Ada tak kawan yang kau boleh tidur berpeluk-peluk, pegang tangan 24 jam, sandar bahu, baring kat peha, duduk rapat-rapat, gurau manja, tepuk tampar dan segala macam kemesraan yang lain?
Aku punyai hubungan cinta platonik dengan kawan pejabat aku. Namanya Olenna, Lady Olenna.
Boleh ke kita sayang seseorang tanpa mencintai?
Rapat dan mesra macam orang bercinta, tapi tak ada cinta pun.
Ada orang kata mustahil.
Aku kenal Olenna dah lama. Sejak DIA sekolah menengah lagi. Aku dah tua dah masa tu. Jeng…Jeng…Jeng…
Aku kenal dia sewaktu dia menyertai acara tempat aku bekerja. Dia sering menjadi pekerja sambilan. Salah satu sebabnya dia merupakan kawan adik boss aku. Pandai mencari duit poket orangnya.
Boleh dikatakan Olenna membesar depan mata aku, daripada seorang remaja yang terkinja-kinja sehinggalah menjadi perempuan budiman yang gagah perkasa.
Apabila dia tamat belajar dalam bidang pertanian di salah sebuah universiti tempatan, dia mencuba nasib di syarikat kami.
Waktu ini syarikat tempat aku bekerja telah pun menukar jenis bidang perniagaan. Daripada syarikat penerbitan kepada syarikat IT. Banyak syarikat penerbitan gulung tikar akibat pasaran buku yang jatuh menjunam.
Oleh kerana tenaga kerja aku masih diperlukan, aku ditawarkan untuk bertukar kerja di syarikat baru ini. Ramai kawan-kawan aku diberhentikan kerja, Yang bijak sedikit awal-awal lagi sudah berhenti dan cari kerja lain.
Aku ingat ketika boss mengaturkan sesi temu duga Olenna, rakan sekerja aku yang lain agak runsing memandangkan Olenna tidak punya pengalaman dalam bidang pemasaran sosial. Lagipun latar belakangnya adalah ijazah dalam bidang pertanian. Aku cuma mengatakan kepada mereka, kita lihat dahulu kemampuan dia dalam tempon percubaan selama tiga bulan. Boss pun bukannya saja-saja menerima sesiapa bekerja sesuka hati.
Olenna bekerja dengan tekun, rajin dan rendah diri. Aku tengok pencapaian dan kepandainya lebih tinggi dari sesiapa yang aku pernah jumpa. Cepat betul dia belajar. Dia orang harapan boss. Dia juga disukai ramai kerana orangnya yang sempoi dan rendah diri.
Beberapa tahun lepas, Olenna bagitahu aku yang dia seorang biseksual.
Mula-mula, aku yang cerita dulu pada dia aku ini lesbian. Respon dia selamba aje masa tu. Tak terkejut pun. Dalam masa yang sama dia tak adalah suspek yang aku lesbian ke apa. Tup-tup! Dia cakap dia ada girlfriend LDR dekat Negeri P. Amoi Cina. Olenna ni pun campur separuh Cina separuh Melayu. Disebabkan LDR hubungan mereka makin hambar. Tapi dia nampak biasa aje, tak adalah kecewa menonggeng. Mungkin sebab dah redha, hubungan sesama perempuan ini tak mudah.
Masa aku belum mengorat Bunga dulu, Olenna pun suka usik mengusik Bunga. Mulanya aku ingatkan dia berkenan pada Bunga. Aku suruh dia mengorat Bunga. Dia gelak aje. Aku suruh masa tu bukannya apa. Aku nak pastikan perasaan dia. Kalau dia berkenan, aku tak adalah nak kacau pulak. Nasib baik tak.
Olenna ini suka buat ayat-ayat manis bergula. Tak kiralah pada lelaki atau perempuan. Kadang-kadang menjadi, kadang kadang merepek. Kalau kau dengar ayat dia, kau akan rasa meluat sampai nak bergaduh. Tapi sebab dia yang buat, semua orang layankan aje.
Olenna ni tinggi dan gagah. Rambut panjang, bertudung. Bukanlah seorang yang lemah lembut. Tapi suka melayan orang dengan lemah lembut dan santun. Bak kata aku, dia perempuan budiman. Sentiasa bersedia membantu orang yang perlukan bantuan, tak kira lelaki atau perempuan. Dia punya budiman itu, 100 kali ganda dari aku. Boleh cair hati OK. Kiranya Olenna ni macam satu dalam sejutalah.
Walaupun perangai Olenna ni gagah dan suka menolong, dia tak suka pada orang yang lembik dan lemau. Pantang betul dia dekat orang yang tak boleh nak berdikari. Tak kiralah orang itu lelaki atau perempuan.
Masa aku dan Bunga masih hangat bercinta dulu, aku pernah tanya Bunga.
Kalau di pejabat kami, selain aku, siapa yang dia rasa, dia boleh cair. Dia jawab Olenna. Aku pun pura-puralah bergurau berebut Olenna dengan Bunga. Mengada betul!
Walaupun dengan segala kemesraan yang ada antara dengan aku dan Olenna, aku dan dia tak pernah tertarik secara seksual. Cinta kami sepenuhnya platonik. Walaupun kawan lain meluat tengok kami bersayang mayang, berbaby, babe. Lama-lama dia orang makin lali. Adalah juga sesekali buat muka pelik dan meluat tu. Tapi kami bo layan aje. Olenna ini kiranya tempat aku nak bermanja tanpa nak diprejudis. Jadi aku tak peduli.
Lain orang kan lain caranya.
Itulah aku dan Olenna. Manja dan meluatkan.
PS: Olenna tengah kumpul duit nak kahwin dengan boyfriend dia. Melepaslah korang!