Saturday, April 20, 2013

Menghargai Ketawa



Kalau ada orang tanya, muka Honey tu macam mana?

Air muka dia macam Rashida Jones.

Aku selalu berlawak dan selalu jadi badut untuk emak. Senyum emak rasanya sejuk.

Walaupun begitu, aku jarang tengok rancangan lawak contohnya macam Raja Lawak, Maharaja Lawak, Senario dan sewaktu dengannya. Kalau sesetengah TV series tu ada unsur lawak, aku layan aje.

Setiap kali housemate aku Anis bukak TV, rancangan lawak. Aku pasti akan pergi lepak dalam bilik. Lama-lama dia tahu aku memang tak layan. Dia agak pelik kenapalah aku tak layan. Aku jawab, aku suka aje cerita lawak, tapi aku tak nak layan. TAK NAK bukan TAK SUKA.

Teori aku pasal lawak, andai aku banyak sangat tonton rancangan lawak, maka lawak aku makin lama makin tidak ori. Hambar dan ada kemungkinan aku akan terpengaruh dengan lawak dalam rancangan lawak tersebut, lalu jadilah aku seorang yang loser.

Aku ambik serius tentang lawak. *Perkataan ni selalu buat Fifi rasa nak muntah*

Masa dengan Honey dulu, dia cepat ketawa. Cara aku naik escalator pun dia boleh gelak. Sedangkan sama aje caranya macam orang lain. Kalau aku cakap sesuatu dia mesti ketawa. Kami borak setiap hari, tentang bahasa, ikan, sejarah dan warna. Tentang rabun, bra, kasut dan nutella. Tentang lama, tentang baru.

Pesan Honey, jangan sesekali lakukan apa yang aku dah lakukan pada ex girlfriends aku pada dia. Jadi, dia tak mahu cincin, sebab aku pernah bagi cincin pada Preity. Dia juga tak mahu pantun sama yang aku pernah bagi  Syakilla. Aku tak boleh buat benda yang sama. Aku juga perlu jujur. Bayangkan macam mana aku cuba nak keep her interested. Cabaran dan kesedaran.

Aku tiada apa-apa. Tiada kaya. Tiada rupa. Aku suka orang ketawa. Kadang kala aku suka dengar orang gelak dengan lawak aku sambil cakap aku bongok. Iye. Aku anggap itu pujian.






                                    Rashida Jones : Jo...Jangan nak perasan boleh tak?

Monday, April 1, 2013

Mencari Soalan


Mampu ke aku menulis dalam keadaan tak ada idea? Mari cuba.

Petang tadi aku merayau ke mall dengan seorang kawan perempuan, merangkap officemate dan kawan borak tentang kpop dan hal-hal keduniaan yang lain. Kita namakan sahaja dia Fifi. Bekas pelajar sekolah agama tapi amat sempoi orangnya. Sedikit chubby. Fifi masih single tetapi ada menyimpan perasaan pada seorang jejaka.

Aku selalu rasa Fifi dan kawan office lain macam tahu yang aku ini seorang lesbian. Dalam masa yang sama aku tak rasa pulak dia orang tahu. Iyelah, aku manalah ada girlfriend sekarang. Malah pernah ada boyfriend, si Naruto tu. Lagipun setiap kali ada lelaki yang agak kacak di office, secara automatik aku sendiri akan menggosipkan diri aku dengan mereka. Walaupun aku pasti yang lelaki kacak di office sama sekali tidak tergoda pada aku. Lantaklah.

Aku tak mahu kawan office tahu sebenarnya. Sebab aku ada pengalaman buruk bila berterus-terang. Orang akan layan aku lain. Perempuan akan layan aku lain, lelaki juga akan layan aku lain. Tapi kadang-kala jauh dalam hati, bila dah kamceng macam aku dan Fifi ini, aku harap dan teringin dia tahu. Aku harap dia terima aku seadanya.

