Wednesday, December 3, 2014

Cucuk Jarum Part 1

Sepatutnya hari minggu itu aku ke Utara Semenanjung menghantar rombongan meminang merangkap bertunang adik lelaki kami, Jaha. Itu plannya. Tapi Tuhan dah ada plan lain untuk aku. Plan yang memang Dia dah tulis dalam Luh Mahfuz.

Jumaat petang itu, aku telifon emak bertanyakan perihal di mana sepatutnya kami berkumpul. Emak pula beritahu anak Abang Ngah ada di hospital sudah dua hari akibat demam denggi. Aku seorang sahaja yang tidak tahu kerana tak punya aplikasi WhatsApps.

Emak mengarahkan aku untuk menggantikan Abang Ngah menjaga anak lelaki sulongnya yang baru darjah lima itu. Penting untuk Abang Ngah menyertai rombongan meminang ini kerana menurut emak Abang Long tidak tahu berbahasa basi. Mengada benar Abang Long aku ni, padahal dia selalunya yang maha kecoh dan maha poyo sekali. Andai aku, Kak Jen atau mana-mana adik-beradik perempuan kami diberi peluang berbahasa basi ini, mungkin sudah keluar satu dua buah-buah pantun dan syair agaknya.

Maka, malam itu dengan sekadar seluar track suit, tshirt sempoi, bertudung ikat dan sebuah beg pakaian aku bergerak ke Hospital Sungai Buloh. Jalannya pun aku sudah ingat-ingat lupa. Nasib baik tak sesat. Pukul 11 malam, Abang Ngah menyambut aku dengan wajah cengkung dan penat. Makin kurus abang aku yang seorang ini. Kerja kuat dan berat. Tambah pula dengan risaukan anaknya yang sakit.
Setelah menerangkan secara terperinci perihal kesihatan anak sedara aku Si Jol tanpa tertinggal satu zarah pun, kad menunggu pesakit Abang Ngah serah pada aku. Aku naik lif ke wad kanak-kanak.
Di katil nombor 16 itu aku lihat anak sedara aku terbaring lesu dengan wayar berselirat. Dia turut dipakaikan oksigen mungkin penangan denggi dan asthma sekaligus.

“ Hai Jol… Demam denggi ya. Banyak main sangat time cuti ni.” Aku buat ayat icebreaker sebab anak-anak Abang Ngah ni kurang kamceng dengan aku. Asyik berkepit dengan mak dia orang.
Dia senyum. Aku senyum balik.

“ Mak Jang kalau nak tidur nanti, kat tepi tu ada kerusi lipat. Ada selimut. Ni ada bantal lebih.” Ketar-ketar dia beritahu memikirkan keselesaan aku.

Aku rasa terharu hendak tergelak pun ada. Memang  sah darah keturunan emak yang hati lembut itu mengalir dalam badan budak ni. Aku gosok-gosok kepala dia bagi dia rasa rileks sikit. Dia nampak mengantuk dan terus tertidur. Aku biarkan sahaja sambil membaca nota catatan di meja depan katil.

Beberapa kali juga jururawat dan doktor datang memeriksa Jol. Aku tidur tak tidur. Sesekali ada bayi di katil-katil lain yang menangis sakit. Mana mampu aku nak lena. Rasa nak pergi mendodoi pun ada. Entah waktu dinihari agaknya seorang doktor lelaki ambil darah Jol. Susah betul aku tengok. Ngeri.

Ikut arahan doktor dan pesan Abang Ngah. Siang itu aku bagi Jol minum air dengan banyak. Wayar air dia pun doktor dah mula cabut. Dia kencing banyak mana pun aku kena sukat. Aku dan dia sama-sama makan makanan hospital. Entah mana mitoslah yang mengatakan makanan hospital ini teruk. Sedap aje kat tekak aku. Muka budak tu makin segar. Aku bawa berborak macam-macam dengan dia.

Aku bagi juga salah satu novel remaja yang aku tulis bersama kawan-kawan dan lukis illustrasinya untuk dia baca. Aku pula baca novel ‘Isabella’ karya Maulana Muhammad Saeed Dehlvi terjemahan Dato’ Abdullah Hussain Sasterawan Negara. Dua jam lebih juga dia hendak menghabiskan buku 200 mukasurat itu. Lepas habis baca macam-macam pula soalnya. Mana dapat idea?  Betul ke ayat-ayat dalam buku itu aku yang buat? Kulit depan itu aku juga yang lukis ke? Ada lagi tak buku lain yang aku tulis? Berapa peratus yang aku tulis? Aku jawab semua pertanyaan dia dengan jelas.


Menjelang malam itu dia makin OK. Doktor pindahkan ke wad lain. Tengah malamnya pula sekali lagi dia dipindahkan ke wad lain. Wad tingkat bawah.

2 comments:

  1. berapa jam je kau tidur dekat hospital tu???

    ReplyDelete
  2. Banyak jam jugak sebenarnya... Waktu siang tertidur duduk layan ank sedara baca buku.

    ReplyDelete

Followers