Wednesday, February 27, 2013

Kawan dan Baby

Cerita ini dah lapuk.

Korang ingat tak Ai Lin? Alah... Aku pernah cerita pasal Ai Lin ni dulu. Lama dah.

Cuti raya cina baru-baru ini rumah aku dikunjungi oleh Ai Lin. Dia baru sahaja dapat anak. Iya betul, dia dah kahwin dengan boyfriend dia tu. Setelah sesat hampir sejam setengah, berjaya juga dia cari rumah aku di Bandar P.

Punyalah payah nak curi masa aku sampai dia sendiri yang terpaksa bawa baby dia datang jumpa aku sebab aku tak pergi melawat dia masa bersalin. Aku memang kejam macam itu. Salahkan aku.

Dia dapat anak lelaki, dan secara rasminya Ai Lin memaksa aku menjadi IBU kepada anak dia. Katanya, anak dia perlu memanggil aku IBU, dia pula MAMA. Baiklah Ai Lin. Ikut sukalah. Budak itu pun belum pandai cakap lagi. Aduh.

Lama juga Ai Lin melepak di rumah, siap masak-masak. Sibuk nak suruh aku rasa masakan dia. Boleh tahan sedapnya si Ai Lin ni masak Ayam Masak Pedas. Dia layan aku makan. Bestnya ada orang layan makan. Baby elok aje tidur bergolek atas toto.

Beberapa kali Ai Lin menegaskan kepada aku bahawa suami dia tak kisah kalau dia nak bawa anak keluar berjalan lama-lama, apabila aku asyik bertanya pada dia bila nak balik. Katanya suami dia lagi tak kisah kalau melepak dengan aku. Sedangkan suami dia pun aku tak kenal sangat. Pernah jumpa sekali masa dia orang kahwin dulu tu aje. Sempat juga Ai Lin bergurau mengajak aku bermadu dengan dia. Ini kali ketiga orang cakap macam itu. Pertama, ex-gf aku, si Preity. Honey pun pernah sebut-sebut hal ini. Berani betul ya.

Aku mandikan baby, sikit kekok. Pasal tak pernah mandikan baby dalam bilik air aku ni. Sambil tu Ai Lin sandar kat pintu perhati aku sambil menghisap rokok sampoerna kotak hijau. Lalu aku membebel suruh dia berhenti. Kalau tak demi diri, demi anak. Ai Lin cakap, dia menyesal belajar merokok lama dulu, tapi dia dah kurang hisap. Lepas hulur anak pada Ai Lin aku pulak try sedut sepam. Mak aih... Berkunang-kunang rasanya mata dan kepala. Memang tak boleh. Ai Lin ketawakan aku berdekah-dekah.

Ai Lin bising sebab aku jarang contact dia. Aku biasalah, buat alasan biasa. Sibuk. Sebenarnya memang aku jenis yang malas nak lepak dengan kawan-kawan. Bond tu sendiri aku jarang jumpa. Jarang SMS. Jarang nak telifon tanya khabar. Hanya yang berjiwa kental sahaja akan kawan dengan aku lama.

Ai Lin balik malam itu, setelah tidak berjaya mengajak aku join reunion batch dia. Reunion batch aku pun aku tak pergi.

Seminggu dua lepas itu ada panggilan tak dikenali ke telifon aku. Cis Ai Lin dah 'jual' nombor aku pada beberapa ex-junior aku. Memang aku dah jangka.

Maaf kalau ada yang aku jarang borak, jarang dapat cerita. Hakikatnya aku memang sibuk.

Monday, February 11, 2013

Tackle Si Kaya


Hidup ini bukan sekadar macam mana nak tackle seorang awek. 

Dalam hidup ini kita perlu tackle segala-galanya dan sesiapa sahaja. Mak bapak, jiran sebelah rumah, rakan sekerja, boss, penjual ikan kat kedai, kakak ipar, mak cik cleaner, pak imam surau, mak datin, pelarian rohingya dan sebagainya. Bagaimana kita membawa diri kita. Bukan untuk buat orang suka kita, bukan untuk tunjuk kita bagus atau hebat tapi untuk kebaikan diri kita sendiri. Memudahkan diri kita untuk orang lain supaya orang lain memudahkan diri mereka untuk kita. 

Ketahuilah, kadang kala kita bukan watak utama pun dalam kehidupan kita sendiri. 

Kata Kak Jen, hidup ini tentang mengambil risiko. Walaupun selalunya memang dia ambik risiko, tapi yang selalu bantu dia menanggung risiko itu adalah aku, orang yang paling tak suka nak ambik risiko.