Maka berbalik pada cerita petang tadi, lalu aku ada  membuat sedikit percubaan untuk mengkantoikan diri aku sendiri pada Fifi.

Masa itu Fifi dan aku singgah di sebuah kedai gadget untuk bertanyakan tentang handphone Fifi yang selalu jammed. Salah seorang staffnya adalah seorang amoi berambut hitam lebat macam rambut Zhao Wei dalam cerita Painted Skin. Jarang aku tengok amoi rambut hitam macam ini. Selalunya mesti dah  highlights. Aku cuba melemparkan sedikit senyum. Amoi itu buat dek sahaja. Oh, baiklah…

Sedang Fifi berbincang tentang handphone dia, aku mula beraksi. Aku cuba masukkan pamphlet galaxy camera yang aku pegang ke dalam bekas air di atas meja kaca depan amoi itu. Aku tahu bekas air itu gunanya untuk staff menguji handphone jenis kalis air, sengaja aku nak tengok apa respon amoi tu.

“ Air tu bukan untuk masukkan kertaslah.” Tegur amoi itu dengan bahasa Melayu yang sedikit pelat. Aku pulak buat muka selamba, muka mencabar. Umpan dah kena.

“ Air ni guna buat masuk handphone.” Terang si amoi lagi.

“ Eh! Janganlah masuk handphone dalam air.” Aku buat muka macam risau. Ini semua berlakon.

Maka, apabila melihat muka risau aku, dia segera masukkan handphone yang tergantung di leher dia dalam bekas air itu. Aku pula segera buat muka jangan. Muka tidak. Fifi di sebelah tengah tahan gelak dengan gelagat aku, sebab dia tahu yang aku tahu pasal handphone kalis air. Kami baru sahaja bincangkan hal itu. Amoi tu dah gelakkan aku. Comel.

Seorang lagi staff, amoi berambut highlights memberi kami borang survey tentang produk mereka. Fifi cepat-cepat mengisinya. Aku pula menolak sambil menayang Nokia cikai milik aku.

Amoi rambut highlights terus cakap.

“ Alah, you pun mesti tahu pasal produk kami juga. Tulis sahaja.”

“ No. Tak mahu. Nanti kalau saya isi, you punya kawan ni ambik pula nombor telifon saya.” Aku dah gelak sambil tunjuk amoi rambut hitam itu.

“ Baguslah macam tu, boleh kawan-kawan kan .” Amoi rambut highlights sengaja menggalakan lagi. Dia gelakkan amoi rambut hitam.

“ You ni perasan kan?” Amoi rambut hitam berkata sambil menyengetkan mulut, geram dengan aku agaknya.

“ Sikitlah…” Aku tambah lagi geram dia sambil buat muka seksi.

Kami tinggalkan amoi-amoi tadi selepas itu. Aku pula sengaja highlight ayat menggatal dengan amoi tadi pada Fifi, beberapa kali. Masih cuba kantoikan diri. Fifi selamba. SELAMBA. Dia tak nak tanya aku ke? Dia tak nak tanya aku kenapa aku suka usik girls. Kenapa aku selamba je flirting dengan girls.

Sebab aku nak sangat jawab.

“ Fifi… Sebenarnya aku pernah suka girl lebih dari aku suka lelaki. Aku masih lagi ada perasaan itu sekarang. Aku masih sedang belajar mengatasinya.”

Mungkin satu hari dia akan tanya. Tapi, pada masa itu, adalah aku akan jawab? 

Friday, March 22, 2013

Dating Bertiga


Walaupun rasa crush terhadap Nunu mungkin hanya tinggal suam-suam kuku sahaja sekarang, aku tetap girang apabila menerima SMS Nunu di suatu malam.

Nunu SMS : Hi Jo… Nunu kat Restoren B.

Restoren B adalah restoren kegemaran kami di Bandar P. Dekat sahaja dengan rumah aku.

Jo SMS : Nak pi sana boleh?

Nunu SMS : Meh ah.

Nunu SMS : Sekarang.

