Entah apa mimpi, aku buka saluran TV. Jarang benda ini
berlaku. Hanya bila ada perlawanan bola sepak Malaysia atau layan cerita
Tamil/Hindustan. Aku memang poyo macam tu.
Drama Arianna Rose sedang diulang tayang lagi. Aku bukan
menolak terus drama Arianna Rose ini. Cuma sedikit sakit hati mengenangkan asas
ceritanya di mana si mangsa jatuh cinta dengan perogolnya. Itu bikin rosak hampir
seluruh mood aku. Sekali lagi, aku memang poyo macam itu.
Seperti yang semua tahu, drama Arianna Rose adalah adaptasi
dari novel ‘ The Wedding Breaker’ karya Evelyn Rose. Aku ada sikit sejarah dengan
novel ini.
Imbas kembali.
Di sebuah karnival buku, sedang aku berjalan-jalan lalu
bertanya secara rawak kepada beberapa pengunjung lain satu soalan yang sama.
“Novel apa ya yang best sekarang?”
Lima dari sepuluh orang menyuruh
aku baca ‘ The Wedding Breaker’.
Tiga pula mencadangkan mana-mana karya Ramlee Awang Murshid.
Hampir aku membeli novel ini tetapi dalam poket tinggal duit
syiling dan duit makan sahaja.
Imbas kembali tamat.
Baru-baru ini aku berborak dalam kereta dengan Fifi.
Housemate merangkap graduan dalam bidang Komunikasi Massa tentang hal di mana,
adakah golongan penggiat seni kreatif kekurangan idea. Kenapa nak buat cerita
kena rogol, kahwin lalu bercinta. Rogol sepatutnya sesuatu yang mengerikan bagi
wanita. Banyak pula muncul karya pasal rogol
yang si mangsa akhirnya suka pada perogol.
Fifi tergelak. Katanya bukannya kita boleh nak buat tulis
romance macam mat saleh. Gila ke Jo. Kita ni kalau nak romance aje kena lepas
kahwin. Lalu dia orang tulis cerita kahwin terpaksa bla…bla…Kena rogol.
“Tapi boleh kan sebenarnya… Tulis cerita romantik macam lain?”
Aku mendengus.
“ Reader suka. Laku pulak tu. Alah banyak aje cerita lain
yang kau boleh baca kalau kau tak suka cerita ini. ” Fifi gelak lagi. Aku
angguk setuju. Pilihan masing-masing.
Balik rumah aku fikir dan fikir. Ada ke aku sendiri pernah buat
cerita pasal rogol dalam mana-mana karya aku. Macam tak ada. Tapi… Cis! Oh
tidak! Ada rupanya. Aku gelak besar. Hampeh kau Jo! Aku menyumpah diri sendiri. Sedapnya tadi duk kritik karya orang.
Masa itu aku tingkatan tiga tahun 1997. Untuk persembahan
akhir tahun di asrama perempuan. Dorm kami cabut undi lalu kena buat drama. Akulah
penulis skrip dan pengarah. Masa itu isu bohsia memang panas. Drama yang aku
buat adalah dark comedy tentang dua
orang budak perempuan liar kaki ponteng sekolah dan suka ikut jantan ke sana ke
mari. Akhirnya salah seorang kena rogol.
Aku turut jadi pelakon tambahan, jadi perogol pulak tu. Siap
lukis jambang. Siap ada adegan buka tali pinggang seluar. Muhahahaha!
Aku gelak, lalu tepuk-tepuk dahi sendiri. Kenapalah Jo 15
tahun tergamak buat cerita macam itu. Jo…Jo..
Apapun, bagi aku rogol tidak romantik. Kalau nak tulis pasal
rogol biarlah bertempat..
Bonus Gambar: Sedang baca 'The Wedding Breaker' yang dipinjam.