Friday, November 28, 2014

Jagung dan Strawberi

Lapar pulak perut ni. Padahal tadi dah makan jagung rebus dan roti bakar sapu jem strawberi.

Jagung dan jem strawberi tu aku dapat hasil bercuti bersama famili di ketinggian 1, 829 meter dari aras laut. Rasanya sedap.

Aku bukan jenis orang yang suka bercuti. Asyik kerja kerja kerja. Aku rasa tempat paling selamat adalah meja tempat kerja. Sehinggalah baru-baru ini aku rasa kerja telah menyepak aku bertubi-tubi dan rasa sakitnya bukan kepalang. Mula rasa tak gembira dan ada sesekali sekala hati kecil ini berharap agar boss memecat aku.

Sampai macam itu sekali.

Agaknya lepas selesai menjalankan projek yang ini maka bolehlah aku tinggalkan kerja sekarang dan beralih kepada kerja lain. Ada beberapa pilihan kerja yang mungkin boleh dipertimbangkan.

Jadi tukang jahit ~ Ya Allah, manalah aku tahu menjahit.

Jadi tukang masak ~ Kau ingat senang Jo?

Jadi cikgu sekolah ~ Banyaknya dugaan.

Jadi petani ~ Tanam apa? Jagung dan strawberi?

Jadi apa yang Kak Jen nak aku jadi ~ Buat bisnes.

Atau kekal dengan jenis kerja sekarang dan cuma berubah tempat?

Masih laku ke resume perempuan solo umur 32 tahun yang sijilnya entah mana dia campak kan?

PS: Haraplah supaya company boss aku ni makin maju dan cepat-cepat jumpa pengganti aku. Amin.





Sunday, November 16, 2014

Dialog Dalam Kepala

Agama adalah satu subjek yang dekat pada kita. Tapi itulah yang sering kita abaikan. Bila aku bicara seperti ini, ramai yang marah. Ramai yang mengatakan mereka tidak abaikan agama. Mereka orang baik-baik. Sungguh kita manusia itu makhluk yang lupa.

Aku pendosa. Berdosa setiap hari. Punya rasa bersalah, tapi dibuat juga. Kenapa? Kenapa? Gagalkah aku untuk jadi hamba Allah. Sering aku terbaring ketar sendiri di dalam gelap. Bertanya dan bertanya. Menangis dan merintih. Terasa tersiksa dengan kejahilan.  

Umur semesta ini makin menghampri tarikh luput. Kiamat itu janji pasti dan akan muncul. Adakah aku golongan orangnya yang obses dengan hari kiamat dan cerita-cerita di sebaliknya tapi dalam masa yang sama lupa dengan ibadat setiap hari.

Ibadat. Apa yang kau faham tentang ibadat? Solat? Mengaji?

Apa pula tanggungjawab kau terhadap diri sendiri. Terhadap orang lain.

Atau kau seorang sahaja solat dan mengaji sorang-sorang tapi kau biarkan kawan-kawan kau ke sana-sini bermaksiat di atas nama kehidupan sosial dan memenuhi kehendak kapitalisme dalam negara di kertasnya Islam tapi luarannya sekular. Kau biarkan jiran kau yang sakit. Biarkan ada yang bergaduh dan menipu. Anak-anak kecil di keliling, kau biarkan membesar jadi manusia bimbo dan spoil. Hanya penting kau dan ibadat kau sahaja. Agama kau bataskan.

Atau kau jenis kisah tak kisah. Kau hanya ambil kisah bila satu perkara jadi trend. Lalu kau turut sama trendkannya guna sejuta medium yang kau tahu. Kau jerit dan laungkan di tengah jalan. Balik rumah nanti kau tidur lena.

Adakah kita ini generasi yang betul asuhannya, tapi akhirnya melaksanakan asuhan itu dengan salah?

Atau ini sebahagian plot terancang secara besar-besaran dan kita adalah satu objek kecil sebesar kuman di dalamnya bersama trillion kuman yang lain.

