Thursday, September 27, 2012

Bukan Tutorial

Malam tadi aku ingat nak buat tutorial cara-cara buat gif guna Adobe Photoshop. Tapi entah kenapa ia jadi leceh. Mungkin aku mengantuk, penat atau malas...

Ini yang aku buat.




Wednesday, September 26, 2012

Geng Enam


Aku bukanlah si bijak pandai. Minda aku sederhana sahaja. Jadi aku jarang mahu melibatkan diri dalam perbincangan terlalu intelektual.

Bini bos sama umur dengan aku. Bos pun lebih kurang sebaya aku juga. Jelita orangnya. Lahir di negeri mat saleh dan merupakan seorang yang berpelajaran tinggi. Sepadanlah dengan bos yang agak kacak dan lulusan luar negara. Bila mereka berbual-bual dengan aku selalunya ada sahaja topik intelektual diselitkan.

Di suatu tengah hari aku sedang aku melaksanakan kerja bersama bini bos. Tiba-tiba dia bersuara.

“ Jo…I dah tengok video geng enam tu. Tak ada yang menarik pun. Entah apa yang bestnya. I tunjuk dekat anak I, tapi dia lagi suka tengok video Upin Ipin.”

Aku pandang bini bos dengan mata terkelip-kelip. Riak wajahnya selamba. Video geng enam? Apakah itu?

Entah kenapa berat pulak mulut aku nak bertanya pada bini bos. Selalunya kalau aku tak pasti atau tak tahu, cepat aje aku nak tanya. Aku senyum aje memandang dia, sambil terangguk-angguk dan meneruskan kerja.

Perkataan 'video geng enam' masih lagi berlegar-legar di kepala. Lalu apabila aku kembali duduk di depan computer, segera aku google perkataan ‘video geng enam’. Yang keluar pasal Enam Jahanam, cerita P.Ramlee . Aku google pulak dalam bahasa mat saleh, ’video gang six’ …Yang keluar pasal gang rape. Wuish… Internet ni pantang di usik sikit, kelain pulak dia. Tergeliat sekejap minda sederhana aku ni.

Pencarian aku memakan masa beberapa hari. Entah macam mana aku teringat satu ‘perkataan’.  Aku senyum. Senyum di atas kesederhanaan minda dan ketidak pekaan aku dengan cara sebutan bini bos.

Aku taip ‘perkataan’ itu dekat google translate, kemudian dengar apa google translate sebut.

“Geng Enam”

Suara mat saleh google translate bergema di earphone aku.

Ya memang betul tindakan aku…aku taip perkataan Gangnam.

Minda aku sederhana, bini bos dengan slang mat saleh dia.

Thursday, September 20, 2012

Pengkid dan Body Figure


Amaran : Post ini mengandungi bahasa dan cerita yang tidak sesuai untuk lelaki dan sesiapa yang tidak matang fikirannya.

Setiap minggu ada sahaja kenduri kahwin yang aku kena pergi. Penutupnya bila aku dan adik beradik kena menghadiri kenduri sepupu aku sebelah family emak. Kami adik beradik lebih rapat dengan sepupu sebelah ayah kalau nak dibandingkan dengan sepupu sebelah emak. Maklumlah arwah ayah asyik bawa kami jumpa family dia berbanding family emak. Bila dah besar, memang tak boleh nak rapat dah. Sepupu aku sebelah emak ramai, kalau di hitung dengan jari kaki dan tangan dan di gandakan masih tak cukup. Sepupu aku ada pelbagai ragam dan fizikal. Cantik, chubby, handsome.Pengkid pun ada. Siap dengan partner dan ada anak angkat lagi tu. Advance betul.

Malam itu aku menunjukkan pada emak gambar-gambar masa majlis kenduri. Emak aku dan kakak tergelak sakan melihat gelagat saudara mara. Emak juga jelaskan tentang beberapa mak cik dan pak cik yang aku tak kenal sangat.

Entah macam mana masa kami tengah layan TV. Mak aku bersuara.

