Tuesday, October 30, 2018

Tentang Diversiti


Cerita.

Selagi tak ditulis. Selagi itulah ia akan bermain di minda aku.

Minda seorang perempuan yang seorang.

Ahad yang indah, sedang aku menyapu habuk dan jaringan labah-labah di sudut-sudut sempit di rumah sewa kami, Cik Cut beritahu ada kawan dia nak datang untuk cubaan make up kahwin.
Menurut Cik Cut, kawan dia ini nak kahwin pada bulan 12 nanti.
Sebelum ini Cik Cut dah buat cubaan make up untuk dia, tapi kawan dia tak berapa suka make up itu, katanya nampak seperti mak datin.

Cik Cut perlu cuba make up gaya lain supaya nampak lebih natural.
Cik Cut beritahu aku lagi, kawan dia ni comel orangnya. Aku sengih aje.
Perangai Cik Cut memang macam ini, kalau ada orang nak datang rumah dia akan beritahu aku, orang itu comel lah, lawalah, cantiklah.

Lepas mengemas rumah, aku menikmati nasi lemak telur mata yang Cik Cut beli. Apabila aku hendak membayar harga nasi tersebut, dia menolak. Terima kasih Cik Cut. Alhamdullilah. Rezeki Allah beri.

Lepas mandi dan tepek bedak carrie di muka, aku susun laptop dan membentang toto narita di ruang tamu. Ustazah balik kampung dari semalam. Inilah peluangnya untuk aku menakluk ruang tamu rumah sewa kami yang keseluruhan besarnya cuma lebih kurang 700 kaki persegi sahaja.

Aku ajak Cik Cut melayan siri The Haunting of Hill House. Sebab utama aku beria ajak dia adalah aku nak sangat tengok cerita ini. Ratingnya tinggi. Aku tak berapa berani nak layan genre horror. Biarpun di siang hari terang bederang. Hati tikus!

Kami melayan sampai ke episode tiga. Berhenti untuk solat zohor, selepas itu kawan Cik Cut pun datang. Aku berlari-lari anak tukar seluar pendek aku kepada seluar panjang. Mana tahu dia tak selesa dengan kaki aku yang seksi ini.

Aku buka pintu sambil menjemput kawan Cik Cut masuk. Muda sangat lagi  orangnya di mata aku. Wajahnya kebudak-budakkan, mata sepit, kulit putih sedikit jerawat halus, bertudung dan bersaiz comel susuknya. Mungkin inilah yang dimaksudkan comel oleh Cik Cut. Aku namakan dia Cik Putih.

Cik Cut bersedia dengan kotak alatan makeupnya. Cik Putih beberapa kali meminta maaf kerana mengganggu hari minggu kami, lalu menyuruh aku meneruskan tontonan sambil Cik Cut menyolek dia. Aku pun terus terang memberitahu dia cerita ni ada adegan tak sesuai sedikit. Dia kata dia ok dengan itu.

Sedang melihat episode demi episode seterusnya aku dengar saja komen-komen dari Cik Putih. Terutamanya tentang watak LGBT dalam siri ini. Dia menyuarakan kebimbangannya mengenai peningkatan keterbukaan untuk watak LGBT ini diwujudkan dalam setiap siri TV mat saleh di masa kini.
Cik Cut pula seakan mengiyakan tanpa punyai pendapat sendiri. Mulanya aku senyap sahaja, dengar. Tapi sampai dia eee…eee itu yang aku rasa aku perlu memberi ‘sedikit’ pandangan tidak dipinta aku pada dia.
Tambah lagi bila dia kata kalau perempuan dengan perempuan dia OK lagi, lelaki dengan lelaki dia geli.

Pagi tadi, masa tonton episode satu dengan Cik Cut, aku ada beritahu yang cerita mat saleh yang bagus kena ada diversiti dalam wataknya. Kena ada lelaki, perempuan, orang tua, muda, warna kulit juga seksualiti selain plot yang menarik. Sebab itulah rating cerita ini tinggi, dalam cerita dia ada watak white people, black people, asian, lesbian dan lain-lain.

