Sunday, March 14, 2021

Lengkap Melengkapi.

 

Untuk seseorang kita sempurna. Kita terlalu berharga. Tanpa kita sedari.

Kita sangat melengkapi sesama kita. Malah, tanpa orang itu sedari jua.

Kita memenuhi kekurangan dan mengisi ruang kosong. Di jalan-jalan. Di sekitar kesibukan kehidupan. Di balik hati.

Walaupun tanpa ucapan aku terima nikahnya.
SAH? SAH.

Perasaan itu terlalu lali dan biasa. Kadangkala kita tidak menghargai kerana sifat kita manusia. Tidak sempurna dalam keadaan sangat sempurna ciptaanNya.

Aku percaya, orang yang ada di sekeliling aku. Orang yang pernah hadir. Pernah pergi. Segala peristiwa. Segala kemahuan dan keinginan untuk bersama atau menghindari. Semuanya lengkap untuk aku.

Lengkap untuk membina cerita ini.

Untuk mengatakan aku tidak punya kasih sayang adalah tidak adil bagi orang disekelilingku. Segalanya lengkap, penuh dengan rasa manis pahit. Senyuman dan kemarahan. Kerinduan dan kejengkelan. Dari orang-orang yang sama. Setiap hari.

Keindahan sesekali menjadikan rasa lemak lemau. Sifat mahukan sesuatu itu sentiasa indah. Selalu berbunga-bunga. Sedangkan yang pahit itu, akan memberi rasa sangat manis pada sesuatu yang biasa.

Dan jika kau hadir dalam keadaan yang sangat manis, aku tidak mahu. Kerana aku mahu segalanya. Segala luka dan kesedihan. Segala kejengkelan dan kemarahan. Aku takut. Tapi hati ini akan aku dikuatkan.

Bersama kita mengubati hati kita. Pegang tangan dan jangan lepaskan. Biarpun sesekali wajah berpaling ke lain.

Cinta paling tidak sempurna rasanya. Sayang mungkin sangat biasa kerana hari-hari menerima tanpa kita tahu. Kita selalu tidak tahu.

Kau sentiasa milik dirimu. Milik penciptaMu.

Ini cuma salah satu cerita yang melengkapi cerita yang lain. Kita teruskan dengan mencuba menjadi orang yang lebih baik.

Selalu.

Thursday, February 28, 2019

Perbualan Ringkas


Kelmarin, ada perbualan ringkas antara aku dangan bossku.

Perbualan ini berlaku dalam kereta ketika kami dalam perjalanan pulang menguruskan projek syarikat.

Ada dua intern perempuan duduk di belakang.



Boss: Kau ada adik beradik lelaki Jo? Aku selalu dengar kau cerita pasal adik beradik perempuan sahaja.

Jo: Ada empat.

Boss: Eh, Ramai!… Tak kamceng ke?

Jo: Dia orang yang macam tak nak involve sangat. Lemah.

Boss: Aku tak paham, apa maksud kau? Lemah? Dia orang tak best ke macam mana?

Jo: Aktiviti kekeluargaan, perempuan aje yang buat. Macam itulah lebih kurang. Dia orang macam tak ada nak beria-ria. 

Boss: Eh, lelaki memang macam tu. Macam akulah. Buat apa nak tambahkan kerja. Karang banyak benda karang, banyak gaduh adalah. Baik senyap-senyap aje kat tepi.

Jo: Iya… Macam itulah orang lelaki selalunya. Itulah maksudnya bossku.



Lalu aku biarkan boss fikir-fikirkan sendiri.

PS: Kemudia Boss pesan kepada intern berdua itu, kalau ada boyfriend tapi masing-masing tak guna, tinggalkan aje. Cari lelaki berguna. Hahaha!

Friday, February 8, 2019

Kognitif


Hari ini temanku Olenna memperkenalkan perkataan kognitif kepadaku.

Terima kasih carian google, kini aku tahu maksudnya. Ia merujuk kepada aktiviti-aktiviti mental seperti berfikir, menaakul, menganalisis, membentuk konsep, menyelesaikan masalah dan sebagainya.




Sedang aku enak menyiapkan kerja sambil melayan lagu-lagu 90-an, Oppa bersuara.

Oppa: Jo, aku nak minta tolong sedikit pada kau.