Aku terus kelam kabut save artwork design yang aku tengah buat, tutup laptop, lalu cepat-cepat sarung skinny jeans hitam yang sedondon dengan t-shirt oversize warna hitam yang aku pakai. Dalam kepala duk fikir, apa yang si Nunu ni buat datang jauh dari Sungai B ke Bandar P. Mesti ada sesuatu.

Tiba-tiba satu lagi SMS muncul.

Nunu SMS : Nak makan? Nunu oderkan.

Jo SMS : Nasi goreng USA.

Nunu SMS : Minum?

Jo SMS : Teh O Ais.

Aku capai snapback cap, kejap try yang hitam…tak kena. Ambik pula yang grey, poyo sangat. Capai yang bright blue, ya cute! Aku perasan sendiri tengok cermin. Capai kunci Viva dan terus sahaja start enjin.

Tiba-tiba Nunu telifon. Apa kena...

“ Jo kat mana?” Terdengar suara Nunu.

“ Dalam kereta, baru nak keluar ni, kenapa?” Balas aku, tak akan dia nak cancel pulak. Ah, sudah!

“ Jo, Nunu dengan ex-bf ni, dengan Haizat. Jo jangan cerita apa-apa tahu. Buat-buat tak tau aje yang Jo tahu pasal kita orang ya.” Nunu menjelaskan.

“ Owh… Ok.” Aku cuba senyum kelat. Ex-bf konon. Kalau Ex tak kan masih nak keluar berdua macam ini. Geram hati aku. Masih ingatkah pada kisah skandal Nunu dan lelaki sudah bergirlfriend yang dicintainya itu?

Sesampai sahaja aku di restoren B, aku menyergah Nunu dan seorang jejaka agak chubby di sebelahnya. Kelakar bila kami bertiga pakai baju warna hitam. Sedondon betul. Nunu perkenalkan aku pada Haizat. Aku berikan senyuman. Senyuman plastik.

Nunu masih macam dulu, periang dan suka mengenakan aku. Haizat pulak senyap aje. Aku tengok depan dia ada plastik ubat. Tak sihat agaknya. Borak punya borak, Nunu mengadu pada aku.

“ Life Nunu bosan gila, pergi kerja balik kerja. Macam takde makna aje Jo.” Nunu pandang aku.

“ Sebab tu Nunu kena kahwin. Dapat anak. Anak tu akan menghidupkan Nunu nanti. Kalau Nunu dah tak ada, anak tu masih akan menyambung warisan Nunu. Seterusnya cucu… cicit…” Aku bermain kata.

“ Eleh!  Jo pulak? Jo dah 31 tau. Nunu baru 27.” Nunu pandang aku.

“ Jo lain, Jo tak bosan. Jo buat kerja sekarang ni untuk ditatap beratus-ratus tahun akan datang. Selagi apa yang Jo buat ini orang lain boleh tengok. Maka Jo sentiasa hidup.” Aku senyum senget pada Nunu.

“ Tapi siapalah nak kat Nunu ni.” Nada Nunu perlahan. Sambil itu aku tengok bola mata dia duk jeling Haizat. Muka jejaka tu selamba aje. Aku rasa nak hadiahkan penyepak.

“ Jo ajak kahwin tak nak. Jom kahwin nak!?” Spontan perkataan itu keluar dari mulut aku.

“ Hahaha. Jo ni. Jomlah!  Jom kahwin.” Nunu dah tergelak semula. Memang faham sangat dengan lawak aku. Banyak kali jugak aku buat lawak ini dengan dia sebenarnya. Tapi ini kali pertama aku buat lawak ini depan orang lain. Jejaka bernama Haizat pula masih ber ‘pokerface’ di situ. Sumpah. Aku tak faham.

Balik tu Haizat masuk kereta dulu. Nunu dan aku borak di tepi kereta aku.

“ Sorry Jo, kita dapat jumpa kejap je. Haizat tak sihat tu.” Nunu menjelaskan.