Jadi aku ulangi semula penyataan aku ini pada Cik Putih pula.

Aku tanya pada Cik Putih dan Cik Cut, mereka ada kawan-kawan lesbian atau gay tak?
Dua-dua geleng kepala.

Cik Putih cuba ingat-ingat, katanya dulu adalah member perempuan dia couple dengan pengkid atas alasan nak insafkan pengkid tersebut, nak membentuk pengkid itu jadi perempuan semula. Aku tersedak angin.

Apa penafian punya alasan member dia itu. Couple dengan pengkid ini menambahkan lagi darjat pengkid tersebut sebagai pengkid adalah. Aku ada juga dengar perkara mengarut seperti ini dahulu. Kesudahannya tak ada siapa yang berubah pun.

Macam mana hendak aku mendidik mereka berdua sedikit tentang LGBT?
Dalam keadaan aku tidak mahu mendedahkan diri sebagai seorang LGBT?
Secara ringkas, mudah dan tidak nampak seperti aku berat sebelah?
Aku mahu mereka sendiri berfikir juga.

Lalu aku cuba menjelaskan tanpa aku meyatakan aku LGBT dengan meletakkan diri aku sebagai orang yang berada di atas pagar.

Aku katakan, perasaan aku pada LGBT ini bercampur sebenarnya. Simpati pun ada. Bukan mereka ingin menjadi LGBT dan sebagainya. Malah ramai sahaja yang mahukan kehidupan seperti biasa.

Masalah selalunya timbul apabila menafikan diri mereka LGBT pada diri sendiri lalu cuba mengikut terma-terma masyarakat. Akhirnya terjadilah penyiksaan pada diri LGBT tersebut dan orang yang tidak LGBT yang terlibat dalam perkahwinan dengan LGBT yang tidak bahagia dan sebagainya. Kalau ada yang bahagia pun, tidaklah banyak.

Aku beritahu lagi, LGBT ini ada yang biseksual. Kalau yang biseksual ini kau tak tahu pun dia berminat pasangan sejenis, jika dia kahwin dengan pasangan lain jantina dan bahagia maka sampai matilah pasangan dia tak tahu dia gay.

Jadi LGBT ini sangat serba salah. Kalau beritahu keluarga, kemungkinan besar akan dihalau. Silap-silap dicederakan dan dinafikan kemanusiaan pula.

Patutnya masyarakat terima golongan gay seadanya. Supaya gay boleh menerima dan mengakui diri mereka sendiri dengan apa yang diberikan oleh Tuhan ini. Terima seadanya bukan bererti menyokong. Contohnya apabila ada anak yang gay dengan selesa boleh memberitahu mereka gay pada keluarga. Keluarga tahu dan terima seadanya dan melayan dengan kasih sayang. Diberikan tempat yang selamat. Jelaskan dari sudut agama dan sebagainya. Tidaklah anak yang gay itu melakukan sesuatu yang liar, memberontak dan sebagainya. Mungkin mereka boleh memperbaiki diri menjadi warga masyarakat yang lebih baik.

Aku juga memberitahu yang masyarakat kita ini mempunyai toleransi yang tinggi. Tidaklah sampai semua gay kena kejar, dibunuh dan dikejami. Bercerita juga serba sedikit tentang gay rights di luar negara dan bezanya di sini. LGBT di Malaysia mungkin akan menuntut hak kesaksamaan, hak berkahwin dan hak dihalalkan seksualiti mereka. Tetapi terpulang pada perlembagaan kita akhirnya.

