Tuesday, October 30, 2018

Tentang Diversiti


Cerita.

Selagi tak ditulis. Selagi itulah ia akan bermain di minda aku.

Minda seorang perempuan yang seorang.

Ahad yang indah, sedang aku menyapu habuk dan jaringan labah-labah di sudut-sudut sempit di rumah sewa kami, Cik Cut beritahu ada kawan dia nak datang untuk cubaan make up kahwin.
Menurut Cik Cut, kawan dia ini nak kahwin pada bulan 12 nanti.
Sebelum ini Cik Cut dah buat cubaan make up untuk dia, tapi kawan dia tak berapa suka make up itu, katanya nampak seperti mak datin.

Cik Cut perlu cuba make up gaya lain supaya nampak lebih natural.
Cik Cut beritahu aku lagi, kawan dia ni comel orangnya. Aku sengih aje.
Perangai Cik Cut memang macam ini, kalau ada orang nak datang rumah dia akan beritahu aku, orang itu comel lah, lawalah, cantiklah.

Lepas mengemas rumah, aku menikmati nasi lemak telur mata yang Cik Cut beli. Apabila aku hendak membayar harga nasi tersebut, dia menolak. Terima kasih Cik Cut. Alhamdullilah. Rezeki Allah beri.

Lepas mandi dan tepek bedak carrie di muka, aku susun laptop dan membentang toto narita di ruang tamu. Ustazah balik kampung dari semalam. Inilah peluangnya untuk aku menakluk ruang tamu rumah sewa kami yang keseluruhan besarnya cuma lebih kurang 700 kaki persegi sahaja.

Aku ajak Cik Cut melayan siri The Haunting of Hill House. Sebab utama aku beria ajak dia adalah aku nak sangat tengok cerita ini. Ratingnya tinggi. Aku tak berapa berani nak layan genre horror. Biarpun di siang hari terang bederang. Hati tikus!

Kami melayan sampai ke episode tiga. Berhenti untuk solat zohor, selepas itu kawan Cik Cut pun datang. Aku berlari-lari anak tukar seluar pendek aku kepada seluar panjang. Mana tahu dia tak selesa dengan kaki aku yang seksi ini.

Aku buka pintu sambil menjemput kawan Cik Cut masuk. Muda sangat lagi  orangnya di mata aku. Wajahnya kebudak-budakkan, mata sepit, kulit putih sedikit jerawat halus, bertudung dan bersaiz comel susuknya. Mungkin inilah yang dimaksudkan comel oleh Cik Cut. Aku namakan dia Cik Putih.

Cik Cut bersedia dengan kotak alatan makeupnya. Cik Putih beberapa kali meminta maaf kerana mengganggu hari minggu kami, lalu menyuruh aku meneruskan tontonan sambil Cik Cut menyolek dia. Aku pun terus terang memberitahu dia cerita ni ada adegan tak sesuai sedikit. Dia kata dia ok dengan itu.

Sedang melihat episode demi episode seterusnya aku dengar saja komen-komen dari Cik Putih. Terutamanya tentang watak LGBT dalam siri ini. Dia menyuarakan kebimbangannya mengenai peningkatan keterbukaan untuk watak LGBT ini diwujudkan dalam setiap siri TV mat saleh di masa kini.
Cik Cut pula seakan mengiyakan tanpa punyai pendapat sendiri. Mulanya aku senyap sahaja, dengar. Tapi sampai dia eee…eee itu yang aku rasa aku perlu memberi ‘sedikit’ pandangan tidak dipinta aku pada dia.
Tambah lagi bila dia kata kalau perempuan dengan perempuan dia OK lagi, lelaki dengan lelaki dia geli.

Pagi tadi, masa tonton episode satu dengan Cik Cut, aku ada beritahu yang cerita mat saleh yang bagus kena ada diversiti dalam wataknya. Kena ada lelaki, perempuan, orang tua, muda, warna kulit juga seksualiti selain plot yang menarik. Sebab itulah rating cerita ini tinggi, dalam cerita dia ada watak white people, black people, asian, lesbian dan lain-lain.

Jadi aku ulangi semula penyataan aku ini pada Cik Putih pula.

Aku tanya pada Cik Putih dan Cik Cut, mereka ada kawan-kawan lesbian atau gay tak?
Dua-dua geleng kepala.

