Tuesday, February 5, 2013

Tentang PDA


PDA atau nama panjangnya Public Displays Affection


Menurut Urban Dictonary PDA adalah :

Public Displays Affection, can been seen in the form of kissing, touching, groping, licking, nuzling, cuddling, crossing hand into each other's opposite back pocket, etc. Usually spotted among new couples, frisky teenagers, and ocassionally the "young at heart".

Bila jalan-jalan di mall atau mana-mana sahaja tempat terbuka, kita akan dapat menyaksikan PDA. Tidak kiralah pasangan itu suami isteri, perempuan/lelaki atau sebagainya.

Pengkid dan pasangannya hari ini memang ramai yang tak segan silu nak menunjukan PDA memasing. Ramai juga yang tidak. Sila angkat tangan kalau korang pernah nampak atau terserempak dengan aksi PDA ini. Setiap kali aku nampak PDA di mana- mana, segera aku perhatikan reaksi orang sekeliling. Muka masing-masing nampak meluat dengan PDA. Aku pun turut meluat. Tapi aku tahu, ini bukan satu halangan untuk pasangan itu meneruskan PDA mereka. Pasangan ini memang tahap hati kering. Rasa nak baling dengan kaktus aje.

Kalau aku keluar dengan emak, Kak Jen atau mana-mana adik-beradik perempuan aku, termasuklah anak-anak saudara aku yang perempuan, kami akan berpegangan tangan. Penuh manja dan mesra. Macam dah jadi benda wajib untuk pegang lengan aku atau aku pegang lengan dia orang. Lagipun aku jenis jalan laju. Bila tangan aku dipegang, aku akan jalan sekata dengan orang tersebut. Aku tahu, kadang kala orang boleh salah anggap. Malah ada yang sengaja menjengilkan mata, buat isyarat meluat. Aku cool aje. Pasal familikan. 

Kalau keluar dengan adik lelaki aku si Jaha tu atau bestfriend aku si Bond, aku suka aje nak pegang lengan, tapi diorang pulak yang tak nak.

Dalam meluat melihat pasangan PDA, sebenarnya aku ingin buat pengakuan.

Aku + Honey = PDA habis-habisan.

Masa aku dengan Honey masih hangat bercinta enam atau tujuh tahun lepas, kami jenis PDA. Jenis hati kering. Jenis redah aje apa-apa. Ya betul. Honey yang pakai tudung tu, yang lebih tinggi dari aku. Dia selamba aje kalau nak pegang tangan atau peluk pinggang aku depan orang. Dalam bas kami akan duduk dekat-dekat. Dalam LRT tak usah cakaplah, mesti kena rapat-rapat dalam sesesak tu. LRT dulu lagi sesak dari LRT sekarang. Bayangkan..

Kadang-kala aku perasan Honey sengaja memeluk aku erat apabila ada mata-mata lelaki yang memandang kami. Berani betul Honey.

Ada sekali tu kami makan ramai-ramai. Kak Jen pun ada masa tu. Honey pegang tangan aku, dia tak nak lepas. Jadi aku makan guna tangan kiri. Kak Jen naik hairan, lalu menegur kenapa aku makan pakai tangan kiri. Makin kuat pulak Honey pegang tangan aku. Kak Jen jeling bawah, tengok aku dan Honey duk pegang tangan. Habis dikecohkan satu meja. Aku dah blushing. Honey pula selamba badak aje. Jangan harap dia nak lepaskan tangan aku.

Masa aku hantar dia ke kampus matrikulasi. Aku secara rasminya minta dia jadi steady girlfriend aku. Dia tak beri jawapan. Lepas tu aku kena balik naik bas. Dia hantar aku kat bas station. Aku dah naik bas. Bas tu dah nak jalan dah. Dia tahan bas tu berhenti. Aku pun pelik, ada barang dia tertinggal dekat aku ke? Semua perhati dia masuk bas dan jalan lenggang-lenggok menghampiri aku di seat belakang. Dia cium dahi aku lama-lama. Lepas tu dia cakap,

“Ya, saya setuju.”

Tak sempat aku nak kata apa-apa, Honey turun dari bas. Semua mata dalam bas pandang aku. Aku senyum senget. Tak tahu nak respon apa. Abang bas hanya mampu menggeleng kepala. Mujur tak ada orang kat sebelah seat aku. Kalau tidak confirm kena perli.

