Monday, May 5, 2014

Orang Sastera

Berborak dengan orang yang berjiwa dan berlidah sastera ni sama macam berborak dengan orang alim-alim yang suka bercakap diselang seli Bahasa Arab tinggi. Aku kena berikan sepenuh jiwa raga. Perhatikan gerak bibir, bahasa tubuh, anak mata dan lain-lain.

Tiga puluh minit lepas tu, aku mula rasa pening lalat apabila otak ini cuba meringkaskan maksud cerita-cerita tersebut.

Teringin sebenarnya aku nak berkata,

“ Aku tak faham bro…”

Lalu aku terasa bodoh, hodoh dan gemuk.

Adakah ini bermakna standard aku makin rendah?  Maka aku hanya mampu berlagak untuk bertikam lidah dengan budak sekolah rendah? Lalu aku berada di hierarki terbawah sekali?

Adakah ini bermakna kosakata dalam batu jemala aku ini tidak bertambah sejak 10 tahun lepas.
Aku salahkan diri sendiri yang makin kurang membaca bahan ilmiah.

Dan aku salahkan juga kewujudan TUMBLR.

P/S : Kata si orang sastera, bacalah buku AKU tentang Chairil Anwar karya Sjuman Djaya, buku yang menjadi bacaan Rangga dalam AADC.


Jom kita layan Dian Sastro baca puisi!


Sunday, April 20, 2014

Rajin Berangan

Ada dua sebab aku malas nak keluar rumah.

Pertama, aku  paranoid disebabkan banyak kejadian malang menimpa aku. Tidak perlulah aku menceritakan selanjutnya kejadian-kejadian itu. Sangat tak tercapai dek akal.

Keduanya, malas nak kena menutup aurat depan bukan muhrim, lagi syok duduk rumah lalu pakai seluar pendek sependeknya sambil baring tunggang terbalik di atas katil dengan kaki bersilang.

Maka separuh dunia aku adalah katil yang menjadi tempat menyiapkan kerja-kerja part time, lukis, baca buku, tidur, makan-minum, tengok movie, lipat stokin dan melakukan perkara-perkara keji lainya.

Walaupun begitu aku masih pergi kerja dengan tekun tanpa ponteng.

Semua ini buat aku terfikir, alangkah baiknya kalau aku punyai kuasa teleport.

POW! Itu dia, aku sebut jugak akhirnya apa yang aku angan-angankan sepanjang bersantai di atas katil.
Kuasa teleport ini macam teknik yang watak-watak dalam anime Dragon Ball Z gunakan, yang membolehkan mereka pergi dari satu tempat ke satu tempat dengan sekelip mata.

Contoh lain adalah dalam movie Jumper, di mana si hero lakonan Hayden Christensen mempunyai kuasa teleport yang membolehkan dia merompak bank dan melarikan anak dara orang. WOW! Jangan salah faham, aku bukan hendak merompak atau melarikan anak dara orang. Sebab tanpa kuasa teleport pun perkara itu boleh dijalankan WOSH!!! Macam itu aje.

Aku cuma mahu berada di mana-mana tempat tanpa perlu menggunakan pengangkutan. PLING! Aku dah berada di sebelah kau. Kan best. Ah,  berangan Jo!

Banyak benda lain aku berangan sebenarnya. Adakalanya aku terasa ingin tukar kerjaya. Sama ada menjadi tukang jahit, tukang masak, pengarah filem atau translator Bahasa Perancis.

Translator Bahasa Perancis itu paling aneh. Padahal aku hanya tahu dua perkataan Perancis aje. ‘Merci’ dan ‘Bonjour’. Serius! kalau kau tonton filem Kapten Amerika 2 tu, kau dapat dengar orang jahat dia cakap Perancis.

Bayangkan aku jadi orang jahat yang ada kuasa teleport dan melarikan anak dara orang sambil berbahasa Perancis. Ceh!


PS: Aku beli kipas baru. Maka, ada dua kipas dalam bilik aku sekarang. How cool is that?



                                         Jom layan awek-awek Perancis ni menari! 




Sunday, April 6, 2014

Diari seorang Jo

Aku suka budak-budak? Iya ke? 

Nampak sahaja aku macam suka menjaga anak-anak sedara aku yang ramai ini. Hakikat sebenar tak adalah suka sangat. Aku cuma mahu mengelakkan budak-budak ni kena langgar kereta sahaja kalau dibiarkan bertebaran tanpa pengawasan. Aku tak mahu mak ayah mereka menangis.