Atau apabila soalan ini sering ditanya-tanya hati kita, maka sebenarnya kita sedang disedarkan?

Kadang-kala aku rasa merepek-repek kosong sahaja. Sebab hakikatnya aku tak tahu apa pun. JAHIL yang lagi teruk dari si jahil di zaman jahilliah.

Aku malas. Agama adalah satu subjek yang boring. Subjek yang terasa menakutkan. Baca Al-Quran tak tahu. Baca terjemahan tak faham. Tak nak bincang. Tak tahu nak bincang dengan siapa. Bila bincang pula makin terbelit kepala otak.  Tersalah cakap, takut murtad. Takut terbuka pekung sendiri. Aku nervous. Alasan…Alasan dan lagi.

Lalu lepas aku menulis ini maka aku buka siaran ASTRO dan layan Keeping Up With Kardashians. Keluar merayap ke mall tengok movie terbaru. Hey! Apa salahnya dengan itu? Aku tak kacau orang.

Syaitan si penghasut aku halau manja-manja sahaja.

Aku cipta mahtera aku sendiri. Alah. Nanti bila semua dosa habis dihitung dan dihukum., aku akan masuk syurga jugak. Aku kan Islam.

Huh?


Saturday, November 15, 2014

Cemburu Si Pengkid

Malam-malam yang letih, sedih dan mengantuk, kotak chat aku diketuk. Seorang sahabat bertanya khabar aku. Ikutkan hati memang hendak tidur terus. Tapi bila fikirkan, mungkin ini dapat merehatkan sedikit otak aku yang tegang.

Kami chat, bertanya dan berkongsi cerita. Dalam hati ini ada risau juga, sahabat aku ni perempuan berpendidikan tinggi, cantik dan dia bercinta dengan pengkid yang bukan calang-calang. Aku yang kecik molek ini tak sanggup nak kena tumbuk dengan pengkid dia yang tinggi dan macho itu. Ada juga aku bertanya dia, rasionalkah dia berborak dengan aku? Tidak cemburukah pengkid dia nanti? Aku harap tidak, sebab hakikatnya memang kami selesa borak berdua. Macam seorang mak cik bertemu dengan seorang lagi mak cik di tepi tangga di sebuah rumah kampung.

Kalau di buka rekod aku. Memang aku seorang yang tak kuat cemburu. Kata orang, cemburu itu tandanya sayang. Habis tu aku yang tak cemburu sangat ni, tandanya aku tak sayang sangat ke? ‘Kata Orang’ ni patut kena penampar. Memandai sahaja. Aku tak cemburu dan aku sayang.

Sebagai pengkid, dan jika kamu mempunyai kekasih tersayang pada siapakah yang kamu akan cemburu? Pada seorang lelaki? Pada seorang perempuan? Pada pengkid lain? Lelaki lemah lembut?

Situasi pertama, seorang perempuan ayu yang ada kekasih pengkid dan dia manja sangat dengan kawan perempuan dia lain yang ayu. Pengkid dia akan cemburu tak?

Situasi kedua. Seorang pengkid dan sangat rapat dengan seorang lelaki. Kekasih pengkid itu akan cemburu tak?

Situasi ketiga. Seorang pengkid yang rapat dengan perempuan yang berpasangan dengan pengkid lain. Pengkid lain itu akan cemburu tak? Yang ini memang ramailah yang akan jawab, CEMBURUUUUUUU!

Situasi keempat. Seorang pengkid dan dia memang rapat dengan geng-geng perempuan dia. Kamu rasa kekasih si pengkid itu tak cemburu ke?

Situasi kelima. Seorang pengkid yang rapat dengan pengkid. Kekasih-kekasih dia orang ni tak cemburu ke? Hahaha.

Jadi aku ingat kembali. Kisah lama-lama.

