Monday, July 16, 2012

Pick Up Line Pengkid


Hujung minggu ini aku melepak dengan kakak aku, Kak Jen. Kak Jen ni late bloomer lesbian. Umur dia pertengahan 20an baru dia tahu dia suka girls. Kadang-kadang aku salahkan diri aku sebab dia jadi lesbian. Rambut dia pendek macam aku jugak. Dia pendek dan cute. Aku selalu puji-puji muka dia macam Sharifah Amani, sahaja ambik hati dia.

Aku  ajar dia drive kereta manual, cekap dia ni. Kejap aje dapat. Lepas tu layan Spiderman, makan-makan pergi karaoke dan sebagainya. Aku mengadu yang beg laptop aku dah rosak zipnya. Jadi dia mencadangkan sebuah kedai serbaneka yang ada menjual beg laptop. Kami pun pergi bersama-sama ke kedai tersebut.

Dalam kedai.

“ Miss boleh turunkan beg laptop tu tak.” Aku mengunjukkan pada beg yang digantung tinggi pada pembantu kedai, seorang amoi muka nerd berambut panjang.

“ Yang ini ke?” Dia mencapai beg itu dengan kayu panjang,entah kenapa aku tertarik dengan nada suaranya. Aku bagi 5 markah.

“ Kau rasa ok tak kak? Aku rasa ok kot beg ni, besar sikit bagus sebab aku ni sakai. Senang nak letak barang kalau beg macam ni.” Aku tunjukan beg pada Kak Jen.

“ Cantik pulak tu.” Kak Jen macam setuju.

“ Miss, You tau sakai tu apa?” Aku tanya amoi tu, saja nak uji dia.

“ Tahu rasanya.”

“ Apa?”

“ Macam tak kisah letak barang ke atau apa-apa pun ikut suka aje.”

“ Pandai! Macam messy la, saya ni messy.” Aku tambah markah lagi kat amoi tu. Dah jadi 10.

Entah macam mana lagu Butterfly, Melly Goeslow keluar.

“ You rasa lagu ni best tak?” Aku tanya dia.

“ Boleh tahan. Selalu main.”

“ Kalau You tahu, Apa tajuk lagu ni?”

“ Butterfly!”

“ Wah, pandai! Mana You tau?”

“ Tadi dj ada sebut…” Dia gelakkan aku. Aku buat adegan menghantuk kepada kat meja.

Kak Jen sibuk duk try cap yang ada kat situ. Aku pulak sibuk duk borak dengan amoi tu macam-macam. Tanya rumah kat mana, umur berapa,hobi apa dan aku dapat tahu nama dia May. Aku juga kenalkan nama aku pada dia. Sempat jugak dia cakap nama aku macam lelaki.

Lepas bayar harga beg sebanyak RM59.90 kami berdua keluar dari kedai serbaneka itu. Tiba-tiba alarm kedai berbunyi , tapi pelahan aje, aku perasan tapi aku biarkan aje. May mengejar aku dari belakang.

“ Jo nanti kejap,” May jerit nama aku.

“ Uh? Kenapa? You lupa tanggal tag beg ni ke?”

“ Ya, kejap ya.” Dia ambil beg itu. Aku ikut dari belakang. Kak Jen tunggu dekat kereta.

Kawan dia, salah pembantu kedai bantu buka tag dalam beg. Dia dah senyum-senyum malu.

“ Sorry ya.” Dia mengucapkan maaf beberapa kali.

“ Tak apa, orang cakap kalau jumpa, lepas tu kena terjumpa lagi, ada jodoh.” Aku sengaja mengusik dia. Dia gelak-gelak aje. Selesai tu aku pun masuk dalam kereta. Aku pun segan jugak sebenarnya.

Dalam kereta aku dan Kak Jen dah gelak-gelak.

“ Apalah kau ni usik amoi tu sampai dia lupa tanggal tag.” Kak Jen sengih.

“ Iyelah, sampai dia lupa buka tag…Aku macam perasan jugak tadi, Tapi aku biar aje. Tak sangka alarm bunyi pulak.” Aku masih gelak.

