Wednesday, August 24, 2016

Sedekah.

Hari minggu itu aku balik ke kampung dengan Kak Jen. Aku ajak Bunga, tapi dia perlu mengajar adik bongsunya yang bakal ada ujian. Alah, aku pun tahu dia susah nak dapat keluar. Saja-saja aku pancing. Tapi tak mengena pula kali ini.

Mula-mula aku malas juga nak baik. Sudah tiga minggu aku tak duduk diam di rumah. Ada sahaja hal yang perlu di uruskan.

Emaklah telefon suruh balik. Katanya pokok mangga depan rumah kami kemain menjadi buahnya tahun ini.  Kecur air liur, walaupun aku tak adalah minat sangat dengan buah mangga. Dek kerana promosi berlebihan daripada emak, aku ikutkan juga.

Dalam kereta, aku dan Kak Jen berborak satu demi satu topik.

“Aku rasa, aku dah makin kurang bersedekah.”

Aku membuka topik pagi itu. Mata Kak Jen terkebil-kebil memandang aku dengan topik yang agak asing ini.

“Nak bersedekah pun sekarang ni aku sampai berkira-kira. Rasa untuk diri sendiri pun dah tak cukup. Beza betul dengan tahun-tahun sebelumnya. Teruk ekonomi sekarang ini.”

Bebel aku lagi.

“Bodoh punya kerajaan. Harga barang makanan naik, harga pengangkutan awam berlipat kali ganda. GST tu dia orang kutip, tapi kebaikkannya aku belum nampak. Makin melampau pula kos sara hidup."

Lantang betul suara Kak Jen membalas cerita aku.

Aku mengiyakan sambil memotong satu demi satu kereta.

"Eh, yang kau asyik ambik line kanan ni kenapa? Selalunya kemain slow kau bawak kereta."

Tanya Kak Jen yang baru perasankan kelajuan kereta kecik aku tu.

"Kereta depan ni slow sangatlah kak. Jalan highway tak boleh slow sangat. Bahaya betul! Aku nak tengok olimpik. Kejar masa."

Jelas aku pada Kak Jen.

"Jangan Dik... Nanti tak pasal-pasal kau kena saman dan 'sedekah' pada kerajaan."

Kak Jen menasihati aku.

Aku ketawa dengan lawak Kak Jen, sambil memperlahankan kereta, mengikut aturan had laju. Kami terus berborak tentang isu para pemimpin yang tamak dan korup. Juga mengimbas kembali zaman naik kenderaan awam masa kami masih sekolah berasrama.

Sesampai di rumah, buah manggalah yang aku tuju dulu. Tak sempat bersalam dengan emak. Beg pakaian pun aku campak sahaja tepi pintu. Banyak betul buahnya. Penuh satu peti ais. Yang belum betul-betul masak, emak peram dalam baldi besar. Emak tergelak sahaja tengok keletah gelojoh aku.

Sambil menghiris dan makan mangga, Kak Lin datang minta pucuk ubi. Kak Lin ini jiran kami juga. Lama mereka berborak. Kak Lin sekeluarga jadi makin rapat dengan emak selepas ibunya, kawan baik emak meninggal dunia. Muhasabah diri aku melihat kemesraan emak dengan Kak Lin. Aku masih ada emak tempat bermanja dan merujuk. Emak nak suruh balik makan mangga pun banyak alasan aku bagi. Menyesal pulak aku bagi alasan itu-ini. Patutnya aku balik aje terus. Berair mata aku kejap.

Meriah rumah kampung. Ada Emak, Kak Ngah anak beranak, Kak Jen, adik bongsu si Jasmin. Jaha pun ada. Jaha memberikan berita gembira. Isterinya yang LDR sebab komitmen kerja baru disahkan mengandung.

Aktiviti dekat kampung simple aje. Bincang dan borak itu ini dengan ahli keluarga. Tolong emak menyapu keliling kawasan rumah. Main anak kucing. Duduk kampung sekali-sekala memang sedap. Tapi kalau selalu, mati kutu juga aku dibuatnya. Macam manalah aku nak bersara dan duduk dekat kampung nanti. Aku asyik fikir masa tua.

