Aku perempuan gay. Lesbian.
Dahulunya penampilan aku pengkid. Dari hujung rambut ke
hujung kaki.
Kini boleh dikatakan penampilan aku adalah AKU. Sederhana
dan sopan.
Penilaian orang, aku tak tahu. Malah itu sudah tidak penting lagi. Banyak lagi isu tentang diri aku yang perlu diselesaikan antaranya
masalah ketagihan/obsesi, panic attack, kewangan, penambahan berat badan dan
lain-lain.
Disebabkan aku menulis blog tentang aku, pengkid, lesbian
dan sebagainya maka ramailah rakan baru yang dikenali di internet yang
mempunyai persamaan dengan cerita-ceritaku ini. Kami berkongsi cerita malah air mata.
Tahukah kamu, betapa ramai perempuan gay/lesbian muslim di
luar sana yang single dan mahu kekal single sebab agama melarang dan
mengharamkan hubungan ini?
Adakah mereka tidak gay/lesbian? Mereka TETAP begitu, cuma
mereka menahan perasaan mereka.
Ramai juga yang kahwin dengan lelaki. Ada yang
bahagia ada yang tidak. Sama sahaja dengan perkahwinan heterosexual yang lain.
Ada yang bercerai dan ada yang berkasih sayang sehingga tua.
Baru-baru ini seluruh USA membenarkan perkahwinan sama
jenis. Aku terkejut juga. Terkejut sebab cepat sangat. Aku fikirkan mungkin akan
memakan masa lagi tiga tahun. Adakah kerajaan mereka punyai agenda politik yang
lain atau apa pun aku tak tahu. Berpuluh tahun jugaklah aktivis di sana
memperjuangkan hak mereka ini. Sedikit demi sedikit negeri-negeri di sana telah membenarkan.
Sedangkan di USA itu, heterosexual yang beranak pinak tak kahwin berlambak.
Golongan LGBT di sana pula bagai nak rak berjuang sebab nak kahwin.
Ya memang dunia ni dah akhir zaman.
Macam biasalah di laman sosial jadi trending panas beberapa
minggu. Ramai juga golongan heterosexual yang menyokong perkahwinan ini,
termasuklah kita di Malaysia. Tak kiralah muslim atau non-muslim. Golongan yang
menentang, mengeji dan mencarut lagilah ramai. Hal-hal haram kan. Sedangkan
benda baik macam solat di tempat letak kereta pun muslim kat Malaysia ni
jadikan isu.
Maka kisah zaman Nabi Luth dicampakkan, di taip, di reblog
dan di link pada serata media sosial.
Berjuta-juta jumlahnya, sampai aku ini
tidur malam lalu terbawa di dalam mimpi. Aku rasa setiap orang dalam golongan
LGBT muslim hafal kisah ini lebih dari tukang reblog tu hafal kisah Nabi Musa
dengan firaun. Tentang 10 tulah di zaman Mesir dulu. Kisah bahtera Nabi Nuh. Kisah kaum
Rom, Kisah Nabi Ibrahim dan isteri-isterinya. Kisah yang banyak menceritakan
tentang kaum yang lagha/lalai, politikus yang rakus dan kaum-kaum ini ada yang
di turunkan hukuman yang dashyat-dashyat.
Jadi kita perlu sedar, apabila kita sama-sama lagha/lalai. Kita
sama-sama kena hukum, tak kira apalah. Dosa sebesar zarah pun kena kenalah
bertaubat. Tak ada pengecualian. Tuhan itu adil lagi pengampun.
Pendapat peribadi aku sebagai seorang muslim. Aku tidak
menyokong legalnya perkahwinan sama jenis ini di Malaysia. Di USA atau Kanada
di mana sahaja biarlah. Tapi pada masa yang sama aku tak adalah nak tembak atau
terbalikkan rumah orang yang nak melakukannya. Aku juga teringin negara kita Malaysia
mengharamkan heterosexual muslim couple sebelum nikah. BOLEH?
Berbalik pada perempuan gay muslim dan single sebab agama
melarang ini. Kau ingat senang nak hidup macam itu. Tapi berdoa ajelah hari-hari
semoga perasaan dan rasa ini hilang. 10 tahun… 20 tahun. Entah sampai bila.
Ada aje kawan sesama gay dan lesbian yang gelakkan golongan
ini, suruh cari ajelah awek. Buat apa di tahan-tahan. Bla…Bla…Bla. Kita
masing-masing ada pegangan sendiri. Maka sila hormati.
Pada golongan heterosexual yang rant kat internet beria
sangat tu, aku malas nak cakap apa. Bersamalah kita nasihat menasihati. Sayang
menyayangi. Doa mendoakan. Perhatikan betul-betul, mana tahu ada saudara mara
sahabat handai teman rapat yang LGBT tapi kamu langsung tak tahu menahu. Fokus
pada situ.
Pada golongan LGBT yang kena buli di laman sosial dan terasa
macam hendak bunuh diri. JANGAN. Bawa bertenang. Elakkan dari media sosial buat
sementara waktu. Entah-entah orang menyampah dengan kita bukan sebab GAY pun,
mungkin sebab kita sibuk berselfie bercium sakan sampai orang naik meluat.
PS: Tadi, masa aku bersama housemate, Fifi ke kedai bahan kek.
Ada beberapa pelanggan yang tersalah ingatkan aku ini pekerja kedai kek itu.
Muka aku macam pekerja kedai kek ke? Muka aku macam ingin membantu? Ganas sangat ke gaya aku ini? Aku utarakan hal ini pada Fifi sambil
membetulkan tudung yg senget, jawapan dia mengejutkan dan tidak disangka oleh aku.
“ Sebab kau tak pakai beg tangan, Jo. Orang lain semua pakai
beg tangan.”