Jo: Tolong apa Oppa?

Oppa: Kau tolong tengok-tengokkan rumah aku selang dua atau tiga hari sekali masa aku kat sana. Nanti aku beri kau kunci.

Jo: Kad akses?

Oppa: Iya nanti aku beri sekali. Aku takut pokok-pokok yang kutanam dalam rumah mati.

Jo: Boleh sahaja Bang.


Oppa meminta aku untuk melihat-lihat rumahnya selang tiga hari sekali kerana dia akan bercuti. Dia, kekasihnya  dan rakan mereka akan pergi makan angin ke satu negeri di eropah selama dua minggu.

Rumah oppa adalah apartment studio satu bilik di tingkat paling atas yang sudah siap diubah suai dengan cantik. Oppa membelinya lebih kurang dua tahun lepas. Aku amat meminati gaya hiasan rumah Oppa. Jadi aku agak teruja dengan idea aku akan menjadi penjaga rumah itu selama dua minggu. 

Selepas makan tengah hari, kami beramai-ramai ke kedai serbaneka kerana kakak HR, Kak Zulian perlu membeli pelekat. Aku, Olenna dan Oppa mengikut sahaja.

Oppa bantu Kak Zulian, aku dan Olenna pula merayap ke bahagian lain.

Sambil melihat-lihat barang-barang di satu sudut dalam kedai, aku mula bercerita dengan teruja pada Olenna.

Jo: Olenna! Oppa beri aku kunci rumah dia sepanjang dia bercuti ni. Jadi bolehlah kita berPARTYYY!!!

Olenna: Jyeah! Partyy!

Jo: PARTYYY! PARTYYYY!!! Yeh!

Aku spontan menari-nari, mengoyangkan tangan dan pinggulku yang makin membulat. Tiba-tiba wajah Olenna yang sedang senyum melihat gelagat aku berubah ngeri. Ah! Sudah…

Secara gerak pelahan, aku toleh ke belakang. Seorang gadis muda dan cantik bulat mata melihat aku tanpa berkelip. Mukanya memerah menahan tawa yang berebut ingin keluar dari seulas bibirnya . Tarian aku terus terhenti. Olenna terus buka mulut.

Olenna: Hai awak…! Maaflah kami ya, kawan saya ni tak berapa betul…

Olenna berkata sambil buat muka serius dia. Aku pula cuma mampu berdiri tegak di situ, sambil cuba menutup muka menahan malu ya amat. Masa berjoget lambak tadi tak tahu malu pula.

Entah dari mana Oppa muncul. Dia sedikit hairan melihat aku, Olenna dan gadis itu .

Oppa: Kenapa korang tercegat kat sini…? Jom balik.

Aku cepat-cepat menarik tangan Olenna menyelit di laluan sempit sudut kedai tersebut cuba menghindari gadis itu yang sudah pecah tawanya. 

Oppa hanya ketawa berdekah apabila aku menceritakan hal tersebut sambil aku menyalahkan Olenna yang terang-terang tidak bersalah.

PS: Lemah Jo lemah...

Thursday, January 24, 2019

Cinta Platonik



Ada tak kawan yang kau boleh tidur berpeluk-peluk, pegang tangan 24 jam, sandar bahu, baring kat peha, duduk rapat-rapat, gurau manja, tepuk tampar dan segala macam kemesraan yang lain?

Aku punyai hubungan cinta platonik dengan kawan pejabat aku. Namanya Olenna, Lady Olenna.

Boleh ke kita sayang seseorang tanpa mencintai? 
Rapat dan mesra macam orang bercinta, tapi tak ada cinta pun. 

Ada orang kata mustahil. 

Aku kenal Olenna dah lama. Sejak DIA sekolah menengah lagi. Aku dah tua dah masa tu. Jeng…Jeng…Jeng…

Aku kenal dia sewaktu dia menyertai acara tempat aku bekerja. Dia sering menjadi pekerja sambilan. Salah satu sebabnya dia merupakan kawan adik boss aku. Pandai mencari duit poket orangnya.

Boleh dikatakan Olenna membesar depan mata aku, daripada seorang remaja yang terkinja-kinja sehinggalah menjadi perempuan budiman yang gagah perkasa.

Apabila dia tamat belajar dalam bidang pertanian di salah sebuah universiti tempatan, dia mencuba nasib di syarikat kami. 

