Wednesday, June 26, 2013

Makwe Orang

Hidup aku ini selalu aje sorang-sorang. Pergi tengok wayang sorang-sorang. Makan KFC sorang-sorang. Pergi main game Dance-dance Revolution pun sorang-sorang. Tak sedih mana pun. Enjoy aje. Selain itu, banyak masa lapang aku adalah bersama keluarga. Rasa selamat dan bahagia.

Anis mengajak aku menyertai dia, Arin serta beberapa kawan lesbian lain untuk melakukan aktiviti riadah/berjimba di Sekitar Lembah Klang. Mestilah aku nak ikut. Nak jugak tahu apa aktiviti menarik diaorang ini.

Boleh tahan seronok. Layan futsal, riadah keliling tasik dan malamnya main snooker.

Tapi biasalah, kalau dah ramai-ramai lesbian ni, memang tak sah kalau tak ada drama. Salah seorang lesbian ni agak cute walaupun sedikit kasar orangnya. Aku namakan dia Su. Su bertudung dan mempunyai kerjaya yang agak cemerlang. Su berpasangan dengan pengkid yang lagi muda dari dia namanya Am. Am ni muka tak kacak. Tapi menurut Anis dan Arin, Am ada pasang ramai di belakang Su. Anis memang geram dengan cara Am melayan Su. Su pulak macam rela diperlakukan begitu. Jeng…Jeng…Jeng. Ini baru pendahuluaan tapi dah banyak drama di situ ya kawan-kawan.

Am pun join kami sekali, tapi Am kena balik awal sebab dia ada kelas. Su nak ikut Am balik. Tapi Am tak bagi. Katanya, bila-bila pun boleh jumpa. Sedangkan mereka jarang jumpa. Macam hendak tak hendak aje Su diperlakukan. Apalagi, tangkap nangislah makwe. Anis dah panas. Arin pun seram tengok Anis. Aku pula rasa bagus jugak bila Anis panas. Sebab, takdelah Am rasa tindakan dia tu betul. 

Akhirnya Am balik, dan Su ikut kami. Tapi masa tu semua orang dah bad mood. Kecuali aku yang cuba menceriakan keadaan dengan lawak-lawak gelap aku.

Arin ada sebut-sebut suruh aku usha Su. Biar padan muka Am. Aku cakap, tidak sesekali! Bila Arin tanya kenapa, aku jawab terus-terang. Su tu tengah cinta setengah mati dengan pengkid dia. Pengkid dia buatlah apa sahaja. Dia tetap sayang + buta + bodoh. 

Aku pula suka perempuan yang pandai, yang senang dengan aku, selesa dengan famili. Boleh aku bawa lepak dengan famili aku dan aku lepak dengan famili dia. Perempuan yang berdikari. Lagipun cinta ni bukan boleh paksa-paksa. Tiba-tiba aje pulak aku ngorat Su. Apa kes? Arin dah gelak, sempat jugak dia cakap aku poyo.

Beberapa hari selepas itu, Anis pula bagitahu aku. Kawan-kawan lesbian lain juga setuju sangat-sangat kalau aku usha si Su. Aku gelak. Gelak kuat-kuat. Kalau kucing-kucing Anis boleh gelak, diaorang pun akan gelak sekali. Betul-betul diaorang ni nak kenenkan aku dengan Su. Maaf Su. Anda baik, cuma aku belum terdesak lagi rasanya.

Oh, lelaki untuk aku, cepat sikit datang boleh tak?

CORETAN PENTING : Masa kami main snooker di tempat yang tak berapa elok untuk muslimah pergi, ada sekumpulan Nigga, lelaki dan perempuan tengah melepak minum air haram sambil berpoya-poya. Perempuan Nigga boleh tahan hot. Lelakinya pula sedang-sedang sahaja. 

Sedang asyik terbongkok-bongkok menggayakan snooker cue aku dengan 100% kekok, salah seorang lelaki Nigga ini cuba mengajar aku. Mula-mula pegang tangan. Lepas dia tengok aku on aje, dia cuba peluk pulak dari belakang. Jadahnya?

Keluarlah buah-buah bahasa mat saleh yang entah dari mana aku tahu. Aku memintanya jangan sentuh aku. Dia berkeras, alasannya nak mengajar. Ini sudah lebih. Maka aku membebel di situ padanya. Mengajar satu hal, yang nak memeluk-meluk ni kenapa? Ajar ajelah. Peluk bukan boleh pandai pun. Terima kasih ajar tapi tidak pada peluk. Aku memberikan sinar mata yang serius pada lelaki Nigga itu. Mungkin dia puas hati sebab kata-kata aku tidaklah sampai nak memalukan dia, dia berlalu. 