“ Owh. Patutlah ada plastik ubat atas meja tadi.” Aku mengangguk.

“ Biasanya dia lawak, banyak cakap. Tapi dia betul-betul tak sihat tu.” Nunu menerangkan lagi. Aku tak minta pun dia jelaskan. Nampak sangat dia cuba membela sikap senyap Haizat depan aku. Di situ aku tahu cintanya masih besar pada Haizat.

“ Entahlah Jo, Nunu tak tahu bila nak tinggalkan dia. Ramai yang dah bising kat Nunu.” Sayu aje bunyi suara Nunu.

“ Buat apa nak putus kalau dua-dua sayang, korang kena baikilah hubungan ni. Atasi masalah-masalah yang timbul.” Aku lihat Nunu angguk-angguk lepas aku cakap macam itu.

“ Bye, nak balik dulu. Salam cepat!” Suara Nunu berubah riang semula.

Aku capai tangan dia untuk bersalam. Dia pula sua tangan dia ke bibir aku.

“ Cium tangan Nunu cepat!” Kata dia lagi. Sambil itu gelak-gelak. Entah kenapa aku cium. Mungkin pasal dia dah hulur agaknya. Kelakar betul.

Lepas itu dia hulur pipi. Macam biasalah kalau salam dengan aku siap kena laga pipi kiri kanan. Tapi kali ini aku tak laga pun pipi. Aku cium pipi kiri kanan. Satu… Dua… Tiga… Empat… Lima… Enam.

“ Hahaha. Saje je bagi Jo cium banyak. Lepas rindu lama tak jumpa.” Dia gelak-gelak. Aku tak tahu nak rasa apa.

Kami berpisah di situ.

Pagi esok masa aku nak pergi kerja. Nunu SMS lagi.

Nunu SMS : Semalam… Kawan Nunu cakap, Jo macam umur 18. Ahaks! Ahaks! Morning.

Jo SMS : Umur diskaun tu.

Sekian.

Wednesday, March 13, 2013

Pengkid Cantik


Dalam kehidupan seharian aku yang berulang-ulang sahaja setiap hari, sekali-sekala ada hari yang mengujakan juga. Hari di mana aku akan seterika baju aku dengan super kemas dan mandi guna sabun lebih daripada biasa.

Hari mengujakan itu adalah apabila Anis, housemate aku bawak kawan-kawan dia datang bertandang ke flat sewa kami. Ada seorang kawan yang dia bawak ni agak istimewa sikit. Dia pengkid dan dia cantik. Kombinasi yang jarang-jarang dapat aku jumpa. Maka kami semua memang cuci mata tengok pengkid ni.

Partner Anis, si Arin ada sekali. Aku memang serasi berborak dengan Arin ni. Kelakar dan selamba orangnya. Mengingatkan aku masa zaman aku dan Bond sekolah dulu. Masa tu Bond takdelah serius dan garang macam sekarang ni.

Pengkid cantik ni selamba jugak orangnya. Nakal betul bila dia asyik mengusik aku yang sibuk menyiapkan design sambil bergossip dengan Arin pasal kerabat diraja, para menteri dan perihal orang dalam kerajaan Malaysia yang makin korup dari hari ke hari. Masa itu kami melepak dalam bilik aku.

Sesekali pengkid cantik datang ke meja aku lalu berbisik tepi telinga.

“ Hari Ahad hari berehat Bang Jo oii, bukan hari kerja,”

Bau aroma rokok perisa strawberinya terasa melekat di pipi aku. Meremang roma tengkuk dibuatnya. Aku semat azam dalam hati, sekali lagi dia duk bisik dekat telinga aku, memang kena ciumlah alamatnya.

Borak punya borak dengan Arin, makin banyak topik-topik yang kami bincangkan. Sambil itu tangan aku ligat menyiapkan design, sebab petangnya kami akan keluar melepak beramai-ramai. Arin juga ligat mengurut kakinya sendiri, kesan masa muda dulu terlalu aktif bersukan lasak katanya.