Waktu ini syarikat tempat aku bekerja telah pun menukar jenis bidang perniagaan. Daripada syarikat penerbitan kepada syarikat IT. Banyak syarikat penerbitan gulung tikar akibat pasaran buku yang jatuh menjunam.

Oleh kerana tenaga kerja aku masih diperlukan, aku ditawarkan untuk bertukar kerja di syarikat baru ini. Ramai kawan-kawan aku diberhentikan kerja, Yang bijak sedikit awal-awal lagi sudah berhenti dan cari kerja lain.

Aku ingat ketika boss mengaturkan sesi temu duga Olenna, rakan sekerja aku yang lain agak runsing memandangkan Olenna tidak punya pengalaman dalam bidang pemasaran sosial. Lagipun latar belakangnya adalah ijazah dalam bidang pertanian. Aku cuma mengatakan kepada mereka, kita lihat dahulu kemampuan dia dalam tempon percubaan selama tiga bulan. Boss pun bukannya saja-saja menerima sesiapa bekerja sesuka hati.

Olenna bekerja dengan tekun, rajin dan rendah diri. Aku tengok pencapaian dan kepandainya lebih tinggi dari sesiapa yang aku pernah jumpa. Cepat betul dia belajar. Dia orang harapan boss. Dia juga disukai ramai kerana orangnya yang sempoi dan rendah diri.

Beberapa tahun lepas, Olenna bagitahu aku yang dia seorang biseksual. 

Mula-mula, aku yang cerita dulu pada dia aku ini lesbian. Respon dia selamba aje masa tu. Tak terkejut pun. Dalam masa yang sama dia tak adalah suspek yang aku lesbian ke apa. Tup-tup! Dia cakap dia ada girlfriend LDR dekat Negeri P. Amoi Cina. Olenna ni pun campur separuh Cina separuh Melayu. Disebabkan LDR hubungan mereka makin hambar. Tapi dia nampak biasa aje, tak adalah kecewa menonggeng. Mungkin sebab dah redha, hubungan sesama perempuan ini tak mudah.

Masa aku belum mengorat Bunga dulu, Olenna pun suka usik mengusik Bunga. Mulanya aku ingatkan dia berkenan pada Bunga. Aku suruh dia mengorat Bunga. Dia gelak aje. Aku suruh masa tu bukannya apa. Aku nak pastikan perasaan dia. Kalau dia berkenan, aku tak adalah nak kacau pulak.  Nasib baik tak. 

Olenna ini suka buat ayat-ayat manis bergula. Tak kiralah pada lelaki atau perempuan. Kadang-kadang menjadi, kadang kadang merepek. Kalau kau dengar ayat dia, kau akan rasa meluat sampai nak bergaduh. Tapi sebab dia yang buat, semua orang layankan aje.

Olenna ni tinggi dan gagah. Rambut panjang, bertudung. Bukanlah seorang yang lemah lembut. Tapi suka melayan orang dengan lemah lembut dan santun. Bak kata aku,  dia perempuan budiman. Sentiasa bersedia membantu orang yang perlukan bantuan, tak kira lelaki atau perempuan. Dia punya budiman itu, 100 kali ganda dari aku. Boleh cair hati OK. Kiranya Olenna ni macam satu dalam sejutalah.

Walaupun perangai Olenna ni gagah dan suka menolong, dia tak suka pada orang yang lembik dan lemau. Pantang betul dia dekat orang yang tak boleh nak berdikari. Tak kiralah orang itu lelaki atau perempuan.

Masa aku dan Bunga masih hangat bercinta dulu, aku pernah tanya Bunga.
Kalau di pejabat kami, selain aku, siapa yang dia rasa, dia boleh cair. Dia jawab Olenna. Aku pun pura-puralah bergurau berebut Olenna dengan Bunga. Mengada betul!

Walaupun dengan segala kemesraan yang ada antara dengan aku dan Olenna, aku dan dia tak pernah tertarik secara seksual. Cinta kami sepenuhnya platonik. Walaupun kawan lain meluat tengok kami bersayang mayang, berbaby, babe. Lama-lama dia orang makin lali. Adalah juga sesekali buat muka pelik dan meluat tu. Tapi kami bo layan aje. Olenna ini kiranya tempat aku nak bermanja tanpa nak diprejudis. Jadi aku tak peduli.