“ Kau pandai ya nak sembang-sembang dengan orang macam tu. Kalau aku memang tak tahulah.”  Kak Jen memberitahu aku.

“ Habis tu kalau kau mengorat orang pompuan, kau cakap apa?” Tanya aku pada Kak Jen

“ Cik, tali coli cik tercabut….”

Dan Kak Jen Win. 100 markah.

PS: Jangan sesekali mencuba ayat pick up line Kak Jen

Friday, July 13, 2012

Aku dan Domestic Violence (Part 2)


Beberapa hari lepas itu keadaan masih belum pulih. Maka beberapa kawan pergi slow talk dengan Mel. Akhirnya Mel mengaku juga yang dia ambil handphone Sarah. Alasannya dia dan suami dia tanggung banyak hutang. Suami dia pulak bila tak ada duit mulalah panas baran dan sehingga pukul Mel. Mel tunjuk badan dia penuh lebam kena pukul. Pasal cilok handphone itu adalah idea suami dia.

Maklumat itu dia orang sampaikan pada aku. Aku, beberapa kawan dan Mel berbincang. Kami setuju untuk tidak akan pecahkan rahsia Mel pada Sarah kalau dia bagitahu di mana handphone itu dijual, dengan niat kami nak tolong tebus balik handphone Sarah untuk elakan Sarah terus hysteria  atau pengsan lagi. Dan Mel boleh bayar duit kami sikit-sikit. Mel setuju.

Aku pun hantar Mel balik, entah dari mana suami dia muncul. Aku ingatkan suami dia tahu pasal nak tebus handphone dan sebagainya, aku pun cakap pada suami dia tentang hal handphone. Muka suami Mel bertukar merah. Malu atau marah, aku tak tahu. Mel buat isyarat yang suami dia tak tahu. OMG. Aku buat-buat berani. Pandang mata suami dia dan sempat nasihatkan mereka supaya jangan buat perkara-perkara tak elok dah. Gerun jugak aku masa tu. Kalau tiba-tiba aje dia hempuk aku, naya aje. Aku siap sedia pasang kuda-kuda. Tapi suami dia senyap aje dan dia pegang tangan Mel. Dia orang blah tinggalkan aku bergitu sahaja. Mujur aku tak kena hempuk.  Aku harap Mel tak kena pukul lepas tu.

Aku dan kawan pergi ke kedai untuk tebus handphone Sarah. Malangnya handphone itu telah terjual. Jadi aku ambil keputusan untuk tambah duit aku lagi sikit dan beli handphone baru untuk Sarah. Kami berikan handphone itu pada Sarah. Kononnya itu hadiah dari kami semua.

Aku ingat perkara itu dah berakhir dengan selamat.  Rupanya tidak. Lepas dapat handphone baru, Sarah siasat siapa yang ambil handphone dia dulu. Entah siapalah yang bodoh dikalangan kami bocorkan rahsia. Aku dapat tahu hal dah bocor bila aku dengar cerita Mel teruk kena hina dan maki oleh Sarah dan beberapa kawan lain.

Tak habis hal hina dan memaki, aku dengar pula Sarah nak lanjutkan hal ini pada pihak kolej. Silap-silap Mel dan suami boleh kena buang kolej.  Ini tak boleh jadi, aku pergi jumpa Sarah supaya dia membatalkan niatnya itu. Apa lagi yang Sarah nak, handphone pun dan berganti. Dia tak pengsan lagi. Kenapa nak aniaya orang. Apa salahnya maafkan aje. Itu pendapat aku. Pendapat Sarah tak sama.

Pertemuan aku dengan Sarah di tangga kolej yang bermula dengan bercakap secara baik bertukar kepada hampir nak bertumbuk. Sarah cakap aku tak patut rahsiakan pasal Mel curi handphone. Dia cakap itu hak dia untuk tahu dan bagitahu pihak kolej. Dia cakap yang aku sengaja sokong  Mel.  Kurang ajar punya Sarah. Aku tolong dokong dia masa pengsan, pujuk dia menangis, siasat hal curi malah gantikan handphone baru yang 50% guna duit aku. Dia masih tak bersyukur. Memanglah kaki  aku gatal aje nak naik ke muka dia. Aku hampir nak melakukan keganasan rumah tangga di atas tangga itu, tetapi berjaya dihalang oleh kawan-kawan yang lain.