Petang Ahad itu sebelum balik ke KL, emak suruh aku hantarkan anak sedara aku, anak Kak Lang berdua itu. Dia orang ni sekolah menengah agama berasrama di Bandar M. Kereta Jasmin pula kunci pintunya rosak dan aircond tak boleh on. Sekarang pula asyik hujan. Aku turutkan sahaja. Kak Lang dan Jasmin ikut sekali.

Sebaik sahaja keluar dari kawasan kampung aku, ada pula roadblock. Menurut Jasmin sekarang ini memang selalu ada roadblock. Banyak kes rompakan berlaku dalam kawasan kampung aku dan kampung-kampung sekitarnya. Rumah kampung kami pun baru aje pasang grill sebagai langkah keselamatan.

Penguatkuasa JPJ memeriksa kenderaan aku. Selepas itu dia meminta lesen memandu. Aku mengeluarkannya lalu memberi lesen tersebut kepada dia.

"Ada lesen lain tak?"

Tanya dia.

"Lesen lain? Ya Allah."

Tiba-tiba aku teringat sesuatu. Hari lahir aku yang seminggu telah berlalu.

" Lesen saya bukan sampai 2017 ke Bang?"

Aku bertanya.

"2014-2016 aje ni. Lesen awak dah mati seminggu lepas."

Dia menunjukkan lesen itu semula kepada aku.

"Alamak. Saya betul-betul tak perasanlah Bang. Baru aje lepas seminggu."

Aku menepuk dahi kerana kecuaian aku itu.

"Saya kena keluarkan saman ni. awak ketepikan kereta."

Dia meminta aku mengenepikan kereta.

"Expired seminggu sahaja bang. Tak boleh dilepaskan ke? Sekali ini sahaja saya lupa."

Aku cuba merayu.

"Kalau tiga hari boleh. Seminggu tak boleh. Saya tak boleh buat apa-apa. Lagipun pegawai saya tengok tu. Saya akan keluarkan saman."

Dia sedikitpun tidak mempedulikan rayuan aku.

Beberapa ketika itu dia datang memberikan surat saman kepada aku. Aku bertanya di mana perlu aku membayarnya dan berapa jumlah saman yang aku kena.

Selepas mendapat sedikit sebanyak maklumat, aku ke gerak ke Bandar M. Menjalankan tanggunjawab aku menghantar anak-anak sedara. Hujan bukan main lebat.

Punyalah mengelak nak bagi 'sedekah' dekat kerajaan. Aku tewas juga. Saman telah aku bayar. Melayang duit aku macam itu sahaja. Hati geram. Tapi nak buat macammana. Kecuaian sendiri dan memang dah tak ada rezeki.

PS: Lain kali, kalau ucapkan happy birthday, ucaplah selamat renew lesen memandu sekali.



4 comments:

  1. Cakap pasal sedekah, dah banyak kali juga aku sedekah pd abag polis sebab kecuaian aku. Tapi ada taktik untuk sedekah paling minimum. Buat muka sedih mcm nak menangis sambil merayu2 sampai nak berguling depan abg polis tu. Jgn menyerah kalah, mesti abam polis kesian dan kasi saman paling murah. Dh try trick ni banyak kali dan memang berkesan, tapi kalau kecuaian tahap maksimum mcm sengaja letak kereta halang kereta lain, mungkin helah ni tak berkesan atau minimum effect heheheheheh

    ReplyDelete
    Replies
    1. Polis mungkin... Tapi penguatkuasa JPJ ni diaorang biasanya malas nak layan rayuan engkau.

      Delete
  2. masa kena thn, polis minta duit kopi kat abang ipar melur kalau nk lepas. dia kata drpd sedekahkan' kat polis, lebih baik keluarkan saman utk dia. alahai pak polisi...

    ReplyDelete
  3. Ni hanyah taktik untuk dapat duit raya je jpj ni. Seminggu saja bukan sebulan. Alahai jpj....

    ReplyDelete

Followers