Lain orang kan lain caranya.

Itulah aku dan Olenna. Manja dan meluatkan. 

PS: Olenna tengah kumpul duit nak kahwin dengan boyfriend dia. Melepaslah korang!



Friday, January 11, 2019

Sedar Diri


Ada beberapa barang yang aku senaraikan untuk dibeli.

1- Tikar yoga
2- Kasut sukan
3- Bantal 
4- Seluar warna khakis
5- Kuali leper
6- Periuk

Barang-barang ini jika tidak dibeli sekalipun, tidak apa-apa. Tetapi, agak menjengkelkan sebab barang yang sedia ada sudah lama usianyanya dan perlu diganti.

Semalam balik kerja, aku lepak bersama beberapa orang kawan. Kawan lepak dan mengopi aku sebenarnya ada tujuh orang, termasuk aku. Cuma kami berlima sahaja yang dapat meluangkan masa.

Semalam juga seluar aku terkoyak ketika aku sedang duduk tahiyat akhir. Terkepit-kepit langkahku. Oleh kerana aku dah berjanji untuk melepak, aku teruskan juga.

Kawan-kawan aku ini datangnya dari pelbagai latar belakang kerjaya dan cerita. 
Ada wanita biseksual sudah berkahwin dan punyai anak-anak. Ada wanita yang sudah berkahwin masih tidak mahu punyai anak. Lelaki-lelaki bujang gay yang berwajah kacak dan berkejaya. Wanita baru lepasan universiti swasta yang mempunyai bisnes kecilan dan sangat berdikari. Wanita biseksual gagah yang sedang mengumpul duit untuk membeli rumah dan berkahwin.

Banyak topik yang diborakkan semalam. Kami berkongsi cerita tentang obesiti, kerjaya, keluarga, kesihatan, hobi, muzik, dan isu semasa.

Aku acapkali meneliti pergaulan dan gaya interaksi kawan-kawan aku ini dengan orang sekeliling. Bahasa yang mereka tuturkan dan gurauan yang mereka aturkan.

Aku terpesona melihat keyakinan yang ada pada mereka. Bercakap menggunakan hubungan mata, cara mendengar, mengutarakan pendapat, bersetuju untuk tidak bersetuju dan berdiplomasi.

Mana yang elok aku jadikan panduan. Mana yang tidak elok, aku belajar daripada situ. Cerita yang terlebih gebang dan ditokok tambah, aku hindari dan analisa faktanya.

Dalam keadaan aku malas-malas untuk keluar bersosial, pergaulan aku sangat sederhana. Patutnya aku lebih cuba mempelbagaikan dan meluaskan pergaulan aku. Supaya tidak tersekat dalam kelompok kepompong indah aku sahaja. Tak kiralah dalam media sosial atau kehidupan sebenarnya.

Mungkin ini dapat mengisi kembali kotak-kotak idea aku yang kebanyakkannya sudah kosong dan tidak bermaya.

PS: Seluarku ketat sehingga koyak, aku patut sedar diri dan mulai berdiet sebelum terlewat.


Thursday, January 10, 2019

Inspirasi Membaca


Oppa dah pakai cermin mata.

Ustazah dah kahwin.

Cik Cut baru lepas bercuti panjang selepas jatuh motor.

Ada untung, ada yang rugi. Itulah terjadi di hujung tahun 2018 dan awal tahun 2019.

Ada juga hal menarik yang sedang kuperbuat. Tapi biarlah hal itu aku kemaskini di sini apabila semuanya selesai. Masih panjang perjuangan aku sebenarnya.

Baru-baru ini, aku menonton satu cerekarama Melayu yang sedang tular di internet. Dramanya ringkas dan tidak meleret. Lakonan baik, skrip OK walaupun tidak terlalu cemerlang, ada sedikit klise. Bila aku melihat siapakah penulis skripnya, rupanya hasil nukilan kawan lama aku sendiri.

Aku mengenali kawan ini hampir 10 tahun. Bekas pelajar ASWARA. Pernah bekerja dengan dia. Pernah juga bukunya aku lukis illustrasinya. Kini dia di antara penulis skrip yang menjadi rebutan para penerbit.

