. Tak boleh dilepaskan ke? Sekali ini sahaja saya lupa."

Aku cuba merayu.

"Kalau tiga hari boleh. Seminggu tak boleh. Saya tak boleh buat apa-apa. Lagipun pegawai saya tengok tu. Saya akan keluarkan saman."

Dia sedikitpun tidak mempedulikan rayuan aku.

Beberapa ketika itu dia datang memberikan surat saman kepada aku. Aku bertanya di mana perlu aku membayarnya dan berapa jumlah saman yang aku kena.

Selepas mendapat sedikit sebanyak maklumat, aku ke gerak ke Bandar M. Menjalankan tanggunjawab aku menghantar anak-anak sedara. Hujan bukan main lebat.

Punyalah mengelak nak bagi 'sedekah' dekat kerajaan. Aku tewas juga. Saman telah aku bayar. Melayang duit aku macam itu sahaja. Hati geram. Tapi nak buat macammana. Kecuaian sendiri dan memang dah tak ada rezeki.

PS: Lain kali, kalau ucapkan happy birthday, ucaplah selamat renew lesen memandu sekali.



Friday, August 19, 2016

Tinggi Hajat di Hati.

Bercinta dengan Bunga ini, aku rasa seperti melangkah setapak ke hadapan dan berundur dua langkah ke belakang.

“Tapi… Kenapa Jo?”

Tanya para pembaca  setia kisah non fiksyen aku ini.

Macam ini.

Punyalah lama aku simpan status single itu. Tup! Tup! Datang Bunga, si gadis manis berumur 24 tahun telah merobek jiwa raga mak cik engkau ni, Nak!

Sebelum Bunga, dalam tempoh 10 tahun ini memanglah aku crush pada seorang demi seorang gadis. Jumlahnya mungkin kurang daripada lima. Crush pun crushlah, tapi tak jadi apa-apapun. Telah aku ceritakan kisah-kisah itu dalam catatan-catatan sebelum ini. 

Jadi gay/lesbian tapi kau single ini lebih bebas sebenarnya. Bebas berfikir, bebas menyuarakan pemikiran, bebas mengutuk kisah cinta rakan-rakan engkau yang entah apa-apa.  Bebas membuat keputusan mengikut acuan yang dirasakan betul. Bebas juga cuci mata. 

Bila dengan Bunga, aku kena fikir tentang bersama. Bukan AKU. Bukan DIA. Tapi KAMI. Bertindak selepas berbincang.

Ada sekali itu,  aku rasa patut terus terang sahaja tentang hubungan kami ini kepada rakan-rakan terdekat. Sama ada yang tidak tahu atau sengaja buat tidak faham dengan seksual orientasi aku ini. Aku minta pendapat Bunga. Dia membantah. Katanya biarlah hubungan ini ekslusif antara kami dahulu. Apa pentingnya orang lain tahu atau tidak. Mungkin akan  mendatangkan keburukan pada kami sahaja.

Aku geram juga dengan bantahan itu. Tapi geram aku sejuk bila dia selamba-selamba pegang tangan dan manja bermanja dengan aku di depan semua orang. Malah dia pula yang sering bertanya pada aku.  Apabila aku melepaskan genggaman tangannya itu, sama ada aku ini malu dengan dia.

Dalam soal keluarga dan kekeluargaan pula. Aku sudah pun bawa Bunga jumpa famili aku. Berkenalan dengan emak, adik beradik dan anak-anak sedara. Aku mengajar anak-anak sedaraku memanggil Bunga, dengan nama Mak Anjang Bunga sempena pangkat aku Mak Anjang. Malah pada sesetengah adik beradik aku nyatakan. Inilah dia kekasih anna, Nur Bunga!

Respon famili aku, NO RESPON.

Marah tidak, menasihatkan tidak dan mengiyakan pun tidak.

Agaknya mereka merasakan aku tidak serius dengan Bunga. Masakan orang seperti Bunga mahu bercinta-cintaan dengan perempuan berusia  seperti aku. Atau mereka mungkin merasa hubungan kami ini sekadar untuk menghilangkan kesedihan dan kesepian aku yang tidak dapat mereka bantu. Lalu mereka biarkan.