Pernah masa dia nak balik kampus, sengaja dia cium aku depan rakan-rakan sekerja. Aku agak terkejut dengan tindakan berani mati itu. Melopong semua rakan sekerja aku terutamanya yang lelaki, aku pun melopong sekali. Mungkin dia nak bagi amaran kat semua orang yang aku ni dia yang punya.

Ada sekali tu masa kami jalan pegang tangan dekat area pasar seni, ada mamat yang jalan bertentangan suwit-suwit kami berdua. Sambil tu dia gelak sakan dengan kawan-kawan dia. Memang obviouslah dia perli dan gelakkan aku dan Honey. Aku panas hati. Berselisih sahaja aku dengan kumpulan mamat tu, aku sempat menghayun siku sekuat hati tepat ke perut mamat tu. Cepat-cepat aku tarik tangan Honey, lari. Aku tengok mamat tu dah tunduk-tunduk senak, tangan dia tunjuk ke arah aku. Kawan-kawan dia hanya terkedu. Itu tindakan spontan, aku pun tak sangka aku buat macam tu.

Pasangan yang PDA ni biasanya tak sedar orang meluat.

Orang pula tak tegur. Ramai orang tak tahu nak tegur macam mana. Orang yang malas nak tegur dan orang yang tak peduli lagilah ramai. Kalau aku nampak orang PDA, respon pertama aku selalunya “Wow!”

Sekiranya Jo 30an boleh nasihat Jo 20an, pasti akan suruh kurangkan PDA yang over-over tu. Sikit-sikit tak apa. Sekian.


PS: Kak Jen lagi teruk.

Saturday, January 26, 2013

31 Tahun


                                Tahun ini umur aku dah 31 tahun. What!

Sunday, January 20, 2013

Pengkid dan Rambut


Kebanyakkan pengkid yang sedang meningkat remaja amat mementingkan rambut. Rambut macam identiti pengkid. Rambut cute. Maka pengkid tu cute. Itulah yang aku fikir masa aku tengah meningkat remaja dulu. Sekarang ini aku akan nampak pengkid tu automatik cute kalau :

1.Awek dia cute.

2.Dia pakai kereta besar.

Ini bermakna aku tak cute pasal dua-dua di atas pun aku tak ada.

Cerita kali ini bukan pasal cute, tapi pasal lain.

Dari kecik dulu aku jenis yang tidur bersepah-sepah. Aku boleh tidur dekat mana saja. Tak kiralah bilik satu, bilik dua, dengan Kak Jen, sebelah adik perempuan/lelaki, kat sofa. Mana saja. Termasuk atas pokok dan atas bumbung rumah.

Masa sekolah asrama apatah lagi. Semua katil dekat asrama aku dah pernah tidur. Termasuk bilik warden dan stor dewan makan.

Semasa aku kerja di restoren, aku masih mengekalkan tabiat itu. Hostel restoren yang aku duduki itu ada beberapa bilik. Bila aku tak lena tidur di bilik aku maka aku akan merayap ke bilik orang lain dan main tidur aje kat sebelah sesiapa. Biasanya orang akan bagi aku ruang bila aku datang tengah-tengah malam dengan bantal dan muka kesian.

Bila aku bosan juga aku akan tidur dengan Kak Jen. Biasalah… Dia mesti suka sebab tangan dan kaki dia boleh naik atas badan aku.

Satu hari sedang aku melepak dengan Kak Jen, aku beritahu dia kepala aku makin gatal. Rupanya dia pun mengalami nasib yang sama. Kepala dia pun makin gatal. Check punya check, sah! Kami berdua dijangkiti KUTU. Kak Jen salahkan aku tidur bersepah. Bayangkan… Rambut kami pendek, tapi ada kutu.

Kalau dekat sekolah asrama dulu, masa aku dijangkiti kutu. Aku sembur rambut aku dengan penyembur nyamuk RIDSECT. Satu botol habis. Banyak aje pilihan lain seperti letak ubat kutu masa tu, tapi biasalah sebagai remaja aku memang suka bereksperimentasi. Akibatnya aku sakit tekak selama sebulan.

Aku dan Kak Jen mula  mencari jalan penyelesaian untuk masalah kami. Kami setuju untuk membeli sikat kutu.