Cik Putih cuba ingat-ingat, katanya dulu adalah member perempuan dia couple dengan pengkid atas alasan nak insafkan pengkid tersebut, nak membentuk pengkid itu jadi perempuan semula. Aku tersedak angin.

Apa penafian punya alasan member dia itu. Couple dengan pengkid ini menambahkan lagi darjat pengkid tersebut sebagai pengkid adalah. Aku ada juga dengar perkara mengarut seperti ini dahulu. Kesudahannya tak ada siapa yang berubah pun.

Macam mana hendak aku mendidik mereka berdua sedikit tentang LGBT?
Dalam keadaan aku tidak mahu mendedahkan diri sebagai seorang LGBT?
Secara ringkas, mudah dan tidak nampak seperti aku berat sebelah?
Aku mahu mereka sendiri berfikir juga.

Lalu aku cuba menjelaskan tanpa aku meyatakan aku LGBT dengan meletakkan diri aku sebagai orang yang berada di atas pagar.

Aku katakan, perasaan aku pada LGBT ini bercampur sebenarnya. Simpati pun ada. Bukan mereka ingin menjadi LGBT dan sebagainya. Malah ramai sahaja yang mahukan kehidupan seperti biasa.

Masalah selalunya timbul apabila menafikan diri mereka LGBT pada diri sendiri lalu cuba mengikut terma-terma masyarakat. Akhirnya terjadilah penyiksaan pada diri LGBT tersebut dan orang yang tidak LGBT yang terlibat dalam perkahwinan dengan LGBT yang tidak bahagia dan sebagainya. Kalau ada yang bahagia pun, tidaklah banyak.

Aku beritahu lagi, LGBT ini ada yang biseksual. Kalau yang biseksual ini kau tak tahu pun dia berminat pasangan sejenis, jika dia kahwin dengan pasangan lain jantina dan bahagia maka sampai matilah pasangan dia tak tahu dia gay.

Jadi LGBT ini sangat serba salah. Kalau beritahu keluarga, kemungkinan besar akan dihalau. Silap-silap dicederakan dan dinafikan kemanusiaan pula.

Patutnya masyarakat terima golongan gay seadanya. Supaya gay boleh menerima dan mengakui diri mereka sendiri dengan apa yang diberikan oleh Tuhan ini. Terima seadanya bukan bererti menyokong. Contohnya apabila ada anak yang gay dengan selesa boleh memberitahu mereka gay pada keluarga. Keluarga tahu dan terima seadanya dan melayan dengan kasih sayang. Diberikan tempat yang selamat. Jelaskan dari sudut agama dan sebagainya. Tidaklah anak yang gay itu melakukan sesuatu yang liar, memberontak dan sebagainya. Mungkin mereka boleh memperbaiki diri menjadi warga masyarakat yang lebih baik.

Aku juga memberitahu yang masyarakat kita ini mempunyai toleransi yang tinggi. Tidaklah sampai semua gay kena kejar, dibunuh dan dikejami. Bercerita juga serba sedikit tentang gay rights di luar negara dan bezanya di sini. LGBT di Malaysia mungkin akan menuntut hak kesaksamaan, hak berkahwin dan hak dihalalkan seksualiti mereka. Tetapi terpulang pada perlembagaan kita akhirnya.

Banyak lagi aku beritahu pendapat aku pasal hak kesaksamaan ini. Termasuklah pasal kaum di Malaysia. Geleng kepala aku bila Cik Putih cakap, kaum Cina dan India ini sekadar pendatang dan tak boleh ada hak sama rata seperti orang Melayu. Terpaksalah aku menceritakan sedikit ringkas tentang sejarah kedatangan orang Melayu ke bumi bertuah ini, penjajahan, migrasinya orang Cina dan India di sini. Perang Dunia Pertama dan Kedua. Pejuangan nasionalisme, kemerdekaan serta pengaruh arab Islam yang datang sebelum dan selepas kemerdekaan.
Hampir menangis aku bila Cik Putih kata selama ini dia ingat Portugis, Belanda dan Inggeris itu orang yang sama…

Aku nyatakan, lambat laun, entah dua tiga puluh tahun lagi. Mungkin seratus tahun lagi. Keistimewaan orang Melayu tidak mustahil akan hilang.