Aku tidak tahu. Malas aku jadikan soal di antara aku dengan Bunga ini sebagai  topik perbincangan terbuka dalam famili aku.

Mari kita berkenalan sedikit dengan famili Bunga. Ayahnya berjawatan penting dan dihormati. Ibunya pula suri rumah tangga yang sentiasa ada menyokong mereka adik beradik. Cuma, kadang kala sibuk dengan persatuan yang harus dia sertai demi kerjaya ayahnya. Dia punyai abang yang hampir sebaya dia dan adik-adik perempuan. Adik bongsu masih di sekolah rendah. Wah! Bunyinya dah macam dalam drama RTM.

Aku juga pernah bertanya Bunga, apa akan jadi jika hubungan kami ini diketahui famili dia. Katanya, dah tentu ayahnya tidak suka. Ayahnya merupakan ketua yang di segani. Sama ada dalam soal keagamaan atau sosial. Ayah dia selalu menyelesaikan pelbagai masalah dan konflik orang lain. Masa aku melawat famili Bunga, barulah aku tahu yang famili dia sangat menitik beratkan ajaran Islam dalam aspek kehidupan. Malah, mereka solat jemaah bersama. 

Ibunya? Jangan kau cuba buat hal.

Abang Bunga pula aku tak berapa kenal lagi. Adik dia yang di matrikulasi pernah beberapa kali borak bersama, Cuma belum bertemu. Bunga pernah memberitahu aku yang adik adiknya agak obses dengan dia. Aku ingatkan dia main-main sahaja. Bila aku berhadapan dengan mereka, baru aku tahu sayangnya adik beradik dia padanya. 

Tidak pernah kami dapat berkepit berdua. Jika kami Skype atau borak di telefon, adik dia mesti ada sekali. Mata adik dia tak lekang memerhatikan sahaja kemesraan di antara aku dan Bunga. Sesekali adik bongsu dia mesti tanya aku bertubi-tubi. Kak Jo sayang sangat pada Kak Bunga ya?

Beberapa hari lepas adik bongsu dia melukis lukisan gambar aku dan Bunga sedang berpegangan tangan di bawah awan di tepi pokok dengan tagline BFF FOREVER.

LDR. Lagilah susah. Perlu mencari alasan munasabah setiap kali ingin berjumpa. Aku perlu keizinan ibu ayah dia jika hendak bawa dia keluar. Dan keizinan itu amat sukar di dapati. 

Nyata di sini, hubungan kami ini akan kami seal tanpa pengetahuan famili dia. Sebab, hanya ada dua pilihan. Jika diketahui, maka tamatlah kisah kami ini. Jika kami berjaya menutup hubungan ini dengan selamat, maka ada kemungkinan kami boleh bersama. 

Aku sebenarnya ingin bercinta secara bebas. Tanpa perlu berlakon-lakon atau berfikir trick apa untuk berjumpa. Cinta kami yang indah dan manis ini,  ingin kami kongsikan dengan rasa syukur bersama semua orang terutamanya famili. Aku mahu turut menjadi sebahagian dari famili dia kerana aku tahu dia amat sayangkan famili dia. Aku juga mahu dia diterima baik oleh famili yang aku sayang.

Bunga adalah doa-doa yang selalu aku pohon di lewat solat-solat ku. Seorang yang beragama. Menghormati orang tua. Baik hati. Rajin basuh pinggan mangkuk. Cantik. Pembersih. Wangi. Jimat cermat. Tidak memeningkan kepala. Sederhana. Pandai mengaji. Tahu hal-hal komputer. Tinggi lampai fizikalnya.

Aku bertuah Bunga mahu mendengar keluh kesah rintihan hati aku ini. Mahu mengimamkan solat aku. Membelikan air teh o ais kepada aku secara curi-curi ketika aku pergi ke toilet.

Aku tamak, aku tahu. Aku mahu Bunga. Mahu cintanya tanpa perlu menyorok. Mahu Tuhan menerima cinta kami.

Masa aku masih single, senang aje aku menjawab pertanyaan orang. Aku single.