Area tempat kerja aku itu adalah kawasan yang agak eksklusif. Kedai runcit tak ada jual sikat kutu. Hanya kondom pelbagai jenama dan perisa senang didapati. Orang ramai lebih memerlukan kondom sebab HIV/penyakit kelamin lebih senang dijangkiti daripada kutu.

Bila aku dan Kak Jen pergi membeli barang di Jalan Masjid India. Kami singgah di sebuah kedai barangan wanita milik peniaga India. Aku dan Kak Jen berpusing seluruh ruang kedai. Sebijik sikat kutu pun kami tak jumpa. Mustahil. Kami ambil keputusan untuk bertanya terus kepada pemilik kedai.

Aku dan Kak Jen saling tolak menolak. Kak Jen suruh aku tanya. Aku suruh Kak Jen tanya. Maklumlah, kami kan stylo masa tu, gaya rambut GQ, baju berkolar dengan kolar dinaikan dan seluar pendek baggy memasing. Kasut bersinar-sinar. Macam rapper 90an. Gaya yang amat-amat tak sesuai untuk beli sikat kutu.

Seperti biasa, adik mesti kalah dengan kakak, akhirnya aku yang kena pergi tanya. Kurang asam punya Kak Jen. Dia berdiri sedikit jauh daripada aku. Aku terpaksa menghadapi ini seorang diri.

Aku menghampiri pemilik kedai di kaunter. Dia berbahasa Melayu dengan telo India.

Jo : Uncle… Itu sikat ada jual ke? (masa ni tekak aku tak terkeluar perkataan kutu, tak sanggup)

Uncle : Adik, apa sikat you mahu. Sikat rambut kan?

Jo : Ala, itu sikat… Sikat yang rapat-rapat tu. Sikat rapat… Sikat KERAP. ( Aku cakap sambil tunjuk gaya sikat rambut)

Uncle : Ohhh… Itu KUTU punya? (Uncle itu cakap kuat-kuat sebab excited dapat jawapan agaknya. pelanggan lain dalam kedai semua pandang aku, Kak Jen ketawa mengekek kat belakang)

Jo : Ya Uncle…

Uncle : Cakaplah itu kutu punya kan senang. Ada, sini semua sikat ada.

Uncle tu keluarkan beberapa jenis sikat kutu. Ada yang buluh,kayu dan plastik. Aku ambik satu, bayar cepat-cepat dan keluar dari kedai. Malu betul, pakaian punyalah gangster, lepas tu beli sikat kutu.

Balik itu kami terus jalankan operasi menyikat kutu. Kak Jen sikat rambut aku, aku sikat rambut Kak Jen. Aku tidak mahu lagi tidur bersepah.

Sampai sekarang bila aku teringat hal ni kami memang gelak sakan.

Sebab, kutu berjangkit, ketawa pun berjangkit.

Thursday, January 17, 2013

Kisah Pengakuan Aku pada Jaha


Aku mulakan cerita hari ini memetik dialog SKYPE antara aku dan Kak Jen.

Jo : Kak, aku tak berapa dengarlah kau cakap apa, line tak kuat ni.

Kak Jen : Aku tak bercakap apa, memanglah kau tak dengar.

Cis, Kak Jen.

Adik beradik aku ramai, lebih dari sepuluh jari kalau nak dihitungkan. Dalam ramai-ramai tu lima daripada mereka tahu aku ni lesbian/pengkid. Dia orang tahu sebab ada dengar aku bercerita pasal girlfriend, saksikan sendiri aku mengorat awek atau aku sendiri yang buat pengakuan. Adik-beradik dan ipar duai lain aku rasa dia orang tahu, tapi buat-buat tak tahu atau tak mahu ambik tahu.

Ini adalah kisah pengakuan/coming out story aku kepada salah seorang adik lelaki aku, seorang graduan UPSI yang kini bekerja di 7ELEVEN. Kisah ini berlaku beberapa tahun lepas. Masa tu aku dah putus cinta dengan Honey dan adik aku tu baru sahaja habis STPM. Kita letaklah nama adik aku tu Jaha.

Waktu tu tengahari baru aje menginjak ke petang. Cuaca panas. Aku dengan Jaha lepak kat gerai sambil menunggu customers datang. Jaha ni jiwa dia lembut. Cakap orang tua dia memang tak melawan. Nada suara dia bercakap rendah aje. Aku tak tahulah bila dia jadi cikgu nanti macam mana dia nak handle students dia. Tapi jangan salah sangka Jaha ni lelaki lembut pulak, sebab dia lelaki berbulu ketiak dan bilik tidur dia bersepah tahap kandang ungka. Tunggu masa aje aku nak bakar bilik tu.