Emak : Zai tu… Tetek dia, dia buang ke? *mak merujuk kepada sepupuku Zaidatul, si pengkid paling soft spoken dan sopan santun pernah aku jumpa*

Kak Jen : Ish…Mana ada mak, dia lilit-lilit tetek dia tu macam pakai bengkung.

Jo : Sekarang dah tak pakai bengkung kot, pakai binder aje. Dia pakai binder agaknya tu. Tetek mana boleh buang suka-suka mak.

Emak : Hmmm…

Jo : Yang mak tanya anak orang ni, anak emak ni mak rasa macam mana? *aku posing depan mak*

Emak : Kau tu mengada-ngada. Kejap jadi jantan kejap jadi betina.

Jo : Hahaha!…Habis tu nak macam mana sekarang mak?

Emak : Beringatlah, tak terima dek tanah nanti.

Jo : Tak diterima Tuhan lebih tepat. Tapi orang baik kan Mak? Mak redha tak dengan orang ni? Ampunkan tak? *aku cepat peluk mak kuat-kuat, takut beb bila mak cakap macam tu*

Ikut pengalaman aku, pengkid cukup tak selesa bila bicara pasal body figure. Terutamanya bab tetek. Aku ada kenal sorang pengkid yang baru nak naik ni, dia cukup bengang bila aku sengaja usik dia dengan satu ayat.

“ Kau ni nak jadi pengkid dik, tapi tetek kau lagi besar dari tetek awek kau.”

Ayat yang hampir buat aku kena penerajang.

Anis pulak pernah cakap, bila dia pelik tengok aku selamba salin baju depan dia.
“ Jo selamba ya. Kalau Arin ni seboleh-bolehnya dia nak sorok tetek dia. Dia tak kan nak tayang macam ni la. Kalau boleh dia nak kecik lagi. Dia macam tak suka tetek dia.”

Lepas tu tak adalah aku nak pergi selidik sama ada Arin pakai bengkung ke tidak. Muka Arin memang jantan habis, ada kumis nipis lagi walaupun rambut dia paras bahu. Bab badan, tetap ada nampak girl shape tu sikit-sikit.

Pengkid biasanya akan cuba pakai baju longgar supaya girl shape tu tak nampak sangat. Ramai yang pakai bengkung. Ramai juga yang dah semula jadi small cup. Aku sendiri lagi selesa pakai baju longgar sampailah sekarang.

Yang tak nampak shape nya, si Bond, bestfriend aku tu. Tinggi kurus aje macam tu. Kuat makan. Tapi tak gemuk jugak. Boleh tahan macho si Bond ni. Ada sekali tu aku melawak dengan Bond.

Jo : Kau ni makin flat aje aku tengok. Mana pergi tuuuu. *Aku tunjuk dada dia*

Bond : Aku punya memang keciklah dari dulu, lagipun aku kan kurus.

Lepas tu Bond cerita pasal binder yang dia beli secara online. Mahal katanya. Dia cakap sekarang ni, kadang-kadang sport bra dia pun dia tak pakai dah. Pakai binder aje. Patutlah aku tengok dia selamba aje masuk toilet lelaki. Ternganga kejap mulut aku masa tu. Dia cakap kalau masuk toilet perempuan mesti kena halau, sebab tu dia malas nak fikir-fikir dah, lebih baik dia masuk toilet lelaki. Aku rasa nak tabik kat dia pun ada. Rasa nak geleng kepala pun ada.

Sepanjang aku membesar dulu aku memang kurus. Kurus pendek. Masa sekolah, masuk sukan berpasukan sana sini. Masuk kawad lagi. Bila kerja, asyik buat kerja kasar aje. Setakat angkat kotak 20 kilo apalah sangat masa tu. Kalau sekarang ni memang tak laratlah. Hormon perempuan aku mungkin dah merajuk masa tu.

Bila dah tak kerja berat, berat badan pulak yang bertambah-tambah. Semualah nak naik masa tu. Aku biar ajelah. Biar ada shape girl sikit. Makan lagi banyak. Cuma sekarang ni kena beringat sikit bila perut dah bertambah gendut. Kenalah bersenam untuk kesihatan juga.