Kalau ikutkanlah, memang dia akan makan penampar dekat situ. Tapi salah aku jugak sebab pergi berjimba di tempat tidak elok untuk muslimah itu. Pengajarannya, kalau nak main snooker. Ajak suami. Kalau tak ada suami, jangan main kat situ. Main benda lain, main hoki ke.


PS: Aku yang pakai macam jantan ni rupanya masih dikira seksi di mata lelaki jalang.



Gambar gif di atas tidak relevan dengan cerita.

Sunday, June 23, 2013

Menabung yang Sempoi. Ka-Ching!

Ramai pulak rakan sekerja yang bertanya aku bagaimana hendak menabung. Bagaimana hendak simpan duit. Apakah mereka ingat aku ni kaki simpan duit ke? Atau mereka menilai aku ini makan gaji, tapi gaya aku yang sempoi dan  selalu kelihatan papa kedana ini membuatkan mereka rasa aku ada beribu ringgit dalam bank. Mereka salah. Aku pun sama pokai.

Tapi sebagai pihak yang diminta nasihat, maka aku berikan.Ka-ching!

Cara pertama nak menabung, kau kenalah ada tabung. Pergi beli tabung yang super cantik dekat kedai. Tabung cantik ini penting untuk menghiburkan hati sendiri. Harga tak sampai pun RM10 ringgit. Atau minta sahaja kawan kau hadiahkan. Jangan sesekali songlap tabung adik kau dan duit simpanan dia ( Kak Jen selalu buat ni masa aku kecik, ciskek! )

Sebagai pemanas badan, kau pergi kemas rumah kau. Sapu sampah. Kalau yang pakai vakum, pakailah vakum. Semua duit syiling yang kau jumpa masa mengemas kau tibai aje sambil berkata kuat-kuat.

 “ Woi! Aku jumpa syiling ni, aku ambik. Halalkan!”

Lalu duit itu semua kau masuk dalam tabung itu sebagai pemulaan. Amaran juga di sini, janganlah pula kau seluk poket seluar ayah kau, ambik duit-duit dalam poket dia masuk dalam tabung kau.
Pastikan tabung itu jenis susah nak dikorek.

Letak tabung itu ditempat yang selamat dan senang nak masuk duit setiap kali nampak tabung itu. Kalau yang berkongsi bilik, eloklah letak dalam almari. Takut kena cilok pulak. Jangan percayakan sesiapa. Aku ada aje pengalaman pahit tabung duit aku tinggal beberapa keping duit syiling aje, duit lain zero. Setahun punya simpanan lesap. Tak logik betul. Apa lagi, satu rumah sewa aku angkut pergi balai. Marah tu.

Seterusnya, hal yang paling payah. Nak masuk duit dalam itu. Kau kena keraskan hati. Asalkan ada duit syiling, sumbat aje. Jangan dilupa wang kertas seringgit dan lain-lain.

Ada masanya kau sengkek, memang kau ada aje rasa nak korek tabung itu. Kalau terdesak, terpaksa, memang kena korek jugak. Tapi dengan syarat, ganti semula di lain masa, dan kena ganti lebih sikit sebagai denda pada diri sendiri.

Setiap minggu kena budget duit belanja. Amalkan memberi duit belanja pada diri sendiri mengikut budget.  Contohnya RM50 untuk seminggu. Kalau boleh jangan terlebih budget. Kalau masih ada baki belanja tu, apalagi, sumbatlah dalam tabung.

Seterusnya, apabila tabung itu penuh. Silalah kira dan barulah simpan secara rasmi dalam bank. Atau, lagi bagus duit-duit dalam tabung itu kau bagi sedekah masa raya pada anak-anak sedara dan anak-anak jiran. Barulah tujuan hidup sempurna. Barulah kau rasa syok.

Yang paling penting, kenalah kurangkan gaya hidup bermewah-mewah. Kena ada rasa bersalah kalau kau makan pakai mewah dan membazir, sedangkan bersepah lagi orang yang makan ulat aje untuk hidup. Tak ada bantal selimut nak tidur.  Sederhana sudah.