Aku pun tanya kat Jaha.

Jo : Adik… Akak ni ada buat dosa besar. Kau rasa Tuhan ampunkan tak?

Jaha : Mestilah Dia ampunkan. Dia kan Maha Pengampun. Besar macam mana pun.

Jo : Tapi dosa ni besar… Tak terampun rasanya. Takut pun ada dik…

Jaha : Akak pernah dengar cerita ni tak? Alah… Entah-entah dah banyak kali akak dengar.

Jo : Cerita apa dik? Cuba kau cerita kat akak sikit.

Jaha : Alah cerita yang pasal seorang lelaki ni. Dia dah bunuh 99 orang, lepas tu  dia tanya kat sorang  rahib ni, adakah dia diampunkan kalau bertaubat, rahib ni jawab, tak. Lepas tu dia naik angin dia pancung rahib ni. Jadi seratus orang.

Jo : Rasanya macam pernah dengar, tapi teruskan…

Jaha : Lepas tu dia cari lagi, jumpa orang alim ni, orang alim ni suruh dia pergi kat satu tempat ni sebab ramai orang beribadat. Pergi bertaubat kat sana. Jangan balik semula kat tempat dia. Dia pun naik kuda, sampai kat pertengahan jalan. Dia mati. Lepas tu malaikat pun pening nak letak dia dalam kategori mana. Malaikat rahmat ni cakap, dia nak bertaubat sepenuh hati. Jadi dia diampunkan. Malaikat azab cakap dia ni tak pernah buat baik lansung dalam hidup dia. Tidak diampunkan. Pastu datang satu lagi malaikat suruh ukur jarak tempat dia mati. Kalau jarak ke tempat taubat lagi dekat dari tempat dia buat dosa. Maka dia diampunkan. Lalu masing-masing pun ukur. Jarak kat tempat taubat lagi dekat.

Jo : Wow!

Jaha : Betul Kak. Bayangkanlah dia ni dah bunuh seratus orang, tapi sebab dia nak taubat sungguh-sungguh. Walaupun tak sempat nak pergi, tapi dia di ampunkan tau. Apatah lagi akak ni.

Jo : Hmmm. Betul tu, tapi kau tak tahu apa akak buat.

Jaha : Bunyinya serius sangat, tak kan akak bunuh 111 orang pulak.

Jo : Hmmm. Tak Dik… Tapi akak ni pengkid, lesbian macam tu la. Sebelum ni akak dah ada empat orang aweks dah. Sekarang takdelah. Dah single.

Sejurus selepas pengakuan aku itu, Jaha terdiam, lama. Aku sengih kat dia dia, dia sengih balik.

Jaha : Orang rasa macam dah tau, tapi bila dah dengar sendiri ni kira confirmlah. Gilalah kak.

Jo : Akak dah cakap dik… Gila sey…

Jaha : Patutlah akak macam terer aje bab-bab aweks ni. Patutlah akak selalu bagi petua nak ngorat aweks semua. Memang dashyat ni.

Jo : Dashyat apanya. Seposen pun tak guna. Bukan dapat buat apa-apa pun.

Aku dan Jaha mula flashback kembali cerita-cerita ex-girlfriends aku. Dia duduk tergelak aje. Ada jugak dia buat kenyataan. Walaupun aku pengkid ke, apa ke, dia tetap rasa aku sama aje, kakak dia. Yang kuat berleter kalau dia malas belajar. Yang selalu turun ke dapur tolong emak masak masa berkumpul adik- beradik semua dan yang penuh dengan sifat baik buruk kakak kepada adik-adiknya. Dia juga tak dapat bayang aku kepit awek macam mana. Dahlah aku pendek orangnya.

Cis, Jaha!

Tuesday, January 15, 2013

From A to B


Aku ada seorang kawan. Aku namakannya A. A adalah pengkid yang sederhana. Pemikiran, pertuturan, gaya, semuanya serba sederhana. A sudah lama hidup single. Kadang kala ada juga terdetik hatinya ingin ada awek. Ada juga aku nasihatkan dia.