Lepas itu aku dan Sarah dah tak bertegur sapa. Hal Mel dia tak panjangkan pada pihak kolej. Cuma dia bagitahu lecturer kami, bukan setakat itu aje dia dan kawan-kawan dia bercerita sana sini. Semua orang tahu Mel dan suami curi handphone. Aku tak dapat bayangkan betapa malunya dia orang. Aku rasa sedikit kesian pada Mel dan kesal dengan angkuhnya Sarah.

Bila aku cerita semua ini pada Preity. Dia gelakkan aku. Katanya siapa suruh aku masuk campur hal orang. Buat baik pun berpada-padalah. Kononnya tak sampai sebulan dia balik kampung aku pula mula bergaduh. Sikit pun tak sokong aku.

Semester baru lepas tu aku tengok Mel dan suami mula menjual nasi lemak di kolej dari bilik ke bilik. Tapi dia tak pernah ketuk bilik aku. Kes kecurian barang masih berlaku di kolej dan aku tak lagi tunjuk hero pergi siasat.

Lepas habis kolej, aku tak berkawan dengan seorang pun kawan kolej aku. Termasuklah Preity. Banyak sangat kenangan pahit kat situ.

Keganasan dalam apa cara dan sebab pun tak bagus.

Thursday, July 12, 2012

Aku dan Domestic Violence (Part 1)


Baru-baru ini aku ada menonton drama bersiri Bukan Bidadari di TV3. Aku suka watak liar Inas lakonan Nad Zainal. Lakonan yang baik dan Nad Zainal sangat cute. Lalu aku terus google synopsis cerita ini. Sinopsis mengatakan Inas akan kahwin dan dia akan kena dera dengan suami dia, dan dia akan belajar boxing. Ada sikit macam filem Enough lakonan Jeniffer Lopez. Aku bukan nak buat review drama atau filem. Aku ingin ceritakan kisah masa aku di kolej tentang keganasan rumahtangga.

Cuti semester dah start. Tapi aku masih ada paper yang belum habis. Ex-gf aku, Priety dah lama balik kampung. Ramai lagi yang ada kat kolej, ramai lagi yang belum habis paper.

Tengah aku study, tiba-tiba datang member bilik depan kecoh bagitahu aku budak bilik dia hilang handphone. Masa zaman aku di kolej, handphone ini kira barang value tinggilah, tak ramai yang pakai handphone lagi masa tu. Aku pun tak ada handphone. Berbalik kepada budak yang hilang handphone itu aku namakannya Sarah. Sarah ni emo gila hilang handphone dia. Menangis macam orang kena hysteria. Tak nak makan nasi. Dia cakap susah nak hubungi keluarga sebab handphone dah tak ada. Bukannya aku tak tahu yang si Sarah ni 24 jam bergayut dengan boyfriend dia. Aku senyapkan sahaja malas nak masuk campur. Tapi paling cilaka bila Sarah ni sampai tahap pengsan. Lalu aku yang dianggap gagah pada masa itu terpaksa dokong dia masuk van ambulance. Tak tenteram aku nak study dibuatnya. Jadi aku terpaksalah buat sesuatu.

Menyiasat, kaji dan buat andaian ala-ala CSI Miami, jadi aku dan beberapa kawan lagi meletakkan rakan sebilik Sarah, seorang senior bernama Mel yang jarang pulang ke bilik sebagai suspek utama.  Hari hilang handphone tu Mel ada balik kejap ambil barang. Mel ni dia dah berkahwin dengan senior kami  juga, jadi dia menyewa di luar manakala bilik hostel kolej tempat dia rest dan simpan barang sahaja. Jadi kami kena tunggu dia balik bilik baru boleh jumpa dia.