Dalam sedar tak sedar itu. Aku terbau lagi aroma wangi rokok dari belakang yang semakin rapat ke telinga. Rasa geram aku makin memuncak.

Lalu suara itu berbisik ke telinga aku.

“ Banyak lagi ke kerja tu?”

Aku berpaling dan terus aku cium pipi pengkid cantik. DANG!

Anis tergolek di tepi katil sambil pegang pipi dengan muka merah padam. Arin atas katil terkedu dengan tindakan spontan aku mencium aweknya. Aku pulak terasa ngeri kerana tersilap sasaran.

Ya betul. Bukan pengkid cantik yang menyapa, tapi Anis. Housemate aku yang tak pernah terniat pun untuk aku apa-apakan sepanjang duduk menyewa bersama lebih setahun dulu. Kini aku telahpun terciumnya. Paling parah apabila ini berlaku depan partner dia, Arin.

Aku berdebar. Berdebar sebab takut. Takut Arin menyumbat minyak urut kaki ke dalam mulut aku.

“ Arin… Aku mintak maaf tercium bini kau, aku ingat pengkid cantik tadi. Sumpah aku tak ada niat pun.”

Aku menutur kata-kata maaf setulus mungkin.

“ Aku tak cakap apa-apapun. Ah, takde apalah!”

Arin kelihatan cool aje.

“ Wei Anis! Sorrylah aku tak sengaja. Aku ingat pengkid cantik tadi.”

Aku minta maaf pada Anis pula.

“ Kau ni betul-betul nak cium pengkid cantik tu, cium ajelah. Pergi cium dia kat luar tu.”

Sambil pasangan dua sejoli itu mentertawakan aku.

Kurang asam, kerana pengkid cantik yang manja itu satu hari aku sangap.

Sampai malam.

Masa keluar jalan sama-sama malam itu, aku sengaja cium pipi pengkid cantik depan semua orang. Merah padam muka dia. Melopong yang lain-lain. Bukannya aku tak tahu ada yang simpan perasaan kat pengkid cantik. Padan muka. Lain kali kalau minat, jangan sorok-sorok.

PS : Jangan nak gossip aku dan pengkid cantik. Kami cool aje lepas tu.

Wednesday, February 27, 2013

Kawan dan Baby

Cerita ini dah lapuk.

Korang ingat tak Ai Lin? Alah... Aku pernah cerita pasal Ai Lin ni dulu. Lama dah.

Cuti raya cina baru-baru ini rumah aku dikunjungi oleh Ai Lin. Dia baru sahaja dapat anak. Iya betul, dia dah kahwin dengan boyfriend dia tu. Setelah sesat hampir sejam setengah, berjaya juga dia cari rumah aku di Bandar P.

Punyalah payah nak curi masa aku sampai dia sendiri yang terpaksa bawa baby dia datang jumpa aku sebab aku tak pergi melawat dia masa bersalin. Aku memang kejam macam itu. Salahkan aku.

Dia dapat anak lelaki, dan secara rasminya Ai Lin memaksa aku menjadi IBU kepada anak dia. Katanya, anak dia perlu memanggil aku IBU, dia pula MAMA. Baiklah Ai Lin. Ikut sukalah. Budak itu pun belum pandai cakap lagi. Aduh.

Lama juga Ai Lin melepak di rumah, siap masak-masak. Sibuk nak suruh aku rasa masakan dia. Boleh tahan sedapnya si Ai Lin ni masak Ayam Masak Pedas. Dia layan aku makan. Bestnya ada orang layan makan. Baby elok aje tidur bergolek atas toto.