Banyak lagi aku beritahu pendapat aku pasal hak kesaksamaan ini. Termasuklah pasal kaum di Malaysia. Geleng kepala aku bila Cik Putih cakap, kaum Cina dan India ini sekadar pendatang dan tak boleh ada hak sama rata seperti orang Melayu. Terpaksalah aku menceritakan sedikit ringkas tentang sejarah kedatangan orang Melayu ke bumi bertuah ini, penjajahan, migrasinya orang Cina dan India di sini. Perang Dunia Pertama dan Kedua. Pejuangan nasionalisme, kemerdekaan serta pengaruh arab Islam yang datang sebelum dan selepas kemerdekaan.
Hampir menangis aku bila Cik Putih kata selama ini dia ingat Portugis, Belanda dan Inggeris itu orang yang sama…

Aku nyatakan, lambat laun, entah dua tiga puluh tahun lagi. Mungkin seratus tahun lagi. Keistimewaan orang Melayu tidak mustahil akan hilang.

Aku tidaklah menyatakan sokongan aku pada hal ini. Cuma kita sebagai orang Melayu kena sedar bahawa kita kena bersaing dengan lebih kuat dengan bangsa lain secara sihat. Kita patut sedar bahawa tanah air ini adalah tanah air kita bersama. Sama-samalah kita berusaha untuk memajukan dan saling bantu membantu antara satu sama lain. Bukan menjatuhkan dan berdelusi merasa lebih baik.

Berbalik kepada siri TV ciptaan mat saleh. Tidak semestinya apa yang mereka paparkan itu bagus dan betul. Tetapi itu adalah gaya penceritaan masyarakat mereka.

Kita asyik berada di tahap yang sama, plot cerita pun sudah tak original lagi. Semuanya asyik ikut acuan yang itu-itu sahaja.
Iya, aku sangat faham akan keterbatasan dalam berkarya yang ada. Juga kehendak pasaran lokal yang tidak membantu. Sambil itu, sempat aku promosikan filem Gol dan Gincu Vol 2.

Aku bercakap sehingga aku rasa cik berdua itu pun nampak bosan dengan hujah aku.

Aku tegaskan pada mereka, ini adalah pendapat aku sahaja. Mereka ada hak bersetuju untuk tidak bersetuju. Jika tidak setuju maka bantahlah dengan alasan yang mereka betul-betul yakin. Malah aku galakkan mereka membantah pendapat-pendapat aku ini, cari hujah lain. Malah aku sendiri masih mengkaji untuk membantah pendapat aku sendiri.

Cik Cut sambung make up sampai siap. Aku goreng jemput-jemput jagung. Kami makan bersama. Berbual hal ringan.

Selepas Cik Putih balik, aku katakan pada Cik Cut, aku terima diri aku yang tomboy ini seadanya, jadi aku sempoi ajelah dengan gaya aku.

“Alah…Akak tomboy aje kan bukannya lesbian pun.” Dia cakap pada aku.

Aku cuma sengih. Aku tak iyakan, tak nafikan. You know nothing Jon Snow…

PS: 4 ½ bintang untuk The Haunting of Hill House.



x


Monday, October 29, 2018

Borak Panjang



Aku ada diploma saja.
Kalau lihat semula, ada sedikit kecewa. 
Kenapa dengan otak yang masih segar ni. Aku cuma ambil diploma saja?

Tapi, bila difikirkan situasi  masa itu, kenaifan dan kejahilan aku, keluarga dan sebagainya. 

Aku redha dan bergerak pantas dari situ.



Salah seorang housemate, kuberi nama Cik Cut. 

Cik Cut ini umurnya 25 tahun. Ayah kandungnya sudah tiada. Ibu tuanya pula meniaga nasi lemak. Kiranya bukan dari keluarga yang senang. 
Kiranya persamaaan aku, ustazah dan Cik Cut, kami masing-masing orang bujang yang sudah ketiadaan ayah.

Dia bekerja secara kontrak di sebuat syarikat swasta. Di samping itu, kerja sambilannya sebagai jurusolek. Netizen panggil MUA. Self taught makeup artist yang baru berjinak-jinak dalam bidang ini. Orangnya kelakar juga, fasih berbahasa Inggeris dan suaranya sesuai untuk buat voice over iklan TV atau radio.