Suatu hari Mel balik, maka budak bilik Sarah cepat-cepat panggil aku. Bila aku masuk bilik Sarah, dah ramai tunggu aku untuk tanya Mel, penakut betul. Nak jugak tunggu aku.  Sarah pula aku tengok dalam keadaan terbaring. Sakit sangatlah kononnya tu. Pandai berlakon betul. Lalu aku pun menghampiri Mel.
“ Akak tahu tak handphone Sarah hilang? Akak ambik handphone tu kan? Kenapa akak ambik? Sarah sampai sakit tahu!” Aku direct.  Mel terkejut. Budak-budak lain pun terkejut juga.  Dia orang mungkin sangka aku nak berkias-kias dulu. Dia orang silap.

“ Hah! Handphone Sarah hilang? Bila? Akak tak tahu apa-apa.” Dia nampak gelabah.

“ Akak jangan berlakonlah. Kita orang ada bukti akak yang ambik!” Budak lain bersuara.

“ Korang jangan main tuduh-tuduh aje, manalah akak tahu. Akak jarang balik bilik!” Suara dia tinggi.

“ Saya memang tuduh akak! Memang tak ada orang lain dah. Mengaku ajelah yang akak ambik. Cepat sikit mengaku. Saya dah tak sabar ni.” Aku sengaja mengengam penumbuk.

“ Akak tak ambik, tak ambiklah. Dahlah akak nak cepat ni.” Dia cepat-cepat keluar dari bilik. Aku ikut dia.

Entah macam mana nak dijadikan cerita. Masa aku kejar dia dari bilik tu, tiba-tiba aje hujan turun. Dalam hati aku cakap kalau dia sanggup redah hujan ni. Memang dia yang ambik handphone tu. Dan… Dia redah hujan tu. Berlari-lari anak dia lari dalam hujan. Sebab apa? Sebab takut. Sebab dia yang curi sebab tu takut. Aku berselindung bawah bumbung kolej, tengok aje dia dari jauh lalu otak ligat memikirkan langkah seterusnya.

Bersambung…

Monday, July 9, 2012

Kuburan


Dua tiga menjak ni aku rasa tak kelakar. Mungkin sebab banyak buat perkara-perkara serius. Beberapa minggu lepas aku join majlis tahlil dan yasin di kampung, lepas itu baca tahlil dan yasin untuk saudara terdekat yang telah pergi meninggalkan dunia dan segala isinya. Company pula buat majlis tahlil dan yasin sempena tahun kedua kami berpindah ke Puchong.

Dalam pada itu, kubur ayah juga aku lawati bersama emak dan dua orang adik perempuanku. Aku pinta adik upload gambar kubur ayah dalam FBnya, sebab FB aku deactive buat sementara waktu, sibuk sekarang. Kakakku awalnya melarang, katanya tak baik upload gambar kubur, lalu ku katakana upload gambar dalam disko lagi berdosa. Diam dia, mungkin akur dengan kata-kataku.

Aku berborak soal kematian dengan kakak. Dalam berborak itu kakak aku ada buat ayat.
“ Isteri A ini dah meninggal juga, dapatlah dia temankan si A yang meninggal dulu.”

Aku membantah.
“ Bila meninggal, mana ada teman-teman dah kak. Orang Melayu kita ni selalu cakap macam inilah, asalkan pasangan meninggal aje dapat teman pasangan yang dah meninggal dulu dalam kubur, tahu tak bila kita mati tu kita sorang-sorang aje dalam kubur yang gelap tu. Amalan ajelah yang dapat teman kita.”

Aku spontan, tapi semua yang dengar pun tersenyap. Aku sendiri tersenyap kejap. Aku tahu, hati aku masih boleh diselamatkan.

Al-fatihah buat arwah ayah dan saudara.

Gambar 1- Sedang membersihkan kubur ayah.
Gambar 2- Surah Yasin yang adik baca rupanya pemberiaan Honey dulu kepada aku. Gila syahdu, aku pun hampir lupa dia pernah bagi aku surah yasin ni.

Sunday, July 8, 2012

Lari Rumah



Ketika aku sedang sibuk bekerja. Tiba-tiba seorang kawan telifon. Perbualan kami lebih kurang berbunyi bergini.

“ Masih tinggal di Bandar B?” Soalnya.

“ Dah lama pindah, kenapa kau tanya?” Aku agak pelik dengan soalan itu.