Beberapa kali Ai Lin menegaskan kepada aku bahawa suami dia tak kisah kalau dia nak bawa anak keluar berjalan lama-lama, apabila aku asyik bertanya pada dia bila nak balik. Katanya suami dia lagi tak kisah kalau melepak dengan aku. Sedangkan suami dia pun aku tak kenal sangat. Pernah jumpa sekali masa dia orang kahwin dulu tu aje. Sempat juga Ai Lin bergurau mengajak aku bermadu dengan dia. Ini kali ketiga orang cakap macam itu. Pertama, ex-gf aku, si Preity. Honey pun pernah sebut-sebut hal ini. Berani betul ya.

Aku mandikan baby, sikit kekok. Pasal tak pernah mandikan baby dalam bilik air aku ni. Sambil tu Ai Lin sandar kat pintu perhati aku sambil menghisap rokok sampoerna kotak hijau. Lalu aku membebel suruh dia berhenti. Kalau tak demi diri, demi anak. Ai Lin cakap, dia menyesal belajar merokok lama dulu, tapi dia dah kurang hisap. Lepas hulur anak pada Ai Lin aku pulak try sedut sepam. Mak aih... Berkunang-kunang rasanya mata dan kepala. Memang tak boleh. Ai Lin ketawakan aku berdekah-dekah.

Ai Lin bising sebab aku jarang contact dia. Aku biasalah, buat alasan biasa. Sibuk. Sebenarnya memang aku jenis yang malas nak lepak dengan kawan-kawan. Bond tu sendiri aku jarang jumpa. Jarang SMS. Jarang nak telifon tanya khabar. Hanya yang berjiwa kental sahaja akan kawan dengan aku lama.

Ai Lin balik malam itu, setelah tidak berjaya mengajak aku join reunion batch dia. Reunion batch aku pun aku tak pergi.

Seminggu dua lepas itu ada panggilan tak dikenali ke telifon aku. Cis Ai Lin dah 'jual' nombor aku pada beberapa ex-junior aku. Memang aku dah jangka.

Maaf kalau ada yang aku jarang borak, jarang dapat cerita. Hakikatnya aku memang sibuk.

Monday, February 11, 2013

Tackle Si Kaya


Hidup ini bukan sekadar macam mana nak tackle seorang awek. 

Dalam hidup ini kita perlu tackle segala-galanya dan sesiapa sahaja. Mak bapak, jiran sebelah rumah, rakan sekerja, boss, penjual ikan kat kedai, kakak ipar, mak cik cleaner, pak imam surau, mak datin, pelarian rohingya dan sebagainya. Bagaimana kita membawa diri kita. Bukan untuk buat orang suka kita, bukan untuk tunjuk kita bagus atau hebat tapi untuk kebaikan diri kita sendiri. Memudahkan diri kita untuk orang lain supaya orang lain memudahkan diri mereka untuk kita. 

Ketahuilah, kadang kala kita bukan watak utama pun dalam kehidupan kita sendiri. 

Kata Kak Jen, hidup ini tentang mengambil risiko. Walaupun selalunya memang dia ambik risiko, tapi yang selalu bantu dia menanggung risiko itu adalah aku, orang yang paling tak suka nak ambik risiko.

Apalah aku merepek panjang sangat untuk pendahuluan tadi.

Dalam kita cuba memudahkan hidup kita dan hidup orang lain, kita tak dapat lari daripada membuat keputusan yang salah. Setiap hari. 

Contoh ringan ialah bila kau beli makan malam untuk diri kau, kau belikan sekali makan malam untuk housemate kau, tapi akhirnya makan malam tu dia tak makan pun. Diet katanya. Contoh berat adalah apabila kau tak sambung belajar supaya memudahkan adik-adik kau untuk sambung belajar, kau kerja kuat untuk family kau dan biarkan cita-cita kau tertangguh. 

Walau salah macam mana pun keputusan kita, ianya dah berlaku, jadi sejarah dan fungsi sejarah adalah kita belajar daripada sejarah. Tapi ia selalunya boleh buat kita jadi mahkluk paling dingin, tak sweet sebab tak mahu/takut ulang kesilapan yang sama.

Seikhlas mana hati kita, orang tak tahu. Sekeji mana hati kita orang lagi tak tahu.

