Sunday, September 7, 2014

Dua Pemuda

Raya kedua mak mengajak kami jalan-jalan raya di rumah saudara-mara di kampung-kampung sekitar. Kami pergi bawa dua buah kereta.

Kak Jen macam biasa mesti naik kereta aku. Co pilot konon. Mak dan adik bongsu kami, Jasmin dan dua orang anak sedara kami pun naik kereta aku. Kak Uda aku lakibini serta anak-anak dia naik kereta dia orang.

Bestnya beraya di kampung masa musim buah ini, ada aje rumah yang hidang buah-buahan. Kak Jen makan macam orang yang tak jumpa makanan sepuluh hari. Nonstop. Beberapa kali juga aku terpaksa bagi amaran dan mengingatkan dia peristiwa ngeri raya tahun lepas di mana dia termuntah dan mabuk dalam kereta aku kerana food overdose. Tapi, macam biasa, manalah dia nak dengar nasihat aku ni.

Rumah terakhir yang kami kunjungi, rumah adik arwah ayah, iaitu mak cik kesayangan kami. Sampai malam di situ. Puas juga aku memberi isyarat berdehem pada emak mengingatkan hari makin larut malam. Mak pulak sengaja buat muka blur sambil terus menerus bercerita demi cerita pada kakak-kakak sepupu aku. Cerita-cerita sama yang setiap tahun diulang tayang. Yang aku hairankan makin diulang cerita itu, makin teruja pulak dia orang mendengarnya.

Oleh kerana tidak tahan lagi, aku mengumpulkan seorang demi seorang anak sedara aku. Ada yang sudah terkelepet tidur depan TV. Ada yang sibuk main bunga api. Ada juga yang main kejar-kejar. Setelah siap dikumpulkan, kami bersalam dengan saudara-mara. Aku cepat-cepat beritahu mak yang kami nak balik sekarang. Siapa lambat kena tinggal. Barulah mak terkocoh-kocoh bersalam sambil menyalahkan aku pada kakak-kakak sepupuku mengatakan aku yang sibuk nak balik sangat. Aku sengih ajelah.

Anak sedara semua melompat naik kereta aku. Termasuklah anak-anak Kak Uda. Mak hanya mampu geleng kepala. Mak dan Jasmin terpaksa naik kereta Kak Uda.

Keadaan jalan kampung yang berlubang sana-sini, kecil dan gelap tidak menghalang anak-anak sedara aku di tempat duduk belakang berpesta sakan. Terjerit-jerit menyanyi, berjoget dan bergurau senda. Aku dan Kak Jen sakit hati betul. Memang selalunya kita orang akan menyanyi sakan bersama-sama. Tapi ini dah malam. Budak-budak ni bukannya faham satu apa pun. Aku berdoa banyak kali moga perjalanan kami selamat. Kalau ditegur pulak sekejap aje diamnya. Menambah sakit hati. 

Keadaan gelap diluar dengan kereta yang lain yang berselisih memancar lampu tinggi masing-masing menyilaukan biji mata aku. Dia orang ini tak ada common sense nak low lampu bila berselisih. Mujur kereta kecil aku tak terbabas.

Tiba-tiba Kak Jen menutup radio. Dia mula mengaji. Satu demi satu surah-surah pendek di bacanya. Aku hairan juga. Anak-anak sedara yang berpesta tadi mula ikut mengaji sama.

Bila membaca ayat kursi, Kak Jen menjelaskan bahawa syaitan boleh ikut baca ayat Al-Quran tapi ayat terakhir dalam ayat kursi ini boleh buat syaitan terbakar. Entah betul entah tidak penjelasan Kak Jen.

Perjalanan pun belum lagi sampai-sampai. Terasa amat jauh. Aku sedikit hairan.

Kak Jen mula bercerita, anak-anak sedara di belakang senyap sunyi. Cerita Kak Jen berbunyi begini:

" Di dalam hutan yang tebal, tinggal seorang pemuda. Pemuda itu berpakaian compang camping. Dia tinggal seorang diri...." 

Aku yang dengar ini mula terasa bulu roma naik. Bila aku jeling cermin pandang belakang, anak-anak sedara mula duduk rapat-rapat. Nada suara Kak Jen memang seram.

" Di suatu malam yang gelap. Datang seorang pemuda asing ingin tumpang bermalam di rumah pemuda itu. Pemuda itu mengizinkannya. Malam itu pemuda itu mengaji. Apabila pemuda asing itu mendengar dia mengaji, maka pemuda itu turut mengaji bersama-sama...."

Aku mula terasa lain macam cerita Kak Jen ini.

" Mereka mengaji dan mengaji sepanjang malam. Pemuda itupun membaca ayat kursi. Pemuda asing itu turut membacanya..."

Kak Jen mula mengalunkan ayat kursi dalam nada paling sayu. Boleh menitis air mata kalau dengar.

" Bila baca sampai ayat terakhir maka pemuda asing itupun terBAKAR... Maka persoalannya siapakah pemuda asing itu?".

Masa itu seorang pun tak jawab. Senyap sunyi. Menunggu Kak Jen.

" Siapakah pemuda asing itu?" Soal Kak Jen lagi.

Masih senyap. Lama.

" Boleh tak kalau jawab dalam ejaan jawi?" Tiba-tiba salah seorang anak sedara lelaki aku yang darjah tiga itu bersuara. Punyalah penakut.

" Boleh!" Kata Kak Jen.

" Sim... Ya... Tho.. Alif... Nun" Jawabnya dalam nada tersekat-sekat. Yang lain-lain hanya mampu mengangguk.

" Betul!" Jawab Kak Jen dan kami saling bertukar pandang,menahan senyum.

Sampai sahaja di rumah kampung kami, anak-anak sedara tertib turun dari kereta. Mak Ayah dia orang pun naik hairan.

Aku dan Kak Jen tidur lena malam itu. Sekian.

PS: Sehari lepas itu anak-anak sedara nakal balik. Aku dan Kak Jen masih tak jemu-jemu cuba mendidik mereka dengan cara kami dan dalam masa yang sama mendidik diri kami ini juga.




2 comments:

  1. haha menarik sangat cara nak didik kanak-kanak. asalkan berhikmah dan tak terkeluar dari landasan akidah, jalan je. :)

    ReplyDelete

Followers