Sekarang ini jawapan aku, aku dah ada orang yang aku suka. Tapi entahlah. Payah.

Adakah hal ini mengganggu pemikiran aku? IYA.

Adakah dugaan ini membuatkan aku mahu mengalah? BELUM LAGI!

PS: Kak Jen cakap Bunga ni semacam gila sikit, sesuailah dengan aku sama-sama gila.

Friday, August 12, 2016

GPS

Adik beradik kalau tak bergaduh, dah boleh di kategorikan sebagai salah satu daripada tujuh benda ajaib di dunia. Bergaduh itu satu lumrah.

Aku dan Kak Jen paling kerap gaduh. Kami tak gaduh belakang-belakang. Kami gaduh, memang mencabar kebodohan masing-masing depan itu jugak. Apa yang aku nak ceritakan di sini janganlah jadi ikutan pula. Berbaiklah kamu sesama adik beradik.

Hari minggu yang lepas, aku tak mahu duduk di rumah sewa aku. Lalu aku ke rumah sewa Kak Jen. Sudah dua kali hari minggu sebenarnya aku lepak di rumah Kak Jen. Walaupun aku selalu mengutuk keadaan rumah Kak Jen yang bagaikan tongkang pecah. Rumah itulah tempat aku mencari sedikit ketenangan dan melarikan diri dari kawan-kawan aku yang entah apa-apa.

Pagi sebelum itu, kami pergi ke rumah kenduri kawan sekolah aku yang sudah lama aku tak jumpa. Aku guna Google Maps pada smart phone sahaja sebagai penunjuk jalan ke rumah yang tidak pernah aku pergi itu. Aku kan baru ada smart phone Xiaomi. Kak Jen sedikit kagum, padahal dia dah pakai smart phone jenama Samsung beberapa tahun lepas. Sebelum ini ada beberapa kali aku menunjukkan dia cara-cara menggunakan Google Maps. Tapi otaknya masih belum dapat menerima. Setiap kali guna dia masih sesat. Dia menyalahkan aku kerana tidak mengajarnya betul-betul.

Atas dasar geram, aku membuat kesimpulan memang dia tidak akan dapat belajar guna Google Maps sampai kiamat pun. Penat sudah aku mengajar. Dia sedikit tersinggung dan bengang dengan kata-kata hinaan aku. Iya, memang itu pun niat aku pun, memanaskan keadaan.

Keesokkan harinya dia menyatakan niatnya untuk membeli satu unit alat GPS kereta. Aku naik bengang. Harga alat itu bukannya murah. Aku melarangnya. Aku nyatakan lagi hujah-hujah ku. Dia sudah ada smart phone yang ada GPS, kenapalah nak beli pula satu device lain yang fungsinya sekadar GPS. Lagipun, belum tentu dia tahu menggunakan alat GPS tersebut.

Dia berkeras. Lalu bertanya lagi. Jika dia membeli alat GPS tersebut, adakah alat tersebut menggunakan internet. Kak Jen kalau boleh nak internet free aje. Aku senyap. Malas jawab. Malas layan kedegilan dia. Lagipun aku tak tahu apa jenis alat GPS yang ditawarkan pada masa sekarang.

Kak Jen tanya lagi. Aku tak jawab, senyap. Buat bodoh. Sambil dia bersiap-siap lepas mandi itu. Dia menghamun aku. Katanya, biar tuhan tarik balik segala ilmu yang aku ada sebab sombong belagak. Sambil play victim sebagai orang yang tak pandai dan sekadar ingin bertanya pada aku. Aku panaskan lagi keadaan mengatakan, biarlah...Ambil dan tariklah ilmu aku ini jika sekadar tidak mahu menjawab soalannya. Lagilah orang tua Jen sakit hati dan menghamburkan kata-kata penuh dramatiknya.

Setelah hampir setengah jam bertekak, kami pun senyap. Penat anak tekak. Sakit hati pun iya jugak. Dua-dua masih tak menang dan masih belum mahu beralah.

Aku main game dekat smart phone. QuizUp.

