Thursday, September 22, 2022

Kudrat

Dah umur 40 ni tak daya betul rasanya.

Bagai dah jadi satu rutin lepas balik kerja. Meridap sebelum tidur. MERIDAP sebelum TIDUR? Hahaha naya betul.

Badan lesu, otak penat cuma balik nak berehat.

Mencabar 2022 ini bila umur meningkat, kena covid. Kesan long covid buat badan lebih lesu dari biasa.

Rindu masa muda yang kudrat masih kuat. Boleh berlari satu padang bola empat kali. Entah dimana ya tenaga itu. Tak mungkinlah ia dapat kembali lagi.

Kudrat yang kuat, tinggal kenangan sahaja.




Saturday, September 17, 2022

Bila Dosa Silam Datang Kembali

 Ingat tak Preity? Ya. Mantan semasa aku muda remaja, zaman universiti. 

Bila zaman universiti? Tahun 2000 hingga 2003. Setahun jagung umur kami. Umur aku baru menginjak 19-22 tahun. Muda dan bodoh.

Imbas kembali cerita lama, Preity mantan aku ini, pernah menduakan aku di tahun akhir percintaan kami yang berusia tiga tahun itu. Aku namakan lelaki ini sebagai Zain Malik dalam blog ini.

Tutup imbas kembali, waktu kini.
Entah macam mana semasa aku sedang buat projek syarikat aku bekerja ini, aku terserempak dengan Zain di sebuah jabatan kerajaan. Hendak tak hendak, kami pun bertukar nombor telefon.

Tahun ini, sekali lagi aku ada projek dengan jabatan kerajaan yang sama. 

Apabila habis perjumpaan rasmi, aku ajak dia borak sekejap. Sekejap menjadi sejam. 

Zain sekarang sudahpun berumahtangga. Dia kahwin dengan kawan kami juga. Gadis yang dia pernah ada hubungan cinta sebelum dia bercinta dengan Preity. Tak sangka aku bila tahu ini. Tak pusing jauh Zain, fikirku. Mereka berdua sudah pun punya beberapa orang anak.

Cinta Preity dan Zain dah lama putus di tengah jalan. Tak silap aku, masa dia orang sedang sambung ijazah. Aku tak sambung belajar pun. Banyaklah faktor masa itu. Ayah terlantar sakit. Adik-adik lain pula masing-masing nak masuk universiti. Faktor kekecewaan terhadap sistem universiti juga mendorong aku tidak sambung belajar. Aku sebenarnya berminat untuk sambung di universiti swasta. Tapi itulah, tiada peluang yang baik. Terlalu banyak kekangan. Aku pilih untuk kerja dan bekerja sehingga sekarang. Umur dah 40 tahun.

Sambil bersembang, Zain ada bertanya tentang art. Aku bagitahu dia, yang aku cuma buat digital art buat masa sekarang. Terus tak sentuh berus. Lalu dia ceritakan yang dia juga mula berjinak dengan digital art. Banyak buat ilustrasi buku. Baguslah untuk dia. Dia pun memang merupakan pelukis yang hebat daripada aku. Itu hakikat yang aku dah pun terima. Aku tak mampu nak saingi dia dalam bab melukis. 

Entah macam mana, tiba-tiba terpancul pertanyaan daripada dia. Dia tanya, Jo... kau ni ‘famous’ ke?

Hendak tersedak juga aku dengan soalan yang bagi aku ada berbaur sedikit cemburu itu. Haha... 

Entah kenapa soalan itu yang dia tanyakan. Aku cuma ilustrator biasa, yang tiada apa. Aku berasa sedikit panas dan ‘trigger’ juga dengan soalan itu. Zain masih tak berubah, masih kuat rasa ingin bersaingnya dengan aku.

Dulu, telah aku lepaskan segala perasaan cinta dekat Preity. Malah aku relakan mereka bersama apabila aku melihat mereka boleh mencipta masa depan berdua yang lebih baik. Tapi, tak juga kahwin keduanya. Beriya aku kecewa.

Aku jelaskan kepada dia, bahawa ‘famous’ ini sebenarnya terpulanglah. Mungkin aku ini orang biasa di mata dunia, tapi ‘famous’ di kelompok yang mengenali aku dan kerja-kerja aku. Itu lebih baik sebenarnya.