Selepas  menyertai gotong-royong penduduk di hari minggu, aku dan Cik Cut borak bersama. Jarang sebenarnya nak lepak walaupun satu rumah. Masing-masing ada kelompok kawan-kawan yang berlainan dan waktu kerja yang tidak sama, lagipun aku sibuk mengadap komputer menyelesaikan commission drawing dan kerja-kerja lain.

Kami berborak tentang harga rumah yang semakin meningkat. Gaji pokok yang rendah. Ramai pekerja yang kehilangan kerja selepas PRU14 oleh kerana penstrukturan semula syarikat.

Sedang aku dan Cik Cut saling memberi idea bagaimana untuk menambahkan pendapatan, dia tanya aku.

Cik Cut: Kak, macam mana kita nak tahu keputusan yang kita buat tu betul ya?

Aku terdiam kejap. Layak ke aku jawab soalan ni? Hmm…Boleh.

Aku: Keputusan yang betul untuk diri kita adalah apabila kita buat keputusan ikut 
kemampuan kita.

Cik Cut: Macammana tu kak?

Aku: Contohnya, apabila kita kena buat pilihan. Kita kena tengok kita mampu tak untuk ambik pilihan itu. Tahap mana pilihan itu akan menyusahkan dan menyenangkan kita di masa akan datang. Kalau pilihan itu akan menyebabkan kita sengsara, maka keputusan kita itu salahlah.

Cik Cut: Contohnya kita dah ambik keputusan macam ini. Tapi ada orang kata, kenapa kau tak buat macam ni. Ada orang lain pulak kata, kau patut buat macam ini… Macammana kita nak tahu betul ke tidak nasihat orang tu?

Soalan yang baik. Aku sengih.

Aku: Cuba buat macam ini. Kau kena kumpulkan semua nasihat yang orang beri. Secara detail. Kalau boleh tulis, kau tulis. Kemudian kau bandingkan nasihat orang itu dengan keputusan kau. Kalau nasihat orang itu betul-betul bagus dan baik untuk kau, berbanding pilihan kau sendiri, maka kau boleh ambil nasihat orang itu. Tapi semua pilihan ada risikolah.

Cik Cut terkebil-kebil.

Aku: Kita tak bolehlah tak nak ambik risiko langsung. Mana ada hidup yang macam tu. Kita bukannya kaya, harta warisan pun tak ada. Jadi kita kena susun strategi betul-betul. Kadangkala apabila kita dah rasa kita buat keputusan yang betul pun tapi akhirnya masih salah lagi. Kita kena belajarlah dari situ. Kena redha. Kena usaha lagi.

Cik Cut: Tapi orang suka kata macam-macam bila saya buat keputusan.

Aku: Orang memang akan kata macam-macam. Kau pernah dengar tak kisah keldai dan dua beranak tu? Dia orang pergi satu kampung ke satu kampung. Lepas tu orang suruh turun naik keldai tu. Semua orang ada pendapat dan nasihat lain-lain.

Cik Cut angguk, sambil tersengih.

Aku: Semua orang akan bagi nasihat ikut kemampuan dan nilai mereka, akhirnya yang nak tanggung adalah kita sendiri. Pilih dan buat keputusan ikut kemampuan kita. Ukur baju di badan sendiri. Kuatkan semangat, usaha. Jangan lupa doa pun. Itu senjata kita.

Aku menjelaskan lagi.


Cik Cut: Itulah dia… Kadang-kadang susah nak buat keputusan bila orang bagi pendapat itu ini. Pening.

Aku: Belajar tegas, belajar kata tak boleh dan tak ada jika kau memang tak ada. Penat kita kerja siang malam. Cari duit sendiri kan. Lagi satu kalau ada orang cakap kat kau duit bukan segala-galanya. Kau tampar dia dua kali. Bagi dia sedar.

Cik Cut gelak.

Empat jam kami borak tak berenti.

PS: Lepas borak ni kepala aku terus migrain.



Followers