Honey selalu datang bercuti melawat aku di restoren tempat aku kerja. Rakan sekerja aku baik yang lelaki atau perempuan rajin kacau dan melepak dengan dia sebab biasanya masa aku kerja, aku kerja. Honey pula tak kacau aku sangat, dia selalu baca buku dan siapkan kerja belajar dia di satu sudut. Biasanya kami hanya akan balas senyum dan baling flying kiss dari jauh.

Rakan sekerja aku seorang mamat yang aku tahu reputasi dia dengan perempuan ini menghampiri aku.

“ Untung betul kau ni. Awek kau setia doh. Puas aku ayat awek kau, dia cakap dia suka kau sorang aje. Sial! Apa ayat kau pakai?”  Kata Firdaus guna slang Subang Jaya.

“ Oh iye ke? Kau lepak dengan dia ke tadi? Hahaha.” Aku gelak aje. Memang tak rasa apa dan sambung kerja macam biasa.

Petang itu lepas habis kerja. Aku dan Honey jalan pimpin tangan di celah-celah deretan bangunan. Kadang kala kami berhenti bila terjumpa kedai komik. Salah satu perkara yang suka kami lakukan.

“ Awak tahu tak, antara ramai-ramai staff kat tempat kerja awaklah, saya boleh jatuh hati dekat siapa?.” Honey tanya sambil mengadap aku.

“ Dekat siapa ya? Manalah saya tau.” Kata aku lembut sambil tatap mata dia yang kuyu.

“ Firdaus.” Beritahu Honey.

“ Dia tu memang pandai ambik hati perempuan. Selalu juga dia cerita itu ini bila kita orang lepak berdua. Pasal ayah dia. Pasal awek yang menyelinap masuk dalam rumah dia. Hahaha!” Aku tambah pulak.

“ Dia tu macam something kan. Taklah handsome dan nakal. Tapi perempuan memang akan cair.” Honey cerita sambil gigit bibir.

“ Perempuan memang cepat suka lelaki jahat macam tu. Saya tak faham betul.” Aku senyum dan geleng kepala.

“ Errr…Selalu ke dia borak dengan awak?” Honey tanya pada aku dan aku angguk sahaja.

Dalam situasi di atas, akukah yang patut cemburu? Atau Honey yang tengah buat aku cemburu lepas tu dia pulak yang cemburu. Apa pendapat kamu?

Cemburu dalam hidup seorang pengkid itu garisnya amat kabur dan jika tersilap langkah mana-mana cemburu pun boleh membunuh. Ada perkara yang kamu memang kena cemburu dan ada juga yang kamu tak perlu nak cemburukan sangat. Apabila perasaan cemburu itu melebihi sayang. Maka habis.

Kekasih kamu bukan harta kamu. Kamu tidak memilikinya, dia juga tidak memiliki kamu. Kamu berkongsi rasa sama yang perlu dipupuk dengan perasaan saling hormat menghormati. Jika satu hari nanti rasa itu sudah tidak sama lagi, perasaan hormat itu jangan dibuang.

Tapi. Manalah kita tau. Hati orang.


PS: Patutkah aku menampar ‘Hati Orang’ pulak lepas ni?


Tentang Menulis

Hari itu aku ada chat dengan Blogger DalamGobok. Menyatakan ketidakpuasan hati aku di atas penutupan blog dia. Sambil itu dia merendah diri dengan mengatakan blog dia sekadar blog yang hilang arah. Blog picisan. Grrr.

Kami chat tak lama. Dia sibuk dengan tugas-tugas dia.

Aku akur dengan alasan peribadi dia sambil mengucapkan selamat maju jaya dan semoga memperolehi kejayaan di masa-masa akan datang. Dia juga berjanji pada aku yang dia akan terus menulis walaupun untuk simpanan sendiri.

Lagi satu orang yang aku betul marah sebab tidak menulis adalah Honey. Aku rindu tulisan dia yang bagi aku cukup halus, menusuk kalbu, rumit dan penuh ketelitian dalam setiap penyampaian bahasa yang dia gunakan. Wah! Kalau Honey dengar ni…Hahaha.