Jadi aku sampaikan cerita pada mereka. Cerita dongeng yang aku ubah dan tokok tambah ikut suka hati aku. Lalu mereka berkumpul ramai-ramai dan diam mendengarnya.

Hampir di klimaks cerita, tiba-tiba salah seorang dari mereka berkata.

“ Alah… Ini mesti monyet tu sengaja nak tipu buaya tu kan?”

Cis! Potong betullah anak sedara aku seorang ni, si mulut celupar. Maka cepat-cepat aku pusing cerita itu jadi cerita lain supaya seorang pun dari mereka tak boleh jangka penyudahnya. Automatik cerita dongeng yang sepatutnya ber happy ending itu menjadi cerita horror.

Dan sesungguhnya budak-budak kecik pun tahu klise tu apa.

Benda paling menarik yang aku buat minggu ini adalah beli berus jamban. 

Benda paling kurang menarik adalah ajak Kak Jen makan di Subway. Ini adalah kali pertama untuk Kak Jen, jadi aku order Roasted Chicken. Aku cakap Roasted Chicken ni guna ayam turki, hahaha! Kalau Kak Jen baca post blog ini dia akan tahu yang dia dah kena tipu. Sori Kak, muka kau masa duk cicip sandwich tu sambil kata sedap…sedap, sangat priceless.

Ada budak intern di office beritahu yang dia nak tumpang tidur di rumah aku sepanjang kami kena kerja outstation hujung bulan empat ini nanti. Budak intern tu baik, rajin dan cute. Aku cepat nervous bila dengan orang jenis ini. Maka, bertabahlah ya Cik Jo! Aku harap tak jadi, maka bolehlah aku tidur lena, selesa dan tidak berbaju seperti selalu. 10 hari itu lama.


P/S: Mak dan kakak pertama cuba kenenkan aku dengan duda anak seorang. Aku cakap tak nak, bukan sebab aku tak suka duda ke apa. Cuma, cukuplah orang mencarikan untuk aku. Biarlah aku cari sendiri dan tidak perlu ada orang tengah lagi. Orang tengah sangat menyusahkan, penuh dengan fitnah liar dan salah faham. Walaupun yang bakal aku cari sendiri tu pun duda jugak. Biarkan. 

Thursday, March 6, 2014

Satu Demi Satu

Banyak sangat dugaan yang terjadi pada aku. Lepas satu, satu. Fizikal, mental, keadaan dan suasana. Baru masuk sahaja bulan tiga di tahun 2014. Aku kena kerahkan dan keluarkan banyak fikiran, masa, tenaga dan wang ringgit untuk selesaikannya. Rugi keseluruhan… Mak Aih! Beribu dah.

Bila difikirkan banyak sebabnya oleh kecuaian sendiri dan aku tidak bersedia untuk menghadapinya. Sekarang ini aku sedang menyelesaikan hal-hal ini satu demi satu. Ada kalanya aku rasa macam terawang-awangan di antara garisan realiti dan diluar kesedaran. Melayang.

Aku tahu kesannya keadaan ini pada diri aku, orang sekeliling, kerja dan keluarga yang aku sayangi. Sebab segalanya saling berhubung kait. Aku tak boleh pentingkan diri sendiri. Jadi aku tak boleh biarkan dan mengalah. Sedih memang sedih.

Sedang dalam proses baiki semula dan menyusun kehidupan dengan elok. Aku sedar, malah aku tahu bagaimana betul dan tepatnya kita merancang, Allah yang akan menentukan semuanya. Dalam proses membaiki ini memang ada sahaja hal lain yang datang menduga.

Contohnya sedang aku menaip ini, aku baru dapat tahu adik lelaki aku si Jaha pula kemalangan kereta semalam, masuk gaung lagi. Teruk. Berjahitlah tangan dia. Kereta masuk bengkel. Mak telifon, mak menangis.

Semua yang jadi bersebab dan berhikmah. Kurang iman, kurang doa, kurang peka dan kurang segalanya. Malah mungkin aku ada teraniaya sesiapa tanpa aku sedari selama ini dengan sikap dan tingkah laku aku. Maka inilah… Hmm…Ada, aku selalu rasa ada.

Maafkan salah-salah aku wahai kamu. Aku mohon, maafkanlah. Dugaan tetap dugaan. Fighting!

Friday, February 28, 2014

Setiap kali Gosok Gigi

Hidup berlansung.

Melupakan Honey memang salah satu perkara yang susah. Ibarat menyuruh aku melupakan A B C.  Aku tak pernah cuba pun. Cuba pun tak tahu bagaimana. Selalu aje ingat sambil menjalani kehidupan serba sibuk dan macam-macam ini.
….
Aku terbangun dari tidur pagi itu, menyedari Honey tiada di sebelah. Itulah pertama kali Honey tidur di tempat aku. Biasanya selewat manapun kami berdating dia tetap balik rumah dia.

