Mampu ke aku menulis dalam keadaan tak ada idea? Mari cuba.
Petang tadi aku merayau ke mall dengan seorang kawan
perempuan, merangkap officemate dan kawan borak tentang kpop dan hal-hal
keduniaan yang lain. Kita namakan sahaja dia Fifi. Bekas pelajar sekolah agama
tapi amat sempoi orangnya. Sedikit chubby. Fifi masih single tetapi ada
menyimpan perasaan pada seorang jejaka.
Aku selalu rasa Fifi dan kawan office lain macam tahu yang
aku ini seorang lesbian. Dalam masa yang sama aku tak rasa pulak dia orang
tahu. Iyelah, aku manalah ada girlfriend sekarang. Malah pernah ada boyfriend,
si Naruto tu. Lagipun setiap kali ada lelaki yang agak kacak di office, secara
automatik aku sendiri akan menggosipkan diri aku dengan mereka. Walaupun aku
pasti yang lelaki kacak di office sama sekali tidak tergoda pada aku.
Lantaklah.
Aku tak mahu kawan office tahu sebenarnya. Sebab aku ada
pengalaman buruk bila berterus-terang. Orang akan layan aku lain. Perempuan
akan layan aku lain, lelaki juga akan layan aku lain. Tapi kadang-kala jauh
dalam hati, bila dah kamceng macam aku dan Fifi ini, aku harap dan teringin dia
tahu. Aku harap dia terima aku seadanya.
Maka berbalik pada cerita petang tadi, lalu aku ada membuat sedikit percubaan untuk mengkantoikan
diri aku sendiri pada Fifi.
Masa itu Fifi dan aku singgah di sebuah kedai gadget untuk
bertanyakan tentang handphone Fifi yang selalu jammed. Salah seorang staffnya
adalah seorang amoi berambut hitam lebat macam rambut Zhao Wei dalam cerita
Painted Skin. Jarang aku tengok amoi rambut hitam macam ini. Selalunya mesti
dah highlights. Aku cuba melemparkan
sedikit senyum. Amoi itu buat dek sahaja. Oh, baiklah…
Sedang Fifi berbincang tentang handphone dia, aku mula
beraksi. Aku cuba masukkan pamphlet galaxy camera yang aku pegang ke dalam
bekas air di atas meja kaca depan amoi itu. Aku tahu bekas air itu gunanya
untuk staff menguji handphone jenis kalis air, sengaja aku nak tengok apa
respon amoi tu.
“ Air tu bukan untuk masukkan kertaslah.” Tegur amoi itu
dengan bahasa Melayu yang sedikit pelat. Aku pulak buat muka selamba, muka
mencabar. Umpan dah kena.
“ Air ni guna buat masuk handphone.” Terang si amoi lagi.
“ Eh! Janganlah masuk handphone dalam air.” Aku buat muka macam
risau. Ini semua berlakon.
Maka, apabila melihat muka risau aku, dia segera masukkan
handphone yang tergantung di leher dia dalam bekas air itu. Aku pula segera
buat muka jangan. Muka tidak. Fifi di sebelah tengah tahan gelak dengan gelagat
aku, sebab dia tahu yang aku tahu pasal handphone kalis air. Kami baru sahaja
bincangkan hal itu. Amoi tu dah gelakkan aku. Comel.
Seorang lagi staff, amoi berambut highlights memberi kami borang
survey tentang produk mereka. Fifi cepat-cepat mengisinya. Aku pula menolak
sambil menayang Nokia cikai milik aku.
Amoi rambut highlights terus cakap.
“ Alah, you pun mesti tahu pasal produk kami juga. Tulis
sahaja.”
“ No. Tak mahu. Nanti kalau saya isi, you punya kawan ni
ambik pula nombor telifon saya.” Aku dah gelak sambil tunjuk amoi rambut hitam
itu.
“ Baguslah macam tu, boleh kawan-kawan kan .” Amoi rambut highlights
sengaja menggalakan lagi. Dia gelakkan amoi rambut hitam.
“ You ni perasan kan?” Amoi rambut hitam berkata sambil
menyengetkan mulut, geram dengan aku agaknya.
“ Sikitlah…” Aku tambah lagi geram dia sambil buat muka seksi.
Kami tinggalkan amoi-amoi tadi selepas itu. Aku pula sengaja
highlight ayat menggatal dengan amoi tadi pada Fifi, beberapa kali. Masih cuba
kantoikan diri. Fifi selamba. SELAMBA. Dia tak nak tanya aku ke? Dia tak nak
tanya aku kenapa aku suka usik girls. Kenapa aku selamba je flirting dengan
girls.
Sebab aku nak sangat jawab.
“ Fifi… Sebenarnya aku pernah suka girl lebih dari aku suka
lelaki. Aku masih lagi ada perasaan itu sekarang. Aku masih sedang belajar
mengatasinya.”
Mungkin satu hari dia akan tanya. Tapi, pada masa itu,
adalah aku akan jawab?