“ A, baik kau lupakan saja, tak berbaloi.”

Dalam hidup single itu. Adalah satu dua orang yang tangkap cintan sama A. Tapi dia tak tangkap cintan balik. Maka tak jadi. Ada yang dia suka pulak, dah ada boyfriend. Nasib A memang menyedihkan.

Entah angin mana yang datang, tiba-tiba dia boleh tersuka dengan seorang gadis iaitu rakan chatnya di sebuah laman sosial. Aku namakan rakan chatnya ini B. Walaupun jarak usia mereka agak jauh tapi mereka agak serasi. Maka bermulalah episod ngorat-mengorat. Pada awalnya B tak layan sangat kata-kata manis A. Tapi A tak putus asa. Dia betul-betul suka pada B. Setiap hari mereka akan chat dan berborak di telifon berjam-jam lamanya. Sah, dua-dua dah angau.

Setelah seminggu dua bermanja di alam maya. Maka A ajak B berdating. B berkeras tidak mahu. Kata B, dia tak lawa. Sedangkan A dah pun stalk gambar-gambar B di internet. A tahu B orangnya sederhana sahaja. Tapi A tak kisah. A pun bukannya kacak . Lagipun ini pasal hati. A tahu hati dia sangat suka pada B. Akhirnya mungkin kerana termakan pujuk rayu A, maka B setuju untuk berjumpa.

A sangat happy. Dalam masa yang sama dia agak gementar sebab ada kemungkinan first date ini berjalan lancar, maka status singlenya itu akan berubah. A harap B lah orangnya yang akan dapat share gembira dan sedih dengan dia.

Pertama kali A tengok B, A rasa happy. Comel aje. B pula nampak macam acuh tak acuh sahaja dengan A. Mungkin dia tak biasa. B cuba memahaminya. Pertemuan mereka sepanjang hari berjalan dengan lancar. Cuma A tidak berapa gembira. Dia rasa B macam acuh tak acuh dari mula sehingga akhir. A lihat body language B. Tapi dia tak dapat faham. Setiap kali bersentuh atau tersentuh, A tahu B cuba larikan diri. A tak rasa hati mereka dekat walaupun B ada depan mata dia.

Hati A sangat rapuh. Terlalu susah dia nak percaya pada orang. Tapi A tahu, B boleh. A cuba juga kuatkan hatinya. A ada juga cakap dengan B, kenapa B layan dia macam tak suka, macam tak kisah. B cakap, dia memang macam itu, dia tak biasa. Tapi dia akan cuba.

Bila balik rumah. A menangis teruk-teruk. Meraung.

A tanya aku, apa salah dia. Kenapa B layan dia macam itu. Aku sendiri tak tahu nak kata apa. Cuma yang aku tanya pada A, apa yang dia cari? Apa yang dia mahu? Adakah semua itu dia dapat rasa daripada B? Adakah B orangnya yang akan sanggup berhadapan dengan semua orang yang suka, sayang, atau benci A. Adakah A sanggup terima B seadanya. Adakah B sendiri sanggup terima A seadanya dia, seorang pengkid. Masa… Persoalannya masa. Sanggupkah A memberi masa pada B?

Jawapannya TIDAK.

A cuba memberi jawapan YA pada B. Tapi itu jadi salah, sebab A tidak mampu memaksa hatinya. Keyakinannya hilang pada B sekelip mata. Hatinya berubah sekelip mata. B minta pada A untuk mulakan semula. Tapi hati A sudah tawar, buat masa ini tiada penawar.

Aku agak marah dengan A. Semudah itu hatinya berubah. Dia dah buat B suka pada dia, dan dia tinggalkan sahaja. Aku yakin B sangat-sangat sedih. Tapi aku tahu A juga terlalu sedih. Aku nampak A cuba senyum, cuba gelak, cuba sibuk-sibuk. Tapi sunyi hati A dia sahaja yang tahu. Mungkin B pun macam itu. Mana aku tahu. Yang pasti dua-dua pun sedih.

Bila aku tanya A, adakah dia akan suka siapa-siapa lagi lepas ini. A angguk, lepas tu geleng. Banyak kali jugak dia buat macam itu. Risau jugak aku, tapi A cakap, don’t worry. Nanti hati dia akan ok.

A tetap jalani hidupnya. Hari-hari dia cuba buat orang gelak. Sebab bila orang ketawa, hatinya lukanya terubat. Sikit demi sikit.

