Saturday, November 15, 2014

Cemburu Si Pengkid

Malam-malam yang letih, sedih dan mengantuk, kotak chat aku diketuk. Seorang sahabat bertanya khabar aku. Ikutkan hati memang hendak tidur terus. Tapi bila fikirkan, mungkin ini dapat merehatkan sedikit otak aku yang tegang.

Kami chat, bertanya dan berkongsi cerita. Dalam hati ini ada risau juga, sahabat aku ni perempuan berpendidikan tinggi, cantik dan dia bercinta dengan pengkid yang bukan calang-calang. Aku yang kecik molek ini tak sanggup nak kena tumbuk dengan pengkid dia yang tinggi dan macho itu. Ada juga aku bertanya dia, rasionalkah dia berborak dengan aku? Tidak cemburukah pengkid dia nanti? Aku harap tidak, sebab hakikatnya memang kami selesa borak berdua. Macam seorang mak cik bertemu dengan seorang lagi mak cik di tepi tangga di sebuah rumah kampung.

Kalau di buka rekod aku. Memang aku seorang yang tak kuat cemburu. Kata orang, cemburu itu tandanya sayang. Habis tu aku yang tak cemburu sangat ni, tandanya aku tak sayang sangat ke? ‘Kata Orang’ ni patut kena penampar. Memandai sahaja. Aku tak cemburu dan aku sayang.

Sebagai pengkid, dan jika kamu mempunyai kekasih tersayang pada siapakah yang kamu akan cemburu? Pada seorang lelaki? Pada seorang perempuan? Pada pengkid lain? Lelaki lemah lembut?

Situasi pertama, seorang perempuan ayu yang ada kekasih pengkid dan dia manja sangat dengan kawan perempuan dia lain yang ayu. Pengkid dia akan cemburu tak?

Situasi kedua. Seorang pengkid dan sangat rapat dengan seorang lelaki. Kekasih pengkid itu akan cemburu tak?

Situasi ketiga. Seorang pengkid yang rapat dengan perempuan yang berpasangan dengan pengkid lain. Pengkid lain itu akan cemburu tak? Yang ini memang ramailah yang akan jawab, CEMBURUUUUUUU!

Situasi keempat. Seorang pengkid dan dia memang rapat dengan geng-geng perempuan dia. Kamu rasa kekasih si pengkid itu tak cemburu ke?

Situasi kelima. Seorang pengkid yang rapat dengan pengkid. Kekasih-kekasih dia orang ni tak cemburu ke? Hahaha.

Jadi aku ingat kembali. Kisah lama-lama.

Honey selalu datang bercuti melawat aku di restoren tempat aku kerja. Rakan sekerja aku baik yang lelaki atau perempuan rajin kacau dan melepak dengan dia sebab biasanya masa aku kerja, aku kerja. Honey pula tak kacau aku sangat, dia selalu baca buku dan siapkan kerja belajar dia di satu sudut. Biasanya kami hanya akan balas senyum dan baling flying kiss dari jauh.

Rakan sekerja aku seorang mamat yang aku tahu reputasi dia dengan perempuan ini menghampiri aku.

“ Untung betul kau ni. Awek kau setia doh. Puas aku ayat awek kau, dia cakap dia suka kau sorang aje. Sial! Apa ayat kau pakai?”  Kata Firdaus guna slang Subang Jaya.

“ Oh iye ke? Kau lepak dengan dia ke tadi? Hahaha.” Aku gelak aje. Memang tak rasa apa dan sambung kerja macam biasa.

Petang itu lepas habis kerja. Aku dan Honey jalan pimpin tangan di celah-celah deretan bangunan. Kadang kala kami berhenti bila terjumpa kedai komik. Salah satu perkara yang suka kami lakukan.

“ Awak tahu tak, antara ramai-ramai staff kat tempat kerja awaklah, saya boleh jatuh hati dekat siapa?.” Honey tanya sambil mengadap aku.

“ Dekat siapa ya? Manalah saya tau.” Kata aku lembut sambil tatap mata dia yang kuyu.

“ Firdaus.” Beritahu Honey.

“ Dia tu memang pandai ambik hati perempuan. Selalu juga dia cerita itu ini bila kita orang lepak berdua. Pasal ayah dia. Pasal awek yang menyelinap masuk dalam rumah dia. Hahaha!” Aku tambah pulak.

“ Dia tu macam something kan. Taklah handsome dan nakal. Tapi perempuan memang akan cair.” Honey cerita sambil gigit bibir.

“ Perempuan memang cepat suka lelaki jahat macam tu. Saya tak faham betul.” Aku senyum dan geleng kepala.

“ Errr…Selalu ke dia borak dengan awak?” Honey tanya pada aku dan aku angguk sahaja.

Dalam situasi di atas, akukah yang patut cemburu? Atau Honey yang tengah buat aku cemburu lepas tu dia pulak yang cemburu. Apa pendapat kamu?

Cemburu dalam hidup seorang pengkid itu garisnya amat kabur dan jika tersilap langkah mana-mana cemburu pun boleh membunuh. Ada perkara yang kamu memang kena cemburu dan ada juga yang kamu tak perlu nak cemburukan sangat. Apabila perasaan cemburu itu melebihi sayang. Maka habis.

Kekasih kamu bukan harta kamu. Kamu tidak memilikinya, dia juga tidak memiliki kamu. Kamu berkongsi rasa sama yang perlu dipupuk dengan perasaan saling hormat menghormati. Jika satu hari nanti rasa itu sudah tidak sama lagi, perasaan hormat itu jangan dibuang.

Tapi. Manalah kita tau. Hati orang.


PS: Patutkah aku menampar ‘Hati Orang’ pulak lepas ni?


No comments:

Post a Comment

Followers