Dia ada mengesyorkan aku, untuk buat kerja freelance seperti dia. Aku pula cuma ketawa, berterus terang pada dia yang aku lebih suka balik kerja, tidur merehatkan diri di umur begini. Tiada apa yang mahu aku kejarkan lagi. Tak punya pasangan, tak punya anak. Tak punya apa-apa nak kuwariskan harta benda nanti. Dalam bergurau aku beritahu itu.

Tak berapa lama selepas itu, dia hubungi aku lagi. Bertanya tentang bahan serta alat yang aku gunakan untuk buat digital art. Dia asyik teringat perbualan aku dan dia tentang digital art. Itu bermakna, aku ini masih memberi impak dalam diri dia. Dulu dan sekarang. 

Aku jelaskan itu ini dan beri info kepada dia. Mana nak beli. Mana yang elok, mana yang tidak. Kesesuaian harga dan sebagainya. 

Dia ada hubungi aku beberapa kali lagi. Minta pendapat lagi. Aku layankan tanpa berasa apa.

Selepas itu, dia minta aku mengajar dia pula digital art. Eh… Melebih pula aku rasa Zain ini. Sedap mengambil kesempatan atas kebaikan aku. Sama macam dulu-dulu. Terasa seperti dosa silam aku kembali nak menghantui aku semula. Hal yang aku tak mahu ingat. Aku tidak rasa mengajar dia ini akan memberi kebaikan kepada aku. 

Aku suruh dia tutorial sendiri di YouTube. Aku bagitahu yang aku pun belajar dari situ sahaja. Malas aku masuk campur hal dia.

Dosa silam yang aku sudah tinggalkan kadang kala datang dalam cara yang tak diduga. Oh! Pergi. Aku tak mahu!



Friday, September 16, 2022

Pengabaian

 Aku tidak tahu jika blog ini boleh menjadi ruang yang selamat untuk aku menulis.

Tapi semalam, bila aku dengar kata seorang penulis. Tulis lah. Jika kau mahu menulis maka tulis lah.

Seseorang juga pernah berkata yang menulis juga boleh menjadi satu bentuk saluran terapi diri. Aku tidak tahu kemana aku mahu terapi diri aku. Di sini mungkin. Ruang. Sebuah ruang.

Oleh kerana aku ini orangnya selalu sendiri walaupun dalam suasana yang ramai. Merupakan seorang yang tidak tahu, juga tidak berapa sukakan perhatian. Maka memang diri ini telah terabai. Dari dulu aku sendiri-sendiri mencari keselesaan diri. Tidak perlu aku salahkan sesiapa kerana hakikat hidup aku memang begitu. Sendiri dan sepi.

Pengabaian demi pengabaian ini sedikit sebanyak membentuk aku menjadi orang yang rasa perlu bertanggungjawab penuh atas apa saja yang berlaku. Automatik rasa MESTI bertanggungjawab. Hal ini buat aku lebih serius dan garang.

Aku penat menjadi garang dan serius. Aku tidak tahu bagaimana cara terbaik untuk respon atas kebodohan  sifat pentingkan diri orang lain. Bila aku biarkan, maka kesesatan yang nyata berlaku di depan aku. Bila aku serius, aku nampak kalut dan menyakiti orang lain.

Tanggungjawab itu sangat penat. Aku nampak kalut, garang, jahat, terlalu sensitif di mata orang. 

Tapi kadangkala aku nampak bertanggungjawab tapi aku rasa aku tak bertanggungjawab pun. Aku rasa tak cukup. Selalu tak cukup. Aku kena lagi bertanggungjawab. Lebih lagi. Setiap masa sehingga aku rasa penat.

Aku rasa bertanggungjawab untuk baiki diri aku lebih baik. Aku bencikan pengabaian sehingga aku rasa semua pun tanggungjawab aku dan aku melukakan diri orang lain dengan perbuatan aku ini.

Setakat ini itulah yang aku mahu kata dan tulis.

Semoga blog ini boleh kembali menjadi ruang selamat untuk aku sekali lagi.



Followers