“ Aku fikirkan kau masih di Bandar B, aku mahu tumpang pergi kerja.” Dia menerangkan.

“ Kenapa kau tak pindah sahaja ke Bandar P, dekat sikit.” Aku berikan cadangan.

“ Ayah ku tak bagi.” Terangnya lagi.

“ Kau masih tinggal dengan keluarga? Sampai bila kau mahu berkepit bawah ketiak ayah?” Aku menyidir.

“ Kau tahulah ayah aku, dia memang tak bagi aku tinggal sendiri.” Jelasnya hampa.

“ Kalau macam itu kau patut lari dari rumah.” Aku berikan cadangan. Dia hanya diam. Aku pasti dia tak berani ambil tindakan se-rebel itu.

Aku pernah lari dari rumah.

Sebaik tamat kolej. Aku terus bekerja dan bekerja. Sehinggalah ayah aku sakit kuat, lalu aku berhenti dan menjaganya di kampung. Mungkin dia sedih melihat aku yang seolah-olah tidak punya masa depan, tidak bekerja dan tidak punya suami. Maka dia meng-psiko aku hari demi hari sehingga aku tak tahan tinggal di kampung. Kau bayangkan, sehingga tahap ada orang datang jual ubat di rumah pun dia tanyakan pada orang itu tentang kerja kosong untuk aku. Seperti aku ini seorang pemalas yang bersenang lenang sahaja dan patut di kerah bekerja. Aku marah sampai mogok lapar. Lama aku fikir. Kalau adanya aku di rumah menyakitkan mata dan hati dia, tapi takkanlah dia nak halau aku, maka tindakan terbaik adalah lari dari rumah. Aku bungkus baju serba sedikit. Tidak aku lupakan kain sembahyang dan sejadah. Maka aku keluar dari rumah, tahan kereta entah siapa. Naik bas dan menuju ke destinasi yang aku pun tidak tahu.

Ada dua pilihan.

1.       Lari ke tempat Bond. Yang mana tidak ada seorang pun ahli keluarga tahu aku dimana. Tindakan ini mungkin boleh membuatkan aku menjadi anak super derhaka.

2.       Lari ke rumah sewa kakak aku. Masih anak derhaka, tapi sekurang-kurangnya keluarga tahu aku selamat dan sihat.

Aku ambil keputusan lari ke rumah kakak. Di situ aku mula mencari kerja. Dapat aje kerja aku pindah ke Bandar P. Aku tak hubungi langsung mak dan ayah. Hari raya pun aku tak balik. Lama juga tempoh aku merajuk itu. Mak ayah pun tak hubungi aku juga. Gila sempoi dia orang tak risaukan aku. Mungkin dalam hati dia orang aku sebenarnya memang anak jantan dia orang yang berhati cekal dan boleh survive di mana sahaja. Setelah aku yakin aku boleh tunjuk bukti yang aku mampu kerja yang aku minat dengan elok, barulah aku tunjuk muka depan mak ayah. Tunjuk hasil, lalu minta ampun sebab keluar rumah tanpa izin dia orang.

Lari dari rumah tidak semestinya sebab kau lari dengan kekasih gelap. Lari ikut kawan sebab terkongkong. Lari ikut pacar Lombok. Lari ikut kekasih pengkid. Lari sebab mak ayah marah kau main internet 24 jam di rumah. Atau sebab-sebab bodoh yang lain. Seni melarikan diri dari rumah perlu kebijaksanaan, keberanian dan yang penting kau kena ada simpanan duit sikit untuk kau survive sepanjang tempoh lari itu.
Point utama aku adalah aku akan bangga kalau adik lelaki aku si duda muda yang sekarang jadi penganggur. Mak tanggung makan minum, bayar duit kereta malah bayar PTPTN dia tu ambil tindakan lari dari rumah, cekalkan hati lupakan bekas isteri dia, cari kerja somewhere dan kerja sungguh-sungguh. Oh lelaki bernama adik, kenapalah kau bergitu lembik?

PS : Sedikit emo sebab argue dengan mak yang aku rasa pampered adik LELAKI aku sangat.

Followers