Aku tidaklah menyatakan sokongan aku pada hal ini. Cuma kita sebagai orang Melayu kena sedar bahawa kita kena bersaing dengan lebih kuat dengan bangsa lain secara sihat. Kita patut sedar bahawa tanah air ini adalah tanah air kita bersama. Sama-samalah kita berusaha untuk memajukan dan saling bantu membantu antara satu sama lain. Bukan menjatuhkan dan berdelusi merasa lebih baik.

Berbalik kepada siri TV ciptaan mat saleh. Tidak semestinya apa yang mereka paparkan itu bagus dan betul. Tetapi itu adalah gaya penceritaan masyarakat mereka.

Kita asyik berada di tahap yang sama, plot cerita pun sudah tak original lagi. Semuanya asyik ikut acuan yang itu-itu sahaja.
Iya, aku sangat faham akan keterbatasan dalam berkarya yang ada. Juga kehendak pasaran lokal yang tidak membantu. Sambil itu, sempat aku promosikan filem Gol dan Gincu Vol 2.

Aku bercakap sehingga aku rasa cik berdua itu pun nampak bosan dengan hujah aku.

Aku tegaskan pada mereka, ini adalah pendapat aku sahaja. Mereka ada hak bersetuju untuk tidak bersetuju. Jika tidak setuju maka bantahlah dengan alasan yang mereka betul-betul yakin. Malah aku galakkan mereka membantah pendapat-pendapat aku ini, cari hujah lain. Malah aku sendiri masih mengkaji untuk membantah pendapat aku sendiri.

Cik Cut sambung make up sampai siap. Aku goreng jemput-jemput jagung. Kami makan bersama. Berbual hal ringan.

Selepas Cik Putih balik, aku katakan pada Cik Cut, aku terima diri aku yang tomboy ini seadanya, jadi aku sempoi ajelah dengan gaya aku.

“Alah…Akak tomboy aje kan bukannya lesbian pun.” Dia cakap pada aku.

Aku cuma sengih. Aku tak iyakan, tak nafikan. You know nothing Jon Snow…

PS: 4 ½ bintang untuk The Haunting of Hill House.



x


2 comments:

  1. Agree to disagree. Tapi akunpun ada pendapat aku juga. Kaum cina dan india mengikut sejarah sememangnya kaum pendatang. Melayu memang telah dilahirkan di nusantara. Tanah melayu indonesia filipina brunei sebenarnya ada ramai kelompok melayu. Berkenaan hak istimewa memang telah termaktub dalam perlembagaan dan dipersetujui bersama ketika waktu kemerdekaan dicapai dengan pertukaran kerakyatan kepada kaum cina dan india. Kaum india dan cina seharusnya bersyukur kerana mereka tidak menjadi seperti saudara mereka di thailand dan indonesia yang dinafikan hak untuk belajar bahasa ibunda di sekolah. Di malaysia mereka sangat bebas untuk berniaga mengamalkan budaya dan bahasa sendiri. Mengenai lgbt, aku sebagai lght sendiri tidak bersetuju lgbt diberikan hak dan mendapat simpati. Kerana simpati akan berubah menjadi berbahaya. Sebagai seorang islam yang lgbt aku telah lama berhenti mengamalkan lgbt. Kerana aku takutkan neraka dan tak mampu menahan panasnya api neraka.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Burn...
      Ini pendapat yang biasa saya dengar dari kebanyakkan orang.
      Terima kasih kerana menulisnya di sini.
      Ya betul. Sejarah ajar kita macam-macam, malah Al-Quran menceritakan tentang masa sebelum masa, masa silam, masa sekarang dan masa depan. Tentang runtuhnya sebuah demi sebuah peradaban kerana sikap melampaui batas kita sebagai hambanya. Sombongnya hati kita.
      Jangan kita berhenti mempelajarinya. Semoga Allah berikan petunjuk untuk hati saya, kamu dan sahabat-sahabat lgbt kita. Sebagai seorang Islam yang LGBT, saya masih LGBT. Saya perlu mengakui itu supaya saya boleh belajar tentang diri saya sendiri. Harap dipermudahkanNya.

      Delete

Followers