Bangun dan menyedari dia tiada rasanya ketar dan takut.

Sesaat lepas itu, Honey muncul dengan wajahnya yang basah segar.  Perasaan cuak aku hilang. Terus aku bangun dan duduk dari baring. Dia pula merangkak merapati aku. Hanya bau aroma segar ubat gigi memisahkan wajah kami. Aku khayal.

“ Dah gosok gigi?” Soal aku.

“ Dah! Guna berus gigi awak!” Katanya tersenyum selamba. Terus muka aku blushing. Aku rasa itulah saat amat intim, kekok yang bercampur romantik antara kami.

“ Macammana tau mana satu berus gigi saya?”  Soal aku keliru.

“ Saya pernah tanya awak guna berus gigi apa dan warna apa hari tu.” Jelasnya lagi. Aku mengangguk. Teringat aku, kami pernah bersoal jawab secara ‘rapid fire’ beberapa kali.

“ Jom sarapan! Tapi tunggu saya nak gosok gigi kejap ya.” Aku bangun mencapai tuala dan melangkah menuju ke bilik air, yang hairannya Honey turut mengekori sambil tangannya memaut lengan aku, kuat dan rapat.

“ Nak gosok gigi ajelah… Ikut pulak…” Aku melagakan kepalaku pelahan ke kepalanya.

“ Gosok ajelah. Nak tengok awak gosok gigi.” Dia beritahu. Aku senyum hairan.

Macam-macam fi’il si Honey ni, bukannya aku nak buat tarian tiang ke, lap dance ke yang dia nak tengok sangat tu. Haih! Lantaklah.

Dalam segan-segan itu aku mencapai berus gigi, lalu pandang dia. Dia sengih selamba berpeluk tubuh sambil bersandar di pintu bilik air. Nak tergelak pun ada.

Aku tenyeh ubat gigi pada berus, berkumur dan menggosok gigi dengan penuh macho sambil mata menjeling dia lagi dan lagi. 

“ Salah tu…” Dia menegur aku.

“ Salah ke macam ni?” Aku berhenti menggosok. Buih penuh dalam mulut.

“ Kena gosok atas bawah, atas bawah dan jangan melintang.” Dia membuat gaya.

“Oh, iya ke? Tak tahupun. Selama ni saya main gosok je.” Aku memberitahu.

“ Kecik-kecik dulu kan ada belajar gosok gigi. Ke tak ada?” Muka dia tengok aku hairan.

“ Tak ada. Mak tak ajar. Ayah pun tak ajar. Dulu saya tak masuk sekolah tadika jadi tak pernah belajar gosok gigi pun. Lagu-lagu yang semua orang belajar masa tadika dulu pun saya tak pernah tau sampai sekarang.” Aku menceritakan dengan mulut penuh buih.

“ Iye ke? Tapi awak pandai walaupun tak masuk tadika… Dah cepat gosok gigi! Nak tengok!” Dia memerintah, sambil senang hati mengajar aku cara menggosok gigi langkah demi langkah.

“ Apalah yang korang berdua buat dalam bilik air pagi-pagi ni… Macam belangkas” Tegur seorang penghuni rumah sambil menggeleng kepala tengok kami. Honey tidak berganjak, malah dia tergelak-gelak seronok. Aku pulak yang malu.

Cepat aku berkumur menyudahkan. Lalu menarik Honey keluar dari bilik air.

Dan kami berpegangan tangan sepanjang hari. 

Tak boleh lupa.

Thursday, February 20, 2014

Kabur tapi Jelas

Rajin adalah satu kurniaan.

Kalau aku rajin, dah pasti aku sudah lukis sekurang-kurangnya 5 komik bersiri dan 3 novel. Tapi aku juga bukanlah seorang malas. Aku boleh andaikan aku seorang yang tidak konsisten, kurang fokus, tidak bercita-cita tinggi dan tidak tamak.

Aku rajin, tapi selalunya rajin tidak bertempat yang sia-sia. Itu kata Kak Jen.

Bagi aku kalau selesai kerja itu, maka selesailah. Dah habis. Aku tak buat sesuatu untuk diri aku. Maka di sini aku gagal.

Inilah penyakit aku, seorang perempuan Melayu sempoi yang duduk di negara sendiri yang malas nak ambik tahu pasal ekonomi, teknologi dan politik.