Kak Jen suka duit.

Kak Jen nak jadi kaya supaya dia boleh goyang kaki, dia boleh beli apa sahaja yang dia mahu, boleh bagi emak senang dan dia boleh enjoy hidup dia sepuas hati dia. Ada million alasan untuk dia jadi kaya.

Aku suka duit.

Aku tak mahu jadi kaya sebab aku tak mahu sombong, buta hati, bayar Mila Kunis untuk teman aku mandi kolam. Ada million alasan untuk aku tak rasa nak jadi kaya.

Hidup jangan jadi orang keji. Jangan songlap duit orang, tak kiralah duit yang kau songlap tu duit orang kaya, apatah lagi duit orang miskin. Sebab itu bukan hak kita. Hak kita adalah menyumbang. Ahli politik, perompak dan penipu please take note.

Kalau jatuh cinta, biarlah kau jatuh. Tapi, jatuh dan jadi positiflah.

Putus cinta, maka putuslah. Bakar surat cinta dari dia, menangis puas-puas. Tapi, putus dan jadi positiflah.

Cemburu, maka cemburulah. Jangan pula kau belasah anak-anak dan isteri kau. Jadi positiflah.

Aku selalu cemburu dengan kawan-kawan yang lahir dalam keluarga yang super kaya. Dalam masa yang sama, andai aku dilahirkan semula aku mahu lahir dalam keluarga aku yang serba tak ada itu, berkongsi semuanya. Kegembiraan dan kesakitan.

Dalam doa memang banyak senarai yang aku minta. Kadang kala masa doa aku lagi panjang dari masa aku solat. Tertanya aku sama ada layakkah aku meminta sebanyak itu. Makin banyak nama-nama baru yang muncul dalam doa aku.

Aku tahu aku sering obses dengan DUNIA. Aku lupa yang paling kaya itu TUHAN. Aku patut tackle DIA dulu.

Tuesday, February 5, 2013

Tentang PDA


PDA atau nama panjangnya Public Displays Affection


Menurut Urban Dictonary PDA adalah :

Public Displays Affection, can been seen in the form of kissing, touching, groping, licking, nuzling, cuddling, crossing hand into each other's opposite back pocket, etc. Usually spotted among new couples, frisky teenagers, and ocassionally the "young at heart".

Bila jalan-jalan di mall atau mana-mana sahaja tempat terbuka, kita akan dapat menyaksikan PDA. Tidak kiralah pasangan itu suami isteri, perempuan/lelaki atau sebagainya.

Pengkid dan pasangannya hari ini memang ramai yang tak segan silu nak menunjukan PDA memasing. Ramai juga yang tidak. Sila angkat tangan kalau korang pernah nampak atau terserempak dengan aksi PDA ini. Setiap kali aku nampak PDA di mana- mana, segera aku perhatikan reaksi orang sekeliling. Muka masing-masing nampak meluat dengan PDA. Aku pun turut meluat. Tapi aku tahu, ini bukan satu halangan untuk pasangan itu meneruskan PDA mereka. Pasangan ini memang tahap hati kering. Rasa nak baling dengan kaktus aje.

Kalau aku keluar dengan emak, Kak Jen atau mana-mana adik-beradik perempuan aku, termasuklah anak-anak saudara aku yang perempuan, kami akan berpegangan tangan. Penuh manja dan mesra. Macam dah jadi benda wajib untuk pegang lengan aku atau aku pegang lengan dia orang. Lagipun aku jenis jalan laju. Bila tangan aku dipegang, aku akan jalan sekata dengan orang tersebut. Aku tahu, kadang kala orang boleh salah anggap. Malah ada yang sengaja menjengilkan mata, buat isyarat meluat. Aku cool aje. Pasal familikan. 

Kalau keluar dengan adik lelaki aku si Jaha tu atau bestfriend aku si Bond, aku suka aje nak pegang lengan, tapi diorang pulak yang tak nak.