Awal tahun lepas Honey ada telifon dan emel aku meminta serba sedikit pendapat pasal menulis. Padahal aku yang sepatutnya minta nasihat dia. Aku pun memberi tips serba sedikit yang aku tahu. Katanya lagi, nanti apabila dia dah mula menulis sesuatu dia akan hubungi aku lagi. Dia akhiri ayat emel dia dengan kata.

“ Bila tune dah lari, masih sedapkah aku menyanyi?”

Ah. Honey. Walau sekadar emel. Bahasa kamu masih boleh buat aku berdebar.
Sekarang sudah nak masuk 2015. Senyap sunyi tiada berita. Adakah Honey sedang menulis???

Sedih sebenarnya bila manusia-manusia kreatif macam ini tidak menghasilkan sesuatu. Apa alasannya pun aku tidak tahu. Mungkin makin selesa dengan keadaan sekarang lalu memendam potensi diri itu entah di ceruk mana. Mungkin tidak punya masa, sibuk dengan tanggungjawab lain. Mungkin juga MALAS.

Paling ciss! Aku sendiri lebih kurang sama tabiatnya. Memanglah aku ada tulis. Tulis senarai barang dapur. Tulis blog dengan main-main. Ada juga aku tulis novel-novel remaja secara kolobrasi yang itu pun dua tahun lepas, projek percuma sahaja. Di atas nama aku sendiri satu habuk pun tak ada. Terasa ruginya.

Bila jarang menulis ini, secara automatik otak menulis aku tersekat berkarat. Sama juga bila aku jarang melukis. Lukisan aku makin corot.

Jadi aku mahu untuk terus tulis, terus lukis dan terus cerita.

PS: Kata adik pada aku, kalau lama tak mengaji pun lupa. Rajin-rajinkan membaca terjemahan Al-Quran.


Saturday, November 8, 2014

Omegle yang Geli

Adakah kamu jenis yang boleh borak dengan orang yang kamu tak kenal? Bincang topik itu dan ini. Ya. Aku spesis itu.

Lamaaaaa dulu, Fifi kenalkan aku dengan satu website yang kita boleh chat secara rawak dengan sesiapa sahaja di seluruh dunia yang juga menggunakan website itu. Pernah dengar OMEGLE? Apa? Dah lapuk? Ya, memang aku seorang aje baru tahu pasal omegle ni masa itu. Sedangkan dah bertahun-tahun orang lain guna.

Ada dua pilihan dalam Omegle ni. Sama ada nak text sahaja atau kau boleh video dan text.

Satu hari itu aku melepak di rumah Kak Jen. Aku ajak Kak Jen main omegle ni. Kita orang guna video. Kebanyakkan orang yang kami jumpa adalah dari India. Jadi topik kami borak dah tentu pasal cerita Hindustan atau Tamil. Layan jugaklah walaupun masing-masing bukannya tahu bahasa mat saleh sangat. Sempat juga kami promosi Malaysia kat dia orang.

Malam semakin malam. Kak Jen dah tertidur di atas sofa. Mata aku makin segar.

Muncul pula di screen laptop seorang anak gadis mat saleh yang masih muda. Andai jumpa situasi ini, aku selalunya skip ke video chat seterusnya. Aku tahu kebiasaannya, pengguna sebenar adalah lelaki hidung belang yang terdesak.

Tapi entah macam mana, mungkin sebab aku naik geram. Aku meneruskan video chat itu. Chat serba sedikit, pengguna sebenar mula menampakkan perangai hidung belangnya. Dia minta aku buka baju. Aku kata tidak. Dia cakap dia akan buka baju dulu. Lalu dia tayangkan video gadis tadi buka baju pulak. Aku ugut nak tamatkan chat kalau dia tak berhenti. Jadi dia kembalikan gambar gadis tadi macam biasa.