Kak Jen pula pakai bedak agaknya di dalam bilik.

"Jom pergi karaoke!"

Kata Kak Jen sebaik sahaja keluar dari bilik. Siap bertudung dan beg sandang.

"Jom!" Aku bangun melompat capai dompet, selit dalam poket.

Sempat aku mengerling adik perempuan kami yang sedang mengomel melihat aksi itu.

"Entah apa-apalah dua orang tua kutuk ni..."

PS:  Sila vote sama ada Kak Jen patut beli alat GPS atau tidak.

Wednesday, July 27, 2016

Sebuah Pokemon Parallel

Kalaulah Bunga itu sejenis Pokemon, dia adalah spesis Pokemon yang jarang dan susah dijumpai seperti Pokemon Mew. Sedangkan aku bukanlah setabah Ash Ketchum yang tidak putus asa dan penuh nilai moral yang tinggi dalam mencari pokemon.

Minggu lepas, aku jumpa Bond. Hantar toto Narita yang sengaja aku beli ke bilik sewa dia. Nanti, senanglah setiap kali aku menyinggah tidur di sana.

Aku tunggu dia di bawah kawasan apartment dia sebab kami nak keluar makan. Aku bajet Bond akan pakai polo shirts dipadankan dengan seluar pendek cargo dengan kasut converse kepam dia tu, tapi dia pakai kurta. Ya, KURTA. Kurta lelaki yang labuh macam jubah tu. Dah macam Ostad aku tengok. Berdekah aku ketawa sambil menggelarkan dia Ostad Bond.

Kami gerak ke Paradigm Mall. Ambil ‘teman baru’ Bond.

Iye, betul. Bond sekarang tengah usha mengusha seorang wanita ini. Dah dapat pun aku rasa. Macam steady aje aku tengok mereka berdua. Maka, harapan untuk aku melihat Bond kekal single itu hanyalah tinggal harapan. Sama ada aku bersetuju atau tidak, itu tidak lagi penting. Biarlah Bond dengan keputusan dia.

Bond cakap dia dengan teman barunya, Anna ini lebih santai dan lepas. Aku faham Bond. Bukan senang nak single, lagi-lagi orang macam Bond yang tinggal sendirian di kota sesak ini. Apapun keputusan dia aku hormati.

Dalam kereta, beberapa kali Bond bertanyakan status antara aku dan Bunga. Macam mana kami ini sebenarnya. Aku beritahulah yang Bunga tu girl friend dan girlfriend aku. Tapi masih banyak lagi yang hendak di explore dalam hubungan kami berdua. Bond terkebil-kebil sambil ternganga. Macam tak percaya yang akhirnya aku melepaskan status single aku dan berjaya menyunting Bunga. Sedangkan lebih sepuluh tahun aku flying solo. Cewah! Ayat.

Aku dan Bunga. Cerita asas LDR kami macam ini…

Tempat tinggal kami jaraknya 38 kilometer sahaja.

Dia tinggal dengan famili dia. Kawasan rumah dia jikalau nak masuk kena tinggalkan kad pengenalan, kena soal siasat. Ada penjaga 24 jam yang lengkap dengan mesingan dan bersedia mati jika apa-apa berlaku.

Emak dan ayah jenis disiplin. Jangan haraplah nak dapat beritahu tentang kami ini dan dapat di terima sewenangnya. Silap-silap haribulan, hal ini akan jadi masalah negara. Akta baru akan ditanda tangani. Tak pasal-pasal semua pengkid lain terbabit dan masuk jel.

Berborak di telefon pula, biarpun telefon bimbit sendiri lebih dari setengah jam akan di soal siasat. Emak dia setiap hari akan telefon dia beberapa kali masa intern dulu. Skype atau WhatApps pun tak boleh beria-ria. Kiranya keluarganya memang caring habis pasal adik beradik dia.

Jadi, memang tak dapatlah jika tiba-tiba pukul 9 malam, aku rasa nak ajak dia ngopi kat kedai mamak. Pergi tengok wayang atau jogging di hari minggu, kemungkinan besar tidak diizinkan oleh emak dia. Bunga sendiri baru dua kali pergi tengok wayang seumur hidup dia. Pertama, filem Gerak Khas dengan ahli keluarga, kedua cerita kapten Amerika dengan aku dan Bond.

