Thursday, January 30, 2014

Identiti Hati

Dari kecil sampailah ke tahun 2014 ni aku masih lagi bergelut dengan krisis identiti aku sendiri. Siapa aku? Macam mana aku? dan apa yang aku mahu jadi? Banyak masa aku abaikan sahaja dan menjalani hidup seperti biasa, mengikut hati aku.

Banyak masa itu aku tahu yang hati aku salah. Aku biarkan.

Hingga sampai satu tahap aku rasa hati aku memang betul. Apa yang aku buat ni betul.
Di situ aku tahu yang aku makin salah. Hati makin degil. Makin keras

Aku pernah cuba berpakaian girly. Berjalan lemah-lembut. Rasa kejang satu badan aku. Dua tiga bulan aku give up. Bukan itu.

Aku cari lelaki sebagai pasangan aku. Cuba merasa kuatnya hati lelaki memegang hati aku. Kimia cinta yang kami ciptakan tidak menjadi, lalu hati aku meletup. Hati dia…

Aku cuba hidup sendiri. Aku fikir aku mampu. Apa yang aku rasa hakikatnya. KOSONG.

Fitrah manusia ini berpasangan. Saling menjaga, mengasihi dan menyayangi. Itulah keindahan ciptaan Yang Maha Esa. Itulah tanda sayangnya Dia ke atas kita, hambaNya. Dia sendiri tak mahu kita susah sendiri, sakit sendiri, tidur sendiri… Makan KFC sendiri.

Dia bagi kita nikmat jadi manusia yang ada nafsu, keinginan. Dengan ikut landasan yang betul. Ikut tatacara hidup yang Dia redhai.

Aku perempuan kasar, aku juga perempuan yang penyayang itu. Hati aku terbelah dua. Sebelah penuh jahat, sebelah lagi penuh baik. Sedang aku menjahitnya, dengan malas-malas, cuba menyatukannya kembali. Supaya ada satu sahaja hati itu nanti. Hati yang kuat.

Aku tidak mampu menjadi sempurna seperti permintaan kamu, permintaan mak, masih tidak suka lipstick. Masih suka sneakers sebagai kasut rasmi aku. Masih terkial-kial belajar menutup aurat. Sesekali mata jahat ini terpandangkan gadis manis bertudung, dengan senyuman manis. Aku terpaksa beristighfar beratus kali dan memarahi hati yang jahat itu.

Jangan goda aku. Jangan biarkan aku tergoda.

Ramai yang punya masalah yang sama dengan aku, nak berubah. Dah cuba. Tapi masih lagi bergelut dengan macam-macam perasaan.

Timbul soalan yang berulang-ulang seperti:

1.       Antara banyak-banyak dugaan, kenapalah dugaan yang macam ini terpaksa aku lalui.
2.       Nak berubah tapi macam mana?
3.       Sampai bila nak macam ni?
4.       Aku tak suka pakai girly, aku nak tutup aurat dengan gaya aku sendiri. Salah ke?
5.       Betul ke hanya dengan cara berkahwin sahaja maka aku boleh berubah sepenuhnya?

Makin aku cuba nak berubah, maka makin bijak dan cantiklah perempuan-perempuan yang aku jumpai setiap hari. Aku tahu betapa syaitan sengaja mengaburi mata aku ini.

Boleh sahaja aku nak menipu semua orang, pakai girly… Cakap lemah-lembut, dating guys. Tapi kalau belah dalaman, otak aku ni aku masih tak betulkan. Hati aku masih goyang. Masih degil nak mampus.

Maka step satu. BERSIHKAN OTAK DAN HATI. 


Macam mana? Ya Allah…


Tuesday, January 28, 2014

Sakit dan Kemalangan

Aku kemalangan kereta. Kejadian itu... Ah! Aku tidak mahu menaip situasi yang berlaku dalam blog ini.

 Aku selamat tanpa sebarang kecederaan fizikal. Kereta teruk.

Lepas kemalangan aku jadi takut. Ngeri. Meracau. Merepek.Menggigil. Resah. Gelabah.

Sakit tapi tak sakit.

Kalau ditanya, apa yang aku takut?

Aku takut mati.

Kenapa?

Aku takut. Aku tiada bekalan ke sana.