Cuma aku sahaja rasa tak kelakar sebab A tu sebenarnya aku, Jo Rahim.

PS : Maaf tak sempurna. 

Sunday, January 6, 2013

Motivasi untuk orang Angkuh

Aku cuba untuk tidak menulis pasal kecewa.

Masa sekolah, aku pun tak pasti ada berapa billion kali kem motivasi yang aku pergi atau join. Sama ada di paksa ataupun atas kehendak sendiri. (Kebanyakkannya dipaksa)

Kali pertama pergi kem motivasi memang excited. Balik kem semangat berkobar-kobar. Tak lama lepas tu kena pulak pergi kem motivasi lagi. Kena dengar talk. Lama-lama, aku dah boleh baca apa yang hendak disampaikan. Kadang kala game/task yang di beri dah tak suprise lagi sebab aku dah buat di kem sebelumnya. Kem motivasi jadi sangat membosankan. Aku tak ada motivasi nak pergi kem motivasi.

Satu hari seorang cikgu tuisyen yang sangat baik, bijak mengajar, dihormati dan disayangi oleh semua orang memberi tahu dia akan anjurkan motivasi percuma untuk kami. Di akhir kelas seperti biasa dia bertanya.

" Ada apa-apa soalan?"

Maka pantas aku angkat tangan.

" Cikgu, saya rasa saya tak perlukan motivasi lagi, saya dah cukup termotivasi. Saya dah cukup positif. Sekarang ini kita perlu bertindak dan lakukan sahaja."

Aku tahu itu bukan soalan. Satu kelas pandang aku, geram agaknya dengan aku sebab ada sahaja benda baru yang aku nak cakap. Atau mungkin bersyukur sebab aku cakap benda yang sama ada dalam  kepala otak dia orang. Atau ada yang tak pernah terfikir apa-apa. Terima dan terima sahaja. Mana aku tahu.

" Saya tak tahu apa yang buat awak kata macam itu. Tapi satu hari nanti awak akan perlukan motivasi. Bukan hari ini. Saya tahu awak sangat positif. Bagus."

Lepas itu setiap hari aku fikir betul ke apa yang aku cakap. Angkuhnya aku. Menyesal pun ada. Patutnya aku diam sahaja. Tak perlu nak bagi pendapat itu. Tapi kalau aku tak cakap, mesti geram sebab kena pendam. Tapi bukan salah juga kata-kata aku. Patutnya para pemberi motivasi kena fikir cara yang lagi bagus untuk bagi motivasi, asyik benda yang sama aje. Asyik lawak yang sama aje. Sampai rasa dah tawar.

Aku teruskan hidup. Menangis, gembira atau apa sahaja yang datang aku cuba positif. Betul cakap cikgu, aku perlu motivasi. Setiap hari. Mungkin dengan cara berbeza. Mungkin dengan cara hanya melihat jiran sebelah rumah mengecat rumah dia aku rasa termotivasi. Mungkin dengan cara aku lihat orang lain tidur dari pagi sampai petang aku rasa termotivasi.

Tapi bukan semua orang macam aku. Setiap orang itu nilai dia lain-lain. Aku pandang jiran cat rumah, aku rasa dia rajin, bagus dan rumah dia cantik. Orang lain pandang mungkin rasa jiran itu nak menunjuk-nunjuk.

Nilai setiap orang sangat lain.

Memetik peristiwa di office. Antara aku dan member-member office.

Julie : Jo, ada strawberi dalam peti ais.

Jo : Wah, sedapnya. Aku ambik satu. TQ. Kena cuci dulu ke ni? (buka peti ais ambik satu)

Julie : Kena cuci dululah. Ada serbuk tanah.

Jo : Wah sedapnya, sekali telan aje. ( basuh strawberi dan terus makan sekaligus )

Julie : Jo! Kau makan daun dia sekali ke?

Jo : Boleh makan daun dia sekali ke? Rugilah aku sebab daun dia aku dah buang.

Julie : Rugilah kau... ( Julie jawab sambil gelak sebab dia faham aku berlawak, aku pun gelak sebab aku tahu Julie berlawak)

Haikal : Eh, daun dia kan tak boleh makan?

Nina : Sebab itu Jo tak makan.

Sekian terima kasih.







Tuesday, January 1, 2013

Followers