Apalah aku merepek panjang sangat untuk pendahuluan tadi.

Dalam kita cuba memudahkan hidup kita dan hidup orang lain, kita tak dapat lari daripada membuat keputusan yang salah. Setiap hari. 

Contoh ringan ialah bila kau beli makan malam untuk diri kau, kau belikan sekali makan malam untuk housemate kau, tapi akhirnya makan malam tu dia tak makan pun. Diet katanya. Contoh berat adalah apabila kau tak sambung belajar supaya memudahkan adik-adik kau untuk sambung belajar, kau kerja kuat untuk family kau dan biarkan cita-cita kau tertangguh. 

Walau salah macam mana pun keputusan kita, ianya dah berlaku, jadi sejarah dan fungsi sejarah adalah kita belajar daripada sejarah. Tapi ia selalunya boleh buat kita jadi mahkluk paling dingin, tak sweet sebab tak mahu/takut ulang kesilapan yang sama.

Seikhlas mana hati kita, orang tak tahu. Sekeji mana hati kita orang lagi tak tahu.

Kak Jen suka duit.

Kak Jen nak jadi kaya supaya dia boleh goyang kaki, dia boleh beli apa sahaja yang dia mahu, boleh bagi emak senang dan dia boleh enjoy hidup dia sepuas hati dia. Ada million alasan untuk dia jadi kaya.

Aku suka duit.

Aku tak mahu jadi kaya sebab aku tak mahu sombong, buta hati, bayar Mila Kunis untuk teman aku mandi kolam. Ada million alasan untuk aku tak rasa nak jadi kaya.

Hidup jangan jadi orang keji. Jangan songlap duit orang, tak kiralah duit yang kau songlap tu duit orang kaya, apatah lagi duit orang miskin. Sebab itu bukan hak kita. Hak kita adalah menyumbang. Ahli politik, perompak dan penipu please take note.

Kalau jatuh cinta, biarlah kau jatuh. Tapi, jatuh dan jadi positiflah.

Putus cinta, maka putuslah. Bakar surat cinta dari dia, menangis puas-puas. Tapi, putus dan jadi positiflah.

Cemburu, maka cemburulah. Jangan pula kau belasah anak-anak dan isteri kau. Jadi positiflah.

Aku selalu cemburu dengan kawan-kawan yang lahir dalam keluarga yang super kaya. Dalam masa yang sama, andai aku dilahirkan semula aku mahu lahir dalam keluarga aku yang serba tak ada itu, berkongsi semuanya. Kegembiraan dan kesakitan.

Dalam doa memang banyak senarai yang aku minta. Kadang kala masa doa aku lagi panjang dari masa aku solat. Tertanya aku sama ada layakkah aku meminta sebanyak itu. Makin banyak nama-nama baru yang muncul dalam doa aku.

Aku tahu aku sering obses dengan DUNIA. Aku lupa yang paling kaya itu TUHAN. Aku patut tackle DIA dulu.

Tuesday, February 5, 2013

Tentang PDA


PDA atau nama panjangnya Public Displays Affection


Menurut Urban Dictonary PDA adalah :

Public Displays Affection, can been seen in the form of kissing, touching, groping, licking, nuzling, cuddling, crossing hand into each other's opposite back pocket, etc. Usually spotted among new couples, frisky teenagers, and ocassionally the "young at heart".

Bila jalan-jalan di mall atau mana-mana sahaja tempat terbuka, kita akan dapat menyaksikan PDA. Tidak kiralah pasangan itu suami isteri, perempuan/lelaki atau sebagainya.

Pengkid dan pasangannya hari ini memang ramai yang tak segan silu nak menunjukan PDA memasing. Ramai juga yang tidak. Sila angkat tangan kalau korang pernah nampak atau terserempak dengan aksi PDA ini. Setiap kali aku nampak PDA di mana- mana, segera aku perhatikan reaksi orang sekeliling. Muka masing-masing nampak meluat dengan PDA. Aku pun turut meluat. Tapi aku tahu, ini bukan satu halangan untuk pasangan itu meneruskan PDA mereka. Pasangan ini memang tahap hati kering. Rasa nak baling dengan kaktus aje.