Ada seksa kubur. Soalan bertubi-tubi dari para malaikat. Sang lipan dan ulat akan makan kulit ini sikit demi sikit. Gelap.

Aku si pendosa. Aku tiada sesiapa yang mahu doa-doakan. Sedekahkan bacaan yassin. Tiada anak.

Itu sahaja ke nasib aku nanti?

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.

Dia Pemurah dan Dia Penyayang. Dia tidak kejam.

Aku tidak mahu kejami diri aku… Secara sedar ataupun tidak.

Mohon di beri hidayah. Mohon di ampunkan.



Friday, January 10, 2014

Bila OTP Putus

Apa yang paling mengerikan selain daripada OTP yang kau rasa sangat sempurna untuk sesama sendiri tiba-tiba putus. Gila. Kau rasa macam nak gila. Itu yang aku rasa sekarang. Kenapa? Kenapa dia orang putus? Terbaring aku atas katil sambil tangan letak atas dahi.

Lepas tu aku teringat, aku dah tua. Bukan anak remaja lagi. Kenapa aku kena emosi atas perkara-perkara macam ini. Banyak hal yang lebih penting, seperti masalah kebuluran di merata pelusuk dunia, perang saudara Somalia atau kekejaman Zionis di Palestin. Masalah kemiskinan tegar dalam Malaysia. Masalah harga barang makin naik. Sikap masyarakat sekarang yang semakin mementingkan diri. Ugh! *Geleng kepala*

Tapi, bila aku fikirkan balik, tak salah nak rasa sedih dan pedih atas perkara-perkara yang dirasakan merepek ini. Tak kira setua manapun, masih sahaja relevan. Seperti aku ini yang masih sahaja gila baca komik. Masih terasa nak main pistol air dengan anak-anak kecil dan dalam masa yang sama menjalani kehidupan dewasa, bekerja keras untuk keluarga. Memberi sumbangan yang mampu dalam masyarakat. Dengan cara aku.

Adakalanya memang kita rasa penderitaan yang kita lalui lebih teruk dari penderitaan orang lain. Tapi itu bukan bermakna kita boleh memperkecil-kecilkan penderitaan orang lain.

Kak Jen pernah bagitahu aku:

 “Ujian yang Tuhan beri pada seseorang adalah bersesuaian dengan apa yang mampu ditanggungnya.”

Hmm… Besar ayat di atas itu. Dalam maksudnya. Kalau nak dikupas, mahu 10 mukasurat.

Berbalik pada hal putus…

Masa aku putus dengan Honey dulu. Ramai jugak yang sedih. Mungkin kami ni OTP dia orang agaknya. Adik perempuan aku boleh menangis. Katanya sedih sangat sebab dia tahu dan nampak begitu besar sayang aku pada Honey.

Emak Honey sendiri, aku dapat lihat sayu di mata dia, bila tanya adakah aku dan Honey tak kawan dah.
Aku hanya mampu cakap.

“ Apa nak buat mak cik… Dia tak sayang saya dah."

Mungkin, dalam hati kecilnya mahukan aku jadi menantu. Ah! Berangan Jo...

Putus cinta, menderita, kereta kena langgar dari belakang, mak tak bagi belanja sekolah, pintu bilik rosak, duit gaji tak dapat lagi nak beli susu anak, sakit, atap rumah kena bom dan segala macam hal…Semua masalah, semua pun dugaan.

Rasa letihnya nak jadi positif. Letihnya kena beritahu diri sendiri supaya jangan mengaku kalah.

Tapi kita tahu, hari ini pasti akan pergi. Esok akan datang. Kita terus juga berjalan walaupun tempang, walaupun berkerusi roda. Walaupun OTP kita sudah tiada lagi.

Kiri kanan, kiri kanan, kiri kanan.

PS: OTP menurut urban dictonary adalah singkatan daripada perkataan 'One True Pairing'. Iaitu singkatan yang digunakan bagi mengambarkan pasangan yang secocok, sama ada fiksyen ataupun pasangan dalam kehidupan sebenar.

Saturday, January 4, 2014

Selamat Datang 2014

Terima kasih 2013.

Terima kasih semua kerana masih lagi membaca blog Jo Cerita.
Selamat datang 2014 dan selamat tahun baru untuk semua.

Jyeah!


Followers