Ini tidak, gaji ciput. Kereta nak beli yang besar bagak. Makan mesti kat restoren mahal-mahal. Shopping online itu ini. Melancong setiap bulan. Sesiapa yang bergaji besar pun sama. Sederhana sudah. Ada duit lebih, sedekah kan lagi baik. Andai yang punya anak-anak, ajar mereka bersederhana. Jangan tabur kemewahan. Tolonglah kawan.

Aku cakap memang senanglah. Pasal aku memang biasa hidup susah dari kecik. Pasal aku memang tak suka sangat terasa mewah ini. Sampai bila terasa mewah sikit aku jadi kekok. Cukup andai terasa cukup. Paling penting emak rasa happy. Adik-beradik dalam perhatian. Kerja pulak mesti ikhlas.

Kepada bakal kekasih hati saya. Nasib kamulah. Kita kerja kuat dan kita memang akan hidup sempoi sahaja.


PS: Petua ini telah pun dibincangkan dengan rakan sekerja dan sebenarnya aku selalu aje pokai. Aku ok.

Friday, June 14, 2013

Jaha si Hotstuff

Ini masanya… Untuk aku berkata… Baju raya tahun ini dah hantar pada tukang jahit. Yaho!!

Ya, aku tahu raya lambat lagi dan puasa belum lagi, judge me.

Kepada para pengkid yang sibuk menempah baju melayu atau baju yang ala-ala macho, aku ucapkan so yesterday! Pengkid yang pakai baju kurung trend tahun ini. Fikir-fikirkan.

Tahun ini, baju raya kami adik-beradik perempuan yang masih bujang disponsor oleh adik lelaki aku, Jaha. Baik budak Jaha ni, walau muka tidaklah sekacak Remy Ishak. Sehingga post ini ditulis, Jaha adalah cikgu sandaran di sebuah sekolah menengah. Dia juga telah lulus temuduga sebagai cikgu sepenuh masa. Posting di mana tak tahu lagi. Tahniah Jaha. Secara rasminya kau adalah hotstuff di kampung kita.

Dah besar budak Jaha ni. Kejap sahaja. Rasanya baru semalam aku tangan-tangankan dia sebab malas belajar. Rasanya baru semalam juga dia tanya aku sama ada nak ikut cakap arwah ayah suruh jadi cikgu, atau nak ikut keinginan dia nak jadi askar. Masa itu aku beri nasihat, eloklah dia dengar nasihat arwah ayah, sebab dia tak cukup rebel macam aku dan Kak Jen untuk berdepan dengan leteran arwah ayah.

Hari itu, sambil aku tolong emak siang ikan dan potong ayam, kami buka kisah-kisah lama. Aku bagitahu emak, masa emak melahirkan Jaha tu, aku ada tengok. Terkejut emak. Aku pun sama terkejut pasal emak terkejut. Sedangkan cerita ini dah jadi lagenda dalam famili. Mana mungkin emak tak pernah dengar. Atau emak lupa. Emak ingat aku berlawak, siap emak cakap aku tipu.

Maka, aku mengemukakan beberapa fakta kelahiran Jaha pada emak.

Umur aku tujuh tahun masa tu.

Jaha lahir masa malam atau nak subuh agaknya. Masa Jaha nak dilahirkan. Hujan rebut petir bukan main kuat lagi. Aku yang tengah tidur terjaga mendengar suasana kecoh di bilik emak.

Puas aku kejutkan kakak-kakak aku bangun. Tak dilayan. Sah, tidur mati.

Aku bersila depan pintu bilik emak yang berkunci. Sambil itu telinga aku pekup ke pintu. Aku yakin beberapa jiran dan Puan Misi sedang bertungkus-lumus membantu emak melahirkan adik aku.

PAP! Lampu pulak padam. Elektrik tak ada. Hujan kat luar makin lebat. Pintu bilik dibuka luas. Jiran sebelah rumah yang aku panggil Tok memandang aku dalam gelap. Sesekali petir menyambar. Ngeri!

Tok menyuruh aku mencari pelita. Aku melompat ke dapur. Dalam gelap itu aku mengagau mencari pelita yang dibuat menggunakan tin susu tepung. Aku isi penuh dengan minyak gas. Aku berikan pada Tok. Tok masuk dalam bilik, dan membuat isyarat supaya aku tunggu di luar. Tak sampai seminit lepas tu Tok suruh aku masuk pulak. Apahal…

Aku disuruh mengawal api pelita daripada ditiup angin. Angin kuat dari luar rumah sesekali masuk melalui lubang-lubang kecil di dinding kayu. Tangan kecik aku mengepung api pelita, masa itu pelita itu dah membakar seluruh atas tin, maklumlah masa aku letak minyak gas tadi terketar-ketar. Penuh sisa minyak sahaja atas penutup pelita.