Kalau aku keluar dengan emak, Kak Jen atau mana-mana adik-beradik perempuan aku, termasuklah anak-anak saudara aku yang perempuan, kami akan berpegangan tangan. Penuh manja dan mesra. Macam dah jadi benda wajib untuk pegang lengan aku atau aku pegang lengan dia orang. Lagipun aku jenis jalan laju. Bila tangan aku dipegang, aku akan jalan sekata dengan orang tersebut. Aku tahu, kadang kala orang boleh salah anggap. Malah ada yang sengaja menjengilkan mata, buat isyarat meluat. Aku cool aje. Pasal familikan. 

Kalau keluar dengan adik lelaki aku si Jaha tu atau bestfriend aku si Bond, aku suka aje nak pegang lengan, tapi diorang pulak yang tak nak.

Dalam meluat melihat pasangan PDA, sebenarnya aku ingin buat pengakuan.

Aku + Honey = PDA habis-habisan.

Masa aku dengan Honey masih hangat bercinta enam atau tujuh tahun lepas, kami jenis PDA. Jenis hati kering. Jenis redah aje apa-apa. Ya betul. Honey yang pakai tudung tu, yang lebih tinggi dari aku. Dia selamba aje kalau nak pegang tangan atau peluk pinggang aku depan orang. Dalam bas kami akan duduk dekat-dekat. Dalam LRT tak usah cakaplah, mesti kena rapat-rapat dalam sesesak tu. LRT dulu lagi sesak dari LRT sekarang. Bayangkan..

Kadang-kala aku perasan Honey sengaja memeluk aku erat apabila ada mata-mata lelaki yang memandang kami. Berani betul Honey.

Ada sekali tu kami makan ramai-ramai. Kak Jen pun ada masa tu. Honey pegang tangan aku, dia tak nak lepas. Jadi aku makan guna tangan kiri. Kak Jen naik hairan, lalu menegur kenapa aku makan pakai tangan kiri. Makin kuat pulak Honey pegang tangan aku. Kak Jen jeling bawah, tengok aku dan Honey duk pegang tangan. Habis dikecohkan satu meja. Aku dah blushing. Honey pula selamba badak aje. Jangan harap dia nak lepaskan tangan aku.

Masa aku hantar dia ke kampus matrikulasi. Aku secara rasminya minta dia jadi steady girlfriend aku. Dia tak beri jawapan. Lepas tu aku kena balik naik bas. Dia hantar aku kat bas station. Aku dah naik bas. Bas tu dah nak jalan dah. Dia tahan bas tu berhenti. Aku pun pelik, ada barang dia tertinggal dekat aku ke? Semua perhati dia masuk bas dan jalan lenggang-lenggok menghampiri aku di seat belakang. Dia cium dahi aku lama-lama. Lepas tu dia cakap,

“Ya, saya setuju.”

Tak sempat aku nak kata apa-apa, Honey turun dari bas. Semua mata dalam bas pandang aku. Aku senyum senget. Tak tahu nak respon apa. Abang bas hanya mampu menggeleng kepala. Mujur tak ada orang kat sebelah seat aku. Kalau tidak confirm kena perli.

Pernah masa dia nak balik kampus, sengaja dia cium aku depan rakan-rakan sekerja. Aku agak terkejut dengan tindakan berani mati itu. Melopong semua rakan sekerja aku terutamanya yang lelaki, aku pun melopong sekali. Mungkin dia nak bagi amaran kat semua orang yang aku ni dia yang punya.

Ada sekali tu masa kami jalan pegang tangan dekat area pasar seni, ada mamat yang jalan bertentangan suwit-suwit kami berdua. Sambil tu dia gelak sakan dengan kawan-kawan dia. Memang obviouslah dia perli dan gelakkan aku dan Honey. Aku panas hati. Berselisih sahaja aku dengan kumpulan mamat tu, aku sempat menghayun siku sekuat hati tepat ke perut mamat tu. Cepat-cepat aku tarik tangan Honey, lari. Aku tengok mamat tu dah tunduk-tunduk senak, tangan dia tunjuk ke arah aku. Kawan-kawan dia hanya terkedu. Itu tindakan spontan, aku pun tak sangka aku buat macam tu.

Pasangan yang PDA ni biasanya tak sedar orang meluat.

Orang pula tak tegur. Ramai orang tak tahu nak tegur macam mana. Orang yang malas nak tegur dan orang yang tak peduli lagilah ramai. Kalau aku nampak orang PDA, respon pertama aku selalunya “Wow!”

Sekiranya Jo 30an boleh nasihat Jo 20an, pasti akan suruh kurangkan PDA yang over-over tu. Sikit-sikit tak apa. Sekian.


PS: Kak Jen lagi teruk.

Followers