Wednesday, September 26, 2012

Geng Enam


Aku bukanlah si bijak pandai. Minda aku sederhana sahaja. Jadi aku jarang mahu melibatkan diri dalam perbincangan terlalu intelektual.

Bini bos sama umur dengan aku. Bos pun lebih kurang sebaya aku juga. Jelita orangnya. Lahir di negeri mat saleh dan merupakan seorang yang berpelajaran tinggi. Sepadanlah dengan bos yang agak kacak dan lulusan luar negara. Bila mereka berbual-bual dengan aku selalunya ada sahaja topik intelektual diselitkan.

Di suatu tengah hari aku sedang aku melaksanakan kerja bersama bini bos. Tiba-tiba dia bersuara.

“ Jo…I dah tengok video geng enam tu. Tak ada yang menarik pun. Entah apa yang bestnya. I tunjuk dekat anak I, tapi dia lagi suka tengok video Upin Ipin.”

Aku pandang bini bos dengan mata terkelip-kelip. Riak wajahnya selamba. Video geng enam? Apakah itu?

Entah kenapa berat pulak mulut aku nak bertanya pada bini bos. Selalunya kalau aku tak pasti atau tak tahu, cepat aje aku nak tanya. Aku senyum aje memandang dia, sambil terangguk-angguk dan meneruskan kerja.

Perkataan 'video geng enam' masih lagi berlegar-legar di kepala. Lalu apabila aku kembali duduk di depan computer, segera aku google perkataan ‘video geng enam’. Yang keluar pasal Enam Jahanam, cerita P.Ramlee . Aku google pulak dalam bahasa mat saleh, ’video gang six’ …Yang keluar pasal gang rape. Wuish… Internet ni pantang di usik sikit, kelain pulak dia. Tergeliat sekejap minda sederhana aku ni.

Pencarian aku memakan masa beberapa hari. Entah macam mana aku teringat satu ‘perkataan’.  Aku senyum. Senyum di atas kesederhanaan minda dan ketidak pekaan aku dengan cara sebutan bini bos.

Aku taip ‘perkataan’ itu dekat google translate, kemudian dengar apa google translate sebut.

“Geng Enam”

Suara mat saleh google translate bergema di earphone aku.

Ya memang betul tindakan aku…aku taip perkataan Gangnam.

Minda aku sederhana, bini bos dengan slang mat saleh dia.

No comments:

Post a Comment

Followers