Orangnya rajin, kreatif, sensitif dan baik hati. Pantang sekali jika dibuli, salah satu sebab kenapa dia berenti kerja  waktu itu. Dia berusaha mencari tempat yang lebih baik untuk dia mengembangkan bakat penulisannya. Aku melihat satu demi satu kejayaan lelaki ini. Setiap satunya dia perolehi hasil titik peluh dia sendiri.

Entah berapa banyak novel dan skrip drama yang dia hasilkan. Setiap satunya menjadi. Entah berapa banyak pula novelnya sudahpun dijadikan drama.

Iya, aku terinspirasi dengan kejayaan dia.

Biarpun ramai yang  mengutuk atau mengeji, dia di antara yang mencetuskan kegilaan terhadap genre novel pop picisan.

Tiada komen dari aku kerana selama ini aku tidak pernah membaca karyanya walaupun satu. Untuk novel remajanya yang aku lukis, aku cuma menerima arahan bukan cerita.

Harap, jika masih ada kesempatan. Pasti novelnya aku beli. Boleh juga aku menambahkan koleksi novel di kampung. Mana tahu ada waktu aku sanggup membacanya.

Novel fiksyen terakhir yang aku baca adalah Interlok, karya Abdullah Hussein. Aku benar-benar mendapat kepuasan dari novel ini.

Novel yang menanti untuk aku baca adalah yang dihadiahkan kepadaku baru-baru ini. Tajuknya Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur, karya Keris Mas. Aku amat suka menerima buku sebagai hadiah.

Aku tahu aku terlewat. Banyak karya mesti baca yang aku terlepas menikmatinya.

Aku tertarik dengan artikel dari THE VOCKET yang bertajuk 100 Novel Melayu yang Mesti Dibaca. Daripada senarai ini, hanya 11 novel sahaja yang pernah aku baca. Kebanyakkannya aku lupa isinya kerana sudah terlalu lama.

Harapnya 2019 aku makin cemerlang, malah lebih cemerlang dari 2018.
Walaupun hati aku sering goyang itu dan ini, moga hati ini tak gentar.

PS: Ustazah masih menyewa bersama aku, suaminya tinggal bekerja di selatan tanah air.

Tuesday, October 30, 2018

Tentang Diversiti


Cerita.

Selagi tak ditulis. Selagi itulah ia akan bermain di minda aku.

Minda seorang perempuan yang seorang.

Ahad yang indah, sedang aku menyapu habuk dan jaringan labah-labah di sudut-sudut sempit di rumah sewa kami, Cik Cut beritahu ada kawan dia nak datang untuk cubaan make up kahwin.
Menurut Cik Cut, kawan dia ini nak kahwin pada bulan 12 nanti.
Sebelum ini Cik Cut dah buat cubaan make up untuk dia, tapi kawan dia tak berapa suka make up itu, katanya nampak seperti mak datin.

Cik Cut perlu cuba make up gaya lain supaya nampak lebih natural.
Cik Cut beritahu aku lagi, kawan dia ni comel orangnya. Aku sengih aje.
Perangai Cik Cut memang macam ini, kalau ada orang nak datang rumah dia akan beritahu aku, orang itu comel lah, lawalah, cantiklah.

Lepas mengemas rumah, aku menikmati nasi lemak telur mata yang Cik Cut beli. Apabila aku hendak membayar harga nasi tersebut, dia menolak. Terima kasih Cik Cut. Alhamdullilah. Rezeki Allah beri.

Lepas mandi dan tepek bedak carrie di muka, aku susun laptop dan membentang toto narita di ruang tamu. Ustazah balik kampung dari semalam. Inilah peluangnya untuk aku menakluk ruang tamu rumah sewa kami yang keseluruhan besarnya cuma lebih kurang 700 kaki persegi sahaja.

Aku ajak Cik Cut melayan siri The Haunting of Hill House. Sebab utama aku beria ajak dia adalah aku nak sangat tengok cerita ini. Ratingnya tinggi. Aku tak berapa berani nak layan genre horror. Biarpun di siang hari terang bederang. Hati tikus!

Kami melayan sampai ke episode tiga. Berhenti untuk solat zohor, selepas itu kawan Cik Cut pun datang. Aku berlari-lari anak tukar seluar pendek aku kepada seluar panjang. Mana tahu dia tak selesa dengan kaki aku yang seksi ini.