Aku bersyukur juga yang sepanjang masa aku membesar sampailah sekarang, aku tak pernah terfikir nak bengkung-bengkungkan dada aku ni. Walaupun tak se blossom Christina Hendrick tu, aku selesa dengan apa yang aku ada. Sederhana je macam gadis asia tenggara. Kak Jen lainlah… Pernah sekali tu kita orang saja-saja pakai dress dinner adik bongsu, sambil posing depan cermin. Aku memang tak padan lansung. Bila Kak Jen pakai pulak, mak aih! Genit habis. Terserlah girl shape dia. Kalah adik bongsu kami.

Kepada cik pengkid semua, ikut koranglah nak bengkung atau nak pakai binder. Tak ada salahnya. Tak ada yang melarang pun. Bukan buat jenayah. Tapi, kalau asyik berbengkung sampai sendiri sakit, nak buat apa. Bak kata mak aku, beringatlah…

P/S : aku terpaksa ber posing sakan sempena post ni


Wednesday, September 12, 2012

Show Off


Sedang aku sibuk bekerja, Honey call aku. Ajak aku pergi majlis kenduri kahwin abang dia. What the… Kenapa pulak nak ajak aku. Aku tertanya dalam hati. Lalu aku minta dia SMS kan alamat dewan. Tak berapa lama lepas tu aku terima SMS alamat, sempat juga dia SMS. Kalau aku datang, jangan lupa angpau untuk baby dan umminya sekali. Ya…Honey dah selamat melahirkan, lebih kurang dah tiga bulan. Jadi aku tahu yang dia sengaja nak show off baby dia kat aku. Aku rasa sedikit sakit hati.

Asalnya aku tak nak pergi, tapi setelah berfikir. Aku patut pergi juga. Selalunya aku akan ajak Kak Jen atau Bond bila ada hal berkaitan dengan Honey, tapi kali ni aku ajak lelaki. Aku ajak Naruto. Sengaja.

Aku trick Naruto sikit. Dalam kereta waktu nak pergi, baru aku jelaskan serba sedikit pada Naruto bahawa kami pergi kenduri pengantin lelaki yang aku pernah ada history dengan adik perempuan dia. Aku minta maaf sebab macam gunakan dia pulak. Dia angguk aje. Tak sure aku sama ada dia tak kisah, marah atau apa.

Dekat dewan kenduri, family Honey yang memang mengenali aku agak terperanjat bila aku datang. Datang dengan lelaki pulak tu. Masing-masing ingatkan Naruto tu suami aku. Maklumlah aku suruh Naruto pakai baju sedondon warnanya dengan aku, memang sengaja. Aku hanya sengih, tapi aku jelaskan pada mereka Naruto ni kawan aku.

Kelibat Honey, Mr Honey dan baby mereka entah di mana. Sedang aku tercari-cari, Honey muncul dengan baby lelakinya yang cute. Lemah kaki aku dibuatnya. Muka Honey berseri-seri dan nampak bahagia sangat. Honey tanya aku datang dengan siapa, mana Kak Jen… Aku terus tunjuk aku datang Naruto yang tengah sibuk bersalaman dengan bapak Honey. Honey nampak terkejut, tak pernah aku buat datang dengan lelaki, malah dia tak pernah tengok aku dengan mana-mana lelaki pun.

Masa makan, sengaja pulak aku bersuap-suap dan ketawa manja dengan Naruto. Aku tak surelah Honey nampak ke tidak, yang penting show must go on. Sesekali Honey datang kat meja kita orang dan borak pasal baby. Dia juga bagitahu yang Mr Honey hanya akan datang waktu petang sebab adik Mr Honey bertunang hari ini juga. Dia tak ikut sebab leceh nak bawa baby ke sana ke mari. Sekali lagi aku tak dapat jumpa empat mata dengan Mr Honey. Takdir. Masa tu ada juga aku terasa nak bawa baby tu lari. Aku kenalkan Naruto dan Honey.

“ Ini Encik Mohd N dan ini Puan Honey.” Ringkas, tak ada tanda pengenalan lain.