Kami sambung chat lagi. Aku cakap aku tahu yang dia bukan gadis itu. Dia menafikan. Pelahan-lahan aku pujuk dia supaya tunjuk rupa dia yang sebenar. Degil lelaki ini. Tak habis-habis nak suruh aku buka baju. Kak Jen atas sofa di belakang kadang-kadang terjaga sambil aku tepuk-tepuk suruh tidur semula.

Lama juga aku nak pujuk dia ni.

Tapi akhirnya dia mengalah juga. Dia tutup video gadis tersebut dan tunjuk rupa dia. Lelaki mat saleh rupanya. Kami berbalas lambaian. Dia berambut botak. Muka boleh tahan kacak. Mewah juga suasana bilik dia. Di belakang dia ada katil dan nampak ada seorang awek tengah tidur lena atas katil itu.

Aku tanya siapa awek tu. Dia beritahu aku, itulah girlfriend dia. Aku tanya dia lagi, girlfriend dia tak marah ke dia video chat benda-benda tak senonoh macam ini. Katanya, girlfriend dia pun sama. Lepas itu bersungguh-sungguh dia menawarkan aku video seks dia dengan girlfriend dia. Lagi sekali aku beritahu aku memang tak nak.

Dia hairan dengan aku sebab selalunya kalau dia tayang video gadis seperti tadi pun orang dah gembira sakan. Inikan lagi dia nak bagi video seks percuma aje.

Kami teruskan chat. Sambil aku berikan nasihat-nasihat apa yang patut. Aku tahu dia bukannya nak pakai pun nasihat aku. Aku cerita serba sedikit pasal Islam pada dia. Terkejut dia bila aku beritahu yang aku muslim. Seperti biasa memang ramai mat saleh yang jahil pasal Islam ini dan anggap orang Islam tu pengganas.

Mata aku makin mengantuk. Kami menamatkan chat entah pukul berapa. Dia sibuk mahukan email aku. Jangan harap aku nak bagi. Bukannya aku tak tahu yang dia memang nak sangat hantar email video seks dia tu.

Sekian.

PS: Lepas aku tutup laptop aku tidur atas lantai. Bantal selimut pun tak ada sebab Kak Jen dah tidur atas sofa yang sepatutnya jadi tempat tidur aku. Cis Kak Jen.

Wednesday, November 5, 2014

Larian 100 meter.

Tiga…Dua…Satu… MULA.

Pekara yang paling aku sedar adalah aku bukan pandai. Bukan jenis genius dan cepat. Bila belajar sesuatu yang baru, keupayaan otak aku pelahan. Sebab itu aku kena fokus betul-betul. Setiap benda pun aku kena usaha empat kali ganda dari orang lain.

Aku cuba usahakan sesuatu. Menolak diri kehadapan dengan sekuat hati. Ada benda yang aku belajar dan aku masih tak lepas tahu, tak berjaya buat. Sedangkan masa yang ada kian singkat. Aku masih cuba memenuhi jangkaan kehidupan yang kadang kala kejam ini.

Di situ air mata aku menitik lima enam kali lebih deras dari biasa. Aku berdoa tujuh lapan kali lebih lama.

Di kala masih berguna maka aku disanjung-sanjung. Nanti, di kala sudah tidak berkemampuan aku akan ditolak. Seperti kisah kain yang buruk.

Siang bertemu malam. Masa dan kerakusan hidup tak menunggu aku lansung.

Ini ujian untuk aku. Jika aku mengalah. Aku kalah. Jika aku main-main, aku yang habis.

Rezeki di bumi Allah ini ada bagi yang mahukannya.

Harapnya dalam aku hadap kerja duniawi ini, sejadah aku tidak lupakan, senyum sakit emak aku tak abaikan.

PS : Terima kasih atas bebelan Kak Jen. Para kamu yang dengar cerita aku, dan si kamu itu yang buka minda aku. Harap kita dapat bicara selalu.

Followers