Aku buka pintu sambil menjemput kawan Cik Cut masuk. Muda sangat lagi  orangnya di mata aku. Wajahnya kebudak-budakkan, mata sepit, kulit putih sedikit jerawat halus, bertudung dan bersaiz comel susuknya. Mungkin inilah yang dimaksudkan comel oleh Cik Cut. Aku namakan dia Cik Putih.

Cik Cut bersedia dengan kotak alatan makeupnya. Cik Putih beberapa kali meminta maaf kerana mengganggu hari minggu kami, lalu menyuruh aku meneruskan tontonan sambil Cik Cut menyolek dia. Aku pun terus terang memberitahu dia cerita ni ada adegan tak sesuai sedikit. Dia kata dia ok dengan itu.

Sedang melihat episode demi episode seterusnya aku dengar saja komen-komen dari Cik Putih. Terutamanya tentang watak LGBT dalam siri ini. Dia menyuarakan kebimbangannya mengenai peningkatan keterbukaan untuk watak LGBT ini diwujudkan dalam setiap siri TV mat saleh di masa kini.
Cik Cut pula seakan mengiyakan tanpa punyai pendapat sendiri. Mulanya aku senyap sahaja, dengar. Tapi sampai dia eee…eee itu yang aku rasa aku perlu memberi ‘sedikit’ pandangan tidak dipinta aku pada dia.
Tambah lagi bila dia kata kalau perempuan dengan perempuan dia OK lagi, lelaki dengan lelaki dia geli.

Pagi tadi, masa tonton episode satu dengan Cik Cut, aku ada beritahu yang cerita mat saleh yang bagus kena ada diversiti dalam wataknya. Kena ada lelaki, perempuan, orang tua, muda, warna kulit juga seksualiti selain plot yang menarik. Sebab itulah rating cerita ini tinggi, dalam cerita dia ada watak white people, black people, asian, lesbian dan lain-lain.

Jadi aku ulangi semula penyataan aku ini pada Cik Putih pula.

Aku tanya pada Cik Putih dan Cik Cut, mereka ada kawan-kawan lesbian atau gay tak?
Dua-dua geleng kepala.

Cik Putih cuba ingat-ingat, katanya dulu adalah member perempuan dia couple dengan pengkid atas alasan nak insafkan pengkid tersebut, nak membentuk pengkid itu jadi perempuan semula. Aku tersedak angin.

Apa penafian punya alasan member dia itu. Couple dengan pengkid ini menambahkan lagi darjat pengkid tersebut sebagai pengkid adalah. Aku ada juga dengar perkara mengarut seperti ini dahulu. Kesudahannya tak ada siapa yang berubah pun.

Macam mana hendak aku mendidik mereka berdua sedikit tentang LGBT?
Dalam keadaan aku tidak mahu mendedahkan diri sebagai seorang LGBT?
Secara ringkas, mudah dan tidak nampak seperti aku berat sebelah?
Aku mahu mereka sendiri berfikir juga.

Lalu aku cuba menjelaskan tanpa aku meyatakan aku LGBT dengan meletakkan diri aku sebagai orang yang berada di atas pagar.

Aku katakan, perasaan aku pada LGBT ini bercampur sebenarnya. Simpati pun ada. Bukan mereka ingin menjadi LGBT dan sebagainya. Malah ramai sahaja yang mahukan kehidupan seperti biasa.

Masalah selalunya timbul apabila menafikan diri mereka LGBT pada diri sendiri lalu cuba mengikut terma-terma masyarakat. Akhirnya terjadilah penyiksaan pada diri LGBT tersebut dan orang yang tidak LGBT yang terlibat dalam perkahwinan dengan LGBT yang tidak bahagia dan sebagainya. Kalau ada yang bahagia pun, tidaklah banyak.

Aku beritahu lagi, LGBT ini ada yang biseksual. Kalau yang biseksual ini kau tak tahu pun dia berminat pasangan sejenis, jika dia kahwin dengan pasangan lain jantina dan bahagia maka sampai matilah pasangan dia tak tahu dia gay.

Jadi LGBT ini sangat serba salah. Kalau beritahu keluarga, kemungkinan besar akan dihalau. Silap-silap dicederakan dan dinafikan kemanusiaan pula.