Bila aku berdua dengan Naruto, sempat aku berteka-teki yang mana satu adik pengantin lelaki yang aku ada history tu. Naruto jawab 'dia', merujuk kepada Honey. Aku tanya dia yakin tak dengan jawapan tu, dia hanya geleng kepada. Aku pulak tak bagi jawapan. Aku gelak aje.

Sebelum balik, aku bagi baby Honey angpau. Dalam angpau baby aku selit angpau untuk Honey. Ada nama dia pada angpau tu. Ringkas, macam tu aje.

Balik tu aku tengok movie dengan Naruto dalam panggung wayang yang ada cuma kami dan ada dua lagi pasangan lain. Aku mengantuk betul, tertidur kejap kat bahu Naruto.
Habis movie aku hantar Naruto balik. Aku cakap tekaan dia betul.

Aku tak tahu tindakan aku salah atau betul. Aku tak tahu apa pandangan Honey bila aku bawak lelaki jumpa dia. Yang aku tahu aku happy tengok Honey dan baby dia, bukannya aku tak pernah harap Honey yang ada baby dengan aku dulu…Kenangan dah semua tu.
Yang aku tahu, Naruto makin angau dengan aku. Ah! Kacau… Jom layan Kak Ziana


Tuesday, September 11, 2012

Beraya di Rumah Tok Dukun


Selamat Hari Raya Aidilfitri 2012 kepada seluruh umat Islam. Harapnya belum terlewat untuk aku buat ucapan itu. Raya pada tahun ini serba sederhana seperti selalu. Cuma tahun ini, raya ke tujuh ada majlis pertunangan salah seorang adik perempuan aku. Maka sekali lagi adik demi adik ‘langkah bendul’ aku dan Kak Jen. Liat betul jodoh kami ini.

Minggu seterusnya setelah kembali bekerja selama seminggu, aku dijemput ke kenduri kahwin kawan office. Kebetulan, kebanyakkan kawan-kawan lain masing-masing ada aktiviti sendiri. Jadi terpaksalah aku ajak Kak Jen untuk temankan aku ke kenduri kahwin ini. Kak Jen setuju, asalkan lepas kenduri ni aku kena ikut dia pergi beraya di rumah seorang ‘tok dukun’ yang telah lama dikenali oleh Kak Jen. Bukan sekali dua Kak Jen cuba ajak aku ke rumah tok dukun ini , tapi tak pernah berjaya. Ada sahaja alasan yang aku berikan. Kak Jen kenal dengan tok dukun ini masa dia masih bercinta hangat dengan ex girlfriend pertama dan terakhir dia. Keluarga ex girlfriend dia ni dah lama kenal dengan tok dukun ini.

Sebenarnya sebelum ini ada beberapa kali jugalah Kak Jen mendesak aku untuk ‘mandi bunga’ dengan tok dukun ni. Tapi tak pernah aku hiraukan. Kononnya nak naik kan seri muka, supaya ada lelaki yang sangkut dengan kami. Aku rasa bukan lelaki aje sangkut nanti, perempuan pun boleh sangkut jugak. Naya je.

Setelah dipujuk yang lebih kepada diugut oleh Kak Jen, maka aku terpaksa bersetuju untuk temankan Kak Jen beraya di rumah tok dukun. Menurut cerita Kak Jen, tok dukun ini mempunyai kepakaran yang agak dahsyat. Aku yang asalnya tidak berapa percaya, termakan juga sedikit sebanyak dengan cerita Kak Jen. Mana tidaknya, abang sulong aku juga pernah turut meminta bantuan tok dukun ini setelah dikenalkan oleh Kak Jen kerana teruk juga keluarga abang sulong aku itu disihir orang.

Setelah menghadiri rumah kenduri tengah hari itu, kami bertolak ke rumah tok dukun. Rumah tok dukun terletak di pinggir bandar. Rumah dia kecik aje. Rumah separuh batu, separuh kayu. Apabila aku dan Kak Jen sampai, kami dipelawa masuk. Tok dukun tersenyum simpul melihat Kak Jen yang biasanya bila datang berjumpa dia hanya berjeans, tshirt dan memakai topi. Hari ini Kak Jen memakai baju kurung lengkap bertudung shawl ala Hana Tajima. Aku pun pakai baju kurung dan bertudung. Maklumlah, baru balik dari rumah kenduri kahwin.