Malu aku pada gadis Indonesia yang berani datang ke negara ini secara haram. Jadi pembantu kedai makan. Kumpul duit bina rumah banglo besar dan ada set karaoke bila balik kampung dia sana. Aku ada kenal beberapa orang gadis Indonesia yang jenis ini.

Dalam umur macam ini, hari ini aku fikir. Apakah pelan aku di masa akan datang. Masa depan. Sediakah aku dari segi kewangan, kesihatan dan lain-lain. Aku tak ada pelaburan pun.

Kenalah aku konsisten, fokus, bercita-cita tinggi dan tamak?

Kena print dan tampal atas dahi. Hahaha.

Kau pun risau sama? Bagus.

Kabur tapi jelas kan.

Monday, February 10, 2014

Bertekak

Apa yang kita pandang. Kita nampak salah. Kita rasa salah. Maka kita kata salah.

Membantukah kita kalau sekadar mengatakan SALAH?

Aku bertekak dengan Abang Ngah aku, bertegang urat pasal kahwin. Di mana dia mengatakan aku tak berada dalam institusi perkahwinan itu. Maka aku tak tahu. Aku salah. Cara aku berfikir salah. Terlalu paranoid. Katanya, aku patut risikokan diri sahaja untuk berkahwin.

Geram aku… Sebab dari apa yang aku nilai, setakat ini Abang Ngah punyai rekod buruk dalam menguruskan hal kami, adik-beradik dia. Dia biar-biarkan aje kami pandai-pandai sendiri dalam urusan apapun. Tanggungjawabnya sebagai abang bagi aku masih terawang-awangan.

Abang Ngah kata aku salah, aku juga rasa Abang Ngah salah. Kami masih juga rasa begitu. Masih dengan pendirian kami.

Rasa nak keluar juga air mata aku. Tak tahu sama ada hati aku pura-pura tabah. Atau, jauh dalam hati ini memang tak setuju dengan kata-kata Abang Ngah aku, jadi airmata yang terkumpul di kelopak mata lansung tak tumpah. Aku tak mahu episode bertegang urat ini aku akhiri dengan air mata. Aku tatap mata Abang Ngah aku kuat-kuat.

Dalam tak bagusnya bertekak, ada bagusnya. Sebab dia bertekak dengan aku.Kalau dengan orang lain mungkin dah masam muka, berpatah arang atau boleh bertumbuk. Maka sekarang aku tahulah apa pandangan Abang Ngah pada aku serba sedikit.

Aku cuba positif.

Aku tahu emak mahu  aku berkahwin. Mahu ada seseorang menjaga dan membimbing aku. Apatah lagi lepas hal kemalangan tempoh hari. Dimana emak mula nampak sisi lemah aku. Bagaimana rapuhnya hati aku yang selama ini dia nampak tabah.

Cuma aku rasa calonnya serba tak kena. Setelah dua tiga minggu sesi sms. Aku mahu menolak dengan cepat. Itu yang emak geram agaknya. Emak berkali-kali suruh aku jumpa dulu. Masalahnya si calon tidak bertindak. Aku tunggu juga…Tunggu. Sehingga aku rasa si calon pun sendiri macam tidak berkenan dengan aku. Aku bukan gadis ayu, jauh sekali si ratu. Aku adalah aku.

Aku cuba positif.

Walau apapun jadi, minggu ini masih minggu gembira. Habiskan masa bersama keluarga. Emak baru perasan yang aku dah mula belajar pakai tudung bila keluar. Dah dua minggu mak!!! Harap boleh bertahan kali ini. Walaupun nilai kebaikan itu bukan dari tudung yang di pakai, tapi aku mahu buat ini. Susah, tapi aku cuba.

Sebelum pulang dari kampung, salam emak. Melutut depan dia. Cium tangan dia. Peluk kaki emak dan cium kaki dia lama-lama.

Lalu aku bertanya.

“ Emak, kalau ada perkara yang emak nak sangat orang ubah. Apa dia?” Aku pandang emak.

“ Entahlah…” Kata emak.

“ Orang bagi mak cakap ni. Alah emak, mesti banyak kan!” Aku cuba mengorek. Ingin tahu.

“ Kau tu, kalau bercakap…ngebu-ngebu sangat.” Jawab emak.

“ Emak bukan tak tahu… Orang ni kan garang… Iyelah. Nanti orang cubalah tahan sikit.” Aku senyum menjawab.

Aku tahu emak mahu aku bahagia. Bahagia yang aku kena usaha sendiri. Cari sendiri.

Mampukah aku?

Insya Allah aku mampu.

Aku cuba positif.



Followers