Tuesday, July 8, 2014

Tiga Suku

Dia hebat. Dia menjengkelkan. Dia kakak aku.

Kesimpulannya, lepak dengan Kak Jen memang terbaik.

Kak Jen adalah insan yang menerima perangai tiga suku aku tanpa mempersoalkannya. Dia bukan sahaja menerima, malah dia akan sama naik. Kemudian kami akan gelak sama-sama.

Beberapa bulan lepas, aku beli earphone berharga RM15. Malangnya, tidak sampai sebulan earphone tersebut telah memberikan telinga aku kejutan elektrik ketika sedang streaming movie ataupun melayan channel youtube kegemaranku.

Bertambang malang lagi, seminggu yang lepas, hayat earphone itu cuma tinggal separuh apabila hanya sebelah sahaja masih baik fungsinya, sebelah lagi tiada bernada.

"Earphone penting wooo..."

Aku dan Kak Jen meronda di beberapa buah medan beli belah kos sederhana untuk mencari barang keperluan raya keluarga kami. Apabila ada orang jual aksesori komputer atau telekomunikasi, aku pasti akan singgah untuk mencari earphone baru. Kebanyakkan pilihan yang ada semuanya jenis kalau sebulan dua di gunakan oleh wanita selasak aku, akan putus talinya. Harganya pula tak padan dengan barang. Bak kata mat saleh, 'overprice'. 

Kak Jen memujuk aku dengan menyuruh aku ambil sahaja earphonenya sebelum aku menerangkan bahawasanya earphone dia juga telah alami nasib yang sama seperti earphone aku. ROSAK.

Kami menaiki lift yang dipenuhi warga kota yang sama sibuk membeli  persiapan raya. Suasana dalam lift, senyap. Semua orang sedang berfikir atau sedang mengelamun agaknya.

" Kita turun tingkat berapa?" Tanya Kak Jen pada aku tiba-tiba.

" G!" balas aku ringkas.

" Bukan LG ke? LG ni apa maksud dia?" Tanya Kak Jen lagi sambil menunjuk butang lift.

" LG ni maksud dia Lower Ground. Bawah tanah. Ada zombie." Aku beritahu bersungguh-sungguh. Kak Jen angguk mengiyakan dengan muka serius. Macam betul sahaja lagak kami.

Kemudian aku bersandar di bahu Kak Jen dan buat bunyi menangis teresak-esak. Memang sengaja. Orang dalam lift mula terpana-pana sesama sendiri.

" Sedih betul...Nak beli earphone pun tak dapat..." Aku teresak di bahu Kak Jen. Kak Jen cuba menahan tawanya.

" Kenapa tu?" Tanya entah siapa di dalam lift, simpati.

" Dia sedih sangat ni sebab nak beli earphone tak dapat." Kak Jen beritahu orang itu sambil menggosok bahu aku, kononya cuba menenangkan.

Aku masih buat bunyi teresak-esak sambil berusaha menahan ketawa. Kak Jen pun sama. Orang yang bertanya mengangguk-angguk. Lepas itu aku angkat muka, berdiri tegak tanpa setitis air mata dan buat muka biasa. Masa itulah gelak Kak Jen pecah.

Orang lain yang berada dalam lift ada yang hendak ketawa. Ada juga yang buat tak tahu sahaja. Rugilah kalau tak ambil itu sebagai bahan gelak.

Selamat berpuasa. 

PS: Akhirnya aku beli earphone baru di Tesco. Warna merah. Puas hati aku. 







1 comment:

  1. haha yang baca ni pun ketawa, kalau ada sekali mesti pecah perut ketawa. sumpah lawak dan berani gila buat macam tu! :P

    ReplyDelete

Followers