Menurut Kak Jen, tok dukun ni tahu perihal life silam pengkid aku dan Kak Jen. Sebab sebelum ini Kak Jen ada cerita serba sedikit pasal life kami. Kak Jen berubat dengan dukun ini sebab nak lupakan ex girlfriend dia. Teruk jugak merananya Kak Jen masa putus dengan ex girlfriend dia dulu.

Di ruang tamu sempit itu ada dua orang gadis,  anak menakan tok dukun yang agak chubby sedang menyiapkan assignment di depan laptop masing-masing. Aku dan Kak Jen bersalam-salam dengan anak menakan dia lalu duduk bersila di depan tok dukun yang duduk di atas kerusi.

Borak punya borak, dari topik cerita Hindustan yang sedang main di TV, sampailah ke topik ahli politik negara yang cuba mendapatkan nasihat tok dukun, sehingga isu budak-budak Uitm ramai yang murtad. Segelas air pun tak dihidangkan.Tekak aku makin kering. Anak menakan dia berdua tu asyik aje membuat assignment sambil sesekali tergelak bila tok dukun dan Kak Jen buat lawak-lawak santai mereka. Aku pula diam menyorok di belakang Kak Jen, dengan harapan tok dukun ini tak dapat ‘baca’ apa ada dalam hati aku.

Tiba-tiba seorang perempuan genit memberi salam dari luar lalu masuk ke dalam rumah. Anak tok dukun agaknya. Aku agak umurnya tua sedikit dari aku dan Kak Jen. Perempuan ini dengan lengang lenggoknya terus bersalam-salam dengan kami dan bersalam dengan tok dukun. Beberapa ciuman manja singgah ke pipi tok dukun. Apa kejadah anak dengan bapak macam ini punya mesra. Aku hampir mencarut ringan di dalam hati. Tapi mungkin ini cara mereka anak beranak agaknya. Aku cuba menghilangkan perasaan curiga.

Kak Jen yang seperti memahami air muka tidak puas hati aku sengaja berteka teki pada aku pasal perempuan tersebut. Aku kata kan, mungkin ini anak sulong tok dukun agaknya. Satu rumah ketawakan aku masa tu. Rupanya perempuan itu adalah isteri tok dukun. Mak aih! Memang dahsyat tok dukun ini. Aku mengakui di dalam hati.

Isteri tok dukun menghidangkan kami air kopi berserta kuih raya dan buah betik. Berulang kali tok dukun menegaskan buah betik itu ditanam sendiri. Setelah menikmati juadah itu, Kak Jen meminta tok dukun menolong dia mengubati penyakit sinusnya yang makin teruk setelah menggunakan minyak kelapa dara yang disyorkan oleh salah seorang kakak kami. Setelah tok dukun meminta aku dan Kak Jen membeli limau nipis dari kedai runcit berdekatan, Kak Jen dibawa ke bilik bertentangan dengan ruang tamu. Pintu bilik itu sengaja di buka luas-luas. Sempat jugak tok dukun menjeling aku, sambil berkata.

“ Kalau kamu nak berubat marilah masuk bilik sekali.”

Aku cepat-cepat menggelengkan kepala. Menolak dengan muka kecut. Penakut.

Selesai aje berubat, Kak Jen keluar dengan pernafasan yang kedengaran agak lega. Kalau tidak dari malam semalam hidung Kak Jen asyik tersumbat dan menghasilkan bunyi yang sungguh shitty sekali sehinggakan beberapa kali aku terjaga dari tidur.

Kami meminta izin untuk pulang setelah bertukar-tukar cerita dengan anak menakan tok dukun. Dalam perjalanan pulang Kak Jen bagitahu aku, kalau betul aku nak berubat, tok dukun nak tolong. Kata Kak Jen tok dukun ada cakap.

“ Adik kau tu, kalau aku ubatkan. Insya Allah jodoh dia lagi cepat dari kau.”

Kak Jen ketawa galak. Sinus dia dah lega agaknya mengilai macam tu. Aku pulak terkedu sendiri.

Followers