Tuesday, September 11, 2012

Beraya di Rumah Tok Dukun


Selamat Hari Raya Aidilfitri 2012 kepada seluruh umat Islam. Harapnya belum terlewat untuk aku buat ucapan itu. Raya pada tahun ini serba sederhana seperti selalu. Cuma tahun ini, raya ke tujuh ada majlis pertunangan salah seorang adik perempuan aku. Maka sekali lagi adik demi adik ‘langkah bendul’ aku dan Kak Jen. Liat betul jodoh kami ini.

Minggu seterusnya setelah kembali bekerja selama seminggu, aku dijemput ke kenduri kahwin kawan office. Kebetulan, kebanyakkan kawan-kawan lain masing-masing ada aktiviti sendiri. Jadi terpaksalah aku ajak Kak Jen untuk temankan aku ke kenduri kahwin ini. Kak Jen setuju, asalkan lepas kenduri ni aku kena ikut dia pergi beraya di rumah seorang ‘tok dukun’ yang telah lama dikenali oleh Kak Jen. Bukan sekali dua Kak Jen cuba ajak aku ke rumah tok dukun ini , tapi tak pernah berjaya. Ada sahaja alasan yang aku berikan. Kak Jen kenal dengan tok dukun ini masa dia masih bercinta hangat dengan ex girlfriend pertama dan terakhir dia. Keluarga ex girlfriend dia ni dah lama kenal dengan tok dukun ini.

Sebenarnya sebelum ini ada beberapa kali jugalah Kak Jen mendesak aku untuk ‘mandi bunga’ dengan tok dukun ni. Tapi tak pernah aku hiraukan. Kononnya nak naik kan seri muka, supaya ada lelaki yang sangkut dengan kami. Aku rasa bukan lelaki aje sangkut nanti, perempuan pun boleh sangkut jugak. Naya je.

Setelah dipujuk yang lebih kepada diugut oleh Kak Jen, maka aku terpaksa bersetuju untuk temankan Kak Jen beraya di rumah tok dukun. Menurut cerita Kak Jen, tok dukun ini mempunyai kepakaran yang agak dahsyat. Aku yang asalnya tidak berapa percaya, termakan juga sedikit sebanyak dengan cerita Kak Jen. Mana tidaknya, abang sulong aku juga pernah turut meminta bantuan tok dukun ini setelah dikenalkan oleh Kak Jen kerana teruk juga keluarga abang sulong aku itu disihir orang.

Setelah menghadiri rumah kenduri tengah hari itu, kami bertolak ke rumah tok dukun. Rumah tok dukun terletak di pinggir bandar. Rumah dia kecik aje. Rumah separuh batu, separuh kayu. Apabila aku dan Kak Jen sampai, kami dipelawa masuk. Tok dukun tersenyum simpul melihat Kak Jen yang biasanya bila datang berjumpa dia hanya berjeans, tshirt dan memakai topi. Hari ini Kak Jen memakai baju kurung lengkap bertudung shawl ala Hana Tajima. Aku pun pakai baju kurung dan bertudung. Maklumlah, baru balik dari rumah kenduri kahwin.

Menurut Kak Jen, tok dukun ni tahu perihal life silam pengkid aku dan Kak Jen. Sebab sebelum ini Kak Jen ada cerita serba sedikit pasal life kami. Kak Jen berubat dengan dukun ini sebab nak lupakan ex girlfriend dia. Teruk jugak merananya Kak Jen masa putus dengan ex girlfriend dia dulu.

Di ruang tamu sempit itu ada dua orang gadis,  anak menakan tok dukun yang agak chubby sedang menyiapkan assignment di depan laptop masing-masing. Aku dan Kak Jen bersalam-salam dengan anak menakan dia lalu duduk bersila di depan tok dukun yang duduk di atas kerusi.

Borak punya borak, dari topik cerita Hindustan yang sedang main di TV, sampailah ke topik ahli politik negara yang cuba mendapatkan nasihat tok dukun, sehingga isu budak-budak Uitm ramai yang murtad. Segelas air pun tak dihidangkan.Tekak aku makin kering. Anak menakan dia berdua tu asyik aje membuat assignment sambil sesekali tergelak bila tok dukun dan Kak Jen buat lawak-lawak santai mereka. Aku pula diam menyorok di belakang Kak Jen, dengan harapan tok dukun ini tak dapat ‘baca’ apa ada dalam hati aku.

Tiba-tiba seorang perempuan genit memberi salam dari luar lalu masuk ke dalam rumah. Anak tok dukun agaknya. Aku agak umurnya tua sedikit dari aku dan Kak Jen. Perempuan ini dengan lengang lenggoknya terus bersalam-salam dengan kami dan bersalam dengan tok dukun. Beberapa ciuman manja singgah ke pipi tok dukun. Apa kejadah anak dengan bapak macam ini punya mesra. Aku hampir mencarut ringan di dalam hati. Tapi mungkin ini cara mereka anak beranak agaknya. Aku cuba menghilangkan perasaan curiga.

Kak Jen yang seperti memahami air muka tidak puas hati aku sengaja berteka teki pada aku pasal perempuan tersebut. Aku kata kan, mungkin ini anak sulong tok dukun agaknya. Satu rumah ketawakan aku masa tu. Rupanya perempuan itu adalah isteri tok dukun. Mak aih! Memang dahsyat tok dukun ini. Aku mengakui di dalam hati.

Isteri tok dukun menghidangkan kami air kopi berserta kuih raya dan buah betik. Berulang kali tok dukun menegaskan buah betik itu ditanam sendiri. Setelah menikmati juadah itu, Kak Jen meminta tok dukun menolong dia mengubati penyakit sinusnya yang makin teruk setelah menggunakan minyak kelapa dara yang disyorkan oleh salah seorang kakak kami. Setelah tok dukun meminta aku dan Kak Jen membeli limau nipis dari kedai runcit berdekatan, Kak Jen dibawa ke bilik bertentangan dengan ruang tamu. Pintu bilik itu sengaja di buka luas-luas. Sempat jugak tok dukun menjeling aku, sambil berkata.

“ Kalau kamu nak berubat marilah masuk bilik sekali.”

Aku cepat-cepat menggelengkan kepala. Menolak dengan muka kecut. Penakut.

Selesai aje berubat, Kak Jen keluar dengan pernafasan yang kedengaran agak lega. Kalau tidak dari malam semalam hidung Kak Jen asyik tersumbat dan menghasilkan bunyi yang sungguh shitty sekali sehinggakan beberapa kali aku terjaga dari tidur.

Kami meminta izin untuk pulang setelah bertukar-tukar cerita dengan anak menakan tok dukun. Dalam perjalanan pulang Kak Jen bagitahu aku, kalau betul aku nak berubat, tok dukun nak tolong. Kata Kak Jen tok dukun ada cakap.

“ Adik kau tu, kalau aku ubatkan. Insya Allah jodoh dia lagi cepat dari kau.”

Kak Jen ketawa galak. Sinus dia dah lega agaknya mengilai macam tu. Aku pulak terkedu sendiri.

2 comments:

  1. Lawak jugak baca entry ni. Tapi kalau hati ckp x mau mmg x mau la.. :)

    ReplyDelete
  2. suka baca blog kau...macam ada je yang relate ngan aku...

    ReplyDelete

Followers