Jadi, kena rancang dengan otak genius kami ini bagaimana kami hendak jumpa tanpa keluarganya mengesyaki kami. Semua pertemuan kami selepas ini perlu di atur dengan rapi agar tidak menimbulkan keraguan. Aku kena letakkan profil sebagai kawan baik yang memberi pengaruh baik. Aku tidak mahu dibanned oleh keluarganya. Langsung jadi debu nanti.

Bunga pula adalah budak baik yang bukan rebel. Taat, ikut cakap emak ayah. Menghormati orang tua. Pentingkan famili. Kakak yang bertanggungjawab. Anak perempuan harapan yang menjadi idola rangkaian ahli keluarga yang lain.

Berbaloi tak LDR dan semua dugaan ini? Ikutkan… Baik aku single. Senang.

PS: Pokemon Mew, I choose you!!! *insert pokeball emoji.


Wednesday, July 13, 2016

Blur Dalam Bercinta.

Bila dah lama tak bercinta-cintaan dan tiba-tiba bercinta, aku jadi agak blur-blur.

Aku memikirkan apa yang patut dan tidak patut aku lakukan.

Aku ini dah umur 34 tahun. Patutkah aku bersikap seperti 20-an dahulu. Atau menjadi orang dewasa yang serius. Tapi tak adil pulak dekat Bunga, dia juga hendak merasa manis masin dan masamnya bercinta itu.

Ditambah lagi kami mula LDR.

Makin berusia, sebenarnya jiwa aku jadi makin sensitif dengan semua orang. Cepat terasa, mudah sedih dan ikhlas itu entah kemana. Paranoid. Perasaan jemu membuak-buak. Ada perasaan fed-up dengan sikap orang sekeliling. Sikap redha aku campak entah kemana.

Hal ini terjadi kerana selama ini aku biarkan sahaja keadaan keliling terlalu lama. Orang mudah mengambil kesempatan atas kelembutan dengan sikap "Tak Apalah" dari aku. Sehingga naik lemak pulak masing-masing. 

Apabila aku berubah dan cukuplah aku beri kebaikkan sepercumanya, orang sekeliling macam tak boleh nak terima pula. Sudah-sudahlah tu. Cukuplah setakat ini. Mari kita hidup bahagia dengan terma masing-masing.

Malam tadi aku telefon Bunga. Tak lama pun. Lebih kurang 20 minit sahaja. Sebelum ini kami berdua bersetuju walaupun LDR, jangan membazir. Duit atau masa. Jimat cermat lebih baik.

Sepanjang 20 minit itu dia menangis. Puas aku pujuk. Dia masih teresak-esak. Jadi aku pun terus bercakap, bercerita itu ini. Membiarkan dia mendengar suara aku. Seperti biasa aku mesti tanya dia, ada tak apa-apa yang dia nak beritahu atau cakapkan pada aku, seperti biasa juga dia membisu. Aku tahu dia rindu. Aku pun begitu. Aku tahan air mata sendiri.

Selepas itu aku mesej WhatsApp dia, aku beritahu daripada terus menangis lebih baik kita fokus ke masa hadapan. Bagaimana caranya jika mahu tinggal bersama. Cari duit lebih dan apa cita-cita seterusnya. Aku suruh dia solat. Baru dia tenang sedikit.

Masa LDR beberapa hari ini aku rasa tak cool lansung. Kalau boleh aku nak tahu di mana dia berada, tengah buat apa, makan apa, pakai baju warna apa 24/7. Kalau boleh aku nak dia ada aje depan mata aku, aku tengok dia dan dia tengok aku.

Tapi mana boleh. Mana rasionalnya? Aku mahu dia ada kehidupan dia sendiri. Kebebasan. Rasa lapang dada untuk melakukan sesuatu kesukaannya. Mencuba sesuatu yang baru dan mengujakan. 

PS: Ah! Aku bukan setua mana. Mari kita lakukan bersama adventure itu.






Followers