Dalam meluat melihat pasangan PDA, sebenarnya aku ingin buat pengakuan.

Aku + Honey = PDA habis-habisan.

Masa aku dengan Honey masih hangat bercinta enam atau tujuh tahun lepas, kami jenis PDA. Jenis hati kering. Jenis redah aje apa-apa. Ya betul. Honey yang pakai tudung tu, yang lebih tinggi dari aku. Dia selamba aje kalau nak pegang tangan atau peluk pinggang aku depan orang. Dalam bas kami akan duduk dekat-dekat. Dalam LRT tak usah cakaplah, mesti kena rapat-rapat dalam sesesak tu. LRT dulu lagi sesak dari LRT sekarang. Bayangkan..

Kadang-kala aku perasan Honey sengaja memeluk aku erat apabila ada mata-mata lelaki yang memandang kami. Berani betul Honey.

Ada sekali tu kami makan ramai-ramai. Kak Jen pun ada masa tu. Honey pegang tangan aku, dia tak nak lepas. Jadi aku makan guna tangan kiri. Kak Jen naik hairan, lalu menegur kenapa aku makan pakai tangan kiri. Makin kuat pulak Honey pegang tangan aku. Kak Jen jeling bawah, tengok aku dan Honey duk pegang tangan. Habis dikecohkan satu meja. Aku dah blushing. Honey pula selamba badak aje. Jangan harap dia nak lepaskan tangan aku.

Masa aku hantar dia ke kampus matrikulasi. Aku secara rasminya minta dia jadi steady girlfriend aku. Dia tak beri jawapan. Lepas tu aku kena balik naik bas. Dia hantar aku kat bas station. Aku dah naik bas. Bas tu dah nak jalan dah. Dia tahan bas tu berhenti. Aku pun pelik, ada barang dia tertinggal dekat aku ke? Semua perhati dia masuk bas dan jalan lenggang-lenggok menghampiri aku di seat belakang. Dia cium dahi aku lama-lama. Lepas tu dia cakap,

“Ya, saya setuju.”

Tak sempat aku nak kata apa-apa, Honey turun dari bas. Semua mata dalam bas pandang aku. Aku senyum senget. Tak tahu nak respon apa. Abang bas hanya mampu menggeleng kepala. Mujur tak ada orang kat sebelah seat aku. Kalau tidak confirm kena perli.

Pernah masa dia nak balik kampus, sengaja dia cium aku depan rakan-rakan sekerja. Aku agak terkejut dengan tindakan berani mati itu. Melopong semua rakan sekerja aku terutamanya yang lelaki, aku pun melopong sekali. Mungkin dia nak bagi amaran kat semua orang yang aku ni dia yang punya.

Ada sekali tu masa kami jalan pegang tangan dekat area pasar seni, ada mamat yang jalan bertentangan suwit-suwit kami berdua. Sambil tu dia gelak sakan dengan kawan-kawan dia. Memang obviouslah dia perli dan gelakkan aku dan Honey. Aku panas hati. Berselisih sahaja aku dengan kumpulan mamat tu, aku sempat menghayun siku sekuat hati tepat ke perut mamat tu. Cepat-cepat aku tarik tangan Honey, lari. Aku tengok mamat tu dah tunduk-tunduk senak, tangan dia tunjuk ke arah aku. Kawan-kawan dia hanya terkedu. Itu tindakan spontan, aku pun tak sangka aku buat macam tu.

Pasangan yang PDA ni biasanya tak sedar orang meluat.

Orang pula tak tegur. Ramai orang tak tahu nak tegur macam mana. Orang yang malas nak tegur dan orang yang tak peduli lagilah ramai. Kalau aku nampak orang PDA, respon pertama aku selalunya “Wow!”

Sekiranya Jo 30an boleh nasihat Jo 20an, pasti akan suruh kurangkan PDA yang over-over tu. Sikit-sikit tak apa. Sekian.


PS: Kak Jen lagi teruk.

Followers