Diterangi api pelita yang marak, sesekali aku pandang emak yang terbaring atas tilam (tiada katil) dikelilingi Puan Misi dan jiran-jiran. Aku tengok emak macam cool aje. Cepat-cepat Tok menyuruh aku jangan pandang. Aku angguk, tapi aku curi-curi jugak pandang sikit-sikit.

Lama jugak aku menunggu. Aku pun naik mengantuk. Makin samar pandangan mata. Tapi api pelita tetap aku jaga. Entah bila, adik aku pun lahir. Aku yang teruja hendak melompat ke arah emak. Melihat keadaan itu, segera aku dihalau keluar oleh Tok. Kurang asam betul.

Setiap hari, balik sekolah aku akan cium dahi adik seratus kali. Kata orang kalau cium dahi selalu nanti adik akan pandai. Mitos betul.

Aku ingat Puan Misi pesan, mak jangan mengandung lagi. Emak dah tua, 40an dah. Tak baik untuk kesihatan. Mak ada darah tinggi.

Tapi mak aku mengandung lagi setahun lepas tu. Akibatnya, pertama kali ada adik-beradik kami yang lahir di hospital. Rahmat juga, kalau tidak mana nak dapat adik bongsu aku si heroin cerita tamil tu.

Mak akur dengan fakta-fakta yang aku bagi.


Dan hari itu kami masak, Ayam Masak Kicap. Jaha makan 3 pinggan.




PS : Aku tak tahu apa rupanya kain baju kurung tahun ini, aku tak sempat tengok pun. Ah! belasah aje.

Wednesday, June 12, 2013

Ciuman Pertama dan lain-lain...

Miang betul tajuk post kali ini. Tapi aku kena akur, aku kadang-kala miang.

Aku tidak pernah cium lelaki bukan muhrim. Laga pipi dulu ada, tapi dengan lelaki lembut sahaja. Jadi jelas di sini ciuman pertama aku adalah dengan anak dara orang.

Masa itu aku baru aje tingkatan empat. Anak dara orang itu pula adalah girlfriend pertama aku Syakilla. Dia pulak baru aje tingkatan dua. Andai aku dan Syakilla berdiri sebelah menyebelah orang tetap akan mengatakan aku baru aje tingkatan satu. Aku kecik molek. Syakilla tinggi, macam dah tingkatan lima.

Ciuman pertama aku macam ciuman drama Korea. Plain aje. Jangan korang bayangkan macam ciuman Megan fox dengan Amanda Seyfried pulak. I wish...Duh!

Manalah budak tingkatan empat macam aku ni tahu nak cium orang. Aku yang cium Syakilla dulu. Dia tak tolak, melawan pun tidak. Aku boleh dengar degup jantung dia. Sama macam dia boleh rasa tangan aku menggeletar.

Ciuman kedua pula berlansung selepas 10 minit selepas ciuman pertama. Gara-gara tak puas hati dengan ciuman pertama. Miang di situ.

Ciuman terakhir aku, dengan Honey. Masa itu kami dah putus pun. Lebih kurang dua bulan lepas putus dia datang cari aku, mungkin nak tahu hati dia sendiri. Aku cium dia. Sebab nak tau hati dia. Dia tak balas, melawan pun tidak. Sangat kering dan kosong. Aku dapat rasa jiwa itu bukan aku yang punya lagi.

Bertahun-tahun selepas itu, ada aje aku cium orang, hanya di pipi. Ada jugak sampai hampir nak terlajak-lajak, sebab ada yang merelakan. Tapi entah, tak pernah boleh. Mungkin Honey dah sumpah, ciuman terakhir itu hanya milik dia agaknya. Macam cerita dongenglah konon. Mungkin juga hati miang aku nak, tapi badan dan jiwa aku kata tidak mahu. Atau perempuan yang aku hampir terlajak itu, mak dia dah letak pendinding. Misteri betul.

Entah siapalah yang akan jadi only exception itu ya. Ngeri pulak aku nak memikirkan.

Kadang-kala aku rasa aku dah lupa macam-mana nak cium. Hah!…What?

Dan kamu tu, jangan nak pergi testing cium siapa-siapa pulak lepas ni. Bawa bertenang dan baca komik. Cium emak sudah. Sekian.

Followers