Patutnya masyarakat terima golongan gay seadanya. Supaya gay boleh menerima dan mengakui diri mereka sendiri dengan apa yang diberikan oleh Tuhan ini. Terima seadanya bukan bererti menyokong. Contohnya apabila ada anak yang gay dengan selesa boleh memberitahu mereka gay pada keluarga. Keluarga tahu dan terima seadanya dan melayan dengan kasih sayang. Diberikan tempat yang selamat. Jelaskan dari sudut agama dan sebagainya. Tidaklah anak yang gay itu melakukan sesuatu yang liar, memberontak dan sebagainya. Mungkin mereka boleh memperbaiki diri menjadi warga masyarakat yang lebih baik.

Aku juga memberitahu yang masyarakat kita ini mempunyai toleransi yang tinggi. Tidaklah sampai semua gay kena kejar, dibunuh dan dikejami. Bercerita juga serba sedikit tentang gay rights di luar negara dan bezanya di sini. LGBT di Malaysia mungkin akan menuntut hak kesaksamaan, hak berkahwin dan hak dihalalkan seksualiti mereka. Tetapi terpulang pada perlembagaan kita akhirnya.

Banyak lagi aku beritahu pendapat aku pasal hak kesaksamaan ini. Termasuklah pasal kaum di Malaysia. Geleng kepala aku bila Cik Putih cakap, kaum Cina dan India ini sekadar pendatang dan tak boleh ada hak sama rata seperti orang Melayu. Terpaksalah aku menceritakan sedikit ringkas tentang sejarah kedatangan orang Melayu ke bumi bertuah ini, penjajahan, migrasinya orang Cina dan India di sini. Perang Dunia Pertama dan Kedua. Pejuangan nasionalisme, kemerdekaan serta pengaruh arab Islam yang datang sebelum dan selepas kemerdekaan.
Hampir menangis aku bila Cik Putih kata selama ini dia ingat Portugis, Belanda dan Inggeris itu orang yang sama…

Aku nyatakan, lambat laun, entah dua tiga puluh tahun lagi. Mungkin seratus tahun lagi. Keistimewaan orang Melayu tidak mustahil akan hilang.

Aku tidaklah menyatakan sokongan aku pada hal ini. Cuma kita sebagai orang Melayu kena sedar bahawa kita kena bersaing dengan lebih kuat dengan bangsa lain secara sihat. Kita patut sedar bahawa tanah air ini adalah tanah air kita bersama. Sama-samalah kita berusaha untuk memajukan dan saling bantu membantu antara satu sama lain. Bukan menjatuhkan dan berdelusi merasa lebih baik.

Berbalik kepada siri TV ciptaan mat saleh. Tidak semestinya apa yang mereka paparkan itu bagus dan betul. Tetapi itu adalah gaya penceritaan masyarakat mereka.

Kita asyik berada di tahap yang sama, plot cerita pun sudah tak original lagi. Semuanya asyik ikut acuan yang itu-itu sahaja.
Iya, aku sangat faham akan keterbatasan dalam berkarya yang ada. Juga kehendak pasaran lokal yang tidak membantu. Sambil itu, sempat aku promosikan filem Gol dan Gincu Vol 2.

Aku bercakap sehingga aku rasa cik berdua itu pun nampak bosan dengan hujah aku.

Aku tegaskan pada mereka, ini adalah pendapat aku sahaja. Mereka ada hak bersetuju untuk tidak bersetuju. Jika tidak setuju maka bantahlah dengan alasan yang mereka betul-betul yakin. Malah aku galakkan mereka membantah pendapat-pendapat aku ini, cari hujah lain. Malah aku sendiri masih mengkaji untuk membantah pendapat aku sendiri.

Cik Cut sambung make up sampai siap. Aku goreng jemput-jemput jagung. Kami makan bersama. Berbual hal ringan.

Selepas Cik Putih balik, aku katakan pada Cik Cut, aku terima diri aku yang tomboy ini seadanya, jadi aku sempoi ajelah dengan gaya aku.

“Alah…Akak tomboy aje kan bukannya lesbian pun.” Dia cakap pada aku.

Aku cuma sengih. Aku tak iyakan, tak nafikan. You know nothing Jon Snow…

PS: 4 ½ bintang untuk The Haunting of Hill House.



x


Followers